Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Ibn Haitham pakar ilmu fizik optik
09.28.06 (4:37 pm)   [edit]
ILMUWAN Islam, Ibn Haitham memberi sumbangan besar dalam bidang optik sehingga dinobatkan ‘Bapa Ilmu Optik Moden’ oleh dunia Islam.

Beliau memberi sumbangan besar dalam membetulkan konsep penglihatan yang dibuat sarjana Yanani. Kitabnya Al-Manazir pula dijadikan rujukan sarjana barat untuk memajukan ilmu fizik optik.

Dalam siri Ilmuwan Islam di TV3, malam ini, penonton akan dibawa menjelajah ke bumi Mesir dalam usaha mengupas fakta mengenai Ibn Haitham atau nama sebenarnya, Abu Ali Muhammad bin al-Hasan bin al-Haitham al-Basri al-Misri.

Di dunia Barat beliau dikenali dengan beberapa nama seperti Alhazen, Avennathan dan Avenetan, tetapi lebih terkenal dengan panggilan sebagai Alhazen.

Keintelektualan Ibn Haitham terbukti ketika beliau masih menjadi pelajar dengan kecenderungan terhadap pelbagai bidang ilmu.

Beliau tidak jemu menimba ilmu pengetahuan, baik agama mahupun umum seperti ilmu matematik, fizik, astronomi, perubatan, falsafah dan mantik sehingga terkenal sebagai tokoh cendekiawan pada zamannya.

Kemasyhurannya menyebabkan pemerintah Bani Fatimiyah di Mesir ketika itu, Pemerintah Khalifah Al-Hakim bin Amirillah mengundangnya ke Mesir untuk memanfaatkan keluasan ilmu yang dimiliki Ibn Haitham.

Beliau diharapkan mampu mengatur banjir Sungai Nil yang kerap kali melanda negeri itu setiap tahun, tetapi sayangnya tidak dapat mewujudkan rancangan takungan raksasa dibuatnya kerana kurang peralatan canggih pada masa itu.

Untuk melindungi dirinya daripada kemurkaan pemerintah, beliau kemudian meninggalkan pekerjaan itu dengan berpura-pura hilang ingatan sehingga Sultan Al-Hakim mangkat pada 1021, Ibn Haitham kembali normal dan aktif dalam kegiatan ilmu.

Beliau kemudian berlindung dan mengabdikan diri di Universiti al-Azhar untuk menyambung usaha ilmiahnya dalam bidang saintifik, selain menterjemahkan buku matematik dan falak dari bahasa Latin ke bahasa Arab.

Sebelum itu Ibn Haitham ke Andalusia (Sepanyol), kiblat ilmu pengetahuan Eropah pada masa itu di mana beliau mempelajari optik sehingga terkenal dalam bidang optik.

Ibn Haitham berjaya meletakkan optik pada batu asas yang kukuh melalui eksperimen teliti menggunakan kaedah matematik dan fizik moden.

Beliau mengkaji gerakan cahaya, ciri-ciri bayang, imej dan banyak lagi fenomena optik yang penting membolehkan beliau menolak teori Ptolemy dan Euclid yang mengatakan manusia melihat menerusi pancaran cahaya yang keluar dari matanya.

Tetapi menurut Ibn Haitham, bukan mata yang memberi cahaya, sebaliknya benda yang dilihat itu yang memantulkan cahaya ke mata manusia.

Pada tahun terakhir hidupnya, beliau kembali ke Kaherah, Mesir sebagai ahli matematik hingga akhir hayatnya. Ibnu Haitham meninggal dunia di Kaherah pada 1039 ketika usianya 74 tahun.

Dua pakar tempatan, Prof Fizik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Yusof Othman dan Pakar Matematik Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail turut menyumbang fakta mengenai Ibn Haitham dalam episod kali ini.

Pakar Tamadun Islam Universiti Kaherah, Prof Dr Musthapa Labib dan pakar Sejarah Sains Universiti Iskandariah, Mesir, Prof Dr Maher Abdul Kader membekalkan maklumat bagaimana Ibn Haitham melakukan kajiannya menghasilkan teori Konsep Penglihatan Manusia.
 
Pahala puasa lebih sempurna jika tidak abai amal kebajikan
09.28.06 (4:35 pm)   [edit]

RAMADAN Al-Mubarak penuh dengan keberkatan, keampunan dan ganjaran syurga yang dijanjikan untuk orang bertakwa.

Syukur kerana pada bulan ini Allah mencurahkan kebaikan-Nya untuk segenap hamba yang beriman.

Pada bulan ini, sahabat dan As-Salafus Shalih terdahulu selalu berlumba-lumba melakukan kebaikan, menambahkan amal ibadat dan memberikan infaq kepada anak yatim serta golongan memerlukan.

Namun, masih ada antara kita kurang peka atau sedikit jahil terhadap amalan dan tindakan yang merugikan amal puasa kita.

Antara perkara yang mengurangkan pahala puasa ialah:

l Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup menunaikan solat. Ada yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika Ramadan saja.

Kita bimbang nanti puasa dan sedekahnya tidak bermanfaat kepadanya kerana solat adalah tiang agama. Ada juga di kalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak melakukan solat.

l Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta menutup aurat. Kaum lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan ada wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah.

Ada juga wanita yang tidak berpuasa kerana uzur syar’i (haid dan nifas) pula tidak menghormati bulan Ramadan kerana berani makan di khalayak tanpa segan silu.

l Menghabiskan masa menonton televisyen, video cakera padat (VCD) sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan lalu.

Sepatutnya pada bulan ini kita gandakan bacaan al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan sentiasa pasangkan niat berkhidmat kepada insan lebih memerlukan.

l Merebut peluang mencari duit dengan berniaga tetapi meninggalkan peluang mendapat pahala berganda. Ada di antara kita hanya berniaga sambilan ketika puasa.

Berniaga tidak salah tetapi berniaga sambilan khusus di bulan puasa saja membina perspektif yang lain dan ia memberi kesan terhadap fokus kita pada ibadat puasa.

Kualiti amal kita akan berkurangan kerana tambahan beban tetapi jika kita berjaya bermujahadah dan mengimbangkan antara dwikerjaya tadi dan ibadat, itulah yang terbaik.

l Ramadan adalah bulan ujian terhadap kesabaran dan keampuhan jiwa. Apabila perut kosong, tekak dahaga dan badan letih kerana puasa, perasaan kita mudah tersentuh dan emosi kita mudah terusik.

Tahap keampuhan kita sangat minimum. Ada antara kita cepat naik darah dan mudah marah. Apabila kita berjaya mengawal kemarahan dan banyak bersabar, kita mendapat ganjaran pahala kerana ’sabar’ yang berganda. Jika sebaliknya kita hanya akan dapat lapar, letih , dahaga dan permusuhan sesama insan.

l Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli tinggi. Semuanya dirasakan hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan.

l Tidak mengeluarkan zakat fitrah bukan kerana tidak mampu tetapi kurang pendedahan terhadap betapa pentingnya zakat dan kewajipan membayar zakat. Ada yang tidak tahu di mana hendak membayar zakat fitrah, walhal setiap surau, masjid malah di kompleks beli-belah ada menyediakan kaunter pembayaran zakat. Mungkin kerana nilainya terlalu sedikit kita mengambil ringan mengenainya.

l Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengakibatkan gangguan kepada jemaah yang menunaikan solat Tarawih di masjid atau surau berdekatan. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah al-Quran bersama.

l Hanya puasa makan dan minum saja tetapi tidak menjaga anggota pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

l Tidak mahu bersahur boleh mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda maksudnya: “Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah berkata, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Baihaqi)

Semoga kita dapat memperbaiki amalan puasa dan menjadikan puasa kita di Ramadan kali ini lebih baik dari tahun tahun lalu.
 

Oleh Endok Sempo M Tahir

 

 
Hidupkan Ramadan dengan perbanyak amalan berfaedah
09.28.06 (4:33 pm)   [edit]

RAMADAN adalah penghulu segala bulan. Dalam Ramadan diturunkan al-Quran. Ia adalah bulan beribadah, keampunan, rahmat dan bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bulan yang istimewa dan penuh bermakna ini hanya datang sekali dalam setahun. Setiap kali kemunculannya ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam seluruhnya.

Malah, setiap umat Islam yang beriman, menantinya dengan penuh debaran dan harapan. Peluang untuk beribadah dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan ini. Mereka tidak lepaskan dengan begitu saja. Mereka bagaikan ingin terus mendampingi Ramadan buat selama-lamanya.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada antara umat Islam yang sedih meninggalkan Ramadan biarpun kemunculan Syawal tidak kurang pengertian dan kemeriahannya.

Setiap umat Islam hendaklah menyambut Ramadan dengan penuh pengertian dan ketakwaan. Memang pada dasarnya Ramadan itu difardukan untuk membina ketakwaan dalam diri umat manusia.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang yang beriman!, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah, ayat:183).

Di samping berpuasa pada siang hari, banyak lagi ibadah sunat yang Allah dijanjikan pahala yang berlipat ganda seperti membaca al-Quran, bersedekah dan bersolat sunat.

Bahkan umat Islam juga hendaklah menjauhi segala perkara yang tidak mendatangkan manfaat atau faedah seperti berbual kosong atau menghabiskan masa dengan kerja yang tidak berguna. Hal ini akan mengurangkan pahala dan mencacatkan ibadah puasa kita.

Menghidupkan Ramadan tidak bermakna kita seharusnya menumpukan seluruh kegiatan kita dengan ibadah keagamaan semata-mata dan mengurangkan kerja harian yang sering dilakukan.

Konsep ibadah yang menyeluruh sebenarnya meliputi semua kewajipan yang diamanahkan kepada kita. Ini termasuk menunaikan tanggungjawab mencari rezeki, meningkatkan produktiviti kerja, berusaha mempelajari kemahiran baru, berinteraksi dengan masyarakat dan rakan sekerja.

Disiplin yang kita amalkan pada Ramadan boleh meningkatkan semangat dan keupayaan untuk memenuhi keperluan pekerjaan. Sebagai contoh, mengelakkan diri daripada membuat kerja yang tidak berfaedah dapat meningkatkan produktiviti negara. Berjimat cermat pula dapat membantu meningkatkan usaha mengurangkan kos dan berhemat dalam kerja.

Di samping itu, setiap umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menjaga kesucian Ramadan yang penuh barakah ini.

Justeru, kita diingatkan agar menghormati Ramadan dengan mengelakkan daripada makan atau minum di tempat awam pada siang. Peniaga dan penjual makanan juga seharusnya memainkan peranan dengan tidak menjual makanan dan minuman kepada umat Islam sepanjang waktu berpuasa.

Memperbanyakkan ibadah serta menjauhi diri daripada kegiatan yang tidak berfaedah sangat ditekankan pada Ramadan.
 

Oleh Mohd Shukri Hanapi

 


 
 
Berfikir menjana ilmu
09.27.06 (6:03 pm)   [edit]

BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah yang berlaku pada seseorang akibat adanya kecenderungan mengetahui dan mengalami. Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya makna, fakta dan kefahaman.

Akal manusia berfungsi untuk mengingat, berfikir dan menaakul. Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.

Manusia diberi daya kognitif yang membolehkannya berfikir. Manusia juga diberi daya efektif yang membolehkan emosi, perasaan dan kerja hati berhubung dengan daya kognitif. Daripadanya lahir pemikiran. Pemikiran yang berkembang boleh memberi asas kepada lahirnya ilmu.

Pada diri manusia terdapat sumber ilmu. Persekitaran yang ada pada diri manusia terkandung ilmu. Pohon-pohon yang subur, haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi yang banyak terkandung ilmu. Peristiwa yang berlaku, perubahan yang terjadi, rahmah dan nikmat yang banyak terkandung ilmu. Allah jadikan semuanya adalah untuk manfaat manusia. Ia mendorong manusia berfikir kerana daripada aktiviti berfikir manusia akan dapat manfaat ilmu.

Ilmu menyebabkan manusia tahu dan menerima makna akan sesuatu. Akhirnya dengan ilmu manusia tahu nilai guna sesuatu dan hikmah daripada sesuatu kejadian.

