Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Manaqib papar kehidupan ulama salih seluruh dunia
02.27.06 (5:46 pm)   [edit]
TRADISI memaparkan kehidupan ulama yang salih di seluruh dunia Islam dinamakan manaqib. Rupanya ulama besar yang berasal dari Kuching, Sarawak, Syeikh 'Utsman bin 'Abdul Wahhab as-Sarawaqi, juga wujud ‘manaqib’ mengenai beliau. Manaqib yang dimaksudkan berjudul Nafahat ar-Ridhwan fi Manaqib asy-Syaikh 'Utsman yang ditulis oleh anak beliau bernama Syeikh Muhammad Zainuddin. Nafahatur Ridhwan, diselesaikan pada 21 Zulhijah 1340. Cetakan pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura pada 1340 Hijrah. Manaqib ini diberi kata pujian oleh beberapa ulama iaitu Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki, tarikh 28 Zulhijah 1342. Syeikh Sa'id bin Muhammad al-Yamani (2 Muharam 1343), Syeikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid (3 Muharam 1343), Syeikh 'Umar bin Abi Bakar Bajunaid (6 Muharam 1343) dan Syeikh 'Abdul Qadir bin Shabir Mandailing. Bahasa yang digunakan oleh pengarang adalah Arab klasik. Cermat dengan kaedah nahu, sharaf, balaghah, badi', bayan, ma'ani dan yang ada hubungan dengannya. Syeikh Zainuddin Sarawak turut menterjemah karangan beliau itu ke dalam bahasa Melayu. Katanya : “Pertama-tama memperkenalkan tokoh yang diriwayatkan dengan menggunakan nama yang panjang dan layak ialah "al-'Allamah al-Humam Barakatul Anam Shahibul Hilmi wa al-Fadhli wa al-Kamal allazi la yunkaru asy-Syeikh 'Utsman" ..., yang beliau terjemahkan ke dalam bahasa Melayu "seorang pendeta yang banyak ilmu, yang mempunyai cita-cita yang besar, ialah jadi berkat dan keuntungan manusia, yang mempunyai lemah lembut, dan kelebihan, dan kesempurnaan, yang tiada diingkarkan, iaitu asy-Syeikh 'Utsman ... ". Susunan nama hingga ke atas ialah Merpati Jipang. Asal usul datuk neneknya adalah golongan kaum bangsawan di Jawa, tetapi tidak disebut dengan pasti datuk neneknya yang mana berasal dari Jawa.” Sebagai bukti Nafahat ar-Ridhwan ada unsur balaghah atau badi', berakhlak atau beradab dalam penggunaan bahasa Melayu, contohnya, istilah untuk ‘orang meninggal dunia’. Syeikh Zainuddin Sarawak menggunakan beberapa istilah iaitu: “Kembali ke Rahmatullah", ‘sampai ajal’, dan ‘mati’. Istilah yang digunakan untuk ibu Syeikh 'Utsman Sarawak dinyatakan dalam kalimat: "Dan kemudian daripada diperanakkan dia dengan tiga hari berpindahlah ibunya kepada rahmat Tuhan Yang Karim, Yang 'Allam." Bererti pada kalimat ini digunakan juga istilah ‘pindah kepada rahmat Allah’. Pada konteks ini, selain kita dapat mengetahui susunan kalimat berbudi bahasa, sekali gus mengetahui tahun kematian ulama yang terkenal, termasuk ulama yang berasal dari dunia Melayu. Di sini saya catatkan penggunaan istilah ‘kembali ke Rahmatullah’ seperti pada kalimat: "Maka manakala umurnya empat belas tahun bapa angkatnya Datu' Imam al-Haji 'Abdul Karim pun kembali ke Rahmatullah pada tahun hijrah seribu dua ratus sembilan puluh lima, pada bulan Syaaban, tengah hari Khamis. Dan dikubur akan dia pada hari Jumaat kepada rahmat Tuhan Yang Karim, Yang 'Allam." (Nafahatur Ridhwan, muka 3). Daripada kalimat ini, selain istilah ‘kembali ke Rahmatullah’, ada pula istilah ‘dikubur’. Istilah ini juga digunakan oleh semua ulama dunia Melayu dalam penulisan mereka. Kadang-kadang digunakan juga istilah ‘dimakamkan’. Istilah ‘dikuburkan’ dan ‘dimakamkan’ digunakan untuk orang Islam, sedangkan ‘disemadikan’ hanya digunakan untuk bukan beragama Islam. Daripada kalimat di atas dapat diketahui bahawa satu metodologi penulisan sejarah yang mencatat tarikh kewafatan, iaitu jika kita ubah bentuk menjadi ‘tengah hari Khamis, bulan Syaaban 1295’. Pada konteks tarikh wafat ulama, terutama guru Syeikh 'Utsman Sarawak, banyak yang diketahui daripada manaqib itu. Contohnya, Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail (Mufti Makkah) meninggal dunia pada 23 Rabiulakhir 1330 /10 April 1921, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (malam Ahad, 11 Jamadilawal 1335/4 Mac 1917) dan Syeikh 'Abdul Karim Daghistani (akhir Syaaban 1338/Mei 1920). Syeikh Muhammad al-Minsyawi al-Muqri meninggal dunia pada 1314 hijrah/1896 masihi, Saiyid Abu Bakri Syatha (12 Zulhijah 1310), Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1304 hijrah/1886 masihi), Saiyid 'Umar asy-Syami (Syawal 1313/1895) dan Saiyid Husein al-Habsyi (Khamis, 21 Syawal 1330). Dalam Nafahatur Ridhwan, Syeikh Zainuddin Sarawak juga menyebut beberapa ulama Nusantara sebagai guru Syeikh 'Utsman Sarawak. Katanya: "Dan setengah daripada mereka itu (maksudnya guru bagi Syeikh 'Utsman Sarawak, pen:), daripada orang Jawi, orang yang telah naik ia pada segala ilmu agama, dan melebihi atas lainnya daripada guru-guru yang sempurna mereka itu, al-Marhum asy-Syaikh Zainuddin al-Badawi orang Sumbawa ... " Katanya lagi: "Dan setengah daripada mereka itu, asy-Syaikh yang 'Alim, yang sampai kepada kepandaiannya, ialah seperti ‘Qus’ pada masanya tentang bahasa Melayu, iaitu seorang cerdik pada orang Arab, yang memegang tali lagam segala ilmu adab, [se]orang adalah ia atas me[ng]khidmat akan tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu asy-Syeikh Ahmad orang Lingga ... " Katanya: "Dan sesetengah daripada mereka itu, gurunya pada ilmu tarekat dan ilmu hakikat, ialah yang mempunyai pangkat yang tinggi, Al-Marhum asy-Syeikh 'Abdul Karim orang Bantan..."
