Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Suruhan tutup aurat untuk kebaikan lelaki, wanita
04.26.05 (9:48 pm)   [edit]



DALAM membicarakan persoalan cara pakaian wanita dan kaitannya dengan jenayah seksual adalah satu lagi pandangan mengenainya. Ia adalah jenayah seksual melambangkan perlanggaran terang-terangan terhadap peraturan seimbang yang terkandung dalam Islam, yang perlu dipatuhi oleh lelaki dan wanita dalam masyarakat.



Penyelesaiannya adalah interaksi lelaki dan wanita mestilah kembali kepada penghayatan yang didasarkan kepada asas Islam yang sahih.

Asas itu adalah:


Hubungan habbunminnas antara lelaki perempuan adalah diasaskan atas dasar ukhuwah dan persaudaraan, penuh rasa hormat dan saling bantu membantu ke arah iman dan takwa.


Tanggungjawab moral terpikul sama beratnya di atas bahu lelaki dan wanita dalam masyarakat. Dalilnya surah an Nur, ayat 30 dan 31. Lebih penekanan harus diberikan kepada pemahaman dan penghayatan ayat 30 sekarang ini (untuk lelaki beriman) – bagi mengimbangi penekanan yang selama ini yang hanya memberikan tumpuan kepada wanita semata-mata.

Lelaki bertanggungjawab sepenuhnya mengekang nafsu syahwatnya melalui banyak cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.


Kejelasan mengenai perkara asas seperti apa itu kecantikan dan aurat, terutama di kalangan wanita Islam hari ini.

Aurat meliputi anggota badan manusia yang berkaitan dengan reproduksi.

Kecantikan pula terbahagi kepada dua iaitu haiwaniah dan insaniah. Kecantikan haiwaniah tertumpu kepada anggota reproduksi. Kalau melihat haiwan seperti kambing dan lembu yang tidak perlu menutup aurat, genitalia yang terdedah perlu untuk menarik perhatian pasangan kepadanya. Seterusnya berlaku kopulasi atau persetubuhan yang akan menghasilkan zuriat keturunan.

Ia adalah proses asas survival dalam kerajaan binatang. Siapa yang paling cantik dan menarik akan mempunyai peluang untuk membiak. Dengan itu, kita boleh memahami mengapa babun mempunyai punggung merah, kenapa burung merak jantan mempunyai bulu yang sungguh memukau dan berwarna warni?

Namun bagi manusia, kita mesti menilai kecantikan dari sudut insaniah dan nilai Ilahi. Kecantikan insaniah hanya dianugerah kepada manusia yang tinggi dan mulia tarafnya.

Dengan adanya konsep aurat yang diperkenalkan seawal penciptaan manusia pertama, Nabi Adam, manusia menutup anggota reproduksi lantaran nasab keturunan manusia amat perlu dijaga dan diurus sebaik mungkin.

Perasaan malu secara fitrah diwujudkan dalam jiwa manusia normal, apabila auratnya terdedah.

Kecantikan haiwaniah diganti dengan nilai kecantikan insaniah yang dicirikan dengan kesopanan (modesty). Bilakah pula kita boleh tonjolkan kecantikan haiwaniah kita? Masa bersama dengan pasangan yang sah dalam lingkungan dinding kamar tidur bagi memastikan adanya penerusan zuriat manusia.

Jadi jika ada wanita atau lelaki yang keluar ke khalayak umum mendedahkan kecantikan haiwaniahnya, jangan terkejut jika kopulasi atau persetubuhan haram akhirnya berlaku (sama ada dengan rela atau tidak). Ketika itu perlakuan manusia berkenaan tidak ubah seperti seekor haiwan.


Wanita Islam perlu membetulkan niatnya atau nawaitunya. Dia mengenakan pakaian menutup aurat kerana semata-mata mahu menjaga kepentingan iman lelaki. Tanggungjawab menjaga dan meningkatkan iman adalah urusan setiap orang.

Seperti juga lelaki membetulkannya, yang mengenakan bajunya yang menutup aurat kerana niat perlu menjaga iman wanita. Begitu juga wanita tidak melilit tudungnya atas nawaitu – jangan sekali-kali berkata dalam hati: “Saya perlu berbuat begini agar lelaki di luar sana tidak akan terliur melihat tubuh badan saya dan gugur iman dan serbannya.”

Kita, wanita menutup aurat dan sanggup melakukan apa saja untuk mematuhi perintah Allah yang mengandungi terlalu banyak hikmah dan kebaikannya. Kita buat ini semua bukan kerana orang lelaki.

Kita menutup aurat sebab iman dan takwa. Kita tidak merokok sebab iman dan takwa. Kita tidak simpan perempuan sebab iman dan takwa. Kita tidak minum arak dan tidak makan babi, semuanya itu kita buat sebab kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kadangkala apabila kita menggunakan alasan saintifik untuk menyokong alasan kita, maka orang yang berfikiran liberal akan sedaya upaya berusaha menumbangkan ‘teori’ kita.

Contohnya, mengaitkan aurat dengan rogol. Apabila kita kata menutup aurat akan mengurangkan jenayah rogol. Saya pasti banyak dokumen berasaskan penyelidikan dan kajian kes dilonggokkan untuk melemahkan kita dan memalukan Islam.

Sekiranya dengan wanita menutup aurat, peluang dan tarikan syaitan kurang menyerlah di hati lelaki untuk mencabuli kehormatan wanita berkenaan. Itu adalah hikmah yang ditetapkan oleh Allah yang bertanggungjawab memelihara hamba-Nya.
 
Balasan ingkar perintah Allah
04.26.05 (9:38 pm)   [edit]

KALAMULLAH

Maka (serentak dengan memberi hidayah petunjuk) Aku juga telah memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang. Yang tidak akan masuk ke dalamnya melainkan orang yang sungguh celaka. Yang telah mendustakan (kebenaran) dan berpaling ingkar. (Al-Lail : 14-16)

Huraian:

Allah telah mengutuskan Nabi dan Rasul-Nya bertujuan menyampaikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada umat manusia yang hidup dalam kesesatan dan kegelapan, ke arah kehidupan yang lebih hakiki.

Ia bersesuaian dengan matlamat asal kejadian mereka, iaitu beribadat dan beriman kepada-Nya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka tetap ingkar dan masih melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam, meskipun telah sampai seruan tersebut.

Mereka lebih suka mengikut gerak hati dan nafsu tanpa memikirkan baik buruknya.

Perbuatan mereka ini mendapat amaran dan celaan daripada Allah s.w.t. bahawa neraka jahanam adalah tempat mereka di akhirat nanti.

Betapa seksanya kehidupan di alam neraka dengan api menjulang-julang membakar diri.

Kedahsyatannya tidak dapat tergambar oleh fikiran kita sebagai manusia mengenai betapa pedih dan azabnya balasan Allah terhadap amal perbuatan mereka semasa di dunia lagi.

Tubuh badan mereka dibakar dengan api yang amat panas sehingga mendidih otak dan menjadi abu dan debu yang bertebaran.

Begitulah perkara yang sama akan berulang sehingga mereka tidak tertahan menanggungnya lagi.

Setelah merasainya, barulah mereka tersedar dan memohon supaya dikembalikan semula ke dunia.

Mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mereka tetapi permohonan itu adalah sia-sia kerana tidak mungkin mereka dapat berbuat begitu, bahkan di sanalah tempat yang kekal abadi baginya.

Kesimpulan:

Azab seksa api neraka amat pedih dan tidak tertanggung oleh kudrat manusia. Oleh itu, sebagai manusia kita hendaklah menjauhi segala larangan Allah dan mentaati perintah-Nya agar tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.

Sentiasalah mengharapkan hidayah Allah agar selamat di dunia dan di akhirat.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).








 
Kelebihan Adam - Berguru langsung kepada Allah
04.26.05 (9:37 pm)   [edit]

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


HIKMAH penciptaan Adam a.s. sebagai khalifah merupakan rahmat kepada sekalian hamba. Ini kerana sebagai hamba kita tidak mampu atau tidak mungkin menerima arahan-arahan atau larangan-larangan Allah tanpa perantaraan malaikat. Justeru, terserlahlah rahmat dan kasih sayang-Nya dengan menghantar sekalian rasul dari kalangan manusia. Setelah Allah menegaskan bahawa sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala yang tidak diketahui para malaikat, sama ada dari segi kemaslahatan atau hikmah-hikmah penciptaan Adam, lantas dilangsungkan ayat seterusnya sebagaimana firman-Nya.

``DAN DIA TELAH MENGAJARKAN NABI ADAM, AKAN SEGALA NAMA BENDA-BENDA DAN GUNANYA, KEMUDIAN DITUNJUKKANNYA KEPADA MALAIKAT LALU DIA BERFIRMAN: ``TERANGKANLAH KEPADA-KU NAMA BENDA-BENDA INI SEMUANYA JIKA KAMU GOLONGAN YANG BENAR.'' (Al-Baqarah ayat 31)

Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada Adam a.s. ilmu sebagaimana firman-Nya: Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya. Iaitu Allah mengajarkan kepada Adam semua nama benda. Kata Ibn Abbas: ``Semua nama diajar hingga kepada perkara yang kecil-kecil.'' Sebahagian ulama berpendapat Allah mengajar Adam a.s. nama-nama yang tertentu secara khusus, iaitu empat pandangan.

Pertama, Allah mengajarnya segala nama malaikat. Inilah pendapat Abu al-Aliyah. Kedua, Allah mengajarnya segala jenis tetapi bukan bahagian-bahagiannya seperti manusia, malaikat, jin dan burung. Inilah pendapat Ikrimah. Ketiga, Allah mengajarnya nama-nama segala yang diciptakan-Nya di bumi yang terdiri daripada binatang-binatang, serangga-serangga dan burung-burung. Inilah pendapat al-Kalbi, Muqatil dan Ibn Qutaibah. Keempat, Allah mengajarnya segala nama zuriatnya. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Ibn Jarir berkata: ``Allah mengajarnya nama-nama termasuk yang kecil seperti kendi, periuk dan setiap sesuatu. Inilah juga yang dinaqalkan oleh as-Syaukani. Kata-kata seperti Allah mengajarkan Adam pada semua nama sebanyak 1000 jenis pekerjaan. Katakan kepada keturunan dan zuriatmu hai Adam, jika kamu tidak mampu bersabar dari dunia, maka tuntutlah ia dengan segala pekerjaan ini. Tetapi jangan kamu tuntutnya beserta agama kerana agama semata-mata untuk-Ku sahaja. Celakalah sesiapa yang menuntut dunia dengan agama dan celakalah baginya. Riwayat ad-Dailami.

Ayat ini menerangkan betapa kelebihan Adam yang berguru secara langsung kepada Allah yang bersifat Maha Mulia. Justeru kelebihan Adam a.s. bahawa ia juga manusia berdasarkan sejauh mana ia mendapatkan ilmu sehingga membawa khasyatul Allah (takutkan Allah), juga makrifah sehingga dapat membezakan hak-hak ubudiah dan hak-hak uluhiyyah.

Adam a.s. disebut di dalam al-Quran sebagai manusia pertama ciptaan Allah. Sebahagian ulama menyebut: ``Dinamakan Adam itu sebagai Adam kerana diambil daripada kalimah `Udmah', yang mewakili kepada warna dan jenis tanah.'' Inilah yang dinyatakan oleh kebanyakan ulama tafsir seperti as-Syaukani di dalam Fath al-Qadir. Di dalam al-Khassaf dinyatakan bahawa nama Adam adalah nama a'jam (bukan Arab). Adam a.s. sebagai bapa kepada sekalian manusia. Daripadanyalah berkembang-biak manusia dengan beraneka warna kulit, bahasa, bangsa, peradaban dan lain-lain. Kenabian Adam merupakan keimanan dengan rasul-rasul dan nabi-nabi yang wajib diyakini. Buku-buku Qasas al-Anbiya' seperti karangan Ibn Kathir dan lainnya, banyak mengulas secara terperinci kisah nabi-nabi terdahulu termasuk Adam.

Seterusnya Allah menyebut: Kemudian ditunjukkannya kepada malaikat. Selepas pengetahuan dan ilmu diterima oleh Adam, Allah sengaja bertanya kepada sekalian malaikat mengenai nama-nama dan fungsinya bagi menunjukkan hikmah Allah terhadap ciptaan manusia seraya berkata: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.

Di dalam Tafsir at-Tabari, kata ibn Jarir, ``Paling aula kita takwil ayat ini berdasarkan Ibn Abbas, iaitu jika sekiranya kamu mengetahui kenapa Aku jadikan di bumi khalifah. Tunjukkan dan jelaskanlah kepada-Ku dengan segala nama-nama makhluk yang engkau lihat, jika sebenarnya dakwaan kamu itu bahawa kamu lebih berhak dan layak memegang tampuk khalifah daripada manusia. walhasil, Allah telah menzahirkan kelebihan Adam kepada malaikat dengan ilmu pengajaran-Nya yang tidak diketahui oleh para malaikat dan dikhususkannya dengan makrifah yang sempurna daripada segala nama, benda, jenis dan bahasa sehinggalah mereka mengiktiraf kelemahan mereka.

Syeikh Ali as-Syarbaji di dalam tafsirnya, Al-Basyair berkata: ''Ditunjukkannya', sebenarnya ganti nama banyak kerana segala nama apabila dihimpunkan antara yang berakal dengan yang tidak akan dita'bir dengan lafaz yang berakal sebagai taglib (penguasaan).'' Ibn Jarir di dalam tafsirnya berkata: ``Perkhabaran daripada Allah ini yang menyebut tentang malaikat-Nya kembali kepada-Nya, berserah ilmu yang tidak

diketahui kepada-Nya, di samping berlepas diri daripada mendakwa mengetahui atau mempunyai ilmu kecuali apa yang diajarkan oleh Allah. Ayat ini menjadi pengajaran bagi mereka yang mengambil iktibar dan peringatan bagi sesiapa yang ingin mengambilnya, di samping penerangan bagi sesiapa yang mempunyai mata hati atau pendengaran yang baik.

Sunatullah

Syeikh Muhammad Rasyid Ridha menyebut di dalam tafsirnya, Al-Manar: ``Telah berlaku sunatullah pada makhluk-Nya bahawa diajar segala hukum-hukum untuk dilaksanakan ke atas mereka melalui lidah-lidah rasul-rasul yang dipilih di kalangan mereka sebagai khalifah. Yang demikian itu kerana manusia yang menzahirkan segala hukum Allah, sunah-sunah-Nya, iaitu syarak. Begitu juga menzahirkan hikmah-Nya dan sunah ciptaan tabiat yang melayakkannya menjadi khalifah. Allah memberi keistimewaan kepada manusia, lain daripada makhluk-Nya berasaskan kepada kenyataan wahyu, penglihatan zahir dan ujian bahawa Allah menciptakan alam dengan berbagai-bagai jenis tetapi dikhususkan setiap jenis selain manusia, dengan sesuatu yang terhad dan terbatas yang tidak mampu melampauinya. Adapun yang tidak kita ketahui seperti malaikat kecuali dengan wahyu.

Didapati ayat-ayat dan hadis menunjukkan tugas dan tanggungjawab mereka terhad mengikut peranan yang ditentukan Allah. Ada yang bertasbih, sujud, rukuk dan sebagainya. Adapun apa yang kita ketahui melalui penglihatan atau pengalaman seperti jamadat (benda beku seperti tanah, batu dan kayu). Didapati semuanya ini tidak mempunyai ilmu dan amalan. Begitu juga keadaan tumbuhan yang hanya memberi kesan untuk dirinya.

Justeru setiap yang hidup sama ada yang dapat dilihat atau sebaliknya, mereka sebenarnya mempunyai persediaan yang terbatas, ilmu yang terhad dan amalan yang ditentukan. Oleh itu, keadaan ini tidak layak untuk menjadi khalifah. Berbanding manusia, sekalipun Allah menciptanya daif dan jahil seperti kenyataan di dalam al-Quran, akan tetapi dengan kedaifan dan kejahilannya memberi pengajaran bagi sesiapa yang ingin mengambilnya, juga menjadi amat ajaib.

Ini kerana bersama kedaifannya, mampu mentadbir yang kuat-kuat, dan bersama kejahilannya dapat mengetahui beraneka macam nama. Contohnya, binatang dilahirkan dengan pengetahuan berdasarkan ilham, segala yang mendatangkan manfaat dan mudarat, dan sempurnalah kekuatannya dalam masa yang singkat.

Sebaliknya manusia dilahirkan tanpa sebarang ilham kecuali teriakan dan tangisan. Kemudian selepas beberapa ketika ia memahami sedikit demi sedikit. Begitu juga kekuatannya sehingga mampu menguasai alam, di mana kekuatan yang asing itu dikenali sebagai akal. Dengannya dapat mengkayakan manusia berbanding haiwan yang lain, sehingga ciptaan-ciptaan yang menarik dan unik sentiasa tidak berkesudahan. Manusia dengan kekuatan ini tanpa batasan dan sekatan, sama ada dari segi ilmu dan amal sekalipun daif tetapi mampu menyusun dan mentadbir alam ini dengan izin Allah kerana kurniaan-Nya dengan kepelbagaian ilmu di samping hukum-hukum dan syariat-Nya untuk diamalkan.

Ditambah pula dengan kesempurnaan akal yang dibaja sehingga berkembang dan melayakkannya menjadi khalifah. Sebab itu banyak ciptaan yang dapat dilihat berasaskan bahan-bahan galian sama ada di laut atau daratan. Semuanya memudahkan kehidupan ini ke arah yang lebih selesa, di samping manusia mampu mengambil peluang daripada segala jenis makhluk dalam melayari kehidupan ini. Tambahan pula dengan ciptaan Allah yang unik terhadap manusia sebagai khalifah. Bagaimana mungkin malaikat tidak merasa takjub?

* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.








 
Ibadat pada sepertiga malam pertingkat kemanisan iman
04.25.05 (5:13 pm)   [edit]

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir


SESEORANG yang beriman perlu selalu menilai keimanannya. Untuk itu, individu berkaitan perlu memahami erti keimanan sebenar. Begitu juga perlu mengetahui apa isi kandungan agama Islam yang dianutinya.


Islam adalah agama syumul kerana di dalamnya terkandung pemahaman luas terhadap semua aspek kehidupan. Keimanan dalam Islam adalah satu keimanan menyeluruh.

Islam adalah penutup kepada ajaran Tauhid yang bermula seawal ketika Allah menurunkan nabi Allah Adam ke bumi dan menjadikan bumi sebagai tempat undang-undang Allah itu bertapak.

Sejak itu, Islam kuat tertanam dalam hati setiap manusia yang diberi hidayah oleh Allah. Islam berupaya menyediakan manusia dengan segala keperluan hidup, terutama sebagai kepercayaan iaitu keimanan yang sebenarnya. Ia juga sebagai petunjuk di dunia dan akhirat.

Islam mampu menjawab masalah hakikat kehidupan, kematian, pahala dan dosa. Paling utama, Islam menjadi petunjuk kepada manusia untuk mengatur kehidupan di dunia ini.

Islam menyediakan undang-undang dan peraturan yang mampu mendorong manusia mengendalikan urusan kehidupan mereka. Seterusnya, membawa kepada kebahagiaan (sa'adah) di dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan perjalanan rasul terdahulu. Dengan kedatangan Nabi Muhammad, maka sempurnalah Islam sebagai agama Allah untuk seluruh umat manusia. Tiada lagi utusan Allah selepas Rasulullah. Tiada lagi agama, selain Islam yang diredai Allah. Hal ini seperti firman-Nya bermaksud: "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu."

