Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Fathimah Az Zahra tidak suka kemewahan
06.29.06 (7:38 pm)   [edit]

KETIKA usia Fathimah Az Zahra yang dikenali sebagai Puteri Rasul menginjak dewasa, bangsawan Arab mula memasang cita-cita untuk menyuntingnya. Hanya apabila Ali Abi Thalib masuk melamar, Rasulullah SAW bersetuju dengan kesediaan puterinya itu.

Beliau akhirnya dinikahkan kepada Saidina Ali yang sebetulnya sudah tidak asing lagi kepada keluarga Rasul. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua hijrah.

Puteri Rasulullah SAW hidup bersama di dalam rumah Saidina Ali dengan ikhlas dan bahagia, penuh ketenteraman dan kedamaian. Kesederhanaan hidup tidak pernah berpisah darinya, dan rumahnya tidak pernah dihiasi dengan segala kemewahan.

Puteri Rasulullah SAW, isteri kepada Saidina Ali, seorang pahlawan Islam, pejuang dan pembela kebenaran, pengibar panji kemenangan dan jihad. Kerana itu, menjadi kewajipannya untuk menempatkan diri sedarjat dengan kedudukan penting suaminya.

Menyentuh masa hidup berumahtangga dengan Puteri Nabi ini, Saidina Ali pada kemudian harinya mengenang kembali; “Demi Allah, aku tidak pernah marah atau tidak suka terhadap sesuatu hal hingga dia dipanggil menghadap Allah. Dia pun tidak pernah membuatku marah atau tidak menyukai sesuatu. Setiap kali aku memandangnya, serta merta lenyaplah segala derita dan kesedihanku.”

Di dalam mengatur kehidupan sebagai seorang ibu, Puteri Rasulullah SAW memberikan contoh terbaik mengenai peranan seorang ibu.

Allah mengurniakan pasangan bahagia ini, putera puteri yang salih iaitu Hasan, Husein, Zainab dan Ummu Kalsum. Daripada beliaulah anak-anak suci ini memperoleh sifat sabar, tawaduk, lembut, pemaaf dan segala kebaikan. Daripada bonda suci inilah mereka mempelajari kemanisan ibadat.

Putera sulung beliau Al- Hasan berkata, “Aku melihat ibuku, Puteri Rasulullah SAW berdiri di mihrabnya pada malam Jumaat. Beliau terus menerus rukuk dan sujud, hingga tiba waktu subuh. Aku mendengar ibu berdoa untuk seluruh kaum mukminin dan mukminat dengan menyebut nama mereka satu persatu. Beliau banyak mendoakan mereka, dan tidak berdoa untuk dirinya sendiri. Kerana itu aku bertanya kepadanya, "Ibu, kenapa ibu tidak berdoa untuk diri ibu seperti ibu mendoakan orang lain?" Ibu menjawab, "Anakku, tetangga dulu, baru rumah sendiri.”.

Puteri Rasulullah SAW lahir dengan membawa sifat, roh dan akhlak Rasulullah SAW. Beliau mewarisi apa yang ada pada diri Rasulullah SAW dan sangat mirip dengan Baginda. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang menjadi cerminan Rasulullah SAW baik dalam sifat dan perilaku selain puterinya.

Untuk itu, 'Aisyah berkata, “Aku tidak melihat adanya seorang pun yang mirip Rasulullah SAW baik dalam sifat, mahupun cara berdiri dan duduknya kecuali Fathimah" juga, "Aku tidak melihat seorang pun yang lebih mirip kepada Rasulullah SAW dalam berkata dan berbicara selain Fathimah.”

Tidak mungkin di sini kita melukiskan seluruh peribadi Puteri Rasulullah SAW. Beliau, mewarisi keperibadian Maryam Binti Imran yang di dalam al-Quran dilukiskan sebagai wanita suci. Waktunya dipenuhi dengan zikir dan ibadat. Seperti Maryam, beliau juga terkenal kerana ibadatnya.

Fathimah juga mewarisi watak bondanya sendiri. Beliau hidup sederhana di samping suaminya, Saidina Ali Abi Thalib. Ketika berbagai-bagai pertempuran mengembalikan Saidina Ali keribaan Puteri Rasulullah SAW dalam keadaan penuh luka, dengan penuh kasih sayang, beliau merawatnya.

Dalam keadaan sederhana sekalipun, beliau sangat pemurah. Pernah suatu ketika, Puteri Rasulullah SAW memberikan kalung hadiah peninggalan bondanya kepada seorang peminta sedekah, ketika beliau tidak mempunyai apa-apa yang dapat diberikan.

Beliau pernah menderita kelaparan tiga hari tiga malam kerana menyedekahkan makanannya kepada anak yatim, orang miskin dan bekas tawanan perang.

Seperti Khadijah, Puteri Rasulullah SAW ini mempersembahkan apa pun yang dimiliki beliau untuk Islam. Terakhir, beliau juga menghimpun akhlak Asiah Mazahim. Hari-harinya dipenuhi dengan perjuangan menegakkan keadilan.
 Oleh Ahmad Yusaidi Abd Raffar
 
Fathimah srikandi dakwah Islamiah
06.28.06 (5:15 pm)   [edit]

FATHIMAH Az Zahra dilahirkan di Makkah pada Jumaat, 20 Jamadilakhir, tahun kelima daripada kenabian Rasulullah SAW. Puteri Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah Khuwalid ini dipersiapkan untuk menjadi wanita suci, penghulu wanita semesta alam.

Kehadiran puteri agung ini juga berlaku penuh keajaiban. Keajaiban yang menggambarkan petanda awal kedudukan agungnya di sisi Allah dan rasul-Nya serta kebaikan yang melimpah dan penuh berkat.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW diperintahkan berpuasa selama 40 hari dan mengasingkan diri daripada Khadijah dalam tempoh itu. Pada hari ke-40, Baginda diberi jamuan dari syurga. Rasulullah SAW kembali kepada Khadijah pada hari terakhir itu bagi mempersiapkan kelahiran Fathimah.

Ketika lahir ke dunia, beliau menyaksikan sendiri segala kepayahan ayah dan bondanya berjuang membebaskan kaumnya daripada cengkaman kegelapan jahiliah.

Beliau memahami bahawa saat itu, tiada kalimah yang lebih dibenci selain daripada kata-kata: "Tiada Tuhan yang disembah selain Allah, dan Muhammad itu Pesuruh Allah."

Fathimah menyertai Bani Hasyim ke Lembah Abi Thalib selepas mereka dipulaukan masyarakat Arab Makkah. Mujahidah kecil ini melihat bagaimana buruknya kesan pemboikotan ekonomi ke atas mereka.

Kesabarannya luar biasa membuatkannya mampu untuk terus bertahan dan berjuang dengan tubuh lemahnya walaupun terpaksa memakan rumput dan daun kering pada saat paling sukar ketika itu.

Dalam menegakkan kalimah Allah, Fathimah menyaksikan keteguhan hati bondanya dan ketegaran ayahandanya melalui segala ranjau kepayahan.

Tempoh pemulauan selama tiga tahun benar-benar memberi kesan kepada kesihatan Khadijah. Bondanya yang lemah masih mahu terus berjuang. Tubuh kurusnya digagahkan untuk terus berdiri membantu suaminya. Wajah pucatnya dihias dengan senyuman untuk menggembirakan Nabi Muhammad SAW dan puterinya.

Akhirnya Khadijah pergi buat selama-lamanya. Tidak lama selepas itu, puteri kecil ini menyaksikan pula kematian Abu Thalib, bapa saudara.

Sejak kematian bonda tercinta, Fathimah yang menguruskan rumah. Beliau menguruskan makan minum si ayah yang keluar seharian menyebarkan kalimah Allah. Beliau membesar dan beranjak dewasa dengan memperoleh kasih penuh daripada ayahandanya dan membalas kasih sayang ayahnya itu sedemikian rupa.

Tidak pernah lagi akan ada seorang anak yang akan mampu menjaga kebajikan ayahnya sama seperti sepenuh perhatian layanan terbaik seorang ibu mengasuh anaknya sendiri.

Nabi SAW memberi pujian paling mendalam dan sangat berharga pernah dicatatkan daripada seorang ayah kepada seorang anak: "Fathimah, ummu abiha" (Fathimah, ibu kepada ayahnya).” Beliau menunjukkan kepada umat bagaimana seorang anak harus berperi laku terhadap orang tuanya.

Sementara itu, tekanan kaum kafir semakin kuat. Tindakan mereka semakin luar biasa zalimnya. Rasulullah SAW melihat dengan penuh sedih tekanan dan penyeksaan ke atas orang Islam. Baginda ke Thaif dan kawasan lain untuk mendapatkan tempat di mana agama baru ini dapat diamalkan tanpa sekatan dan ancaman.

Pada masa itu juga, Baginda menyiapkan sekelompok orang Islam di bawah Jaafar Abi Thalib untuk berhijrah ke Habsyah, yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Najashi, seorang raja Kristian yang adil. Akhirnya, dengan mukjizat al-Quran yang luar biasa itu, Jaafar berjaya meyakinkan Najashi akan kebenaran Islam.

Berkat kesabaran dan kegigihan Rasulullah SAW serta kekuatan ajaran baru yang tidak dapat ditolak kebenarannya berjaya menambat hati sekelompok penduduk dari Yathrib. Mereka kemudian pulang ke Yathrib dan menyediakan sebuah tempat baru bagi tapak pertumbuhan agama suci ini. Yathrib kemudian dikenali sebagai Madinah.

Rasulullah SAW sendiri akhirnya meninggalkan Makkah selepas kejahatan kaum kafir mencapai ke kemuncaknya. Saidina Ali menyelesaikan semua urusan Rasulullah SAW di Makkah sebelum kemudiannya bersiap sedia menyertai Nabi SAW di Madinah. –

 
Solat Istikharah jadi pedoman orang mukmin
06.18.06 (10:43 pm)   [edit]


SEBUT sahaja solat sunat Istikharah, pasti yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh terbaik. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini.

Pensyarah di Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Zahazan Mohamed menjelaskan istikharah yang membawa maksud ‘meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan’ merupakan senjata orang yang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat.

Yang pasti urusan itu tidak sahaja yang melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat itu memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

“Rasulullah s.a.w. telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.

“Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan solat ini mencakupi urusan-urusan besar atau kecil. Banyak masalah yang kita sangkakan kecil akhirnya berkembang menjadi masalah yang lebih besar,” kata Zahazan yang juga giat menulis buku dengan penerbitan Telaga Biru.

Secara umumnya, kata Zahazan, pensyariatan ibadat ini adalah untuk menunjukkan kepada umat Islam kaedah memohon pertolongan Allah agar diberi taufik dan hidayah dalam membuat keputusan. Seperti mana banyak dijelaskan, ibadah ini diajar oleh Nabi sebagai jalan keluar daripada pergantungan kepada syaitan dalam amalan penujuman dan perbomohan yang menyebabkan penipuan dan penganiayaan terhadap hak sesama manusia.

Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan. Sebaliknya, Allah menjelaskan dalam al-Quran, ... kalaulah aku (Nabi Muhammad) mengetahui hal yang ghaib (akan berlaku), tentu aku akan berbuat kebaikan dengan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa sebarang kemudaratan.” (al-A’raf: 188)

Ayat ini menerangkan tentang peringatan Allah kepada kita bahawa Nabi s.a.w. yang menerima wahyu daripada-Nya juga tidak mengetahui apakah yang akan berlaku, inikan pula kita. Lantaran itu, memohon kepada Allah agar beroleh reda-Nya merupakan petanda ketakwaan dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Ini merupakan manifestasi keimanan yang mutlak kepada-Nya. Hal ini disebutkan dalam hadis pada bab Muraqabatullah dalam Kitab Riyadhus Solihin, Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: Apabila kamu meminta pertolongan mintalah kepada Allah. (Riwayat Tirmizi)

Terdapat juga sebuah athar yang bermaksud: “Tidak akan kecewa orang yang melakukan istikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat dengan orang lain.”

Menurutnya lagi, dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)

Malah, menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya.

Al-Zamlakani pula mengatakan: “Jika seseorang mengerjakan solat istikharah dua rakaat untuk sesuatu hal, maka hendaklah dia setelah itu melakukan perkara yang kelihatan baginya sama ada dia berasa senang ataupun tidak, kerana kebaikan itu berada dalam jiwanya sekalipun jiwanya tidak menyenanginya.”

Selain itu, kata Zahazan, tiada satu keterangan daripada hadis yang menjelaskan bahawa seseorang itu akan diilhamkan dengan perasaan senang hati atau sebagainya.

“Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan seseorang yang bersolat sunat ini akan memperoleh petanda tertentu melalui mimpi atau sebagainya. Namun begitu jika berlaku petunjuk seperti itu ia merupakan nikmat Allah.