 
Raih iman, ilmu dan amal
02.27.06 (5:29 pm)   [edit]
IMAN amat penting dalam kehidupan manusia yang berpandukan agama sebagai cara hidup. Tanpa iman yang mantap, manusia mudah hanyut lantaran mengikut hawa nafsu yang pastinya mengajak manusia ke jalan yang dimurkai Allah s.w.t.. Manusia yang beriman memerlukan sesuatu yang dapat membimbing ke arah jalan yang lurus dan diredai Allah s.w.t.. Sesuatu yang amat bernilai dan menyuluh kehidupan manusia ialah ilmu. Ilmu adalah nur (cahaya) yang menerangi hati manusia. Orang-orang yang beriman dituntut supaya mencari ilmu tidak kira lelaki atau perempuan. Dengan ilmu manusia dapat membina tamadun mereka sendiri sehingga dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Sejarah telah membuktikan bahawa ilmu dalam pelbagai bidang dapat menjana satu bentuk kehidupan yang lebih baik, terancang dan efisien sehingga dipandang tinggi oleh masyarakat lain. Hasil ketinggian ilmu yang dikuasai umat Islam sejak zaman pemerintahan khalifah Abbasiyah mampu diterjemahkan dalam bentuk seni bina, perubatan, ekonomi, sistem kewangan, astronomi, pertanian dan lain-lain sehingga disegani oleh orang-orang bukan Islam pada zaman tersebut. Dalam kehidupan seseorang muslim, iman, ilmu dan amal hendaklah seiring agar matlamat untuk melahirkan ummah yang berkualiti akan tercapai. Islam menghendaki agar umatnya sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu untuk mentadbir kehidupan di dunia ini. Jika kita lihat dalam konteks pembangunan negara, umat Islam sering dilabelkan dengan kemiskinan, kelemahan dan kemunduran. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana itulah realiti pada hari ini. Tahap penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara bukan Islam yang kebanyakannya telah diiktiraf sebagai negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Jerman. Negara-negara bukan Islam maju kerana mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan dengan mengkaji, meneliti dan menyelidik alam ini seperti mana yang disarankan oleh al-Quran. Malangnya umat Islam sendiri tidak mempraktikkan apa yang diwahyukan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya sehingga ketinggalan dalam banyak perkara. Sebagai umat Islam yang menjunjung al-Quran dan Sunah dalam kehidupan ini, kita sepatutnya menjadi umat yang terbaik untuk mentadbir hal ehwal dunia. Dari segi perspektif Islam, perkembangan ilmu manusia tidak bergantung kepada rasional semata-mata kerana terdapat ilmu yang tidak mampu diterokai oleh manusia seperti alam ghaib yang berkaitan dengan malaikat, jin, syurga dan neraka. Inilah yang membezakan falsafah ilmu antara Islam dengan agama lain. Pengetahuan inilah yang memandu manusia supaya tidak tersasar daripada landasan yang sebenar iaitu menyedari bahawa ilmu yang ada pada kita terlalu sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah s.w.t.. Perlu ditekankan di sini ialah umat Islam pada hari ini hendaklah mengambil iktibar daripada sejarah terawal Islam bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang merupakan umat terbaik sentiasa dahagakan ilmu dan beramal dengannya. Hasilnya mereka mampu membina kekuatan sehingga digeruni oleh musuh walaupun bilangan umat Islam pada masa itu terlalu kecil. Mahir Para cendekiawan Islam pada zaman silam telah memperlihatkan tentang kepentingan ilmu dan amal sehingga kita dapat memanfaatkannya pada zaman ini. Umat Islam sebeginilah yang diperlu dilahirkan kerana mereka bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi mendalami bidang-bidang yang lain. Usaha mereka bukan setakat itu sahaja malah mereka memperkembangkannya melalui penulisan kitab-kitab yang memberi sumbangan yang amat besar kepada tamadun dunia. Kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia tidak dapat disangkal lagi kerana Allah s.w.t. mengangkat orang-orang yang berilmu ke darjat yang tinggi seperti mana firman-Nya yang bermaksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mujadalah: 11) Keagungan tamadun Islam telah menyumbang kepada kemajuan umat Islam sehinggalah apabila datangnya musuh-musuh Islam dari luar dan mengambil khazanah berharga dari dunia Islam, mereka mendakwa bahawa mereka yang mempelopori pelbagai bidang sedangkan hasil-hasil tulisan sarjana Islam telah wujud beratus tahun lebih awal daripada sarjana Barat. Contoh ilmuwan Islam yang tersohor ialah Ibnu Sina, lelaki kelahiran Tunisia yang bukan hanya mahir dalam pelbagai ilmu tetapi juga menghafaz al-Quran pada usia remaja. Ketika berusia 18 tahun, beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu seperti ilmu teknik, astronomi, kesusasteraan dan perubatan. Karya terkenal beliau, Syifaa’, telah menjadi rujukan ramai termasuk cendekiawan dunia Barat. Barat membina tamadun moden setelah mereka menggali apa yang ada dalam dunia Islam semasa zaman kejatuhan umat Islam. Umat Islam pada hari ini hendaklah bangkit sambil menyedari kelemahan dan kekurangan diri. Kelemahan umat Islam masa kini disebabkan mereka tidak lagi menguasai ilmu pengetahuan ke tahap tertinggi walaupun para cendekiawan Islam terdahulu telah mewariskan pelbagai bidang ilmu kepada mereka untuk diwarisi demi kemajuan ummah. Contoh lain yang perlu dibanggakan hingga ke hari ini ialah Ibnu Khaldun, pengarang buku berjudul Muqaddimah yang telah dijadikan rujukan oleh Barat dalam bidang sosiologi. Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah berusaha mempelajari pelbagai bidang ilmu, bukan hanya ilmu asas agama atau bidang tertentu yang dipelajari di institusi-institusi pengajian tinggi. Umat Islam perlu mengambil peluang sebanyak mungkin untuk menambahkan ilmu pengetahuan agar kita tidak mudah diperkotak-katikkan atau diperlekeh oleh orang lain. Dalam dunia yang serba moden dengan kecanggihan teknologi, umat Islam sepatutnya berlumba-lumba untuk maju setanding dengan orang lain, kerana segala kemudahan untuk menuntut ilmu menjadi semakin mudah dan pantas. Bagaimanapun, kita harus bijak memilih apakah yang terbaik bagi menjana kemajuan ummah bukannya terjebak dalam perkara-perkara yang mendorong ke arah kemaksiatan. Seseorang muslim itu mestilah menggunakan ilmu yang ada pada dirinya untuk membantu saudara-saudaranya yang lain agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi agama, bangsa dan negara. Kekuatan ummah itu bergantung kepada kekuatan iman, ilmu dan amal. Dalam masa kita mempersiapkan diri untuk menuju akhirat, kita juga diminta berusaha untuk mendapatkan kesenangan dunia kerana di sinilah tempat kita menyemai dan akhirat adalah tempat kita menuai. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia. (Al-Qasas: 77) Dalam meniti arus globalisasi, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha menuntut ilmu. Kekuatan iman menjadi benteng untuk menepis segala rintangan yang akan membantutkan usaha ke arah kemajuan dan kekuatan ummah. Kita mestilah bersedia mengorbankan harta, masa dan tenaga kerana ilmu itu mesti dicari. Orang yang beriman akan mengamalkan ilmunya untuk mencapai keredaan Allah s.w.t.. Pepatah Arab ada mengatakan ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Oleh Noor Haliza Ali
 
Era ICT permudah lidah buat kesalahan
02.26.06 (6:13 pm)   [edit]
LIDAH adalah sebahagian daripada nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya. Ia adalah ciptaan-Nya yang agung, halus dan misteri. Bentuknya kecil tetapi besar kepatuhan dan kederhakaannya. Hal ini kerana iman dan kufur tidak boleh nyata kecuali dengan persaksian lidah, sedangkan kufur dan iman adalah puncak kederhakaan dan kepatuhan. Allah berfirman bermaksud: "(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah)? Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata (untuk memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?), dan lidah serta dua bibir (untuk menyempurnakan sebahagian besar daripada hajat-hajatnya?), dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhinya)." (Surah al-Balad, ayat 8-10). Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa Dia menciptakan mata, bibir dan lidah untuk manusia sebagai nikmat daripada-Nya yang patut disyukuri. Di samping itu, Allah mengurniakan manusia akal fikiran untuk memandu mereka menggunakan nikmat itu. Oleh demikian, bersandarkan akal yang tahu menilai perkara yang baik dan buruk, maka hendaklah kita menjadi orang yang tahu mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat lidah dengan menggunakannya seperti fungsi ia diciptakan. Antaranya dengan membaca al-Quran, buku bermanfaat, berzikir, berselawat, menyampaikan ilmu pengetahuan, memberi nasihat untuk menyeru manusia mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Begitu juga menjalinkan hubungan silaturahim dan menyatakan hasrat dan keperluan. Janganlah sesekali kita mengkufuri nikmat lidah dengan menggunakannya ke jalan kejahatan. Pada zaman ini fungsi lidah tidak hanya terhad pada dua bibir manusia, tetapi disalurkan juga melalui mata pena seperti risalah, majalah dan akhbar. Era teknologi maklumat dan komunikasi menyebarluaskan lagi peranan serta pengaruh lidah iaitu melalui telefon dan internet seperti laman web da e-mel. Menyalahgunakan lidah dan anggota lain dengan tidak menepati tujuan ia diciptakan bererti mengkufuri nikmat Allah iaitu tidak mensyukuri nikmat yang Allah anugerahkan. Allah melarang manusia menggunakan lidah untuk tujuan maksiat dan kejahatan. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk."(Surah al-Hujurat, ayat 11). Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, penjagaan lidah adalah antara suatu perkara yang dititikberatkan. Pada malam itu, Baginda diperlihatkan gambaran dahsyat akibat daripada kejahatan yang dilakukan oleh lidah. Rasulullah SAW ada menceritakannya dalam hadis bermaksud: "Ketika aku diMikrajkan, aku telah melalui satu kaum, mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Maka, aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka itu wahai Jibril? Dia menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan nama baik (martabat) mereka." (Hadis riwayat Abu Daud dan Anas bin Malik) Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah pula, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Ketika aku diMikrajkan, aku telah melihat satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka sendiri dengan gunting besi. Perbuatan itu dilakukan secara berulang-ulang. Maka, aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka itu wahai Jibril? Dia menjawab: Mereka adalah golongan yang menyebar fitnah." (Hadis riwayat al-Tabrani). Sesungguhnya dengan sekerat lidah seseorang boleh melakarkan seribu kebaikan. Dengan hanya satu kebaikan pula boleh mendapatkan rahmat Allah. Apatah lagi jika ada seribu kebaikan. Dengan lidah yang sekerat itu juga seseorang boleh melakarkan seribu kejahatan. Dengan hanya satu kejahatan pula boleh mengakibatkan seseorang diheret ke pintu neraka. Apatah lagi jika ada seribu kejahatan. Oleh itu, hindarilah daripada mengucapkan sebarang kalimat yang tidak diredai Allah kerana dikhuatiri hanya disebabkan satu perkataan yang dianggap kecil dan remeh kita tercalon menjadi ahli neraka. Sebaliknya, janganlah melepaskan mana-mana peluang meraih segala kebaikan walaupun nampak kecil, moga-moga ia akan mencalonkan kita menjadi ahli syurga. Oleh Mohd Shukri Hanapi
 