Bagaimanakah yang dikatakan Islam sebagai agama lengkap untuk segenap umat manusia? Penjelasannya boleh didapati daripada banyak dimensi, antaranya yang utama:


Dimensi keimanan

Islam mengandungi satu penyelesaian lengkap untuk persoalan keimanan. Iman dalam Islam merangkumi semua perkara yang manusia perlu tahu. Antaranya persoalan mengenai tuhan, sifatnya, dimensinya, keagungannya dan kekuasaannya. Banyak fahaman yang cuba untuk menyelesaikan persoalan mengenai ketuhanan. Bagaimanapun, kebanyakannya memberi penyelesaian komplikasi apabila cuba pergi lebih jauh mengenai masalah ini.

Islam mampu memberi jawapan lebih mudah untuk manusia memahaminya dan menggunakannya dalam kehidupan seharian. Allah menjadikan agama Islam mudah difahami dan dipraktikkan dalam urusan harian manusia.


Dimensi ibadat

Sepanjang perjalanan sejarah, manusia sentiasa mencari satu cara bagaimana untuk berinteraksi dan berhubungan dengan alam di luar alam fana ini. Disebabkan oleh kebolehan dan sumber terhad pada manusia, mereka membentuk jalan sendiri untuk menghubungkan diri dengan alam tinggi.

Bagaimanapun, selepas gagal untuk mencapai ketenangan abadi, manusia terus mencari hingga mendapati jalan yang tepat untuk mencapai ketenangan itu. Islam tidak membiarkan manusia mencari sesuatu yang tidak dapat dicapainya. Islam memberikan manusia satu jalan yang paling baik untuk berhubungan dengan alam luar atau tinggi demi untuk mencapai hakikat ketenangan.

Aspek ibadat dalam Islam memimpin manusia dengan jalan yang betul menerusi pelaksanaan solat dan ibadat lain yang mudah serta mampu dilakukan oleh manusia.

Ibadat dalam Islam mempunyai cara pelaksanaan teratur serta objektifnya. Malah, konsep ibadat dalam Islam boleh menjadi lebih luas dan mencakupi keseluruhan kegiatan harian manusia jika bersandarkan kepada Allah.

Matlamat akhir seluruh ajaran Islam adalah pembentukan akhlak mulia. Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Riwayat Ahmad ibn Hanbal).

Hal itu menunjukkan seseorang Islam dan beriman perlu menampilkan akhlak mulia dalam kehidupannya. Akhlak mulia juga bukti keimanan seseorang. Untuk melahirkan akhlak mulia, perlunya proses tazkiyah al-nafs berterusan. Proses ini merangkumi banyak aspek penyucian jiwa, termasuk mujahadah al-nafs dan muhasabah al-nafs.

Proses melawan kehendak nafsu al-ammarah dan menilai serta menghisab perbuatan sendiri perlu dilakukan. Ia untuk memastikan orang beriman tidak akan terus tersasar dan hanyut dengan godaan syaitan, yang sentiasa cuba memanipulasikan kehendak nafsu al-ammarah manusia.

Iman perlu dimantapkan dan perbaharui dari semasa ke semasa. Keimanan perlu dibaja. Hal ini seperti maksud hadis Rasulullah: “Sesungguhnya iman menjadi lusuh dalam diri salah seorang kamu, maka pohonlah kepada Allah supaya memperbaharui iman dalam hati kamu." (Riwayat al-Thabrani)

Iman juga perlu dihayati untuk merasakan kemanisannya. Kemanisan iman hanya akan dapat dinikmati jika ia sentiasa dibaja dan disirami.

Antara mekanisme memantapkan iman untuk merasakan kemanisannya adalah melalui ibadat yang dilakukan pada waktu malam. Kelebihan beribadat pada sepertiga malam ini banyak dijelaskan dalam al-Quran. Maksud firman Allah dalam surah al-Muzammil, ayat 6: "Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan."

Kesimpulannya, iman perlu difahami, dinilai dari semasa ke semasa serta dibaja dan dihayati. Langkah ini perlu dilakukan secara berterusan demi mencapai nikmat kemanisan iman itu.

Keimanan tidak semestinya sesuatu yang hanya dikatakan bertempat di hati tanpa perlu difahami ertinya dan merasakan kemanisannya. Seterusnya, kemanisan iman yang akan menggerakkan kita mematuhi segala perintah Allah dengan penuh keikhlasan.
 
"GERHANA PADA BULAN RAMADAN TAHUN INI, APAKAH IMPLAKASINYA ?"
04.24.05 (7:57 pm)   [edit]
Assalamualaikum wr wb

Takde nota dari ustaz ttp
Sebagaimana permintaan teman2 yg tidak sempat dtg, berikut catatan ringkas saya mengenai syarahan yg bermanafaat dari Ust Firdaus Yahya.

Saya bermohon dilindungkan dari kesilapan dan kecuaian.

Antara lain:

Pembukaan:
1. Kebetulan esok malam akan berlaku Gerhana Bulan Separa (sekejap shj dr sekitar maghrib hingga Isyak)
2. Adakah betul dakwaan berita yg tersebar luas melalui emel - dakwaan bahawa akan berlaku gerhana ~ akan berlaku bencana & apa yg perlu kita buat
3. Betulkah Imam Mahadi akan keluar apabila berlaku gerhana

Kepercayaan2 yg mengarut:
a) Masyarakat Cina - Gerhana Matahari ialah krn Naga menelan Matahari maka itu mereka membuat perarakan menghalau naga sehingga naga memuntahkan semula matahari ~ macam betul, ttp yg betulnya ialah gerhana ada tempoh (sementara sahaja)

b) India/Hindu - percaya ada balak, sesuatu yg tidak bertuah akan berlaku dan mereka tak mahu keluar rumah

c) Arab - gerhana berlaku krn akan lahir atau mati seseorang yg sangat besar darjatnya ~ musibah besar.

Sebenarnya semasa hayat nabi pernah berlaku pada 29 Syaaban Gerhana di Medinah. Kebetulan anak lelakinya yg bernama Ibrahim meninggal dunia. Walau demikian dlm keadaan sedih Rasulullah saw yg bersifat amanah telah menerangkan (beliau memberi khutbah di Masjid Nabawi) bahawa peristiwa gerhana bulan atau matahari bukan kerana kematian, ttp ia adalah satu tanda
kebesaran Allah swt, lumrah dan sunatullah.

Tanda2 kebesaran adalah supaya kita berfikir
Kalau berlaku segera kita mengingati Allah ~ dapat lihat kebesaran Allah swt

Ini telah diterangkan melalui firman Allah swt dlm surah Al-Imran ayat kita dianjurkan supaya berfikir. Org yg berakal - menggunakan akalnya untuk mengingat Allah. Berfikir dan mengkaji akan kejadian, belajar tentang ilmu alam, sains dsb. Itu yg digalakkan oleh Islam. Setiap sesuatu kejadian ada sebab dan menyuruh kita fikir. Misalnya kenapa Allah jadikan kuman, semut
lebah dsb, semua bersebab. Bukan setakat melihat, ttp mengkaji serta cari manafaatnya dan berdoa. Kita perlua mempelajari dan ambil tahu tentang sifat2 cakerawala spt panasnya, jarak dsb.

Kemudian ayat berikutnya dari surah tersebut mengalakkan kita berdoa. Doa2 tersebut digalakkan kita amalkan apabila terjaga malam. Berdoa kemudian
solat sunat.

GERHANA TANDA KEBESARAN ALLAH SWT

Setiap tahun ada 4 atau 5 kali gerhana, berselang antara gerhana bulan dan gerhana matahari

Ia bukan satu yg ganjil atau ajaib, ttp sunatullah.

Tahun ini (2005) ada 4 gerhana telah dan akan berlaku
1. Gerhana Mahatari Cincin - telah berlaku pada awal Rabiul Awal kelmarin berlaku di tengah lautan Pacific Ocean ke benua Amerika Selatan

2. Esok Gerhana Bulan separa dapat dilihat di Singapura/Malaysia dan yg waktu maghrib/Isyak berhampiran

3. Gerhana Matahari Cincin lagi - akan berlaku pada 29 Syaaban (3 Okt 2005) dapat dilihat di Utara Benua Afrika termasuk dari Masjidil Haram Kita di daerah sini tidak dapat melihat krn pada waktu tersebut kita telah
mengalami malam (matahari dah tenggelam)

4. Gerhana Bulan Separa (bukan penuh) 15 hari selepas itu (13 Ramadan) akan berlaku sekitar maghrib sehingga selesai kita solat terawih di Masjidil Haram tidak nampak krn masih waktu Asar.

APABILA BERLAKU
yang digalakkan ialah mengerjakan solat sunat gerhana
solat ini special kerana:
~ setiap rakaat ada 2 fateha dan 2 rukuk
- jadi dua rakaat ada 4 rukuk dan 4 sujud
- ada khutbah boleh lah kita lakukan selepas berbuka

Nabi mengerjakan dengan membaca surah yg panjang iaitu
selepas fateha pertama - Surah Al-Baqarah,
kedua - Surah Al-'Imran
ketiga - Surah An-nisaa'
keempat - Surah Al-Maaidah

Tapi dlm keadaan kita wajarlah kita lakukan mengikut kemampuan kita

MENGENAI YG DINYATAKAN DLM EMEL (adalah berita angin yg tak manasabah)

Kepercayaan tersebut dinyatakan bersandarkan kpd satu hadis dari Jaafar Sadiq bahawa akan berlaku sesuatu yg tak pernah berlaku. Mengikut kajian ahli hadis paling tinggi di abad ketiga Al Darul Qutni bahawa difahamkan hadis tersebut disampaikan oleh Amar bin Syibir dari Jabir dari Mohammad b Ali.

Dalam sejarah tiada org kenal Jaafar Assodir dan siapa itu Mohammad b Ali. Tetapi tercatat bahawa Amar bin Syibir ialah pendusta besar dan tak boleh dipercayai
maka apabila ada hadis dari beliau tak payah dikaji.


Siapa pula Khalid bin Mi'dan ?
Tak tercatat dlm sejarah

Kalau ada, mana logiknya org pada zamannya menyuruh membuat persiapan setahun yg melibatkan:
Beras - org Arab makan gandum
Minyak petrol - zaman dulu mana ada
Dan senarai lain - sama ada logiknya pada zamannya
1. Beras
2. Gula
3. Susu
4. Garam
5. Lada
6. Gandum
7. Bawang
8. Gas memasak
9. Minyak tanah
10. Minyak masak
11. Minyak petrol
12. benih-benih sayur
13. Baja
14. Mancis
15. Sabun basuh
16. sabun mandi
17. Basikal/Motor + sparepart

Kita perlu nilai dan berfikir !!!

Gerhana pada bulan Ramadan adalah perkara biasa dan pernah berlaku sebelumnya seperti:

Tahun 2003 - Gerhana bulan pada pertengahan Ramadan yg dapat dilihat di Mekah dan Gerhana matahari pada hujung Ramadan - ttp tak keluar2 pun
Imam Mahadi ?

Malahan pada tahun 634M - zaman Sayidina Abu Bakar ra pun pernah berlaku.

Dan sudah banyak kali berlaku - 159 kali yg dapat dilihat secara jelas atau tidak


PENUTUP

Ust sarankan kita sebagai umat Islam jangan mudah diperkotak katikkan oleh anasir2 yg merosakkan kita, baik dari segi aqidah, kefahaman dan sebagainya.
Mereka perbodohkan kita dan tertawa.

Maka perlu kita jadi org yg berilmu, berfikir, mengkaji dan menjadi pakar.

Satu lagi jgn kita suka dan mudah2 saje terima emel, sebarkan. Terima dan sebarkan. Jika kita kurang faham tanyakan kpd yg arif. Krn bahayanya ialah
bila kita sebarkan kpd org yg terus percaya dan menjadi mangsa darinya.



Wallahualam
Mudah2an yg ringkas itu dapat difaham dan menjadi manafaat

Wassalam

 
MUHASABAH:.....Samer2 Fikirkan..
04.24.05 (7:52 pm)   [edit]


Majlis akad nikah itu baru sahaja usai. Saya dan beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenali menarik tangan saya dan berrtanya, "Kenapa orang sekarang kahwin lambat sangat?" Saya lantas bertanya, "Tuk dulu kahwin cepat?"
"Umur 15 tahun, nenek kau dah dapat anak seorang..."
Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di tingkatan 5 sekarang.
Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah mempunyai anak.
"Bahagia Tuk?"
"Tak bahagia apa... anak Tuk 12 orang!"
Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur dengan angka.
"Saya berkahwin pada umur 21 tahun. Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh saya tak sabar," adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi.

"Tak sabar? Pelik, kalau zaman Tuk, tu kira terlajak dah tu!"
"Betulkah saya tak sabar, Tuk? " tanya saya semacam mengusik.
"Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat.
Selamat dari maksiat.
Kalau betul tak sabar, Tuk ni lagilah tak sabar...
umur 17 tahun dah kahwin, heh, heh, heh..."
"Setuju tak Tuk kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal cepat lambat, tapi soal dah bersedia atau tidak?"
"Setuju. Tapi kena hurailah maksud persediaan tu..."
tajam Tuk membalas.
"Kalau ikut pandangan Tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?"
"Soal ni tak boleh agak-agak... Mesti tepat."
Terkedu saya dibuatnya. Tuk ni bukan sebarang orang.

"Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur... Asal akil baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan yang sihat, pendapatan yang cukup, tapi yang penting kematangan diri... Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang."
Saya menung panjang. Tertikam di sudut hati petanyaan, sudahkah saya matang sewaktu mula berkahwin dahulu?

"Jangan menung... Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul... nanti tak kahwin pula!" usik Tuk seperti dapat membaca fikiran saya. Walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak dapat ditimba di mana-mana menara gading.
"Macam mana nak matang?" tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini. Terasa terlambat!
"Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dan kawan-kawan...
umur sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu fardu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah OK. Bila sudah baligh buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggung jawab suami, isteri dan asas-asas kerukunan rumah tangga."

"Itu sahaja? Ilmu lain?" soal saya pendek.
"Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan... ikut keadaan zaman tulah. Tuk ni tak nasib baik... kerja kampung sahaja, guna tulang empat kerat, buka tanah.
Itulah dusun yang Tuk kutip hasilnya sampai sekarang ni..."
"Tapi sekarang Tuk dah senang. Dengarnya dah dua kali naik haji."
"Tak senang. Tapi mudah-mudahan... tenang. Tulah doa Tuk, biar hidup kita tenang."

"Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal.
"Ni agak Tuklah. Budak sekarang tak macam dulu. Mereka ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar... tapi sekarang lain, umur dah 23 tahun pun masih bergantung kepada emak bapak. Nak jadi imam?
Jauh sekali."
Terbayang kekesalan di wajahnya. Dia menyambung, "Sekali tu Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan tuk kadhi. Bila tanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang dihafalnya rukun nikah saja..."

"Kalau macam tu macam mana?"
"Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas, belum lagi ilmu... apa orang kata... ... parenting skill."
"Tuk pun tahu parenting skill?"
"Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv, ceramah, buku-buku... ah, macam-macam."
"Tapi Tuk, kalau tak kahwin pun susah juga... Nanti terjebak dengan maksiat," kilas saya.
"Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai. Lepas satu disambung satu.
Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya... Ilmu tauhid, fekah dan akhlak perlu diasak di awal usia.
Diiring ilmu akademik. Jadi, bila dah nak kahwin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material ada."

"Macam mana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan agama?"
"Apapun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama... sampai mati pun tak akan habis dituntut.
Cukuplah sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin. Begitu juga soal material, soal kerja, profesion... Ni pun tak akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada..."
"Tuk lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?"
terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari.

"Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran Islam, keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak dikahwinkan, membuat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab."
"Antara dua keadaan ni... yang mana patut kita pilih?"
"Perlukah kita buat pilihan? Pada Tuk... pilihlah keadaan yang tidak memaksa kita membuat pilihan!"
Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana!

betul gak.pendapat kalian?ermmm...fikir2 kan
 
Secebis Renungan....
04.19.05 (9:44 pm)   [edit]
Assalamualaikum Wrt Wbt

Sempena Maulidur Rasul yg akan tiba beberapa harilagi, marilah sama-sama kita mengimbas kembali ajaran-ajaran Allah SWT melalui Baginda Rasullullah SAW dan mencontohi teladan Baginda. Kita umat Muhammad, umumnya orang Islam selalu mengatakan bahwa Baginda Rasullullah yg patut kita contohi. Tapi apa yg harus kita contohi????

Ucapannya? Perbuatannya? atau Hatinya??

Di dalam Surah 33 Al Ahzab Ayat 21 :

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.”

1. Rasullulah tidak putus2 mengharapkan rahmat dari Allah.

2. Yakin sebenar-benar yakin akan adanya hari perhisaban/pembalasan iaitu hari akhirat.

3. Banyak2 Ingat Allah.

Jika kita ingin mencontohi teladan Rasullulah, haruslah dengan keseluruhannya, iaitu ucapannya, perbuatannya dan hatinya sesuai dengan ayat berikut yg menyuruh kita masuk Islam keseluruhannya.

Surah 2 Al Baqarah Ayat 208:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.”



Adakah kita Islam?

Jika kita mengeluarkan kata-kata kesat, nista, maki hamun, caci mencaci, herdik menherdik dan yg sewaktu dengan nya???

Adakah kita Islam?

Jika kita melakukan perbuatan yg melanggar hukum-hukum, merompak, menfitnah, sombong, tinggi diri, pandang rendah kpd orang dan yang sewaktu dengan nya???

Adakah kita Islam?

Jika hati kita selalu merasa irihati, hasad dengki, dendam mendendami, buruk sangka, ujub, riyaa dan yang sewaktu dengan nya???

Marilah kita sama2 menrenungi dalam2 diri kita, adakah kita ini telah Islam keseluruhan nya??

Apakah yang sebenarnya diutuskan kepada Nabi untuk disampai kepada manusia??

Mari kita imbas kembali dari mana datangnya Nabi Muhammad.

Pernah Jabir bertanya kepada Rasullullullah : Sebelum Ada yang ada, apa2 tidak ada, apa yang ada?

Berkata Rasullullah bahawa sebelum apa2 yg ada; dunia, syurga, neraka, malaikat, iblis, jin dan makhluk belum ada, yang ada adalah 'Zat Wajibul Wujud'. 'Zat' yang wajib ada.

Maka Zat pun berkata dengan sendirinya “Aku adalah gudang rahsia yang tersembunyi. Aku ingin agar Aku dikenali. Maka Aku ciptakan makhluk2 untuk mengenali Aku.” Lalu Zat menciptakan Nur Mohd dan segala Alam ini dijadikan untuk Nur Mohd. Lalu Zat mengenalkan dirinya pada Nur Mohd.

“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku.” (Surah 20 Thaahaa : 14)



Bagaimana hendak meyembah kalau kita tidak kenal Allah???



Sebelum manusia mengenal Allah, para Rasul2 lah yang mula mengenal dulu. Lalu diutuskan Nabi Allah Adam A.S., Nabi Allah Ibrahim A.S. sehinggalah Nabi terakhir, penutup segala Nabi dan zahirlah Kekasih Allah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah iaitu Nabi Muhammad S.A.W.



