 Blog For Free!
Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August
My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8
tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images
Sponsored
Blog


 Free Hit Counter
|
| Lafaz azan lahir daripada mimpi, wahyu |
| 09.28.05 (2:24 pm) [edit] |
AZAN adalah lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardu dan menyeru orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.
Azan dari segi bahasa ialah "al-i`lam" (pemberitahuan) atau "an-nida'" (seruan). Ini dapat dilihat dalam al-Quran seperti firman Allah bermaksud: “Pemberitahuan daripada Allah dan rasul-Nya kepada sekalian manusia." (Surah at-Taubah, ayat 3). Firman Allah lagi bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji..." (Surah al-Haj, ayat 27)
Dari segi syarak pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan waktu sembahyang dengan lafaz tertentu.
Azan disunatkan ketika hendak mendirikan sembahyang sama ada sembahyang tunai atau qada. Hukum azan adalah sunat muakkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan itu. Bagi individu pula, ia adalah sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat diperoleh apabila seseorang itu melakukannya.
Al-Quran, sunnah dan al-Ijmak menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat dalam Islam. Ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala besar. Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah bermaksud:
"Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang..." (Surah al-Maidah, 58)
Dalil daripada sunnah pula merangkumi banyak hadis. Antaranya hadis bermaksud: "Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Hal ini terkandung dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar. Pada mulanya ketika orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi mengumpulkan sahabat untuk bermesyuarat mengenai cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.
Dalam mesyuarat itu, ada beberapa cadangan.
Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat. Apabila bendera berkibar, orang yang melihatnya hendaklah memberitahunya kepada orang ramai. Ada juga yang mencadangkan supaya ditiup trumpet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi. Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang Nasrani. Ada juga usul supaya dinyalakan api di atas bukit. Orang yang melihat api itu hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.
Semua usul yang diajukan ditolak Nabi. Kemudian, Umar bin al-Khattab mencadangkan agar diteriakkan ucapan: "Telah datang waktu solat." Usul itu diterima Rasulullah, tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz "assolatu jami`ah" yang bererti "marilah solat berjemaah".
Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid bermimpi seorang lelaki datang kepadanya dengan membawa loceng. Abdullah memohon agar loceng itu dijual kepadanya. Pembawa loceng bertanya: "Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?" Abdullah menjawab: "Kami akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat kepada orang ramai."
Apabila mendengar jawapan itu, pembawa loceng itu berkata: "Mahukah tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?" Abdullah menjawab: "Itu baik sekali." Lalu pembawa loceng itu berkata: "Kumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz azan)."
Pada pagi harinya, Abdullah menemui Nabi, Baginda bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar." Rasulullah memerintahkan Bilal bin Rabah supaya mengumandangkan azan itu. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang kepada Nabi dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah.
Di sini jelas menunjukkan lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi mempunyai persamaan dengan lafaz azan yang didengar oleh Abdullah dan Umar mimpi masing-masing. Begitu pun, mimpi itu bukan menjadi dasar pensyariatan azan kerana secara kebetulan lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi mempunyai persamaan dengan mimpi kedua-dua sahabat tadi. Sandaran azan bukan saja melalui mimpi, bahkan ia diperkuatkan dengan penerimaan wahyu.
Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: "Nabi pada malam Israk Mikraj diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam dan Nuh, Allah menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi." – Bersambung.
Petikan al-azim.com, laman Web yang diselenggarakan dalam Program e-Masjid anjuran Kerajaan Negeri Melaka.
|
|
|
| |
| Berdakwah dalam masyarakat majmuk banyak cabaran |
| 09.22.05 (3:39 pm) [edit] |
Oleh Muhammad Sylvester Abdullah
BERDAKWAH dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri. Latar belakang pelbagai etnik, bahasa, kecenderungan individu dan masyarakat berlainan mewujudkan cabaran dan pelbagai permasalahan kepada seorang Muslim yang mahu berdakwah.
Cabaran paling besar pada seorang pendakwah adalah dirinya sendiri. Ramai Muslim yang tidak sedar status kewajipan berdakwah. Oleh itu, mereka mengambil tugasan berdakwah sambil lewa. Berdakwah atau tidak bukan persoalan penting kepada mereka. Tanpa kesedaran bahawa status dakwah itu adalah wajib dan kefarduan kepada setiap Muslim, maka kemungkinan ia tidak dilaksanakan itu ada.
Umat Islam perlu tahu bahawa dakwah itu adalah fardu ain dan wajib ke atas setiap Muslim. Firman Allah bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Cabaran kedua adalah keadaan dalaman dari umat Islam sendiri.
Keadaan sebahagian umat Islam yang mementingkan duniawi serta sensitiviti mereka terhadap teguran dan usaha pendakwah mungkin menimbulkan kesukaran kepada pendakwah. Kalimah seperti ‘jangan jaga tepi kain orang’ dan ‘masing-masing jaga kubur masing-masing’ mungkin manifestasi kepada cabaran ini.
Ketiga adalah dalam bentuk salah faham terhadap syariat Islam.
Salah faham ini bukan hanya berlaku kepada bukan Islam, malah di kalangan orang Islam sendiri. Hal ini dimanifestasikan dalam bentuk sama ada orang Islam sendiri tidak yakin atau tidak mengamalkan Islam dengan sempurna. Hasilnya adalah contoh kurang baik dari kalangan orang Islam. Contoh kepada masalah ini adalah salah faham terhadap kewajipan menutup aurat dan apa yang dikira sebagai menutup aurat dengan sempurna, pengharaman dadah, larangan terhadap pergaulan bebas dan sebagainya.
Cabaran keempat dalam bentuk cabaran luaran terhadap pendakwah.
Cabaran ini adalah dalam bentuk pemikiran dan cara hidup yang berpotensi mengalihkan orang Islam kepada bentuk yang tidak selari dengan pemikiran dan cara hidup Islam.
Dalam arena dakwah seorang Muslim adalah seperti seorang jurujual yang memasarkan satu barangan yang sangat berharga, di samping hiruk-pikuk penjual lain yang terlalu ramai memasarkan pelbagai barangan yang bersaing terus dengan barangannya. Yang menyenangkan hatinya adalah barangan yang dipasarnya adalah asli, paling berharga dan jauh lebih baik dari semua yang lain.
Kelima, ada pendakwah tidak sedar arena dakwah yang luas di hadapan mata mereka.
Ada pendakwah yang gagal melihat atau mengambil peluang dakwah yang ada di hadapan mata mereka.
Manusia mengharapkan kehidupan terbaik. Manusia juga mengharapkan kejayaan, kebahagiaan, keharmonian dan segala keselesaan, terutama ketenangan jiwa. Apabila seseorang itu menganut agama Islam, itulah yang akan diperolehnya.
Islam agama daripada Tuhan yang menciptakan manusia. Islam adalah agama yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Mengetahui keadaan manusia. Setiap degupan jantungnya adalah dalam kekuasaan Tuhan.
Tuhan yang Maha Pemurah ini mahukan manusia beriman kepada-Nya. Tanggungjawab Muslim untuk berdakwah mengajak manusia kepada jalan-Nya. Tanggungjawab ini sekadar menyampaikan, tidak boleh memaksa kerana ajaran Islam menyuruh tidak ada paksaan dalam beragama.
Diharapkan pendakwah melakukan perubahan paradigma dalam dakwah dan melihatnya dalam semua aspek.
Pendakwah juga perlu membawa pendekatan baru dalam dakwah kepada yang belum Islam untuk memastikan keberkesanannya.
Diharapkan umat Islam mula menanam minat dan berusaha menimba ilmu dakwah supaya lebih ramai melakukannya dengan baik. Dalam suasana yang aman kini, ruang dakwah terbuka luas dan amat mudah untuk berdakwah.
Penulis ialah seorang saudara baru dan Ketua Biro Dakwah Masyarakat Majmuk JIM boleh dihubungi pada nsylvester@hotmail.com
|
|
|
| |
| Pandai mendengar... menjadikan kita pandai belajar |
| 09.21.05 (4:44 pm) [edit] |
KALAU Tuhan mahu, Tuhan boleh beri manusia satu telinga dan dua mulut, tetapi Tuhan beri sebaliknya. Barangkali dengan pemberian itu manusia akan mengerti bahawa kita patut lebih banyak membuka telinga kita daripada membuka mulut kita.
