Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Ibnu Taimiyah bakar pejuang semangat usir tentera Moghul
07.31.06 (1:36 am)   [edit]

IBNU Taimiyah adalah nama besar dalam dunia pemikiran Islam dan sifat kepahlawanan yang ada dalam dirinya membuatkan beliau dikenali sebagai pejuang kemerdekaan yang menegakkan kebenaran demi agama.
 

Ibnu Taimiyah lahir di Harra dan ketika berusia enam tahun, beliau bersama kedua ibu bapanya berpindah ke Damaskus.

Beliau memiliki kecerdasan luar biasa, otak tajam dan kuat ingatan. Pada usia muda, beliau menguasai pelbagai ilmu termasuk agama, fiqh, teologi, ilmu logika dan falsafah.

Ibnu Taimiyah banyak belajar daripada bapanya, ilmuwan dalam ilmu fiqh mazhab Hambali selain belajar serta memanfaatkan ilmu yang diperoleh daripada beberapa ilmuwan terkemuka lain.

Apabila bapanya meninggal dunia pada 1282, Ibnu Taimiyah menggantikan tempat bapanya sebagai tokoh hukum mazhab Hambali dan memikul tugas itu selama 17 tahun.

Bagaimanapun, cara pemikirannya yang agak bebas menimbulkan perselisihan dengan penganut mazhab Syafie menyebabkan beliau akhirnya beralih arah menjadi pejuang menentang melawan suku Moghul.

Beliau berkhutbah menyemarakkan semangat rakyat ketika itu untuk menentang Moghul sehingga mereka terusir.

Bermula selepas kejayaan itu, Ibnu Taimiyah terus menegakkan Islam tetapi ketegasan dan pemikiran terbuka beliau tidak disenangi pemerintah sehingga akhirnya beliau banyak menghabiskan masa dipenjara.

Kehebatan Ibnu Taimiyah ialah pada ketegasan pendirian dan kebebasan berfikir yang kadang kala menimbulkan masalah terutama di kalangan mereka yang masih berfikiran konservatif.

Beliau adalah mujtahid besar pernah dilahirkan Islam kerana menolak taklid buta dan sebagai penganut mazhab Hambali, sandaran hukum beliau ialah al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Jasanya yang besar terhadap Islam melalui peringatan yang disampaikan kepada rakyat supaya mereka menyesuaikan diri dengan kesederhanaan dan kemurnian Islam berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Ibnu Taimiyah meninggalkan karya penulisan yang banyak kerana menurutnya tidak berdosa seseorang itu mengeluarkan pendapat yang berbeza dengan pendapat ulama.

Beliau memerangi orang yang mengamalkan bid’ah dan syirik selain memikul sendiri tanggungjawab mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga adab sopan serta perilaku.

Katanya, umat Islam adalah umat yang utama bagi mewujudkan apa yang Allah kehendaki di muka bumi ini. Semua umat Islam perlu bersatu untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.

Bagi memastikan tujuan itu tercapai, haruslah didirikan sebuah negara atau kerajaan Islam yang menegakkan keadilan dan memastikan manusia melaksanakan kewajipan agama mereka.
 
Tangisan ahli neraka amat dahsyat
07.31.06 (1:34 am)   [edit]

Segala perbuatan manusia ketika hayatnya direkod dan dibalas di akhirat
 

PENJENAYAH di penjara memiliki gelaran paling buruk yang diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas banduan ini. Kalau pun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah nanti?

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud: "Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali." (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.

Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: "Tahukah kamu semua suara apakah itu?" Kami menjawab: "Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda yang maksudnya: "Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya." Hadis riwayat Imam Muslim

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih kesenangan haram yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; "Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung." (Surah al-Hajj, ayat 47)

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?

Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim." (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: "Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku." (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah.

Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Balasan Allah sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.

Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan saja.
 
Semua nabi adalah pilihan Allah
07.25.06 (10:30 pm)   [edit]


DARI bahagian kisah Ibrahim a.s. setakat ini, ayat yang berikut mengambil makna dan saranannya untuk dikemukakan kepada orang-orang yang menentang hak kepimpinan umat Islam, menentang hak kenabian dan kerasulan Rasulullah s.a.w. serta mempertikaikan hakikat agama Allah yang tulen serta benar.

Firman Allah: Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-Baqarah: 130 dan 131)

Firman Allah s.w.t., Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim. Ibn al-Jauzi berkata, sebab nuzul ayat ini bahawa Abdullah bin Sallam memanggil dan mengajak dua anak saudaranya yang bernama Muhajir dan Salamah supaya memeluk Islam. Kemudian Salamah memeluk Islam sedangkan Muhajir menentangnya. Lantas turunnya ayat ini.