Selama 15 tahun Rasullullah mengasingkan diri dan berkhalwat di gua Hira’ hinggalah usia Beliau 40 tahun apabila menerima wahyu yang pertama. Lalu Beliau diangkat Allah menjadi Pesuruh dan Bahasa Al Quran menjadi RasulNya.



Jadi apakah misi Rasullullah diutuskan kepada manusia?



Pertama : Melepaskan manusia dari alam kesesatan dan jangan ada manusia yang sujud/menyembah selain Allah. Lalu dikenalkan Allah kepada umatnya supaya dapat berhubung langsung dengan Allah. (Hablumminallah)



Kedua : Memperbaiki moral, akhlak dan budi pekerti manusia.



Ketiga : Perhubungan yang baik sesama manusia, umumnya saudara Islam. (Hablumminnannas)



Keempat : Mengajak manusia membangun Dunia dan Akhirat. Bekerja keraslah kamu banting tulang untuk mencari duniamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya dan bekerja keraslah kamu untuk Akhiratmu mungkin esok kamu akan mati.



Hadis Muslim Jilid II yg berbunyi :

“Ketahuilah olehmu kewajipan pertama manusia adalah Mengenal Allah”

dan juga Hadis Bukhari yang berbunyi :

“Sesungguhnya asal mula ajaran Islam itu ialah Mengenal kepada siapa kita menyembah”

Jibrail pernah berjumpa dgn Rasullullah dan bertanyakan tentang ‘Apa Itu Islam’?

Rasullullah tidak pernah menjawab bahwa Islam itu mengucap dua kalimah syahadat tapi Rasullullah menjawab: Menyaksikan Allah dan Menyaksikan Muhammad Rasullullah, Solat, Puasa, Zakat dan menunaikan Haji.

Kalau kita semua sudah dapat menyaksi Allah barulah dirikan solat dan sembah Allah. Kalau kita tidak kenal…. tidak sah segala Ibadah kita tanpa kita mengenal..



Bagaimana mahu menyaksi kalau tidak kenal Allah?



Di dalam solat kita lafazkan “Aku Naik Saksi Bahwasanya tiada Tuhan selain Allah dan Naik Saksi Aku Muhammad Pesuruh Allah”. Itukan Pembohong namanya,

Sudahkah kita menyaksikan Allah??? Kalau sudah saksi, barulah lafazkan dua kalimah syahadat.

Tapi kalau belum menyaksikan, syahadat kita itu bagaimana???

Hanya dilidah sahaja, tidak membawa apa2 pengertian.



Dalam Ilmu syahadat ada 2 perkara. Pertama diikrarkan dilidah dan kedua ditasdiqkan dihati. Dilidah kita ucapkan dalam bahasa Al Quran / Quraish dan di hati kita menterjemahkan didalam bahasa masing2. Kalau kita orang melayu terjemahnya ialah “Aku naik Saksi” atau “Naik Saksi Aku bahwasanya tiada Tuhan selain Allah” atau “Ada Tiada hanya Allah” itu memberi makna yang sama. Tapi adakah Tasdiq itu menterjemahkan? Apakah itu Tasdiq?? Tasdiq dihati adalah membenarkan hati bukan menterjemahkan. Hati membenarkan hati ialah hadirkan hati pada Allah dan ingat Allah bukan menterjemahkan. Kalau menterjemahkan bererti banyak tasdiqnya kerna didunia ini beratus bahasa. Maka itu apabila diucap syahadat dilidah, dihati ingat Allah.



Bagaimana mahu ingat kalau tidak kenal Allah. ??

Setiap hari kita solat kita menghadap wajah kita pada siapa?? Menghadap pada Allah kan?? Sesuai dgn doa Iftitah yg kita ucapkan. Jadi Allah itu dimana?? Di depan, di samping atau di atas? Dari kecil hingga dewasa, ustaz2 mengajarkan kita bahwa kalau ingin menyerah, menyerah diatas; kalau memohon, memohon diatas; kalau sujud, sujud yang diatas. Jadi apa ada di atas?? Diajarnya yang diatas itu Allah. Apa buktinya Allah diatas.



Buktinya ialah apabila Rasullullah Mikraj berjumpa dengan Allah dan pada masa itulah baru mendapat perintah solat. Dan juga ada beberapa ayat yang berkata demikian.



Surah 57 Al Hadid Ayat 4 :

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa; Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”



Jelas terbukti sudah yang Allah itu diatas. Percayakan yang Allah di atas. Kalau tidak percaya Al Quran, kafir namanya. Percaya Al Quran kan sebahagian dari rukun Iman. Tapi orang-orang yang percaya Allah itu diatas, munafik orang itu. Kenapa dipanggil Munafik? Kerna ucapannya dan perbuatannya tidak sama. Kalau Allah diatas kenapa solat tidak berbaring dan menghadapkan wajah kita kepada yang diatas seperti yang kita ucapkan didlm doa Iftitah; “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan (Musyrik).” (Surah 6 Al An’aam Ayat 79). Kalau Allah diatas, dibumi ini tidak ada Allah? Kalau Allah tidak ada dibumi maka Allah kalah pada udara kerna udara dimana-mana ada.



Bagaimana mahu tahu Allah dimana kalau tidak kenal Allah.



Bertanya lagi Jibrail; Apa itu Ihsan?

Rasullullah menjawab : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.



Macammana melihat Allah? Sedangkan Allah itu ghaib; malaikat, iblis, syaitan pun ghaib juga. Jadi mana yang Haq dan mana yang Batil? Mana Tuhan dan mana yang bukan Tuhan? Dimana dilihat? Apa yang dilihat? Pakai apa melihat? Tapi usah khuwatir kerna dijelaskan juga jika kamu tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah melihat kamu. Memang benar Allah Maha Melihat, bukan orang yang solat dan beribadah saja yang dilihat, orang yang berbuat maksiat pun dilihat oleh Allah. Apalagi kita solat. Allah melihat kita solat tapi apa kita lihat dalam solat? Macam2 kita lihat; orang yang kita kasihi, rumah kita, kerja kita dan mcm2 lagi.



Surah 23 Al Mu’minuun : ayat 1-2: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya”



Orang-orang yang kusyu’ dlm solat beruntunglah mereka, tetapi bagi yang tak khusyu’.... tak beruntunglah mereka iaitu mereka rugi.... dan tidak dapat apa2. Maka kecelakaan bagi mereka yang lalai dalam solat.



Surah 107 Al Maauun : ayat 4-5 : “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya”



Jadi Apa itu khusyu’? Ustaz2 mengajarkan pada kita jika solat harus ditasdiqkan didalam hati apa yang diucapkan. Jadi tasdiq itu sama juga terjadi dengan ucapan syahadat tadi. Tasdiq itu hanya menterjemahkan dan faham ertinya. Jadi kenalah belajar terjemahannya serta ertinya. Itu yang disuruh ustaz2 tapi apa yang Allah suruh? Dirikan solat untuk mengingat Aku bukannya ingat erti. Kalau ingat erti nanti apabila baca surah Al Lahab teringat Abu Lahab, jika baca surah Quraish teringat orang2 Quraish atau surah Al Fiil teringat pula tentera gajah. Tapi tidak salah mempelajari terjemahan atau erti, belajar erti untuk faham isi kandungan Al Quran tapi dalam soal Ibadah disuruh Ingat Allah dan bukan yang lain selain Allah.



Zaman sekarang Ingat Allah disalahertikan, bahwa solat itu adalah Ingat kepada Allah. Solat itu bukan ingat tapi perintah solat, dirikan solat untuk ingat yang memerintah iaitu Ingat Allah.



Suran 4 An Nisaa : 103

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah shalat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”



Jika diperhatikan ayat diatas, kita disuruh ingat Allah bila-bila masa saja tidak kira dimana kita berada. Jika melakukan solat itu diertikan ingat Allah, cuba kita buktikan. Lakukanlah solat bila kita berjalan kerna solat itukan Ingat, maka bolehkah kita lakukan? Kalau tidak boleh maka solat itu bukan ingat. Ada pula yang mengatakan kita ingat Allah apabila kita bertasbih atau bertahmid seperti “Alhamdullillah”, “Subhanallah”, “Allahu Akhbar” dll, itu pun bukan ingat, itu hanya puji-pujian bagi Allah. Jika memuji itu ingat Allah, cuba kita buktikan. Sambil berjalan jangan putus2 bertasbih atau bertahmid dan jika ke tandas pun haruslah membacanya. Dalam tandaskan tidak digalakkan membacanya, jadi ucapan itu pun bukan Ingat Allah.



Bagaimana mahu Ingat Allah kalau tanpa Ilmu.



Bab syahadat dan solat telah dikupaskan. Bagaimana pula orang pergi menunaikan Haji tanpa Ilmu. Sungguh kasihan orang-orang yang pergi Haji tanpa Ilmu.



Ka’abah itu apa? Ka’abah itu dipanggil Baitullah atau “Rumah Allah”. Cuba masuk kedalam Ka’abah itu, adakah Allah didalam situ? Kata rumah Allah. Pada zaman jahiliah Ka’abah itu diisikan dengan patung sehinggalah Nabi Mohd membersihkan dan mengeluarkan patung2 itu. Jadi kenapa sebenarnya Ka’bah itu dibina? Apabila Nabi Allah Adam A.S. diturunkan kebumi, Beliau berdiri disitu selama 40 tahun mengingat Allah sambil memohon ampun dari Allah. Setelah itu dibinanya Ka’abah. Ka’abah itu kan dibina oleh manusia, tak kan sekecil itu Allah sehingga rumahnya dibina oleh manusia? Maka sebenarnya Ka’abah itu dibina adalah tempat untuk mengingat Allah.



Berkata Rasullullah bahwa Di akhir zaman nanti banyak binatang-binatang yang akan tawaf (mengelilingi) Ka’abah.



Jika diikut kan akal dan logic, mana mungkin binatang-binatang itu dapat masuk ke Masjidil Haram mengelilingi Ka’abah pada masa sekarang. Itukan mustahil.



Surah 39 Az Zumar : ayat 22

“Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.”



Surah 7 Al A’raaf ayat 179 :

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”



(Surah 58 Al Mujaadilah : ayat 19)

“Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.”



Mereka yang tak Ingat Allah ialah mereka yang lalai dan dianggap sebagai binatang ternak bahkan lebih sesat lagi. Setelah berilmu barulah kita mengerti apa yang dikatakan oleh Rasullullah tentang binatang-binatang yang akan mengelilingi Ka’abah.



Sudahkah kita Mengenal Allah, Menyaksikan Allah dan Ingat Allah???



 
Pernikahan Rasulullah dan khadijah
04.18.05 (10:29 pm)   [edit]
Bermimpi Matahari Turun Ke Rumahnya

Dia adalah Khadijah r.a, seorang wanita janda, bangsawan, hartawan, cantik dan budiman. Ia disegani oleh masyarakat Quraisy khususnya, dan bangsa Arab pada umumnya. Sebagai seorang pengusaha, ia banyak memberikan bantuan dan modal kepada pedagang-pedagang atau melantik orang-orang untuk mewakili urusan-urusan perniagaannya ke luar negeri.
Banyak pemuka Quraisy yang ingin menikahinya dan sanggup membayar mas kawin berapa pun yang dikehendakinya, namun selalu ditolaknya dengan halus kerana tak ada yang berkenan di hatinya. Pada suatu malam ia bermimpi melihat matahari turun dari langit,masuk ke dalam rumahnya serta memancarkan sinarnya ke semua tempat sehingga tiada sebuah rumah di kota Makkah yang luput dari sinarnya. Mimpi itu diceritakan kepada anak bapak saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal. Dia seorang lelaki yang berumur lanjut, ahli dalam mentakbirkan mimpi dan ahli tentang sejarah bangsa-bangsa purba. Waraqah juga mempunyai pengetahuan luas dalam agama yang dibawa oleh Nabi-Nabi terdahulu. Waraqah berkata: "Takwil dari mimpimu itu ialah bahwa engkau akan menikah kelak dengan seorang Nabi akhir zaman."
"Nabi itu berasal dari negeri mana?" tanya Khadijah bersungguh-sungguh."Dari kota Makkah ini!" ujar Waraqah singkat.
"Dari suku mana?"
"Dari suku Quraisy juga."
Khadijah bertanya lebih jauh: "Dari keluarga mana?"
"Dari keluarga Bani Hasyim, keluarga terhormat," kata Waraqah dengan nada menghibur.
Khadijah terdiam sejenak, kemudian tanpa sabar meneruskan pertanyaan terakhir: "Siapakah nama bakal orang agung itu, hai anak bapa saudaraku?"
Orang tua itu mempertegas: "Namanya Muhammad SAW.Dialah bakal suamimu!"
Khadijah pulang ke rumahnya dengan perasaan yang luar biasa gembiranya. Belum pernah ia merasakan kegembiraan sedemikian hebat. Maka sejak itulah Khadijah sentiasa bersikap menunggu dari manakah gerangan kelak munculnya sang pemimpin itu.

Nabi Muhammad Berniaga

Muhammad, bakal suami wanita hartawan itu, adalah seorang yatim piatu yang miskin sejak kecilnya,dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Thalib, yang hidupnya pun serba kekurangan. Meskipun demikian, bapa saudaranya amat sayang kepadanya, menganggapnya seperti anak kandung sendiri, mendidik dan mengasuhnya sebaik-baiknya dengan adab, tingkah laku dan budi pekerti yang terpuji.Pada suatu ketika, Abu Thalib berbincang-bincang dengan saudara perempuannya bernama 'Atiqah mengenai diri Muhammad. Beliau berkata: "Muhammad sudah pemuda dua puluh empat tahun. Semestinyalah sudah kahwin.Tapi kita tak mampu mengadakan perbelanjaan, dan tidak tahu apa yang harus diperbuat."
Setelah memikirkan segala ikhtiar, 'Atiqah pun berkata: "Saudaraku, saya mendengar berita bahwa Khadijah akan memberangkatkan kafilah niaga ke negeri Syam dalam waktu dekat ini. Siapa yang berhubungan dengannya biasanya rezekinya bagus, diberkati Allah SWT. Bagaimana kalau kita pekerjakan Muhammad kepadanya? Saya kira inilah jalan untuk memperolehi nafkah, kemudian dicarikan isterinya."
Abu Thalib menyetujui saranan saudara perempuannya. Dirundingkan dengan Muhammad, ia pun tidak keberatan. 'Atiqah mendatangi wanita hartawan itu, melamar pekerjaan bagi Muhammad, agar kiranya dapat diikut sertakan dalam kafilah niaga ke negeri Syam .Khadijah, tatkala mendengar nama "Muhammad", ia berfikir dalam hatinya: "Oh... inilah takbir mimpiku sebagaimana yang diramalkan oleh Waraqah bin Naufal,bahwa ia dari suku Quraisy dan dari keluarga Bani Hasyim, dan namanya Muhammad, orang terpuji, berbudi pekerti tinggi dan nabi akhir zaman." Seketika itu juga timbullah hasrat di dalam hatinya untuk bersuamikan Muhammad, tetapi tidak dilahirkannya karena khuatir akan fitnah.
"Baiklah," ujar Khadijah kepada 'Atiqah, "Saya terima Muhammad dan saya berterima kasih atas kesediaannya. Semoga Allah SWT melimpahkan berkatnya atas kita bersama.". Wajah Khadijah cerah, tersenyum sopan, menyembunyikan apa yang tersudut di kalbunya. Kemudian ia meneruskan: "Wahai 'Atiqah, saya tempatkan setiap orang dalam rombongan niaga dengan penghasilan tinggi, dan bagi Muhammad SAW akan diberikan lebih tinggi dari biasanya."
Atiqah berterima kasih, ia pulang dengan perasaan gembira menemui saudaranya, menceritakan kepadanya hasil perundingannya dengan wanita hartawan dan budiman itu. Abu Thalib menyambutnya dengan gembira. Kedua bersaudara itu memanggil Muhammad SAW seraya berkata: "Pergilah anakanda kepada Khadijah r.a, ia menerima engkau sebagai pekerjanya. Kerjakanlah tugasmu sebaik-baiknya." Muhammad SAW menuju ke rumah wanita pengusaha itu. Sementara akan keluar dari pekarangan rumah bapa saudaranya, tiba-tibalah ia mencucurkan air mata kesedihan mengenang nasibnya. Tiada yang menyaksikannya dan menyertainya dalam kesedihan hati itu selain para malaikat langit dan bumi.

Kesaksian Seorang Rahib

Tatkala kafilah niaga itu siap akan berangkat, berkatalah Maisarah, kepala rombongan: "Hai Muhammad, pakailah baju bulu itu, dan peganglah bendera kafilah. Engkau berjalan di depan, menuju ke negeri Syam! " Muhammad SAW melaksanakan perintah. Setelah iring- iringan keluar dari halaman memasuki jalan raya, tanpa sedar Muhammad SAW menangis kembali, tiada yang melihatnya kecuali Allah dan para malaikat-Nya.
Dari mulutnya terucap suara kecil: "Aduh hai nasib! Mana gerangan ayahku Abdullah, mana gerangan ibuku Aminah. Kiranyalah mereka menyaksikan nasib anakandanya yang miskin yatim piatu ini, yang justeru lantaran ketiadaannyalah sehingga terbawa jadi buruh upahan ke negeri jauh. Aku tidak tahu apakah aku masih akan kembali lagi ke negeri ini, tanah tumpah darahku. "Jeritan batin itu membuat para malaikat langit bersedih. Mereka memintakan rahmat baginya. Maisarah memperlakukan Muhammad SAW dengan agak istimewa, sesuai dengan wasiat Khadijah. Diberinya pakaian terhormat, kenderaan unta yang tangkas dengan segala perlengkapannya.
Perjalanan mengambil waktu beberapa hari. Terik matahari begitu panas sekali. Tetapi Muhammad SAW berjalan sentiasa dipayungi awan yang menaunginya hingga mereka berhenti di sebuah peristirehatan dekat rumah seorang Rahib Nasrani. Muhammad SAW turun dari untanya, pergi berangin-angin melepaskan lelah di bawah pohon yang teduh. Rahib keluar dari tempat pertapaannya. Ia hairan melihat gumpalan awan menaungi kafilah dari Makkah, padahal tak pernah terjadi selama ini. Ia tahu apa erti tanda itu karena pernah dibacanya didalam Kitab Taurat. Rahib menyiapkan suatu perjamuan bagi kafilah itu dengan maksud untuk menyiasat siapa pemilik karamah dari kalangan mereka.
Semua anggota rombongan hadir dalam majlis perjamuan itu, kecuali Muhammad SAW seorang diri yang tinggal untuk menjaga barang- barang dan kenderaan. Ketika Rahib melihat awan itu tidak bergerak, tetap di atas kafilah, bertanyalah beliau: "Apakah di antara kalian masih ada yang tidak hadir di sini? " Maisarah menjawab:
"Hanya seorang yang tinggal untuk menjaga barang-barang."
Rahib pergi menjemput Muhammad SAW dan terus menjabat tangannya, membawanya ke majlis perjamuan. Ketika Muhammad SAW. bergerak, Rahib memperhatikan awan itu turut bergerak pula mengikuti arah ke mana Muhammad SAW berjalan. Dan di saat Muhammad SAW masuk ke ruangan perjamuan, Rahib keluar kembali menyaksikan awan itu, dan dilihatnya awan itu tetap di atas, tidak bergerak sedikit pun walaupun dihembus angin. Maka mengertilah ia siapa gerangan yang memiliki karamah dan keutamaan itu. Rahib masuk kembali dan mendekati Muhammad SAW,bertanya: "Hai pemuda, dari negeri mana asalmu?"
"Dari Makkah".
"Dari qabilah mana?" tanya sang Rahib.
"Dari Quraisy, tuan!"
"Dari keluarga siapa?"
"Keluarga Bani Hasyim."
'Siapa namamu?"
"Namaku, Muhammad. "Serta merta ketika mendengar nama itu, Rahib berdiri dan terus memeluk Muhammad SAW serta menciumnya di antara kedua alisnya seraya mengucapkan: "Laa IlaahaIllallaah, Muhammadar Rasulullah."
Ia menatap wajah Muhammad SAW dengan perasaan takjub, seraya bertanya: "Sudikah engkau memperlihatkan tanda di badanmu agar jiwaku tenteram dan keyakinanku lebih mantap?"
"Tanda apakah yang tuan maksudkan?" tanya Muhammad SAW.
"Silakan buka bajumu supaya ku lihat tanda akhir kenabian di antara kedua bahumu!"
Muhammad SAW. memperkenankannya, dimana Rahib tua itu melihat dengan jelas ciri-ciri yang dimaksudkan.
"Ya....ya....tertolong, tertolong!" seru Rahib.
"Pergilah ke mana hendak pergi. Engkau terus ditolong!"
Rahib itu mengusap wajah Muhammad SAW, sambil menambahkan: "Hai hiasan di hari kemudian, hai pemberi syafa'at di akhirat, hai peribadi yang mulia, hai pembawa nikmat, hai nabi rahmat bagi seluruh alam!"
Dengan pengakuan demikian, Rahib dari Ahlil-Kitab itu telah menjadi seorang muslim sebelum Muhammad SAW. dengan rasmi menerima wahyu kerasulan dari langit.


