Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images

Sponsored
Create a Blog!



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Allah melaknat orang yang sembunyikan kebenaran
10.31.06 (6:09 pm)   [edit]

Syeikh Sya’rawi berkata: “Allah yang bersifat sebenar memberi peringatan kepada orang yang beriman dengan penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w bahawa balasan daripada laknat bukan hanya terhad dan terbatas kepada golongan mereka sahaja, tetapi ia umum.

Boleh juga berlaku kepada orang yang beriman dan beragama Islam yang menyembunyikan keterangan Allah.”

Perkataan laknat disebut di dalam al-Quran sebanyak 41 kali. Kadang-kadang datang bagi azab dan jauh daripada rahmat Allah dengan kemurkaan, iaitu kekal di dalam neraka. Kadang-kadang laknat datang dengan cara pengajaran dan pendidikan maka tiada dengan kemurkaan. Kerana yang mendidik tidak marah atau murka ke atas yang dididiknya.

Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan sesuatu yang Kami telah turunkan iaitu dari ayat-ayat yang jelas dan hidayat setelah kami terangkan kepada manusia di dalam kitab suci, merekalah orang-orang yang dilaknatkan Allah dan dilaknatkan oleh sekalian pelaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengislahkan diri mereka dan menjelaskan yang benar, maka untuk mereka Aku terima taubat mereka dan sesungguhnya Aku Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih. (Al-Baqarah: 159-160)

Sayid Qutub berkata, setelah menjelaskan hukum tawaf di Bukit Safa dan Marwa, ayat yang berikut beralih pula kepada menyerang golongan yang menyembunyikan ayat-ayat keterangan dan hidayat yang telah diturunkan Allah, iaitu golongan kaum Yahudi yang telah dibicarakan dengan panjang lebar di dalam rangkaian ayat-ayat yang silam dari surah ini. Serangan ini menyarankan bahawa komplot-komplot mereka tidak terhenti setakat persoalan mengadap kiblat ke arah Masjid al-Aqsa dan kefarduan ibadat haji kepadanya.

Dilaknat

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan sesuatu yang Kami telah turunkan iaitu dari ayat-ayat yang jelas dan hidayat setelah kami terangkan kepada manusia di dalam kitab suci, merekalah orang-orang yang dilaknatkan Allah dan dilaknatkan oleh sekalian pelaknat.

Imam al-Baghawi berkata: Ayat ini diturunkan kepada ulama Yahudi yang menyembunyikan sifat Muhammad s.a.w, ayat rejam kepada penzina yang muhsan dan lain-lain daripada hukum-hukum yang terdapat di dalam Taurat.

Golongan ahli kitab memang mengetahui dan keterangan-keterangan kitab suci yang ada di tangan mereka tentang kebenaran kerasulan Muhammad s.a.w dan tentang kebenaran perintah-perintah yang disampaikan oleh beliau. Namun begitu mereka menyembunyikan keterangan-keterangan yang dijelaskan Allah kepada mereka di dalam kitab suci itu.

Mereka dan orang-orang seperti mereka wujud di mana-mana zaman, iaitu dari orang-orang yang menyembunyikan kenyataan-kenyataan yang benar yang diturunkan Allah kerana sesuatu sebab daripada berbagai-bagai sebab penyembunyian.

Mereka adalah terdiri dari orang- orang yang selalu dilihat oleh orang ramai di berbagai-bagai masa dan tempat, mengambil sikap mendiamkan diri dari kebenaran yang diketahui mereka dan menyembunyikan keterangan-keterangan yang mengakui kebenaran itu, sedangkan mereka sendiri yakin terhadap kebenarannya.

Mereka sengaja menjauhi ayat-ayat termaktub di dalam kitab Allah dan menzahirkannya kepada umum. Malah mendiamkan diri dan menyembunyikannya untuk menafikan hakikat yang diterangkan oleh ayat-ayat itu supaya terlindung jauh dari pendengaran dan kesedaran orang ramai demi untuk mencapai sesuatu tujuan dari tujuan-tujuan keduniaan.