Al-Imam al-Suyuti dalam Asbab al-Nuzul juga menyebut kisah ini berdasarkan nukilan daripada Ibn Uyainah.

Al-Tabari berkata, Allah maksudkan demikian itu kepada golongan yahudi dan nasrani. ini kerana pilihan mereka sebagaimana yang dipilih oleh golongan yahudi dan nasrani atas Islam. Pendapat dan dakwaan bahawa memilih yahudi dan nasrani adalah bidaah bukan sekali-kali daripada Allah.

Selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri. Siapa yang benci agama Ibrahim dan ajarannya yang terang lagi baik kecuali ia sebagai orang yang menghina dirinya sendiri dan bodoh. Empat pendapat dalam kalangan ulama:

1. Maknanya kecuali siapa yang memperbodohkan dirinya. Inilah pendapat Akhfasyh dan Yunus.

2. Maknanya kecuali siapa yang membinasakan dirinya. Inilah pendapat Abu Ubaidah.

3. Maknanya kecuali siapa yang dibodohkan dirinya atau nafsunya. Inilah mazhab al-Farra' dan Ibn Qutaibah.

4. Maknanya kecuali siapa yang menjahilkan dirinya dan tidak fikir padanya. Inilah pilihan al-Zajjaj.

5. Al-Baghawi menaqalkan pendapat Ibn Abbas iaitu siapa yang merugikan diri sendiri.

6. Al-Nasafi berkata, iaitu orang yang tidak memikirkan diri sendiri sehingga meletakkan kejahilan pada dirinya.

Kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; ini kerana Kami memilihnya antara sekalian makhluk dengan kerasulan, kenabian dan imamah. Al-Samarqandi berkata: Kami memilihnya di dunia dengan kenabian, kerasulan, Islam dan khullah (sebagai kekasih Allah). Dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). Sedangkan ia dari kalangan yang hampir dengan Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi. Ibn al-Anbari berkata: Daripada kalangan orang soleh keadaannya di sisi Allah sedangkan al-Zajjaj berkata: orang yang soleh di akhirat ialah orang yang berjaya.

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)! Serah dirilah kepada urusan Tuhanmu dan ikhlaslah terhadapnya. Beliau tidak teragak-agak, tidak diam, tidak menyeleweng, malah terus menyambut sebaik sahaja menerima perintah itu. Al-Baghawi berkata: Hendaklah kamu istiqamah atas Islam dan thabitlah padanya kerana ia adalah orang Islam. Ibn Abbas berkata, beliau berkata demikian ketika keluar dari al-Sarb. Al-Kalbi berkata: maksudnya ialah hendaklah kamu ikhlas pada agamamu dan ibadatmu semata-mata kerana Allah. Athar pula berkata, Islamlah dirimu kepada Allah s.w.t. dan serahkanlah segala urusan dirimu kepadanya.

Al-Maraghi berkata, Ibrahim mula kehidupannya dalam suasana kaum penyembah berhala dan bintang kemudian menerangi mata hatinya dan mengilhamkannya kebenaran, sehingga ia mendapati bahawa bagi alam buana ini hanya satu tuhan yang mentadbir dan mengatur segala urusan dan kepada-Nya akan dikembalikan, justeru nabi Ibrahim tanpa ragu-ragu menyahut seruan tuhan supaya beliau menjadi orang Islam benarlah.

Nabi Ibrahim menjawab, “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Sesungguhnya aku telah serah diri segala arahan dan urusan Allah serta patuh dan tunduk dengan hukum-Nya. Inilah agama Ibrahim, iaitu agama Islam yang tulen dan terang. Ibn Abbas berkata, sesungguhnya dia telah mentahqiqkan kebenaran itu dengan tidak meminta pertolongan dengan mana-mana makhluk termasuk malaikat ketika peristiwa dia dicampak ke dalam api.

Nabi Ibrahim tidak cukup dengan dirinya sendiri sahaja, malah beliau meninggalkan agama ini kepada zuriat keturunannya. Beliau mewasiatkan agama ini kepada anak cucunya. Mula-mula beliau mewasiatkan kepada anak-anaknya, kemudian Ya'qub (cucunya) mewasiatkan agama ini kepada anak-anaknya pula. Ya'qub ialah Israel yang menjadi asal-usul keturunan Bani Israel tetapi Bani Israel tidak menyambut wasiat Ya'qub, wasiat datuknya (Ishak) dan wasiat moyang mereka (Ibrahim).