Paderi-paderi Yahudi Gemetar Ketakutan

Pasar dibuka beberapa hari lamanya. Semua jualan laris dengan keuntungan berlipat ganda, mengatasi pengalaman yang sudah-sudah.
Kebetulan pada saat itu bertepatan dengan hari Yahudi, yang dimeriahkan dengan upacara besar-besaran. Muhammad SAW, Abu Bakar dan Maisarah keluar menonton keramaian itu. Tatkala Muhammad SAW memasuki tempat upacara untuk menyaksikan cara mereka beribadat, maka tiba-tiba berjatuhanlah semua lilin-lilin menyala yang bergantungan pada tali di sekitar ruangan, yang menyebabkan paderi-paderi Yahudi gemetar ketakutan.
Seorang di antara mereka bertanya: "Alamat apakah ini?"
Semuanya hairan, cemas dan ketakutan.
"Ini bererti ada orang asing yang hadir di sini," jawab pengerusi upacara.
"Kita baca dalam Taurat bahwa alamat ini akan muncul bilamana seorang lelaki bernama Muhammad SAW, Nabi akhir zaman, mendatangi hari raya agama Yahudi. Mungkinlah sekarang orang itu berada di ruangan kita ini. Carilah lelaki itu, dan kalau bertemu, segeralah tangkap!"
Abu Bakar r.a, sahabat Muhammad SAW sejak dari kecil,dan Maisarah, yang mendengar berita itu segera mendekati Muhammad SAW yang berdiri agak terpisah, dan mengajaknya keluar perlahan-lahan di tengah-tengah kesibukan orang yang berdesak-desakan keluar masuk ruangan.
Tanpa menunda waktu lagi, Maisarah segera memerintahkan kafilah berangkat pulang ke Makkah. Dengan demikian tertolonglah Muhammad SAW dari kejahatan orang- orang Yahudi


Nabi Muhammad Pulang Ke Makkah

Biasanya dalam perjalanan pulang, kira-kira jarak tujuh hari lagi mendekati Makkah, Maisarah mengirim seorang utusan kepada Khadijah r.a, memberitahukan bakal kedatangan kafilah serta perkara- perkara lain yang menyangkut perjalanan. Maisarah menawarkan kepada Muhammad SAW: "Apakah engkau bersedia diutus membawa berita ke Makkah?" Muhammad SAW berkata: "Ya, saya bersedia apabila ditugaskan".
Pemimpin rombongan mempersiapkan unta yang cepat untuk dinaiki oleh utusan yang akan berangkat terlebih dahulu ke kota Makkah. Ia pun menulis sepucuk surat memberikan kepada majikannya bahwa perniagaan kafilah yang disertai Muhammad SAW mendapat hasil laba yang sangat memuaskan, dan menceritakan pula tentang pengalaman- pengalaman aneh yang berkaitan dengan diri Muhammad SAW.
Tatkala Muhammad SAW menuntun untanya dan sudah hilang dari pandangan mata, maka Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s .:
"Hai Jibril, singkatkanlah bumi di bawah kaki-kaki unta Muhammad SAW!
Hai Israfil, jagalah ia dari sebelah kanannya!
Hai Mikail, jagalah ia dari sebelah kirinya!
Hai awan, teduhilah ia di atas kepalanya!"
Kemudian Allah SWT mendatangkan ngantuk kepadanya sehingga baginda SAW tertidur nyenyak dan tiba-tiba telah sampai di Makkah dalam tempo yang cukup singkat. Saat terbangun, ia hairan mendapati dirinya telah berada di pintu masuk kota kelahirannya. Baginda SAW sedar bahwa ini adalah mukjizat Tuhan kepadanya, lalu bersyukur memuji Zat Yang Maha Kuasa.
Sementara baginda SAW mengarahkan untanya menuju ke tempat Khadijah r.a, secara kebetulan Khadijah r.a pada saat itu sedang duduk sambil kepalanya keluar jendela memandangi jalan ke arah Syam, tiba-tiba dilihatnya Muhammad SAW di atas untanya dari arah bertentangan di bawah naungan awan yang bergerak perlahan-lahan di atas kepalanya.
Khadijah r.a menajamkan matanya, bimbang kalau-kalau tertipu oleh penglihatannya, sebab yang dilihatnya hanyalah Muhammad SAW sendirian tanpa rombongan,padahal telah dipesannya kepada Maisarah agar menjaganya sebaik-baik. Ia bertanya kepada wanita-wanita sahayanya yang duduk di sekitarnya:
"Apakah kamu mengenali siapa pengendara yang datang itu?" sambil tangannya menunjuk ke arah jalan. Seorang di antara mereka menjawab:
"Seolah-olah Muhammad Al-Amiin, ya sayyidati!"
Kegembiraan Khadijah r.a terlukis dalam ucapannya:
"Kalau benar Muhammad Al-Amiin, maka kamu akan ku merdekakan bilamana ia telah sampai!"
Tak lama kemudian muncullah Muhammad SAW di depan pintu rumah wanita hartawan itu, yang langsung menyambutnya dengan tutur sapa tulus ikhlas:
"Ku berikan anda unta pilihan, tunggangan khusus dengan apa yang ada di atasnya."
Muhammad SAW mengucapkan terima kasih, kemudian menyerahkan surat dari ketua rombongan. Ia minta izin pulang ke rumah bapa saudaranya setelah melaporkan tentang perniagaan mereka ke luar negeri.

Khadijah Menawarkan Diri

Muhammad Al-Amiin muncul di rumah Khadijah. Wanita usahawan itu
berkata: "Hai Al-Amiin, katakanlah apa keperluanmu! " Suaranya ramah, bernada dermawan. Dengan sikap merendahkan diri tapi tahu diharga dirinya, Muhammad SAW berbicara lurus, terus terang, meskipun agak malu-malu tetapi pasti. Katanya: "Kami sekeluarga memerlukan nafkah dari bahagianku dalam rombongan niaga.
Keluarga kami amat memerlukannya untuk mencarikan jodoh bagi anak saudaranya yang yatim piatu". Kepalanya tertunduk, dan wanita hartawan itu memandangnya dengan penuh ketakjuban.
"Oh, itukah....! Muhammad, upah itu sedikit, tidak menghasilkan apa- apa bagimu untuk menutupi keperluan yang engkau maksudkan," kata Khadijah r.a.
"Tetapi biarlah, nanti saya sendiri yang mencarikan calon isteri bagimu".
Ia berhenti sejenak, meneliti. Kemudian meneruskan dengan tekanan suara memikat dan mengandungi isyarat:
"Aku hendak mengawinkanmu dengan seorang wanita bangsawan Arab. Orangnya baik, kaya, diingini oleh banyak raja-raja dan pembesar-pembesar Arab dan asing, tetapi ditolaknya. Kepadanyalah aku hendak membawamu". Khadijah tertunduk lalu melanjutkan:
"Tetapi sayang, ada aibnya...! Dia dahulu sudah pernah bersuami.
Kalau engkau mahu, maka dia akan menjadi pengkhidmat dan pengabdi kepadamu".
Pemuda Al-Amiin tidak menjawab. Mereka sama-sama terdiam, sama-sama terpaku dalam pemikirannya masing-masing. Yang satu memerlukan jawapan, yang lainnya tak tahu apa mahu dijawab. Khadijah r.a tak dapat mengetahui apa yang terpendam di hati pemuda Bani Hasyim itu, pemuda yang terkenal dengan gelaran Al-Amiin (jujur). Pemuda Al- Amiin itupun mungkin belum mengetahui siapa kira-kira calon yang dimaksud oleh Khadijah r.a. Ia minta izin untuk pulang tanpa sesuatu keputusan yang ditinggalkan. Ia menceritakan kepada bapa saudaranya:
"Aku merasa amat tersinggung oleh kata-kata Khadijah r.a. Seolah-olah dia memandang enteng dengan ucapannya ini dan itu "anu dan anu...."Ia mengulangi apa yang dikatakan oleh perempuan kaya itu.
Atiqah juga marah mendengar berita itu. Dia seorang perempuan yang cepat naik darah kalau pihak yang dinilainya menyinggung kehormatan Bani Hasyim.
Katanya: "Muhammad, kalau benar demikian, aku akan mendatanginya".
Atiqah tiba di rumah Khadijah r.a dan terus menegurnya:
"Khadijah, kalau kamu mempunyai harta kekayaan dan kebangsawan, maka kamipun memiliki kemuliaan dan kebangsawanan.
Kenapa kamu menghina puteraku, anak saudaraku Muhammad?"
Khadijah r.a terkejut mendengarnya. Tak disangkanya bahwa kata- katanya itu akan dianggap penghinaan. Ia berdiri menyabarkan dan mendamaikan hati Atiqah: "Siapakah yang sanggup menghina keturunanmu dan sukumu? Terus terang saja ku katakan kepadamu bahwa dirikulah yang ku maksudkan kepada Muhammad SAW. Kalau ia mahu, aku bersedia menikah dengannya; kalau tidak, aku pun berjanji tak akan bersuami hingga mati". Pernyataan jujur ikhlas dari Khadijah r.a membuat 'Atiqah terdiam. Kedua wanita bangsawan itu sama-sama cerah. Percakapan menjadi serius.
"Tapi Khadijah, apakah suara hatimu sudah dimaklumi oleh anak bapa saudaramu Waraqah bin Naufah?" tanya 'Atiqah sambil meneruskan:
"Kalau belum cubalah meminta persetujuannya."
"Ia belum tahu, tapi katakanlah kepada saudaramu, Abu Thalib, supaya mengadakan perjamuan sederhana. Jamuan minum, dimana sepupuku diundang, dan disitulah diadakan lamaran", Khadijah r.a berkata seolah-olah hendak mengatur siasat. Ia yakin Waraqah takkan keberatan kerana dialah yang menafsirkan mimpinya akan bersuamikan seorang Nabi akhir zaman. 'Atiqah pulang dengan perasaan tenang, puas. Pucuk dicinta ulam tiba. Ia segera menyampaikan berita gembira itu kepada saudara-saudaranya: Abu Thalib, Abu Lahab, Abbas dan Hamzah. Semua riang menyambut hasil pertemuan 'Atiqah dengan Khadijah r.a.
"Itu bagus sekali", kata Abu Thalib, "Tapi kita harus bermesyuarat dengan Muhammad SAW lebih dahulu."


Janda Cantik Bermata Jeli

Sebelum dijemput oleh bapa saudaranya, maka terlebih dahulu ia pun telah menerima seorang perempuan bernama Nafisah, utusan Khadijah r.a yang datang untuk menjalin hubungan kekeluargaan.
Utusan peribadi Khadijah itu bertanya: "Muhammad, kenapa engkau masih belum berfikir mencari isteri?"
Muhammad SAW menjawab: "Hasrat ada, tetapi kesanggupan belum ada."
"Bagaimana kalau seandainya ada yang hendak menyediakan nafkah?
Lalu engkau mendapat seorang isteri yang baik, cantik, berharta, berbangsa dan sekufu pula denganmu, apakah engkau akan menolaknya?"
"Siapakah dia?" tanya Muhammad SAW.
"Khadijah!" Nafisah berterus terang. "Asalkan engkau bersedia, sempurnalah segalanya. Urusannya serahkan kepadaku!"
Usaha Nafisah berjaya. Ia meninggalkan putera utama Bani Hasyim dan langsung menemui Khadijah r.a, menceritakan kesediaan Muhammad SAW. Setelah Muhammad SAW menerima pemberitahuan dari saudara- saudaranya tentang hasil pertemuan dengan Khadijah r.a, maka baginda tidak keberatan mendapatkan seorang janda yang usianya lima belas tahun lebih tua daripadanya. Betapa tidak setuju, apakah yang kurang pada Khadijah? Ia wanita bangsawan, cantik, hartawan, budiman. Dan utamanya pula karena hatinya telah dibukakan Tuhan untuk mencintainya, telah ditakdirkan akan dijodohkan dengannya. Kalau dikatakan janda, biarlah! Ia memang janda umur empat puluh, tapi janda yang masih segar, bertubuh ramping, berkulit putih dan bermata jeli.
Maka diadakanlah acara yang penuh keindahan itu. Hadir sama Waraqah bin Naufal dan beberapa orang-orang terkemuka Arab yang sengaja dijemput. Abu Thalib dengan rasmi meminang Khadijah r.a kepada saudara sepupunya. Orang tua bijaksana itu setuju. Tetapi dia meminta tempoh untuk berunding dengan wanita berkenaan.


Pernikahan Muhammad dengan Khadijah

Khadijah r.a diminta pendapat. Dengan jujur ia berkata kepada
Waraqah: "Hai anak bapa saudaraku, betapa aku akan menolak Muhammad SAW padahal ia sangat amanah, memiliki keperibadian yang luhur, kemuliaan dan keturunan bangsawan, lagi pula pertalian kekeluargaannya luas".
"Benar katamu, Khadijah, hanya saja ia tak berharta", ujar Waraqah.
"Kalau ia tak berharta, maka aku cukup berharta. Aku tak memerlukan harta lelaki. Ku wakilkan kepadamu untuk menikahkan aku dengannya," demikian Khadijah r.a menyerahkan urusannya.
Waraqah bin Naufal kembali mendatangi Abu Thalib memberitakan bahwa dari pihak keluarga perempuan sudah bulat mufakat dan merestui bakal pernikahan kedua mempelai. Lamaran diterima dengan persetujuan mas kahwin lima ratus dirham. Abu Bakar r.a, yang kelak mendapat sebutan "Ash-Shiddiq" sahabat akrab Muhammad SAW. sejak dari masa kecil, memberikan sumbangan pakaian indah buatan Mesir, yang melambangkan kebangsawaan Quraisy, sebagaimana layaknya dipakai dalam upacara adat istiadat pernikahan agung, apalagi karena yang akan dinikahi adalah seorang hartawan dan bangsawan pula . Peristiwa pernikahan Muhammad SAW dengan Khadijah r.a berlangsung pada hari Jumaat, dua bulan sesudah kembali dari perjalanan niaga ke negeri Syam. Bertindak sebagai wali Khadijah r.a ialah bapa saudaranya bernama 'Amir bin Asad, sedang Waraqah bin Naufal membacakan khutbah pernikahan dengan fasih, disambut oleh Abu Thalib sebagai berikut: "Alhamdu Lillaah, segala puji bagi Allah Yang menciptakan kita keturunan (Nabi) Ibrahim, benih (Nabi) Ismail, anak cucu Ma'ad, dari keturunan Mudhar.
"Begitupun kita memuji Allah SWT Yang menjadikan kita penjaga rumah-Nya, pengawal Tanah Haram-Nya yang aman sejahtera, dan menjadikan kita hakim terhadap sesama manusia.
"Sesungguhnya anak saudaraku ini, Muhammad bin Abdullah, kalau akan ditimbang dengan laki-laki manapun juga, niscayalah ia lebih berat dari mereka sekalian. Walaupun ia tidak berharta, namun harta benda itu adalah bayang-bayang yang akan hilang dan sesuatu yang akan cepat perginya. Akan tetapi Muhammad SAW, tuan-tuan sudah sama mengenalinya siapa dia. Dia telah melamar Khadijah binti Khuwailid.
Dia akan memberikan mas kahwin lima ratus dirham yang akan segera dibayarnya dengan tunai dari hartaku sendiri dan saudara-saudaraku.
"Demi Allah SWT, sesungguhnya aku mempunyai firasat tentang dirinya bahwa sesudah ini, yakni di saat-saat mendatang, ia akan memperolehi berita gembira (albasyaarah) serta pengalaman- pengalaman hebat.
"Semoga Allah memberkati pernikahan ini".
Penyambutan untuk memeriahkan majlis pernikahan itu sangat meriah di rumah mempelai perempuan. Puluhan anak-anak lelaki dan perempuan berdiri berbaris di pintu sebelah kanan di sepanjang lorong yang dilalui oleh mempelai lelaki, mengucapkan salam marhaban kepada mempelai dan menghamburkan harum-haruman kepada para tamu dan pengiring. Selesai upacara dan tamu-tamu bubar, Khadijah r.a membuka isi hati kepada suaminya dengan ucapan:
"Hai Al-Amiin, bergembiralah!
Semua harta kekayaan ini baik yang bergerak mahupun yang tidak bergerak, yang terdiri dari bangunan-bangunan, rumah-rumah,barang- barang dagangan, hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu. Engkau bebas membelanjakannya ke jalan mana yang engkau redhai !"
Itulah sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kekayaan". (Adh-Dhuhaa: Alangkah bahagianya kedua pasangan mulia itu, hidup sebagai suami isteri yang sekufu, sehaluan, serasi dan secita-cita.