“Hadis di atas bermaksud urusan yang dilakukan itu akan dipermudahkan oleh Allah dan diberikan keberkatan. Atau dalam keadaan lain, Allah akan memberikannya sesuatu kebaikan yang lain. Malahan dia akan sentiasa mendapat kebaikan dalam semua urusannya,” katanya.

Nasihat Zahazan, jadikanlah solat sunat ini sebagai satu ibadah yang dilakukan ikhlas kerana-Nya. Ambillah kesempatan untuk bermesyuarat dengan sahabat-sahabat yang soleh kerana Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat ke 159 bermaksud: dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Batas waktu

Solat Istikharah adalah solat yang dilakukan di luar solat wajib tanpa dibataskan waktu-waktu yang tertentu. Jadi ia boleh diamalkan pada bila-bila masa. Al-Imam al-Nawawi menyatakan dalam al-Azkar, solat ini boleh dikerjakan dengan dua rakaat sunat rawatib, tahiyatul masjid dan solat-solat sunat yang lain. Walau bagaimanapun melihat kepada susunan oleh al-Bukhari, beliau cenderung ke arah menggalakkan ibadat ini dikerjakan pada waktu malam, kerana lazimnya istikharah dilakukan sebagai usaha mendapat pimpinan Allah.

Justeru, waktu malam merupakan pilihan yang tepat memandangkan kepada sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari bermaksud: Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata: Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk-Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk-Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk-Ku ampunkan?

Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita bahawa solat ini dikerjakan secara bersendirian di luar waktu solat fardu. Walaupun tiada keterangan yang khusus menunjukkan kepentingannya untuk dilakukan bersama dengan solat hajat dan tahajjud, tetapi lazimnya waktu bertahajjud merupakan waktu yang baik untuk bermunajat kepada Allah.

Doa

Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang tepat dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mendapat penyelesaian ) dengan kekuasaan-Mu, aku memohon daripada anugerah-Mu yang Maha Agung, sesungguhnya Engkau maha berkuasa, sedangkan aku tidak, Engkau maha mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau maha mengetahui perkara yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini ... (disebutkan hajatnya ) baik untukku dalam urusan agamaku, hidupku dan kesudahanku, maka mudahkanlah bagiku dalam urusan itu, kemudian kurniakanlah berkat kepadaku. Akan tetapi bila Engkau mengetahui bahawa persoalan itu lebih bahaya kepadaku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahanku, maka elakkanlah aku daripadanya, kemudian takdirkan bagiku segala perkara yang baik di mana saja dan jadikanlah aku orang yang reda dengan ketetapan tersebut.

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menganjurkan agar seseorang yang mempunyai hajat itu menyebutkan hajatnya di pertengahan doa agar diberi petunjuk oleh Allah s.w.t..

Bacaan surah

Sebenarnya tiada suatu dalil pun yang menetapkan bacaan surah tertentu mengiringi al-Fatihah. Walau bagaimanapun, al-Imam al-Nawawi menerusi kitabnya al-Azkar mencadangkan agar membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama selepas al-Fatihah dan al-Ikhlas pada rakaat kedua selepas al-Fatihah. Kenyataan ini disokong oleh al-Iraqi dalam Syarah al-Azkar oleh Ibn Allan, Wallahu A'lam.

 

 

Oleh ZUARIDA MOHYIN

 
Syeikh Abdur Rauf Al-Bantani Khalifah Tarekat Qadiriyah
06.18.06 (10:27 pm)   [edit]


ULAMA yang berasal dari Banten pada judul di atas, namanya pertama kali saya sebut dalam Pengenalan siri ke-7 dan yang lebih lengkap dalam siri ke-9. Oleh sebab terdapat riwayat-riwayat baru dan dijumpai sebuah manuskrip yang belum saya sebut dalam tulisan terdahulu maka profil beliau saya bentangkan dalam kertas kerja Peranan Para Ulama Tasawuf di Nusantara pada Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara pada 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kusza, Kuala Terengganu, Terengganu.

Program itu adalah anjuran Persatuan Pelajar Usuluddin (PPUS) Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Artikel ini adalah penambahan beberapa maklumat yang belum dibicarakan sebelum ini. Antara maklumat terkini ialah penemuan beberapa manuskrip yang ada hubungan dengan beliau, sebuah daripada tulisan tangan beliau sendiri tentang Tarekat Syathariyah. Sebuah sumber lagi manuskrip tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman tentang Tarekat Naqsyabandiyah.

Berdasarkan semua karya Syeikh Haji Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani yang ada pada saya, dapat diambil beberapa kesimpulan. Pertama, beliau mengembara bermula di Banten, Jawa Barat, Aceh, Yaman, Mekah dan negeri Syam. Antara guru yang beliau sebut sama ada beliau sempat berguru dengannya ataupun guru kepada gurunya ialah Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, Syeikh Muhammad Zain al-Mazjaji dan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Syeikh Haji Abdur Rauf al-Bantani menulis bahawa dua tahun (1160 H/1747 M dan 1161 H/ 1748 M) beliau menjadi khadam dua Wali Allah di Mekah. Salah seorang bernama Syeikh Muhammad ath-Thabari (wafat 1163 H/1749 M) dan Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Kurdi al-Madani.

Penulisan

Manuskrip karya-karya Syeikh Haji Abdur Rauf yang telah dijumpai ialah: 1. Manuskrip Risalah fi Bayan Ilmin Nafas, salinan diselesaikan tahun 1112 H/1700 M. Oleh sebab salinan ini diselesaikan tidak sampai dua tahun setelah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati wafat (1110 H/1699 M), dapat disimpulkan bahawa Syeikh Haji Abdur Rauf sempat berjumpa dengan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati. Kandungannya merupakan pengajaran ilmu perjalanan nafas yang terdiri daripada nafas, anfas, tanaffus, dan nufus. Ilmu yang dibicarakan adalah termasuk dalam bahagian ilmu tasawuf dan tarekat.

2. Risalah Bayan al-Izalah al-Khawathir, diselesaikan pada waktu Asar, hari Rabu, 3 Jamadilawal 1154 H/1741 M.

3. Masalah Yang Dikarang Oleh 'Arif Billah diselesaikan malam Khamis, enam likur, Rabiulakhir 1214 H/1799 M. Manuskrip yang diperoleh hanyalah salinan oleh Ahmad Terengganu ibnu Idris. Kandungannya membicarakan tasawuf tingkat tinggi atau tasawuf falsafah. Dimulai daripada perbicaraan sifat-sifat Allah dilanjutkan tentang perbicaraan roh. Disebutkan asal ilmu ini ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, turun daripada Haji Abdul Muhyuddin Karang Pamijahan turun daripada Syeikh 'Abdur Rauf al-Asyi. Pada bahagian akhir risalah dinyatakan, “... ini kami mengambil risalah ini karangan Syeikh Masyaikh segala Jawi, iaitu Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkel nama kampungnya.”

4. Risalah Isyarah Haqiqah, tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.

5. Risalah Yang Menghimpunkan Masalah Yang Dikarang Ahli Tasawuf Arif Billah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.

6. Mukhtasar Tasnif Syaikh Masyaikh Yang Kamil Mukammil Syeikh Abdur Rauf Ibnu Ali tidak dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan petikan dan ringkasan karangan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang membicarakan tanda-tanda untuk mengetahui kematian serta tatacara melakukan zikir.

7. Risalah Tarekat asy-Syathariyah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip ini saya peroleh pada 27 Ramadan 1426 H/30 Oktober 2005 M. Oleh sebab banyak terdapat perkara baru dalam manuskrip ini, yang selama ini masih belum diketahui, maka ia perlu dibicarakan agak panjang.

Maklumat sebelum ini yang diketahui ialah Syeikh Abdur Rauf ialah pengamal Tarekat Qadiriyah, bahkan pada hujung nama beliau digelar sebagai Khalifah Qadiriyah. Setelah ditemui Risalah Thariqatisy Syathariyah dapat diketahui beliau juga pengamal Tarekat Syathariyah. Sungguhpun risalah yang dibicarakan ini mengenai Tarekat Syathariyah, namun pada permulaan kalimat beliau tetap memakai nama lengkap dengan Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiriyi al-Bantani dan tidak memakai nama sebagai Khalifah asy-Syathariyi.

Syeikh Abdur Rauf menyebut bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah daripada Wali Allah Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Madani. Selanjutnya beliau berkata, Syeikh Thahir al-Madani menerimanya daripada Syeikh Hasan al-Ajami. Syeikh Hasan al-Ajami menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Yang perlu diperhatikan dalam salasilah ini ialah nama Syeikh Thahir al-Madani, ayah beliau ini ialah Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani (wafat 1101 H/1689 M).

 

Salasilah

Kebanyakan salasilah yang diketahui Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani inilah murid Syeikh Ahmad al-Qusyasyi yang paling terkenal, tetapi dalam salasilah di atas disebut pula Syeikh Hasan al-Ajami. Berdasarkan maklumat ini bererti Syeikh Thahir al-Madani telah menerima Tarekat Syathariyah daripada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani, seperti disebut dalam kebanyakan salasilah dan beliau menerima pula daripada Syeikh Hasan al-Ajami.

Syeikh Hasan al-Ajami dan Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani kedua-duanya adalah murid pada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, kedua-duanya adalah guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ini adalah guru kepada Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Ku Pulau Manis), dan lain-lain. Anak Syeikh Thahir al-Madani ialah Syeikh Muhammad Sa'id Thahir. Anak Syeikh Muhammad Sa'id Thahir bernama Syeikh Muhammad As'ad. Syeikh Muhammad As'ad inilah yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Abdur Rauf juga seorang ahli dalam Tarekat Naqsyabandiyah. Salasilah beliau mengenai tarekat ini adalah berdasarkan tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah dalam karya berjudul Ilmu Akidah yang disiapkan pada hari Ahad, bulan Jamadilakhir 1298 H/Mei 1881 M. Diterangkan bahawa Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah belajar kepada Tuan Haji Sulaiman. Tuan Haji Sulaiman belajar kepada Tuan Imam Malim Kaya. Tuan Imam Malim Kaya inilah murid Syeikh Abdur Rauf. Syeikh Abdur Rauf dibaiah Tarekat Naqsyanbandiyah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain. Beliau ini dibaiah oleh ayahnya sendiri Syeikh Zain al-Mazjaji. Salasilah selengkapnya hingga yang lebih atas saya tinggalkan saja. Ia belum dapat dibicarakan dalam artikel ini.

Sebagai keterangan ringkas salasilah di atas perlu saya sentuh bahawa berdasarkan beberapa bukti, penulisnya Ali bin Sulaiman kemungkinan adik-beradik dengan Syeikh Muhammad Yasin Kedah yang berhijrah dari Kedah ke Kuala Mempawah. Ali adalah anak Tuan Haji Sulaiman yang ada hubungan dengan ulama di Aceh. Oleh itu, gurunya Tuan Imam Malim Kaya adalah ulama yang berasal dari Aceh. Belum dapat dipastikan adakah Tuan Imam Malim Kaya belajar daripada Syeikh Abdur Rauf ketika di Mekah ataupun ulama Banten yang suka mengembara itu pernah sampai ke Aceh.

Ditinjau daripada salasilah Syathariyah, hanya satu tempat yang tersebut saja merupakan maklumat baru, ditinjau daripada huraian kandungan Risalah Thariqatisy Syathariyah memang banyak perkara baru. Kitab-kitab mengenai Tarekat Syathariyah lebih awal ditulis oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, dan yang kemudian ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Namun beberapa perkara yang masih kurang tersebar yang tidak terdapat dalam karya-karya lain ternyata terdapat dalam Risalah Thariqatisy Syathariyah oleh Syeikh Abdur Rauf yang sedang dibicarakan ini. Masih pada mukadimah lagi, Syeikh Abdur Rauf menyebut, “...Tarekat Syathariyah, tarekat segala Auliya' yang besar-besar.”

Antara perkara yang dihuraikan lebih lengkap daripada naskhah lain seperti pada adab duduk, kata beliau, “Kelima, duduk menghadap kiblat serta bersila. Maka urat lututnya yang kiri disepitnya dengan ibu kaki yang kanan.” Adab yang kesembilan disebutkan Fatihah tawassul dihadiahkan untuk Syeikh Abdur Rauf, tanpa menyebut Syeikh Abdur Rauf yang mana dimaksudnya. Dipercayai adalah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun salasilah Tarekat Syathariyah, beliau secara lurus tidak menyentuh ulama besar yang berasal dari Aceh itu, namun bertemu Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Sesudah menyebut ahli salasilah tempat tujuan tawassul lalu dinyatakan doa tawassul yang khusus, yang doa tersebut belum dijumpai dalam semua naskhah Tarekat Syathariyah bahasa Melayu. Termasuk adab yang paling penting dalam disiplin tasawuf ialah mematuhi guru. Sangat banyak perkataan gurunya beliau pindahkan ke dalam naskhah Risalah Thariqah asy-Syathariyah. Syeikh Abdur Rauf menulis, “...kata orang ahlillah, dan lagi menyuruh guru kami, yang Kamil Mukammil iaitu Syeikh Ibrahim anak Syeikh Thahir Madinah ar-Rasul kepada fakir....”