Al-Alusi berkata: Maksud sekalian alam di sini untuk pemberitahuan betapa sempurnanya kekuatan Islamnya sehingga beliau yakin ketika memerhati dan melihat kesyumulan rububiah-Nya kepada sekalian alam bukan kepada dirinya sahaja, sebagaimana yang diperintahkan dengannya secara zahir.

Iktibar dan Pengajaran ayat

Antaranya:

* Semua ajaran nabi termasuk nabi akhir zaman Rasulullah s.a.w. adalah sama dari segi akidahnya iaitu menyeru pengabdian kepada Allah dan menjauhi taghut seperti dinaskan di dalam al-Quran, tetapi yang membezakan antara mereka ialah syariat yang mengikut kesesuaian umat ketika itu.

* Semua nabi adalah pilihan Tuhan dan Nabi Ibrahim antara golongan yang tinggi martabatnya di sisi Allah selain daripada Nabi Muhammad s.a.w.

* Sifat menyerah diri kepada Allah dalam erti kata lain mengislamkan semua kehidupannya kepada Allah merupakan tuntutan sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini.

* Sewajarnya kita menanamkan sifat ikhlas dalam segala tindakan kita apatah lagi yang membabitkan masalah ibadat kerana ia menatijahkan penerimaan ibadat tersebut atau sebaliknya dan membawa kepada mendapat pahala atau tidak. Ini juga termasuk kerja-kerja yang kita lakukan dalam menjalani kehidupan di dunia.

 

 


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 

 
Tok Ku Melaka ulama Terengganu keturunan Nabi Muhammad
07.23.06 (8:43 pm)   [edit]


ULAMA besar yang berasal dari Terengganu keturunan Nabi Muhammad s.a.w. dalam artikel ini pernah saya perkenalkan dalam majalah Dakwah pada Januari 1990 dan diperluaskan lagi dalam Penyebaran Islam & Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, jilid 3. Tulisan saya itu mendapat perhatian daripada dua pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia iaitu Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar.

Sebuah kertas kerja bersama mereka telah dibentangkan dalam Nadwah Ulama Nusantara ke-III dengan judul Sayyid Ahmad bin Mohammad al-'Aydarus (Tok Ku Melaka) dan Metode Penulisan Kitab Tanbih al-Ghafilin bi Bayan Shay'in min Fada'il Aali Sayyid al-Mursalin. Oleh sebab terdapat beberapa maklumat baru yang termaktub dalam kertas kerja tersebut maka perlu diperkenalkan kembali ataupun pembetulan beberapa kekeliruan tulisan saya yang terdahulu. Perlu juga saya sentuh di sini bahawa Dr. Adel Muhammad Abdulaziz berasal dari Arab, fasih berbahasa Melayu, memperoleh ijazah kedoktoran (Ph.D) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sekarang beliau bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar juga ialah pensyarah KUIM yang masih ada hubungan kewarisan dengan Tok Ku Melaka dan Tok Ku Paloh.

Nama ulama yang diriwayatkan ialah Saiyid Ahmad bin Muhammad al-Aidrus atau digelar dengan nama Tok Ku Melaka. Syeikh Ahmad al-Fathani sempat bertemu dan ada hubungan keilmuan dengan Tok Ku Melaka. Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa Tok Ku Melaka digelar juga dengan nama Tuan Saiyid Embun Tarqanu. Tulisan saya yang terdahulu tidak menyebut tahun wafat Tok Ku Melaka tetapi setelah membaca kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III dapat diketahui tempat dan tahunnya iaitu wafat di Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada 1315 H/1897 M.

KELUARGA

Dalam tulisan saya yang terdahulu ada tiga nama dalam salasilah tidak saya tulis. Tiga nama tersebut saya ketahui setelah membandingkan kertas kerja dalam Nadwah Ulama Nusantara III. Oleh itu di sini saya perbetulkan iaitu diberi tanda dalam kurung apit [...]. Salasilah selengkapnya ialah Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mushthafa bin Syaikh bin [Muhammad] Mushthafa bin Ali Zainal Abidin bin Abdullah bin Syaikh bin Abdullah al-Aidrus al-Akbar [bin Syeikh bin Abdullah] bin Abu Bakar as-Sakran bin Muhammad Abdur Rahman as-Saqaf bin Muhammad Maulana Dawilah bin Ali bin Alwi bin Muhammad al-Faqih al-Muqaddam bin Ali bin Muhammad Shahib Mirbath bin Ali Khali Qasam bin Alwi bin Muhammad bin Alawi bin Saiyid Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir. Dan seterusnya dalam kertas kerja judul di atas disebut hingga sampai kepada Saiyidina Husein (cucu Nabi Muhammad s.a.w.).