Para remaja perlu menyuburkan naluri ingin tahu dengan cara berfikir. Berfikir harus dipandu oleh maklumat, fakta dan ilmu. Sejarah pemikiran bukanlah sesuatu yang baru. Sejak Nabi Adam, manusia pertama, proses berfikir sudah berlaku. Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam tentang nama-nama sesuatu supaya dengan mengetahui nama-nama tersebut menjadikannya serba tahu dan ia amat bermakna untuk memandu kehidupan.

Remaja tidak tiba-tiba dewasa dan matang dalam berfikir apalagi mempunyai nilai yang betul tentang sesuatu perkara. Proses bertatih dalam berfikir adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Naluri ingin tahu, ingin mencuba, ingin mengkaji harus tumbuh dalam hati remaja supaya sesuatu yang dilihat dan diperhati tidak hanya berlaku begitu saja tetapi menyebabkan aktiviti berfikir berlaku. Dengan membaca, menonton, berkomunikasi, melihat gelagat dan masalah manusia yang silih berganti, ia membolehkan remaja berfikir.

Aktiviti berfikir membolehkan remaja mendapat jawapan, melakukan analisis dan ia memberikan asas yang baik untuk remaja mencari jalan keluar, meneliti akar masalah dan akhirnya mampu menghasilkan sudut pandangan terhadap sesuatu.

Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Az-Zahrawi, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, cakerawala yang beredar, hujan yang turun, petir kilat sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiran lahirlah tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya ilmu subur dan hidup lebih bermakna.

Dalam tradisi orang Barat sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates membawa ke zaman Galileo, Bruno sehinggalah ke zaman Descartes, Kant, Derrida dan Michel Foucou pada abad ini, manusia tidak pernah berhenti berfikir. Pemikiran mereka berkembang berasaskan pemerhatian, kajian, dapatan, renungan yang bersandar kepada akal dan pengalaman.

Faktor agama, kitab dan kenabian tidak dijadikan sandaran utama. Akhirnya hipotesis dan teori tentang sesuatu dibina atas asas rasional dan saintifik bukan berasaskan autoriti wahyu atau pun agama.

Wahyu

Dalam tradisi Islam akal itu adalah sesuatu yang penting. Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji tidak pula ditolak. Tetapi akal itu dipandu oleh nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi daripada apa yang diketahui oleh manusia. Akal manusia dan pancaindera manusia tidak mampu mencapai segala-gala. Walaupun banyak kehebatan dicetuskan oleh akal namun keterbatasannya tidak menjadikan manusia memiliki kudrat dan kuasa terhadap alam dan kehidupan ini secara mutlak.

Tradisi Islam meletakkan sumbersumber wahyu sebagai hikmah dan pedoman untuk manusia berfikir. Sumber wahyu tidak saja menyatakan perkara-perkara yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tetap wujud walaupun sifatnya tidak maujud. Keyakinan manusia kepada benda yang nyata dan wujud semata-mata belum melengkapi sifat dan hakikat kejadian itu sendiri. Roh manusia adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud dalam bentuk benda.

Namun, manusia yang hidup boleh berkata-kata dalam melakukan pelbagai kegiatan dan ia adalah gambaran adanya roh pada tubuh badan manusia. Sekiranya roh telah tiada, sehebat mana pun akal manusia, hati manusia dan ketangkasan jasmani manusia, ia akan kaku dan mati. Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia. Yang diketahui oleh manusia tentang roh amat sedikit.

Para remaja harus melihat bahawa berfikir adalah suatu fitrah. Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai. Ilmu wahyu dan nilai agama menjadikan proses berfikir lebih bermakna. Proses berfikir menjadikan remaja lebih berilmu, menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu dengan merujuk kepada kebesaran dan keperkasaan Allah.

Apabila sandaran berfikir sifatnya kerana Allah, hikmah berfikir akan memberi rahmat kepada remaja. Remaja akan dilatih tidak saja berfikir secara zahir tetapi faktor batini akan sentiasa menjadi aspek penting dalam kehidupan. Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu dengan mata zahir, ia juga harus menghubungkan objek kajian dan pemerhatian dengan mata hati dan mata batin.

Sekiranya remaja berasa kagum dengan muzik popular Barat, pemikiran yang ada tidak saja untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu semata-mata tetapi tuntutan batini dan hati yang berasaskan asas rohaniah yang tinggi mahukan hiburan yang tidak membawa kepada lagha dan melalaikan. Ia harus mampu mencetuskan minda dan hati dalam titik harmoni yang mendorong manusia mentertibkan hawa nafsu, menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi dan menghasilkan keinsafan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah s.w.t..

Ilmu inilah yang sebenarnya harus dijana oleh remaja hasil berlakunya proses fikir dan zikir yang membimbing remaja supaya dekat kepada Allah.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 
Adab berpuasa dan solat terawih
09.27.06 (6:00 pm)   [edit]

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

 

Oleh NAZMI AIDARUS

 
Pemahaman al-Quran cerminkan tahap umat Islam Malaysia
09.27.06 (5:57 pm)   [edit]

SEMPENA bulan Ramadan yang mulia, boleh dikatakan hampir semua masjid di Malaysia menyediakan pelbagai program yang berkaitan dengan al-Quran. Antaranya majlis tadarus al-Quran, bacaan al-Quran, solat terawih berimamkan seorang hafiz al-Quran yang membaca satu juzuk sehari, bacaan al-Quran di perkuburan dan majlis khatam al-Quran.

Secara umumnya hasrat, perancangan dan pelaksanaan program-program tersebut memberi kesan yang baik kepada kita dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Bagaimanapun, kita perlu lebih daripada program itu sebenarnya.

Jika kita perhatikan hampir semua program yang berkaitan dengan al-Quran secara umumnya hanya berkisar kepada tahap ‘membaca’. Pergilah mana-mana masjid atau surau, kita akan dapati kebanyakan umat Islam masih lagi berkisar tentang membaca al-Quran.

Sekarang kita memerlukan lebih daripada sekadar tahap membaca al-Quran. Secara umumnya kita boleh klasifikasikan prestasi kita terhadap hal-hal berkaitan al-Quran kepada lima peringkat atau lima tahap iaitu:

Pertama: Membaca al-Quran;

Kedua: Menulis ayat al-Quran;

Ketiga: Memahami makna al-Quran;

Keempat: Mengaplikasi kandungan al-Quran dalam kehidupan dengan melakukan kajian berkaitan isi kandungan dan mengaitkan dalam kehidupan seharian;

Kelima: Penghayatan terhadap ajaran al-Quran.

Cuba kita bandingkan umat Islam di Malaysia dengan masyarakat di Barat atau orang Yahudi dari segi pencapaian dalam bidang al-Quran. Rata-rata umat Islam di Malaysia masih berada di tahap pertama.

Sebab itu seorang pemimpin Yahudi apabila disoal tentang bagaimana hendak menghadapi cabaran umat Islam yang dibekalkan dengan al-Quran, dia tidak bimbang langsung.

“Tidak bimbangkah kita terhadap umat Islam? Adakah kita tidak akan sekali-kali dapat mengalahkan mereka selagi mana al-Quran ada pada tangan mereka?” tanya seorang ahli perwakilan Yahudi kepada pemimpinnya.

Pemimpin besar Yahudi itu menjawab: “Apa perlu kita bimbangkan mereka? Ya, mereka ada al-Quran tetapi berapa ramai di kalangan umat Islam yang boleh membaca al-Quran? Kalau boleh membaca, berapa ramai di kalangan mereka yang boleh menulis ayat al-Quran? Kalau boleh menulis, berapa ramai di kalangan mereka yang boleh memahami isi kandungan al-Quran? Kalau boleh memahami isi kandungan, berapa ramai di kalangan mereka yang boleh mengaplikasi dalam kehidupan mereka? Kalau boleh mengaplikasi dalam kehidupan mereka, berapa keratkah yang tinggal di kalangan mereka dalam menghayati al-Quran?”

Renungkanlah kata-kata pemimpin besar Yahudi itu. Itu adalah satu cabaran kepada kita. Berapa ramai di kalangan umat Islam di Malaysia hari ini yang boleh membaca al-Quran? Kita mungkin boleh mendapat jawapannya ketika majlis tadarus al-Quran yang kita lakukan sekarang.

Katakan dalam satu kumpulan tadarus ada 10 orang. Berapa ramai yang boleh membaca dengan betul, bertajwid dan berlagu? Berapa ramai yang boleh membaca dengan betul dan bertajwid sahaja? Berapa ramai pula yang boleh membaca dengan ala kadar atau cukup makan sahaja? Dan soalan seterusnya, berapa ramai yang membaca dalam keadaan yang boleh diistilahkan ‘merangkak-rangkak& rsquo;? Anda boleh menjawabnya.

 

Isi kandungan

Itu baru dalam tahap pertama iaitu bacaan. Bagaimana pula dengan tahap penulisan ayat al-Quran? Anda boleh lakukan sendiri uji kaji ini. Cuba edarkan sebatang pen dan sehelai kertas kepada jemaah solat Maghrib di masjid. Arahkan mereka menulis surah al-Fatihah iaitu surah yang wajib dibaca ketika solat. Berapa ramai yang boleh menulis dengan betul?

Persoalan seterusnya adalah berapa ramai di kalangan kita yang boleh memahami isi kandungan al-Quran? Sudah tentulah tidak ramai berbanding dengan mereka yang boleh membacanya sahaja. Jadi untuk memahami isi kandungan kita perlu mempelajari bahasa Arab dan menguasainya.

Sehubungan itu marilah kita sama-sama berusaha dengan sedaya upaya kita sama-sama belajar bahasa al-Quran ini dan menguasainya.

Persoalan berikutnya, kalau boleh memahami isi kandungan, berapa ramai di kalangan kita yang boleh mengaplikasi ajaran al-Quran dalam kehidupan kita seharian?

Ini kerana al-Quran adalah sumber rujukan ilmu pengetahuan. Adalah amat rugi jika golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek, akauntan, jurutera dan lain-lain tidak mampu merujuk al-Quran untuk meningkatkan kajian dalam bidang yang diceburi.

Terlalu jauh perbezaannya antara profesional yang boleh mengadaptasi Al-Quran dalam bidang berkaitan dengan rakannya yang hanya bergantung kepada terjemahan sahaja. Selain itu memang terdapat banyak ayat al-Quran yang membicarakan tentang sesuatu secara saintifik.

Persoalan terakhir, kalau boleh mengaplikasi dalam kehidupan mereka, berapa keratkah di kalangan mereka yang menghayati al-Quran? Jadi ayuh kita belajar bahasa Arab dan menguasainya sehingga kita boleh menggunakan al-Quran untuk meningkatkan prestasi dalam bidang yang kita ceburi. Kesemua yang kita lakukan ini akhirnya akan menuju ke matlamat asal kita iaitu untuk memperoleh keredaan Allah s.w.t..

Umpama perlawanan bola sepak, sesudah keputusan masih terikat seri antara dua pasukan bertanding, maka permainan hendaklah ditambah masa selama 30 minit lagi. Jika keputusannya masih seri, pengadil akan memberikan lima sepakan penalti kepada setiap pasukan.

Dalam hal ini, pasukan umat Islam di Malaysia diberikan lima sepakan iaitu lima tahap. Oleh kerana kebanyakan kita hanya sekadar boleh membaca (itu pun masih ramai yang tidak boleh) maka dalam sepakan penalti kita hanya boleh memperoleh jaringan satu daripada lima jaringan yang sepatutnya.

Bagaimana pula dengan pasukan Barat atau Yahudi? Mereka pun sebenarnya mengambil al-Quran untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Bezanya mereka tidak membaca seperti kita. Setelah bertahun-tahun membuat kajian, sekarang mereka berada pada tahap ke empat iaitu tahap mengaplikasi kandungan al-Quran dalam kehidupan dengan melakukan kajian berkaitan isi kandungan dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian.