Manusia dinilai berdasarkan perbuatan, gerak hati
02.26.06 (6:07 pm)   [edit]
PETUA orang tua ada menyatakan: "Berhati-hatilah terhadap lelaki kerana matanya dan perempuan dengan gerak tubuhnya." Percaya atau tidak terpulang kepada pengalaman yang pernah dilalui setiap orang. Bolehkah kita menilai hati seseorang dengan tanda zahir yang terdedah? Tentu mustahil menyelami hati budi manusia dengan cara itu. Persoalannya ialah Allah saja yang Maha Mengetahui setiap gerak hati manusia. Tajuk di atas bukan bertujuan menilai orang lain, tetapi mengajak kita menilai diri sendiri. Menyelami rasa hati sendiri dan menerokai rahsia peribadi melalui tingkah laku. Manusia mempunyai dua kategori yang layak menjadi sebutan bagi dirinya. Adakah ciri ini melekat pada diri, hanya kita sendiri yang boleh menjawabnya. Orang lain tidak berhak untuk menilai diri kita secara melulu kecuali demi kebaikan dan sekadar nasihat pencetus idea yang membina. Seseorang yang menyimpan dendam terhadap orang lain, tetapi manis mulutnya dan baik layanannya terhadap orang yang didendamnya, tentu perbuatannya itu tidak menunjukkan keadaan sebenar hatinya. Orang seperti ini masuk dalam kategori munafik. Tidak ikhlas dan tidak jujur dengan hatinya sendiri. Tetapi, sampai bila kebusukan hatinya itu dapat disimpan. Pasti akan terhidu juga segala yang ditutupi. Kategori kedua adalah mereka yang suka berterus terang, benci katakan benci dan sayang katakan sayang. Antara hati dan perbuatan seiring sejalan. Kejujuran menjadi amalan yang meninggikan maruah diri, mengajar erti berani bertanggungjawab atas semua risiko yang akan dihadapi. Tetapi, benarkah ada kategori ketiga yang berpendapat ada orang yang hatinya baik walaupun perangai macam hantu. Contohnya, orang yang beranggapan tidak mengapa tinggal sembahyang asalkan hati baik dan tidak berdendam. Aurat tidak ditutup tidak mengapa, asalkan jaga hati. Buat apa tutup aurat, tetapi hati berbisik-bisik mengata orang. Anggapan seperti di atas tentu saja bertentangan dengan ajaran Islam. Allah akan menilai seseorang berdasarkan amal perbuatan dan gerak hatinya. Kedua-dua unsur ini penting untuk memastikan penghisaban di akhirat nanti akan berjaya. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadisnya bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa parasmu, tetapi hatimu dan amal perbuatanmu." Jika hati saja yang menjadi penilaian amat berbahaya. Ini kerana manusia akan mengambil kesempatan untuk menghalalkan segala perbuatan kejinya asal hati baik. Bahkan, agama mengajar bahawa segala perbuatan yang dizahirkan adalah cermin hati seseorang. Belum cukupkah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan mengenai keadaan hati apabila ia baik, maka baiklah seluruh badan (amal perbuatan) dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Bagi kita yang sentiasa melakukan muhasabah diri, eloklah teliti apa yang tersimpan di lubuk hati dan senaraikan amal perbuatan yang dilakukan setiap hari. Jika kurang beramal, itu tandanya hati tidak sihat. Jika tidak beradab dan tidak bersopan santun, tandanya hati berpenyakit. Begitu juga sebaliknya, jika banyak sembahyang dan beribadat, tetapi masih menyimpan bara api dendam pun tidak sempurna diri. Ini kerana Allah menilai hati dan juga perbuatan. Inilah yang menjana konsep keikhlasan diri hamba-Nya. Kisah ulama besar al-Fudhail bin Iyadh yang pernah bertaubat daripada segala kejahatannya ketika mendengar ayat Allah, memberi iktibar pada kita bahawa hati yang bertaubat perlu dibuktikan dengan amal perbuatan. Beliau pernah menjadi perompak sebelum bertaubat. Ayat itu bermaksud: "Belumkah tiba masanya bagi orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah dan tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka menjadi seperti orang terdahulu yang telah diturunkan al-Kitab kemudian berlalu masa yang panjang (sedangkan mereka masih belum insaf) lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang yang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16) ~~ berita hrian online ~~
 
Al-Farabi tolak pandangan Plato
02.26.06 (5:55 pm)   [edit]
SATU keistimewaan tokoh ilmuwan Islam, mereka bukan saja menguasai satu bidang tertentu, malah mempunyai kemahiran dalam pelbagai ilmu. Perkara ini menimbulkan kehairanan dan tanda tanya bagaimana mereka mencapai kejayaan itu. Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan atau Al-Farabi atau Al-Pharabius di Barat, contohnya, banyak menyumbang dalam bidang falsafah, mantik, sosiologi dan sains. Beliau terkenal sebagai ‘Guru Kedua’ (al-Mou'allim al-Thani) sementara ‘Guru Pertama’ ialah Aristotle. Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Tidak hairan, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Beliau juga orang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab. Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani, beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia. Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politik, sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna. Mengenai teori politik, Al Farabi berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu dan sebarang percubaan untuk memisahkan antara satu sama lain hanya akan melahirkan sebuah negara yang pincang. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur. Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd. Al-Farabi mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia adalah gejala sifat semula jadi itu. Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul Madinah al-Fadhilah. Manakala perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani, falsafah Plato serta Aristotle disentuhnya dalam karya Ihsa al-Ulum dan Kitab al-Jam. Dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi pada zamannya iaitu buku Kunci Ilmu diselesaikan anak muridnya, Muhammad Al Khawarismi pada 976 masihi. Fihrist Al-Ulum pula diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada 988. Al Farabi juga seorang pemuzik yang handal dan lagu hasil karya beliau meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus. Malah, beliau turut menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul Al-Musiqa. Ia dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan. Al-Farabi memperlihatkan kecenderungan menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan dan pandangannya memberikan sumbangan cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya. Salah satu pandangan menarik beliau ialah jantung lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini kerana jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota badan. Al-Farabi adalah seorang tokoh falsafah serba boleh dan banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan serta kehidupan manusia hari ini. Oleh Hasliza Hassan
 
Pehin Datu Imam Haji Mokti imam terkenal Brunei
02.26.06 (4:31 pm)   [edit]
GAJAH mati meninggalkan gading, manusia bijak mati mengukir nama dalam suratan sejarah. Sejuta murid yang tidak dapat meneruskan perjuangan seorang guru adalah kurang bermanfaat. Cukup seorang murid, sekiranya ilmu dapat disebarkan dan sambung bersambung daripadanya kepada generasi berikutnya. Dalam sejarah ramai ulama yang dapat memenuhi kategori dalam kalimat selayang pandang di atas, termasuk Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif, ulama Banjar di Brunei Darussalam yang telah diperkenalkan dalam halaman agama Utusan Malaysia Isnin lalu. Pada terbitan hari ini diperkenalkan pula murid beliau, anak jati Brunei, yang nama lengkapnya Pehin Datu Imam Haji Mokti bin Nasar. Beliau dilahirkan di Kampung Burung Pingai Ayer pada tahun 1281 H/1864 M. Wafat tahun 1365 H/1946 M. Memperhatikan tahun kelahiran ini, bererti Imam Haji Mokti tahun kelahirannya sama dengan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak yang juga lahir tahun 1281 H/1864 M. Jika kita bandingkan dengan ulama dunia Melayu lainnya, bererti Imam Haji Mokti lebih muda sedikit daripada Tuan Husein Kedah yang lahir pada tahun 1280 H/1863 M dan Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Kudus, yang lahir pada tahun 1280 H/ 1863 M. Daripada perbandingan tahun kelahiran para ulama dunia Melayu yang mendapat pendidikan di Mekah di atas, dengan pasti kita dapat menjejaki para guru Imam Haji Mokti di Mekah, iaitu guru beliau selain Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar seperti yang telah disebut di atas. Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas susunan Simat bin Angas, Suhaili bin Haji Hassan dan Ismail bin Haji Ibrahim dari Unit Penyelidikan, Bahagian Sejarah/Epigrafi Jabatan Muzium Brunei, Bil. 23, tahun 1992, hlm. 38, tercatat, “Selain daripada itu Pehin Datu Imam Haji Mokti juga pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas, seorang ulama dan tokoh agama yang terkenal dari Indonesia. Pehin itu belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya....” Walaupun dalam kalimat ini tidak dinyatakan di mana Imam Haji Mokti bertemu dan belajar daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, namun dapat dipastikan ia adalah di Mekah kerana Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak pernah pulang ke Sambas. Juga beliau tidak pernah berkunjung ke tempat-tempat lain di Indonesia ataupun tempat-tempat lain di dunia Melayu. Cerita Imam Haji Mokti dikatakan ‘pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas’ dan ‘belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya’ perlu dikaji kembali kerana dalam beberapa riwayat ulama yang seangkatan dengan Imam Haji Mokti tidak berkesempatan belajar secara langsung dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Mereka hanya belajar melalui ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’. Sebagai contoh Imam Haji Mokti belajar dengan Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar. Ulama yang berasal dari Banjar ini termasuk salah seorang ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’. Dalam buku saya yang berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu‘tabarah di Dunia Melayu, telah saya sebut beberapa orang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Daripada