Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Kitab lama perjelas urusan jual beli, hukum amalan riba
08.22.06 (1:26 am)   [edit]

UNDANG-UNDANG perniagaan Islam termasuk dalam bahagian fiqh yang dinamakan ‘Kitab Mu'amalat’. Tidak banyak kitab bahasa Melayu yang khusus membicarakan perkara itu dan sebuah daripadanya ialah kitab ‘Al-Targhib wa al-Tarhib li al-Bai'ie wa asy-Syira’.
 

Judul lain dinamakan juga Risalah fi Bayan Hukm al-Bai'ie wa ar-Riba karangan Syeikh ‘Abdul Qadir ‘Abdur Rahim Bukit Bayas, Terengganu.

Beliau selesai menulisnya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 2 Rabiulawal 1234 Hijrah/30 Disember 1818 Masihi, di Terengganu.

Kitab ‘al-Bai'ie wa asy-Syira’ hanya dijumpai sebuah manuskrip salinan Mahmud ibnu Muhammad Yusuf Terengganu. Salinan diselesaikan pada Isnin, 19 Zulhijjah 1236 Hijrah/17 September 1821 Masihi di Terengganu.

Setakat ini yang diketahui hanya ditemui dua buah manuskrip. Dipercayai kitab ini belum pernah diterbitkan dalam bentuk cetakan. Manuskrip dalam koleksi saya dapat dinyatakan sebagai naskhah yang lengkap dengan khat indah, menggunakan dakwat hitam dan merah.

Kandungan secara garis besarnya ialah membicarakan perniagaan menurut Islam, mengemukakan hujah berdasarkan al-Quran dan hadis mengenai larangan memakan riba.

Kandungan selengkapnya bahawa Syeikh 'Abdul Qadir Bukit Bayas selepas menyebut judul karya ini dalam bahasa Arab lalu beliau sebut pula judulnya dalam bahasa Melayu ialah Risalah Pada Menyatakan ‘Hukum Jual Beli Dan Riba’.

Berdasarkan kenyataan di atas bahawa karya ini ada dua judul yang berbeza dalam bahasa Arab.

Sebagai keterangan tambahan kandungannya diringkaskan Syeikh 'Abdul Qadir sendiri, katanya, “Ditambah sedikit daripada dalil dan hadis pada menyatakan seksa dan azab tiap-tiap orang yang memakan riba dan orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan dan orang yang menzalimi atas harta manusia”.

Mengenai sasaran karangan beliau nyatakan, “Supaya beroleh manfaat dengan dia oleh tiap-tiap orang yang membaca akan dia daripada segala orang yang berjual beli lelaki dan perempuan, kecil dan besar, muda dan tua”. (Halaman 1).

Selepas itu memasuki perbicaraan subjudul awalnya ialah, ‘Asal Yang Mengharuskan Jual Beli Dan Haram Riba’. Bahagian ini mengemukakan hujah al-Quran dan hadis lengkap dengan perbandingan pendapat ulama mengenai pentafsirannya.

Hadis pertama diperkenalkan terjemahan beliau ialah, “Bermula yang terlebih afdal usaha itu berjual beli yang baik dan bekerja lelaki dengan tangannya”.

Syeikh 'Abdul Qadir menyebut, jika jual beli itu tiada tipu daya dan tiada khianat pada pelaksanaannya. Selanjutnya beliau memetik hadis lain di antaranya dikeluarkan Baihaqi dari Mu'az, hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Hakim dari Ibnu 'Umar, hadis yang dikeluarkan oleh Ishbahani dan Dailami, dan lain-lain hadis dapat dirujuk pada bahagian ini. (Halaman 2-4)

Kemudian memasuki ‘Tanbih Bersalah-salahan Ulama Pada Usaha Yang Terafdal’, Syeikh 'Abdul Qadir memulakan kalimat bahagian ini dengan katanya, “Telah berkata beberapa ulama, yang terlebih afdal usaha itu berniaga. Dan berkata setengah ulama yang Muhaqqiqin, bermula usaha yang terlebih afdal itu berbuat bendang, kemudian daripada itu usaha kepandaian. Seperti berbuat rumah, dan perahu, dan menjahit, dan barang sebagainya daripada segala kepandaian yang diharuskan syarak. Kemudian dari itu pula berniaga”.