Ayah Tok Ku Melaka bernama Saiyid Muhammad digelar dengan Tok Ku Tuan Pahang. Ayahnya bernama Saiyid Husein. Ayahnya bernama Saiyid Mushthafa, bererti moyang kepada Tok Ku Melaka yang diriwayatkan ini mempunyai adik-beradik tiga orang iaitu Saiyid Mushthafa bin Syaikh (moyang Tok Ku Melaka), Saiyid Ahmad bin Syaikh dan Saiyid Zainal Abidin bin Syaikh. Saiyid Ahmad bin Syaikh mempunyai anak bernama Saiyid Muhammad yang digelar dengan nama Tok Ku Makam Lama. Kuburnya di Cabang Tiga, Kuala Terengganu (tarikh 1209 H/1794 M). Saiyid Zainal Abidin bin Syaikh mempunyai anak bernama Saiyid Muhammad yang digelar dengan Tok Ku Tuan Besar. Tok Ku Makam Lama dan Tok Ku Tuan Besar bererti datuk saudara kepada Tok Ku Melaka. Saiyid Muhammad (Tok Ku Tuan Besar) memperoleh predikat sebagai ulama adalah berkat belajar kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas. Tok Ku Tuan Besar adalah sebagai Ketua Ulama dan Orang-Orang Arab di Terengganu. Anak beliau yang terkenal menjadi ulama ialah Saiyid Abdur Rahman yang lebih dikenal dengan gelar Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M, wafat Zulhijjah 1335 H/September 1917 M). Bererti beliau ini masih ada pertalian kekeluargaan dekat dengan Tok Ku Melaka. Tok Ku Paloh pula kahwin dengan anak Tok Ku Melaka yang bernama Tuan Nik.

PENDIDIKAN

Di atas telah disinggung bahawa Saiyid Muhammad (Tok Ku Tuan Besar) adalah murid kepada Syeikh 'Abdul Qadir Bukit Bayas. Demikian juga akan halnya Tok Ku Melaka ini adalah bersama-sama dengan datuk saudaranya itu belajar kepada ulama yang berhijrah dari Patani di Terengganu itu. Sebelum beliau memperdalam ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Tok Ku Melaka telah belajar kepada ayahnya sendiri, Saiyid Muhammad al-Aidrus, yang diriwayatkan juga seorang ulama. Tok Ku Melaka ialah seorang yang sangat rajin dan teliti mencari ilmu pengetahuan Islam dan beliau telah mengembara mencari ilmu. Apatah lagi pada zamannya memang banyak keturunan Saiyid sebagai pendatang sama ada merupakan pedagang mahupun sebagai seorang ulama penyebar Islam.

Ilmu-ilmu yang bersumber daripada bangsa Saiyid dipandang lebih mantap jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu yang diperoleh daripada golongan lainnya. Hal seperti tersebut juga mempengaruhi peribadi Tok Ku Melaka. Ilmu yang beliau peroleh daripada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas lebih banyak jika dibandingkan dengan ulama-ulama lain.

PENULISAN

Dalam tulisan yang terdahulu saya telah senaraikan tujuh judul karya Tok Ku Melaka. Daripada kertas kerja Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar, terdapat empat judul tambahan. Jadi semuanya 11 judul. Senarai karya Tok Ku Melaka yang terkini adalah sebagai berikut:

1. Al-Fawaid fis Shalati wa 'Awaid wa Fat-hul Malikil Majid diselesaikan pada 20 Safar 1265 H/1848 M. Tok Ku Melaka telah menyerahkan karangannya itu kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani untuk disemak. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani bergiat mentashhih kitab-kitab di Makkah lalu Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani menyerahkannya pula kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini pernah dicetak beberapa kali oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah atas usaha Syeikh Ahmad al-Fathani.

2. Hidayatul 'Awam fi Bayan Hukmi Syarbid Dukhan. Lebih 10 tahun saya mencari naskhah ini. Akhirnya diperoleh juga. Menurut pengarangnya, Tok Ku Melaka, kitab ini beliau selesaikan di Melaka pada hari Selasa... (naskhah rosak, pen:) bulan Rabiulawal 1293 H/1876M. Manuskrip yang dibicarakan ini merupakan salinan oleh Muhammad Alim Barus. Selesai menyalinnya pada hari Selasa, 20 Zulhijjah 1337 H/16 September 1919 M di Sungai Cincin, Ulu Gombak, Selangor Darul Ehsan.