Kita dapat menyaksikan pendirian ini di dalam berbagai-bagai peristiwa dan keadaan mengenai berbagai-bagai hakikat agama ini.

Suka dinyatakan di sini sifat menyembunyikan keterangan ilmu daripada manusia adalah sifat yang keji apatah lagi membabitkan urusan akhirat atau agama yang wajib disebarkan supaya manusia tidak berada dalam kejahilan dan dapat beramal mengikut kehendak agama yang sebenarnya.

Ayat ini seperti kata Ibn Jauzi: “Mewajibkan untuk menzahirkan ilmu-ilmu agama sama ada secara nas atau istinbat dan menunjukkan atas tegahan daripada keharusan menerima upah atas demikian itu.”

Di dalam surah Ali Imran, ayat 187 yang bermaksud: Ingatlah ketika Allah menetapkan perjanjian kepada orang-orang yang diberi kitab iaitu hendaklah menerangkan kitab itu kepada manusia dan janganlah kamu menyembunyikannya, tetapi mereka telah membuang perjanjian itu kebelakang mereka dan mereka menukarnya dengan harga yang sedikit, maka alangkah buruknya barang yang mereka tukar itu.

Al-Wahidi berkata, ayat itu diturunkan ke atas kaum Yahudi Kota Madinah yang diambil oleh Allah perjanjian mereka dalam kitab taurat untuk menerangkan dari hal perutusan Nabi Muhammad s.a.w mengenai sifat-sifatnya dan kerasulannya dan jangan sampai disembunyikan kenyataan itu.

Ia sesuai dengan bunyi firman Allah tadi. Hendaklah kamu menerangkan kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya.

 

Ancaman

Penulis menaqalkan pendapat Imam al-Zahabi di dalam kitabnya al-Kabair mengenai ancaman mereka yang belajar dan mengajar ilmu bukan kerana Allah dan juga menyembunyikan ilmu antaranya:

Hadis riwayat Abu Daud, sabda Nabi s.a.w: yang bermaksud: Barang siapa yang mempelajari ilmu untuk mendapat keredaan Allah akan tetapi dia pula mempelajarinya untuk mendapatkan habuan harta, kekayaan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau harumnya syurga.

Hadis riwayat al-Tirmidzi, sabda Rasulullah s.a.w: Barang siapa yang menuntut ilmu untuk dibangga-banggakannya pada sidang para ulama atau untuk ditunjuk-tunjukkannya kepada para orang yang bodoh atau untuk memikat hati orang ramai kepadanya maka dia adalah menuju ke neraka.

Hadis riwayat al-Hakim, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu lalu orang yang ditanya itu menyembunyikan ilmunya (tidak mahu memberitahunya) maka dia akan dikekang mulutnya dengan kekangan api neraka.

Firman Allah s.w.t: Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengislahkan diri mereka dan menjelaskan yang benar, maka untuk mereka Aku terima taubat mereka dan sesungguhnya Aku Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih.

Inilah sifat Allah yang Maha Penerima Taubat hamba-hambanya yang melakukan kesalahan. Ibn Mas`ud berkata, kecuali mereka yang bertaubat di kalangan Yahudi dan mengelokkan amalan mereka serta menerangkan sifat Rasulullah s.a.w dalam kitab mereka.

 

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Sifat menyembunyikan ilmu atau menggelapkan maklumat adalah dilaknat Allah. Apatah lagi yang membabitkan permasalahan agama dan syariah.

* Manusia tidak terkecuali daripada dosa. Justeru taubat menjadi wajib atas setiap manusia seperti kata ulama.

* Mengisbatkan sifat keampunan dan rahmat bagi Allah s.w.t.

 

 

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).



 
Banyakkan iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan
10.19.06 (5:43 pm)   [edit]

BULAN Ramadan merupakan bulan rahmat dan keampunan serta ia merupakan penghulu bagi segala bulan. Di bulan Ramadan, terdapat pelbagai fadilat dan rahsia sama ada untuk memantapkan rohani mahupun jasmani manusia.