Dijamin Masuk Syurga

Khadijah r.a mendampingi Muhammad SAW. selama dua puluh enam tahun, yakni enam belas tahun sebelum dilantik menjadi Nabi, dan sepuluh tahun sesudah masa kenabian. Ia isteri tunggal, tak ada duanya, bercerai karena kematian. Tahun wafatnya disebut "Tahun Kesedihan" ('Aamul Huzni). Khadijah r.a adalah orang pertama sekali beriman kepada Rasulullah SAW. ketika wahyu pertama turun dari langit. Tidak ada yang mendahuluinya.
Ketika Rasulullah SAW menceritakan pengalamannya pada peristiwa turunnya wahyu pertama yang dihantar Jibril 'alaihissalam, dimana beliau merasa ketakutan dan menggigil menyaksikan bentuk Jibril a.s dalam rupa aslinya, maka Khadijahlah yang pertama dapat mengerti makna peristiwa itu dan menghiburnya, sambil berkata:
"Bergembiralah dan tenteramkanlah hatimu. Demi Allah SWT yang menguasai diri Khadijah r.a, engkau ini benar-benar akan menjadi Nabi Pesuruh Allah bagi umat kita.
"Allah SWT tidak akan mengecewakanmu. Bukankah engkau orang yang sentiasa berusaha untuk menghubungkan tali persaudaraan?
Bukankah engkau selalu berkata benar? Bukankah engkau sentiasa menyantuni anak yatim piatu, menghormati tetamu dan menghulurkan bantuan kepada setiap orang yang ditimpa kemalangan dan musibah?"
Khadijah r.a membela suaminya dengan harta dan dirinya di dalam menegakkan kalimah tauhid, serta selalu menghiburnya dalam duka derita yang dialaminya dari gangguan kaumnya yang masih ingkar terhadap kebenaran agama Islam, menangkis segala serangan caci maki yang dilancarkan oleh bangsawan-bangsawan dan hartawan Quraisy. Layaklah kalau Khadijah r.a mendapat keistimewaan khusus yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita lain iaitu, menerima ucapan salam dari Allah SWT. yang dihantar oleh malaikat Jibril a.s kepada Rasulullah SAW. disertai salam dari Jibril a.s peribadi untuk disampaikan kepada Khadijah radiallahu 'anha serta dihiburnya dengan syurga. Kesetiaan Khadijah r.a diimbangi oleh kecintaan Nabi SAW kepadanya tanpa terbatas. Nabi SAW pernah berkata: "Wanita yang utama dan yang pertama akan masuk Syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad SAW., Maryam binti 'Imran dan Asyiah binti Muzaahim, isteri Fir'aun".


Wanita Terbaik

Sanjungan lain yang banyak kali diucapkan Rasulullah SAW terhadap peribadi Khadijah r.a ialah:
"Dia adalah seorang wanita yang terbaik, karena dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam bimbang keingkaran; dia telah membenarkan aku di saat orang lain mendustakanku; dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhadapku; dan dia telah melahirkan bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri yang lain".

Putera-puteri Rasulullah SAW dari Khadijah r.a sebanyak tujuh orang: tiga lelaki (kesemuanya meninggal di waktu kecil) dan empat wanita. Salah satu dari puterinya bernama Fatimah, dinikahkan dengan Ali bin Abu Thalib, sama-sama sesuku Bani Hasyim. Keturunan dari kedua pasangan inilah yang dibangsakan sebagai keturunan langsung dari Rasulullah SAW.

 
Kejadian luar biasa susuli kelahiran Muhammad
04.14.05 (3:49 pm)   [edit]



KELAHIRAN Nabi Muhammad SAW, sudah diketahui Nabi Isa sebelum Baginda dikandung ibunya melalui wahyu daripada Allah bahawa akan lahir seorang rasul ke dunia dan dialah nabi terakhir.



Pada saat kelahiran Muhammad, keadaan di sekeliling amat luar biasa. Suasana persekitaran sungguh tenang dan indah.

Tanpa rasa sakit, ibu Nabi Muhammad, Siti Aminah berjaya melahirkan Baginda dengan selamat disaksikan bidan.

Pada malam Aminah melahirkan Muhammad, tiada sebarang tanda pada dirinya yang menunjukkan beliau akan melahirkan anak.

Hal itu menyebabkan beliau menyangka bahawa anaknya lambat lagi dilahirkan.

Bagaimanapun secara tiba-tiba saja pada Subuh hari berkenaan, Muhammad pun dilahirkan.

Biasanya, bayi yang baru lahir akan menangis tetapi Baginda diam saja walaupun bidan menepuk tubuhnya beberapa kali.

Baginda kelihatan seolah-olah seperti sedang berfikir dan matanya bersinar-sinar bagaikan melihat sesuatu.

“Luar biasa sungguh anakmu ini, dia tidak menangis, tetapi matanya kelihatan liar seolah-olah merenung sesuatu di atas," kata bidan kepada Aminah yang terbaring dengan wajah kegembiraan.

Ketika itu Siti Aminah berasa dirinya bagaikan mendapat segunung emas.

“Luar biasa anak ini,” ulang bidan, sambil membelek-belek tubuh bayi itu. “Apa yang luar biasa?” tanya Aminah.

Jawab bidan: “Biasanya, bayi lahir terlentang, tetapi dia tertiarap, kepalanya mendongak ke langit, jari-jarinya terangkat-angkat seolah-oleh mengira sesuatu, matanya juga merenung ke langit, seolah-oleh ada benda yang dipandangnya. Macam dia mengerti sesuatu, walaupun baru dilahirkan.”

Kisah keganjilan Muhammad diceritakan oleh bidan kepada jirannya yang turut hairan dengan keadaan bayi itu.

Bagaimanapun, sejak Muhammad dilahirkan, keadaan dalam rumah itu berubah berseri dipandang serta menjadi tumpuan ramai.

Pada waktu malam, rumah itu kelihatan terang benderang seperti bulan terang walaupun ada kalanya bulan gelap.

Wanita pula amat suka ke rumah Aminah untuk melihat Aminah serta anaknya yang baru lahir seolah-olah ada tarikan tersendiri pada bayi berkenaan sehingga ada yang datang berkali-kali.

Kisah keistimewaan Muhammad tersebar di merata tempat menyebabkan orang semakin ramai datang, malah orang yang tidak mengenali Aminah pun turut datang untuk melihat Muhammad.

“Budak ini bertuah, boleh jadi dia akan menjadi pemimpin besar di masa akan datang. Semua orang sukakan kepadanya,” kata seorang tua sambil menepuk-nepuk tubuhnya.

Kelahiran Muhammad memberi cahaya kepada penduduk kota Makkah di mana keadaan di situ tiba-tiba bertukar wajah.

Tanaman yang kurang subur tiba-tiba saja menjadi segar dan subur manakala ternakan yang dulunya kurang biak tiba membiak dengan banyaknya.
 
Orang-orang Kafir Membelanjakan Harta Untuk Dakyah Mereka....Cabaran Untuk Muslim Hari Ini.
04.14.05 (3:44 pm)   [edit]
Surah Al-Anfal ayat 36 - 37

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan di kalahkan. Dan dalam neraka Jahannamlah orang-orang kafir itu dikumpulkan. Supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dengan yang baik dan menjadikan golongan yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain. Lalu kesemuanya ditumpukkanNya dan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang rugi."



Orang-orang Kafir Membelanjakan Harta Untuk Menghalangi Orang-orang Beriman

Orang-orang kafir, mereka belanja harta mereka, secara tolong menolong antara satu dengan yang lain untuk menyekat manusia daripada mengambil jalan Allah. Allah Subhanahu Wataala telahpun memberikan ingatan kepada mereka yang usaha-usaha mereka itu akan rugi, dan akan menemui kegagalan. Kerugian untuk mereka di dunia dan di akhirat. Dan akhimya mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka.

Muhammad Ibnu Ishaq melalul AI Zuhri berkata: "Setelah orang-orang kafir quraish kalah dalam peperangan Badr, mereka pulang dan terus merancang untuk menyerang kembali orang-orang Islam. Mereka berjumpa dengan Abu Sufyan yang telah dapat melepaskan dirinya dan harta dagangannya dari serangan tentera-tentera Islam. Mereka lalu menceritakan pada Abu Sufyan bahawa banyak di antara mereka kehilangan anak, ayah dan saudara mara dalam peperangan Badr. Mereka berkata pada hartawan dan pedagang quraish itu: "Sesungguhnya Muhammad telah ganjilkan kita. Jadi bantulah kami dengan harta kamu, mungkin kali ini kita akan dapat menebus kekalahan (di Badr). Lalu merekapun menyerahkan harta mereka untuk tujuan mereka itu ... "

Oleh kerana peristiwa inilah Allah Subhanahu Wataaala telah menurunkan ayat dari surah Al Anfal ini, untuk menyatakan pada Usbah Muslimah yang pertama dan juga pada orang-orang kafir bahawa usaha mereka yakni orang-orang kafir itu akan menemui kegagalan dan di akliirat kelak mereka (orang kafir) akan di masukkan ke dalam api neraka Jahannam.

Sikap seperti ini adalah satu cara tradisi bagi setiap musuh-musuh Islam, semasa dahulu mahupun sekarang ini, malah sampailah pada hari akhirat. Inilah satu sunnatullah yang mesti difahami oleh setiap orang yang beriman dan yang berusaha untuk melaksanakan Islam dalam masyarakatnya. Sememangnya seperti yang berlaku dahulu, mereka orang-orang kafir ini, akan berusaha secara tolong menolong dengan harta dan tenaga mereka untuk menyekat kebe:naran dakwah Islamiah, malah kebenaran Islam, Deen Allah SWT yang syumul dan lengkap.

Mereka orang-orang kafir ini akan meletakkan berbagai-bagai halangan pada orang-orang yang beriman. Sejak dari titik mula dakwah ini lagi mereka telah berusaha dengan sepenuh tenaga untuk menghalang dakwah ini. Halangan-halangan ini rnungkin berbentuk kesenangan atau berbentuk kesukaran. Sebagaimaria yang berlaku pada Rasulullah SAW semasa baginda sedang mengajak kaumnya di Mekah, datang sekumpulan pembesar kafir quraish menawarkan pada baginda berbagai bentuk kesenangan;

Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq: "..dan merekapun berkata pada Rasulullah SAW, "Sekiranya kamu mahukan harta, maka kami akan kumpulkan harta-harta itu, dan menjadikan kamu orang yang paling kaya di antara kami, dan sekiranya kamu mahukan kemuliaan, maka karni akan melantik kamu menjadi ketua dan penguasa ke atas kami, dan kami tidak akan mengambil sebarang keputusan tanpa keizinanmu......

Kita melihat juga bagaimana mereka menyeksa Bilal bin Rabah ra, keluarga Yasir, Khabbab al Arit, dan lain-lainnya. Mereka menyekat daripada memberi bantuan makanan dan minuman kepada Usbah Muslimah yang pertama itu. Mereka menggunakan kata-kata mereka yang mengelirukan orang-orang Islam yang lemah imannya... Seperti yang diperkatakan oleh seorang kafir quraish Aas bin Wail As-Sahammi "...Tinggalkanlah Muhammad itu, sesungguhnya dia adalah seorang yang tiada berketurunan. Tidak akan ada sesiapa yang meneruskan ajarannya, dan dia akan dilupakan setelah dia mati kelak.." Al Quran telah menggambarkan sikap mereka ini dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud:

'Dan di antara nianusia ada yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa penqetahuan dan menjadikan

jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperolehi azab yang menghinakan...'
Mereka melakukan ini semua secara tolong menolong, malah secara yang tersusun. Mereka sebenarnya sedar apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu benar namun kerana dikuasai oleh nafsu dan keangkuhan mereka, mereka lebih suka untuk berada dalam kesesatan dan menerima azab Allah SWT. Pernah seorang musuh besar ummat Islam ketika itu, an-Nadr bin Harith berkata: "...Wahai kaum quraish! Kamu berhadapan dengan satu masalah. Muhammad dulunya adalah seorang yang sangat mempersonakan kamu. Lebih jujur daripada sesiapa di antara kamu dan lebih amanah (daripada kamu). Setelah dia mula menghina berhala kamu, dan setelah dia menyampaikan kepada kamu ajarannya, tiba-tiba sekarang kau katakan dia seorang ahli nujum, tukang sihir, penyaer; dan kamu katakan dia seorang yang gila. Sebenarya tidak satupun daripada tuduhan ini benar! Wahai kaum quraish! Fikirkanlah atas keputusan yang telah kamu ambil ini, demi Allah, sesuatu yang besar disediakan untuk kesudahan kamu... "

Orang-orang yang beriman, yang melalui proses didikan di bawah Madrasah Rasulullah SAW mereka faham yang halangan-halangan in adalah satu sunnatullah, yang sudah semestinya mereka hadapi dengan penuh kesabaran. Orang-orang yang beriman, mereka faham yang mereka juga mesti berada bersama-sama dalam satu Jamaah, dan berjihad dengan segala apa yang ada pada diri mereka, sama ada dengan harta, tenaga dan jiwa raga mereka. Bagi mereka tidak ada hudnah dalam menyebarkan Fikrah Islamiyah, yaitu dalam erti kata tetap melaksanakan Islam dan beriman dengan Allah SWT dalam setiap suasana yang mereka hadapi. Sabda Rasulullah SAW yyang bermaksud;

"Jihad tidak akan berhenti sehingga ke hari kiamat. "

Orang-orang kafir, mereka tidak akan berhenti daripada usaha mereka itu, dan tidak akan membiarkan orang-orang beriman bersenang-senang. Oleh itu kita mestilah menyusun dan merancang kerja-kerja kita untuk menentang jahiliyah. Adalah satu sunnatullah, sekiranya kita ingin menentang jahiliyah maka mestilah dalam satu usaha yang tersusun rapi. Berada dalam satu Harakah Islam yang mempunyai satu sistem tarbiyah yang benar, dan berkembang dengan cara yang benar juga. Bukan berkembang dengan cara yang tidak masyruk.

Orang-orang beriman dia sedar jahiliyah itu lemah, kerana ia tidak ada kekuatan mutlak. la hanya bergantung pada ketua-ketua dan kekuatan kebendaan sahaja. Namun bagi orang-orang beriman senjata mereka adalah di tangan Allah SWT. Kata as-Syahid Syed Qutb: "Kamu adalah lebih tinggi, oleh itu jangan kamu merasa lemah dan rendah lantas meminta damai (dengan jahiliyah). Kamu adalah lebih tinggi dari segi aqidah dan konsepsi hidup. Kamu adalah lebih tinggi dari segi ikatan penghubung dengan Tuhan yang Maha Tinggi dan Agung... kamu adalah lebih tinggi dari segi kekuatan, keteguhan dan kemenangan kerana kekuatan Yang Teragung adalah bersama-sama kamu. Kamu tidak bersendirian, tetapi kamu adalah didampingi oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa.....".

Pergolakan yang berlaku ini, iaitu pergolakan di antara tentera jahiliyah dengan barisan orang-orang mukmin ini akan memperlihatkan hakikat atau tabiat seseorang itu. Siapakah yang menegakkan yang Haq, dan siapakah yang menegakkan kebathilan. Yang mana pendukong al Haq, dan yang mana pendukong kebathilan. Mungkin pada mulanya yang Haq dan bathil bercampur, tetapi apabila diadakan ujian dan tapisan, akhirnya yang haq dan bathil ini akan terpisah. Kerana Allah SWT tidak mahu kemenangan itu diberi pada yang campur aduk, tetapi Allah SWT hanya akan memberi pertolongan dan kemenangan pada yang bersih. Walaupun ada terkadang kala pada zahirnya kita lihat orang-orang kafir seolah-olah mendapat kemenangan, tetapi ianya hanya dalam bentuk istidraj (Allah beri dalam keadaan murka)

Bagi orang-orang yang beriman mereka perlulah sentiasa berdoa: "Ya Tuhan kami, janganlah kamu jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami Rahmat dari sisi Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia).

 
Rasulullah lahir, wafat pada Rabiulawal
04.13.05 (9:52 pm)   [edit]

UMAT Islam kini berada dalam bulan ketiga dalam kalendar Islam iaitu Rabiulawal. Dari sudut bahasa, Rabiulawal bermaksud musim bunga yang pertama. Ia dinamakan sedemikian kerana pada zaman jahiliah, Semenanjung Tanah Arab mengalami musim bunga.

Pada waktu itu, pokok buah-buahan dan tanaman lazimnya mula berbunga. Proses itu berlaku hingga Rabiulakhir.

Panggilan Rabiulawal ini juga sebenarnya diwarisi daripada masyarakat Arab jahiliah. Namun selepas kedatangan Islam, nama bulan ini tetap digunakan dan diterima pakai sebagai kalendar tahunan.

Kewujudan kalendar ini memudahkan masyarakat Arab kerana ia memudahkan catatan tarikh dilakukan terhadap sebarang peristiwa sepanjang tahun.

Ini termasuk tarikh kelahiran dan kematian seseorang, malapetaka, peperangan atau tarikh peristiwa lain yang dikira penting oleh masyarakat berkenaan.

Tarikh itu diabadikan hingga ke hari ini dan dijadikan catatan silam bagi mengingati detik bersejarah masyarakat terdahulu, khususnya membabitkan kisah perjuangan Rasulullah dan sahabat Baginda.

Dari segi kelebihan, kedudukan bulan ini samalah dengan bulan lain kecuali bulan tertentu, umpamanya Ramadan yang dinyatakan secara jelas melalui hadis sahih.

Pada Rabiulawal, banyak peristiwa yang berlaku dan kedatangan bulan ini ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam.

Peristiwa paling bersejarah adalah pada tanggal 12 Rabiulawal. Ia adalah tarikh kelahiran Muhammad, nabi dan rasul akhir zaman.

Berdasarkan catatan sejarah, Baginda lahir pada 12 Rabiulawal atau 20 April 571 Masihi.

Pada tarikh ini, seluruh umat Islam mengadakan pelbagai majlis memperingati kelahiran Rasulullah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang mengutuskan nabi dan rasul, yang mengajak manusia ke arah kebaikan serta meninggalkan kemungkaran.

Kelahiran Baginda cukup bermakna kepada umat manusia kerana berjaya mengubah sistem sosial yang teruk kepada kehidupan lebih bertamadun.

Bagaimanapun, ada ahli sejarah berpendapat, Baginda bukan lahir pada bulan ini, sebaliknya pada Muharam, Safar atau Ramadan.

Namun, jumhur pengkaji sejarah, termasuk Ibn Ishak dan beberapa sarjana Islam lain mengatakan, Rasulullah lahir pada Rabiulawal tahun Gajah.

Pada Rabiulawal juga Baginda wafat iaitu pada Isnin 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah bersamaan 7 Jun 632 Masihi.

Baginda wafat di rumah isteri Baginda, Aisyah yang juga puteri Khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar as-Siddik.

Selain itu, beberapa peristiwa yang memperlihatkan sejarah keagungan Islam berlaku dalam Rabiulawal.

Antaranya pelantikan Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah.

Peristiwa ini penting kerana ia bukan saja detik permulaan pembentukan sistem khalifah Islam, malah menjadi bukti dan hujah bagi menolak segelintir puak yang menidakkan pelantikan Abu Bakar.

Rabiulawal juga dikaitkan dengan pembukaan kota al-Hirah pada tahun ke-12 Hijrah.

Pembukaan kota ini adalah antara saat amat menggembirakan bagi umat Islam selepas beberapa tahun dijajah Parsi.

Kejayaan menakluki kota ini memberi mesej bahawa Islam boleh mencapai kecemerlangan jika penganutnya bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran

Islam dan giat menjalankan dakwah kepada penganut agama lain.

Antara peristiwa lain yang berlaku pada bulan ini adalah Perang Safwan (2 Hijrah), Perang Bawat (2 Hijrah), Perang Zi Amar (3 Hijrah) Perang Bani An Nadhir (4 Hijrah) dan Perang Dumatu Al Jandal.

Selain itu, Perang Bani Lahyan (6 Hijrah), Perang al Hittin (583 Hijrah) dan kekalahan tentera Islam di tangan tentera Sepanyol (897 Hijrah).