Pada bahagian ini dimulai dengan khabar dari Muslim terjemahan menurut Syeikh 'Abdul Qadir, “Tiada menanam oleh orang yang Islam akan satu tanaman dan tiada berbuat bendang ia akan satu bendang, maka makan daripadanya oleh manusia, dan tiada memakan akan dia oleh binatang, dan tiada suatu yang memakan akan dia melainkan adalah baginya itu sedekah”.

Selepas membanding pelbagai pendapat, lalu dimulai perbicaraan mengenai jualbeli, dimulakan dengan tiga macam bentuk jual beli ialah:

  • Berjual mata benda yang dilihat,

  • Dijual akan mata benda yang belum lagi maujud,

  • Dijual mata benda yang ghaib, yang tiada dilihat (halaman 10-20).

    Selepas mengupas sesuatu barang yang sah dijual beli atau tidak sahnya secara terperinci lalu masuk pula perbicaraan mengenai riba.

    Syeikh 'Abdul Qadir, membuka lembaran ini dengan kata beliau, “Syahdan hendaklah mengetahui dan belajar pula akan hukum riba kerana wajib atas tiap-tiap orang yang berniaga itu belajar segala hukum jualbeli, dan hukum riba.

    Menurut beliau, “Barang siapa berniaga dulu daripada mengetahui hukumnya nescaya haramlah atas orang itu dengan ittifaq segala ulama ...”

    Mengenai asal hukum haram riba beliau kemukakan ayat al-Quran dan beberapa hadis.

    Di antara hadis yang disebutkan terjemahan menurut Syeikh 'Abdul Qadir, “Satu dirham riba yang memakan akan dia oleh anak Adam itu terlebih sangat besar dosanya pada Allah Taala daripada tiga puluh enam kali mengerjakan zina. (Riwayat Imam Ahmad daripada Abi Hurairah)

    Selanjutnya disambung dengan ‘Tanbih Haram Menipu Daya Pada Berjual Beli’. Di antara hadis yang dipetik pada perbicaraan ini, terjemahan menurut Syeikh 'Abdul Qadir, “Dan barang siapa menipu daya akan kami, maka tiadalah ia daripada kami”. (Halaman 32-41)
  • Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah
  •  
    Khalid al-Walid pahlawan terulung
    08.22.06 (1:22 am)   [edit]

    KHALID bin al-Walid panglima tentera Islam terulung yang memberikan banyak sumbangan kepada penyebaran syiar Islam. Beliau selalu ke medan perang sejak zaman Rasulullah hingga pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

    Bagaimanapun, sebelum memeluk Islam, beliau termasuk di kalangan orang Musyrikin yang bermusuh dengan Nabi Muhammad. Beliau selalu menghalang usaha dakwah Muhammad sehingga setiap kali pulang hatinya berkecamuk memikirkan mana baik dan buruk.

    Melalui satu riwayat, Khalid menceritakan: “Ketika Allah mahu memberikan kebaikan kepada aku, Dia menanamkan dalam hati aku keinginan untuk memeluk Islam dan memberikan petunjuk kepada aku.

    “Aku berkata, sesungguhnya aku mengikuti setiap peperangan menentang Muhammad, sedangkan tiada satu pun di antara sekian banyak peperangan yang aku ikuti kecuali ketika pulang hati aku menyatakan bahawa langkah yang aku tempuhi ini tiada manfaatnya dan aku yakin Muhammad pasti akan selalu mendapat kemenangan.

    “Ketika Nabi Muhammad dan sahabat ke Hudaibiyah, aku juga berangkat bersama pasukan berkuda orang Musyrikin. Lalu aku bertemu dengan Rasulullah bersama sahabat Baginda yang sedang berada di Usfan (tidak jauh dari Makkah). Aku berusaha menghalangi Baginda.

    “Pada waktu itu Baginda dan sahabat menunaikan solat Zuhur bersama kami. Justeru, terdetik dalam hati kami untuk menyerang Baginda dan sahabat. Tetapi, rancangan itu dibatalkan

    “Kemudian Baginda dan sahabat menunaikan solat Asar secara khauf (kerana bimbang diserang musyrikin). Hati kami yakin bahawa Baginda mengetahui rancangan kami. Lalu aku berkata, orang ini (Muhammad) dilindungi. Selepas itu rombongan Baginda meninggalkan kami dan mengambil jalan sebelah kanan.