Kerana terlalu banyak yang diperkatakan, antara petikannya dilanjutkan dengan tulisan beliau, “...serta yakin kepada guru serta petunjuk, kerana guru ini menunjuk kepada jalan keselamatan. Sebab inilah disuruhkan guru kami. Kerana guru ganti Nabi s.a.w. sebab inilah kita wajib mengikut akan pesuruh-Nya. Dan kata guru kami, “Janganlah engkau lupa dan lalai akan yang disuruh oleh guru, kerana jika durhaka kepada guru, nescaya sesat dengan sesat yang terlalu jauh.”

Syeikh Abdur Rauf menutup Risalah Thariqatisy Syathariyah, dengan katanya, “...jangan engkau lupa dan lalai akan zikir ini, kerana perbuatan segala Auliya' yang besar-besar, kerana jalan kepada Allah s.w.t.. Dan barang siapa tiada gurunya, maka syaitan gurunya. Sebab itulah wajib berguru akan jalan ini. Jangan engkau syak lagi akan hal perbuatan ini, kerana jalan segala Anbiya' dan Auliya' sekali-kali jangan lupa dan lalai kepada Allah. Dan lagi, janganlah lupa dan lalai akan zikir Allah, Allah siang dan malam itulah. Sekalian itu disuruh guru kami kepada fakir yang hina.”

 

 

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
 
Ilmu dimiliki Lukman sarat dengan hikmat
06.18.06 (6:11 pm)   [edit]

LUKMAN bukan lelaki misteri, tetapi latar belakang serta kisahnya masih banyak yang perlu diterokai kerana sebagai seorang diberi gelaran al-Hakim yang bermaksud bijaksana, beliau dikurniakan kelebihan oleh Allah.
 

Surah 31 dalam al-Quran - surah Lukman – menceritakan kisah Lukman al-Hakim yang diberi hikmat. Disebabkan kelebihan itu juga, tidak keterlaluan jika beliau diiktiraf sebagai ilmuwan yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Dalam surah itu juga menceritakan amanahnya Lukman, terutama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa di sebalik kehidupan harian yang sibuk dengan tugasnya.

Antara nasihat penting yang disampaikan beliau adalah berkaitan amanah kepada Allah dengan tidak menyekutukannya, menekankan soal ibadat terutama solat dan kepentingan dakwah demi menjamin kesinambungan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat.

Lukman juga menasihatkan anaknya bersikap sederhana, tidak sombong dan bongkak dalam hidup, bersikap sederhana ketika berjalan dan melunakkan suaramu.

Apa yang diterapkan Lukman kepada anaknya adalah pembentukan nilai murni dalam diri individu kerana hanya dengan berpegang teguh kepada agama, seseorang itu dapat berjaya melayari kehidupan dunia.

Keistimewaan Lukman, khususnya dalam mendidik serta membimbing anaknya sering dan terus dijadikan contoh kerana ternyata ciri dimiliki menjadikan beliau sebagai role model sepanjang zaman.

Sebenarnya kisah Lukman tidak panjang dibicarakan tetapi cukup mendekatkan umat Islam kepadanya.

Ada beranggapan beliau termasuk dalam golongan nabi dan ada mengatakan beliau adalah wali.

Jumhur ulama menjelaskan bahawa Lukman yang terkenal kerana kisah wasiat kepada anaknya diabadikan dalam al-Quran adalah seorang lelaki salih dan beriman kepada Allah.

Menurut riwayat, Lukman aI-Hakim ialah seorang lelaki berkulit hitam yang bertakwa kepada Allah. Mengikut Imam Said bin Musayyib, beliau seorang lelaki salih yang berasal dari Sudan.

Pada suatu masa, seorang lelaki berkulit hitam menemui Imam Said dan beliau berkata kepada lelaki itu : “Janganlah kamu bersedih hati kerana kulitmu yang hitam. Sebenarnya antara manusia yang terbaik (di sisi Allah) adalah mereka yang berkulit hitam iaitu Bilal, Mahjak dan Lukman al-Hakim.”

Mengikut Ibn Jarir At-Tabari pula, berpandukan riwayat daripada Khalid ar-Raj’ii: Lukman adalah seorang hamba dari Habsyah yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.

“Pada suatu hari, tuan Lukman menyuruh beliau menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terbaik. Perintah itu dilaksanakan Lukman dan dibawa kepada tuannya dua ketul daging terbaik iaitu hati dan lidah.

Pada keesokan harinya, tuannya menyuruh beliau menyembelih seekor kambing lain dan membawa kepadanya dua ketul daging terkeji.

Perintah itu juga dilaksanakan oleh Lukman dan dibawa kepadanya dua ketul daging terkeji iaitu hati dan lidah.

Tuannya berasa pelik dan bertanya kepada Lukman maksud perbuatannya itu dan Lukman berkata: “Sesungguhnya, bagi orang yang mulia, inilah harta terbaik dimilikinya dan bagi mereka yang keji, inilah harta terkeji terdapat dalam jasadnya.”

Begitulah contoh kebijaksanaan Lukman dikurniakan hikmah dari Allah selain mendapat kedudukan dan makam yang amat mulia di sisi Allah.

Mengikut Ibn Jarir daripada Amru bin Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai hikmah yang dimiliki dan jawab beliau : “Itu adalah kehendak Allah. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atasku, aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.”

Kesimpulannya, Lukman mungkin bukan saintis, pakar matematik, doktor falsafah atau pencipta, tetapi dengan hikmah serta ilmu yang dimiliki, beliau ialah ilmuwan yang berjaya meninggalkan wasiat berguna untuk manusia sejagat.
 
Makkah kota pilihan satukan ummah
06.16.06 (2:37 am)   [edit]

MAKKAH mula dibina pada zaman Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail.
 

Ketika Nabi Ismail dan ibunya Hajar ditinggalkan di situ, Makkah hanya sebuah lembah yang gersang, padang pasir tandus dan hanya ditumbuhi oleh pohon renek.

Ia adalah sebuah kawasan yang tiada berpenghuni dan antara laluan kafilah dagangan. Bagaimanapun, ada satu kabilah yang menetap di kawasan sekitarnya iaitu Kabilah 'Amaliq.

Apabila wujudnya telaga zamzam di Makkah, kafilah suku Jurhum yang kebetulannya melalui kawasan itu memohon keizinan daripada Hajar untuk menetap berdekatan telaga itu. Maka, bermulalah sebuah penempatan kecil di bumi Makkah dengan pekerjaan utama penduduknya, berburu haiwan.

Setelah Nabi Ismail dewasa, baginda dijodohkan dengan anak gadis suku kaum Jurhum. Perkahwinan itu membawa kepada penyatuan dua keturunan, yang akhirnya membolehkan keturunan suku Jurhum menjadi ketua (penguasa) kepada kabilah itu dan lainnya yang tinggal di sekitar mereka.

Penguasaan suku Jurhum sebagai Ketua Makkah dan penjaga Kaabah berterusan selama dua abad. Mereka menjadi lemah selepas kematian ketua mereka bernama Madhadh ibn 'Amru. Mereka mula leka dan tidak lagi berpegang teguh dengan ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Mereka bersikap angkuh dan bongkak. Mereka juga berkelakuan keji dengan melakukan pelbagai kezaliman di Makkah, menghalalkan yang haram, malah sanggup melakukan perzinaan di dalam Kaabah.

Akibat sikap dan perbuatan melampau itu, Allah menamatkan penguasaan mereka di bumi Makkah. Mereka ditewaskan oleh suku Khuza'ah yang diketuai oleh 'Amru ibn Luhay yang datang dari Yaman.

Suku Jurhum mengalami kekalahan teruk dalam peperangan yang berlaku selama tiga hari sehingga tiada lagi yang hidup, melainkan mereka yang melarikan diri dari medan pertempuran.

Kota suci Makkah bertambah maju di bawah pemerintahan suku Khuza'ah dengan pertambahan jemaah yang menziarahi Kaabah. Pada masa sama pendatang ini membawa masuk amalan mereka yang rosak seperti menyembah berhala, menenung nasib dengan bilah anak panah dan adat yang jelas bertentangan dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Penguasaan suku Khuza'ah berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi (melebihi 500 tahun) sehingga tiba zaman Qusay ibn Kilab. Beliau menyatukan suku Arab di Makkah menjadi satu bangsa atau kabilah Quraisy yang disegani di seluruh Semenanjung Tanah Arab.

Keadaan ini berterusan sehingga ke zaman Rasulullah SAW dilahirkan, di mana ketika itu pucuk pemerintahan dipegang oleh datuk Baginda iaitu Abdul Muttalib. Di bawah kepimpinan beliau, bangsa Quraisy melalui zaman kemuliaan, kekuasaan dan kemegahan yang tidak pernah diperolehi oleh keturunan mereka sebelum ini.

Pada 571 Masihi, tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, Makkah diserang oleh Raja Abrahah, penguasa dari Yaman bertujuan meruntuhkan Kaabah dan membalas perbuatan kabilah Quraisy yang menghina ‘Kaabah’ buatannya di Yaman.

Abdul Muttalib bertindak bijak apabila diberi peluang oleh Abrahah untuk mengemukakan permintaanya sebelum Kaabah diruntuhkan. Beliau menuntut harta penduduk Makkah yang dirampas oleh tentera Abrahah. Apabila ditanya, mengapa beliau meminta benda remeh, sedangkan Abrahah akan melakukan sesuatu yang besar, meruntuhkan Kaabah. Abdul Muttalib menjawab bahawa beliau adalah tuan unta (harta yang dirampas), sedangkan Kaabah ada Tuannya yang pasti akan menjaganya.

Penguasaan golongan Musyrikin Quraisy ke atas kota suci ini berakhir dengan pembukaan Makkah oleh Rasulullah SAW pada Ramadan tahun 8 Hijrah. Baginda menerima perintah Allah untuk mengambilalih penguasaan ke atas Makkah daripada tangan Musyrikin.

Baginda membinasakan berhala di sekitar Kaabah yang berjumlah 360 buah dengan pedangnya.

Rasulullah SAW juga mengarahkan sahabat, Umar ibn al-Khattab dan 'Uthman ibn 'Affan memadamkan lukisan pada dinding Kaabah.

Bermula daripada detik itu, Makkah bergerak menuju era keemasan di bawah naungan dan rahmat Ilahi, sungguhpun tampuk pemerintahan umat Islam saling bertukar ganti.

Kegemilangan dan kemajuan ini menjadikan Makkah al-Mukarramah yang suatu ketika dulu hanya dihuni oleh kelompok kecil manusia dari suku Jurhum berkembang menjadi kota bertamaddun, lagi canggih dan dihuni lebih 600,000 penduduk tetapnya sekarang.

Inilah bumi pilihan Allah untuk kelahiran sekasih-kasih manusia disisi-Nya, junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Di sinilah didirikan Kaabah, rumah ibadat kepada Allah yang tertua di muka bumi ini.

Bumi Makkah ini ditentukan sebagai Tanah Haram, bumi yang dimuliakan lagi suci yang mempunyai makna dan kelebihan tersendiri yang tidak ada di bumi selainnya.

Di bumi inilah juga Allah menentukan tempat melakukan ibadah haji dan umrah sebagai Rukun Islam kelima dan terakhir dalam rangka manusia menyediakan bekalan bagi dirinya untuk kembali ke negeri yang kekal abadi (akhirat).

Umat Islam semuanya diseru mendatangi Tanah Suci Makkah untuk mendapatkan kelebihan Allah yang banyak di dalamnya.

INTI PATI
Perkembangan awal kota Makkah


  • Kota suci Makkah bertambah maju di bawah pemerintahan suku Khuza'ah dengan pertambahan jemaah yang menziarahi Kaabah.
  • Penguasaan suku Khuza'ah berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi (melebihi 500 tahun) sehingga tiba zaman Qusay ibn Kilab. Beliau menyatukan suku Arab di Makkah menjadi satu bangsa atau kabilah Quraisy yang disegani di seluruh Semenanjung Tanah Arab.
  • Perigi zamzam mengubah kota Makkah yang dulunya sepi menjadi tumpuan beribadat dan menjalankan aktiviti ekonomi.
  • Kelahiran Muhammad menyebabkan Islam berkembang teguh dari Makkah sehingga ke seluruh dunia pada hari ini.