Pada bulan yang mulia ini, Allah s.w.t. melipat gandakan pahala bagi setiap amalan kebajikan yang dikerjakan bagi menggalakkan hamba-hambanya memperbanyakan ibadat dan menjauhkan segala kerja yang sia-sia.

Selain ibadat puasa diiringi dengan solat sunat terawih dan bertadarus, iktikaf juga merupakan antara ibadat yang amat digalakkan pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Amalan iktikaf disunatkan dilakukan secara berterusan terutamanya pada bulan Ramadan, lebih-lebih lagi pada malam sepuluh yang terakhir. Berdasarkan pada hadis-hadis yang sahih, Rasulullah s.a.w. sentiasa melakukan iktikaf secara berterusan pada bulan Ramadan dan secara tidak langsung membuktikan betapa amalan iktikaf amat tinggi darjat dan fadilatnya serta tidak seharusnya disia-siakan oleh kita sebagai umatnya.

Amalan mulia

Para ulama memberi pelbagai definisi mengenai iktikaf. Iktikaf berasal dari perkataan Arab yang bermaksud ‘menunggu atau mengasingkan diri’. Dari segi istilah pula, menurut Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Iqna' menyatakan bahawa iktikaf adalah ‘menunggu atau berada dalam masjid disertakan dengan niat yang tertentu’. Dengan kata lain, iktikaf ialah menetapi di masjid dan berdiam di dalamnya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Pensyariatan iktikaf dinyatakan di dalam al-Quran, sunah dan juga ijmak ulama. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud, Janganlah kamu campuri mereka (isteri-isteri) sedangkan kamu beriktikaf dalam masjid. Pensyariatan iktikaf ini telah bermula sejak dizaman nabi-nabi sebelum daripada ini, seperti yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 125 yang bermaksud: Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang ruku' dan yang sujud. Selain daripada itu terdapat banyak hadis-hadis sahih sebagai bukti pensyariatan iktikaf.

Di dalam sahih Imam al-Bukhari, Abdullah ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa beriktikaf pada 10 hari terakhir pada bulan Ramadan. Dalam hadis yang lain Saidatina Aisyah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa beriktikaf pada 10 malam yang terakhir sehinggalah baginda wafat kemudian diikuti oleh isteri-isteri baginda selepas daripada itu dan hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Menurut ijmak ulama, iktikaf merupakan amalan mulia yang amat digalakkan dan sunat bagi kita mengerjakannya.

Terdapat beberapa hikmat yang begitu besar sekali di sebalik pensyariatan iktikaf. Iktikaf adalah bertujuan untuk mengasingkan diri dari kesibukan yang melalaikan demi menumpukan perhatian kepada ibadat dan ketaatan kepada Alah s.w.t. demi mendapat keredaan daripada-Nya. Melalui iktikaf seseorang itu dapat membersihkan hati dari sifat-sifat yang keji dan mendidik diri untuk bersifat zuhud dari menurut kehendak hawa nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kemaksiatan.

Pengasingan di sini tidaklah bermaksud mengabaikan langsung tentang keadaan di sekeliling, memutuskan silaturahim serta tidak bertegur sapa di atas dasar ibadat. Tanggapan seperti ini adalah salah dan terkeluar dari maksud asal pensyariatan iktikaf.

Bagi memastikan amalan iktikaf ini diterima dan sah menurut syarak, menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin terdapat empat rukun yang perlu dipatuhi. Rukun yang pertama ialah niat iaitu terlintas di hati untuk mendiami di dalam masjid dengan tujuan melakukan ibadat kepada Allah s.w.t.. Sekiranya seseorang itu masuk ke masjid tanpa berniat mendiami di dalamnya untuk melakukan ibadat, maka ia tidak dikira sebagai beriktikaf. Selain itu, mendiami di dalam masjid dalam tempoh yang tertentu merupakan salah satu rukun yang wajib dipenuhi.