sekian ramai murid beliau ada yang menjadi ‘Mursyid’ dan dilantik menjadi ‘Khalifah Qadiriyah-Naqsyabandiyah . Sebagai contoh, ulama yang berasal dari Sarawak bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak pernah merantau ke Pontianak, Banjar, Brunei, bahkan di seluruh Borneo/Kalimantan. Oleh sebab kedua-dua Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar dan Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, bererti kedua-duanya adalah bersahabat. Imam Haji Mokti Brunei berkali-kali datang ke Pontianak dan pernah dibaiah dan ditawajjuh oleh Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Selain itu, Imam Haji Mokti Brunei juga ada hubungan dengan beberapa murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berada di Sambas, yang juga dikategorikan sebagai ‘Mursyid’. Mereka ialah Syeikh Nuruddin Tekarang, Syeikh Muhammad Sa’ad dan lain-lain. Syeikh Nuruddin Tekarang berasal dari selatan Filipina. Setelah belajar di Mekah, dia pulang ke Sambas dan meninggal pada tahun 1312 H/1894 M. Kuburnya terletak di Kampung Tekarang, Kecamatan Tebas, Kabupaten Sambas. Saya telah tiga kali menziarahi makam ulama tersebut, selain mencatat data-data sejarah sekali gus memenuhi disiplin ilmu tarekat sufiyah bahawa seseorang ‘Syeikh Mursyid’ sangat penting diziarahi sama ada ketika masih hidup mahupun setelah mereka meninggal dunia. Syeikh Nuruddin Tekarang termasuk juga salah seorang guru Imam Haji Mokti Brunei. Menurut riwayat, ulama jati Brunei itu berkali-kali menziarahi Syeikh Nuruddin Tekarang ketika beliau masih hidup dan juga menziarahi makamnya setelah ulama berasal dari selatan Filipina itu meninggal dunia. Diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei adalah murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani, ulama ini termasuk ulama Borneo/Kalimantan yang banyak menghasilkan karangan. Ulama ini adalah murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Daripada maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa Imam Haji Mokti Brunei ada hubungan keilmuan atau sanad kepada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Selama lebih kurang empat tahun tinggal di Mekah, diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga pernah belajar dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, pengarang Mathla’ al-Badrain, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Wan ‘Ali bin ‘Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, pengarang al-Jauhar al-Mauhub, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau, dan lain-lain termasuk juga ulama bangsa Arab. Setelah pulang daripada perantauan Imam Haji Mokti Brunei mula aktif menyebarkan agama Islam. Sebagaimana ulama tradisional lainnya pelajaran yang ditekankan ialah tajwid al-Quran, akidah atau tauhid, fiqh Mazhab Syafie dan tasawuf. Tentang tarekat shufiyah, Imam Haji Mokti Brunei sempat membai’ah dan mentawajjuhkan Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah kepada beberapa orang muridnya, di antaranya ialah Haji Muhammad bin Haji Minuddin. Murid Imam Haji Mokti Brunei memang ramai. Dalam beberapa disiplin ilmu yang disebut, beberapa orang pembesar Brunei, bahkan Sultan Brunei juga sempat belajar dengan beliau. Antaranya Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sultan Haji Omar Ali III, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Awang Haji Umar bin Randah dan lain-lain. Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah. Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram. Kekerapan Imam Haji Mokti Brunei berkunjung ke Baram di Sarawak itu dipercayai ada hubungan antara beliau dengan Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, tetapi masih belum dapat dipastikan siapakah yang menjadi guru ataupun menjadi murid ataupun kedua-duanya hanya bersahabat. Dengan maklumat ini, sama ada untuk menyelidiki sejarah Imam Haji Mokti Brunei mahupun Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, seseorang diperlukan turun ke lokasi iaitu Baram di Sarawak. Selain mengajar, Imam Haji Mokti Brunei dipercayai juga menghasilkan karya bertulis. Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas dicatatkan ada empat naskhah tulisan tangan iaitu: 1. Doa-doa dan fatwa-fatwa amalan serta faedah ubat-ubatan. Khusus pada perkataan ‘faedah ubat-ubatan’, dari sini dapat kita ketahui bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga adalah seorang peminat bidang itu. Mengenai ini perlu penyelidikan lebih lanjut, kepada siapakah beliau belajar ilmu perubatan itu? Sekiranya beliau belajar ilmu perubatan di Mekah daripada ulama Melayu, jelas pada zaman itu hanya Syeikh Ahmad al-Fathani seorang saja mengajar ilmu tersebut. Tidak ramai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bidang ilmu perubatan jika kita bandingkan dengan ilmu-ilmu lainnya. 2. Salasilah Tarekat Qadiriyah yang dimulai dari beliau naik kepada Datuk Haji Ahmad bin Abdul Lathif Banjar, naik kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan seterusnya sama dengan yang termaktub dalam Fat-h al-'Arifin yang telah berulang-ulang kali diterbitkan. 3. Catatan kejadian wabak cacar di Brunei Darussalam pada tahun 1290 H dan tahun 1322 H. 4. Riwayat dan nasihat Luqman al-Hakim berserta ulasan beliau. Dalam artikel ini saya sebutkan tentang ziarah ke makam. Oleh sebab dalam perkembangan mutakhir tentang Islam di dunia Melayu ada golongan yang membidaah dan mengkhurafatkannya, maka dirasa perlu saya memberi sedikit ulasan dan pandangan. Saya mengakui dalam konteks ziarah makam atau kubur ada yang mengikut syarak dan ada pula terkeluar daripada ajaran Islam. Ini adalah berdasarkan pengetahuan seseorang yang melaksanakan ziarah itu. Ziarah ke makam atau kubur yang betul menurut syarak sekurang-kurangnya ada dua disiplin. Disiplin secara umum ialah dengan mengucapkan salam dan membaca surah al-Ikhlas 11 kali, atau lainnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. Disiplin khusus yang dilakukan oleh golongan ahli sufi, ziarah makam atau kubur golongan ini mempunyai adab-adab yang tersendiri. Upacara ziarah makam atau kubur kenegaraan yang dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia sekarang ini, termasuk negara-negara yang dipimpin oleh orang-orang Islam, didominasi oleh adab-adab yang bukan daripada ajaran syariat Islam. Sebagai contoh, menghadap ke makam atau kubur dengan berdiri, menghentakkan kaki kemudian hormat kepada makam atau kubur dengan mengangkat tangan kanan dan lain-lain. Yang saya sebutkan di atas adalah sebagai contoh saja. Walau bagaimanapun saya berpandangan dan berpendirian bahawa disiplin apa pun juga yang kita jalankan perlulah kembali kepada yang dibenarkan oleh syariat Islam. Sesuatu perlaksanaan duniawi yang bertentangan dengan syariat Islam adalah wajib ditinggalkan. Apa jua bentuk kedurjanaan terhadap Allah dan Rasul-Nya marilah kita cuba mengurangkannya, dan selanjutnya berusaha menghapuskannya sama sekali. Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
 
3 perkara penyelamat, pembinasa
02.23.06 (10:40 pm)   [edit]
NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai; berlaku adil pada ketika suka dan marah; berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Abu Syeikh) Tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu: Sentiasa menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mendengar apa juga yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bahkan setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa celaka dalam hidupnya. Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk saja, malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat. Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal pada kemudian hari. Rasulullah SAW berpesan ada tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu: Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri. Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya. Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain, menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat. Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya. Begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lembah kebinasaan. Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
Umat Islam mesti saling bermaafan
02.22.06 (3:50 pm)   [edit]
PEMAAF adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap Muslim. Sifat itu mempunyai kesan besar dalam kehidupan kerana dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. Justeru, sifat pemaaf dapat meletakkan seseorang pada kedudukan yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat 132). Orang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun dia pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya dengan fikiran positif. Insan bersifat pemaaf dan berhati mulia ini tidak hanya memaafkan apabila pelakunya memohon maaf, bahkan bersikap terbuka. Sifat pendendam adalah penyakit jiwa yang boleh mendatangkan pelbagai sifat negatif lain dalam diri. Jadi, sesiapa ingin membersihkan diri daripada sifat negatif haruslah terlebih dulu membuang sifat dendam. Sifat pemaaf adalah lawan sifat pendendam yang membersihkan kekotoran hati. Melaluinya, insan pemaaf tidak berasa dendam terhadap orang lain. Dia memaafkan perkara yang lalu, sedang berlaku dan mungkin juga apa yang akan berlaku. Sifat itu memberi keyakinan diri bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah. Biarlah Allah menentukan balasannya Memang orang yang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu. Namun, yang lebih baik ialah memberi kemaafan yang mendatangkan kebaikan. Dengan yang demikian, maka insan pemaaf akan diberi pahala berlipat ganda oleh Allah. Firman Allah bermaksud: "Dan bagi orang dizalimi mereka akan membela diri. Balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka, sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40). Biarpun Islam membenarkan membalaskan kejahatan dengan kejahatan yang sama, adalah lebih baik lagi jika diselesaikan secara memberi kemaafan. Ini bagi mengelak perkara buruk menjadi berterusan. Disebabkan membalas itu mungkin berlaku ketidakadilan apabila balasan lebih teruk. Ini tentu pula menimbulkan perasaan tidak puas hati pihak yang dibalas. Sebenarnya tidak rugi kita memaafkan orang lain. Apa yang telah berlaku telah menjadi sejarah. Kita perlu melihat keuntungan di akhirat berdasarkan janji yang diberikan oleh Allah melalui ayat di atas. Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: "Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka di dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memain-mainkan hati mereka seperti sebiji bola." Islam menganjurkan agar kita saling memaafkan demi mewujudkan kesejahteraan dalam kehidupan.