  • Penulis ialah Pengurus Besar (Pakej/Swasta) Lembaga Tabung Haji. Artikel dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji
  •  
    Nor Aiman sedih dianggap mualaf kelas dua
    06.14.06 (11:27 pm)   [edit]


     


    MELIHAT kepada orangnya yang petah berbahasa Melayu, apatah lagi bila kaki melangkah ke teratak kediamannya di Subang Mewah, Selangor, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa pemuda berketurunan Baba Nyonya dari Melaka ini memang memiliki ciri-ciri dan sifat kemelayuan yang begitu dominan dan sebati dalam jiwanya.

    Ini diterjemahkan menerusi keramahannya dengan jiran tetangga, kemesraan menerima kunjungan penulis dan jurugambar, dekorasi dalaman rumah bercita rasa ala Melayu yang serba sederhana serta bijak memilih pepohon hijau yang mengisi ruang laman biarpun dengan keluasan yang agak terbatas namun masih menimbulkan kesegaran.

    Beliau yang penulis maksudkan ialah pereka fesyen dan jurusolek yang tidak asing, Nor Aiman Abdullah Ong atau lebih dikenali di kalangan para artis dan orang kenamaan sebagai Ad.

    Meskipun ini merupakan pertemuan pertama antara penulis dengan Ad dan persetujuan untuk diwawancara diperoleh sehari selepas dihubungi, Ad tidak kekok malah kesanggupannya berkongsi pengalaman ‘hijrah’ akidahnya amat penulis hargai.

    Demi mengukuhkan kenyataan penulis mengenai keserasian cara hidup kemelayuan Ad yang diadun mesra nilai keislaman, ia dijelaskan anak bongsu daripada empat adik-beradik ini bahawa suasana sebegini terhasil menerusi pergaulan berpuluh tahun dengan masyarakat Melayu Islam.

    “Dari tempat di mana saya dibesarkan, membawa ke alam persekolahan peringkat rendah dan menengah serta sehinggalah setelah mempunyai kerjaya tetap, kehidupan dan pergaulan saya lebih banyak di kalangan orang Melayu.

    “Malah boleh dikatakan teman baik, teman serumah serta pelanggan saya juga adalah mereka yang berbangsa Melayu. Pendedahan yang agak lama dan berpanjangan ini secara tidak langsung berkemungkinan menyumbang kepada apa yang wujud sekarang ini.

    “Keakraban ini turut mendedahkan saya bukan sahaja kepada budaya dan cara kehidupan mereka tetapi turut melibatkan pegangan agama mereka iaitu agama Islam,” kata Ad yang mengakui sudah lama melafazkan syahadah tetapi cuma baru beberapa tahun lalu mendaftarkan pengislaman di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

    Menurut Ad lagi, sungguhpun setiap agama itu mengajar penganutnya perkara yang baik namun dalam agama Islam, ajarannya tiada tolok bandingannya, ada keistimewaan, lengkap serta merangkumi pelbagai bidang ilmu.

    “Islam adalah satu-satunya agama yang paling mudah, adil kepada setiap makhluk dan tidak ada paksaan. Namun, yang paling ‘menarik’ saya kepada Islam ialah setiap sesuatu yang berlaku itu adalah yang telah ditakdirkan oleh-Nya dan biar apa pun yang tertulis untuk kita itu ada hikmah di sebaliknya,” jelasnya.

    Itulah yang sentiasa menjadi prinsip dan pegangan, sekali gus keteguhan keimanan di dadanya meskipun Ad akui bergelar mualaf mengundang pelbagai cabaran dan tekanan.

    “Alhamdulillah, biar sehebat mana dugaan yang dihadapi terutama daripada masyarakat yang mengakui diri mereka muslim sejak azali, keyakinan dan keutuhan keimanan dalam ini sedikit pun tidak tergugat. Malah mungkin inilah hikmah yang Allah sahaja mengetahuinya,” luah Ad berbaur kecewa dengan sikap segelintir masyrakat Islam yang beranggapan gelaran mualaf sebagai golongan kelas kedua.

    Ad yang pernah menata rias wajah dan penampilan pakaian artis seperti Siti Nurhaliza, Rabbani, Louisa Chong, Liza Hanim, Datin Orkid Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Datuk M. Daud Kilau, Vanida Imran, Ac Mizal dan ramai lagi memberitahu, keputusannya memeluk Islam sedikit pun tidak menggugat kerjayanya sebagai pereka fesyen serta jurusolek profesional.

    Menjawab pertanyaan mengapa keputusan memeluk Islam diambil agak lewat sedangkan menerusi kisah beliau Islam telah bertapak lama dalam diri, Ad sambil tersenyum lebar memberitahu, pemerhatiannya terhadap cara hidup teman-teman Islam yang segelintir daripada mereka tidak mengikut landasan Islam sedikit sebanyak melambatkan pengislaman beliau.

    “Namun, hidayah Allah itu tidak siapa pun dapat menolaknya. Kekurangan keyakinan itu terubat apabila saya mengalami pelbagai perubahan sama ada dari segi rohani dan jasmani menerusi pembacaan serta sokongan dan dorongan daripada mereka yang benar-benar memahaminya.

    Keikhlasan

    “Ada segelintir yang menganggap pengislaman saya ada kepentingan seperti hendak cari nama, nak popular, sebab bisnes dan nakkan hak bagi yang bergelar mualaf. Masyarakat boleh menuduh apa-apa tetapi saya lebih bersikap positif serta berpegang teguh Allah itu Maha Mengetahui. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Jadi keikhlasan nawaitu saya ini hanya kepada Allah saya serahkan.

    “Yang penting hubungan saya dengan Allah terpelihara dan saya tidak menyakiti atau memusuhi orang lain. Sungguhpun mereka bersikap begitu mengecewakan. Hinggakan ada ketikanya hampir-hampir mengugat keimanan yang masih rapuh ini. Pun begitu, saya berkeyakinan setiap sesuatu itu ada hikmah di sebaliknya dan saya berharap dengan cabaran inilah datangnya kemanisan iman itu,” kata Ad yang turut menghadapi cemuhan atas tindakannya mengambil anak angkat, Farah Nisha Mohd Hafiz, 6.

    Berkongsi salah satu pengalaman paling bermakna dalam lipatan pengislaman, kata Ad, pernah suatu ketika dahulu iaitu kira-kira lapan tahun lalu beliau mengalami tekanan perasaan yang serius iaitu sehingga mengambil jalan tidak mahu meneruskan kehidupan di dunia.

    “Fikiran saya pada masa itu kusut, tambahan pula iman di dada terlalu tipis. Apa yang termampu saya lakukan ialah duduk di atas sejadah tanpa mengetahui arah kiblat dan menadah tangan berdoa kepada Allah. Semalaman saya hanya menangis dan memohon petunjuk Ilahi.

    “Dalam situasi hening itu, saya dapat rasakan seolah-olah diri saya berada di hadapan Kaabah dan semakin dihimpit kehangatan jemaah-jemaah lain. Saya terus berdoa khusyuk.

    “Alhamdulillah, keesokan paginya, bebanan fikiran saya hilang dan fikiran saya jadi ringan dan tenang. Hal ini secara tidak langsung telah menguatkan kepercayaan saya kepada-Nya,” kata Ad yang mengakui kekurangan diri dan masih meneruskan pembelajaran ilmu Islam, waima sudah mengucap dua kalimah syahadah.

    Malah semenjak itu, amalan berdoa sentiasa menjadi kemestian bukan sahaja selepas solat lima waktu tetapi walau di mana sahaja beliau berada.

     

    Bersyukur

    Pada pertemuan lewat pagi itu juga, Ad mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih dan bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada ibu bapa kandung Nisha iaitu Mohd. Hafiz dan Hasniah Idris serta kakak angkat kesayangannya, Kak Kalsom serta tidak ketinggalan teman-teman Islam dan bukan Islam yang sentiasa menghormati pilihan kepercayaannya.

    “Saya mengenali keluarga kandung Nisha bukanlah dalam tempoh yang singkat. Kami pernah tinggal serumah dan kini menjadi rakan kongsi perniagaan. Saya tidak berhasrat langsung memisahkan hubungan mereka anak-beranak. Malah saya pelihara dan didik Nisha macam anak saya sendiri dan sekali-kali tidak berniat melampaui batasan agama atau ada kepentingan lain.

    “Soal mahram atau tidak, itu satu perkara yang tidak dapat saya nafikan tetapi saya pernah bertemu dengan beberapa tokoh agama dan mereka telah menjelaskan bagaimana seharusnya dibina hubungan tersebut.

    “Alhamdulillah, biarpun ada tentangan dan kata nista daripada mereka yang sentiasa mencari peluang memburukkan keadaan, saya yakin Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar dan ikhlas,” kata Ad. Menurutnya, kehadiran Nisha umpama dirinya yang dilahirkan semula sebagai muslim.

    Mengenai pengalaman bersendirian membesarkan anak, akui Ad, tanggungjawab itu bukannya kecil. Lebih-lebih lagi beliau memelihara kanak-kanak perempuan. Namun, kata Ad, Nisha adalah seorang kanak-kanak yang bijak dan memahami status dirinya.

    “Saya tidak pernah merahsiakan Nisha tentang keluarga kandungnya malah hubungan dia dengan adik-beradik yang lain tetap akrab.

    “Acap kali pada cuti panjang saya akan balik ke kampung ibu bapa Nisha yang terletak di Terengganu. Masa itulah kami umpama sebuah keluarga yang besar dan rapat.

    “Nisha sudah seperti anak saya sendiri. Saya mahu didiknya dengan agama Islam dan budaya yang baik. Bagaimana Nisha belajar mengenali Islam begitu jugalah keadaannya dengan saya. Saya juga umpama seperti dilahirkan semula,” cerita Ad.

    Nasihat Ad kepada mualaf yang senasib dengannya agar jangan mudah patah semangat atau kembali kepada agama sebelum ini apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran. Anggaplah ia sebagai satu dugaan yang mempunyai hikmah kemanisan iman.

     

    ~~ utusan malaysia online ~~

     
    Kubu Kota Kaherah struktur hebat tamadun Islam
    06.13.06 (9:53 pm)   [edit]


     

    KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam.

    Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib.

    Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan. Kebetulan Salah ad-Din yang berasal dari Syria di mana setiap bandar mempunyai kubu kota masing-masing telah membawa konsep sedemikian ke Mesir.

    Salah ad-Din menggunakan teknik binaan kubu paling moden ketika itu untuk mendirikan Kubu Kota di Kaherah. Ia memiliki menara bulat yang dibina menjulur dari dinding dan membolehkan pertahanan melambung api dari dinding tersebut. Ukuran dinding adalah 10 meter tinggi dengan ketebalan tiga meter.

    Untuk memberikan kemudahan air kepada penghuni Kubu Kota, Bir Yusuf (Perigi Salah ad-Din) telah digali sedalam 87 meter. Perigi ini mempunyai lubang yang cukup besar untuk memuatkan haiwan turun ke dalamnya dan menghidupkan sistem jana kuasa air. Malangnya, perigi ini sudah ditutup dan pelancong tidak berpeluang melihat perjalanan operasinya.

    Catatan sejarah menunjukkan kebanyakan kubu dibina selepas pemerintahan Salah ad-Din tetapi sebahagiannya dimusnahkan semasa pendudukan British. Selepas kemangkatan Salah ad-Din, anak saudaranya Al-Kamil memperkukuhkan kedudukan Kubu Kota dengan membesarkan beberapa menara, antaranya Burg al-Haddad (Blacksmith Tower) dan Burgar-Ramlab (Sand Tower) kepada tiga kali ganda berbanding ukuran lama. Kedua-dua menara ini mengawal laluan sempit antara Kubu Kota dengan Bukit Muqattam. Bahkan, Al-Kamil turut mendirikan beberapa menara utama di sekeliling dinding dan tiga daripadanya kelihatan di kawasan hadapan Kubu Kota. Struktur besar ini mempunyai ukuran 25 meter tinggi dan 30 meter lebar.

    Pada 1218, semasa kemangkatan ayahandanya, Sultan al-Kamil telah berpindah dari kediamannya dan mendirikan istana di Kubu Kota yang kini merupakan Tembok Selatan (Southern Enclosure). Istana tersebut tidak bertahan lama sehinggalah pembinaan Istana Abdeen pada pertengahan abad ke-19. Ia kemudian diduduki oleh kerajaan Mesir.

    Apabila Mamluk berkuasa sepenuhnya ke atas pemerintahan Ayyubid pada 1250, Sultan Baybars al-Bunduqdari (1260-1277) berpindah ke istana al-Kamil. Beliau mengasingkan istana dengan membina dinding yang memisahkan kubu kepada dua tembok yang menghubungkan Bab al-Qullah. Kawasan yang menempatkan istana ialah Tembok Selatan manakala kawasan Kubu Kota yang lebih besar ialah Tembok Utara.