    “Selepas orang Quraisy mengadakan perjanjian Hudaibiyah dengan Baginda dan sepakat terhadap kandungannya, hati aku terdetik; sekarang apa yang masih tinggal. Ke mana aku mahu pergi? Adakah aku perlu pergi kepada Raja Najasyi. Sesungguhnya dia sudah memeluk Islam dan sahabat di sana mendapat perlindungan daripadanya dan hidup aman.

    “Apakah aku pergi saja kepada Maharaja Romawi. Jika ke sana mungkin aku perlu menukar agama kepada Nasrani atau Yahudi dan terpaksa tinggal di sana sebagai orang asing.

    “Akhirnya aku memilih tinggal di tempat sendiri bersama orang yang belum memeluk Islam. Ketika aku dalam keadaan buntu memikirkan perkara itu tiba-tiba terdengar berita bahawa Rasulullah akan ke Makkah untuk melakukan umrah qada.

    “Jadi, aku segera bersembunyi sehingga aku tidak melihat beliau memasuki Makkah. Ketika itu saudara aku, Walid bin Walid juga bersama-sama Rasulullah untuk menunaikan umrah. Dia pun mencari aku, tetapi gagal. Kemudian saudara aku menulis surat kepada aku:

    “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya aku belum pernah melihat sesuatu yang lebih menghairankan aku daripada hilangnya akal kamu daripada Islam, sedangkan kamu adalah orang yang paling bijak berfikir sehingga tahu membezakan yang benar dan palsu.

    “Adakah agama seperti Islam tidak difahami oleh seseorang? Sesungguhnya Rasulullah sentiasa bertanya kepada aku mengenai diri kamu? Di manakah kamu Khalid? Aku menyatakan pada beliau, kelak Allah akan membawakannya..." – Bersambung
     
    Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad Mufti Kerajaan Johor
    08.20.06 (9:50 pm)   [edit]


    KETURUNAN Nabi Muhammad s.a.w. berbangsa ‘al-Haddad’ adalah salah satu keluarga ‘Saiyid’ yang penting dalam penyebaran Islam, pendidikan dan dakwah di dunia Melayu. Contohnya, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad yang lahir di Hadhramaut.

    Beliau pernah menyebarkan Islam di India, akhirnya meninggal dunia di Tegal, Indonesia. Makam beliau sentiasa diziarahi hingga sekarang kerana beliau diakui oleh masyarakat sebagai wali Allah. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah bangsa ‘al-Haddad’ yang menjadi Mufti Johor. Nama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w.. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M

    Dalam Tasynif al-Asma' oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh menyebut bahawa Saiyid 'Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada bulan Jamadilakhir 1382 H (hlm. 383). Nik Yusri Musa dalam kertas kerja berjudul Polemik Datuk Sayed bin Tahir al-Haddad dan A. Hassan Bandung: Gambaran Pemikiran Fiqh Nusantara menyebut bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia pada 14 November 1962 M dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmudiah Johor Bahru (lihat Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, 2005 M/1427 H, hlm. 538).

    Ditinjau dari segi tarikh wafat kedua-dua maklumat di atas adalah sepakat kerana 14 November 1962 M adalah bersamaan dengan 17 Jamadilakhir 1382 H. Tetapi tempat wafat masih perlu ditinjau kerana Tasynif al-Asma' hanya menyebut Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat di Jakarta dan tidak menyebut di mana dikebumikan.

    Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa pula dinyatakan bahawa beliau dikebumikan di Johor Bahru, tetapi tidak menyebutkan di mana sebenarnya Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat. Apakah memang benar beliau wafat di Jakarta kemudian jenazahnya dibawa ke Johor Baharu juga tidak dijelaskan. Sekiranya benar beliau wafat di Jakarta ada kemungkinan dikebumikan di Jakarta ataupun Bogor kerana Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad sebelum ke Johor memang tinggal di sana. Murid beliau pun memang ramai di Jakarta dan Bogor.

    Seperkara lagi ketika tarikh wafat Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, 14 November 1962 M itu, urusan penerbangan dari Jakarta ke Singapura mungkin sedikit terganggu kerana detik-detik awal konfrontasi Indonesia-Malaysia, sedangkan Singapura ketika itu dalam Malaysia. Oleh itu sejarah yang demikian perlu diselidiki dengan lebih kemas lagi.

    Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa juga dinyatakan bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 - 1961 (Ibid, hlm. 538). Maklumat ini berbeza pendapat dengan tulisan Othman bin Ishak dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam yang menyebut bahawa Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad menjadi Mufti Johor tahun 1934 - 1941, Datuk Haji Hasan bin Haji Yunus menjadi Mufti Johor 1941 - 1947 dan Datuk Haji Abd. Jalil Hasan menjadi Mufti Johor 1961 - 1964 (lihat terbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 31).

    Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan ‘al-Haddad’. Jadi bererti ada dua orang keturunan ‘al-Haddad’ yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.

    PENDIDIKAN

    Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w..

    Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadis dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadis itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami' ash-Shaghir. Sehubungan dengan hadis Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadis di antara kitab-kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.

    Selain guru tersebut, Saiyid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain pula ialah al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari. Saiyid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat hadis daripada al-Allamah as-Saiyid 'Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250 H/1834 M.

    Diriwayatkan bahawa Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar namun pencapaian pengetahuan terlalu banyak. Ketika berumur 12 tahun Saiyid Alwi al-Haddad tamat belajar Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun beliau telah mulai mengajar dan mengajar kitab yang besar-besar dan ilmu yang berat-berat dalam usia 20 tahun. Ilmu-ilmu yang beliau ajar dalam usia itu ialah ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, tarikh, falak, nahu, sharaf, balaghah, falsafah dan tasawuf.

    PEMIKIRAN

    Saya mulai mengikuti tulisan-tulisan Saiyid Alwi al-Haddad sejak tahun 1966, iaitu yang dimuat dalam Warta Jabatan Agama Johor. Salah satu karya Saiyid Alwi al-Haddad bagi saya yang cukup menarik ialah sebuah karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberi judul Sejarah Islam di Timur Jauh. Saya ringkaskan saja bahawa karya Saiyid Alwi al-Haddad yang telah diketahui sebagai berikut:

    1. Anwar al-Quran al- Mahiyah li Talamat Mutanabi' Qadyani (dua jilid).

    2. Al-Qaul al-Fashl fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.

    3. Al-Khulashah al-Wafiyah fi al-Asanid al-'Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.

    4. 'Iqd al-Yaqut fi Tarikh Hadhramaut.

    5. Kitab as-Sirah an-Nabawiyah asy-Syarifah.

    6. Dalil Khaidh fi 'Ilm al-Faraidh.

    7. Thabaqat al-'Alawiyin (sepuluh jilid).

    8. Mu'jam asy-Syuyukh.

    9. 'Uqud al-Almas bi Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-'Athas.

    Sekiranya kita sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis.

    Lebih khusus lagi sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-'Alawiyin&rsquo ; atau keturunan Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi.

    Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.

    Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan ‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.

    MURID-MURID

    Saiyid Alwi al-Haddad mengembara ke pelbagai negara, antaranya Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di negara-negara yang pernah beliau singgah, beliau berdakwah dan mengajar.

    Di Jakarta, Saiyid Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair yang diasaskan oleh keturunan ‘Saiyid’ di Indonesia. Madrasah Jam'iyah al-Khair ialah sekolah Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia, Saiyid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah itu diasaskan. Bahkan beliau ialah Wakil Mudir sekolah itu.

    Mudirnya ialah Saiyid Umar bin Saqaf as-Saqaf. Para guru didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustaz Hasyimi yang berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari Sudan (mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.

    Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor dan tempat-tempat lain di Jawa. Muridnya sangat ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi al-Haddad ialah:

    1. Saiyid Alwi bin Syaikh Bilfaqih al-Alawi.

    2. Saiyid Alwi bin Abbas al-Maliki.

    3. Saiyid Salim Aali Jindan.

    4. Saiyid Abu Bakar al-Habsyi

    5. Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Haddad.

    7. Saiyid Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih.

    8. Saiyid Husein bin Abdullah bin Husein al-Attas.

    9. Syeikh Hasan Muhammad al-Masyath al-Makki.

    10. Kiyai Haji Abdullah bin Nuh.

     

     

     

     

    Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

     
    Bahagia terletak pada sifat reda umat
    08.20.06 (9:47 pm)   [edit]

    BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

    Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

    Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

    Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.

    Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

    Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ?tidak terima? dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ?terkejut? di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)

    Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.

    Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

    Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda.

    Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang 'diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

    Tanda reda ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.

    Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.

    Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.
     
    Perjalanan istimewa Israk Mikraj
    08.20.06 (9:45 pm)   [edit]

    Rasulullah saksikan 10 balasan bakal diterima wanita di akhirat nanti
     

    HARI ini, 27 Rejab mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj perjalanan Baginda dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin serta dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh.

    Firman Allah bermaksud: "Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)

    Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

    Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

    Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa.

    Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.

    Dalam peristiwa itu Rasulullah SAW diperlihatkan kekuasaan Allah serta balasan yang bakal diterima umatnya di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud: ?Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad SAW) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.

    "Penglihatan (Muhammad SAW) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." - (Surah an-Najm, ayat 13-18).

    Antara pengajaran dalam peristiwa itu ialah mengenai wanita. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW turut melewati satu kawasan berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi. Lalu Baginda bertanya kepada Jibril kawasan apakah yang sedang mereka lalui.

    Jibril menjawab: "Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga." Beliau ialah adalah pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Masyitah berfizikal lemah, mempunyai semangat kuat dan jiwa keIslaman sehingga mampu menafikan keangkuhan Firaun.

    Masyitah ialah pelayan raja. Beliau adalah seorang rakyat yang masih sedar dan beriman kepada Allah tetapi disebabkan kekejaman Firaun, beliau dan ramai lagi terpaksa menyembunyikan keimanan mereka.

    Pada suatu hari, ketika Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama Allah.

    Apabila puteri itu mendengar perkataan ?Allah?, dia bertanya kepada Masyitah, siapakah Allah itu. Masyitah pada mulanya enggan menjawab tetapi selepas didesak berkali-kali, beliau akhirnya memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam.

    Puteri itu mengadu kepada Firaun mengenai perkara itu menyebabkan Firaun terlalu marah apabila mengetahui Masyitah menyembah tuhan selainnya. Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah."

    Perkataan itu menimbulkan kemarahan Firaun, lalu memerintahkan dibuat patung lembu daripada tembaga untuk diisi minyak bagi merebus Masyitah.

    Menteri Firaun, iaitu Hamman, salah seorang penghuni neraka, diperintahkan Firaun untuk membunuh Masyita. Firaun memerintahkan patung lembu itu diletakkan di atas api sehingga panas menggelegak dan mengarahkan Masyitah dan ahli keluarganya dilontar seorang demi seorang.

    Pada waktu giliran bayinya hendak dimasukkan ke dalam lembu itu untuk direbus, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kemahuan Firaun kerana terlalu sayangkan anaknya. Tetapi dengan kehendak Allah, berlaku kejadian luar biasa apabila bayi itu dengan fasih berkata: "Wahai ibuku! Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan) kebenaran."

    Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa. Lalu semuanya syahid dibunuh Firaun.

    Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia melalui peristiwa Israk Mikraj.

    Semua ahli keluarga Masyitah mendapat balasan syuhada daripada Allah kerana mempertahankan akidah sehingga mati.

    Dalam perjalanan itu, Baginda turut diperlihatkan 10 jenis seksaan yang menimpa wanita yang membuatkan Rasulullah SAW menangis setiap kali mengenangkannya.

    Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

    Seksaan lain yang diperlihatkan Baginda ialah perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.

    Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

    Ada pula perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.

    Selain itu, Baginda melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.

    Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

    Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

    Ada pula perempuan yang Baginda nampak rupanya berbentuk anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.
     
    Kisah Sahabat: Kejujuran Ali pikat musuh peluk Islam
    08.17.06 (11:37 pm)   [edit]
    PEMILIKAN harus diserahkan kepada yang berhak meskipun dia musuh.

    Ketika menjadi khalifah, Ali ra menemukan baju besi (baju perang) miliknya di tangan seorang Nasrani, tetapi orang Nasrani itu tidak mengakuinya.