 
Menjalin persahabatan cara Rasulullah
02.22.06 (3:49 pm)   [edit]
KITA sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad SAW dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam. Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan. Persahabatan Rasulullah SAW dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar." (Hadis riwayat al-Baihaqi). Rasulullah SAW juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya: "Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu.” Allah SWT memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah SAW dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman Sabda Baginda bermaksud:"Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi). Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya." Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud). Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar Ubadah Ibn As-Samit berkata: “Rasulullah SAW mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah.” (Hadis riwayat Muslim). Membantu kawan ketika kesempitan Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim). INTIPATI Mencari sahabat sejati Persahabatan Rasulullah SAW dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Mempunyaii kawan yang baik mampu membimbing kita ke arah kebaikan. Sahabat hendaklah dicari daripada kalangan orang beriman dan bertakwa. Sahabat yang mempunyai perangai dan akhlak yang buruk hendaklah dijauhi. Oleh Mohd Zamri Shafie
 
Murtad Kerana Cinta
02.20.06 (7:26 pm)   [edit]
Tersentuh hatiku bila membaca cerita ini. ************************* **************** Astagfirullah!. Aku beristigfar berkali-kali. Sesungguhnya aku tidak sendiri. Allah bersamaku. Allah mendengar keluhanku. Allah tahu resah dan gelodak yang melanda jiwaku. Allah tahu semua itu. Aku sujud panjang, memohon istighfar. Air mataku mengalir. Aku terlena di atas sejadah. Tubuhku benar-benar letih. Sudah hampir sebulan aku berada dalam keadaan tidak menentu. Makan minumku sekadarnya. Tidurku dihantui mimpi-mimpi ngeri. Hari-hariku penuh kesedihan dan kekecewaan. Emosiku terganggu..... Fikiranku mengimbau peristiwa lama itu..... Suamiku yang menunggu di luar tidak sabar menanti jawapan. "Macam mana?" tanyanya. "Abang nak atau tidak?". "Mestilah nak!". "Kalau abang nak..... adalah!". Dia mengucup dahiku. Pelukannya erat. Aku gembira. Dia gembira. Tuhan, syukurlah atas nikmat ini. Aku tahu dia amat sayang padaku. Seperti sayangku padanya. Dan seperti kasih kami kepada janin dalam rahimku. Dia menjagaku sebaiknya. Makan minumku, sakit peningku.Dan segala-galanya. "Doalah, semoga anak kita jadi anak yang baik,". Hari-hari itu yang diingatkan padaku. Aku pun ingin memiliki anak yang soleh, yang luhur pekertinya dan teguh memegang syariat Allah s.w.t pada akhir zaman. Lalu hari-hari kubisikan kepadanya kata-kata yang baik. Biarpun dia masih di dalam rahim. Aku pasti ada pertalian yang menghubungkan aku dengannya. Aku nyatakan harapanku dan saban hari bibirku tidak kering melagukan ayat suci Al-Quran. Surah Yasin, Al-Luqman, At-Taubah, Yusuf dan Maryam telah sebati dalam pengalamanku. Sebelum melelapkan mata, suamiku akan mengajarnya membaca Al-Fatihah. Dan alangkah gembiranya hati bakal ibu apabila janinnya bergerak-gerak, memberi tindak balas pada kalimah tayyibah yang diajarkan. Akhirnya dia kulahirkan setelah melalui kesakitan antara hidup dan mati. Terubat hatiku melihat senyumannya. Dia banyak menyalin rautku. Berkulit cerah dan berwajah bujur sirih. Paling seronok melihat lekuk di kedua belah pipinya bila dia tersenyum. Nur Amana, nama pilihan suamiku. Menggabungkan maksud cahaya Ilahi yang menaungi setiap sudut hidupnya. Penuh barakah dan rahmat. Biar dia menjadi wanita terpuji. Memiliki iman setinggi iman Siti Fatimah az-Zahra, puteri Rasullulah s.a.w. yang terunggul. Dan membesarlah dia dalam limpahan kasih sayang aku dan suami. Takdir Allah s.w.t. menyuratkan kami tidak memperoleh anak lagi selepas kelahirannya. Pelbagai usaha kulakukan, namun barangkali puteri seorang itu sajalah amanah yang perlu disempurnakan sebaiknya. Aku akur. Suamiku tidak banyak bicara. Ketentuan Allah adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda. Nur Amana anak yang bijak. Tidak sekadar memiliki kecantikan lahiriah, akhlaknya terpuji. Tutur katanya mendamaikan jiwa. Bila dipandang menyejukkan hati. Tidak pernah sekalipun mengangkat suara pada orang tua. Malah kata maaf sering diucapkan bila terasa lakunya menyentuh hati orang lain. Saat paling menyedihkan bila sepucuk surat bersampul coklat tiba pada suatu tengahari. Detik perpisahan bertemu jua. Nur Amana yang cemerlang dalam pelajaran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Pun begitu demi masa depannya kami merelakannya. Seperti suamiku, aku yakin dengan ilmu Islam yang diterapkan dalam jiwanya dia mampu menangkis segala unsur jahat. Aku pasti Nur Amana akan terus teguh. Menjadi ikan yang tetap tawar biar pun hidup di lautan masin. Lalu hari-hariku diulit rindu yang dalam. Terkenang telatah manjanya, senyumannya, rajuknya, dan bila menjamah hidangan tengahari tersentuh hatiku, teringat dia yang jauh dirantau orang. Namun, rindu terubat juga bila sekali sekala suratnya menitip berita, menyatakan rindu dan kasih tidak terhingga. Lima tahun di negeri orang, Nur Amana kembali dengan kejayaan membanggakan. Air mataku menitis. Jauh di sudut hati, aku berbisik semoga anak inilah yang mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya bila hayat berakhir nanti. Dan di luar dugaanku, pulangnya Nur Amana membawa satu perubahan yang ketara. Dia berjilbab kini. Seluruh tubuh termasuk wajah ditutup dengan kerundung gelap. Pun aku bersyukur kerana perubahan itu menjurus kepada kebaikan. Seperti suamiku, aku tidak membantah. "Di sana terlalu banyak fitnah, Ma...," beritahunya suatu hari bila kutanya apa yang mendorongnya memakai purdah. Aku pun menyedari, kemungkaran yang memenuhi negara kafir tempat Nur Amana menuntut ilmu itu. Alhamdulillah, kerana Nur Amana mengambil langkah bijak. Cuma saudara mara banyak membantah. Katanya, dengan keadaan yang seperti itu, Nur Amana sukar mendapat pekerjaan nanti. Rugilah kelulusan tinggi yang diperolehi. Tapi Nur Amana cuma tersenyum mendengar pertentangan-pertentangan itu. "Jangan bimbang Ma, pasti ada rezeki untuk hamba Allah yang memegang syariat-Nya," Nur Amana memujukku. Dan hatiku berbunga lega. Benar seperti kata-katanya, tidak sampai sebulan pulang dari Amerika, Nur Amana mendapat kerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Aku tidak begitu tahu tentang tugasnya, tapi menurut Nur Amana sebagai eksekutif. Dan kehidupan kami berlangsung seperti biasa. Hilang sudah rindu membaraku. Nur Amana berada di sisiku kini.Hari-hari berada di depan mata. Cuma beberapa bulan kemudian, sikap Nur Amana mula berubah. Dia menjadi pemurung, jarang bercakap dan sering mengurung diri dalam kamarnya. Keluarnya bila ke tempat kerja atau bila kuajak makan bersama. Itupun kadang-kadang dia menolak. Beberapa kali aku cuba mencungkil isi hatinya. Kenapa tiba-tiba dia berubah laku. Pun aku tidak berjaya. Nur Amana cukup bijak mengelak dan menyembunyikan. Sehinggalah suatu hari aku dihubungi oleh seseorang, katanya Nur Amana telah menghantar permohonan ke mahkamah untuk menukar agama kepada Kristian. Bergegar jantungku. Suamiku terdiam lama. Ketika itu Nur Amana tiada di rumah. Katanya out-station di Singapura selama seminggu. Aku dan suami mengambil langkah berdiam diri dahulu. Cerita sebenar perlu diperolehi oleh Nur Amana sendiri. Bagaimana mungkin orang itu boleh membawa khabar itu, kalau tidak ada apa-apa? Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nur Amana sehingga timbul fitnah yang sebegitu besar? Persoalan demi persoalan menujam diri menjadikan aku gelisah menanti kepulangannya. Kepulangan Nur Amana kusambut dengan air mata yang entah untuk apa. Yang pasti hatiku cukup bimbang. Cenderamata dari Singapura dihadiahkan. Sehelai kain sutera berwarna ungu yang cantik. Pun bagiku ia tidak bernilai apa-apa. Suamiku menggesanya cepat membersihkan diri supaya dapat solat Maghrib berjemaah bersama. Tapi, Nur Amana, memberi alasan letih dan meminta aku dan suami solat dahulu. Bila azan Isyak berkumandang, sekali lagi suamiku mengetuk pintu kamarnya mengajak Nur Amana solat bersama. Dan sekali lagi juga Nur Amana menolak dengan alasan dia sedang menyiapkan kertas kerja penting. Satu alasan yang tidak pernah dilakukan olehnya. Nur Amana yang kudidik tidak pernah melengahkan waktu solat. Tidak pernah mengutamakan kerja lain dari solat. Tapi mengapa hari ini begitu? Mataku dan suami bertentangan. Pun kami cuma membisu. Bersabar dan menunaikan solat Isyak terlebih dahulu. Selepas solat kulihat Nur Amana ke dapur, mengisi perut yang berkeroncong. Tadi, kupanggil dia makan bersama tapi beralasan letih. Kecewanya hatiku dan suami. Selepas makan, Nur Amana menolak pintu bilik lagi tapi cepat suamiku memanggil. Nur Amana duduk dihadapanku. Dia kelihatan bersahaja. Gadis yang baru mencecah 24 tahun itu kulihat semakin manis. Wajahnya lembut. Matanya redup. Bibir merah jambunya yang cantik sering mengukir senyuman. Soalan pertama diajukan oleh suamiku. Nur Amana tersentak. Dia menafikan sekeras-kerasnya.Katanya itu cuma fitnah orang yang benci melihat kejayaannya. Hatiku lega. Nur Amana, anakku masih memelihara agamanya. Sebulan kemudian, aku dihubungi lagi. Permohonan Nur Amana untuk menukar agama telah diluluskan. Sekarang Nur Amana berada di Kota Kinabalu, menghadiri persidangan penganut agama Kristian sedunia. Darahku berderau. Sikap Nur Amana yang mencurigakan akhir-akhir ini turut menipiskan kepercayaan aku dan suami padanya. Aku tidak mampu bertahan lagi. Suamiku juga begitu. Ketiadaan Nur Amana (out-station ke Singapura lagi) memberi peluang kepada kami untuk memecah biliknya. Kamar sederhana besar itu tersusun kemas. Sekuntum mawar yang entah siapa pemberinya telah kering di atas meja. Dari kad kecil yang terlekat cuma tertulis tahniah dan tersusun buku-buku tebal di atas rak. Aku menghampirinya. Dan jantungku berdegup kencang bila hampir semua buku-buku tebal itu adalah berkenaan agama Kristian, termasuklah sebuah Bible dan terjemahannya. Aku menggeletar. Terasa lemah seluruh anggotaku. Suamiku segera menghubungi mahkamah meminta kepastian. Dan jawapan yang diberikan begitu menyakitkan. Air mataku turun tanpa henti. Apa salah didikanku, lalu dia jadi begitu? Subhanallah! Nur Amana pulang. Terkejut bukan main Nur Amana bila mendapati pintu biliknya telah dipecahkan. Suamiku menghujaninya dengan pertanyaan demi pertanyaan. Nur Amana membisu membiarkan kemelut terus berpanjangan. Namun akhirnya, penjelasan dilafazkan jua. "Saya mencintai Adam..... pemuda Kristian, saya benar-benar cinta padanya dan terperangkap dalam agama itu...," dan sepantas kilat sebuah tamparan hinggap ke pipinya. Kemarahan suamiku sampai ke puncak. Kesabaran terus terhapus. Nur Amana menangis. Aku terkaku.Sesungguhnya hakikat ini terlalu pahit. Paginya Nur Amana hilang dari rumah. Kamarnya kosong. Nur Amana membawa bersama segala pakaian dan buku-buku. Nur Amana bagai mengatakan bahawa "Cuma setakat ini saja hubungan kita". Nur Amana seolah-olah memutuskan bahawa aku bukan ibunya lagi, suamiku bukan bapanya lagi. Air mataku mengalir dan terus mengalir. Hiba hati seorang ibu. Suamiku bertindak pantas melaporkan kepada polis. Nur Amana lari dari rumah! Pun polis tidak menemuinya. Suamiku membuat permohonan membantah pertukaran agama yang dibuat oleh Nur Amana. Tiada pilihan lain, akhbar terpaksa digunakan meminta Nur Amana hadir ke mahkamah. Lalu, cerita Nur Amana menjadi hangat. Saban hari kisahnya terpampang di akhbar dan kaca televisyen. Latar belakangnya dicungkil. Kemudian peribadi Nur Amana dikritik. Pendidikan ibu bapa dan sekolah dijadikan alasan. Dan akhirnya, ramai yang menyimpulkan, Nur Amana gadis terpuji tersungkur ke perangkap Kristian kerana cinta! Alangkah dangkalnya iman Nur Amana. Alangkah!!! Pada hari perbicaraan, Nur Amana hadir bersama seorang lelaki muda berdarah India. Nur Amana tidak bertudung litup lagi. Rambutnya dibiarkan mengurai ke bahu. Rambut yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata lelaki ajnabi. Dan, terasa gugur jantungku bila terlihat sebentuk salib dibuat dari emas tulin bercahaya ditimpa cahaya lampu megah tersemat di dadanya. Nur Amana tunduk. Langsung tidak memandang kepada sesiapa. Wajahnya tenang. Perbicaraan dijalankan. Detik demi detik berlalu. Keputusan diumumkan. Suamiku gagal! Undang-undang negara memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya. Dan kami tidak berhak menghalang kerana Nur Amana telah berumur lebih daripada 18 tahun. Lelaki muda di sebelah Nur Amana ku lihat tersenyum lega. Hatiku hancur. Di mataku terbayang hukum Allah. Orang murtad akan dikenakan hudud! Dipancung setelah enggan setelah disuruh bertaubat. Nur Amana bukan tidak tahu itu. Bukan Nur Amana tidak tahu. Tapi, mengapa dia terus berdegil, tidak insaf dengan dosa itu?. Aku rebah dalam pelukan suamiku. Tubuhku merasa tidak bermaya. Dia tunduk. Wajahnya merah padam menahan kemarahan. Jemariku digenggam erat. Air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Menitis jatuh ke pipiku. Itulah kali pertama kulihat air matanya gugur. Aku tahu hatinya. Dan cuma aku yang tahu hatinya."Demi Allah! Aku bersumpah negara ini tidak akan aman kerana memegang undang-undang kafir!". Tiba-tiba suaranya lantang menjerit, meggegarkan suasana mahkamah yang telah sediakala hingar apabila mendengar keputusan mahkamah tadi. Mahkamah sunyi seketika. Semua mata tertumpu padanya. Tiba-tiba jeritan itu disambut dengan laungan "Allahu Akbar" dari orang yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah. Aku cuba meredakan kemarahannya. Namun air matanya semakin lebat. "Mahkamah ini tidak adil! Sekular! Undang-undang penjajah!'. Keadaan semakin gawat apabila polis menangkap suamiku. Suamiku meronta- ronta, tapi pegangan kejap beberapa orang anggota polis melemahkan kudratnya. Dan akhirnya dia mengalah, membiarkan tangannya digari.Ketika melintasi Nur Amana yang terus tenang berdiri di sebelah lelaki muda yang tidak kukenali itu, suamiku menoleh. "Kalau jalan ini yang kau pilih, teruskanlah..... tapi ingat, kehidupanmu pasti tidak akan selamat!," Nur Amana tidak menjawab. Tunduk. Kaku bagai patung. Pun kulihat sekilas senyuman di bibir lelaki muda di sebelahnya. Hatiku tercalar. Keranamu Nur Amana, seorang ayah akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya. Dan hari ini, suamiku merengkuk dalam penjara.Dituduh menderhaka kepada mahkamah! Dan ditakuti akan mencetuskan huru-hara kerana menerbitkan sentimen perkauman juga keagamaan. Aku terjaga ketika jam dinding di ruang tamu berdenting tiga kali. Aku belum solat Isyak.Astagfirullah. Dari tadi aku tertidur dan menyambung mimpi ngeri semalam. Aku segera membaharui wuduk.Solat Isyak kudirikan. Kemudian kususuli dengan solat Taubat dan Hajat. Air mataku gugur lagi pada dinihari yang sepi. Doaku tidak putus. Hatiku retak. Namun jauh di sudut hati. Aku terus berharap....., pulanglah anakku,Nur Amana! Aduhai, kisah Natrah berulang kembali..... Agama dipermainkan oleh undang-undang sekular. Lihatlah betapa rapuhnya undang-undang sehingga tidak dapat mempertahankan agama ISLAM yang dikatakan agama RASMI. Sampai bila perkara ini akan berakhir..... Betapa hibanya hati seorang ibu bila anaknya murtad dan kita tahu hukumnya dan kita tahu masih banyak lagi kes yang sama seperti Nur Amana. Apakah tindakan kita yang mengaku dirinya ISLAM? Apakah tidak tercabar oleh permainan pihak kuffar ini???? Permainan ini semakin bermaharajalela ditanah air kita..... Sedarlah!!! Kita akan tertindas selagi HUKUM ALLAH TIDAK DITEGAKKAN DI BUMI....... MALAYSIA khasnya....