~~ forwarded email ~~
 
SEBAB-SEBAB SESEORANG ITU MENDAPAT HIDAYAH
04.13.05 (6:14 pm)   [edit]
Walau bagaimanapun untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam sebab atau ada berbagai-bagai cara yang di antara satu sama lain tidak sama. Di antara sebab seseorang itu mendapat hidayah adalah seperti berikut:

1. Dia lahir di dalam keluarga yang beragama, maka dia mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana berkeluarga. Orang ini agak bernasib baik.

2. Dia yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Dia terus mencari dan mengamalkan. Orang seperti ini amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah (secara anugerah).

3. Orang yang dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat. Manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.

4. Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji, memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan-golongan itu maka akhirnya bertemu dengan kebenaran.

5. Orang yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri majlis-majlis agama maka dia mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.

6. Orang yang diuji Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi maka di situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia kembali mendekati diri kepada Allah SWT.

7. Orang yang mendapat kebenaran, kerana Allah mengizinkannya mengalami alam kerohanian seperti melihat di dalam mimpi alam Barzakh, melihat orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat gambaran Qiamat atau Allah perlihatkan kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih dan lain-lain kejadian yang ajaib. Selepas itu dia pun kembali kepada kebenaran.

8. Orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya raya, kenderaan yang mewah, harta banyak tetapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak peranda, krisis sering berlaku, kasih sayang dan ukhwah tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri maka dari peristiwa itu dia sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup tidak menjamin kebahagian di dunia apatah lagi di Akhirat kelak.

9. Orang yang dia sendiri mengalami kehidupan mewah, serba ada, apa hendak semua dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai, kehidupan keluarga porak-peranda lantas dia insaf dan sedar akhirnya mencari jalan kebenaran.

10. Orang yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doa itu dikabulkan oleh Allah, maka Islamlah dia sepertimana Sayidina Umar Al Khattab r.a. dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.

Ampun maaf

Sumber rujukan: Us Hj Ashaari Muhamad
 
Nasihat Lukman pedoman sepanjang zaman
04.12.05 (7:44 pm)   [edit]


LUKMAN Al-Hakim memberi banyak kata-kata hikmah kepada anaknya. Nasihat itu turut dijadikan pedoman oleh umat pada zamannya hingga ke hari ini.

Katanya: “Hai anakku! Fahamilah akan hikmah dan seluruh akhlaknya serta jadikanlah ia sebagai satu tugas buat dirimu dan luangkan masamu untuknya. Bersegeralah apabila engkau memberikannya. Tenang dan bersabarlah apabila engkau mengumpulkannya.

“Ketahuilah, sesungguhnya hikmah tidak dapat diperbetulkan kecuali dengan lemah lembut, sementara lemah lembut itu menjadi peti hikmah.

“Perumpamaan kata-kata hikmah tanpa pentadbiran adalah seperti harta yang berada pada tangan orang yang membolehkan orang lain menjadi pencuri atau seperti binatang ternakan yang berkeliaran tanpa pengembala, datang kepadanya serigala yang mendapatinya sesat, lalu dia memakannya.

Di samping itu, buatlah perjanjian dengan lidahmu dan ketahuilah sesungguhnya lidah itu adalah pintu hikmah.

“Oleh itu, apabila engkau menghilangkan pintu itu, akan masuklah orang yang engkau tidak mahu engkau masukinya dan apabila engkau menjaganya, terjagalah khazanah itu.

“Sesungguhnya orang yang memelihara lidahnya sekiranya dia berkata, dia berkata dengan ilmu dan sekiranya dia diam, dia diam dengan sopan santun. Apabila dia melihat ada keputusan untuk dia menyatakannya, dia akan bercakap. Apabila dia melihat tiada keputusan baginya, maka sekiranya orang yang meminta dia bercakap itu, orang yang beragama, dia akan berijtihad dan sekiranya orang yang meminta dia bercakap itu orang yang bodoh, dia berdiam diri.

“Muliakanlah kata-kata hikmah dan janganlah engkau letakkannya (berikannya) di sisi orang yang akan menghinanya dan janganlah engkau bersifat bakhil dengannya di sisi orang yang ingin menjaganya
 
Orang rugi - Menukar petunjuk dengan kesesatan
04.12.05 (5:23 pm)   [edit]

Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI


ALLAH menyebut beberapa sifat orang-orang fasiq dengan firman-Nya: ``IAITU ORANG-ORANG YANG MELANGGAR PERJANJIAN ALLAH SESUDAH PERJANJIAN ITU TEGUH, DAN MEMUTUSKAN APA YANG DIPERINTAHKAN ALLAH KEPADA MEREKA UNTUK MENGHUBUNGKANNYA DAN MEMBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI. MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG RUGI.'' (Al-Baqarah ayat 27)

Di antara sifat tersebut, iaitu orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, yakni mereka yang melanggar apa yang dijanjikan kepada mereka oleh kitab-kitab samawi daripada beriman dengan Muhammad s.a.w. atau memutuskan segala perjanjian yang kukuh daripada beriman dengan Allah, membenarkan Rasul-Nya dan beramal dengan syariat.

Ibn Jauzi berkata, ``Ada tiga pendapat ulama mengenai maksud perjanjian itu, iaitu :

i. Apa yang dijanjikan kepada ahli kitab berhubung sifat Muhammad s.a.w. dan wasiat supaya mengikutinya. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

ii. Apa yang dijanjikan kepada mereka tentang al-Quran. Mereka mengakuinya, kemudian mereka kufur dan melanggar perjanjian itu. Inilah pendapat as-Suddi.

iii. Iaitu perjanjian semenjak dikeluarkan zuriat Adam daripadanya lagi. Inilah pendapat az-Zajjaj.

Kemudian Allah menerangkan sifatnya lagi dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka untuk menghubungkannya, iaitu daripada hubungan silaturahim dan kerabat.

Lafaz ini adalah umum pada setiap keputusan yang Allah tidak meredhai-Nya, seperti memutuskan hubungan antara nabi-nabi, memutuskan hubungan kaum-kerabat dan meninggalkan kasih-sayang serta hormat terhadap orang-orang yang beriman.

As-Samarqandi menaqalkan di dalam tafsirnya, Bahr Al-Ulum, riwayat ad-Dahhak dan Ata' daripada Ibn Abbas katanya, ``Sesungguhnya mereka disuruh beriman dengan semua nabi. Malangnya mereka beriman dengan sebahagian dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain.'' Inilah makna dan maksud firman tersebut.

Sebaliknya mereka melakukan perbuatan yang keji, sebagaimana firman Allah tersebut dan membuat kerosakan di muka bumi.

Di antara kerosakan tersebut ialah melakukan banyak maksiat, membuat pelbagai fitnah, menegah orang daripada beriman kepada Allah dan menyebar-luaskan segala syubhat tentang al-Quran.

Ibn Jauzi berkata, ``Ulama berselisih pendapat mengenai maksud kerosakan yang mereka lakukan di bumi kepada tiga:

i. Seruan mereka kepada manusia ke arah kekufuran. Inilah pendapat Ibn Abbas

ii. Amalan maksiat yang mereka lakukan. Inilah pendapat as-Suddi dan Muqatil.

iii. Mereka menyekat orang yang berhijrah kepada nabi bagi menghalang mereka memeluk Islam.

Sebenarnya, merekalah golongan yang disifatkan Allah sebagai `mereka itulah orang-orang yang rugi' kerana mereka yang bersifat demikian termasuk dalam golongan yang benar-benar rugi, disebabkan mereka menukar petunjuk dengan kesesatan dan pengampunan dengan azab.

Justeru itu, neraka adalah tempat yang paling layak bagi mereka.

Ibn Kathir berkata, ``Allah berfirman dengan berhujah mengenai kewujudan-Nya dan kekuasaan-Nya. Juga Allahlah yang Maha Pencipta kepada sekalian hamba-Nya.''

Allah mengemukakan persoalan sebagaimana firman-Nya yang berikut:

* ``MENGAPA KAMU KAFIR KEPADA ALLAH PADAHAL KAMU TADINYA MATI, LALU ALLAH MENGHIDUPKAN KAMU, KEMUDIAN KAMU DIMATIKAN DAN DIHIDUPKAN-NYA KEMBALI, KEMUDIAN KEPADA-NYA LAH KAMU DIKEMBALIKAN?'' (Al-Baqarah ayat 28)

Persoalan ini dimulakan dengan pertanyaan, `mengapa kamu kafir kepada Allah' yang menunjukkan kehinaan dan keingkaran mereka.

Pandangan

Ibn Jauzi mengatakan bahawa ada dua pandangan ulama berhubung dengan persoalan ini, iaitu:

i. Soalan itu bermakna takjub dan hairan bagi orang yang beriman dengan maksud hairan daripada kalangan mereka bagaimana mereka boleh bersikap kufur, sedangkan telah sabit hujah Allah atas mereka. Inilah pendapat Ibn Qutaibah dan az-Zajjaj

ii. Soalan yang keluar daripada bentuk pengakuan kepada celaan dengan maksud celaka kamu. Mengapa kamu kufur dengan Allah? Inilah pendapat al-Ajjaj.

Seterusnya, mengapa kamu menentang dan derhaka kepada Pencipta dan kamu mengingkari-Nya, sedangkan padahal kamu tadinya mati, yakni daripada tiada hinggalah dibentuk air mani pada sulbi ayah dan rahim ibumu, kemudian melalui proses Allah hidupkan kamu, iaitu dengan dikeluarkan kamu daripada kandungan ibu lahir ke dunia.

Tetapi ingatlah akan kesudahannya, iaitu kemudian kamu dimatikan Apabila sampai ajal, kamu akan dimatikan dengan apa jua keadaan, sekalipun sebagai hukum dan sunah alam ini.

Seterusnya `dan dihidupkan-Nya kembali', iaitu dibangkitkan dari kubur selepas berada di alam kubur atau barzakh beberapa ketika dan berlakunya kiamat.

Akhirnya, `kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan' yang tujuannya adalah untuk memberi pembalasan yang setimpal.

Bagi orang yang baik, diberi balasan baik dan sebaliknya orang yang derhaka, diberi balasan azab. As-Samarqandi berkata, ``Iaitu di akhirat, kamu akan diberi pahala dengan amalan kamu.''

Al-Maghari berkata, ``Selepas Allah menyebut beberapa tanda kekuasaan-Nya pada diri manusia dengan menyatakan permulaan dan kesudahan hidup, Dia menyebut juga beberapa tanda kekuasaan-Nya pada ufuk yang menunjukkan tanda kekuasaan-Nya dengan segala sesuatu dan nikmatnya yang melimpah-ruah kepada hamba-hamba-Nya, dengan menjadikan segala apa yang di bumi sebagai tempat persediaan hidup untuk mendapat manfaat.''

As-Samarqandi menaqalkan daripada al-Kalbi, ``Tatkala dinyatakan masalah kebangkitan selepas mati, orang Yahudi hanya berdiam diri kerana memahaminya, sedangkan orang-orang musyrikin pula berterusan mengingkarinya seraya bertanya, ``Siapa yang mampu menghidupkan kami selepas berlakunya kematian?''

Lantas Allah menurunkan firman-Nya:

* ``DIALAH ALLAH YANG MENJADIKAN SEGALA APA YANG ADA DI BUMI UNTUK KAMU DAN DIA BERKEHENDAK (MENUJU) LANGIT LALU DIJADIKAN-NYA TUJUH LANGIT DAN DIA MAHA MENGETAHUI SEGALA SESUATU.'' (Al-Baqarah ayat 29)

Kemudian Allah menambahkan lagi keterangan bukti kebangkitan. ``Dialah Allah yang menjadikan segala apa yang ada di bumi untuk kamu', yang bermaksud Allah menciptakan bumi dan segala apa yang ada di dalamnya supaya manusia dapat mengambil manfaat dengannya serta iktibar bahawa Allah bersifat Maha Pencipta lagi Pemberi Rezeki.

Dan `Dia berkehendak menuju langit', iaitu Allah berkehendak dengan iradah-Nya menuju ke langit.

An-Nasafi berkata, ``Istawa di sini ialah dengan maksud iktidal dan istiqamah, iaitu qasad atau menuju, juga menghadap.''

Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di berkata, `` Terdapat tiga makna istawa, iaitu:

i. Kesempurnaan dan lengkap.

ii. Tinggi dan atas.

iii. Menuju.

Seterusnya, `lalu dijadikan-Nya tujuh langit' yang bermaksud Allah mencipta langit sebanyak tujuh lapis dengan penuh kehebatan dan kekuatan. Yang demikian, menjadi dalil kekuasaan yang amat nyata bagi Allah.

Justeru, Allah bersifat `Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu', yakni dengan kata lain, jika segala yang besar pun mampu Allah cipta, apakah untuk menghidupkan manusia kembali, suatu perkara yang susah? Sudah tentu tidak, kerana Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu..

GLOSARI

* Menaqalkan : memindahkan pendapat.

- DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej

Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson,

Negeri Sembilan.
 
3 syarat sedekah capai matlamat
04.11.05 (9:44 pm)   [edit]



SEDEKAH adalah amalan suci yang amat dituntut dalam Islam. Begitu pun, kita perlu memikirkan mutu barang yang hendak disedekahkan. Perkara itu penting kerana turut mencerminkan niat amalan itu.



Dalam hal ini, ada tiga perkara yang mesti dipenuhi untuk menjadikan pemberian sedekah itu berkualiti.


Pertama, barang yang disedekahkan itu dari kategori yang baik.

Bersedekah adalah ibadat untuk merapatkan hubungan kita dengan Allah yang Maha Luas pemberian-Nya dan mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Oleh itu, tidak layak jika apa yang dipersembahkan kepada-Nya daripada benda yang kita sendiri tidak sudi menerimanya.

Oleh itu, kalau hendak memberi sedekah biarlah daripada jenis yang kita sendiri senang hati menerimanya.

Allah melarang memberikan sedekah dengan benda yang tidak baik. Firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), ke-cuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah al-Baqarah, ayat 267)


Kedua, sedekah itu daripada sesuatu yang halal dan tidak bercampur dengan perkara syubhah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak seseorang itu memberikan sedekah daripada harta yang baik – dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik – melainkan Allah yang Maha Pengasih akan Menerima sedekah itu dengan tangan kanan-Nya, sekalipun sedekah itu hanya berupa sebiji kurma. Lalu di tangan Allah yang Maha Pengasih sedekah itu bertambah-tambah sehingga menjadi lebih besar daripada gunung, seperti antara kamu memelihara (membesarkan) anak kudanya atau anak untanya.”

(Hadis riwayat Bukhari, Musli, at-Tirmizi, An-Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Al-Imam An-Nawawi, seorang ulama terkemuka dalam mazhab Syafie menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan yang baik dalam hadis di atas adalah sesuatu yang halal.

Dalam hadis lain, Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci dan bersih daripada segala kekurangan), dan Dia tidak menerima kecuali yang baik. Dan Allah Memerintahkan kepada orang yang beriman dengan apa yang Dia Perintahkan kepada rasul.”

Allah berfirman bermaksud: Wahai Rasul-rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik-baik, lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Amat Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mukminuun, ayat 51)


Ketiga, barang yang disayangi oleh pemberi sedekah.

Sunat bagi seseorang mengeluarkan sedekah atau derma daripada benda yang disukainya. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imraan, ayat 92)

Sebenarnya, di sinilah ujian berat bagi orang yang mengaku dirinya beriman. Seorang yang tidak sanggup mengeluar, membelanja atau mendermakan sesuatu yang amat disayangi atau disukainya belumlah mencapai taraf keimanan tinggi. Dia belumlah dikatakan mempunyai jiwa baik.


~~ berita harian online ~~
 
Gangguan iblis syaitan semasa hendak sembahyang
04.11.05 (9:14 pm)   [edit]

Oleh: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Sekarang saya berumur 56 tahun. Telah pencen tetapi masih bekerja sendiri. Lebih banyak bergerak dan menggunakan tenaga, berbanding dengan kerja dahulu sebagai seorang ketua pengarah di jabatan kerajaan. Saya cuba sembahyang sebaik mungkin, tetapi kurang berjaya kerana badan saya letih. Lebih banyak berfikir tentang kerja dan kurang sembahyang malam, berbanding dengan saya sebelum pencen.

Kadang-kadang saya hendak sembahyang secepat mungkin. Bagaimanakah saya hendak mengembalikan hubungan saya dengan Allah seperti dahulu? Terima kasih. - IZHAR, KL.

JAWAPAN:

Dalam usaha mengatasi masalah yang saudara hadapi, banyak perkara perlu difahami dan disedari:

(i) Saudara perlu tahu hakikat khusyuk sembahyang dan keperluannya

(ii) Kurangkan kerja yang boleh menyebabkan badan penat sehingga tidak berupaya menumpukan fikiran ketika sembahyang, termasuk sembahyang malam,

(iii) Ingatkan umur yang semakin tua

(iv) Jangan tinggalkan amalan sunat dan elakkan melakukan perkara-perkara dilarang dalam sembahyang

(v) Ingat bahawa melakukan kerja itu semata-mata kerana Allah. Sama ada kerja di pejabat kerajaan atau sendiri.

Apabila kerja itu dilakukan kerana Allah, ia diperkira ibadah. Setiap ibadah diberi pahala. Kerana itu, apabila sesuatu kerja, dilakukan sehingga terabai ibadah wajib, iaitu ibadah sembahyang, maka ketika itu melakukan kerja-kerja yang dikatakan semata-mata kerana Allah menjadi satu persoalan.

Oleh kerana kerja itu ibadah, maka urusan kerja itu tidak boleh dicampuradukkan dengan amalan mungkar, seperti pecah amanah, rasuah, menipu dan sebagainya.

Orang yang terlalu asyik bekerja, biarpun dikatakan kerana Allah, untuk menyara diri, anak dan isteri juga seluruh keluarga, tetapi apabila kerja itu menyebabkan terabainya ibadah, maka di situlah kelihatan bagaimana nafsu itu menguasai pemikiran seseorang, lalu akhirnya individu berkenaan terus leka bekerja, terus bermesyuarat biarpun waktu sembahyang telah tiba lalu akhirnya meninggalkan sembahyang dan sebagainya.

Ketika itu kerja yang dilakukan bukan merupakan ibadah lagi tetapi kerana nafsu, biarpun ia dilakukan di luar kesedaran kerana minat atau sebab-sebab lain.

Ingat bahawa kerja yang kita lakukan antaranya ialah untuk menyara hidup agar hidup ini dalam keadaan selesa, badan sihat, tidak kurang makan, ada tempat tinggal dan sebagainya termasuk pakaian, kereta dan lain-lain lagi.

Jasad yang kita bela itu akhirnya akan pupus, mati dan akan tinggal dalam tanah, menjadi habuan ulat. Begitu juga dengan rumah, kereta dan taman-taman yang mengharum mewangi, segala-galanya akan ditinggalkan, tetapi roh itu dicabut oleh malaikat akan dipersembahkan kepada Allah kekal selama-lamanya dan menerima balasan baik dan jahat, bergantung kepada amalan kita ketika hidup di dunia. Menerima balasan syurga atau neraka bergantung kepada ibadah kita, terutamanya sembahyang.

Kewajipan agama yang mula-mula difardukan oleh Allah terhadap manusia ialah sembahyang. Amalan hamba yang mula-mula sekali akan ditanya pada hari kiamat kelak ialah ibadah sembahyang. Sekiranya sembahyang yang dilakukan itu diterima Allah, maka akan diterimalah seluruh amalannya. Sekiranya tidak, maka tidak diterimalah seluruh amalan hamba berkenaan.