    Selaku rakyat, Ali mengadukan hal itu kepada ketua pengadilan. Pada waktu persidangan, dia dipanggil si hakim dengan panggilan Amirul Mukminin. Ali tidak senang mendengar panggilan ini. Dia menolak panggilan itu kerana pada waktu persidangan kedudukannya sebagai pendakwa sama seperti yang didakwa. Dia menyedari persamaan kedudukan antara pendakwa dan tertuduh di hadapan hakim adalah suatu langkah menuju keadilan.

    Ali ra mendakwa orang Nasrani dengan mengatakan bahawa baju besi itu miliknya dan dia tidak pernah memberinya atau menjualnya kepada simpanan.

    Hakim Syuraih bertanya kepada tertuduh, ?Apa jawapanmu terhadap dakwaan itu??

    Orang Nasrani itu menjawab,? Baju besi ini milikku dan bagiku Amirul mukmimin bukanlah pembohong.?

    Hakim Syuraih bertanya kepada Ali ra, ?Apakah anda punya bukti??

    Ali tersenyum dan berkata, ?Tepat pertanyaan, hakim aku tidak mempunyai bukti.??

    Oleh sebab Ali tidak memiliki bukti maka sidang pengadilan memutuskan baju besi berkenaan milik orang Nasrani itu. Selepas persidangan selesai, orang Nasrani kembali bertemu Ali r.a. Dia berkata, ?Aku bersaksi bahawa ini adalah pengadilan para nabi. Amirul Mukmimin menuntut aku melalui hakimnya dan mengalahkannya. Sejak saat ini saya bersyahadat tidak ada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Baju besi itu milikmu, ya Amirul Mukmin. Aku mengambil baju besi ini daripada untamu yang kelabu ketika engkau dan pasukanmu hendak berangkat ke Shifin.?

    Ali kemudian berkata, ?Kerana kamu masuk Islam maka baju ini untukmu.? (HR Attirmidzi, Alhaakim).

    Banyak orang menyaksikan orang Nasrani itu kemudian menjadi tentera yang setia kepada Ali ketika berperang melawan kaum Khawarij yang memberontak dan memerangi Ali dalam pertempuran Annahrawan, dia berkata:

    ?Biarlah Aku yang Menghadapinya, ya, Rasulullah.?

    Dalam Perang Khandak kaum Musyrikin yang berjumlah 24,000 perajurit mengepung kota Madinah dengan ketat dan berusaha menyerbu masuk. Namun, parit yang digali kaum Muslimin sekitar Madinah menghalangi usaha mereka.

    Selepas beberapa kali mereka berusaha masuk, beberapa orang kaum musyrikin akhirnya hasil menerobos masuk melalui celah pertahanan yang lemah. Pasukan berkuda mereka dipimpin oleh seorang lelaki yang kuat bernama Amru bin Wudd.

    Amru bin Wudd berteriak dan berseru, ?Ayuh, apa ada yang siap berlawan??

    Mendengar cabaran ini Ali minta izin kepada Nabi SAW untuk menghadapinya. Mula-mula Nabi SAW mencegahnya, tapi kerana Ali terus mendesak maka akhirnya Baginda mengizinkannya.

    Dalam sekejap mata Ali berhadapan dengan Amru bin Wudd dan Ali berseru kepadanya, ?Aku mengajak kamu ke jalan Allah, ke jalan Rasulullah dan kepada Islam.?

    Amru bin Wudd menjawab dengan angkuh, ?Aku tidak memerlukan itu semua.?

    Ali berkata; ?Kalau demikian aku mengajak kamu bertempur.?

    Amru bin Wudd menjawab; Mengapa hai anak saudaraku demi berhala Allaata aku tidak ingin membunuhmu.?

    Namun, Ali menjawab; ?Tapi demi Allah, aku ingin membunuhmu.?

    Cabaran Ali membangkitkan semangat Amru bin Wudd. Ia menikam kudanya dengan pedangnya dan menyerang Ali dengan bengis. Namun, Ali menangkis dengan sekuat tenaga dan menikam pedangnya ke tubuh Amru. Selepas peristiwa itu, Ali kembali kepada barisan Muslimin.



    Maka tidak menghairankan bila Ali dikenal sebagai orang yang tidak dapat dikalahkan lawan.
     