 
Pagi hari Islam..petangnya kafir..
02.20.06 (5:49 pm)   [edit]
Assalamua'alaikum...Wbt... Pernah kah anda terfikir tentang....bagai mane orang islam boleh memjadi murtad? ".. Pagi hari Islam..petangnya kafir.." Dalam satu hadis yang berbentuk futuristik (masa depan), Rasulullah SAW berpesan "Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa,satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak". Sahabat bertanya "Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?" "Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu, pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir balik." Sahabat bertanya lagi. "Mengapa begitu ya Rasullullah?" Rasullullah SAW menjawab, "Sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia". Imam Ghazali pernah berkata dalam perkara ini, "Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap." Mana nampak? Kecuali kalau jiwa kita tengok satu perkara dengan cahaya keimanan. Bagaimana gerakan murtad ini berjalan di Malaysia sehingga kita tak nampak langsung. Gerakan Hindu kita tok sah sebutlah. Belum habis cakap, dah ada yang tunggu dengan parang kat luar. Gerakan Yahudi lagilah teruknya. Henry Ford (orang kaya yang buat kereta Ford tu) pernah menulis berkaitan Yahudi tahun 40an atau 30an dulu dalam bukunya "International Jew" (tak silap saya). Unsur Yahudi begitu tebal dalam masyarakat kita tapi kita tak nampak. Paling nyata, rokok yang orang kita hisap tu. Setiap satu batang itu ada saham kepada puak Yahudi. Tak de kilang rokok yang bukan Yahudi punya. Sapa yang hendak berenti merokok, ambil ni sebagai iktibar. Yahudi punya kerja. baru letak bola sebijik, 70 ribu Melayu tak sembahyang kat stadium Shah Alam. Belum kira yang kat rumah lagi. Bab Kristian, lebih terancang, lebih terperinci lagi. Semenjak kalah dalam perang salib terakhir, iaitu dalam pemerintahan King entah apa nama ke 6 yang terakhir. Sebelum dia mati, dia telah berwasiat dan wasiatnya ada ditulis dengan emas di London. Dia berkata: "Kepada semua pemimpim-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar, kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetapmenang sebab mereka (orang Islam) berperang kerana nak mati. Kita perang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita tukar strategi. Melancarkan peperangan ideologi, fahaman dan budaya keatas orang Islam." Wasiatnya berjaya dilaksanakan setelah King tu mati. 1942. kerajaan Islam Andalusia yang paling agung pada masa itu tumbang di tangan Kristian. 1511 kerajaan Islam Melaka tumbang, tak lama lepas tu, tumbang kerajaan Islam Pattani. Tak lama selepas tu, tumbang kerajaan Islam Kedah. Tak lama lepas tu, tumbang kerajaan Islam Mindanao. Lepas tu kerajaan Islam Acheh...semuanya satu demi satu. Macamana benda ni boleh terjadi? Sebab gerakan Kristian berdasarkan kepada 3G. GOSPEL,GOAL, GLORY. Pertama kitab dia, kedua kekayaan kita, ketiga menang terhadap Islam. Kalau kita tengok sejarah, Alfonso De Albuqueque bukan datang ke Tanah Melayu bawa tukang masak sebab nak rempah kari kita. Dia bukan makan kari, dia datang bawa mubaligh Kristian Francis Xavier (kalau saya tak silap eja), sebab nak sebarkan ajaran Kristian. Bagaimana cara dia sebarkan Kristian nih? Orang kita panggil, gerakan halus.Dia panggil semua mubaligh Kristian yang nak datang ke Asia ni. Dia guna kaedah "garam dan ragi". Garam sebagai perasa, ragi untuk penapaian. Contohnya ubi kayu. Waktu siang asalnya ubi kayu kita letak ragi, esoknya masih lagi bentuk ubi kayu tapi sebenarnya tapai. Maksudnya, dia kekalkan orang Melayu dengan identiti Islam. Hakikatnya kehidupan kita bukan cara Islam lagi. Cara inilah yang Rasulullah SAW kata macam kepingan hitam di malam gelita. Inilah yang Imam Ghazali kata macam semut hitam atas batu hitam di malam gelita tu. Pertama, melalui sistem pendidikan. Di Malaysia, macam-macam sekolah dengan nama mubaligh Kristian. Convent itu, Saint ini. Menurut satu petikan seorang mubaligh Kristian pada masa itu yang ditulis semula oleh George Peters dalam sebuah buku tahun 40an. Kepada mubaligh-mubaligh Kristian yang nak datang ke negara kita, berkaitan pendekatan garam dan ragi ". Pendekatan seperti ini tidak memerlukan seorang Muslim Melayu berkenaan meninggalkan sistem kemasyarakatan yang dituntut oleh agamanya. Sebaliknya orang tersebut hendaklah digalakkan terus tinggal dalam masyarakatnya. Justeru itu, ragi tetap ujud dalam keutuhannya. Dia akan menjadi bagaikan sebuah lampu (Kristian) yang diletakkan dalam gelap. Penyebaran agama Kristian nanti akan terserlah dalam sifat kerohanian, bukannya organisasi. Di rasa kesegarannya, bukan bersikap kalam. Dinamik dan etikal, bukan bersifat formalistik. Pendekatan begini telah memperlihatkan kebaikannya. Lantaran ia tidak menganjurkan ahli Melayu tadi menjadi ahli baru Kristian yang formal, menyendiri terpisah dari masyarakatnya. Sebaliknya ia memberi laluan agar dapat dimasukkan semangat dan ajaran Jesus bagaikan sebutir ragi yang bertindak dengan proses penapaiannya ke atas seluruh masyarakat Melayu seluruhnya. Ajaran Kristian akan bertindak melahirkan revolusi, justeru itu nanti, dapatlah dikatakan bahawa kita nanti akan memperolehi satu Kristian muslim Melayu tempatan yang mencerminkan Kristian muslim Melayu sejati.." Sebenarnya dia ingin. Akan datang suatu masa nanti, orang Melayu sendiri tanpa dipaksa-paksa akan buat revolusi untuk menjadi Kristian. Cara kebajikan pulak..., Hari ni sapa tak kenal kelab rotary yang cuci buah pinggang, kelab lion, bulan sabit merah, Saint John's Ambulans, sapa tak kenal palang merah. Mereka masuk dengan cara menghidupkan sekularisme. Sekularisma adalah satu cara mengasingkan agama daripada kehidupan. Itulah kita hari ni mengasingkan Islam daripada kehidupan dunia. Cara lain adalah dengan menghidupkan maksiat. Kita kena ambil tindakan samada dengan tangan, dengan mulut, atau paling lemah sekali, dengan hati. Bangun malam buat sembahyang hajat agar kita semua diselamatkan dari fitnah besar ini. Paling kurang pun, fowardkan email ni kepada saudara kita yang lain yang tak tahu menahu tu. Kita kena peka. Ini semua tanggung jawab kita semua. Akhir sekali, email ini tiada kena mengena dengan ceramah nak berkempen politik atau apa saja. Sekadar meniupkan semangat perjuangan dalam diri kita yang mengaku Islam ini. Ni lah masanya kita bangkit pertahankan agama Islam sebelum terlambat. #kawan-kawan yang dikasihi, tolong forwardkan email ini untuk pengetahuan dan tindakan kita semua sebagai orang Islam agar perkara ini boleh dijadikan iktibar dan benteng untuk kita mempertahankan akidah kita yag telah di Islamkan atas tiket keturunan dimana dengan sebab ini kita telahpun mendapat banyak rahmat dan belas ihsan dari Allah tanpa perlu melalui hidup sebagai seorang yang terpesong dari ajaran-Nya dan sentiasa mencari-cari jalan yang betul. Di harap rahmat Allah dan doa-doa para waliullah dapat melindungi kita sehingga kita kembali ke sisi-Nya. Sementara itu, berhati- hatilah dalam apa jua yang kita lakukan dan sentiasa beringat kepada Allah.