    Sultan an-Nasir Muhammad yang memerintah dalam tiga era berbeza (1294 hingga 1295, 1299-1309 dan 1310-1341) telah meruntuhkan beberapa bangunan awal di Tembok Selatan dan menggantikannya dengan binaan yang tersergam indah. Hanya masjid An-Nasir Mohammed yang mula dibina pada 1318 dan siap sepenuhnya pada 1355 terletak berdekatan dengan tembok pintu kota. Dipercayai Sultan an-Nasir Muhammad turut mendirikan Dewan Keadilan (Hall of Justice) dengan bangunan yang tersergam indah dan kubah berwarna hijau. Kemudiannya beliau turut membina Qasr al-Ablaq (Striped Palace) dengan batu marmar berjalur hitam dan kuning. Istana ini digunakan untuk majlis-majlis rasmi dan ketika mengendalikan hal-ehwal negara. Ia mempunyai tangga menuju ke Tembok Bawah dan Kandang Diraja yang menempatkan 4,800 kuda peliharaannya.

    Mesir berada di bawah pengaruh Empayar Uthmaniah antara tahun 1517 hingga awal abad ke-20 kecuali ketika zaman pendudukan Perancis. Tembok Bawah yang menempatkan kandang kuda An-Nasir turut dikenali sebagai al-Azab kerana kebanyakan tentera Uthmaniah (rejimen Azab) beroperasi di bahagian ini. Tentera yang berkhidmat dengan kerajaan Uthmaniah tidak dibenarkan berkahwin hinggalah mereka bersara. Perkataan Azab boleh diterjemahkan sebagai ‘bujang’.

    Masyarakat Uthmaniah membina semula dinding yang memisahkan Tembok Utara dan Selatan termasuklah Bab al-Quallah. Mereka juga membina menara terbesar di Kubu Kota iaitu Burg al-Muqattam yang merupakan pintu masuk ke Kubu Kota melalui Lebuh Raya Salah Saalem. Menara ini mempunyai ketinggian 25 meter dan berdiameter 24 meter. Pada 1754, Uthmaniah mendirikan semula dinding di Tembok Bawah dan memperkukuhkan pintu kubu kota, Bab el-Azab.

    Merosot

    Pada akhir abad ke-16 hinggalah ketibaan zaman pendudukan Perancis, perkhidmatan ketenteraan Uthmaniah semakin merosot. Ketika ini askar Azab mula mendirikan rumah tangga dan mereka dibenarkan membina rumah di sekitar kubu. Pada pertengahan abad ke-17, Kubu Kota menjadi kawasan yang menempatkan kedai dan perniagaan komersial termasuklah rumah mandi awam dan jalan kecil yang berliku-liku.

    Muhammad Ali Pasha ialah pemerintah yang bertanggungjawab membawa arus kemodenan ke Mesir dan mula berkuasa pada 1805. Beliau melakukan banyak pembaharuan pada bangunan dan Kubu Kota. Beliau membina semula dinding di bahagian luar yang semakin usang. Selain itu, Muhammad Ali Pasha menterbalikkan fungsi Tembok Utara dan Selatan dengan menjadikan Tembok Utara sebagai kawasan persendirian manakala Tembok Selatan terbuka kepada orang awam. Masjid Muhammad Ali dibangunkan dengan gaya seni bina Barok Uthmaniah yang menyerupai beberapa masjid terhebat di Istanbul, Turki.

    Masjid Selatan di Hawsh ialah Istana Gawharah yang didirikan antara tahun 1811 dan 1814 yang menempatkan kerajaan Mesir hinggalah mereka kemudian berpindah ke Istana Abdeen. Hari ini, Muzium Nasional Polis terletak berdekatan dengan Kubu Kota. Ia dibina di atas tapak Qasr al-Ablaq yang kedudukannya bertentangan dengan Masjid an-Nasir Muhammad.

    Beberapa langkah dari Bab al-Qullah di Tembok Utara kelihatan Istana Harem Muhammad Ali dengan gaya seni bina Uthmaniah yang dibina pada 1827 dan menempatkan keluarga diraja hinggalah pada tahun 1874 sebelum mereka berpindah ke Istana Abdeen. Ia digunakan sebagai hospital tentera semasa zaman pendudukan British. Pada 1946, istana ini telah berubah menjadi Muzium Tentera Mesir yang menghimpunkan artifak dan sejarah ketenteraan di Mesir.

    Di belakang pintu muzium tersebut, terdapat arca patung Sulayman Pasha yang pada asalnya didirikan di pusat bandar. Berdekatan dengan muzium itu ialah Muzium Kereta Kuda (Carriage Museum) yang merupakan tapak bangunan yang menempatkan para pegawai British. Konsep yang berdasarkan kepada Muzium Kereta Kuda di Bulaq itu menempatkan koleksi lapan kereta kuda yang digunakan keluarga diraja Muhammad Ali. Burg at-Turfah (Masterpiece Tower) iaitu menara terbesar yang dibina oleh Al-Kamil pada 1207 terletak di bahagian belakang muzium tersebut.

    Binaan struktur dan monumen yang menjadi bukti kepada sejarah tamadun Islam terus terpelihara dan ia menjadi salah satu tarikan utama pelancong ke Kaherah, Mesir yang turut menyimpan pelbagai khazanah Islam hingga ke hari ini.

     

     

    Susunan ZUNAIDAH ZAINON

     
    Air Zamzam cetus tumpuan ke Makkah
    06.09.06 (1:50 am)   [edit]

    Daerah kontang maju selepas pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim
     

    MAKKAH al-Mukarramah adalah satu daripada tiga kota suci umat Islam, selain al-Madinah al-Munawwarah dan Baitulmaqdis.

    Makkah menjadi tumpuan sepanjang tahun dengan kedatangan jutaan umat Islam sebagai jemaah umrah. Mulai Syawal hingga Zulhijah pula, mereka datang sebagai jemaah haji.

    Selain Makkah, kota suci ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Bakkah, al-Balad, Ummul Qura, Haraman Amina, Ma'ad dan al-Qaryah, yang semuanya disebut di dalam al-Quran.

    Makkah terletak di garisan latitud 19, 25, 21 darjah U Khatulistiwa dan garisan longitude 46, 49, 39 darjah T. Kota Makkah berada pada ketinggian 277 meter di atas paras laut dengan keluasan melebihi 4,800 hektar.

    Bahagian muka buminya yang rendah dinamakan al-Bathaa', bahagian timur al Masjidil Haram dinamakan al-Ma'la, manakala bahagian barat dan selatannya pula dinamakan al-Misfalah. Kini, ada tiga jalan masuk utama menuju ke kota suci Makkah iaitu menerusi al-Hujun, al-Misfalah dan al-Shubaykah.

    Makkah mula terbina pada zaman Nabi Ibrahim. Baginda mendapat perintah Allah supaya membawa isterinya Hajar dan puteranya, Ismail yang ketika itu masih menyusu, ke satu tempat yang berdekatan dengan Kaabah. Baginda meletakkan mereka di bawah sebatang pokok yang bertepatan dengan telaga zamzam.

    Makkah pada ketika itu tiada penghuni serta tidak mempunyai sumber air. Nabi Ibrahim meninggalkan mereka berdua di situ dan meletakkan di sisi mereka sebuah bekas daripada kulit yang mengandungi beberapa biji tamar dan sebekas air.

    Kemudian baginda bertolak pulang ke Sham. lsterinya Hajar a.s. mengikutinya sambil bertanya : "Wahai Ibrahim! Ke manakah kamu hendak pergi, kami di lembah yang tidak berpenghuni dan tiada apa-apa pun di sini." Nabi Ibrahim berdiam, tidak menjawab pertanyaan isterinya. Isterinya mengulangi pertanyaan beberapa kali, tetapi Ibrahim terus tidak menjawab.

    Hajar bertanya lagi: "Adakah Allah memerintah kamu berbuat demikian?" Nabi Ibrahim menjawab dengan membenarkan pertanyaan isterinya itu. Hajar lalu berkata: "Jika begitu, Allah tidak akan sama sekali membiarkan kami." Beliau kembali semula ke tempat puteranya Ismail dan Ibrahim meneruskan perjalanannya.

    Apabila baginda jauh meninggalkan mereka dan tidak dapat melihat kedua beranak itu lagi, Nabi Ibrahim berhenti dan menghadap ke arah Kaabah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya dan berdoa kepada Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu (tapak Baitullah) yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik (gemar) kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada mereka dari pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur."

    "Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau Mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan dan tiada sesuatu pun di langit dan dibumi, yang tersembunyi kepada Allah!" (Surah Ibrahim, ayat 37 dan 38).

    Hajar pula tinggal di tempat itu bersama anaknya Ismail dan bekalan yang ditinggalkan. Apabila bekalan telah habis, diikuti dengan keringnya susu di badan Hajar, puteranya Ismail keadaan itu, lalu memberanikan dirinya mendaki sebuah bukit yang berhampiran iaitu Bukit Safa.

    Beliau berharap dapat bertemu dengan manusia yang dapat menolongnya atau mendapat tanda wujudnya air dari Bukit Safa itu. Namun, tiada sesiapa pun ditemui dan tiada tanda wujudnya air di sekitar kawasan berkenaan. Hajar kemudian turun dari Bukit Safa dan terus berjalan menuju ke satu bukit lain yang berhadapan dengan Bukit Safa iaitu Bukit Marwah.

    Apabila sampai di tengah lembah, beliau berlari-lari anak kerana runsing dan bimbang. Kemudian berjalan lagi hingga sampai ke Bukit Marwah.

    Hajar mendakinya dan meninjau ke sekitarnya dengan harapan yang sama seperti ke Bukit Safa, tetapi natijahnya sama juga.

    Ia tidak beroleh apa-apa. Begitulah berlarutan perbuatan itu sehingga mencecah tujuh kali berulang alik (berulang alik di antara Safa ke Marwah, Marwah ke Safa).

    Suatu ketika pada saat yang semakin kritikal, ketika Hajar tiba di Bukit Marwah pada kali terakhirnya, beliau mendengar satu suara yang datangnya dari arah di mana puteranya Ismail ditinggalkan.

    Beliau pun bergegas ke tempat puteranya ditinggalkan itu. Alangkah terkejutnya Hajar apabila mendapati ada air yang sedang menyembur keluar dari tendangan kaki Ismail ke bumi. Hajar segera membuat batas dengan tangannya (kepungan) di sekeliling mata air itu dan mengisi bekas airnya dengan air yang mula mengalir keluar. Beliau lalu meminum air itu dan menyusukan anaknya.

    Hajar dan Ismail tinggal di situ beberapa lama sehingga pada suatu hari satu rombongan dari kaum Jurhum lalu di kawasan itu.

    Mereka berhenti kerana mendapati sumber air di situ (tempat Hajar dan anaknya Ismail). Lalu mereka berjumpa untuk meminta kebenaran daripada Hajar i bagi mendapatkan air itu. Hajar membenarkannya dengan berkata: "Ya, tetapi janganlah kamu jadikan air itu sebagai milik kamu." Mereka menjawab :"Ya". Lalu, mereka pun menetap di kawasan itu.

    Bumi Makkah yang dulunya sebuah kawasan yang kering kontang serta tiada berpenghuni mula didiami oleh manusia. Ia melalui proses perkembangan yang panjang selepasnya.

    Nabi Ibrahim diperintah oleh Allah membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail. Dari sinilah berkembangnya kota suci Makkah yang akhirnya menjadi tumpuan umat Islam sejagat.

  • Penulis ialah Pengurus Besar (Pakej/Swasta) Lembaga Tabung Haji



    Inti Pati: Sejarah Awal Mekah

  • Makkah mula terbina pada zaman Nabi Ibrahim. Baginda mendapat perintah Allah supaya membawa isterinya, Hajar dan puteranya, Ismail yang ketika itu masih menyusu, ke satu tempat yang berdekatan dengan Kaabah. Baginda meletakkan mereka di bawah sebatang pokok yang bertepatan dengan telaga zamzam yang ada pada hari ini.

  • Pada awalnya Makkah kering tanpa sebarang air dan tidak ada manusia ke sana.

  • Kewujudan air zamzam menyebabkan bumi subur dan menjadi tumpuan manusia.

  • Kaabah dibina di Makkah yang kini menjadi tumpuan umat Islam beribadat.

  • Selain Makkah, kota suci ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Bakkah, al-Balad, Ummul Qura, Haraman Amina, Ma'ad dan al-Qaryah, yang semuanya disebut di dalam al-Quran.

  • Makkah berada pada ketinggian 277 meter di atas paras laut dengan keluasan melebihi 4,800 hektar.
  •  
    Sabil Umm Abbas dibina pada abad ke 19
    06.06.06 (5:05 pm)   [edit]
     

     

     

    SABIL atau bermaksud pancuran air yang menyalurkan minuman kepada orang awam mula dibina di Kaherah, Mesir pada 1340. Sejarah mencatatkan Sultan Nasir al-Din Muhammad mendirikan sabil tersebut sebagai memorial kepada ayahanda tercinta, Sultan Mansur Sayfal-Din Qala’un.