Tetapi ramai daripada kita salah sangka. Kita menyangka kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran bercakap untuk mengemukakan pendapat, pemikiran dan perasaan dengan betul dan dengan terus terang. Jadi kita selalu digalakkan oleh penceramah-penceramah supaya jangan takut bercakap kerana bercakap itu baik, begitu kata mereka.
Mereka berkata kepada kita, ''Nyatakan perasaan anda. Jangan pendamkan perasan. Cakaplah... Anda jangan takut untuk menyatakan apa yang anda rasa. Anda mesti berani berterus terang!'' Begitulah lebih kurang bunyi galakan bercakap yang kerap kita dengar daripada para penceramah. Kita belum mendengar penceramah-penceramah menggalakkan kita supaya berhenti bercakap dan banyakkan diam.
Di sekolah, kanak-kanak dilatih supaya pandai bercakap. Sekolah mengadakan berbagai-bagai aktiviti dan galakan bercakap. Pelbagai pertandingan dan hadiah disediakan oleh sekolah untuk menggalakkan kita berani bercakap. Di sekolah tidak ada hadiah disediakan untuk kanak-kanak yang menang dalam pertandingan mendengar. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan lulusan sekolah tidak mempunyai kemahiran mendengar.
Seorang manusia yang dianggap paling pintar ialah seorang lelaki. Dia hanya mula boleh bercakap apabila umurnya hampir empat tahun. Namanya ialah Albert Einstein. Tetapi kita selalu keliru, kita sangka orang yang pandai bercakap adalah orang yang banyak ilmu dan orang yang pintar. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang pandai bercakap berasa suka hati kerana percaya mereka mendapat anak yang pintar.
Pakar-pakar mengesahkan bahawa kanak-kanak perempuan lebih cepat pandai bercakap dibandingkan dengan anak kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan juga lebih petah bercakap dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki.
Kajian pakar-pakar komunikasi mendapati wujudnya perkaitan yang kuat antara kejayaan seseorang dengan kemahirannya mendengar. Mereka mendapati orang-orang yang mengalami banyak kegagalan mempunyai kemahiran yang lebih rendah daripada orang-orang yang berjaya. Fenomena ini berlaku baik di dalam bidang kerjaya mahupun di dalam bidang perhubungan peribadi.
Didapati pengurus-pengurus yang berjaya mempunyai kemahiran mendengar yang tinggi. Mereka juga mendapati orang-orang yang berjaya di dalam percintaan dan perkahwinan adalah orang-orang yang mahir mendengar.
Adalah susah apabila kita mahu bercakap dan mendengar serentak. Sama susahnya kalau kita cuba berdiri dan baring serentak. Nampaknya kita tidak ada pilihan. Kalau mahu mendengar kita mesti diam. Apabila kita ''sangat pandai'' bercakap (seperti halnya dengan ramai isteri yang bermasalah) bilakah masanya kita hendak mendengar? Padahal mendengar mempunyai fungsi-fungsi yang sangat penting.
Fungsi mendengar ialah untuk belajar, untuk mempengaruhi orang, menjalin hubungan, untuk berseronok dan untuk menolong orang lain.
Mendengar Untuk Belajar:
Apabila kita pandai mendengar, kita akan pandai belajar. Isteri yang banyak mendengar suaminya akan banyak belajar tentang hati dan jiwa suaminya. Sesiapa yang sibuk bercakap tidak belajar. Dalam konteks komunikasi, kita mendengar untuk memahami orang-orang lain, untuk memahami diri sendiri, memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada kita, untuk memahami alam dan untuk belajar daripada orang- orang lain yang mengetahui perkara-perkara yang tidak kita ketahui ataupun yang tidak pernah kita alami lagi.
Dalam konteks hubungan suami isteri, kita mendengar untuk belajar tentang diri pasangan kita. Jika seseorang isteri mendengar suaminya bercakap, dia berpeluang belajar mengenali 'siapa' suaminya. Ramai isteri yang sudah bertahun-tahun berkahwin masih berkata mereka tidak faham suaminya.
Mendengar Untuk Menjalin Hubungan:
Manusia lebih suka mendengar suaranya sendiri. Bunyi yang paling sedap di telinga kita ialah bunyi-bunyi yang kita keluarkan daripada mulut kita sendiri. Bukan bunyi-bunyi yang keluar daripada mulutorang lain. Patutlah jualan mesin kara-o-ke sangat laris. Ciptaan itu memberi manusia peluang mendengar suaranya sendiri. Fitrah inilah yang menyebabkan manusia lebih suka kepada orang-orang yang memberi dia peluang mendengar suaranya sendiri.
Apabila kita banyakkan mendengar orang lain bercakap, lebih mudah bagi kita menjalin, mengekalkan, dan mencipta hubungan kasih sayang yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Hubungan baik dan mesra itu terjalin kerana orang yang didengar suka menerima kehadiran si pendengar. Fakta ini disahkan oleh kajian pakar-pakar komunikasi interpersonal yang mendapati bahawa manusia suka kepada manusia-manusia lain yang mahu mendengar mereka bercakap.
Dalam konteks hubungan suami isteri, apabila si isteri pandai mendengar suaminya bercakap, suaminya akan berasa dirinya diminati oleh isterinya. Akibatnya si suami akan lebih rajin bercakap-cakap, berbual-bual, berunding dan mengadu kepada isterinya. Akibatnya si suami akan menghargai hubungan mereka berdua. Suami yang seperti ini akan lebih terbuka untuk mendengar giliran isterinya pula bercakap. Inilah faktor yang menyebabkan kedua-dua belah pihak mendapat banyak rasa kepuasan dalam hubungan mereka.
Mendengar Untuk Mempengaruhi:
Ramai isteri mengadu suami mereka tidak mahu mendengar cakap mereka. Akibatnya hubungan mereka selalu tegang dan mereka tidak puas. Kata seorang isteri ''Bercakap dengan tunggul lebih baik!'' Ramai isteri yakin cara untuk mempengaruhi suami mereka ialah dengan cara bercakap kepada suami mereka.
Sebenarnya, bercakap bukanlah cara yang baik untuk mempengaruhi orang lain. Sebaliknya diam dan mendengar adalah strategi yang lebih berkesan. Apabila seseorang isteri itu pandai mendengar, lebih mudah baginya mempengaruhi sikap dan tingkah-laku si suami. Kajian mendapati orang yang didengar akan menghormati orang yang suka mendengarnya bercakap. Didorong oleh rasa hormat, mereka tidak bersikap defensif, oleh itu mereka mudah menerima pandangan dan idea-idea orang yang dihormatinya. Sebagai contoh, kajian menunjukkan orang-orang bawahan lebih terbuka mendengar pendapat ketua yang pada pandangan mereka mahu mendengar dengan teliti dan prihatin apa yang mereka kemukakan.
Mendengar Untuk Berseronok:
Rasa seronok ialah pendorong yang sangat berkesan. Lelaki suka berada di rumah selagi rumah memberi dia keseronokan. Kita menyukai seseorang selagi orang itu menyeronokkan kita. Apabila sesuatu itu menimbulkan rasa seronok, kita suka melakukannya. Kita suka mendengar cerita-cerita, lawak-jenaka, gurau senda dan perbualan kosong daripada rakan-rakan kita semata-mata kerana hendak berseronok-seronok dengan mereka. Kita hendak menikmati kehadiran mereka, dan kita seronok dengan aktiviti perbualan itu. Ini kita lakukan dengan cara mendengar apa-apa sahaja yang mereka ceritakan tanpa bersikap kritikal ataupun tanpa menilai apa yang kita dengar.
Kemahiran mendengar untuk berseronok adalah unsur utama yang diperlukan di dalam aktiviti gurau senda. Ramai wanita tidak mempunyai kemahiran mendengar jenis ini. Mereka tidak pandai membezakan kata-kata yang dimaksudkan untuk bersenda semata-mata dengan kata-kata yang serius. Mereka cenderung menganggap semua kata-kata suami adalah bermaksud serius. Akibatnya mereka bersikap kritikal terhadap cakap suami. Sebaik-baik si isteri bersikap kritikal, matilah nafsu suami untuk melawak dan bersenda dengan isterinya.