Singkat

Menurut Imam al-Nawawi lagi, tidak terdapat tempoh masa yang tertentu bagi mereka yang hendak beriktikaf.

Seseorang itu sudah dikira beriktikaf sekalipun hanya mendiami dalam tempoh yang singkat iaitu dalam tempoh yang lebih lama daripada toma'ninah semasa rukuk dalam solat. Seseorang itu boleh melaksanakan iktikaf sama ada sambil berdiri atau duduk atau berbaring. Rukun ketiga ialah orang yang mengerja iktikaf.

Mereka yang melaksanakan iktikaf hendaklah memenuhi syarat-syaratnya iaitu Islam, berakal dan suci daripada hadas besar. Iktikaf dilakukan oleh kanak-kanak dikira sebagi sah sekiranya ia telah mumayiz sekalipun belum baligh. Isteri yang hendak beriktikaf hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan suami mereka.

Tempat beriktikaf merupakan rukun yang terakhir yang perlu patuhi. Sebenarnya para ulama berselisih mengenai tempat beriktikaf. Menurut Hanafi dan Shafie dalam kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, iktikaf boleh dilakukan di semua masjid dan yang paling afdalnya ialah di masjid tersebut dikerjakan solat Jumaat.

Digalakkan

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, hukum asal bagi iktikaf adalah sunat dikerjakan pada setiap masa. Amalan iktikaf pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi digalakkan terutamanya pada sepuluh hari yang terakhir. Namun begitu para ulamak bersepakat mengatakan iktikaf menjadi wajib bagi mereka bernazar untuk melaksanakannya.

Pengisian yang perlu dilakukan semasa beriktikaf ialah memperbanyakan membaca al-Quran, solat-solat sunat, zikir, tahmid, takbir, berselawat dan amalan-amalan lain yang dibenarkan oleh syarak serta yang dapat menambah ketaatan dan taqarrub kepada Allah s.w.t.. Termasuk dalam ketaatan dan taqarrub adalah membaca kitab-kitab tafsir, hadis, sejarah nabi dan mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat.

Dalam waktu yang sama hendaklah dijauhi perbuatan yang sia-sia seperti mengumpat, memaki hamun dan seumpamanya. Dengan kata lain mereka yang beriktikaf hendaklah menjaga perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala apatah lagi perkara-perkara yang membatal iktikaf yang mereka dilakukan.

Bagi mereka yang beriktikaf dibolehkan untuk memutuskan iktikaf yang sedang dilakukan bila-bila masa yang dikehendakinya dan kemudian diperbaharui niat iktikafnya apabila kembali semula ke masjid.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, iktikaf adalah satu amalan yang disunatkan. Pada bulan Ramadan, amalan iktikaf lebih digalakkan kepada kita berbanding pada bulan-bulan lain dan terdapatnya banyak sekali hadis-hadis yang diriwayat dari perawi-perawi yang berlainan mengenai galakkan melaksanakan iktikaf pada bulan Ramadan khususnya pada malam 10 yang terakhir.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, apabila masuk sahaja sepuluh terakhir bulan Ramadan Baginda s.a.w. akan memperbanyakkan ibadat khususnya pada waktu malam dan mengejutkan ahli keluarganya untuk turut serta bersama dengan Baginda.

Peluang keemasan

Sebenarnya galakan beriktikaf pada bulan Ramadan terutamanya pada 10 malam terakhir, ada kaitan dengan Lailatul Qadar. Berdasarkan pada hadis-hadis yang sahih Lailatul Qadar berlaku pada malam 10 yang terakhir.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Dalam hadis yang lain yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 hari yang terakhir.

Berdasarkan hadis inilah, Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan umatnya melakukan iktikaf khususnya pada 10 malam yang terakhir bagi memastikan umatnya tidak ketinggalan mendapat peluang keemasan pada malam yang penuh dengan keberkatan ini. Ibadat yang dilakukan pada Lailatul Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan iaitu bersamaan dengan 83 tahun empat bulan.