Dalam hal ini, pasukan Barat atau Yahudi juga diberikan lima sepakan iaitu lima tahap. Oleh kerana mereka telah berada pada tahap keempat, maka dalam sepakan penalti pasukan mereka memperoleh empat jaringan daripada lima jaringan yang sepatutnya. Keputusan permainan antara kedua-duanya ialah Barat atau Yahudi 4, umat Islam di Malaysia 1.

Jadi, bagaimana kita mahu mengalahkan mereka?

Ada satu jalan untuk kita menang iaitu kita mesti memperoleh 5 jaringan untuk mengalahkan mereka dengan keputusan 5-4. Caranya tidak lain dan tidak bukan kita mesti menguasai kelima-lima tahap tersebut. Ini kerana Barat atau Yahudi pasti tidak dapat mencapai tahap kelima iaitu penghayatan terhadap al-Quran. Kalau mereka dapat mencapai tahap penghayatan bererti mereka akan masuk Islam dan tidak lagi memusuhi Islam, bahkan sebaliknya akan bersama kita.

Akhirnya, sempena Ramadan al-Mubarak marilah kita meningkatkan tahap pencapaian kita dalam menggunakan al-Quran sebagai panduan hidup. Sesungguhnya Ramadan adalah masa terbaik untuk kita mula belajar bahasa al-Quran.

 
Perjuangan Rasul di kota Makkah
09.27.06 (5:44 pm)   [edit]

PERJALANAN hidup Nabi Muhammad SAW dalam menyebar dan mengajak umat pada zamannya kepada Islam penuh dengan dugaan dan cabaran. Baginda dihina, dicaci, diejek dan diancam bunuh bagi mengajak umatnya ke jalan tauhid.

Siri Jejak Rasul petang ini mengimbas perjalanan pertama Nabi Muhammad SAW mengikuti bapa saudaranya Abu Talib ke Busra dan pengalaman Baginda membawa dagangan milik Siti Khadijah ke Syam.

Kisah seterusnya, menumpukan kepada peristiwa bersejarah yang mengubah corak serta sejarah kota Makkah dan dunia keseluruhannya apabila Baginda menerima wahyu pertama.

Petanda kerasulan Nabi Muhammad turut diulang kembali melalui peristiwa Pendeta Masehi, Buhaira’ berasa tidak puas hati ketika berdepan dengan rombongan Abu Talib di Busra.

Pada firasatnya, rombongan itu seakan-akan tidak lengkap sehingga beliau bertanyakan kepada Abi Talib jika ada lagi ahli rombongan yang tertinggal dan kebetulan Nabi Muhammad ditugas menjaga unta serta barangan di luar gereja.

Tatkala menatap wajah Baginda, Buhaira’ yakin penantiannya sudah hampir ke penghujung lalu menghujani Rasulullah SAW dengan pelbagai soalan dan akhirnya memberitahu Abu Talib supaya menjaga Nabi SAW dengan baik serta melindunginya daripada ancaman orang Yahudi.

Sebelum kehadiran Jibril, Nabi Muhammad SAW mendapat mimpi, Baginda menyaksikan cahaya kebenaran menyinari alam, memadamkan kegelapan syirik yang menyelubungi umat.

Mimpi benar itu disempurnakan dengan kehadiran Jibril, membawakan wahyu pertama untuk nabi terakhir di Gua Hira'.

Menurut Ibn Hisyam dalam sirah Nabawiyah, selepas Khadijah menenangkan Nabi Muhammad SAW, beliau segera menemui Waraqah bin Naufal, sepupunya yang alim mengenai ajaran Taurat dan Injil.

Selepas memberi penjelasan kepada Khadijah, Waraqah sendiri kemudian bersemuka dengan Nabi Muhammad SAW pada hari lain dan selepas mendengar cerita Baginda, beliau yakin masa ditunggu sudah tiba.

Benarlah Nabi Muhammad SAW nabi umat ini dan beliau memberi amaran kepada Baginda bahawa apa yang diseru kepada kaumnya akan didustai mereka, bahkan Baginda akan diseksa, dihalau dan diperangi.

Orang yang mula-mula beriman dengan seruan tauhid dibawa Nabi Muhammad SAW ialah isterinya Khadijah, disusuli sepupunya Ali bin Abi Talib, serta Zaid bin Harithah, hamba yang menjadi anak angkat Baginda.

Teman karib Baginda, Abu Bakar as-Siddiq juga segera beriman sebaik diseru dan berjaya menarik beberapa orang lagi memeluk Islam.

Berpandukan wahyu Ilahi, Rasulullah SAW mengajak keluarga dan teman terdekat, seorang demi seorang supaya menyembah Allah yang Esa, yang tiada sekutu baginya.

Setiap hari kelompok terawal orang Islam itu berkumpul di rumah Arqam bin Abil Arqam, dididik oleh Nabi Muhammad SAW hingga kukuh iman mereka sebagai persediaan menghadapi perjuangan getir yang menanti di kota suci Makkah.

Episod kali ini turut menemuramah Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz yang mengulas lanjut mengenai pengalaman Nabi Muhammad yang didatangi Malaikat Jibril di Gua Hira’.
 
Ibadah puasa latih disiplin ketahanan diri umat Islam
09.27.06 (5:41 pm)   [edit]

SETIAP ibadah diperintahkan Allah sama ada bersifat kepercayaan, hukum hakam atau tata cara akhlak mempunyai fungsi sosial tersendiri. Ibadah ini mempunyai manfaat yang bagi kehidupan manusia dan bukan suatu yang sia-sia termasuk puasa Ramadan.

Fungsi sosial ibadah puasa bagi melatih disiplin ketahanan diri yang kental dalam setiap diri manusia. Ini dapat dilihat daripada proses perlaksanaan puasa yang menuntut manusia menahan lapar dan dahaga dalam satu tempoh waktu tertentu setiap hari selama sebulan.

Menahan diri dari makan dan minum adalah antara latihan fizikal sungguh mencabar. Ia mengubah tabiat kebiasaan manusia yang sering memerlukan bekalan makanan dan minuman sebagai sumber tenaga bagi mereka menjalani urusan pekerjaan terutama pada siang hari.

Bagi sesetengah pihak, tentu pelik kewajipan ibadah ini. Barang kali ada yang melihat bahawa Islam bersifat antidunia kerana anjuran ibadah boleh mengurangkan prestasi dan kualiti kerja akibat kelemahan fizikal kesan kekurangan bahan tenaga dalam tubuh.

Salah faham dan kekeliruan ini tentu akan mudah terjawab sekiranya seseorang itu mendalami kesan kerohanian yang bakal terbit daripada ibadah ini. Begitu juga bagaimana boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti individu dalam menjalani kehidupannya yang serba mencabar kini.

Apabila seseorang itu menahan diri daripada lapar dan dahaga atau berpuasa, ia secara langsung menimbulkan di dalam diri manusia satu tenaga yang dikenal sebagai `daya tahan'. Tenaga ini adalah sebahagian daripada unsur kerohanian yang wujud dalam setiap diri manusia. Daya tahan ialah benteng kebal yang berfungsi seumpama kuasa dalaman yang akan memastikan setiap manusia sentiasa konsisten, bersemangat dan berdaya saing dalam menempuh cabaran hidup.

Memiliki daya tahan yang kental adalah antara ciri yang amat diperlukan oleh setiap individu dan masyarakat pada hari ini. Pada tahap individu, setiap manusia sentiasa terdedah kepada cabaran dalaman dan luaran.

Manusia sentiasa mengingini suatu yang terbaik dalam bentuk pencapaian sama ada dalam bidang pekerjaan dan kekeluargaan. Bagi mencapai kecemerlangan hidup dan kebahagiaan, seseorang itu hendaklah meningkatkan kualiti kerja, kesungguhan dan ketelitian. Ini semua memerlukan seseorang itu memiliki daya tahan kental untuk mendapatkan idea baru dalam pekerjaan, meningkatkan disiplin diri dan mewujudkan sistem terbaik bagi memenuhi syarat dan tuntutan kecemerlangan. Tanpa daya tahan, kita akan mudah mengaku kalah mendepani kerumitan, tekanan dan cabaran dalam memenuhi tuntutan kecemerlangan.

Begitu juga dari aspek kekeluargaan. Sebagai manusia, kita mengingini rumah tangga dibina menuju ketenangan dan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Bagi memenuhi impian ini, kita hendaklah menyempurnakan segala keperluan keluarga pada tahap yang terbaik sama ada dari segi keselesaan rumah, pendidikan anak dan keharmonian berumah tangga.

Bagi mencapai tujuan ini, setiap ahli keluarga memerlukan daya tahan tinggi bagi merancang ekonomi keluarga, mewujudkan ruang dan peluang pendidikan terbaik serta mengamalkan komunikasi kekeluargaan yang berkesan. Membina rumah tangga sempurna memerlukan setiap ahli keluarga sentiasa bermaafan, bersabar, bekerjasama, saling menghormati dan nasihat menasihati antara satu dengan lain.

Semua ini memerlukan seseorang itu memiliki daya tahan yang sungguh tinggi sekali terutama dalam berdepan dengan perbezaan, kepelbagaian dan tekanan dalam hidup kekeluargaan.

Sebagai seorang penganut Islam pula, daya tahan ini amat dituntut terutama dalam kita berusaha menyempurnakan tuntutan agama. Seorang Muslim yang sebenar ialah mereka yang sentiasa memastikan setiap perlakuan hidupnya memenuhi tuntutan beribadah kepada Allah. Ini memerlukan kita bersikap jujur, amanah dan gigih dalam segala urusan kehidupan.

Dorongan nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah kejadian dirinya adalah cabaran dalam terbesar manusia dalam usaha penyempurnaan ibadah kepada Allah.

Cabaran luaran seperti kegiatan tidak berfaedah dan melalaikan dalam bentuk hiburan dan permainan sering kali juga mengganggu tumpuan kita dalam menyempurnakan ibadah agama. Hanya dengan daya tahan tinggi, kita dapat mendepani segala cabaran ini.

Apabila manusia memiliki daya tahan ini, bermakna, seseorang itu telah mencapai tahap di mana nilai rohani menjadi pemandu dalam perjalanan kehidupannya dan dia tidak lagi didorong oleh hawa nafsunya. Dalam keadaan ini, manusia secara langsung sedang menuju kepada kemajuan hidupnya kerana ia tidak lagi terjebak dengan sifat yang merosakkan dan memusnahkan dirinya.
 Oleh Muhamad Razak Idris
 
Nikmat zikir, berdoa malam Lailatul Qadar
09.27.06 (5:36 pm)   [edit]

BANYAK amalan salih dilakukan pada Ramadan dengan harapan mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Bagi setiap amalan dilakukan kita hendaklah berdoa supaya diterima Allah.

Sesungguhnya berdoa adalah satu tugas agama yang penting kedudukan dan mahal nilainya. Ia adalah pintu ibadah dalam memperhambakan diri kepada Allah dan memperlihatkan kerendahan jiwa kepada-Nya.

Ini jelas melalui sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Doa itu adalah otaknya ibadat." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).

Pengabdian atau ibadat yang dikerjakan tanpa berdoa adalah tidak berjiwa, hidup dan bergerak. Ini laksana tubuh yang tidak bernyawa – ada badan tetapi tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Amalan berdoa digalakkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada Ramadan, terutama pada Lailatul Qadar. Ia adalah malam paling mustajab berdoa, khususnya pada masa berlalu separuh malam dan ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.

Sepanjang Lailatul Qadar adalah saat doa yang dimakbulkan. Maka perbanyakkan doa pada malam itu.

Dalam satu hadis, Aisyah berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah akan aku bacakan dalamnya?

Jawab Baginda: "Bacalah "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fuanni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)." (Hadis riwayat al-Khamsah).

Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: "Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doa kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab."

Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah.

Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doa dikabulkan Allah.

Tuhan selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Firman Allah lagi bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Nya, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dengan hina." (Surah al-Mukmin, ayat 60).
 
‘Hidupkan malam dengan solat sunat, zikir’
09.26.06 (5:12 pm)   [edit]
DARIPADA Abu Hurairah berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiamullail (solat malam) pada Ramadan tanpa memerintahkan secara wajib, Baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang lalu.”

Rasulullah SAW amat menggalakkan umat supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadilatnya amat besar di sisi Allah.