Mendengar Untuk Menolong:
Ada kalanya dengan cara mendengar kita dapat menolong orang lain kerana kita dapat merasakan apa yang mereka rasakan dan kita dapat berfikir dengan menggunakan sudut pandangan mereka. Bagi tujuan ini, kemahiran mendengar yang digunakan ialah kemahiran mendengar secara empati.
Panduan Mendengar:
Orang yang bercakap dengan kita bercakap menggunakan dua jenis bahasa, iaitu bahasa mulut dan juga bahasa badan. Untuk memahami apa yang dikatakannya lakukan perkara-perkara berikut:
1. Beri tumpuan kepada kata-kata orang itu dan juga kepada gerak-geri bahasa badannya.
2. Dengar apa yang dikatakannya, dan dengar juga apa yang tidak dikatakannya.
3. Tumpukan perhatian kepada orang itu. Jangan sibuk memikirkan apa yang kita sendiri hendak katakan.
4. Jangan suka mencelah cakapnya. Jangan ''berebut mikrofon'' kata pepatah moden. Tunggu sampai dia habis bercakap, baru kita pula bercakap.
5. Jangan pedulikan gangguan-gangguan yang ada semasa kita sedang mendengar dia bercakap.
6. Fahami apa kata orang itu daripada sudut pandangannya. Jangan tafsirkan kata-katanya daripada sudut pandangan kita.
7. Tunjukkan sikap dukungan kepada orang itu dengan berkata seperti ''hm.... hm....'' dan gerak-geri seperti mengangguk- anggukkan kepala.
8. Banyakkan bersetuju dengan apa yang dikatakannya.
Banyak perkara yang kita buat menghalang kita daripada mendengar secara yang berkesan. Perbuatan-perbuatan itu ialah:
1. Kita cuma hendak mendengar apa-apa maklumat yang dapat kita jadikan peluru untuk menembak orang itu semula. Maklumat-maklumat lain, walaupun relevan, kita buang ke tepi.
2. Pura-pura mendengar, iaitu kita berlakon seolah-olah kita berminat mendengar apa yang dikatakan oleh orang itu, tapi sebenarnya otak kita di tempat lain.
3. Membuat penilaian, rumusan dan keputusan walaupun orang itu belum habis bercakap.
4. Sibuk memikirkan apa yang ada dalam kepala kita, bukannya sibuk mendengar orang itu bercakap. Kita berasa fikiran kita lebih penting daripada apa yang orang itu fikirkan dan rasakan.
5. Sibuk bercakap, bukan sibuk mendengar. Pantang orang itu berhenti sekejap menarik nafas, kita pun terus mencelah.
6. Tidak minat mendengar kata-kata orang itu kerana kita dia akan mengatakan apa-apa yang kita tidak suka dengar.
Ramai isteri yang sangat petah bercakap kepada suami. Mereka juga tidak suka mendengar cakap suami. Mereka pandai menjawab suami. Kata pepatah Melayu, ''Kita cakap satu, dia jawab sepuluh.'' Mereka mahu suami mendengar cakap mereka.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa tidak ada perkaitan antara kemahiran bercakap dengan kemahiran mendengar. Ramai orang yang pandai bercakap sebenarnya sangat bodoh mendengar. Ramai orang yang bodoh bercakap, pandai mendengar. Jadi, kalau kita rasa kita pandai bercakap, besar kemungkinannya kita bodoh mendengar.
|
|
|
| |
| Dunia dirasa, akhirat dicari |
| 09.21.05 (4:34 pm) [edit] |
SEMAKIN jauh perjalanan, semakin luas pengalaman. Satu ungkapan kata yang benar malah akan lebih memberi erti sekiranya perjalanan serta pengalaman itu dapat dikongsi bersama demi kebaikan.
Baik buruk kita jadikan teladan dan iktibar di masa depan. Itu tujuan Dia memberikan akal dan fikiran untuk berfikir dan menilai. Kita semua tidak akan hidup menongkat langit. Hadapi segalanya dengan akal dan ilmu-ilmu dunia dan akhirat.
Maafkan sekiranya ada rangkaian kata-kata yang menyinggung perasaan. Berkata seorang ulamak biarlah kakiku yang sakit asalkan jangan hatiku yang sakit, kerana sekiranya kakiku yang sakit, aku hanya tidak dapat berjalan. Tetapi sekiranya hatiku yang sakit, aku akan hilang kebahagiaan.
Berawas-awaslah menjaga diri kerana sungai pun adakalanya berubah. Inikan pula hati manusia yang sering pudar manakala mendapat sesuatu yang baru, cantik, mulia ataupun lebih berharga daripada apa yang ada di negara sendiri.
Kita semua sama daripada segi penciptaan. Cuma yang berbeza adalah hati dan perasaan, akal dan fikiran. Inilah yang menentukan kesempurnaan dalam penghidupan.
Bukan kesempurnaan dalam kecantikan, harta benda, kesenangan, kaya, mewah dengan wang ringgit bukan itu ukuran di mata Tuhan. Kecantikan akan dimamah usia, kekayaan, harta benda akan musnah disebabkan putaran alam.
Kita merancang, Tuhan menentukan. Kerana itu tidak dewasa seseorang itu jika tidak menemui kegagalan. Kita semua tahu erti kekecewaan, kecewa boleh membawa kehancuran dalam penghidupan dan betapa peritnya untuk menyambung hidup dengan kekecewaan.
Di samping itu kita juga perlu ingat, segala apa yang kita ada hari ini atau esok adalah pinjaman dari Dia. Oleh itu tidak ada sebab mengapa kita hendak mendabik dada dengan apa yang kita ada.
Teringat saya akan kata-kata Imam At-Tabari: ''Bahawa naluri manusia terhadap dunia sebenarnya adalah sama, yakni ingin mempunyai banyak lagi tanpa menyedari bahawa dia tidak akan kekal bersama hartanya itu. Dan hartanya itu pula tidak akan kekal bersamanya.''
Kita hidup di dunia ini antara dua tangisan. Tangisan pertama sewaktu kita dilahirkan, tangisan kedua sewaktu kesakitan apabila malaikat maut mencabut nyawa.
Oleh kerana itu pergunakan umur ini untuk beramal sebaik mungkin. Kerana kita lahir tidak membawa apa-apa dan mati pun demikian juga.
Kesimpulannya wahai teman-teman, dunia kita rasa, akhirat kita cari. Itulah dia kesempurnaan dalam penghidupan. Insya-Allah, pastinya ada kebahagiaan.
|
|
|
| |
| Kolam al-Kauthar khusus untuk Nabi Muhammad |
| 09.19.05 (4:16 pm) [edit] |
Petikan Mastika Hadis, terbitan Jakim
ALLAH menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang melaksanakan perintah-Nya dengan penuh ketakwaan, keimanan, tulus dan ikhlas semata-mata kerana-Nya.
Kebahagiaan dan kenikmatan syurga memang sukar diterangkan. Namun, Rasulullah SAW ada menceritakannya dalam hadis Baginda.
Daripada Abu Sa'id al-Khudri, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman kepada ahli syurga: "Wahai ahli syurga!
Mendengarkan yang demikian, mereka menjawab: "Kami sentiasa menyahut seruan-Mu ya Tuhan kami! Dan sentiasa memuliakan-Mu, sedangkan segala kebaikan tetap dalam kekuasaan-Mu!
"Tuhan berfirman lagi: "Adakah kamu berpuas hati dengan balasan nikmat syurga yang ada ini?"
Mereka menjawab: "Mengapa pula kami tidak berpuas hati ya Tuhan kami, sedang Engkau telah mengurniakan kami dengan pemberian-pemberian yang tidak pernah Engkau berikan kepada sesiapa pun daripada makhluk-makhluk yang Engkau jadikan?'
Mendengarkan itu, Tuhan berfirman: "Mahukah Aku berikan kepada kamu yang lebih baik daripada itu?" Bagi menjawab pertanyaan itu mereka pula bertanya: "Apa dia yang lebih baik daripada itu?"