Hal demikian memperlihatkan bahawa sembahyang itu lambang keteguhan iman. Sekiranya sembahyang seseorang itu baik, maka baiklah lain-lain amalannya.

Barang siapa memelihara sembahyang, maka sembahyang itu akan memelihara hamba berkenaan dan akan terpeliharalah agamanya.

Barang siapa mensia-siakan ibadah sembahyang, maka sembahyang itu akan mensia-siakannya. Orang berkenaan tidak akan peduli atau mensia-siakan ibadah-ibadah yang lain.

Mereka yang tidak memperoleh ketenangan daripada sembahyang, bererti mereka tidak akan memperoleh ketenangan dalam jiwanya dalam erti kata sebenar, kerana sembahyang adalah ibadah paling utama dalam usaha memperoleh ketenangan dan tangga mukmin untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Ucapan dalam sembahyang adalah perangsang dalam jiwa untuk membentuk cara berfikir dan bertindak yang akan dipersembahkan atau dipamerkan kepada Allah.

Kerana itu setiap orang yang sembahyang mesti memahami apa yang diucapkan dalam usaha memperoleh khyusuk.

Sembahyang adalah gambaran iman. Sentuhan kasih sayang yang mampu membuka hati, menembusi rahsia zat yang Maha Agung. Ia adalah proses perpindahan jiwa seorang hamba kepada Allah yang menciptanya.

Sembahyang adalah wasilah mensyukuri nikmat Allah dan ikrar ketuhanan. Bermaksud, orang yang meninggalkan, mengabaikan atau memandang ringan sembahyang ialah orang yang mengingkari nikmat Allah.

Khusyuk ialah keadaan jiwa yang tenang. Ia adalah amalan hati. Sekiranya hati khusyuk, maka akan khusyuklah seluruh anggota badan. Gaya laku luaran menggambarkan keadaan batin, iaitu hati. Hati adalah penguasa. Jiwa yang khusyuk, menyebabkan semua anggota tubuh menjadi tawaduk, merangkumi ucapan dan gerakan tubuh.

Khusyuk ketika sembahyang hanya diperoleh oleh orang yang berupaya menumpukan seluruh pengamatan dan keprihatinan kepada Allah. Sembahyang mempengaruhi kehidupan kerana sembahyang adalah tempat atau punca ketenangan jiwa:

i) Melahirkan konsentrasi sepenuhnya kepada Allah

ii) Mempengaruhi jiwa seseorang ketika rohnya berhubung dengan zat Allah. Menghilangkan rasa gelisah, cinta dunia, tekanan resah gelisah dan sebagainya yang akhirnya akan mencetuskan rasa lega, kekuatan dalaman dan sifat qanaah lalu akhirnya menambah rasa yakin dan akhirnya menyebabkan kekuatan roh.

iii) Melahirkan sifat rendah diri, lahir daripada kesedaran terhadap keagungan Allah, mengikis rasa sombong, angkuh, riak dan takbur, juga seluruh sifat jahat berkaitan dengan hati

iv) Melahirkan sifat makrifat hakiki terhadap Allah dan keinginan terus berdampingan dengan-Nya.

v) Menghindarkan diri daripada perbuatan sia-sia, yang boleh menyebabkan seseorang itu terhindar daripada mengingati Allah.

Allah berfirman (surah al-Mukminun: 1-2):

Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam sembahyang.

Setelah sempurna menjadikan Adam, Allah memerintahkan agar para malaikat sujud kepada Adam. Semua malaikat sujud kecuali iblis. Ia enggan kerana merasakan bahawa kejadiannya lebih baik daripada Adam.

Keengganan iblis menyebabkan kemurkaan Allah, lalu ia dihalau daripada syurga dalam kutukan Allah, iblis termasuk dalam golongan kafir. Kemurkaan Allah menyebabkan iblis memusuhi Adam dan keturunannya, kerana Adamlah atau kerana keengganannya sujud kepada Adamlah menyebabkan ia terhalau dari syurga, menjadi hina, dilaknat, dikutuk terputus daripada rahmat Allah dan tidak akan mendapat pertolongan-Nya, yang akhirnya akan dimasukkan dalam neraka. Sejahat-jahat balasan di penghujung kehidupan makhluk Allah.

Dari sinilah iblis bersumpah di mana ia juga konco-konconya akan menipu, mengganggu dan menghasut manusia yang menyebabkan manusia akhirnya tunduk kepada runtunan nafsu.

Merasakan tingkah laku yang salah sebagai budaya hidup harian, manakala amalan yang baik, yang difardukan oleh Allah diabaikan. Iblis juga bersumpah akan menyesatkan manusia kecuali mereka yang ikhlas.

Dalam sebuah hadis Qudsi dijelaskan bahawa iblis akan sentiasa mengganggu dan berusaha untuk menipu manusia sepanjang hidup, sehinggalah roh berpisah daripada jasad, iaitu setelah seseorang itu mati.

Allah menjelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dalam masa yang sama, iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia, menipu dan mengganggu manusia, keturunan anak Adam.

Kerana itu tidak peliklah sekiranya iblis mengganggu setiap orang agar mengabaikan sembahyang, tidak melakukan sembahyang langsung, leka ketika sembahyang dan sebagainya yang boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu tidak sah ataupun tidak diterima Allah, menyebabkan sembahyang yang dilakukan tidak berupaya mencegah pelakunya daripada terlibat dengan kejahatan.

Iblis dan syaitan mengganggu dan memperdaya manusia ketika hendak sembahyang, menyebabkan manusia di antaranya langsung tidak mendirikan sembahyang atau melambat-lambatkan sembahyang.

Ketika berwuduk ditimbulkan rasa waswas, begitu juga ketika memulakan sembahyang, iaitu ketika berniat, ketika membaca Al-Fatihah, ketika sedang sembahyang terutamanya ketika sembahyang berjemaah.

Iblis mendatangkan pelbagai ingatan yang lepas, seperti ketika berada di kampung, di pejabat, ingatan ketika di perjalanan, mengira berapa untung dan rugi yang akan diterima atau yang ditanggung.

Iblis dan syaitan juga berupaya menimbulkan rasa mengantuk, rasa adanya keluar air kencing atau terkentut ketika seseorang itu sedang sembahyang. Semuanya adalah merupakan antara tanda-tanda gangguan iblis dan syaitan ketika sembahyang, menyebabkan seseorang itu tidak ada rasa khusyuk.

Perbezaan bentuk tipu dan helah ini dilakukan bergantung kepada kekuatan roh seseorang.

Saudara bukan golongan orang yang diganggu oleh iblis dan syaitan dalam bentuk yang dijelaskan di atas. Walaupun demikian saudara sebenarnya tertipu melalui nafsu atau kecenderungan bekerja.

Saudara menghabiskan waktu dengan bekerja, memberi seluruh pengamatan menyebabkan badan letih dan kurang tumpuan pada ibadah sembahyang, menyebabkan saudara rasakan tidak ada ruang yang cukup untuk sembahyang.

Apabila rasa letih kerana bekerja seharian itu bersatu dengan rasa tidak selesa melakukan sembahyang, ketika itu saudara akan berasa sembahyang itu seumpama kurang perlu, berbanding dengan kerja yang saudara lakukan sebelum pencen dengan begitu minat dan bertenaga. Ketika itu saudara merasakan bahawa sembahyang itu perlu dilakukan secepat mungkin, menyebabkan rasa khusyuk itu hilang.

Andainya saudara berupaya muhasabah diri dengan mengambil kira kaedah yang saya jelaskan, saudara akan menyedari di mana terletaknya kedudukan saudara sekarang, yang akhirnya saudara berpatah kembali dan melakukan sembahyang dan sembahyang waktu malam seperti yang saudara lakukan sebelum pencen.

Sekiranya tidak, saudara jelasnya termasuk dalam golongan mereka yang terpedaya, tidak berhenti-henti mengejar nikmat dunia.
 
Al-Hadith : 435
04.11.05 (9:08 pm)   [edit]
[b]Diberitahu oleh Abu Hurairah ra. bahawa Nabi, saw masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang lelaki lalu solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw.

Nabi menolak orang itu dan berasabda, "Ulangilah solat kamu kembali kerana kamu belum solat"

Lalu diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada nabi.

Sabda Nabi saw, "Ulangi solat kamu kembali, kerana anda belum solat." Sampai tiga kali Nabi saw menyuruh orang itu demikian.

Jawab orang itu, "Demi Allah, yang telah mengutuskan anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik daripada yang itu. Kerana itu ajarkanlah kepadaku."

Jawab Nabi saw, "Apabila kamu berdiri hendak bersolat, ucapkanlah takbir. Kemudian baca ayat-ayat Al Quran yang mudah bagimu. Kemudian rukuk sehingga kamu tenang dalam rukuk itu, kemudian bangun dan berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud sehingga kamu tenang di dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangun, duduk, sehingga kamu tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga kamu tenang dalam sujudmu
itu. Lakukanlah seperti itu setiap kali kamu solat."

Sahih Bukhari I, Kitab Adzan.[/b]
 
Istighfar boleh hapuskan dosa
04.06.05 (4:11 pm)   [edit]



NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Demi Allah, jika kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka.” (Hadis riwayat Muslim).



Manusia tidak boleh terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan manusia bersifat pelupa, lalai, sering mengikut hawa nafsu serta mudah dihasut oleh godaan syaitan.

Sesungguhnya, dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan. Tetapi, yang aibnya adalah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa mahu kembali bertaubat dan memohon ampun kepada Allah.

Oleh itu, beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana boleh menghapuskan dosa yang dilakukan. Sayangnya, kita sukar sekali mengamalkan istighfar, padahal ia sungguh ringkas dan mudah.

Akhirnya bertambahlah dosa yang dilakukan dari sehari ke sehari lantaran kelalaian serta tabiat suka bertangguh.

Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah, malah sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang.

 
Toba and Yellostone
04.05.05 (11:39 pm)   [edit]


Sesungguhnya mereka memandang siksaan itu jauh (mustahil).
Sedangkan Kami memandangnya dekat (pasti terjadi).
Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak.
Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan), (QS. 70:6-9)

Kita semua tahu betapa dahsyatnya apabila gunung berapi meletup. Lihat sahaja kesan letusan St Helen di Amerika dan Pinatubo di Filipina. Jika letupan terjadi di kawasan berpenduduk, beribu-ribu orang yang tinggal berdekatan atau di lereng gunung akan terbunuh. Tetapi letupan gunung-gunung berapi ini hanyalah permainan bunga api kecil jika dibandingkan dengan letupan gunung berapi "super"(super volcanoes).

Super volcanoes adalah punca kemusnahan bumi yang paling merbahaya selain hentaman asteroid. Ianya boleh meletus dengan kekuatan beribu-ribu kali ganda dari kekuatan gunung berapi biasa. Ia boleh diam beratus-ratus ribu tahun dan mengumpul magma yang banyak di dalamnya sehingga meletup dengan dahsyat yang boleh memusnahkan benua dan mengakibatkan kepupusan sejagat.

Kajian menunujukkan letupan terakhir setakat ini terjadi lebihkurang 75,000 tahun yang lalu di kawasan Toba, Sumatera. Ianya 10,000 kali ganda lebih kuat dari letupan Mt St Helens dan menghamburkan beribu-ribu km isipadu abu ke udara sehingga seluruh dunia menjadi malam berbulan-bulan. Dianggarkan letupan hebat ini telah hampir memupuskan manusia dimana jumlah penduduk dunia tinggal dua ribu orang sahaja. Kajian genetik menunjukkan semua manusia sekarang adalah keturunan dari kelompok manusia yang selamat ini. Kini saintis bimbang Toba akan meletup lagi. Kejadian gegaran demi gegaran di Sumatera sekarang mungkin pencetus atau petanda Toba kembali aktif.

Jika Toba meletup, kita semua di Malaysia hampir pasti akan mati. Semua kehidupan 1,000km sekitar letupan akan mati serta-merta. Kemudian, suhu dunia akan jatuh mendadak kerana sinar matahari akan dihalang oleh abu di angkasa selama berbulan-bulan. Banyak spesis binatang dan tumbuhan pupus akibat perubahan suhu ini. Abu tebal akan meliputi mukabumi sehingga India dan China. Tsunami raksaksa akan menghentam pantai timur Afrika, India, Asia Tenggara dan Australia.

Satu lagi super volcano yang perlu diawasi adalah Yellowstone di Amerika Syarikat. Tanda-tanda menunjukkan kawasan ini sudah kembali aktif sejak beberapa tahun lalu. Permukaan bumi kawasan ini sudah mula menggelembung. Ada kawasan sekitar Yellowstone National Park sudah ditutup sejak 2003 kepada awam kerana suhu permukaan yang terlalu tinggi. Pokok-pokok sudah mati dan haiwan liar kelihatan sudah berpindah dari kawasan ini. Di dasar Tasik Yellowstone, gelembung tanah setinggi 70m telah muncul. Ikan-ikan tasik mati dan timbul memenuhi permukaan.

Kajian menunjukkan Yellowstone meletup setiap 600,000 tahun sekali. Letupan terakhir adalah 640,000 tahun yang lalu. Kita sudah diberi 40,000 tahun perlepasan oleh Allah SWT. Mungkinkah Yellowstone akan meletup tidak lama lagi? Mengapakah pihak berkuasa Amerika dan media mereka "tutup mulut" mengenai kemungkinan bencana besar ini yang boleh membunuh berbillion-billion manusia?
 
The Glory of Azan
04.04.05 (6:41 pm)   [edit]



Tak terfikir pula kita selama ini..... Subhanallah !!!!!!!

Assalamu'alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuhu.


Azan: The Amazing Phenomenon

Amazing as it sounds, but fortunately for the Muslims of the world, it is an established fact. Have a look at a map of the world and you will find Indonesia on the eastern side of the earth. The major cities of Indonesia are Java, Sumatra, Borneo and Saibil.

As soon as dawn breaks on the eastern side of Saibil, at
approximately 5:30 am local time, Fajar Azaan begins. Thousands of Muazzins in Indonesia begin reciting the Azaan. The process advances towards West Indonesia. One and a half hours after the Azaan has been completed in Saibil, it echoes in Jakarta. Sumatra then follows suit and before this auspicious process of calling Azaan ends in Indonesia, it has already begun in Malaysia. Burma is next in line, and within an hour of its beginning in Jakarta, it reaches Dacca, the capital ! city of Bangladesh. After Bangladesh, it has already prevailed in western India, from Calcutta to Srinagar. It then advances towards Bombay and the environment of
entire India resounds with this proclamation. Srinagar and Sialkot (a city in north Pakistan)have the same timing for Azaan. The time difference between Sialkot, Quetta,and Karachi is forty minutes, and within this time, Fajar Azaan is heard throughout Pakistan.

Before it ends there, it has already begun in Afghanistan and Muscat. The time difference between Muscat and Baghdad is one hour. Azaan resounds during this one hour in the environments of Hijaaz- e-Muqaddas (Holy cities of Makkah and Madinah), Yemen, United Arab
Emirates, Kuwait and Iraq.

The time difference between Baghdad and Alexandria in Egypt is again one hour. Azaan continues to resound in Syria, Egypt, Somalia and Sudan during this hour. The time difference between eastern and western Turkey is one and a half hours, and during this time it is echoed with the call to prayer.

Alexandria and Tripoli (capital of Libya) are located at one hour's difference. The process of calling Azaan thus continues throughout the whole of Africa.

Therefore, the proclamation of the Tawheed and Risaalat that had begun in Indonesia reaches the Eastern Shore of the Atlantic Ocean after nine and half hours.

Prior to the Azaan reaching the shores of the Atlantic, the
process of Zohar Azaan has already started in east Indonesia, and before it reaches Dacca, Asar Azaan has started. This has hardly reached Jakarta one and half hours later, the time of Maghrib becomes due, and no sooner has Maghrib time reached Sumatra, the time for calling Isha Azaan has commenced in Saibil! When the
Muazzins of Indonesia are calling out Fajar Azaan, the African Muazzins are calling the Azaan for Isha.

If we were to ponder over this phenomenon thoughtfully, we would conclude the amazing fact that there is not even asingle moment when hundreds of thousands of Muazzins around the world are not reciting the Azaan on the surface of this earth. Even as you read this material right now, you can be sure there are atleast thousands of people who are hearing and reciting the Azaan!!!

Allah said, "If you are ashamed of me, I will be ashamed
of you." If you are not ashamed, please send this message...

"Yes, I love Allah. Allah is my fountain of Life and
My Savior. Allah keeps me going day and night. Without Allah, I am no one. But with Allah, I can do everything. Allah is my strength."

Hamba Allah,
Allahu Akbar


ADAB MENDENGAR AZAN...

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan aktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. lidahnya kelu, keras dan hanya mimik
mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya." Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya.
Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika
nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah.." yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak
kelu semasa nyawa kita sedang dicabut. "Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah.." semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin.. amin.. amin Yarobbal a'lamin.."


WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.;

Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.


Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.


Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.


Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang RM50 atau S$50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu ! kecil bila kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk
pertandingan bola sepak. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya. Kita boleh mengirimkan ribuan 'jokes' dan 'surat berantai' melalui
e-mail tetapi bila mengirimkan yang berkaitan dengan ibadah seringkali berfikir 2 atau 3 kali.............

 
Hanya Nabi Muhammad pemegang syafaat
04.04.05 (5:19 pm)   [edit]

HANYA Nabi Muhammad SAW diberi keistimewaan mengemukakan syafaat (pertolongan memohon) kepada Allah supaya mahkamah perbicaraan dibuka oleh Allah, sedangkan rasul lain tidak sanggup berbuat demikian.

Kesanggupan dan kejayaan itu kerana Baginda ialah penghulu kepada sekalian anak Adam pada hari kiamat.

Di tangan Rasulullah terletaknya ‘panji-panji kepujian’. Tidak ada seorang nabi pun pada hari itu, daripada Nabi Adam kepada nabi lain, melainkan berada di bawah panji-panji Baginda.

Firman Allah bermaksud: “Semoga tetaplah harapanmu (wahai Muhammad) bahawa Tuhan yang mendidikmu akan mengangkatmu ke satu darjat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

Darjat itu adalah kesanggupan Baginda dan kejayaannya meringankan keadaan huru-hara Padang Mahsyar dan penderitaan lama menunggu perbicaraan yang dijalankan oleh Tuhan yang Maha Adil.

Bagindalah nabi yang mula-mula mengemukakan syafaat dan yang mula-mula diterima syafaatnya pada hari kiamat. Perkara itu diterangkan oleh Rasulullah dalam hadis berikut:

l Daripada Abu Said al-Khudri, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku penghulu anak-anak Adam pada hari kiamat; dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah, di tanganku panji-panji kepujian; pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah, tidak ada seorang nabi pada hari itu – mulai daripada Nabi Adam hingga kepada nabi lain melainkan semuanya di bawah panji-panjiku; dan akulah orang yang mula-mula terbelah bumi untuk bangkit keluar daripadanya, dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah.”

Sabda Baginda lagi: “Kemudian manusia gempar dan haru-biru sebanyak tiga kali, lalu mereka pergi menemui Nabi Adam...”