Di antara amalan dilakukan oleh Rasulullah ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid. Kita sepatutnya mencontohi Baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Rasulullah SAW dalam kebanyakan hadis memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam ini terutama malam ganjil adalah lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi 1,000 bulan
 
Akhlak Nabi terserlah sejak kecil
09.26.06 (5:09 pm)   [edit]

NABI Muhammad SAW membesar dikelilingi masyarakat yang tercemar dari segi kepercayaan dan akhlak jahiliyah tetapi Baginda dilahirkan untuk menyeru manusia beriman sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah.
Itulah keistimewaan Rasulullah SAW yang menjadi yatim ketika masih dalam kandungan ibu dan kemudian dipisahkan daripada kasih ibu yang meninggal dunia pada usia enam tahun.

Anak yatim piatu itu kemudian bermanja dengan datuknya pula tetapi saat itu juga tidak kekal lama apabila pada usia 80 tahun, Abdul Muttalib meninggalkan Nabi Muhammad SAW selama-lamanya.

Selepas dua tahun dimanjakan datuk, Nabi Muhammad SAW menumpang kasih bapa saudaranya, Abu Talib, yang bertanggungjawab memberi peluang Baginda belajar selok belok perniagaan.

Hinggalah apabila usia mencecah 25 tahun, Baginda cukup matang untuk diamanahkan memasarkan barangan seorang wanita bangsawan, Khadijah, di pasar Busra.

Nabi Muhammad SAW berniaga bukan untuk menjadi seorang hartawan tetapi sekadar mencari pendapatan menyara kehidupan sendiri di samping membantu bapa saudaranya Abu Talib.

Pemergian Nabi Muhammad SAW membawa dagangan Khadijah ke Syam ditemani orang suruhan, Maisarah. Beberapa minggu berlalu, Nabi Muhammad SAW kembali membawa keuntungan lumayan.

Khadijah mendengar dengan penuh minat cerita Maisarah mengenai kemuliaan akhlak dan amanah anak saudara Abu Talib itu dan bagaimana awan sentiasa meneduhinya.

Akhirnya, pada 595 Masehi, Nabi Muhammad SAW yang berusia 25 tahun berkahwin dengan Khadijah, 40 tahun, bermaharkan 20 ekor unta betina.

Kisah ini dapat disaksikan dalam episod keempat siri Jejak Rasul yang antara lain turut memuatkan kisah Kota Makkah menyaksikan kaum Quraisy hampir menumpahkan darah sesama mereka, lima tahun sebelum kerasulan Muhammad SAW.

Banjir besar yang melanda Kota Makkah menyebabkan Kaabah mengalami kerosakan teruk dan selepas banjir surut, tiada siapa berani meruntuhkan baki dinding yang tinggal bagi membinanya semula.

Hanya Al-Walid bin Mughirah, ketua suku Makhzum yang berani melakukannya, seorang diri beliau meruntuhkan bahagian antara Hajarul Aswad dan Rukn Yamani.

Keesokan harinya, selepas melihat tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada Al-Walid, barulah kerja pembinaan semula dilakukan secara gotong royong dengan baik sekali.

Bagaimanapun, berlaku pertikaian dalam menentukan siapa yang lebih berhak meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya hingga ada yang menghunus pedang, bersumpah untuk berjuang menuntut apa yang disangka sebagai hak mereka.

Pertikaian berlarutan selama lima hari tanpa penyelesaian, perang antara puak seolah-olah akan meletus bila-bila masa saja tetapi akhirnya, Aba Umaiyah memberi cadangan penyelesaian kepada konflik itu.

Seperti dipersetujui semua pihak, siapa yang pertama memasuki kawasan Kaabah melalui pintu As-Safa, orang itu akan menjadi hakim bagi menyelesaikan masalah mereka.

Keesokan paginya Nabi Muhammad orang pertama memasuki kawasan Kaabah melalui pintu As-Safa dan dengan kebijaksanaannya Baginda meminta setiap wakil suku yang bertelagah bersama mengangkat Hajarul Aswad di atas sehelai kain.

Apabila hampir dengan tempatnya, Baginda sendiri mengambil Hajarul Aswad lalu meletakkannya di tempat asalnya iaitu di penjuru timur Kaabah dan tindakan itu dipersetujui semua pihak bertelagah.

Ketika tiada rasul yang diutuskan di kalangan mereka, masyarakat Arab Jahiliyah hidup tanpa panduan agama sebaliknya mengamalkan kepercayaan syirik yang diwarisi daripada nenek moyang.

Namun Kaabah terus dimuliakan sebagai rumah Allah yang dibangunkan nenek moyang mereka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail selain syariat Nabi Ibrahim dikenali sebagai agama Hanif masih diajar dan diamalkan.
 
Sejarah terawih
09.24.06 (11:58 pm)   [edit]

MENURUT buku Ensiklopedia Malaysiana, terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas, mengambil udara baru dan seumpamanya. Dalam erti kata yang khusus, terawih ialah ibadat sembahyang pada bulan Ramadan.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aishah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat.

Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai sembahyang fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Huzaimah dan Ibnu Hibban daripada Jabir bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.

Saidina Umar bin Al-Khatab ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih berjemaah. Sewaktu beliau menjadi khalifah, solat terawih dilakukan sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.

Kebiasaannya Saidina Umar bersolat terawih selepas solat Isyak pada setiap malam bulan Ramadan.

Pada zaman ini di kebanyakan negara umat Islam menunaikan solat terawih secara berjemaah di masjid selepas solat Isyak.

Pengikut Mazhab Maliki bersolat terawih sebanyak 36 rakaat pada setiap malam Ramadan dan jumlah bagi seluruh bulan Ramadan ialah 1,080 rakaat. Mazhab Syiah pula menggalakkan dilakukan 1,000 rakaat terawih dalam tempoh sebulan Ramadan.

Di Masjid Al-Haram Mekah, sembahyang terawih dilakukan oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca satu juzuk al-Quran pada setiap kali terawih dan menamatkan seluruh al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadan.

Solat terawih termasuk solat tahajjud atau shalatul lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Solat terawih dikategorikan sebagai sunat muakkad yang sangat dituntut dilakukan oleh umat Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara sendirian atau berjemaah.

Menurut Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.

Wujud kekhuatiran ada kemungkinan ia menimbulkan riak atau sifat malas individu yang menyimpang daripada tujuan utama untuk berkumpul dalam satu jemaah. Barangkali orang yang berpegang pada alasan tersebut ingin berkata bahawa melakukan solat lebih baik daripada meninggalkannya kerana malas (bila sendirian) dan lebih baik daripada riak (solat berjemaah).

Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat itu mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya.


 
Rebut peluang berterawih
09.24.06 (11:56 pm)   [edit]


SALAH satu keistimewaan yang hanya terdapat dalam bulan Ramadan ialah solat terawih yang dijanjikan ganjaran pahala besar kepada mereka yang mengerjakannya.

Setiap masjid dan surau di seluruh negara pasti mengadakan solat ini sebagai peluang menambah amalan sepanjang bulan Ramadan.

Ia dikerjakan sama ada lapan atau 20 rakaat dengan diikuti solat sunat witir tiga rakaat.

Tidak ketinggalan mengadakan solat terawih ialah Masjid Asy-Syakirin Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC).

Kelmarin, setiap sudut ruang solat masjid itu bergema dengan zikir dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. apabila kira-kira 1,000 umat Islam membanjiri masjid itu untuk bersolat sunat terawih.

Masjid yang berkonsepkan permata dalam taman buatan manusia itu mempunyai kubah berwarna kelabu.

Struktur bangunan masjid itu yang diperbuat daripada batu marmar dibina di atas kawasan seluas 2.02 hektar dan terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Masjid itu mempunyai ciri-ciri seni bina menarik dari Asia Barat yang digabungkan dengan cita rasa Asia Timur dan hiasan dalaman yang menakjubkan.

Masjid Asy-Syakirin melambangkan kebesaran Islam dan kepentingannya sebagai agama rasmi di Malaysia berdasarkan kedudukannya yang terletak di antara dua buah bangunan yang tertinggi di dunia.

Ia boleh memuatkan antara 8,000 ke 10,000 jemaah pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan seperti dewan kuliah, dewan seminar, perpustakaan, kelas-kelas bimbingan agama serta sebuah dewan yang luas untuk upacara akad nikah serta ruang mengambil wuduk dan bilik mandi yang canggih.

Sepanjang Ramadan, pengurusan Masjid Asy-Syakirin menyeru umat Islam beramal ibadat di samping mengerjakan ibadat-ibadat sunat lain bagi mendapatkan keberkatan di dunia dan akhirat.

“Pengertian Ramadan itu seolah-olah memberi peluang kepada umat Islam untuk menginsafi diri kepada Allah s.w.t. dengan beramal seperti mengerjakan solat sunat terawih, bersedekah dan mengerjakan amalan-amalan kebajikan lain walaupun dalam kesibukan bekerja,” kata Imam Satu KLCC, Mohd. Abdul Nasir Abdullah.

Sebagai hamba Allah, kesibukan bekerja bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kepada Allah s.w.t.. Dalam setahun salah satu bulan yang mulia dan dirahmati Allah ialah bulan Ramadan.

“Ramadan mempunyai kelebihan tertentu. Sebagai contoh, apabila kita melakukan amal kebajikan pada bulan ini seperti bersedekah kepada anak-anak yatim dan fakir miskin, Allah s.w.t. akan memberi kita pahala yang berlipat kali ganda,” kata Mohd. Abdul Nasir.

Lantaran itu, katanya, umat Islam perlu mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah bagi membina keimanan dan kekuatan diri sebagai hamba-Nya.

Apatah lagi keimanan seseorang muslim itu boleh bertambah dan berkurang. Jadi, dengan kedatangan Ramadan kita perlu beriman dan bertakwa untuk membina kembali keimanan diri.

“Pada bulan lain selain Ramadan, kemungkinan besar kita lupa untuk beribadat. Dengan adanya Ramadan, inilah masa dan peluang umat Islam memperbaiki serta meningkatkan pengisian ilmu di dada.

“Malah kita harus mengambil satu pendekatan baru dalam usaha memperbaiki keimanan kita yang kian goyah selama ini,” jelasnya.

Menurut Mohd. Abdul Nasir, solat sunat terawih memiliki banyak fadilat yang dijanjikan Allah s.w.t. kepada umat Islam yang menunaikannya.

Antara kelebihannya ialah Allah s.w.t. menjanjikan pahala kepada mereka yang sentiasa mengingatinya pada bulan yang mulia ini.

Sepanjang Ramadan, Masjid KLCC mengadakan solat terawih di samping merancang pelbagai program dalam menggarap fadilat Ramadan seperti majlis berzikir, tadarus al-Quran, majlis-majlis ilmu serta ceramah agama.

Solat terawih diimamkan secara bergilir-gilir sepanjang Ramadan selain diadakan program pengisian ilmu seperti kuliah dan tazkirah sebelum majlis berbuka puasa dan sebelum masuk waktu Zuhur pada setiap hari kecuali pada hari cuti umum.

Pihak pengurusan Masjid Asy-Syakirin turut menjemput muslimin dan muslimat berbuka puasa beramai-ramai bagi mengimarahkan lagi masjid tersebut sempena Ramadan.

Sesuai dengan malam al-Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, masjid itu turut menganjurkan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan.

 

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

 
Puasa didik Muslim jadi sabar, berdisiplin
09.21.06 (1:38 am)   [edit]
RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

  • Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah dihukum.

  • Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu, puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadan berlangsung.

  • Bulan Ramadan dikenali juga bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadat kepada Allah SWT.

  • Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu, orang yang puasa pada bulan Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

  • Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan salafus-soleh. Dengan itu, kita hendaklah benar-benar berusaha supaya tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan ini kerana bulan Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT.
  •  
    Ramadan bulan menggandakan ibadah
    09.21.06 (1:33 am)   [edit]

    Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu kefarduan bagi seluruh umat Islam yang bergelar mukalaf. Ini difahami daripada firman Allah s.w.t., “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah difardukan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

    Antara budaya kita pada hari ini adalah terdapat sebilangan umat Islam apabila hampir kedatangan bulan yang mulia ini, mereka pada kebiasaannya mulai sibuk pergi membeli-belah khususnya bagi mendapatkan pakaian, langsir, kelengkapan rumah dan sebagainya untuk digantikan dengan yang baru.