Sudah tentu kita mampu untuk melakukan ibadat sepanjang tempoh tersebut kerana umur umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah terlalu singkat. Dengan sifat Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pemurah Allah s.w.t. telah mengurniakan Lailatul Qadar bagi memberi peluang kepada hambanya mendapat pahala seolah-olah melakukan ibadat seribu bulan.

Pembaca-pembaca yang dihormati sekelian, pada tahun ini Allah s.w.t. masih lagi memberi peluang kepada kita untuk hidup pada bulan Ramadan yang dianggap sebagi bulan keampunan, rahmat dan penuh keberkatan ini.

Oleh itu janganlah sekali-kali kita melepaskan peluang keemasan ini dengan melakukan perbuatan yang sia-sia, sebaliknya perbanyakkanlah ibadat dengan melakukan ketaatan dan pengabdian kepada Allah s.w.t. termasuklah beriktikaf. Peluang yang Allah s.w.t. berikan kepada kita kali ini belum tentu akan kita menikmatinya pada masa akan datang.

 

 

 Oleh WAN ABDUL FATAH WAN ISMAIL

 



 
Ummah sentiasa diseru bertaubat
10.19.06 (5:33 pm)   [edit]

SALAH satu amalan yang sangat dituntut pada Ramadan ialah bertaubat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Telah datang kepadamu Ramadan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa dan memperkenankan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dengan Dia membangga-banggakan kamu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik daripada dirimu. Kerana yang menderita sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini". (Hadis Riwayat al-Tabrani daripada Ubbadah bin Shamit)

Taubat bererti kembali kepada Allah serta memohon keampunan daripada-Nya. Ia adalah tindakan yang disertai dengan perasaan menyesal terhadap apa yang telah lalu dan bersedia untuk kembali menghadap Allah pada sisa-sisa hidup yang masih berbaki lagi. Ini dilakukan dengan meninggalkan perbuatan dosa, di samping berazam kuat untuk mengerjakan amalan salih sebagai bukti kebenaran taubat yang dilakukan.

Firman Allah bermaksud: "Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, ayat 135).

Alangkah luasnya rahmat agama ini, sesungguhnya Allah tidak hanya menyeru hamba-hamba-Nya agar berkasih mesra sesama mereka, malah Dia memperlihatkan betapa luas rahmat-Nya sendiri terhadap mereka, supaya mereka dapat merasainya, mempelajari dan mencontohinya.

Islam memang memahami akan kelemahan makhluk yang dinamakan manusia ini kadang-kala terjatuh ke lembah perbuatan dosa dan keji kerana dipengaruhi oleh dorongan keinginan nafsu syahwat, ketamakan dan keinginan lain yang membawa kepada kederhakaan kepada Allah.

Oleh demikian, Islam tidak terus bertindak menghukum dan mengetepikannya daripada rahmat Allah ketika ia menganiaya dirinya sendiri, dengan melakukan perbuatan keji atau dosa besar. Bahkan, Islam menganggap cahaya imannya masih bersinar pada rohnya, belum lagi padam.

Titisan imannya masih segar di hatinya, belum lagi kering, hubungannya dengan Allah masih lagi hidup segar, belum layu. Islam mengetahui memang seorang hamba mungkin bersalah, tetapi ia ada Tuhan yang bersedia mengampuninya.

Justeru, bagi seorang hamba yang lemah dan bersalah masih mempunyai kebaikan. Ia masih dalam suatu perjalanan yang belum berakhir, masih dapat berpegang kepada tali yang kukuh dan kuat belum lagi putus.

Paling penting ia perlu mengenal pasti kelemahannya itu, maka akhirnya ia akan menemui pangkalnya selagi imannya masih bersinar dan tali ada di tangannya. Selagi ia mengingati Allah dan tidak kepada-Nya, memohon ampun daripada-Nya di samping membuktikan ubudiahnya dan kehambaannya yang sejati kepada Allah.