 
Hikmah doa penuh kesabaran
02.19.06 (9:35 pm)   [edit]
ANAS bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Telah berkata Jibril: "Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah maksud dan hajat hamba-Mu si polan...Maka, Allah menjawab: "Biarkan hamba-Ku itu, kerana Aku mencintai suaranya (yang selalu bermohon dan meratap kepada-Ku)." Hadis itu begitu dalam maknanya iaitu mengenai hubungan dan rahsia antara hamba dengan Allah. Sesiapa pun tidak berhak mengganggu-gugat kekuatan cinta kedua-duanya. Disebabkan cinta manusia yang mengharap dan berdoa serta kerana rahmat-Nya juga, Dia merindui ratapan dan rayuan si hamba. Adakah doa ini tiada didengar atau kekotoran roh yang menghijab kurniaan Allah? Tangisan dan rintihan rupanya tidak sia-sia, tetapi umpama bisikan rindu yang dikasihi al-Rahman. Jika kita boleh memilih dan berkuasa atas kehidupan sendiri, segala-galanya akan tercipta sesuai dengan keinginan kita. Tetapi, kita tidak berhak atas hidup yang seperti ini. Kuasa mencipta dan memilih milik Allah. Sebagai hamba yang lemah dan amat bergantung kepada belas ihsan-Nya, kita hanya boleh berusaha dan berdoa. Allah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi diri kita. Firman Allah bermaksud: "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkannya berlaku dan Dialah juga yang memilih, tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dan Tuhanmu Mengetahui daripada apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan." (Surah al-Qasas, ayat 68-69) Mengapa manusia cepat berputus asa ketika berdoa? Bukankah doa itu adalah ujian keimanan bagi mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah. Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu menunggu dan menunggu harapan yang belum terjawab. Bukankah doa Nabi Musa dan Harun pada ayat 88, Surah Yunus yang berisi mengenai permintaan kedua-duanya supaya Firaun dibinasakan, akhirnya terjawab setelah 40 tahun berdoa? Kalau kita tidak sesabar Nabi Allah Musa dan Harun, eloklah teliti hadis berikut ini. Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa telah bersabda Nabi SAW: "Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Ada kalanya Allah segera memperkenankan doanya. Ada kalanya doanya itu dijadikan oleh Allah sebagai simpanan pahala di akhirat. Dan ada kalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya." Berkata sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!” Nabi SAW bersabda: “Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih) Tidak sedikit pun kerugian jika kita sering memanjatkan doa. Yang pasti, tiga janji akan Allah berikan kepada yang bersungguh-sungguh berdoa. Tetapi, perlu diingat ada faktor yang boleh menjejaskan doa itu daripada dikabulkan oleh Allah iaitu: Terburu-buru dan berputus asa. Nabi SAW bersabda: “Doa salah seorang daripada kamu akan diperkenankan oleh Allah asalkan saja seseorang itu tidak terburu-buru lalu ia mengatakan: Aku telah berdoa, tetapi doaku belum diperkenankan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menggunakan rezeki daripada sumber yang haram. Nabi SAW bersabda dengan menyebut hal seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkat kedua-dua tangannya ke atas langit sambil berdoa: “Ya Rabbi, Ya Rabbi, sedangkan makanannya dari harta yang haram, minumannya daripada harta yang haram, pakaiannya daripada harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram, maka bagaimana akan diperkenankan doanya?" (Hadis riwayat Muslim). Terus meminta dan berharap kepada Allah kerana Dia tidak pernah menyalahi janji-Nya. Yang perlu diingat ialah bukan kita yang memilih apa yang akan terjadi pada diri ini, tetapi Allahlah yang berhak memilihnya. Begitu juga dengan persoalan bilakah masanya Allah akan mengabulkan doa itu? Ia adalah hak Allah semata-mata kerana Dia Maha Mengetahui masa yang paling sesuai dan baik untuk diberikannya apa yang diminta daripada-Nya. INTIPATI Tiga faktor jejaskan doa daripada dimakbulkan Allah Terburu-buru Berputus asa Menggunakan rezeki daripada sumber yang haram Tiga janji Allah kepada umat bersungguh-sungguh berdoa Allah perkenankan doa Doanya Allah jadikan simpanan pahala di akhirat Allah hindarkan sebarang kejahatan (bala, bencana) Bersama Dr Juanda Jaya
 
Ulama muda contoh
02.01.06 (7:17 pm)   [edit]
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN) JIKA anda merasa megah dengan menghasilkan pelbagai jenis novel, buku panduan peperiksaan, mahupun antologi cerpen dan puisi atau apa sahaja, anda sepatutnya lebih kagum dengan kebolehan luar biasa Muhammad Fuad Kamaludin - penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan. Ini kerana pemuda berusia 32 tahun ini telah membuktikan dirinya `ulama muda' yang berjaya menghasilkan 115 buah kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli pengajian serta menjadi rujukan kepada ulama lain, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di luar negara. Logiknya, menggarap buku yang diilhamkan dengan fiksyen semata-mata boleh dilakukan oleh mana-mana penulis pun, tetapi menghasilkan sebuah kitab yang kemudian diguna pakai oleh ahli pengajian, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, jika penulis itu tidak mempunyai ilmu yang cukup tinggi. Malahan, keilmuwan Muhammad Fuad ini turut mendapat pengiktirafan pakar hadis dari Mekah, Almarhum Prof. Dr. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki dalam satu majlis ilmu di Mekah yang menyifatkan pemuda Rembau ini sebagai ulama dari Malaysia. Turut mengiktiraf keupayaan Muhammad Fuad ini ialah bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Almarhum Datuk Mursyid Diraja Tajuddin Abdul Rahman. Sebab itulah pemuda yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan ini mempunyai semangat luar biasa dan disiplin diri yang kuat untuk berkhidmat kepada ahli ilmu. Beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud. Ketika ditemui, Muhammad Fuad berkata, selagi dipanjangkan umur, beliau akan terus menulis kitab. Semua ini katanya, untuk dijadikan ba-han rujukan kepada generasi akan datang. Berbual-bual dengan anak murid tokoh ulama besar di Mekah, Almarhum Prof. Dr. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki, bapa kepada Syeikh Ahmad Muhammad al-Maliki ini, terserlah perwatakannya yang cukup dedikasi dan seorang yang lemah lembut. Malah, di dinding madrasah di Kampung Bukit Sembilan, terpampang pelbagai sijil pengiktirafan terhadap ilmu beliau oleh pelbagai ulama dunia Islam. Pendidikan Dengan kemampuan inilah, beliau berjaya menghasilkan tiga buah kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 buah kitab karangan fikah, sembilan buah kitab karangan tasawuf, enam buah kitab karangan sirah, 10 buah kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan. Malah, beliau yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan, juga menulis 12 kitab bahasa Arab (Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asand) - kitab yang berkaitan ilmu hadis dan diterbitkan di Mesir. Muhammad Fuad turut dijemput untuk memberikan ceramah dan kuliah di Singapura dan Mesir. Kitab karangan beliau dalam bahasa Arab ini mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh Universiti Al Azhar, Mesir. ``Tuan guru saya, Almarhum Dr. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki boleh menulis kitab setebal 150 muka surat dalam tempoh semalaman. Inilah yang mendorong saya untuk mencontohi komitmen beliau. Yang penting adalah disiplin diri,'' katanya. Muhammad Fuad juga merupakan pengasas dua madrasah Kampung Bukit Sembilan dan di Kampung Chenong, Chengkau, Rembau. Di situlah beliau membimbing anak yatim yang lemah, selain memastikan mereka mendapat pendidikan secukupnya dunia dan akhirat. Kelas pengajian untuk awam juga dijalankan di madrasah berkenaan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Bagi Muhammad Fuad, hakikat untuk menjadikan konsep dakwah dengan penuh kasih sayang inilah telah mendorong beliau mengasaskan sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS). Yayasan ini kini menempatkan golongan anak yatim dan anak-anak yang lemah. YSNS juga menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menerima ulama dari luar negara, majlis ilmu, ibadah korban, anak yatim, percetakan dan sebagainya. Semua idea ini dicetuskan oleh Muhammad Fuad demi masa hadapan umat Islam dan generasi akan datang. ``Saya mementingkan kebajikan umat Islam dan pada masa yang sama, saya juga memerangi mana-mana ajaran yang ekstremis dan memecahbelahkan umat Islam. Saya mengajar cara membentuk akidah yang betul dan mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah,'' katanya. Jadi, tiada sebab kita tidak mengagumi kebolehan luar biasa Muhammad Fuad ini dan kepada pemuda seusia beliau, contohilah komitmen pemuda dari Rembau, Negeri Sembilan ini dalam memperjuangkan agama Islam. Kepada penduduk di Negeri Sembilan, anda sebenarnya bertuah kerana mempunyai `ulama muda' di negeri ini. Sementara itu, bapa dan ibu Muhammad Fuad, Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud bersyukur dengan kejayaan anaknya itu dan berharap ia akan menjadi pendorong kepada generasi muda untuk terus berdakwah demi menegakkan agama Islam ini. ``Kami gembira dengan kejayaan Muhammad Fuad dan berharap kejayaan beliau menjadi contoh kepada generasi muda akan datang,'' kata mereka.
 
Sila join milis ini
02.01.06 (4:19 pm)   [edit]
Assalammmualaikum wbt, buat milis dan pengunjung setia, mohon menjadi anggota milis dan bertukar tukar pendapat dan pandangan semoga perjalanan menuju kenegeri abadi dipermudahkan perhitungannya. http://groups.yahoo.com/group... salam dari webmaster ..