    Pada hakikatnya tujuan utama mereka adalah bagi menyambut Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri dan bukannya bulan Ramadan al-Mubarak. Walaupun begitu, budaya ini bukanlah salah 100 peratus, malah ada kebaikan yang tersendiri.

    Apa yang menonjol adalah sambutan kemeriahan hari raya lebih mendominasi daripada sambutan bulan Ramadan, sedangkan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadi impian orang mukmin untuk menjejakkan kaki mereka ke dalamnya dan bersungguh-sungguh melipatgandakan amalan.

    Ini kerana bulan Ramadan sahaja yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Malah bulan ini juga menjanjikan keampunan daripada Allah s.w.t. sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.: Daripada Abi Hurairah, Nabi bersabda, solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya adalah penebus kepada dosa-dosa (kecil) yang dilakukan antara kedua-duanya bila dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Muslim)

    Budaya sebegini juga diwarisi turun-temurun yang menyebabkan keghairahan menyambut ketibaan Ramadan kurang dirasai. Ini jauh berbeza dengan sikap para sahabat yang amat ternanti-nanti kedatangan bulan mulia ini dengan penuh keriangan dan pemergian bulan ini pula amat ditangisi.

    Selain itu juga, bulan mulia ini juga dicemari dengan gambaran yang negatif seperti bulan yang letih, lapar, dahaga, tidak produktif, kurang proaktif dan sebagainya.

    Pada hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan diri kepada Allah.

    Sejarah awal Islam juga telah membuktikan bahawa banyak kemenangan dicapai pada bulan Ramadan. Antaranya peperangan Badar, beberapa peperangan Tabuk, pembukaan Kota Mekah dan sebagainya. Jika dilihat dari sudut ini, tercatatnya kemenangan ini mencerminkan kekuatan fizikal dan mental umat Islam.

    Oleh itu, tanggapan negatif terhadap Ramadan wajar dihilangkan dengan memberi pemahaman yang tepat berkaitan bulan ini.

    Bagaimanakah cara yang tepat bagi menyambut kedatangan Ramadan?

    Antara bentuk persediaan terbaik ialah:

    Pertamanya: Kita hendaklah sentiasa berdoa agar diberi peluang dan berkesempatan bertemu Ramadan tahun ini. Di samping itu, hendaklah dipohon agar dikurniakan kesihatan tubuh badan supaya dapat melakukan seberapa banyak ibadat pada bulan tersebut.

    Kedua: Mengulangkaji serta mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah puasa sama ada melalui pembacaan, pertanyaan, menghadiri kuliah agama dan sebagainya. Antara ilmu-ilmu tersebut, dari segi fikah merangkumi persoalan rukun puasa, syarat puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya.

    Hikmah

    Aspek falsafah puasa termasuklah hikmah disyariatkan puasa. Selain itu, ilmu-ilmu berkaitan bentuk-bentuk amalan yang sepatutnya dilipatgandakan

    dalam bulan yang mulia ini juga patut diketahui untuk dijadikan pengisian utama selaras dengan sunah Rasulullah s.a.w..

    Ketiga: Mengetahui tahap orang yang berpuasa sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali. Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, tahap puasa diklasifikasi

    kepada tiga iaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus.

    Puasa umum adalah tahap yang paling rendah iaitu menahan daripada makan, minum dan jimak pada siang hari.

    Puasa khusus, di samping menahan yang tiga tadi, ia juga memelihara seluruh anggota tubuh daripada perbuatan maksiat atau tercela. Sedangkan puasa khusus yang lebih khusus adalah puasa hati daripada segala kehendak hina dan segala fikiran duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah.

    Puasa tahap ketiga ini adalah puasa para nabi-nabi, siddiqin dan muqarrabin. Sedangkan puasa tahap kedua adalah puasa orang-orang soleh.

    Selanjutnya imam Al Ghazali menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu.

    Pertama, menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta daripada tiap-tiap yang mengganggu dan melalaikan daripada mengingat Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, Barang siapa meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya.

    Kedua, menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca al-Quran. “Dua perkara merosakkan puasa,” sabda Rasulullah, “iaitu mengumpat dan berbohong.”

    Ketiga, menjaga pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik kerana tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Yang mengumpat dan yang mendengar, bersekongkol dalam dosa.

    Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain daripada perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut daripada memakan yang syubhat dan haram.

    Kelima, tidak berlebih-lebihan semasa berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat merasai manfaat dan hikmah puasa.

    Keenam, hatinya sentiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah.

    Sekiranya cadangan persediaan awal Ramadan ini dihayati, maka untuk membuahkan puasa yang berkualiti akan lebih mudah dicapai. Pada masa yang sama, ia menjadikan semua gerak kerja kita seharian sebagai ibadah.

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda lagi, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ketaatan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)

    Inilah antara kemurahan Allah kepada umat Nabi Muhammad.

    Sabda Rasulullah s.a.w., “Telah diberikan kepada umatku pada bulan Ramadan perkara yang belum pernah diberikan kepada seseorang nabi sebelumku. Pertama, pada permulaan bulan Ramadan Allah melihat kepada umatku, barang siapa Allah melihat kepadanya, maka dia tidak akan diazab selama-lamanya. Kedua, bau mulut mereka pada waktu petang lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi. Ketiga, para malaikat memohon ampun untuk mereka pada setiap hari dan malam. Keempat, Allah menyuruh kepada syurganya serta berkata kepadanya bersiap sedialah kamu dan berhiaslah kamu untuk hamba-hamba-Ku, mereka hampir beristirehat daripada kepayahan dunia menuju ke negeri-Ku dan kemuliaan-Ku. Kelima, pada akhir bulan Ramadan Allah mengampuni semua dosa mereka, seorang lelaki daripada kalangan sahabat bertanya: Adakah itu malam Lailatul Qadar, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tidak, Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja, apabila mereka telah selesai daripada pekerjaan mereka, maka diberikan upah-upah mereka.” (Riwayat Ibn Abi al-Dunya).

    - Muhammed Yusof ialah tutor di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.


     
    Ganjaran dunia, akhirat bagi orang yang berpuasa
    09.19.06 (10:39 pm)   [edit]

    MENURUT Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi: “Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan.” Ibn Qutaibah menyatakan bahawa “Tidaklah seseorang dinamakan hakim (bijaksana) sehingga disekalikan antara ilmu dan amalan.” Hikmah juga bermaksud rahsia atau maksud yang tersirat yang kadang-kadang di luar jangkauan batasan akal manusia.

    Justeru, ulama berkata: Kita disuruh mengkaji sebab tetapi tidak disuruh mengkaji hikmah. Walaupun begitu kadang-kadang hikmah dapat difahami dan diketahui walaupun tidak secara keseluruhannya. Dalam ruangan ini penulis cuba menyingkap hikmah dan falsafah puasa dengan menukilkan pandangan daripada para ulama, antaranya pengarang Kitab Fiqh al-Manhaji.

    Sebagaimana diketahui, puasa pada bulan Ramadan adalah ibadat yang difardukan oleh Allah. Kita melaksanakan tanggungjawab keimanan kepada-Nya tanpa memandang kepada sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadat tersebut.

    Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi dalam ibadat itu dan ibadat-ibadat yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya.

    Begitu juga ibadat puasa yang mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang tetapi banyak yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka.

    Antara hikmah dan faedah puasa yang mungkin dapat dirumuskan ialah puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya ingin makan dan minum namun perasaan yang menyedari dirinya berpuasa menghalang keinginan tersebut kerana dia melaksanakan perintah Allah. Dalam menghadapi pertentangan ini, hatinya sedar akan pemerhatian Allah terhadapnya, lantas mengingati ketuhanan Allah dan keagungan kekuasaan-Nya di samping sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba yang tunduk patuh kepada hukum Allah dan menurut segala kehendak-Nya.

    Bulan Ramadan ialah bulan suci antara semua bulan dalam setahun. Allah mengkehendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amal ketaatan dan menghampirkan diri kepada-Nya. Selain itu, mereka menyatakan erti kehambaan mereka setinggi-tinggi kepada Yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Namun mereka jauh daripada dapat menyatakan demikian di hadapan hidangan makanan, dalam majlis-majlis minuman, selepas kekenyangan dan isi perut meruap ke kepala. Pensyariatan puasa pada bulan Ramasan ialah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab kehambaan kepada-Nya.

    Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya adalah bertentangan dengan sifat orang Islam. Lantaran itu, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

    *Waktu terbaik

    Antara asas penting yang membangunkan masyarakat Islam ialah sifat kasih sayang di kalangan mereka. Namun orang kaya jauh daripada dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai sendiri keperitan dan kesempitan hidup mereka dan kepahitan hidup akibat diburu kelaparan. Bulan puasa adalah waktu terbaik bagi golongan kaya agar mereka dapat mengalami perasaan orang yang miskin dan hidup bersama-sama keperitan dan kesulitan mereka. Puasa juga adalah dorongan yang terbaik bagi golongan kaya untuk menimbulkan perasaan kasih sayang dan simpati dalam jiwa mereka.

    Mengikut sebuah hadis, syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara lapar. Dalam erti kata lain berpuasa boleh melawan kehendak syaitan dan seterusnya mengikut kehendak Allah. Ini bermakna orang yang berpuasa tidak terpengaruh dengan pujuk rayu syaitan tetapi mempunyai tahap keimanan yang kukuh lagi ampuh untuk menghadapi segala cabaran kehidupan.

    Allah menyebut kefarduan puasa dan diakhiri dengan perkataan mudah-mudahan kamu bertakwa. Dengan ini jelas kepada kita objektif puasa boleh menatijahkan seseorang bertakwa yang sudah tentu mendapat banyak ganjaran daripada Allah sama ada di dunia ataupun akhirat.

    Mengikut sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda: Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat. Dalam Islam, kesihatan terbahagi kepada dua iaitu rohani atau jasmani. Apa yang uniknya, puasa dapat menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya. Ini terbukti dengan pengesahan oleh pakar-pakar perubatan moden bahawa amalan berpuasa boleh menaiktarafkan kesihatan seseorang. Kesihatan rohani sudah dinyatakan oleh Allah dalam konteks natijah puasa iaitu takwa.

    Hikmah puasa sunat disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan pendampingan diri kepada Allah. Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah seperti maksud hadis: Hamba-Ku sentiasa mendampingi diri-Ku dengan melakukan ibadat-ibadat sunat sehingga aku menjadi kasih kepadanya.

    Tidak diragui lagi bahawa kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya akan menjauhkan mereka daripada maksiat, mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan. Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan kehidupan yang sempurna.

    Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat, mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, tangan daripada mengambil yang haram, kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah, lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifaq dan segala sifat mazmumah. Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita. Amin.

    - DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

     
    Episod kedua papar kembara Ibn Battuta
    09.14.06 (8:20 pm)   [edit]

    ILMUWAN Islam musim kedua terbitan TV3 kembali dengan memaparkan sebilangan sarjana Islam terkenal melalui sumbangan mereka dalam bidang seni bina, antropologi (kajian manusia dan kebudayaan), ilmu optik (penglihatan), fizik, aeronautik dan perubatan.

    Episod kedua yang disiarkan jam 7.30 malam ini menampilkan kisah pengembara Islam tersohor kurun ke-14, Ibn Battuta, yang mengembara 75,000 kilometer, bermusafir selama 29 tahun, merentasi 44 negara merangkumi benua Asia dan Afrika.

    Bersama wartawan dan hos Ahmad Noor Sulaiman, penonton dibawa melawat negara yang pernah dikunjungi Ibn Battuta seperti diceritakan dalam buku catatan perjalanan beliau, Rihlah.

    Terbahagi kepada dua bahagian, episod kali ini berkisar perjalanan pengembara agung itu di Delhi, India, menumpukan kepada bandar Tughlughabad iaitu ibu kota Delhi awal kurun ke-14 yang diasaskan Ghiyath al-din Tughluq.