"Allah berfirman: "Aku limpahkan kepada kamu keredaan-Ku, maka dengan yang demikian Aku tidak murka kepada kamu sesudah itu selama-lamanya." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Imam Ahmad).
Antara perkara akhirat yang wajib diketahui serta dipercaya dan diakui benarnya ialah di sana ada kolam air bagi setiap nabi untuk diminum oleh umat masing-masing.
Bagi Nabi Muhammad disediakan sebuah kolam yang airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada air madu, pialanya banyaktidak terhitung.
Nabi Muhammad akan berada dekat kolam itu pada Hari Kiamat menunggu sesiapa antara umatnya yang datang minum daripada airnya.
Sesiapa yang dapat minum dari air kolam itu tidak akan berasa haus dahaga selama-lamanya.
Ada pun minuman yang ada dalam syurga, maka disediakan hanya untuk diminum buat berlazat-lazat dan bersuka ria.
Perkara sedemikian kerana: "Sesungguhnya engkau - wahai penduduk syurga - tidak akan berasa haus dahaga dalamnya." (Maksud ayat 119, surah Taha).
Air kolam itu tidak dapat diminum oleh sesiapa yang menukar bawaan hidupnya yang baik kepada tidak baik, selepas Nabi menyatakan apa yang baik dan apa yang sebaliknya. Malah, orang yang disebutkan itu disekat daripada sampai ke kolam itu dan dijauhkan daripadanya.
Kolam itu dinamakan ‘Kolam al-Kauthar’ kerana airnya dari sebatang sungai di syurga yang bernama al-Kauthar yang dikurniakan Tuhan, khusus kepada Nabi Muhammad. Sungai itulah yang memenuhi kolam yang disebutkan itu melalui dua saluran emas dan perak.
Bau tanah dasar sungai itu lebih harum daripada kasturi.
Hakikat seperti yang disebutkan itu terkandung dalam hadis berikut:
Daripada Anas, katanya, Rasulullah bersabda: "Dalam masa aku sedang berjalan di syurga (pada malam Mikraj), tiba-tiba aku bertembung dengan sebatang sungai yang ada pada kedua-dua tebingnya kubah-kubah dari mutiara yang dironggakan. Aku bertanya:
"Sungai apa ini wahai Jibril?' Jibril menjawab: "Ini ialah sungai al-Kauthar yang Tuhanmu kurniakan kepadamu..." - (Hadis riwayat Bukhari dan at-Tirmizi).
Daripada Abdullah bin Umar, katanya, Rasulullah bersabda: "Kauthar itu ialah sebatang sungai dalam syurga, kedua-dua tebingnya adalah daripada emas; aliran airnya di atas mutiara dan yakut; bau tanah di dasarnya lebih harum daripada kasturi; dan airnya lebih manis daripada air madu; dan lebih putih daripada salji." - (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Daripada Aisyah, katanya: "Aku ada mendengar Rasulullah bersabda ketika Baginda berada antara sahabatnya:
"Sesungguhnya aku akan berada di kolamku, menunggu siapa antara kamu datang hendak minum daripada kolamku itu.
"Apabila datangnya orang itu, maka demi Allah! sesungguhnya ada orang yang disekat-sekat daripada sampai kepadaku, lalu aku merayu dengan berkata: "Ya Tuhanku! Mereka daripada orangku dan daripada umatku!
"Maka, Tuhan berfirman: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mengetahui apa yang mereka lakukan sesudah engkau wafat - mereka sentiasa berbalik kepada pegangan dan amal perbuatan mereka yang buku."
"Pada satu riwayat: "Maka aku pun berkata: Jauhlah, jauhlah daripada rahmat Allah, sesiapa yang mengubah ajaranku sesudah aku menerangkannya." - (Hadis riwayat Muslim).
Daripada Abu Zar, katanya: Aku bertanya: Ya Rasulullah! Apa keadaan piala-piala kolam al-Kauthar itu?
"Rasulullah menjawab: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Sesungguhnya bilangan pialanya lebih banyak daripada bilangan bintang di langit yang tetap dan yang beredar, pada malam yang gelap gelita, dan yang bersih cuacanya.
"Piala itu adalah piala syurga; sesiapa yang minum dari piala itu tidak akan berasa dahaga selama-lamanya.
"Dua saluran dari syurga menyalurkan air ke dalam kolam itu...
"Pada satu riwayat, Rasulullah ditanya mengenai air kolam itu, lalu Baginda menjawab:
"Airnya lebih putih daripada air susu, dan lebih manis daripada air madu; dua saluran dari syurga menyalur serta menambah air ke dalamnya, satu daripada emas dan yang satu lagi daripada perak." - (Hadis riwayat Muslim).
|
|
|
| |
| Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari - Ulama sufi dunia Melayu |
| 09.11.05 (7:46 pm) [edit] |
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
ULAMA sufi berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari. Seperti ulama-ulama sufi lain, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari juga mendapat tentangan daripada orang-orang yang tidak sependapat dengan ajaran tasawufnya. Namun tidak sehebat tentangan terhadap Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Dalam perkembangan mutakhir golongan sufi dunia Melayu cukup rancak dibicarakan.
Sebelum berkembangnya aliran tajdid di dunia Melayu, boleh dikatakan tidak ada ulama besar dunia Melayu menyalahkan kandungan yang termaktub dalam ad-Durr an-Nafis, iaitu sebuah kitab perbahasan yang tinggi jalan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan permulaan jalan tasawuf ketuhanan dalam bahasa Melayu yang dihasilkan oleh ulama berasal dari Banjar yang dibicarakan ini.
Bagi ulama abad ke 18-19 dunia Melayu, ajaran semacam itu cukup mereka fahami kerana memang ada kitab-kitab tasawuf peringkat tinggi (muntahi) yang dirujuk dan mengimbangi kitab ad-Durr an-Nafis itu sebagai pegangan yang kukuh bagi kaum sufi. Yang termaktub dalam karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari itu adalah relevan dengan karya-karya Syeikh Abdul Karim al-Jili, Syeikh Muhyuddin Ibnu Arabi (17 Ramadan 560 H/29 Julai 1165 M-28 Rabiulakhir 638 H/21 November 1240 M) dan lain-lain. Lebih dua ratus tahun kitab ad-Durr an-Nafis itu diajarkan oleh para ulama di dunia Melayu, kemudian pada waktu akhir-akhir ini, sama ada di Indonesia mahu pun di Malaysia, ada pihak-pihak tertentu menyalahkan dan melarang mengajarkannya.
Di satu pihak kitab itu dilarang atau diharamkan menggunakannya, di pihak lain ternyata lebih banyak surau mahu pun masjid atau pun di rumah-rumah orang mengajarkannya. Bahkan K.H Haderanie H.N., seorang ulama di Surabaya berusaha melatin/merumikan kitab tersebut, yang diberi kata sambutan oleh seorang ulama dan tokoh atau ahli politik Islam Indonesia, K. H. Dr. Idham Chalid. Ad-Durr an-Nafis yang dilatin/dirumikan itu diberi judul Ilmu Ketuhanan Permata Yang lndah (Ad-Durrunnafis).
Saya, selaku penulis riwayat ini, tetap menilai bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari adalah seorang ulama besar sufi dunia Melayu. Memang tidak boleh terlalu mudah menilai beliau sebagai seorang yang tidak berilmu, zindiq, sesat dan sebagainya, seperti yang pernah dilemparkan oleh orang-orang tertentu kepada beliau. Bagi saya bertindak adil dan jujur terhadap ilmu pengetahuan itulah yang lebih baik dilakukan daripada menyalahkan orang, sedangkan kita sendiri tidak tahu dengan tepat dan pasti apa yang disalahkan itu. Apabila berbeza sistem dan penerapan sesuatu disiplin ilmu antara satu pihak dengan pihak lain, maka itu juga boleh mengakibatkan berbeza pandangan dan pendapat.