    Nabi Idris di tempat yang tertinggi
    08.11.06 (12:55 am)   [edit]

    NABI Idris adalah seorang yang tekun dan kuat beribadat. Ketekunannya menyebabkan baginda amat dikasihi oleh Allah s.w.t. dan dikagumi para malaikat. Sebagai balasan, Nabi Idris dianugerahkan Allah dengan kebolehan melihat alam ghaib bahkan dapat hidup di dalamnya. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah bertemu dengan Nabi Idris di langit keempat iaitu ketika dalam perjalanan Baginda hendak bertemu dengan Allah s.w.t.

    Nabi Idris juga merupakan orang pertama yang menulis dengan pena, penunggang kuda yang handal, pakar astronomi dan matematik serta pandai menjahit ketika manusia di zamannya hanya tahu memakai pakaian daripada kulit binatang.

    Segala amalannya mendapat perhatian para malaikat. Antara malaikat yang gemar memerhati amalan Nabi Idris ialah Kiraman Katibin iaitu malaikat pencatat amalan manusia dan Izrail, malaikat yang bertugas mencabut nyawa atau dikenali juga malaikat maut.

    Izrail amat tertarik melihat ibadat Nabi Idris kerana lebih bercahaya berbanding dengan yang lain. Kerana itu, Izrail berdoa kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan bersahabat dengan Nabi Idris seperti manusia biasa. Allah telah memperkenankan doa Izrail itu.

    Maka pergilah Izrail bertemu dengan Nabi Idris dan menyamar sebagai manusia. Mereka berkenalan dan menjadi sahabat karib. Mereka selalu berjalan dan beribadat bersama-sama tanpa Nabi Idris menyedari bahawa sahabat-sahabat itu adalah malaikat.

    Sepanjang perjalanan, Izrail cuba menguji keimanan Nabi Idris supaya memakan makanan yang haram. Nabi Idris enggan dan berkata: “Selama ini aku tidak pernah menjamah benda yang haram dan aku tidak akan makan makanan yang haram untuk selama-lamanya.”

    Rahsia Izrail terbongkar apabila Nabi Idris menyedari bahawa sahabatnya itu tidak pernah makan meskipun telah masuk waktu berbuka puasa dan tidak pernah tidur walaupun letih. Setelah ditanya, barulah Nabi Idris mengetahui bahawa sahabatnya itu adalah malaikat.

    Menggeletarlah Nabi Idris memikirkan ajalnya apabila mengetahui di hadapannya itu adalah malaikat maut. Namun Izrail memberitahu tujuannya yang sebenar hanya untuk bersahabat dengan Nabi Idris.

    Nabi Idris tidak melepaskan peluang untuk bertanya tentang keadaan ghaib seperti mati, neraka, syurga bahkan beliau berhasrat untuk merasainya. Dengan izin Allah s.w.t., Nabi Idris diberikan rasa nazak menjelang ajalnya sehingga wafat. Kemudian baginda dihidupkan kembali oleh Allah.

    Nabi Idris juga dibawa melihat keadaan sebenar di dalam neraka. Baru beberapa ketika melihat keadaan di neraka yang amat dahsyat itu, Nabi Idris jatuh pengsan.

    Setelah sedar daripada pengsan, Nabi Idris dibawa pula melawat ke syurga untuk melihat dan merasai nikmat di dalamnya. Oleh kerana terlalu asyik dengan nikmat syurga, baginda tertidur dengan nyenyak. Kemudian Izrail datang mengejutkan baginda kembali. “Tiba masanya kita kembali ke dunia,” ujar Izrail.

    Namun, Nabi Idris enggan kerana terpukau dengan nikmat syurga. “Bukankah sebentar tadi aku telah mati? Biarkan aku tinggal di syurga.”

    Maka berlaku perbalahan antara Izrail dengan Nabi Idris. Lalu Allah s.w.t. berfirman, Syurga adalah tempat beristirehat apabila tibanya hari kiamat. Oleh itu, tunggulah kamu di langit keempat.

    Lalu Nabi Idris ditempatkan di langit keempat menanti syurganya sehingga baginda wafat di sana.

     

     


     
    Syaitan takut hampiri Saidina Umar
    08.09.06 (8:08 pm)   [edit]

    PUJIAN dan cinta Nabi Muhammad SAW terhadap Saidina Umar begitu besarnya sehingga Baginda bersabda: “Yang paling kukuh dalam agama Allah daripada umatku ialah Umar.”
     