    Anaknya, Sultan Muhammad Tughluq melantik Ibn Battuta menjadi Qadi di mana beliau menghabiskan tempoh paling lama iaitu selama 10 tahun dalam pengembaraannya.

    Kajian catatan Ibn Battuta juga membawa krew Ilmuwan Islam ke Kerala, India, di mana berlakunya tragedi hampir meragut nyawa beliau.

    Tidak hairanlah jika satu perlima daripada catatan Rihlah mengisahkan perihal sejarah, urusan politik, adat resam, budaya dan pemerintah di India.

    Pengembaraan Ibn Battuta bermula ketika usianya 21 tahun apabila beliau meninggalkan Tanjah untuk mengembara dan kembali semula ke Maghribi semasa pemerintahan Sultan Abu 'Inan.

    Buku mengenai pengalaman Ibn Battuta ditulis dengan bantuan penulis yang dilantik Sultan Abu ‘Inan menjadikan Rihlah Ibn Battuta karya ilmu paling berharga.

    Setiap kali mengunjungi sesebuah negeri atau negara, Ibn Battuta akan membuat catatan terperinci mengenai penduduk, pemerintah, ulama serta kezaliman yang dilaksanakannya.

    Beliau turut menceritakan pengalamannya menempuh pelbagai cabaran seperti diserang penjahat, hampir lemas bersama kapal yang karam dan nyaris dihukum penggal oleh pemerintah zalim.

    Manuskrip Rihlah Ibn Battuta berusia 649 tahun mula tersebar di kalangan sarjana Afrika Utara, Afrika Barat, Mesir dan beberapa negara Islam, empat ratus tahun selepas Ibn Battuta meninggal dunia.

    Dunia Barat hanya mengetahui mengenai karya ini pada awal abad ke-19 apabila dua orang ilmuwan Jerman menerbitkan secara berasingan beberapa terjemahan buku itu daripada manuskrip diperoleh di Timur Tengah.

    Bermula dari situ, Rihlah Ibn Battuta diterjemah dan diterbitkan dalam pelbagai bahasa termasuk Sepanyol, Itali, Rusia, Poland, Parsi dan Jepun.

    Kehebatan Ibn Battuta diiktiraf penulis National Geographic, Thomas J Abercombie, dalam edisi Disember 1991, yang mengakui bahawa pengembara Arab itu mengembara tiga kali ganda lebih jauh daripada Marco Polo merentasi tiga benua.

    The Hakluyt Society mengambil masa 78 tahun (1992 hingga 2000) untuk menyelesaikan terjemahan karya itu dan penyusunan indeks ke bahasa Inggeris.

    Malaysia turut melakar sejarah menghasilkan terjemahan keseluruhan teks itu ke dalam bahasa Melayu agar pengalamannya melangkaui satu lagi bahasa di dunia.

    Terjemahan bahasa Melayu Rihlah Ibn Battuta yang diberi tajuk Pengembaraan Ibn Battuta, diterbitkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

    Ibn Battuta adalah perintis pengembaraan dunia yang berjaya menguasai benua Afrika dan Asia serta pengarang yang menghasilkan karya penting dalam dunia Islam.
     Oleh Hasliza Hassan

     
     
    Kunci rezeki pada cara dimanfaatkan, ganjaran
    09.13.06 (10:17 pm)   [edit]

    MENGIKUT perspektif Islam, rezeki anugerah nikmat dikurniakan Allah SWT kepada manusia untuk keperluan jasmani dan rohaninya seperti makanan, ilmu dan sebagainya.

    Di dalam al-Quran, istilah rezeki diulang-ulang dalam helaian al-Quran sebanyak 120 kali yang merujuk kepada pelbagai maksud dan pengertian iaitu ‘makanan dari Tuhan’, ‘pemberian Tuhan’, ‘bekal dari Tuhan’ dan ‘anugerah dari langit’.

    Pendek kata, semua maksud itu menggambarkan konotasi sama iaitu Allah adalah Tuhan Pemberi Rahmat sebenarnya kepada makhluk yang menghuni alam semesta ini. Di samping itu, Allah SWT memerintahkan manusia memanfaatkan rezeki diperoleh sebaik mungkin dan dalam masa sama, hendaklah tunduk dan patuh terhadap minhaj-Nya. Apabila rezeki tunduk dan patuh berdasarkan minhaj Ilahi, maka timbullah kemanfaatan dan tidak akan berlaku kemudaratan.

    Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh, ayat 10-12).

    Ketika mentafsirkan ayat itu, Imam Ibnu Kathir menegaskan bahawa beristighfar dan taubat seseorang manusia ke hadrat Allah akan menjadi jalan datangnya rezeki, turunnya hujan yang membawa keberkatan, bertambahnya zuriat keturunan dan melimpah ruah hasil bumi.

    Pada dasarnya, orang beristighfar mengaku kesalahan yang mengotori jiwanya. Tatkala, dia memohon ampun dan bertaubat, dosa kesalahannya itu terhapus daripada hatinya. Natijahnya, hati yang bersih suci akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan termasuk mencari rezeki yang halal lagi baik. Daripada rezeki yang halal dan baik itulah turunnya keberkatan Allah SWT.

    Namun, umat Islam terkeliru konsep rezeki sebenarnya mengikut Islam. Rata-rata mereka memahami rezeki yang bernilai kerana mereka melihat rezeki itu sebagai harta dan benda yang pada asasnya adalah aset kekayaan. Padahal, persepsi itu tidak benar kerana rezeki pada hakikatnya tiada kaitan, apatah lagi hubungan secara langsung dengan benda dan tidak juga dengan kemiskinan atau kekayaan. Sebagai contoh, mungkin kita pernah bertemu dengan seorang jutawan memiliki aset hartanya berjuta-juta ringgit, hanya membelanjakan sebahagian kecil daripada hartanya itu pada setiap hari, dia tetap memakai pakaian lusuh, tidak memiliki walaupun sebuah kereta mewah, malah sanggup berjalan kaki ke sana ke mari. Maka timbul persoalan mengapa jutawan itu berbuat demikian sedangkan dia berharta?

    Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud; Berkatalah anak Adam: Mana hartaku? Mana hartaku? Itu bukanlah harta kamu melainkan apa yang kamu makan dan hancurkannya (dalam perut kamu) atau apa yang kamu pakai sehingga pakaian menjadi lusuh dan koyak atau apa yang kamu sedekahkan dan kamu nafkah (dengan tulus ikhlas).(Hadis riwayat Muslim).

    Jelas hadis Rasulullah SAW bahawa rezeki sebenarnya mengikut Islam adalah benda memanfaatkan kepada tuan empunyanya, bukannya keuntungannya atau kekayaannya atau apa dimilikinya. Wang sedikit dibelanjakan itu adalah rezekinya, manakala bakinya masih tersimpan bukanlah rezekinya. Dalam hadis itu, Rasulullah menegaskan tiga perkara menjadi pintu utama rezeki bagi manusia. Justeru, manusia pada dasarnya tidak memiliki harta melainkan pada tiga perkara disebutkan tadi. Ringkasnya, harta itu sebenarnya satu amanah dipertanggungjawabkan dengan kewajipan mengagihkan hak milik Allah kepada makhluk menghuni alam maya ini.

    Kehidupan dunia ini ujian bagi manusia sama ada menjadi orang beriman dan mencintai Allah ataupun sebaliknya, sedangkan Allah menjadikan manusia daripada tanah, memberi dan memenuhi segala keperluan hidup dengan limpahan nikmat tidak terhingga supaya dapat dilihat dan dinilai siapakah yang lebih baik amalnya seperti firman Allah yang bermaksud: Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat). (Surah al-Mulk, ayat 2).

    Setiap pemberian Allah pada hamba-Nya adalah rezeki kerana dapat memanfaatkannya ke arah kebaikan, kesejahteraan dan keredaan Ilahi. Rezeki itu bukanlah harta semata-mata, sebaliknya sifat pemurah itu adalah rezeki. Allah tidak melihat seseorang itu lebih tinggi kedudukannya daripada yang lain dalam apa juga bentuk rezeki, malahan semuanya diberikan keutamaan dan kelebihan masing-masing.

    Kunci rezeki terletak kepada cara memanfaatkan rezeki itu ke arah kebajikan dan ganjarannya adalah rezeki yang melimpah ruah kerana menghormati dan mensyukuri pemberian Allah. Bukankah Allah SWT berfirman bermaksud: Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)

    INTI PATI
    Konsep rezeki dalam Islam


  • Allah memerintahkan manusia memanfaatkan rezeki diperoleh sebaik mungkin.

  • Beristighfar dan taubat seseorang manusia ke hadrat Allah akan menjadi jalan datangnya rezeki.

  • Rezeki mengikut Islam adalah benda memanfaatkan kepada tuan empunyanya, bukannya keuntungannya atau kekayaannya atau apa dimilikinya.
  •  

     

  • Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

    Penulis ialah Ketua program Ijazah Sekolah Pengajian Islam, Universiti Darul Iman Malaysia

  •  
    Ensiklopedia Nusantara: Hidayah al-Muta’allim kitab fiqh dalam Mazhab Shafie
    09.12.06 (2:17 am)   [edit]

    ASH-SHIRAT al-Mustaqim, karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diperkenalkan adalah kitab fiqh, iaitu bahagian ibadah pertama dalam bahasa Melayu. Selepas 200 tahun barulah muncul kitab fiqh yang lengkap mengenai Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat yang dikumpulkan dalam satu kitab.

    Judul kitab ialah Hidayah al-Muta’allim wa ‘Umdah al-Mu’allim. Catatan nama pada halaman kulit al-‘Alim al-‘Allamah wa Bahjatud Din wa Shahibul Karamah asy-Syeikh Daud bin asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fathani. Diselesaikan di Makkah, pada 12 Jumadil Akhir 1244 H/20 Disember 1828 M.

    Manuskrip asli kitab ini belum ditemui, manuskrip salinan terbaik dilakukan oleh Tok Kelaba al-Fathani. Cetakan ditemui oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 H.

    Dicetak pula oleh percetakan yang sama pada 1322 H. Cetakan ini atas perbelanjaan Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki. Tercatat cetakan bahawa pengarangnya dimakamkan di Thaif, bersebelahan dengan Saidina ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1331 H. Catatan pada kulit depan sama dengan cetakan pada 1322 H tetapi nama Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki ditiadakan kerana hak mencetak dikembalikan kepada ahli waris dengan pendaftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, pada 15 Mac 1326 H nombor 8.

    Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh 'Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani). Pentashhih asal Hidayah al-Muta’allim ialah Syeikh Ahmad al-Fathani tetapi, pada cetakan dinamakan pentashhih kepada saudara sepupu dan muridnya Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

    Kandungan utama Hidayah al-Muta’allim ialah membicarakan fiqh lengkap dalam Mazhab Shafie dalam empat judul terdiri daripada Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat. Tetapi pada bahagian awal juga membicarakan 'aqidah.

    Pada bahagian akhir pula membicarakan tasawuf. Dinyatakan pada kulit depan kitab, ‘Yang melengkapi atasnya beberapa ilmu. Setengah daripadanya ‘aqaid al-iman, dan ahkam fiqhiyah, dan furu’ yang syar’iyah.’ Pada kulit depan juga ada catatan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai pengarangnya, ditulis dalam gaya puisi Melayu, klasik. Tulisan beliau ialah guru yang mempunyai ketinggian dan kelebihan yang jali.

    Yang menzahirkan segala bendaraan ilmunya, akan tiap-tiap rahsia yang khafi. Yang meratakan dengan hujan manfaatnya, akan sekalian anak jenisnya bangsa Melayu dan lainnya. Dan menceracakan kelam jahil mereka itu, dengan cemerlang hidayat-Nya. Dan baginya banyak karangan yang indah, yang tiada ada baginya umpama Mengakulah dengan keelokannya, dan dalam ilmunya oleh segala ulama.

    Setengah daripada karangannya, ini kitab yang mempunyai kelebihan yang ‘azhim. Ia mengandung akan fawaid dan masail, yang mempunyai manfaat yang ‘amim.