Ilmu
Oleh itu sistem dan penerapan ilmu sufi pada abad 18-19 jauh berbeza dengan pihak-pihak yang tidak pernah belajar sufi tradisional Islam pada penghujung abad 20 dan abad ini. Orang sufi memang berlapang dada, mereka berjiwa besar dan tidak suka bertengkar atau berdebat kerana agama Islam bukan bertujuan ke arah pertengkaran atau perdebatan tetapi untuk diamalkan oleh setiap insan Muslim yang berjiwa dan bercita-cita takwa. Pertengkaran atau perdebatan membawa kepada perpecahan umat. Ulama sufi dunia Melayu yang belajar di Mekah berpuluh-puluh tahun seperti Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari tidak dapat disamakan dengan peribadi-peribadi yang tiada mendalami Islam, tetapi mengaku dirinya dengan pelbagai pengakuan seperti yang terjadi pada akhir-akhir ini.
ASAL-USUL DAN PENDIDIKAN
Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan. Hidup sezaman dan seperguruan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sama-sama belajar di Mekah dan Madinah. Yang seperjuangan dengannya termasuk Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi (Jakarta), Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Tentang dirinya hanya beberapa hal beliau sebut, ``Di negeri Banjar tempatnya jadi. Mekah tempat diamnya. Syafie akan mazhabnya, iaitu pada fikah. Asy`ari iktikadnya, iaitu pada ushuluddin. Junaid ikutannya, iaitu pada ilmu tasawuf. Qadiriyah thariqatnya, Syathariyah pakaiannya, Naqsyabandiyah amalan-nya, Khalwatiyah makanannya, Sammaniyah minumannya''.
Para gurunya juga beliau sebut dalam karyanya ad-Durr an-Nafis yang tersebut, senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:
1. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi. 2. Syeikh Shiddiq bin Umar Khan. Beliau adalah murid kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman, iaitu murid ulama sufi yang lebih dulu daripada Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan kawan-kawannya. 3. Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samani al-Madani. 4. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Aziz al-Maghribi. 5. Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Juhuri. Dan ramai lagi yang belum disebutkan di sini.
Setelah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari diizinkan para gurunya, terutama sekali Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, bahawa beliau boleh mengajar ilmu-ilmu batin dengan beberapa aspek tarekat dan furu'-furu'nya, maka berusahalah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari mengajak manusia mentauhidkan Allah daripada satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mendalam. Di manakah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menjalankan aktiviti dakwah dan pendidikan, terjadi pertikaian pendapat daripada beberapa orang periwayat. Ada orang menceritakan bahawa beliau menyampaikan dakwah dan pendidikan Islam di Pulau Bali, Pulau Sumbawa dan pulau-pulau yang berdekatan dengannya. Riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebarkan ajarannya di Pulau Laut, Kalimantan Selatan. Riwayat yang lain mengatakan di Kusan, Kota Baru, juga dalam Pulau Laut itu. Akhirnya dikatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari meninggal dunia di Sigam, juga di Pulau Laut. Pendapat lain menyebut beliau wafat di Kalua, juga di Pulau Laut.
PENULISAN
Ketika artikel ini saya tulis, baru dua buah saja karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang ditemui, selain ad-Durr an-Nafis, yang sebuah lagi masih berupa manuskrip ialah Majmu' al-Asrar li Ahlillahil Athyar. Mengenai ad-Durr an-Nafis beberapa maklumat tentangnya, bahawa selesai ditulis pada 27 Muharam 1200 H/30 November 1785 M. Cetakan pertama kitab ini ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mathba'ah al-Miriyah bi Bulaq, Mesir al-Mahmiyah. Pada terbitan pertama tercantum syair Syeikh Ahmad al-Fathani: ``Berpeganglah kamu dengan ilmu orang sufi,
Nescaya kamu menyaksikan bagi Tuhanmu itu keesaan.
Wahai yang meninggalkan sebaik-baik teman sekedudukan,
Adalah kitab ini mengandung maksud keseluruhan,
Seperti lautan,
daripadanya tiap-tiap yang berharga penilaian''.
Sebagai keterangan lanjut Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan, ``Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini. Bahawa segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya, dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah Muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih elok dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripada salah suatu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat''.
Ad-Durr an-Nafis cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani telah memberi keterangan beberapa istilah seperti terdapat pada kalimat-kalimat: 1. ``... maka hendaklah lihat olehmu kepada Abi Bakar, iaitu ibarat daripada mati nafsu yang ammarah ...''. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, bahawa nafsu ammarah, ialah ``nafsu yang cenderung kepada kejahatan''.
2. ``Bermula hasilnya segala wujud sesuatu itu dengan dinisbahkan kepada wujud Allah Taala yang haqiqi itu khayal, dan waham, dan majaz jua, kerana wujudnya antara dua `adam Bermula wujud yang antara dua `adam itu `adam jua adanya ...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Dua `adam, ertinya `adam lahiq dan `adam sabiq. Pengertian `adam lahiq, ialah tiada yang mengikut. Pengertian `adam sabiq, ialah tiada yang mendahului''.
3. ``Dan pada sekira-kira zahir mumkin itu lain daripada Allah Taala. Dan sekira-kira haqiqatnya wujud mumkin itu, iaitu `ain wujud Allah Taala. Dan misalnya seperti buih dan ombak...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Katanya, ``Dan pada sekira-kira zahir dan pada sekira-kira haqiqat ...'', maka kedua (-dua) itu `athaf. Katanya, ``Pada sekira-kira wujud, dan dhamir pada haqiqatnya dan dhamir pada nyatanya. Kedua (-dua) itu kembali kepada buih, dan dhamir daripadanya itu kembali kepada air''.
4. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan istilah ma'iyah, kata beliau, ``Yakni berserta: a. ittihad = bersuatu. b. hulul = bertempat. c. khayal, yakni apabila kita lihat jauh ada sesuatu, dan kita lihat dekat tiada ada, seperti alung-alung di tengah jalan Madinah''. Ad-Durr an- Nafis setelah cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah di Bulaq, Mesir tahun 1302 H/1884 M yang diusahakan dan ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu terdapat berbagai-bagai edisi.
Karya
Karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang kedua, yang masih belum diketahui umum, dalam bentuk manuskrip ialah Majmu' al-Asrar, salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai menyalin pada waktu Zuhur, hari Sabtu 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Kitab Majmu' al-Asrar ini juga membicarakan masalah tasawuf. Sampai riwayat ini ditulis kitab yang tersebut baru dijumpai dua versi, yang sebuah lagi dengan judul Majmu' as-Sarair, atau judul dalam bahasa Melayu yang diberi oleh beliau Perhimpunan Sekalian Rahasia.
Versi yang pertama, koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, dan versi yang sebuah lagi adalah koleksi peribadi saya sendiri. Yang menjadi milik saya itu terdapat tiga buah risalah lain, yang dipercayai juga karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Risalah-risalah itu ialah Penjelasan Huruf-Huruf Abjad Dalam Al-Quran, llmu Haqiqat Yang Sebenar-Benar dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam.
Pada risalah yang terakhir tercatat tahun selesai menulisnya pada waktu Dhuha, 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Dengan dijumpai manuskrip yang terdapat tahun itu maka dapatlah diagak-agak jarak waktu sementara penulisan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang telah diketahui, iaitu 1200 H/1785 M (Ad-Durr an-Nafis) hingga 1245 H/1829 M (manuskrip yang tersebut di atas). Jadi bererti sekitar 45 tahun. Dengan demikian pada jarak waktu yang demikian lama masih banyak karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang belum kita jumpai dan ketahui.
|
|
|
| |
| Laut terbelah - Air setinggi gunung |
| 09.08.05 (4:14 pm) [edit] |
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH Abdur Rahman as-Sa`di berkata dalam tafsirnya, Taisir al-Karim: ``Kemudian Allah menyebut nikmat-Nya kepada Bani Israel, berdasarkan janji-Nya kepada Musa selepas 40 malam ia ber`uzlah untuk Tuhannya supaya diturunkan ke atas mereka Taurat, yang mengandungi nikmat-nikmat yang besar dan maslahah yang umum.
``Ini semua tambahan yang terdahulu daripada kurniaan nikmat yang mewajibkan ke atasmu bersyukur dan melaksanakan segala perintah arahan-Nya.''