    Sahabat Abbas berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku memiliki dua penasihat (menteri) dari ahli langit dan dua penasihat (menteri) dari ahli bumi. Yang dari ahli langit ialah Jibril dan Mikail, sedangkan dari ahli bumi adalah Abu Bakar dan Umar. Merekalah pendengaran dan penglihatanku.” (Hadis riwayat Alhaakin, Ibau Asaakir dan Au Na’im dalam Fadhailus Sohabah)

    Daripada Saidatina Aisyah, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan menyingkir (menghindar) apabila berjumpa dengan Umar.” (Hadis riwayat Ibnu Asaakir)

    Rasulullah SAW pun bersabda: “Paling kasih sayang daripada umatku adalah Abu Bakar dan paling keras dalam agama Allah adalah Umar.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan At-Tirmizi)

    Pada suatu hari, Hafsah Ummul Mukminin berkata kepada Umar: “Apabila datang utusan dari negeri lain hendaknya anda mengenakan pakaian yang lebih (indah) elok dan suruhlah dibuatkan makanan mewah untuk dihidangkan kepada anda dan hadirin.”

    Mendengar perkataan anaknya, Umar menjawab: “Hai Hafsah, tidakkah kamu tahu yang paling mengetahui mengenai seseorang adalah isterinya?”

    Hafsah menjawab: “Ya, benar.”

    Umar berkata lagi: “Tahukah kamu sesudah Rasulullah SAW menjadi nabi beberapa tahun lamanya, Baginda dan keluarganya tidak pernah kenyang makan kurma, kecuali sesudah Allah menguasakan khaibar baginya?”

    “Tahukah kamu ketika pada suatu hari Rasulullah SAW disedari hidangan makanan mewah lalu beliau berasa tidak senang sehingga air mukanya berubah, lalu Baginda menyingkirkan hidangan itu?

    “Tahukah kamu Rasulullah SAW biasa tidur beralaskan kain berlipat dua. Tetapi pada suatu malam alas kain itu dilipat empat. Ketika bangun Baginda SAW bersabda: Kalian mencegahku bangun (solat) malam dengan alas kain yang tebal ini. Lipat dua saja seperti biasanya.

    “Baginda tertidur nyenyak kerana beralaskan kain tebal, sehingga tidak terbangun untuk solat malam. Tahukah kamu ketika Bilal azan untuk solat, Rasulullah SAW tidak segera keluar kerana menunggu pakaiannya yang dicuci belum kering?

    “Hai, Hafsah, dua kawanku terdahulu menempuh jalan itu dan apabila aku menempuh jalan yang berbeza tentu aku akan terbawa kepada jalan yang bukan jalan mereka.

    “Aku akan bersabar meniru kehidupan mereka yang keras. Semoga aku dapat menikmati kehidupan mereka yang penuh kebahagiaan.”

    Itulah kecintaan Umar kepada kedua-dua sahabatnya, Rasulullah SAW dan Abu Bakar.

    Umar selalu mendekatkan diri kepada Allah. Di tengah malam dan penghujung siang, dia berzikir. Selepas diangkat menjadi khalifah, dia selalu berdoa: “Ya, Allah, seperti Engkau tahu, aku ini berwatak keras. Oleh kerana itu lunakkanlah aku. Aku ini lemah, ya Allah, maka kuatkanlah aku. Aku ini kikir, maka jadikanlah aku hamba-Mu yang pengasih, pemurah dan dermawan.”

    Ketika terjadi kelaparan pada tahun kemarau panjang Umar berdoa: “Ya, Allah? janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.”

    Ketika dia akan melepas pasukan untuk penyebaran agama, Umar berdoa: “Ya, Allah, anugerahkan bagiku rezeki gugur di jalanmu atau wafat di kota nabi-Mu.”

    Selepas usiaku makin tua, dia berdoa: “Ya Allah, usiaku makin tua, kekuatanku makin surut (lemah), rakyatku makin menyebar luas, maka wafatkanlah aku tanpa mensia-siakan dan melalaikan tanggungjawabku.”

    SABDA RASULULLAH

    "Yang paling kukuh dalam agama Allah daripada umatku ialah Umar"
    (Riwayat Alhaakin, Ibau Asaakir dan Au Na’im dalam Fadhailus Sohabah)