    Sungguh pun sasaran utama Hidayah al-Muta’allim adalah ilmu fiqh, tetapi susunannya dimulai dengan hadis mengenai ilmu. Sesudahnya membicarakan empat puluh hadis dalam pelbagai kategori. Bahagian 'aqidah Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani selain membicarakan pengenalan terhadap sifat yang wajib diketahui beliau menyenaraikan pula 77 cabang iman. Sebagai contoh ‘perang sabil’ ditempatkan pada cabang iman yang ketujuh. Mengenai 77 cabang iman tidak ada dalam kitab Melayu/ Jawi membicarakannya.

    Bahagian ilmu fiqh dimulai dengan Kitab Thaharah dan berakhir dengan keseluruhan Kitab Jinayat yang mengenai terdiri pelbagai kitab, bab dan fasal. Dalam Hidayah al-Muta’allim banyak juga perkara yang dapat kita kaitkan dengan isu yang terjadi pada zaman ini.

    Pendapat yang bercorak nasihat Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani menyebut bahawa ‘jika ada orang itu ikutan orang banyak seperti Qadhi atau Mufti hendaklah sembunyikan diri daripada merokok itu. Peringkat terakhir mengenai merokok, menurut Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani, adalah ‘haram’ terhadap orang yang memberi mudarat pada tubuhnya atau akalnya’ (hlm 128).
     Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah

     
     
    Perubahan kiblat bukti ketaatan umat
    09.12.06 (2:15 am)   [edit]

    Lambang konsep kepatuhan mutlak terhadap segala perintah, suruhan agama

    ANTARA peristiwa penting dan bersejarah berlaku kepada diri Rasulullah serta Muslimin pada bulan Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat daripada menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.

    Kisah perubahan kiblat ini terjadi pada tahun kedua hijrah. Rasulullah SAW menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama 16 atau 17 bulan. Namun, baginda ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya. Selepas diperintahkan Allah untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan baginda ialah solat Asar yang diikuti oleh beberapa orang sahabat.

    Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat di dalam masjid yang lain orang sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis. Maka dia berseru: Demi Allah SWT, aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga. (Hadis riwayat Bukhari).

    Ibnu Sa'ad di dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra' bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah dan sahabatnya. Apabila tiba waktu solat zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika baginda berada dalam rakaat yang kedua, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya agar menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

    Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Oleh kerana itu masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi ada di Madinah dan adalah salah satu tempat lawatan oleh jemaah yang mengerjakan umrah mahupun haji di sana.

    Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat subuh di masjid Quba', tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.

    Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat di atas, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama ke arah Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat asar. Manakala solat subuh pula ialah di masjid Quba.

    Setelah berlaku perubahan kiblat itu, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Oleh sebab itu, Allah menurunkan ayat 142 sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran untuk mengelirukan kaum Muslimin. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang bodoh itu akan berkata: Apakah yang menyebabkan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan Barat itu kepunyaan Allah s.w.t. (maka ke mana saja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.'' (Surah al-Baqarah, ayat 142)

    Perubahan arah kiblat ini adalah satu tamparan yang cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini begitu berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis sehingga mereka mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

    Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap ke Kaabah apabila melakukan solat. Inilah sebenarnya konsep ketaatan dan kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.

    Berkaitan dengan Kaabah, Rasulullah pernah bersabda: Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku. (Hadis riwayat Al-Qurthubi).

    Kemuncak daripada peristiwa ini ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah. Ini disebabkan Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah itu diperkenankan oleh Allah pada Syaaban.

    Selanjutnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitulmaqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitul Maqdis. Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah mengikut ketentuan ketika itu.

    Firman Allah yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Muhammad) sebagai satu umat pilihan dan pertengahan supaya kamu menjadi pemberi keterangan (saksi) kepada umat manusia (tentang kebenaran dan kebatilan), dan Rasulullah akan menjadi saksi kebenaran kamu. Dan Kami jadikan kiblat yang dahulu itu hanyalah sebagai ujian untuk mengetahui siapakah yang benar-benar mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah.

    “Sesungguhnya (peralihan arah kiblat) itu sangat berat kecuali kepada orang yang diberikan petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan dan menghilangkan keimanan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani dan Merahmati orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 143).

    Mafhum ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat yang sebelum ini.
     Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

     
     
    Abbas peluk Islam secara sembunyi
    09.08.06 (12:10 am)   [edit]

    PADA suatu musim kemarau, ketika penduduk dan negeri ditimpa kekeringan yang sangat, keluarlah Amirul Mukminin Umar bersama kaum Muslimin ke kawasan terbuka, melakukan solat istisqa’ (minta hujan) dan berdoa merendahkan diri kepada Allah yang Penyayang agar mengirimkan awan dan menurunkan hujan kepada mereka.

    Umar berdiri sambil memegang tangan kanan Abbas dengan tangan kanannya, diangkatnya ke arah langit sambil berkata: “Ya Allah, sesungguhnya kami pernah memohon hujan perantaraan Nabi-Mu, pada masa beliau masih berada di antara kami. Ya Allah, sekarang kami meminta hujan pula perantaraan saudara Nabi-Mu, maka mohonlah kami diberi hujan.”

    Belum sempat kaum Muslimin meninggalkan tempat itu, datang awan tebal dan hujan lebat mendatangkan sukacita, menyiram bumi dan menyuburkan tanah.

    Sahabat menemui Abbas, memeluk dan menciumnya serta mengambil berkat dengannya sambil berkata: “Selamat kami ucapkan untuk anda, wahai penyedia air minum Haramain (Makkah-Madinah).”

    Yang dimaksudkan penyedia air minum Haramain ialah Abbas bin Abdul Mutthalib, bapa saudara Rasulullah SAW seperti sering disebut Baginda, “Inilah orang tuaku yang masih ada.”

    Abbas tua tiga tahun daripada Rasulullah SAW dan umur yang hampir sebaya itu menjadikan bapa serta anak saudara teman yang rapat disokong hubungan kekeluargaan antara mereka.

    Hal lain menyebabkan Nabi menempatkan Abbas di tempat pertama, ialah kerana akhlak dan budi pekertinya yang pemurah, seolah-olah dialah saudara atau bapa yang pemurah dan untuk itu tidak segan mengeluarkan tenaga ataupun harta.

    Beliau juga seorang yang cerdas, bahkan sampai ke tingkat genius dan disokong kedudukan tinggi di kalangan Quraisy, beliau sanggup membela Rasulullah SAW dari bencana dan kejahatan ketika melahirkan dakwahnya secara terang-terangan.

    Abbas tidak mengumumkan keislamannya kecuali pada tahun pembebasan kota Makkah menyebabkan sebahagian ahli sejarah memandangnya tergolong yang akhir memeluk Islam.

    Ada riwayat lain dalam sejarah memberitakan beliau adalah antara angkatan yang pertama memeluk Islam tetapi menyembunyikan keislamannya itu.

    Berkatalah Abu Rafi Khadam Rasulullah SAW.: “Aku adalah anak suruhan (pelayan) bagi Abbas bin Abdul Mutthalib, dan waktu itu Islam telah masuk kepada kami, ahli bait (keluarga Nabi) maka Abbas pun masuk Islam begitu pula Ummul Fadlal, dan aku pun juga masuk. Hanya Abbas menyembunyikan keislamannya.”

    Inilah riwayat Abu Rafi yang menceritakan keadaan Abbas yang masuk Islam sebelum perang Badar.

    Orang Quraisy pun tidak menyembunyikan keraguan mereka mengenai hati kecil Abbas, tetapi mereka tidak punya alasan untuk memusuhinya, apalagi padanya lahir tingkah laku dan agamanya tidaklah bertentangan dengan kemahuan mereka.

    Ketika berlaku perang Badar, terbuka kesempatan bagi orang Quraisy untuk menguji pendirian Abbas dengan memaksa beliau turut bersama memerangi Rasulullah dan pengikutnya.

    Walaupun berjaya menceritakan gerak geri dan muslihat orang Quraisy, Abbas dengan hati yang berat menyertai Quraisy dalam peperangan itu.

    Namun, Rasulullah SAW berseru kepada sahabat dan pengikutnya supaya sesiapa yang bertemu dengan Abul Bakhari bin Hisyam bin Harith bin Asad dan Abbas bin Abdul Mutthalib, jangan membunuhnya kerana orang-orang itu dipaksa untuk ikut berperang.

    Perintah itu bukan bermaksud Rasulullah SAW hendak memberikan keistimewaan kepada bapa saudaranya Abbas, tetapi Baginda mengetahui pendirian serta status saudaranya itu.

    Sehinggalah akhirnya apabila Abbas tidak dapat menyembunyikan keislamannya daripada pengetahuan orang Quraisy, beliau mengambil keputusan menyusul Rasulullah ke Khaibar, mengikut rombongan angkatan Islam dan kafilah orang beriman.

    Abbas sangat dicintai dan dimuliakan oleh kaum muslimin, terutama kerana melihat Rasulullah SAW sendiri memuliakan serta mencintainya dengan ucapan, “Abbas adalah saudara kandung ayahku. Maka siapa yang menyakiti Abbas tak ubahnya menyakitiku!”

    Abbas meninggalkan keturunannya yang diberkati Abdullah bin Abbas mutiara umat dengan pengertian alim, abid dan salih, adalah salah seorang anak yang diberkati Nabi.

    Pada Jumaat 14 Rejab 32 Hijrah, penduduk kampung dataran tinggi Madinah mendengar pengumuman: “Rahmat Allah bagi orang yang menyaksikan Abbas bin Abdul Mutthalib!”

    Mereka mendapati Abbas sudah meninggal. Ramai yang mengiring jenazahnya, belum pernah terjadi selama ini sebanyak itu.

    Jenazahnya disolatkan khalifah Muslimin pada waktu itu, yakni Uthman bin Affan. Di bawah tanah Baqi’ beristirahatlah dengan tenang tubuh Abul Fadlal. Beliau tidur nyenyak dengan hati puas, di lingkungan orang baik-baik yang bersama memenuhi janji mereka kepada Allah.
     
    Berfikir saintifik Qurani
    09.07.06 (12:17 am)   [edit]

    Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang berkaitan dengan sains. Surah al-Baqarah ayat 164 menceritakan tentang kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, air hujan yang turun menghidupkan tumbuh-tumbuhan, peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung antara langit dan bumi dan lain-lain.

    Surah al-Anbiyak ayat 33 mengisahkan tentang kejadian siang dan malam, matahari dan bulan. Setiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (angkasa lepas).

    Surah az-Zariat ayat 7, merakamkan mengenai langit yang mempunyai jalan-jalan (sistem orbit). Surah az-Zumar ayat 6 menyatakan Allah menjadikan manusia dalam kandungan ibu berperingkat-peringkat dalam satu kejadian ke satu kejadian dalam tiga suasana yang gelap gelita.

    Al-Quran sebagai suluh memberikan pedoman berfikir kepada saintis Islam mengkaji hikmah di sebalik setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Muhammad ib Zakaria ar Razi (865-925), Burhanuddin Nafis (1438), Ismail Jurjani(1136), Qutb al Din al Shirazi (1236-1310), Mansur ibn Muhammad, Abu al Qasim al Zahrawi adalah sebahagian saintis Islam yang mengkaji bidang perubatan dan anatomi.

    Al Biruni mengkaji ilmu putaran bumi 600 tahun lebih dahulu daripada Galileo dan 700 tahun sebelum Newton. Ali Kushchu, saintis Islam abad ke 15, adalah orang pertama melakar peta mengenai bulan dan sebahagian kawasan bulan mengambil namanya.

    Thabit ibn Qurrah, di abad kesembilan menghasilkan kalkulus (differential calculus) berabad-abad sebelum Newton. Battani, saintis abad ke 10 merupakan orang yang pertama menghasilkan ilmu mengenai trigonometri.

    Al Maghribi, menghasilkan konsep equation yang hari ini dikenali sebagai Pascal Triangle, 600 tahun sebelum Pascal. Ibn Haitam, hidup di abad ke-11 adalah pengasas kepada ilmu sains optik. Roger Bacon dan Kepler menggunakan asas optik untuk kajian selanjutnya dan Galileo pula menghasilkan teleskop atas asas ilmu optik Ibn Haitam.