    Bangunan sabil kedua pula didirikan oleh Amir Shayku pada 1344 yang berlatarbelakangkan cenuram berbatu keras yang terletak di kaki Bukit Kubu Kota, Qala’t al-Gabal.

    Pembinaan sabil ini bertujuan untuk membekalkan air kepada pengembara padang pasir yang kehausan dan penduduk yang merentasi Kaherah menuju ke timur Bandar Mati (City of the Dead) bersama-sama dengan binatang yang dibawa. Ia bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Barang siapa yang menyediakan minuman kepada haiwan akan mendapat ganjaran di akhirat.”

    Sabil Umm Abbas dari abad ke-19 didirikan oleh cucu perempuan kepada Abbas I, yang memerintah Mesir dari 1848 hingga 1854M dan ibu kepada Abbas II. Sabil Umm Abbas atau Ibu Abbas terletak di Jalan Saliba di persimpangan lorong ‘al-Siufiya’. Istana Amir Taz juga terletak di lorong yang sama.

    Jalan Saliba selalunya bermula dari Midan al-Qal’a (Medan Kubu Kota) yang juga dikenali sebagai Medan Mohammed Ali di mana masjid Sultan Hassan dan masjid Rifai didirikan. Jalan ini amat terkenal kerana terdapat banyak monumen sejarah sejak dari zaman pemerintahan Mamluk yang merupakan sebahagian daripada tapak masjid Ibnu Tulun. Keseluruhan kawasan tersebut dibangunkan oleh Amir dan beberapa orang ternama dari kurun ke-14.

    Kawasan tersebut dulu turut dikenali sebagai Birkat al-Fil yang bermaksud kolam untuk gajah dan merupakan sebahagian daripada ibu kota awal Kaherah iaitu Al-Qataii yang ditemui oleh Ahmad Ibn Tulun. Kemudiannya Mamluk Amir mengambil alih kawasan tersebut dan menjadikannya sebagai zon perlindungan yang menempatkan Kubu Kota.

    Bangunan sabil banyak ditemui di seluruh bandar Kaherah dan seni bina strukturnya menyingkap kembali kegemilangan zaman Mamluk dan Uthmaniah. Ia terdiri daripada bangunan kecil dengan hiasan tatahan batu marmar dan kekisi tingkap diperbuat daripada gangsa.

    Bangunan ini digunakan semasa zaman kegemilangan Islam yang membekalkan air minuman percuma – sesuatu yang amat bermakna dan menepati kehendak al-Quran yang merujuk kepada kepentingan air dalam kehidupan.

    Sabil dengan seni bina Uthmaniah didirikan pada 1867M (1284H) semasa pemerintahan Permaisuri berketurunan dari Turki, Bambah Qadin iaitu bonda kepada Khedive Abbas II. Beliau terkenal kerana kecantikannya di samping memiliki hati budi yang baik dan sangat dihormati oleh keluarga diraja. Permaisuri Bambah Qadin juga digelar Umm al-Mohsenin yang bermaksud ibu kebajikan.

    Bangunan sabil seolah-olah menjadi satu panorama indah di Kaherah. Pada zaman pemerintahan sultan, anak raja dan pedagang kaya, selalunya sabil dibina di persimpangan jalan yang sibuk dan terletak di bahagian utara bangunan yang menyediakan tempat yang teduh dan sejuk. Kemudiannya, ia menjadi satu trend dengan membina satu tingkat lagi di atas sabil yang dipanggil kuttab iaitu sekolah agama yang membolehkan orang-orang miskin belajar membaca, menulis dan mengaji al-Quran.

    Umm Abbas telah membelanjakan jumlah wang yang agak besar untuk mengubahnya menjadi sebuah bangunan yang bercirikan seni bina mengagumkan. Di sekeliling sabil menunjukkan pancuran air bercirikan pengaruh daripada empayar Turki dengan inskripsi sejarah dan kekisi tingkap diperbuat dari gangsa serta hud berukiran kayu.

    Rupa bangunan sabil memiliki pantulan sinar keemasan daripada gaya inskripsi Uthmaniah di bawah setiap kekisi tingkap dan di sekeliling keseluruhan muka latar biru dan merah telah menonjolkan batu marmar putih. Ia dihiasi dengan tumbuhan hijau menjalar dan bunga yang berkembang mekar.

    Seperti kebiasaannya, ia membekalkan air melalui tangki besar yang terdapat di bawah tanah. Apabila muncul di permukaan, air akan mengalir keluar daripada gelung marmar kecil yang tinggi di bahagian dinding dalam. Ia kemudian mengalir keluar dari cerun marmar bertatah cantik dan turun mencurah-curah ke dalam sink yang disediakan.

    Sesetengah sabil dibuka pada waktu-waktu tertentu sama ada pada waktu malam atau siang kecuali pada bulan Ramadan, ia ditutup sepanjang hari. Sabil dijaga oleh seorang pengurus atau penjaga yang sentiasa memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih.

    Seperti mana seni bina sabil dengan gaya Uthmaniah, ia menyerupai astaka separuh bulat dan hiasannya lebih kepada gaya rococo Itali. Sabil masih terpelihara dengan sempurna dan pada hari ini bahagian atasnya digunakan untuk aktiviti kebajikan.

    Walaupun fungsi asal sabil sebagai pancuran air tidak lagi bersesuaian dan kebanyakannya telah hilang atau dimusnahkan sejak sistem pembekalan air secara moden diperkenalkan, namun dipercayai masih terdapat hampir 50 buah sabil di seluruh bandar Kaherah

     
    Golongan kafir pinda cerita Rasulullah saw dalam taurat dan Injil
    06.06.06 (5:02 pm)   [edit]

    SYEIKH al-Maraghi berkata: Sesungguhnya roh agama adalah tauhid dan penguasa segala urusannya adalah ikhlas. Apabila hilang maksud ini dan hanya dijaga amalan zahir, nescaya ia tidak memberi apa-apa manfaat. Inilah yang terjadi kepada ahli kitab yang menghilangkan roh ini, tetapi semata-mata menjaga gambaran dan taklid zahir. Benarlah firman Allah s.w.t.,

    Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya'qub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)? Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

    Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan. (Al-Baqarah: 140 dan 141)

    Firman Allah s.w.t., Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ibn al-Jauzi berkata, sebab turunnya ayat ini bahawa golongan Yahudi Madinah dan Kristian Najran berkata kepada orang beriman: Sesungguhnya Nabi-nabi Allah kebanyakannya daripada kami daripada Bani Israel. Lantas turunnya ayat ini seperti pendapat Muqatil.

    Dan Nabi Ishak, dan Nabi Ya'qub berserta anak-anaknya, Al-Mawardi berkata: mereka itu 12 anak daripada anak Ya'kub. mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)? Apakah kamu dakwa hai golongan ahli Kitab bahawa semua Rasul dan keturunan mereka daripada kalangan Yahudi dan Kristian sahaja? Mereka adalah lebih dahulu daripada Musa dan lebih dahulu daripada agama Yahudi dan agama Nasara dan Allah sendiri menerangkan hakikat agama mereka iaitu agama Islam sebagaimana telah diterangkan sebelum ini.

    Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?” Al-Samarqandi berkata: Allah mengkhabarkan yang mereka atas agama Islam dan menerangkan dalam kitab-kitab mereka. Adakah hanya kamu yang mengetahui berkenaan dengan urusan agama mereka ataupun Allah? Sesungguhnya Allah telah menyaksikan bagi mereka dengan agama Islam dan melepasi bagi mereka daripada agama Yahudi dan Kristian. Itulah pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan. Ia mengandungi kecaman yang membuat lidah tidak memberi jawapan.

    Kamu sememangnya mengetahui bahawa mereka wujud sebelum wujudnya agama Yahudi dan Nasara, dan mereka berpegang dengan agama hanifiah (Tauhid) yang pertama yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun. Dan kamu juga menyimpan keterangan Allah dalam kitab-kitab kamu bahawa pada akhir zaman kelak akan dibangkit seorang nabi yang membawa agama hanifiah iaitu agama Ibrahim tetapi kamu telah menyembunyikan keterangan ini.

    Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) penyaksian yang mereka sembunyikan itu dua pendapat:

    1. Bahawa Allah menyaksikan di sisi mereka dengan syahadah bagi Ibrahim dan yang disebut bersamanya sebagai golongan Islam tetapi mereka menyembunyikannya seperti kata al-Hasan dan Zaid bin Aslam. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh Al-Nasafi.

    2. Bahawa mereka menyembunyikan Islam dan hal Muhammad sedangkan mereka mengetahui hakikat sebenarnya bahawa Muhammad sebagai Nabi dan agamanya yang sebenar ialah Islam. Inilah pendapat Abu al-Aliyah dan Qatadah.

    Yang telah diberikan Allah kepadanya? Tiada seorang yang lebih zalim daripada yang menyembunyikan apa yang jelas dalam Taurat dan Injil berkenaan khabar gembira dengan kedatangan Rasulullah iaitu Muhammad atau tiada seorang yang lebih zalim daripada siapa yang menyembunyikan apa yang Allah khabarkan bahawa semua nabi-nabi yang mulia adalah beragama Islam. Allah mengetahui bahawa kamu telah menyembunyikan keterangan yang telah diamanahkan kepada kamu itu, dan mengetahui bagaimana kamu mempertikaikan keterangan ini dengan tujuan untuk menyembunyikan dan mengelirukannya.

    Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan. Sentiasalah melihat amalanmu dan membalasnya. Ini merupakan ancaman yang tegas.

    Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; al-Tabari berkata: Iaitu Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’kub dan asbat dan dimaksudkan dengan ummah disini ialah jemaah. Bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan. Al-Alusi berkata, diulang ayat ini menunjukkan betapa kuatnya ancaman dan amaran Allah bagi golongan yang bermegah-megah dan berbangga dengan nenek moyang mereka. Ayat ini mengandungi kata pemutus, pengakhir perdebatan dan kalimat terakhir terhadap dakwaan-dakwaan mereka yang panjang lebar itu.

    Allah mengulanginya kerana mengandungi makna ancaman dan amaran iaitu jika sekiranya segala Nabi yang mempunyai kelebihan dan keutamaan dibalas perbuatan mereka maka kamu lebih layak untuk dibalas. Apabila penerangan ayat-ayat itu sampai kepada kemuncak hujah yang tidak dapat dijawab dan kepada titik penyelesaian masalah dan kepada tahap menjelaskan perbezaan yang menyeluruh dari segenap sudut di antara pegangan Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'qub dan anak-anaknya dengan kaum Yahudi yang sezaman (dengan Rasulullah s.a.w.), maka al-Quran kembali mengulangi ayat pemutus yang dijadikan penamat kita sebelum ini iaitu ketika ia memperkatakan tentang Ibrahim dan zuriat-zuriatnya yang muslim.

    Iktibar dan pengajaran ayat

    Antaranya:

    i. Mengkaji dan mempelajari kisah para nabi zaman dahulu amat penting seperti Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan lain-lain. Bagaimanapun, ia hendaklah mengambil rujukan daripada sumber-sumber yang thiqah seperti Qasas Al-Anbiya' oleh Ibn Kathir.

    ii. Allah menyebut orang yang paling zalim ialah yang menyembunyikan keterangan saksi dan bukti yang telah diberikan Allah kepadanya. Ini kerana boleh mengakibatkan digelapkan maklumat dan hakikat yang sebenar.

    iii. Pembalasan kepada manusia pada hari akhirat berdasarkan usaha amal justeru, sewajarnya kita beramal dengan amalan yang soleh dan diredai Allah di samping menjauhi segala bentuk penderhakaan dan maksiat kepada-Nya.

    *DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Pasir Panjang Port Dickson, Negeri Sembilan

     

     


     
    Solat Dhuha hindari kepapaan
    06.04.06 (6:10 pm)   [edit]


    Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku. (al-Dhariyat: 56)
    Allah s.w.t. Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Dia tidak menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia dan tiada manfaatnya. Malah Allah yang Maha Bijaksana tidak membiarkan mereka dalam keadaan terkapai-kapai tanpa pedoman dan panduan, terbiar tanpa pengisian dan amalan.

    Bahkan dengan rahmat dan kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada manusia, Allah s.w.t. dan Rasul-Nya menunjukkan jalan-jalan ibadat dan ketaatan, begitu juga pintu-pintu kebaikan dan kebajikan untuk diamalkan sesuai dengan falsafah sebenar penciptaan jin dan manusia seperti ayat di atas. Salah satu ibadat sunat yang dianjurkan ialah solat sunat Dhuha.

    Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nidzamuddin Zakaria menjelaskan, solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang lembing atau galah (kira-kira jam 20 minit selepas terbit matahari atau lebih) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).