Firman Allah Taala:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BELAHKAN LAUT (MERAH) UNTUK KAMU LALUI (KERANA MELARIKAN DIRI DARIPADA ANGKARA FIRAUN), LALU KAMI SELAMATKAN KAMU DAN KAMI TENGGELAMKAN FIRAUN BERSAMA-SAMA TENTERANYA, SEDANGKAN KAMU SEMUA MENYAKSIKANNYA. (Surah al-Baqarah ayat 50)
Di antara mukjizat Allah kepada Nabi Musa ialah `Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun)', iaitu ingatlah juga ketika Kami membelah bagimu lautan yang bersifat cecair menjadi daratan yang kering kontang lagi tandus, sehingga memungkinkanmu berjalan dan menyeberanginya dengan selamat.
Al-Imam al-Mawardi dalam an-Nukat wa al-`Uyun berkata: ``Terdapat dua tafsiran yang dimaksudkan dengan `Kami belahkan laut':
i. Kami pisahkan dengan kamu laut, kerana maksud farq ialah pemisahan antara dua perkara.
Justeru dipisahkan laut kepada 12 jalan dan jumlah bilangan mereka ketika itu 620 ribu. Itu tidak dikira pada anak-anak yang usianya 20 tahun ke bawah kerana masih kecil.
Begitu juga mereka yang berusia 60 tahun ke atas kerana usia tuanya. Sementara itu, tentera Firaun diketuai oleh Haman bersama sejuta bala tentera dan 700 ekor kuda.
Al-Imam al-Baghawi menambah: ``Mereka masuk ke Kota Mesir bersama Ya'kub seramai 72 orang, termasuk lelaki dan perempuan.'' Dan daripada Ibn Mas`ud pula : ``Adalah sahabat Musa seramai 670 ribu orang.'' Amr bin Maimun pula berkata: ``Mereka berjumlah 600 ribu. Apabila mereka mahu berjalan, mereka tersesat sehingga tidak mengetahui ke mana arah mereka. Kemudian Musa memanggil orang-orang tua Bani Israel dan bertanya kepada mereka mengenainya, lantas mereka menjawab: ``Sesungguhnya Yusuf tatkala hampir wafat, telah membuat perjanjian dengan saudara-saudaranya supaya jangan keluar dari Kota Mesir sehingga mereka dikeluarkan bersama. Justeru, kerana itulah perjalanan kami terhalang.''
Kemudian Musa bertanya tentang di mana kubur Yusuf tetapi mereka tidak mengetahui. Lantas Musa bangun seraya menyeru: ``Aku bersaksi kepada Allah, sesiapa yang mengetahui di mana kubur Yusuf, hendaklah mengkhabarkannya kepadaku.'' Dan setiap orang masih lagi tidak mengetahuinya sehinggalah ia mendengarnya daripada seorang wanita tua yang berkata: ``Adakah kamu mahu jika aku tunjukkan kuburnya untuk mengurniakan kepadaku apa yang aku minta?'' Musa enggan dan berkata: ``Sehingga aku bertanya kepada Tuhanku.''
Permohonan
Kemudian Allah mengarahkannya dengan menunaikan permohonan wanita tua itu. Lantas wanita tersebut berkata: ``Sesungguhnya aku seorang wanita yang amat tua, tidak mampu berjalan, bawalah aku dan keluarkanlah aku dari Mesir. Ini adalah permohonanku di dunia. Adapun permohonanku di akhirat, aku minta supaya jangan kamu turunkan mana-mana bilik dari syurga kecuali aku turun bersamamu.'' Jawabnya: ``Ya.'' Wanita itu berkata lagi: ``Sesungguhnya di tengah-tengah Sungai Nil terdapat kuburnya dan hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya kering airnya.''
Kemudian Musa berdoa kepada Allah, sehingga kering airnya dan Baginda berdoa supaya fajar dilambatkan terbit sehingga selesai urusan Yusuf tersebut. Selepas itu Musa menggali tempat tersebut. Baginda mengeluarkannya dalam satu bekas yang diperbuat daripada marmar dan membawanya sehingga dikebumikan di Kota Syam.
Lantas dibuka bagi mereka jalan sehingga berjalanlah mereka bersama Musa dan Harun. Sedangkan Firaun mengarahkan kaum dan bala tenteranya supaya jangan keluar mencari Bani Israel sehingga kokokan ayam berbunyi.
Demi Allah, pada malam tersebut, ayam tidak berkokok. Maka keluarlah Firaun mencari Bani Israel yang diketuai Haman berjumlah sejuta tujuh ratus ribu. Bersama mereka, 70,000 ribu kuda di samping haiwan lain seperti kambing.
Dikatakan bahawa Firaun bersama 7,000 orang, sehingga apabila Bani Israel sampai ke tepi laut dan mereka melihat Firaun yang hampir tiba, mereka berhenti dalam keadaan tercengang, seraya bertanya kepada Musa: ``Hai Musa, apakah yang harus kita lakukan. Dan di mana janji-janji kamu?''
Mereka menambah: ``Firaun di belakang kita, kalau dia berjaya mendapatkan kita, pasti kita dibunuh. Sedangkan laut di hadapan kita, kalau kita masuk, sudah pasti kita lemas.''
Akhirnya Allah mengarahkan Musa supaya memukul laut. Maka dipukullah laut sehingga menjadi 12 lorong. Setiap qabilah melalui lorong masing-masing dan air laut terangkat antara lorong-lorong tersebut setinggi gunung.
Allah mengutuskan angin dan matahari kepada laut sehingga ia menjadi kering yang memungkinkan Bani Israel melaluinya. Sedangkan di sebelah mereka air seperti gunung yang besar, sehingga orang yang berada di satu lorong tidak dapat melihat orang lain yang berada di lorong sebelahnya.
Lantas mereka mulai merasa takut dan berkata: ``Sesungguhnya sahabat-sahabat kita telah dibunuh.'' Kemudian Allah mewahyukan kepada air yang menggunung tinggi itu supaya masuk antara satu dengan yang lain sehingga air seperti bertingkat-tingkat dan dapat dilihat oleh mereka yang berada di lorong-lorong yang berlainan.
Mendengar
Mereka dapat mendengar ucapan teman-teman yang berada di lorong yang lain sehinggalah mereka dapat merentasi laut dengan selamatnya.
ii. Maknanya ialah apabila Kami bezakan antaramu dan laut, kerana asal kalimah farq ialah membezakan antara dua perkara. Sebab itu perkataan firqah di kalangan manusia bermaksud kumpulan yang berbeza daripada yang lain.
Dinamakan laut itu laut kerana sifatnya yang luas lagi dalam. Oleh kerana itu disebut lautan ilmu apabila seseorang itu mempunyai ilmu yang luas. Ada pendapat yang mengatakan, dinamakan laut kerana masinnya air tersebut.
Al-Imam an-Nasafi menyebut satu riwayat bahawa kaum Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: ``Mana dia sahabat-sahabat kami? Kami tidak redha sehingga kami melihat mereka.'' Kemudian Allah menurunkan wahyu kepadanya supaya berkata: ``Dengan tongkatmu begini, maka berkatalah dengannya di atas tembok atau benteng sehingga terjadilah lubang, yang menyebabkan mereka dapat melihat dan mendengar perbualan mereka.''
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah: `maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya', iaitu Kami menyelamatkanmu daripada mati lemas dan tenggelam. Sedangkan Kami tenggelamkan dan lemaskan Firaun serta kaumnya.
Hal ini diterangkan dengan firman-Nya: `Sedang kamu semua menyaksikannya'. Iaitu kamu sendiri menyaksikan peristiwa tersebut, maka sesungguhnya ia menjadi tanda dan ayat kebesaran Tuhan untuk menyelamatkan wali-wali dan pengikut-pengikut agama-Nya serta membinasakan musuh-musuh-Nya.
Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir berkata: ``Terdapat dua pandangan berhubung maksud ``kamu melihat':
1. Melihat dengan mata sebagaimana mereka tenggelam dan lemas.
2. Dengan makna ilmu atau mengetahui.
Al-Imam as-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-`Ulum berkata: ``Iaitu kamu melihat mereka apabila laut memuntahkan mereka selepas mereka tenggelam lemas, iaitu nenek moyang mereka.'' Sebahagian mereka berkata: ``Maknanya bahawa sesungguhnya kamu mengetahui yang demikian itu seolah-olah kamu melihat mereka.'' Seorang fakih berkata: `` Pada kisah Firaun dan lainnya merupakan alamat dan tanda kenabian Muhammad s.a.w. kerana beliau pasti tidak mengetahui yang demikian itu kecuali melalui wahyu. Apabila Nabi s.a.w. memberitahu kepada mereka hakikat sebenarnya tanpa sebarang bacaan, sudah tentu ia menjadi dalil bahawa kenyataannya itu melalui wahyu''.
Padanya juga dapat diambil iktibar bahawa diancam kepada orang kafir supaya beriman, moga-moga selamat daripada terkena bala sebagaimana terkena kepada mereka. Dan padanya juga terdapat peringatan kepada orang yang beriman supaya menggerunkan mereka daripada tenggelam melakukan maksiat.
As-Syaukani melalui Fath al-Qadir berkata: ``Dikatakan kamu melihat, iaitu sebahagian kamu kepada sebahagian lain daripada golongan yang berjalan di laut. Dan dikatakan mereka melihat diri mereka yang selamat, sedangkan pengikut Firaun tenggelam.''
- DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI , Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
|
|
|
| |
| Rezeki diberkati lihat dari pelbagai sudut |
| 09.04.05 (5:24 pm) [edit] |
Oleh: ZUARIDA MOHYIN
DAN di antara rahmat pemberian-Nya. Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurnia. Dan juga supaya kamu bersyukur. (al-Qasas: 73)
Berusaha mendapatkan rezeki halal dituntut dalam Islam. Malah di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki halal.
Ayat-ayat al-Quran menjelaskan bahawa berkerja adalah tugas serta tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan dan merupakan satu ibadah. Malah, sebarang usaha mencari rezeki halal adalah fardu ain. Rasulullah s.a.w. mengingatkan : Mencari sesuatu yang halal adalah fardu selepas menunaikan fardu (sebelumnya).
Mungkin timbul di fikiran kita, Kenapa orang yang mencari rezeki di jalan yang tidak halal dikurniakan kemewahan dan kesenangan. Sedangkan orang yang mencari rezeki di jalan halal, kehidupannya ala kadar sahaja?
Mengupas pelbagai persoalan berhubung rezeki ataupun disebut hasil pendapatan sebagaimana saranan Islam, ikuti perbualan bersama Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mushaddad Hasbullah sewaktu ditemui di kampus induk KUIM di Bandar Baru Nilai, baru-baru ini.
Soalan: Apakah definisi rezeki dan rezeki yang diberkati menurut pandangan Islam?
Jawapan: Rezeki dari segi bahasa bermaksud ar-rizq atau al-`atha' iaitu pemberian. Manakala, dari segi istilah ialah sesuatu yang diberikan Allah s.w.t. kepada semua makhluk, tidak kira sama ada ia halal atau haram.
Rezeki berkat pula bermaksud, rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita, tetapi ia sesuatu yang baik dan cara ia diperoleh juga baik. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 168 bermaksud: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.
Ayat ini menjelaskan lagi bahawa kita mesti mendapatkan rezeki yang berkat, kerana Allah s.w.t. menyebut demikian. Kita diperintahkan supaya bukan setakat memakan rezeki yang halal tetapi juga rezeki yang baik harus menjadi prioriti. Contohnya, sesuatu makanan yang halal belum tentu baik kerana ia menjejaskan kesihatan kita sekiranya diambil dalam jumlah banyak, seperti gula, daging atau makanan yang sudah basi.
Selain itu, mencari rezeki juga memerlukan tujuan yang baik, bukan tujuan untuk mencari kekayaan semata-mata dan menjadi takbur de-ngan kekayaan itu, ataupun mencari rezeki bertujuan membantu orang kafir, membunuh orang Islam dan banyak lagi.
Malah dalam konteks berkat itu sendiri, ia membawa maksud bertambah secara maknawi atau tersirat. Ini tidaklah bermakna rezeki RM100.00 menjadi RM150.00, tetapi kita merasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biar pun jumlah anak ramai.
Walaupun perkara ini tidak disebutkan di dalam al-Quran atau hadis, tetapi berkat itu sendiri membawa maksud peningkatan, penambahan dan penyuburan.
Apakah kepentingan rezeki di dalam Islam?
Ia jelas digambarkan di dalam al-Quran, Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu, maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan. (al-Ankabut: 17)
Dalam ayat ini dijelaskan empat perkara kepada kita. Pertama, bahawa rezeki itu mestilah dicari atau kita berusaha memperolehnya kerana ia tidak datang sendiri, umpama yang bulat tidak dapat bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.
Sebab itulah, pada zaman Umar al-Khattab, apabila ada di kalangan umat Islam yang hanya duduk berzikir dan bersembahyang di masjid, mereka dihalau oleh Umar dan menyuruh mereka keluar bekerja mencari rezeki.
Ini membuktikan, konteks rezeki di dalam Islam itu sendiri mengajar umat Islam supaya berusaha. Allah s.w.t. mengurniakan kekuatan rohani dan jasmani kepada umat manusia. Salah satu tujuannya, membolehkan mereka bekerja mencari rezeki halal. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha dan kuat bekerja sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah.
Bagi orang yang hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang pekerjaan, sama seperti pesakit yang mengharapkan sembuh, tetapi tidak mahu mengikut nasihat doktor atau mengambil ubat (sebagai tanda berusaha).
Kedua, Allah menyuruh kita beribadat, dan dengan rezeki itu kita dapat beribadat dengan sempurna. Bagaimana kita hendak beribadat, kalau kita tidak mempunyai wang untuk membeli baju, kain kecuali di dalam keadaan darurat.
Hal ini dapat dikaitkan dengan sebuah hadis bermaksud: Sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.
Walaupun hadis ini hadis daif atau lemah tetapi boleh diambil kira kerana ia memang berlaku. Seorang ulama hadis menghukum hadis ini sebagai hadis `daif jiddan' iaitu hadis yang amat lemah tetapi menurutnya, ia boleh dianggap hadis sahih sekiranya ia dianggap sebagai kemiskinan hati.
Ketiga, membuatkan umat Islam bersyukur. Rasa kesyukuran ini bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain. Contohnya, dengan bersyukur itu akan lahir rasa tanggungjawab berzakat, bersedekah, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan banyak amalan baik boleh dilakukan.
Keempat, menjamin kekuatan ekonomi umat Islam terutamanya melalui kewajipan berzakat. Apabila umat Islam berlumba-lumba membersihkan dan menyuburkan rezeki, maka akan wujud individu yang kuat iman kerana ia bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga seterusnya agama, ummah dan negara.
Apakah hikmah atau manfaat daripada rezeki yang berkat?
Hakikatnya, terlalu banyak hikmahnya. Pertama, rezeki yang berkat, ia menjadi punca atau asbab kepada termakbulnya doa.
Ini diperkukuhkan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan perkara yang baik, dan Allah memerintahkan orang Islam (orang yang beriman), sebagaimana Allah perintahkan kepada para Rasul. Sesungguhnya Allah berfirman: Wahai sekalian rasul hendaklah kamu memakan makanan yang baik dan melakukan perbuatan yang soleh dan Allah menyebut juga, wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada perkara baik yang telah Aku kurniakan.
Kemudian Nabi bercerita: Seorang lelaki telah melalui perjalanan yang jauh sehinggakan pakaian dan penampilannya kusut masih. Lelaki itu menadah tangan berdoa kepada Allah menyebut, Ya Rabb, Ya Rabb tetapi lelaki itu makan makanan dan minuman yang haram serta memakai pakaian haram, dan dia diberi makanan yang haram. Oleh kerana itu bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?
Jelas di sini, biarpun doa seorang musafir di antara doa yang dimakbulkan, tetapi ia menjadi tidak termakbul kerana makanan, minuman dan pakaiannya terdiri daripada sumber yang haram.
Selain itu, rezeki yang berkat juga menjauhkan seseorang itu daripada api neraka. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Hakim : Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah lebih utama untuk dirinya.