“Akhirnya, mereka datang menemuiku, lalu aku pun pergi membawa mereka bersama... kemudian aku terus membenamkan mukaku lalu sujud, maka Allah memberi ilham kepadaku untuk memujinya dengan satu cara ucapan puji-pujian.

“Setelah itu dikatakan kepadaku: Angkatlah kepalamu dan mintalah supaya engkau diberi hajatmu dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu dan katakanlah apa saja supaya diperkenan kata-katamu.”

Kemudian Rasulullah menerangkan: “Dan itulah dia pangkat Al-Maqam-Al-Mahmud yang Allah menyatakan dengan firman-Nya “Semoga tetaplah harapanmu (wahai Muhammad) bahawa Tuhan yang mendidikmu akan mengangkamu ke satu darjat yang terpuji).” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

l Daripada Ibn Abbas, bahawa Nabi Muhammad bersabda: “...Ketahuilah! aku adalah kekasih Allah, dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah; dan aku pembawa panji-panji kepujian pada hari kiamat, dalam pada itu, pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah; dan akulah orang yang mula-mula mengemukakan syafaat, juga yang mula-mula dikabulkan syafaatnya pada hari kiamat, dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah...” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Nabi Muhammad menerangkan dalam hadis di atas bahawa ketika manusia menderita kedahsyatan huru-hara hari kiamat, mereka mendapatkan bapa manusia, Nabi Adam lalu memohon kepadanya supaya menggunakan pengaruhnya melepaskan mereka daripada penderitaan itu. Nabi Adam menyatakan bahawa Baginda tidak sanggup berbuat demikian.

Mereka kemudian memohon pula pertolongan nabi lain yang juga tidak sanggup menolong mereka.

Akhirnya, mereka memohon kepada Nabi Muhammad. Lalu, Baginda mengemukakan syafaat, yang dengan sebabnya, Allah menjalankan perbicaraan menghakimi manusia.

Maka, pada waktu itu Allah mengangkat Nabi Muhammad ke darjat yang disebut dengan nama ‘Maqam Mahmud’ iaitu darjat kebesaran yang dipuji oleh semua makhluk yang ada di Padang Mahsyar.

l Daripada Ibn Umar, katanya: “Aku ada mendengar Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya matahari akan dekat ke atas kepala manusia hingga air peluh sampai ke paras separuh telinga, maka dalam masa mereka berkeadaan demikian, mereka meminta pertolongan Nabi Adam, lalu Baginda menolak dengan berkata: ‘Aku bukanlah orang untuk itu.’

“Kemudian, mereka meminta pertolongan Nabi Musa, maka Baginda juga menjawab demikian.

“Mereka kemudian meminta pertolongan Nabi Muhammad, lalu Baginda mengemukakan syafaatnya. Selepas itu, Allah membuka perbicaraan untuk menghakimi khalayak yang ramai itu... Maka, pada waktu itulah Allah mengangkatnya (Muhammad) ke martabat Maqam Mahmud yang dipuji oleh semua makhluk yang ada di padang Mahsyar.” (Hadis riwayat Bukhari, Ibn Jarir dan Ibn Marduwaih) – Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
Enggan berselawat sifat insan kedekut
04.04.05 (4:20 pm)   [edit]

ULAMA sepakat menetapkan bahawa hukum berselawat kepada Nabi Muhammad saw adalah wajib. Bagaimanapun, mereka tidak sekata waktu wajib berselawat dan berapakah kadar bilangan selawat.

Antara perselisihan waktu berselawat di kalangan ulama itu adalah:

* Wajib berselawat ketika mengerjakan sembahyang.

* Wajib berselawat ketika membaca Tasyahud (Tahyyat).

* Wajib berselawat ketika membaca Tasyahud akhir selepas membaca dua kalimah syahadah.

Dalam seumur hidup cukuplah satu kali berselawat untuk menunaikan hukum wajibnya. Selebih daripada itu hukumnya adalah amalan sunat yang amat digalakkan Islam.

Wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad saw atau ganti namanya atau pun pangkat kenabian juga pangkat kerasulan Baginda.

Itu adalah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Hanafi, Syafie dan Hambali.

Mereka berpendapat, sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa disebutkan itu, maka dia dikira melakukan dosa besar.

Mereka berhujah bahawa Rasulullah saw memberi amaran kepada sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda.

Diriwayatkan dalam hadis itu, apabila disebutkan nama Baginda, maka sesiapa yang tidak berselawat adalah orang yang paling kedekut. Manusia jenis ini juga akan mendapat kehinaan yang memalukan.

Dia juga termasuk kalangan yang beroleh kesusahan, dijauhkan daripada rahmat Allah dan ahli neraka.

Hadis ini berdasarkan beberapa riwayat daripada Abu Zar al-Ghifari, Abu Hurairah. Begitu juga diterangkan melalui riwayat at-Tabari dan Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad.

Masa yang dituntut berselawat.

Rasulullah sentiasa mahukan umatnya memperoleh kebaikan termasuk melalui faedah berselawat kepada Baginda.

Oleh itu, banyak hadis yang menggalakkan umat Islam meluangkan seberapa banyak masa untuk berselawat.

Antaranya digalakkan berselawat setiap malam Jumaat dan sepanjang hari itu. Hal ini kerana, Jumaat adalah hari raya kebesaran bagi umat Islam.

Berkenaan dengan waktu paling afdal berselawat, ulama menjelaskan beberapa hari dituntut melakukan ibadat itu antaranya:

* Selepas selesai menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.

* Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan yang baik dan pada masa meninggalkan tempat itu.

*l Ketika berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya. Malah, ada hadis yang menyatakan bahawa doa tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepada Nabi Muhammad saw.

* l Sebaik selesai mengambil wuduk iaitu antara tasyahudnya dan membaca doa.

* Ketika masuk ke masjid dan ketika keluar darinya. Selepas berselawat elok ditambah dengan berdoa (sewaktu masuk): “Ya Allah, ampunkan dosaku dan bukakan kepadaku pintu-pintu hikmatmu.” Apabila keluar dengan doa: “Ya Allah, ampunkan dosaku dan bukakan kepadaku pintu-pintu kelebihanmu.”

* Ketika telinga berdesing iaitu dengan berkata: “Nabi Muhammad saw ialah pesuruh Allah, Allah berselawat dan mengucapkan salam ke atas Baginda. Sesungguhnya akan diingati Allah sesiapa yang sentiasa mengingati-Nya dengan kebaikan.”

* Ketika seseorang lupa terhadap sesuatu perkara. Mengenai hal ini, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berbuat demikian diberikannya kemudahan mengingati perkara itu insya-Allah.”

Selain berselawat dengan menyebut perkataan ‘selawat’ seperti yang disebut ketika tahiyyat dalam solat, disunatkan juga berselawat menggunakan kata-kata yang paling beradab sopan.

Maknanya dengan berselawat dapat menzahirkan kesempurnaan sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan keagungan darjat kehormatan serta kebaikan jasa dan budi Rasulullah saw.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya, berselawat dengan mana-mana satu cara seperti diterangkan dalam hadis dan disepakati oleh ulama.

Paling afdal, setiap umat Islam wajar berselawat seperti seseorang berselawat ketika tahiyyat dalam solat.

– Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 
Fadilat beri salam
04.04.05 (4:15 pm)   [edit]
Assalammualaikum....wbt..


UCAPAN salam yang dibiasakan dalam masyarakat Islam hanya mempunyai satu bentuk dan mesti menjadi amalan kepada setiap Muslim. Memberi salam sunat hukumnya, tetapi fadilatnya besar sehingga sesiapa yang mendengar, wajib untuk menjawabnya.

Ucapan salam itu adalah, “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” (salam sejahtera, rahmat Allah dan berkat-Nya ke atas kamu). Orang yang membalasnya (menjawabnya): “Waalaikum salam Warahmatullahi Wabarakatuh” (dan ke atasmu salam, rahmat Allah dan berkat-Nya).

Bentuk ucapan salam yang indah ini tidak boleh disamakan atau ditukar ganti dengan ungkapan lain seperti “selamat pagi”, “selamat petang” atau “good morning”. Hal ini kerana, ucapan salam memberikan pahala kepada sesiapa yang mengucapkannya, sedangkan ucapan selainnya, sekadar pada bibir dan tidak lebih daripada itu.

Salam mengandungi pengertian yang disukai dan paling dicintai oleh manusia pada segala tempat dan zaman. Salam yang diucapkan itu juga mempunyai kaedahnya. Oleh itu, kita hendaklah mengucapkannya dengan baik dan bersopan.

Kaedah itu disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada yang berjalan kaki dan yang berjalan kepada orang yang duduk dan yang sedikit mengucapkan kepada yang ramai.” (Muttafaq alaih)

Memberi salam juga boleh diucapkan kepada sesiapa saja sama ada kepada lelaki atau wanita. Dalam satu hadis riwayat Muslim daripada Asma’ Yazid, katanya: “Bahawa Rasulullah melalui masjid pada suatu hari yang mana pada waktu itu ada sekumpulan wanita sedang duduk. Maka Rasulullah mengisyaratkan tangan Baginda sambil mengucapkan salam kepada mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Ucapan salam yang mulia ini juga amat digalakkan untuk dibiasakan terhadap anak-anak kecil supaya mereka dilatih dari kecil untuk sentiasa mengucapkan salam.

Dalam satu riwayat daripada Anas: “Bahawa dia (Anas) melalui (sekumpulan) anak-anak kecil lalu dia mengucapkan salam kepada mereka dan berkata: Adalah Rasulullah telah melakukannya (mengucapkan salam kepada anak-anak).” (Muttafaq alaih)

Kita disuruh supaya mengucapkan salam dengan lemah-lembut, tenang dan suara tidak terlalu kuat.

Salam turut diucapkan ketika memasuki atau keluar sesuatu majlis. Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu tiba dalam majlis, hendaklah dia mengucapkan salam dan apabila bangun daripadanya hendaklah juga mengucapkan salam kerana tidaklah salam yang pertama itu lebih utama daripada salam kedua.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Sudah tiba masanya ucapan salam diberi keutamaan daripada ucapan lain dalam sebarang kegiatan harian umat Islam.


sumber ~~ berita harian online ~~
 
Muchlis laung azan sewaktu gempa bumi
04.03.05 (6:02 pm)   [edit]


GUNUNG SITOLI (PULAU NIAS) 3 April - ``Saya ketika itu sedang berehat bersama-sama isteri dan sudah mahu masuk tidur, tiba-tiba semuanya bergegar dan kami saling berpelukan kerana ketakutan.

``Lepas itu saya terdengar tiga dentuman besar, lantas dengan segera saya menarik tangan isteri dan kami cuba berlari sekuat mungkin ke arah bukit kerana risau kemungkinan datang ombak besar (tsunami),'' kata Muchlis.

Pengusaha kedai kasut itu berkata, dia kemudiannya berulang-kali melaungkan azan sekuat hatinya, tidak sampai seminit selepas itu gegaran pun hilang dan keadaan tiba-tiba menjadi sunyi sepi.

Dia yang juga seorang ahli jawatankuasa Masjid Al-Furqan di sini, kemudian berlari semula ke rumahnya dan ketika itulah dia melihat kemusnahan paling teruk yang pernah disaksikan sepanjang hidupnya.

``Rumah dan kedai tiga tingkat kami runtuh, begitu juga keadaan sekeliling, semuanya rata, yang kedengaran hanyalah suara pekikan jiran-jiran yang menjerit kesakitan.

``Sayu rasanya hati ketika itu kerana tidak banyak yang dapat dilakukan selain melihat kematian demi kematian di depan mata,'' katanya dengan linangan air mata.

Sementara itu anak perempuannya, Lesmiyanti, menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat dilupakannya apatah lagi bila mengenangkan nasib kedua ibu bapanya itu di kampung.

Dia yang sedang menuntut di Universiti Padjajaran, Jakarta dalam jurusan Sarjana Teknologi Maklumat hanya mampu menitiskan air mata dan berdoa sepanjang masa dengan harapan tiada anggota keluarganya yang menjadi mangsa.

Semua kegusaran itu lenyap apabila Lesmiyanti akhirnya dapat menghubungi bapanya di Pulau Nias. - Utusan
 
Syeikh Abdul Wahhab Rokan - Mursyid tarekat yang berwibawa
04.03.05 (5:53 pm)   [edit]

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


BABUSSALAM, Langkat, Sumatera Timur adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al- Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura. Namanya ketika kecil ``Abul Qasim'', digelar juga dengan ``Faqih Muhammad''. Nama lengkap Syeikh Abdul Wahhab bin `Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Lahir 10 Rabiulakhir 1242 H/11 November 1826 M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada hari Jumaat, 21 Jamadilawal 1345 H/26 Disember 1926 M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya.


PENDIDIKAN

Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahhab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya (Malaysia Barat) ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854 M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Pelajaran tasawuf khusus mengenai Thariqat Naqsyabandiyah Abdul Wahhab dididik oleh seorang ulama besar yang cukup terkenal, beliau ialah Syeikh Sulaiman Zuhdi di Jabal Abi Qubis, Mekah.

PULANG DAN AKTIVITI

Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854 M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Di Babussalamlah dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, tarbiyah ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t.

Sungguh pun demikian Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan tidak mengabaikan perjuangan duniawi kerana beliau bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin, Sultan Kerajaan Rokan dan Haji Abdul Muthallib, Mufti Kerajaan Rokan pernah mengasaskan ``Persatuan Rokan''. ``Persatuan Rokan'' bertujuan secara umumnya adalah untuk kemaslahatan dan kebajikan Rokan. Walau bagaimana pun tujuan utamanya adalah perjuangan kemerdekaan untuk melepaskan Kerajaan Rokan dari penjajahan Belanda. Pembahagian kerja ``Persatuan Rokan'' ialah Sultan Zainal Abidin sebagai pelaksana segala urusan luar negeri. Haji Abdul Muthallib menjalankan pekerjaan-pekerjaan dalam negeri dan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab sebagai menerapkan pendidikan memberi semangat pada masyarakat.

PERKAMPUNGAN BABUSSALAM

Dalam tarikh 12 Syawal 1300 H/12 Ogos 1883 M Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan bersama 160 orang pengikutnya dengan menggunakan 13 buah perahu memudiki Sungai Serangan menuju perkampungan peribadatan dengan undang-undang atau peraturannya tersendiri yang dinamakan Babussalam. Pendidikan mengenai keislaman diterapkan setiap hari dan malam, sembahyang berjemaah tidak sekali-kali diabaikan. Tilawah al-Quran, selawat, zikir, terutama zikir menurut kaedah Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dan lain-lain sejenisnya semuanya dikerjakan dengan teratur di bawah bimbingan ``Syeikh Mursyid'' dan ``khalifah-khalifah''nya. ``Syeikh Mursyid'' adalah Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sendiri. ``Khalifah'' ada beberapa orang, pada satu ketika di antara ``khalifah'' terdapat salah seorang yang berasal dari Kelantan. Beliau ialah khalifah Haji Abdul Hamid, yang masih ada kaitan kekeluargaan dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Pada tahun 1342 H/1923 M Asisten Residen Belanda bersama Sultan Langkat menyematkan ``Bintang Emas'' untuk Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Wakil pemerintah Belanda menyampaikan pidatonya pada upacara penyematan bintang itu, ``Adalah Tuan Syeikh seorang yang banyak jasa mengajar agama Islam dan mempunyai murid yang banyak di Sumatera dan Semenanjung dan lainnya, dari itu kerajaan Belanda menghadiahkan sebuah ``Bintang Emas'' kepada Tuan Syeikh. Seorang sufi sebagai Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan penyematan bintang seperti itu bukanlah merupakan kebanggaan baginya, mungkin sebaliknya bahawa bisa saja ada maksud-maksud tertentu daripada pihak penjajah Belanda untuk memperalatkan beliau untuk kepentingan kaum penjajah yang sangat licik itu. Oleh itu, dengan tegas Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan berkata ketika itu juga, ``Jika saya dipandang seorang yang banyak jasa, maka sampaikanlah pesan (amanah) saya kepada Raja Belanda supaya ia masuk Islam.''

KARYA

Tidak banyak diketahui hasil penulisan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Setakat ini yang dapat dikesan ialah:

1. Munajat, merupakan kumpulan puji-pujian dan pelbagai doa.

2. Syair Burung Garuda, merupakan pendidikan dan bimbingan remaja .

3. Wasiat, merupakan pelajaran adab murid terhadap guru, akhlak, dan 41 jenis wasiat.

Petikan 41 wasiat yang dimaksudkan beliau antaranya; Wasiat yang pertama, ``Hendaklah kamu sekalian masyghul dengan menuntut ilmu Quran dan kitab kepada guru-guru yang mursyid. Dan hinakan diri kamu kepada guru kamu dan perbuat apa-apa yang disuruhnya. Jangan bertangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan seolah-olah diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucu, kemudian kepada orang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu, tetapi minta upah dan gaji itu kepada Tuhan Esa lagi Kaya Murah, iaitu Allah Ta'ala.''

Wasiat yang kedua, ``Apabila kamu sudah baligh hendaklah menerima Thariqat Syaziliyah atau Thariqat Naqsyabandiyah supaya sejalan kamu dengan aku. ``Wasiat yang kedua ini jelas bahawa Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat menekankan amalan tarekat. Mengenai ini juga ada hujah-hujah yang kuat di kalangan penganut-penganut sufi, walau pun ada golongan yang tidak sependapat dengan yang demikian itu. Pada pandangan saya mempertikaikannya adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia, kerana bermujadalah adalah termasuk salah satu sifat mazmumah (dicela) oleh syarak Islam.

Wasiat yang ketiga, ``Jangan kamu berniaga - maksudnya jika terdapat penipuan atau pun riba. Jika hendak mencari nafkah hendaklah dengan tulang empat kerat seperti berhuma dan berladang dan menjadi amil (orang yang bekerja, pen:). Dan di dalam mencari nafkah itu hendaklah bersedekah tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh, maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus, sedekahkan sepuluh dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira empat puluh hari maka boleh mencari.''

Wasiat yang keempat, ``Maka hendaklah kamu berbanyak-banyak sedekah sebilang hari istimewa pada malam Jumaat dan harinya. Dan sekurang-kurang sedekah itu empat puluh duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.''

Wasiat yang kelima, ``Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang

alim-alim dan ulama-ulama dan salih-salih.''

* Wasiat yang keenam, ``Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya seperti hendak menjadi kadi, imam dan lain-lainnya istimewa pula hendak jadi penghulu-penghulu dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang halus.''

Wasiat yang ketujuh, ``Jangan kamu menuntut ilmu sihir seperti kuat, dan kebal dan pemanis serta lainnya kerana sekalian ilmu telah ada di dalam al-Quran dan kitab.''

Wasiat yang kelapan, ``Hendaklah kamu kuat menghinakan diri kepada orang Islam, dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syarak.''

Demikianlah 8 wasiat yang dipetik dari 41 wasiat Syeikh Abdul Wahhab Rokan, semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak ditafsirkan kemungkinan orang-orang yang berada di luar lingkungan sufi akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden. Sebelum anda sempat mengikuti pentafsirannya, saya berpendapat bahawa jalan menuju takwa kepada Allah sekali-kali adalah tidak menghalang kemajuan dunia moden jika kemajuan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

MURID

Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah

Thariqat Naqsyabandiyah Jalan Ma'rifah, cetakan pertama tahun 1976 di Malaysia, diterbitkan oleh pengarangnya sendiri.