    “Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat ini hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

    “Justeru, sunah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah ini eloklah dijadikan amalan bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan juga supaya aku mengerjakan solat Witir sebelum aku tidur,” kata Nidzamuddin dalam temu bual baru-baru ini.

    Kelebihan

    Menjelaskan kelebihan mereka yang mengamalkan solat ini, kata Nidzamuddin, setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.

    “Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.

    “Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

    “Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha,” kata Nidzamuddin.

    Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

    Persoalan yang sering timbul berkaitan solat ini adalah dari segi keutamaannya kerana ia berada dalam waktu bekerja. Akui Nidzamuddin, kedua-dua perkara tersebut memang ada kedudukan dan kepentingannya masing-masing. Pokoknya cara seseorang itu mengendalikannya mestilah seimbang dan saksama antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi.

    Hakikatnya, umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini. Pertama, sebaik-baiknya, ia dilakukan di rumah agar dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jadi, jika di tempat bekerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

    Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana tempat (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya mengambil masa empat hingga lima minit. Jadi, apalah salah kalau ia dibudayakan.

    Ketiga, pada dasarnya ia adalah sunat hukumnya malah Baginda jua tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan oleh Aishah: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. mendirikan sembahyang sunat Dhuha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Dhuha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka. (Riwayat Muslim).

    Oleh itu lakukan solat ini di rumah atau di tempat kerja selagi mana ia tidak memberatkan atau menghalang tugas-tugas lain yang lebih utama dan penting.

    Ruang waktu dan waktu afdal

    Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

    Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya. Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu' karangan Imam Nawawi).

    Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

    Bilangan rakaat

    Yang masyhur di kalangan para ulama adalah paling minimum dua rakaat sahaja dan bilangan yang maksimum adalah lapan rakaat. Cuma terdapat juga pendapat sebilangan ulama yang mencadangkan bilangan yang paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa Nabi melakukannya sebanyak empat rakaat. Begitu juga hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu’aim yang bermaksud: Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani. (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih)

    Solat ini juga diriwayatkan berjumlah enam rakaat (tiga kali salam) seperti hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat Imam al-Tabarani)

    Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Barang siapa yang menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan membina sebuah mahligai di dalam syurga kelak. (Riwayat Imam al-Tirmizi)

    Tegasnya, bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat. (Kitab al-Majmu' karangan Imam Nawawi). Oleh itu, eloklah ia dijadikan sandaran bagi amalan kita.

    Cara melaksanakannya

    Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

    Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

    Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

    Para sahabat yang komited

    Antara mereka yang paling komited dengan amalan solat sunat ini ialah Abu Darda', Abu Hurairah dan Abu Zar al-Ghifari. Mereka komited lantaran wasiat dan pesanan Nabi s.a.w. kepada mereka ditambah pula dengan sifat mereka yang kuat beribadat.

     

     

    Oleh ZUARIDA MOHYIN
     
    Syeikh Abdul bashir mata buta tetapi memandang dengan hati
    06.04.06 (4:57 pm)   [edit]


    BUTA mata tidak menghalang seseorang melakukan pelbagai aktiviti. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah seorang ulama yang buta mata kepalanya, tetapi mata hatinya tetap memandang. Beliau berkemampuan menghasilkan penulisan kitab dan pada masa yang lain beliau juga sanggup mengajar murid-muridnya memahami kitab terutama hasil penulisan gurunya, Syeikh Yusuf Taj al-Khalwati al-Mankatsi.

    Beliau juga merupakan ulama yang berasal dari tanah Bugis, Sulawesi Selatan, seperti gurunya Syeikh Yusuf yang sangat terkenal itu. Nama lengkap yang digunakan pada mukadimah salinan Daqaiq al-Asrar ialah asy-Syeikh Abu al-Fathi Abu Yahya Abdul Bashir adh-Dhariri.

    Pertama kali saya mengesan nama ulama Bugis yang diriwayatkan ini adalah daripada manuskrip Daqaiq al-Asrar karya beliau yang merupakan koleksi peribadi saya sendiri. Hingga tahun 1980, riwayat hidup ringkasnya hanya terdapat dalam buku Dari Perbendaharaan Lama karangan Buya Hamka terbitan Firma Madju, Medan, 1963. Tanpa perbandingan yang banyak lalu saya muat juga dalam buku Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara terbitan Al-Ikhlas, Surabaya, 1980. Walaupun riwayat Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (guru beliau) telah banyak ditulis orang namun maklumat tentang Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri masih sukar dirujuk.

    Setakat ini nampaknya yang agak panjang hanyalah ditulis oleh Abu Hamid, seorang sarjana yang berasal dari tanah Bugis dalam buku berjudul Syeikh Yusuf Makassar Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang terbitan Yayasan Obor Indonesia, 1994. Karya Buya Hamka dan karya Bapak Abu Hamid tersebut sangat banyak memberi pertolongan ketika saya menyusun riwayat ini sebagai melengkapi bahan-bahan rujukan karya Syeikh ‘Abdul Bashir adh-Dhariri.

    Sebelum membicarakan hal-hal lainnya terlebih dulu di bawah ini saya petik tulisan Buya Hamka. Katanya: “Setelah diberinya ijazah kepada beberapa orang muridnya di antaranya Syeikh Nuruddin Abu al-Fatah Abdul Bashir adh-Dhariri (buta) ar-Rafani (Orang Rapang, Bugis) dan muridnya pula Abdul Qadir Maraeng Majeneng, maka minta izinlah dia meninggalkan Makasar, meskipun bagaimana ditahani, tidak mau ditahan lagi. Berangkatlah dia ke Bantam! Sebab di sana banyak pula muridnya yang telah pernah belajar kepadanya tatkala dia di Makkah.”

    Pada nota kaki dalam buku yang sama Buya Hamka mengulas lebih jauh bahawa “adalah buta, sebab itu dihujunginya nama ‘adh-Dharir’.” Tetapi diberi dia nama oleh gurunya Abdul Bashir (hamba daripada yang maha melihat) dan diberi gelar ‘Abu al-Fatah’ yang ertinya orang yang terbuka hatinya dan diberi pula gelar kemuliaan ‘Syeikh Nuruddin’, ertinya Tuan Syeikh Cahaya Agama. ‘Ar-Rafani’ ertinya orang Rapang, sebuah kota kecil di pedalaman Bugis iaitu kira-kira 40 km dari Kota Parepare sekarang, demikian menurut Buya Hamka.

    Kalau benar apa yang ditulis oleh Buya Hamka itu bahawa murid Syeikh Yusuf itu adalah buta, ia merupakan suatu perkara yang aneh pada zaman itu kerana orang yang dikatakan buta itu juga meninggalkan karangan, sebuah kitab sufi yang berjudul Daqaiqul Asrar.

    Sungguhpun demikian pada zaman kita sekarang tidaklah menjadi aneh lagi kerana dalam sejarah memang terdapat beberapa orang pengarang Islam yang matanya buta. Bahkan orang yang buta ramai yang berfungsi menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan hidupnya dan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat.

    Khalifah Khalwatiyah

    Setelah kita menyemak karangan Buya Hamka seperti tertera di atas, untuk penyelidikan lanjut kita semak pula tulisan Bapak Abu Hamid dalam buku Syeikh Yusuf Makassar Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang. Beliau menulis: “Sumber-sumber lontarak pula menyebutkan bahawa yang sudah ikut dalam jajaran ulama tasawuf membuka pengajian dalam Masjid al-Haram.

    “Ia dikenal sebagai Ulama Jawi dan beberapa jemaah haji dari Indonesia (Hindia Belanda) pernah berguru padanya. Seorang muridnya dari Sulawesi Selatan yang bernama Abdul Fathi Abdul Bashir adh-Dharir pernah berguru kepadanya di Mekah dan bertemu lagi di Banten, kemudian diberi lagi amanah dan sebagai ‘khalifah’ untuk menyebarkan tarekat Khalwatiyah di Sulawesi Selatan.”

    Abdul Bashir lebih dikenal dengan gelaran Tuang Rappang I Wodi, sedangkan di Gowa sering disebut sehetta (syeikh kita) (hlm. 94). Pada halaman lain Bapak Abu Hamid menulis, “Tuang Rappang dikahwinkan oleh Syeikh Yusuf dengan seorang gadis Banten.”

    Tuang Rappang merupakan seorang buta, dia mencintai isterinya dan dicintai pula. Perjalanannya kembali ke Gowa bersama isterinya memakai sebuah perahu kecil, sesudah dia diberi ijazah tarekat dan amanah untuk mengajarkan Thariqat Khalwatiyah di Gowa oleh Syeikh Yusuf (hlm. 136). Menurut Bapak Abu Hamid, setelah beberapa tahun Syeikh Abu al-Fathi Abdul Bashir Tuang Rappang mengajar dan menyebarkan Thariqat Khalwatiyah, beliau mengangkat pula seorang guru, Abdul Qadir Karaeng Majanng, Mangkubumi Kerajaan Gowa pada masa Raja I Mallawagau, Sultan Abdul Khaer (1735 - 1737 M). Menurut Bapak Abu Hamid juga menyebut bahawa Khalifah Khalwatiyah dilanjutkan kepada Muhammad Abdul Wahid ibnu Abdul Ghaffar al-Makassari.

    Bapak Abu Hamid membahagi dua aliran Thariqat Khalwatiyah di Sulawesi Selatan. Yang pertama ialah Thariqat Khalwatiyah Yusuf yang disebarkan oleh Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri, murid Syeikh Muhammad Yusuf Abul Muhasim ibnu Abdullah Khaidir Tajul Khalwati al-Makassari, wafat tahun 1699 M (hlm. 52). Yang beliau maksudkan dengan Abdullah Khaidir ialah ayah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati.

    Sekian banyak buku mengenai ulama tersebut tetapi yang mengukuhkan, membahas dan banyak menyebut nama ayah Syeikh Yusuf ialah Abdullah Khaidir hanya Bapak Abu Hamid. Maklumat ini juga satu penyelesaian kebuntuan ilmiah yang berjalan sudah begitu lama. Selanjutnya Bapak Abu Hamid menyebut bahawa “Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri, lazim disebut Tuang Rappang.”

    Satu lagi ialah Thariqat Khalwatiyah Samman yang disebarkan oleh Syeikh Abdul Munir Syamsul Arifin, murid Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Thariqat Khalwatiyah Samman mulai masuk di Sulawesi Selatan tahun 1204 H/1820 M (hlm. 51-52). Di sini juga perlu diperbetulkan. Tahun 1204 H adalah bersamaan tahun 1789 M ataupun 1790 M.

    Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dipelopori oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani, guru kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Mengenai ini dapat dirujuk kepada karya-karya ulama yang berasal dari Palembang itu.

    Penulisan

    Syeikh Abdul Bashir Adh-Dhariri kemungkinan menghasilkan beberapa buah karangan tentang ilmu tasawuf, tetapi dalam koleksi saya hanya terdapat sebuah. Yang ada pada saya masih dalam bentuk salinan manuskrip, ditulis dalam bahasa Arab. Judul lengkapnya ialah Daqaiq al-Asrar fi Tahqiq Qawa'id as-Sirriyah. Nama penyalin ialah Abu Bakar, Khatib Bone, yang berkedudukan di Negeri Palakka. Selesai melakukan penyalinan pada waktu Dhuha, hari Rabu, 9 Zulkaedah 1233 H/10 September 1818 M.

    Asy-Syeikh Abu al-Fath Abu Yahya Abdul Bashir adh-Dhariri menjelaskan bahawa dikarangnya kitab itu adalah sebagai peringatan atas putera saudaranya yang dikatakan mempunyai kemegahan, yang mempunyai keagungan namanya ialah Sultan Idris al-Mudarris al-Buni (Bone, Bugis).

    Pada pembukaan kitab pengarangnya menyebutkan bahawa kitabnya itu membicarakan tentang “tawajjuh, muraqabah, musyahadah, muhadharah dan mu’ayanah” iaitu jalan bagi Ahlillah al-‘Arifin daripada golongan Ahlil Kasyaf dan Zauq. Beliau menjelaskan pula tentang beberapa kalimat pada kadar yang mudah bagi menghampirkan kefahaman dan menghuraikan isyarat-isyarat dan menjelaskan ibarat-ibarat.

    Pertama sekali yang dibicarakan ialah tentang istilah ‘tawajjuh’. Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menggunakan hujah ayat al-Quran, yang maksudnya bahawa “Maka di mana saja kamu memalingkan pandangan maka di sana kamu mengenali Allah.” Beliau beri pengertian, yang terjemahan maksudnya, adalah “Wajib kamu i'tiqadkan firman tersebut, bahawa Allah Taala berada di mana saja kamu hadapkan mukamu, sama saja sama ada kamu berasa dekat kepada-Nya dan kamu menjauhkan diri daripada-Nya.”