3. Terjemahan Muqaddimah Dan Do'a Dalail al-Khairat, diselesaikan waktu Dhuha, 1256 H/1840 M.

4. Taghribur Rijal fi Kasbil Halal. Menurut keterangan Saiyid Abdur Rahman di Kuala Terengganu (salah seorang keturunan Tok Ku Melaka) bahawa manuskrip kitab ini telah hilang daripada simpanan.

5. Ta'riful Khullan fi Tajwidil Quran, cetakan pertama tahun 1333 H/1915 M.

6.Tanbihul Ikhwan, kitab ini kemungkinan sama dengan yang pernah diterbitkan yang diberi judul lengkap Hidayatul Ikhwan fi Azkaris Shalati ma'a Arkan. Selesai penulisan pada hari Jumaat, 9 Safar 1283 H/1865 M. Pernah dicetak di Mekah dan Mesir. Cetakan Matba'ah at-Taqaddum al-'Ilmiyah, Mesir dan cetakan Matba'ah al-Miriyah, al-Kainah Mekah, 1311 H/1893 M.

7. Targib al-Ibadah fi Qiraah Ratib al-Haddad, masih dalam bentuk manuskrip, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III pada April 2006.

8. Tanbih al-Ghafilin Bayan Syai-in min Fadhail Aali Saiyid al-Mursalin, masih dalam bentuk manuskrip, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III. Bahkan kitab ini diulas agak lebih panjang oleh kedua-dua pembentang kertas kerja itu jika dibandingkan dengan kitab-kitab lain.

9. Mujarrabat al-Fawaid, masih dalam bentuk manuskrip, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya ia kemungkinan sama dengan kitab No. 1.

10. Fauz as-Sa'adah, disebut oleh Dr. Adel Muhammad Abdulaziz dan Syed Ahmad Tarmizi Syed Omar dalam kertas kerja Nadwah Ulama Nusantara III.

11. Kumpulan Wirid Dan Do'a, diselesaikan pada 28 Safar 1295H/1878M.

KETURUNAN

Berdasarkan satu salasilah yang saya peroleh daripada salah seorang keturunan beliau di Kuala Terengganu, Tok Ku Melaka pernah tiga kali kahwin. Nama-nama isterinya ialah Saiyidah (Encik Sidah), Tuan Nik dan Tuan Batu. Nama anak-anaknya pula adalah sebagai yang berikut:

1. Saiyid Hasan gelaran Tuan San. Anaknya bernama Saiyid Hasan gelarannya Tuan Sulung.

2. Saiyid Umar gelaran Tuan Mutil. Beliau ini memperoleh lima anak iaitu Saiyid Muhammad gelarannya Tuan Dalam Engku Wok; Saiyid Abdullah gelarannya Tuan Cilin; Syarifah Sakinah gelarannya Tuan Kuning; Tuan Cik Cuking; dan Tuan Su Naflullah.

3. Saiyid Abdullah gelaran Tuan Dolah. Beliau memperoleh tiga anak iaitu Syaikhah Tuan Dayang, Tuan Mutil dan Tuan Kuntum.

4. Syarifah Maryam gelaran Tuan Ngayang. Beliau dikurniakan lima anak iaitu Saiyid Ahmad Tuan Nanum; Saiyid Muhammad Tuan Mutil; Tuan Sambul; Tuan Mukhtar; dan Saiyid Abdur Rahman.

5. Saiyid Muhammad gelaran Tuan Kicut. Beliau ini memperoleh tiga anak iaitu Tuan Timun, Tuan Sifat dan Tuan Nat.

Beberapa nama yang saya sebutkan di atas adalah berdasarkan salasilah berupa salinan yang ada pada saya. Walau bagaimanapun, pemindahan daripada tulisan Melayu/Jawi ke huruf Latin/Rumi mungkin ada yang keliru kerana beberapa nama tulisannya tidak jelas. Oleh itu sesiapa di antara kewarisan ini yang lebih mengetahui mohon menghubungi saya supaya dapat diperbetulkan. Sampai di sini berakhirlah rakaman saya tentang Saiyid Ahmad bin Saiyid Muhammad al-Aidrus (Tok Ku Melaka).