    Al Kindi memperkenalkan ilmu relatif fizik dan teori mengenai relativiti 1,100 tahun sebelum Einstein. Shamsuddin yang hidup 400 tahun sebelum Pasteur, adalah saintis yang pertama menemui kuman. Ali ibn al Abbas hidup di abad ke 10 adalah doktor yang pertama melakukan pembedahan kanser.

    Semua ini berlaku kerana dorongan saintis Islam untuk mengkaji dan memikirkan hikmah di sebalik kejadian dan kebesaran Allah s.w.t..

    Berpedomankan al-Quran

    Berdasarkan surah-surah yang disebutkan di atas dan contoh-contoh saintis Islam dalam berbagai bidang dan lapangan bagaimana eksplorasi saintifik berpedomankan al-Quran. Al-Quran adalah sumber ilmu. Ia mengandungi prinsip dan perisyaratan mengenai alam dan kehidupan yang perlu diterokai oleh ahli sains supaya kebesaran Allah dan tanda-tanda kehebatan Pencipta dapat dirasai dan mengukuhkan lagi iman manusia tentang kewujudan-Nya.

    Para remaja Islam harus akur bahawa tamadun Islam telah merintis jalan ke arah tradisi sains umat manusia malah ke arah tradisi sains moden. Keupayaan saintis Islam melakukan penerokaan saintifik dengan jiwa tadabbur yang tinggi membolehkan tradisi sains berkembang dengan di Barat.

    Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam. Remaja hari ini harus insaf bahawa Islam tidak hanya lahir sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi terkandung sumber peradaban yang amat luar biasa tingginya.

    Berfikir saintifik Qurani boleh membimbing remaja ke arah kaedah berfikir saintifik dengan merujuk kepada al-Quran. Al-Quran sebagai sumber petunjuk bukan sahaja memberikan pedoman tentang benda yang nyata dan konkrit tetapi menghubungkan faktor ghaibiyyat sebagai faktor penting kehidupan.

    Oleh itu, berfikir saintifik Qurani merangkumi faktor nyata dan ghaib dan faktor nyata memberi isyarat terhadap faktor yang ghaib. Faktor tubuh badan manusia yang hidup adalah faktor yang nyata tetapi faktor yang menghidupkan hayat manusia atau faktor roh adalah faktor yang ghaib.

    Faktor suburnya tumbuh-tumbuhan dan kehidupan adalah faktor yang nyata tetapi yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan bukanlah faktor manusia kerana manusia tidak melakukan penciptaan tetapi berlaku dari faktor ghaibiyyat iaitu kuasa Allah s.w.t..

    Pemahaman asas berfikir seperti ini amat penting bagi remaja yang meyakini bahawa Islam adalah cara hidup. Allah menjadikan akal manusia dan usaha penerokaan saintifik untuk menemukan asas-asas kejadian dan penciptaan dan sedikit maklumat tentang hakikat di sebalik kejadian dan penciptaan. Faktor rohaniah remaja terkait rapat dengan kajian saintifik Qurani.

    Faktor rohaniah membawa remaja kepada percaya tentang kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada tanda-tandanya di sekeliling kita. Rahmat dan nikmat yang banyak di sekeliling kita ada tanda-tanda tentang kebesaran Allah.

    Membimbing manusia

    Untuk membina keimanan yang tinggi kepada-Nya, kajian dan penemuan saintifik Qurani membimbing manusia untuk mengetahui di sebalik kajian terhadap daun, akar dan pohon terdapat hikmah herba yang amat menakjubkan. Di sebalik kajian bahan gas dan uranium terdapat hikmah tenaga yang amat luar biasa kesannya.

    Pada kajian bintang-bintang dan sistem orbit terdapat petanda mengenai pengaturan sistem perjalanan dan perputaran yang tidak mampu dilakukan oleh manusia melainkan kuasa yang maha perkasa iaitu Allah.

    Para remaja Islam harus bersedia melakukan refleksi dan penerokaan kembali asas-asas ilmu sains yang Qurani supaya kajian saintifik tidak terpisah dengan faktor ghaibiyyah yang memberikan asas keimanan yang luar biasa kepada manusia. Islam tidak dianut secara sentimen dan emosi. Islam mendidik umatnya dengan tradisi ilmu yang saintifik.

    Faktor rohaniah apabila dihubungkan dengan faktor saintifik Qurani memberikan jalan berfikir yang serasi antara faktor yang nyata dengan faktor yang ghaib.

    Berfikir saintifik Qurani bakal mengembalikan semula asas epistemologi ilmu sains ke arah yang fitrah. Selama ini Barat memperkenalkan kaedah empiris yang melihat faktor uji kaji, pemerhatian, pemerolehan data dan fakta sebagai satu-satunya asas saintifik dalam rumusan dan diagnos. Tetapi tradisi sains Islam tidak menolak faktor ghaibiyyah sebagai landasan membangun epistemologi baru yang sifatnya lebih integratif. Saintis Barat cuba menyatakan bahawa agama, Tuhan dan Quran adalah dogma atau khayali dan tidak ada asas saintifik yang rasional.

    Tetapi itulah yang berlaku dalam tradisi sains Islam di mana al-Quran dijadikan sumber melakukan tadabbur iaitu uji kaji dan penyelidikan saintifik.

    Memang al-Quran tidak menyediakan formula yang lengkap mengenai sains tetapi al-Quran memberikan manusia perisyaratan tentang kejadian dan manusia melakukan tadabbur hasil dari perisayaratan tersebut dan akhirnya menemui fakta-fakta saintifik yang selari dengan apa yang diisyaratkan.

    Asas ini memerlukan pemikiran reflektif remaja melihat kepada pencapaian saintifik kini dan melakukan rekfleksi terhadap pencapaian masa lalu. Kemudian mengolahnya kembali dalam kaedah berfikir saintifik Qurani yang bakal membawa dan membimbing manusia kembali kepada tradisi sains Islam yang asli.

    Tradisi itu melakukan penerokaan terhadap yang nyata dengan yang ghaib dan akhirnya menemukan manusia dengan hikmat dan asas hakikat yang besar maknanya terhadap keimanan dan ketakwaan manusia terhadap Pencipta.

    - PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

     
    Golongan kafir sembunyikan kebenaran
    09.05.06 (10:50 pm)   [edit]

    Syeikh Sya'rawi berkata: Allah s.w.t. berkata kepada golongan yang dikurniakan kitab sebelum Rasulullah. “Apa yang mereka kenali? Adakah mereka mengenali perkara urusan pertukaran kiblat?

    Atau mereka mengenali hal berkenaan Rasulullah s.a.w., kebangkitannya dan kerasulannya yang mereka cuba untuk mengesyakinya?” Allah s.w.t. mensyarahkan kepada kita sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 89 yang bermaksud: Dan tatkala datang kepada mereka kitab Allah (al-Quran) yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa kitab itu).

    Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan al-Quran), mereka mengingkarinya, maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

    Seterusnya firman Allah s.w.t., Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu , sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

    Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu. (Al-Baqarah: 146-147)

    Firman Allah s.w.t.: Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) ganti nama pada mengenalinya terbahagi kepada dua pendapat:

    1. Kembali kepada Nabi s.a.w.. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas.

    2. Kembali kepada berpalingnya kearah kiblat. Inilah pendapat Abu al-‘Aliyah, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil.

    Sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Imam al-Nasafi menaqalkan kenyataan Abdullah bin Salam, sesungguhnya aku mengenali Muhammad lebih daripada aku mengenali anakku, lantas Umar bertanya kenapa? Jawabnya: Aku tidak syak pada Muhammad berkenaan kenabiannya, sedangkan boleh jadi anakku, ibunya mengkhianati, lantas Umar mengucup kepalanya.

    Sayid Qutb berkata: Mengetahui sesuatu seperti mereka mengetahui anak-anak mereka sendiri itu merupakan satu contoh perbandingan mengikut bahasa Arab yang menunjukkan keyakinan yang tidak ada sebarang kesamaran lagi.

    Jika kaum ahli kitab itu yakin terhadap kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. termasuklah keterangan baginda mengenai kiblat, sedangkan sebahagian mereka sengaja menyembunyikan kebenaran yang diketahui mereka dengan penuh keyakinan itu. Maka tidak ada sebab bagi orang-orang Mukmin itu terpengaruh kepada pendapat-pendapat yang karut dan dusta yang disebarkan oleh ahli kitab itu.

    Tidak ada sebab bagi orang Mukmin untuk mengambil daripada ahli kitab yang mempercayai kebenaran kemudian menyembunyikan sesuatu daripada urusan agama mereka yang dibawa oleh Rasul mereka yang benar dan amanah.

    Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). Kerana mereka menyembunyikan hakikat kenabian Muhammad s.a.w. dan juga perkara berkenaan Kaabah seperti kata al-Baghawi. Sedangkan al-Samarqandi pula berkata: Segala yang terkandung di dalam kitab mereka, mereka sembunyikan.

    Sebenarnya medan pertempuran antara kebenaran dan kebatilan akan berakhir dengan hancurnya kebatilan dengan begitu mudah dan cepat. Akan tetapi yang menjadi panjang ialah pertempuran antara dua kebatilan.

    Justeru sesungguhnya medan peperangan pada zaman moden ini akan berpanjangan dan memenatkan. Contohnya Perang Dunia Kedua, kesan-kesannya berpanjangan hingga kini yang dinamakan sebagai Perang Dingin. Begitu juga dengan peperangan kecil.

    Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah bagaimana perlunya seseorang mengekang hawa nafsunya seperti riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus yang bermaksud: Tidak beriman seseorang kamu dengan sempurna sehingga jadilah hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.

    Firman Allah: Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad). Syeikh Sya'rawi berkata, kebenaran hanya datang daripada Allah s.w.t.. Selama mana daripada Allah tidak harus seseorang merasa ragu dan syak. Antaranya kebenaran pasti menang dan Allah yang hak pasti menolong dan memperkuatkan kebenaran. Benarlah kata penyair: Pedang boleh dihiasi dengan permata, dan tiadalah berfungsi kecuali terletak pada tangan pahlawan.

    Justeru apa faedah bersamamu pedang yang berkilau tanpa adanya tangan yang kuat yang boleh menggunakannya. Itulah hakikat kita yang mengabaikan kebenaran kerana kita tidak mempunyai kekuatan. Adalah datangnya daripada Tuhanmu.

    Oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu. Sayyid Qutb berkata: Tetapi cara firman ini ditujukan kepada beliau adalah mengandungi satu saranan yang kuat untuk diingati kaum Muslimin dibelakang beliau sama ada mereka di waktu itu terpengaruh kepada pendapat-pendapat palsu kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka atau mereka yang datang selepas kaum Muslimin (zaman Rasulullah) yang terpengaruh dengan pendapat-pendapat palsu kaum Yahudi atau bukan Yahudi mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan agama mereka.

    Antara pengajaran ayat:

    1. Ahli kitab mengenali Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana mereka mengenali anak mereka. Justeru wajib bagi kita umat Islam mengenali dan mengkaji sirah Nabi s.a.w. lebih daripada mereka.

    Rujuklah kitab-kitab yang muktabar seperti al-Syamail Muhammadiyah dan lain-lain.

    2. Haram menyembunyikan kebenaran jika mengetahui bahkan ia dilaknat oleh Allah.

    Kebenaran hendaklah dijunjung dan didaulatkan sehingga Allah menjadikannya salah satu daripada sifat wajib bagi Rasulullah s.a.w..

    3 Kebenaran yang hakiki datangnya daripada Allah. Oleh itu, sumber yang paling sahih dan paling benar adalah kitab Allah. Mengkaji dan meneliti berpandukan kepada segala ilmu yang boleh mencapai kepada makrifatnya adalah penting.

    4. Kebatilan berkesudahan dengan kehancuran seperti yang difirmankan oleh Allah, sebaliknya kebenaran akan diserlahkan. Inilah sunnatullah kepada Nabi-nabi dan Rasulnya.

     

     

     

     

    Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Albakri