    Sesudah memberi pengertian tentang ‘muraqabah’ dan ‘musyahadah’, Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menjelaskan pengertian ‘muhadharah’. Menurut beliau, “Kehadiran hati (qalbi, pen:) pada Hadhrat Allah Azza Wa Jalla pada pandangan syuhud dan wijdannya dengan terangkat hijab. Ketika itu tiadalah hijab (satu dinding, pen:) yang mengantarai antaranya dan Allah.”

    Dilanjutkan pula dengan ‘mu’ayanah&rs quo; yang ditakrifkan “Fana seseorang hamba akan dirinya, sifatnya, perbuatannya, dan semua hal-halnya kerana nyata Allah Taala atasnya dan telah sebati dengan tajalli baginya.”

    Yang dimaksudkan dengan kalimat ini pada pandangan ahli akidah yang bukan sufi adalah benar-benar kenal kepada Allah dengan memperhatikan alam yang dijadikan oleh Allah. Tidak kecuali sama ada alam sufliyi mahupun alam 'alawiyi. Sama ada alam shaghir (alam kecil) mahupun alam kabir (alam besar).

    Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menyambung kalimat di atas bahawa “Maka pada ketika itu, tiadalah ia memandang di mana, tiada dari mana, tiada bila, dan tiada kepada....” Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menyebut perkataan ahli sufi yang demikian akan beliau bicarakan pada waktu yang lain.

    Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menegaskan bahawa “Tiada sempurna sembahyang seseorang melainkan dengan ilmu, ma’rifah, dan i’tiqad yang tsabit pada zahir dan batin.”

    Ditegaskan lagi bahawa “Sesungguhnya semata-mata berpegang dengan zahir sahaja adalah hampa dan kurang pahala. Dan semata-mata berpegang dengan batin adalah batal, tiada sah.”

    Masih dalam bahasan bahagian ini, Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri memberi perbandingan bahawa “Sebagaimana manusia, tiadalah dinamakan manusia, melainkan dengan roh. Tiadalah semata-mata jasad dengan ketiadaan roh. Demikian sebaliknya tiadalah semata-mata roh saja tanpa jasad. Kesempurnaan salah satu daripada kedua-duanya dengan ada yang lain. Dan kekurangan salah satu daripada keduaduanya dengan ketiadaan yang lain. Demikianlah sembahyang jika semata-mata zahir adalah seperti qias manusia berdiri ataupun duduk ketiadaan roh.

    Kandungan kitab Daqaiq al-Asrar adalah sangat mendalam, selain yang tersebut di atas ia juga membicarakan percakapan antara hamba dengan Allah ketika membaca Al-Fatihah dan hingga selesai sembahyang.

    Di dalamnya mengupas juga pembahagian Qiblat ada empat, iaitu pertama dinamakan ‘Qiblat Amal’, kedua ‘Qiblat Ilmi’, ketiga ‘Qiblat Asrar’, dan keempat ‘Qiblat Tawajjuh’. Semuanya dikupas secara mendalam.

     

     

    Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
     
    Rahsia angka 13
    06.04.06 (4:49 pm)   [edit]
    ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲ ﺔﻤﺤﺭﻮﻡﻜ ﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍ



    ﻢﻼﺴﻠﺍﻮ
    Assalamua'laikum  wr wb......... ..

    Inilah dia rahsia as-solat,  sebagai peringatan bagi yang dah tahu atau
    panduan bagi yang baru tahu......

    1 -   Niat Sembahyang :
        Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.

    2 -   Berdiri Betul :
        Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat  kita di dalam
    kubur.

    3 -   Takbir-ratul Ihram :
        Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi  kita di dalam  kubur.

    4 -   Fatihah :
        Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.

    5 -   Ruqu' :
        Sebagai tikar kita di dalam kubur.

    6 -   I'tidal :
        Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika didalam
    kubur.

    7 -   Sujud :
        Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.

    8 -   Duduk antara 2 Sujud :
        Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur

    9 -   Duduk antara 2 Sujud (akhir) :
        Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.

    1  0 -   Tahhiyat Akhir :
        Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar  &
    Nankir di dalam kubur.

    11 -   Selawat Nabi :
        Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.

    12 -   Salam :
        Memelihara kita di dalam kubur.

    13 -   Tertib :
        Akan pertemuan kita dengan Allah S. W. T.

    Dari Abdullah bin 'Amr R. A., Rasulullah S. A. W.bersabda :

    "Senarai di atas  adalah salah satu sebab mengapa orang Yahudi /
    Kafir tidak sukakan angka 13  dan juga Hari Jumaat. Itulah sebab mengapa
    mereka mencipta cerita yang begitu  seram sekali iaitu " FRIDAY the 13th "
    jika ada di kalangan kamu yang  perasan!!!"

    Wassalam.

     
    Ikhlas bersyukur tenangkan fikiran..
    06.04.06 (4:35 pm)   [edit]
    Ikhlas bersyukur tenangkan fikiran
    AL-IMAM Ibn al-Jawzi dalam kitabnya Minhaj al-Qasidin menerangkan cara bersyukur. Antaranya:
     

    l Syukur lisan dengan melafazkan hamdalah (Alhamdulillah).

    l Syukur hati dengan reda kepada Allah di atas apa yang diberi dan apa yang diambil kembali.

    l Syukur amalan dengan cara melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat.

    Tiga perkara ini nampak mudah untuk diamalkan. Tetapi, bagaimanakah dengan realiti sebenar jika kita berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan?

    Untuk itu ambillah pengajaran daripada orang salih cara mereka menterjemahkan syukur kepada Allah.

    Berikut ini diperturunkan catatan mengenai teladan itu.

    l Syukur kerana anugerah iman dan Islam.

    Peristiwa ini berlaku pada saat pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) selepas selesai Peperangan Hunain. Peperangan ini terjadi selepas pembukaan kota suci Makkah.

    Sahih al-Bukhari merekodkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta kepada orang Muhajirin sebanyak 100 unta setiap seorang, dan Baginda tidak membahagikannya untuk orang Ansar. Berkata sebahagian orang Ansar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW hanya memberi kepada orang Quraisy, sedangkan kami tidak diberi, padahal pedang kami masih berlumuran darah. Mudah-mudahan Allah mengampuni kekeliruan Baginda SAW."

    Cakap-cakap mereka ini akhirnya terdengar oleh Nabi SAW. Baginda pun memanggil semua orang Ansar. Baginda bersabda: "Wahai orang Ansar! Bukankah kamu telah mempercayai aku ketika orang lain mendustakan aku? Bukankah kamu telah melindungi aku ketika orang lain menghalau aku? Dan bukankah kamu telah membela aku ketika orang menghinakan aku?"

    Mereka serentak menjawab dengan berlinangan air mata: "Untuk Allah dan rasul-Nya anugerah itu." Kemudian Rasulullah SAW meninggikan kalimahnya: "Bukankah dulu aku dapati kamu dalam kesesatan, lalu Allah memberi hidayah kepada kamu dengan kedatangan aku? Bukankah dulu aku dapati kamu dalam keadaan fakir, lalu Allah memberikan kecukupan kepada kamu dengan kedatangan aku? Bukankah dulu kamu dalam keadaan bermusuhan, lalu Allah menyatukan hati kamu dengan kedatangan aku?"

    Kata-kata itu begitu menusuk ke hati mereka. Mereka bertambah sedih mendengar pertanyaan Rasulullah SAW yang bertalu-talu. Dalam esakan dan tangisan mereka menjawab: "Benar wahai Rasulullah SAW." Kemudian Nabi SAW meninggikan lagi suaranya: "Wahai orang Ansar! Tidak relakah kamu jika orang Muhajirin itu pergi dengan membawa unta, sedangkan kamu pergi dengan membawa Rasulullah SAW? Demi Allah, kepergian kamu membawa Rasulullah SAW adalah lebih baik daripada kepergian mereka membawa unta itu. Sesungguhnya kamu telah mendapat inti, sedangkan mereka mendapat kulit luarnya saja. Demi Allah, seandainya aku harus melalui suatu jalan, sesungguhnya akan aku lalui jalan yang kamu lalui. Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmati kamu, wahai orang Ansar berserta anak dan cucu kamu.”

    Mendengar kesungguhan Rasulullah SAW menyatakan isi hati Baginda yang begitu tulus, mereka semua bertangisan dan menjawab berulang-ulang: “Kami rela Allah sebagai Tuhan kami dan Muhammad sebagai Nabi kami!

    Begitulah kesyukuran yang ditunjukkan. Ia mengalir dari hati yang jernih, menenangkan seluruh jasad dan menundukkan pemikiran logik di bawah kuasa hati yang reda. Sesungguhnya nikmat yang paling besar ialah iman dan Islam yang dilimpahkan ke dalam hati manusia.

    l Syukur kerana nikmat harta.

    Pembukaan istana Kisra Parsi, Iwan Putih yang bertatahkan emas permata oleh panglima tentera Mukmin dan bala tenteranya yang salih turut mengajar erti kesyukuran. Beliau ialah panglima yang gagah lagi berani, Saidina Saad bin Abi Waqqash.

    Selepas berjaya memasuki Istana Kisra, beliau lantas mengagungkan Allah dengan sebaik-baik laungan: “Allahu Akbar!”

    Ketika melihat kilauan gemerlapan emas dan permata yang menghiasi istana itu, ingatannya terus menerpa kepada firman Allah yang terus dialunkannya dengan suara yang penuh kekhusyukan dan tangisan tanda kesyukuran.

    Ayat itu bermaksud: “Alangkah banyaknya taman dan mata air yang mereka tinggalkan, dan kebun serta tempat yang indah, dan keseronokan yang mereka nikmati. Demikianlah kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain. Maka, langit dan bumi tidak menangisi mereka dan merekapun tidak diberi tangguh.” – (Surah al-Dukhan, ayat 25-29)

    Ayat ini begitu menyentuh jiwa, mengingatkan kita nikmat harta yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya. Tetapi, adakah kita memiliki perasaan sama seperti Saidina Saad atau mungkinkah kita sama seperti mantan penghuni Istana Kisra itu?

    Kedua-duanya mempunyai persepsi berlainan terhadap anugerah harta. Harta yang berkat memiliki cirinya yang tersendiri, iaitu:

    l Apabila diperoleh ia dapat membuat kita bersyukur.

    l Apabila diambil ia menjadikan kita hamba yang reda.

    l Ia tidak melalaikan daripada mengingati Allah.

    l Ia bukan menjadi alat untuk bermaksiat, tetapi menjadi wasilah untuk beribadat.
     
    Waspada jangan tertipu dua nikmat
    06.04.06 (4:31 pm)   [edit]
    AL-IMAM al-Bukhari, Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu olehnya iaitu, nikmat sihat dan masa lapang."
     

    Kisah yang dipaparkan ini dipetik dari buku Ihfazilllah Yahfazuka karya Dr 'Aidh al-Qarni.

    Suatu hari seorang lelaki miskin mengeluh: “Ya Allah! Engkau telah membuatku miskin, sedangkan Engkau membuat si polan kaya.” Lalu dia pun tertidur dalam keadaan bersedih. Lelaki itu bermimpi bertemu dengan orang salih yang berkata kepadanya: “Wahai si polan, mahukah kamu menjual penglihatanmu kepadaku dengan harga seratus ribu dinar?

    Jawabnya: “Tidak.” Lelaki itu bertanya lagi: “Mahukah kamu menjual kepadaku pendengaranmu, kaki dan tanganmu masing-masing berharga seratus ribu dinar?” Maka, dia pun menghitung-hitung harga yang disebutkan tadi. Lelaki itu berkata: “Maha suci Allah Sesungguhnya kamu memiliki ratusan ribu dinar, tetapi kamu tidak mensyukurinya dan kamu masih mengharapkan semoga Allah memberi rezeki kepadamu lagi? Maka, dia pun tersedar daripada tidurnya sambil menangis dan berkata: “Bagimu segala puji wahai Tuhanku.”

    Bersyukur dengan nikmat sihat cukup membuat kita kaya raya sementara orang yang sakit hanya dicengkam ketakutan dengan soalan “siapa yang akan mewarisi hartanya itu?”.

    Kita semua dijadikan sebagai makhluk yang miskin, lalai dan tidak memahami sesuatu pun, tetapi Allah menganugerahkan kita dengan harta, ilmu dan iman.

    Belum cukupkah itu semua untuk menjadikan kita hamba-Nya yang bersyukur? Hitunglah nikmat Allah pada setiap tarikan nafas dan hembuskannya dengan syukur yang tidak terhingga.

    Ingatlah ketika Rasulullah SAW bangun sembahyang pada waktu malam hingga bengkak kedua-dua kaki Baginda, padahal syurga berada di genggamannya dan kedudukan kekasih Allah menjadi sebutan baginya. Namun, tiada kalimah seindah sabda Baginda bermaksud: “Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku?”