Seterusnya, menerusi rezeki yang berkat ini juga menandakan kita telah menyahut dan melaksanakan perintah Allah, dan pasti mendapat pahala.
Sebagaimana firman Allah bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (al-Zalzalah: 7-8)
Selain itu, kita juga menjaga maruah umat Islam kerana melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Saya ingin berkongsi sebuah kisah berkaitan tajuk perbincangan ini, iaitu sewaktu saya menuntut di Madinah.
Sheikh Ismail al-Humaidi menceritakan pengalamannya sendiri sewaktu berkhutbah di Masjid al-Qiblatain.Seorang lelaki daripada keluarga miskin mendapat kekayaan daripada sumber yang haram.
Abangnya yang kaya dan mempu-nyai dua orang anak berpesan kepadanya supaya menguruskan harta-hartanya selepas dia meninggal dunia, kerana dua orang anaknya masih kecil.
Setelah mereka dewasa, harta tersebut mestilah dikembalikan kepada mereka. Tetapi lelaki tersebut tidak menunaikan amanah abangnya.
Sebelum lelaki tersebut meninggal dunia, dia ditimpa sejenis penyakit kulit yang menyebabkan bau busuk sehingga sesiapapun tidak sanggup mendekatinya.
Lebih menyedihkan, apabila hendak dikafankan, jenazahnya terpaksa disiram minyak atar, supaya baunya hilang. Malah, tidak ada yang sanggup menjunjung keranda dan mengebumikannya.
Inilah contoh yang ditunjukkan Allah di dunia terhadap orang yang tidak memperdulikan halal atau haramnya rezeki yang dimiliki.
Di samping itu, rezeki berkat juga membawa kesejahteraan dan ketenangan jiwa kepada empunya diri. Contohnya dengan rezeki yang sedi-kit, dia merasa cukup dan hatinya tetap tenang serta bersyukur.
Melihat aspek keberkatan itu sendiri, bagaimana nilai
sebenar rezeki berkat yang diperoleh dan seharusnya bagaimana ia diuruskan?
Memanglah harta yang diperoleh itu boleh digunakan mengikut kehendaknya sendiri. Namun, di dalam Islam tidak boleh ada unsur pembaziran. Sesuai dengan firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.
Sebaiknya, gunakanlah mengikut keperluan dan kemampuannya, bukan menurut hawa nafsu. Pun begitu, Islam tidak melarang umatnya bermewah-mewah dengan syarat tidak melampaui batas. Ia sejajar dengan saranan Islam di dalam hadis bermaksud: Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.
Ini kerana, Islam turut menggalakkan umatnya kukuh dari segi ekonomi kerana melaluinya juga, ia dapat membela umat Islam yang lebih memerlukan.
Bagaimana pula pandangan Islam dengan hasil pendapatan daripada pekerjaan yang mempunyai unsur subahat seperti bekerja di kilang arak, pusat hiburan yang ada unsur maksiat, bolehkah alasan darurat digunakan?
Dalam hal ini, kita boleh membahagikannya kepada dua bahagian; pertama, wanita atau lelaki yang bekerja di kelab malam. Hukum asal bekerja di tempat sebegini adalah haram secara qath`i (muktamad).
Alasan darurat bekerja di kelab malam atau rumah pelacuran dalam konteks di Malaysia, saya rasa tidak dapat diterima kerana banyak rakyat dari negara lain datang mencari rezeki di sini dan mereka boleh menjadi kaya raya. Apatah lagi kita rakyat Malaysia sendiri.
Kalau alasan ini yang diberikan pada masa sekarang, ini bererti dia tidak berusaha untuk merubah hidupnya atau hanya mencari jalan mudah. Sedihnya, mereka langsung tidak memikirkan rezeki yang diperoleh itu akan menjadi darah daging, bukan sahaja kepada dirinya tetapi mereka yang berada di bawah tanggungannya.
Kecualilah jika nyawanya terancam oleh pihak tertentu, ia boleh dikira sebagai darurat. Hakikatnya, di Malaysia banyak pekerjaan yang halal boleh dilakukan. Yang perlu cuma tepuk dada tanya iman.
Kedua, bagi mereka yang bekerja di premis-premis yang menjual arak, seperti di gedung membeli-belah, ini dibolehkan kerana kita tidak terlibat langsung dengan benda-benda haram seperti itu.
Namun, mereka yang terlibat secara langsung dalam penyediaan arak, seperti tempat memproses arak dan sebagainya, ia jelas dilarang oleh agama. Dan tiada alasan untuk membenarkannya. Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi Muhammad bersabda: Jibril datang kepadaku lantas berkata: ``Ya Muhammad, sesungguhnya Allah melaknat arak dan melaknat orang yang membuat arak, orang yang memerah buah untuk membuat arak, peminum arak, pembawa arak, penjual arak, pembeli dan orang yang menghidangkannya.
Sebahagian ulama mengharuskannya sekiranya pekerja tersebut melakukannya untuk sementara mencari pekerjaan lain. Serupa juga halnya dengan mereka yang bekerja di bank-bank yang mengamalkan riba. Mereka dikira dalam keadaan darurat.
Bolehkah kita melihat tanda-tanda rezeki yang berkat melalui kehidupan harian ataupun pada diri anak-anak kita?
Sebenarnya tidak banyak bukti melalui al-Quran dan hadis yang spesifik mengenai tanda-tanda rezeki berkat, namun hadis yang disebutkan sebelum ini, iaitu tentang makbulnya doa, menjelaskan segalanya.
Ini kerena kesan daripada doanya yang termakbul, ia membawa kepada kebahagiaan, keharmonian di dalam keluarga, ketenangan jiwa dan banyak lagi nikmat yang kita tidak sedari daripada Allah kepada hamba-Nya yang patuh perintah-Nya dan larangan-Nya.
`Ulat di dalam batu pun boleh hidup.' Bagaimana pandangan Islam mengenainya?
Di dalam Islam, konsep qada dan qadar mesti ada dalam diri setiap umat Islam tetapi tidak bererti ia harus berserah tanpa berusaha, berdoa dan seterusnya bertawakal kepada Allah.
Peribahasa di atas sebenarnya tidak begitu sesuai dengan ajaran Islam, kerana usaha itu amat penting. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis: Doa itu merupakan satu usaha. Allah akan merubah qada-Nya dengan doa.
Apakah kesimpulan yang boleh digarap melalui tajuk ini?
Yang penting, dalam hal rezeki berkat ialah memastikan kehalalannya dan jalan mendapatkannya juga mestilah halal. Tidak kiralah pekerjaan apa sekalipun. Contohnya, kerjaya guru, ia satu pekerjaan yang mulia dan halal tetapi sekiranya disalahgunakan, ia bertukar kepada haram.
Misalnya,sepatutnya ia mengajar selama dua jam tetapi dikurangkan waktunya atau tidak mengikut kaedah yang sepatutnya. Itu menjadi haram walaupun pada zahirnya, kelihatan halal.
Begitu juga dengan mereka yang bekerja dengan syarikat bukan Islam. Bekerja dengan majikan bukan Islam tidak salah, malah kerja tersebut adalah halal kecuali pekerjaan tersebut melibatkan kerja-kerja maksiat, penipuan, riba, melalaikan sembahyang, mencuri. Sudah tentu ia bertukar menjadi haram.
Bekerja sebagai pengawal yang bertugas malam contohnya, tidak mustahil pekerjaan yang asalnya halal dan baik tadi bertukar kepada tidak diberkati, dengan tindakannya tidur pada waktu bekerja. Ini juga menandakan, ia mengkhianati amanah yang diberikan majikannya. Sedangkan mengkhianati amanah itu salah satu tanda munafik.
Yang pasti, pekerjaan apa sekalipun, sifat amanah dengan tanggungjawab yang diberikan, ikhlas dan seterusnya jujur, barulah datangnya keberkatan rezeki yang diperoleh.
Dalam masa sama, kita mestilah sentiasa merasa qana`ah (cukup) de-ngan apa yang diperoleh, bersyukur, sentiasa beristighfar dan selalu meminta keampunan daripada Allah s.w.t.
|
|
|
| |
|
|