Dengan ini bukanlah bermakna bahawa Islam mengajak orang kepada memandang remeh terhadap dosa, bahkan ia ingin melayani kelemahan manusia agar tertanam ke dalam jiwa manusia harapan seperti Islam menanam perasaan malu.

Keampunan daripada Allah – siapakah yang boleh memberi keampunan terhadap dosa selain Allah. Ia hendaklah sentiasa berasa takut, bukan mengharap secara melulu.

Demikianlah Islam menghubungkan antara hamba yang rendah dengan Allah Zat Yang Maha Tinggi. Itulah rahmat bagi manusia yang menyedari kemampuannya, yang sentiasa terbuka luas di hadapannya pintu harapan.

Al-Imam al-Nawawi berkata: “Taubat itu wajib terhadap segala dosa. Sekiranya dosa itu di antara hamba dengan Allah saja tidak membabitkan manusia lain, ia mempunyai tiga syarat, iaitu pertama, meninggalkan perbuatan dosa yang dilakukan kedua, menyesal terhadap perbuatan yang dilakukan dan ketiga, berazam kuat untuk tidak mengulangi lagi selama-lamanya. Sekiranya ia tidak memenuhi ketiga-tiga syarat itu tidak sah taubatnya. Andainya dosa itu berkaitan dengan manusia, syaratnya jadi empat, selain daripada tiga tadi ia mesti selesaikan hak tuannya, kalau ia membabitkan harta atau sebagainya, maka ia hendaklah mengembalikan kepada tuannya.”



Di antara faedah daripada taubat ialah dapat memperbaharui iman dan membantu memerangi syaitan serta mengatasi nafsu yang sentiasa mendorong melakukan kejahatan, dan akhirnya dapat menyerahkan sepenuh jiwa kepada Allah.

Abu Muslim al-Khulani berkata: Meninggalkan dosa lebih mudah daripada bertaubat.


 
Beriman, istiqamah jadi Muslim sempurna
10.19.06 (5:30 pm)   [edit]

DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau bertanya kepada Rasulullah saw bersabda: “Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Rasulullah menjawab: (Islam itu adalah) kamu berkata Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah.”

Berdasarkan hadis di atas, ada dua tuntutan untuk menjadi Muslim sempurna iaitu beriman kepada ajaran Islam dan beristiqamah dengan keimanan itu.

Orang yang istiqamah ialah seorang yang komited, tekun dan gigih melakukan sesuatu pekerjaan, tugas dan tanggungjawab. Ia sama ada berupa perintah agama, peranan sosial atau amanah pekerjaan hingga mencapai cita-cita dan matlamat yang dirancangkan.

Tuntutan beristiqamah bukan saja menjadi kewajipan umat Islam terbanyak, malah rasul dan nabi terdahulu dipertegaskan oleh Allah agar terus beristiqamah dalam menjalankan tugas dan kewajipan kerasulan dan kenabian mereka.

Hal ini dapat dilihat dalam al-Quran apabila Allah menganjurkan kepada Nabi Muhammad bermaksud: “Maka beristiqamahlah engkau seperti engkau diperintahkan.” (Surah Hud, ayat 112)

Dalam satu ayat lain, Allah mengingatkan Nabi Musa agar terus beristiqamah ke jalan Allah serta tabah menghadapi cabaran dan ugutan daripada Firaun. Firman-Nya bermaksud: “Maka beristiqamahlah kamu berdua dan jangan kamu ikut jalan orang yang tidak tahu.” (Surah Yunus, ayat 89)

Istiqamah yang akan memastikan nur atau sinarnya terus berkekalan dan tersebar menerangi kegelapan alam ini akibat kejahilan dan kelalaian manusia.

Kita dapat mengecapi cahaya iman dan Islam hasil istiqamah Nabi Muhammad terhadap ajaran Islam yang diutuskan kepada Baginda.

Dengan sebab istiqamah kepada kebenaran ajaran Islam, Baginda menolak segala rayuan dan permintaan pemimpin Quraisy agar meninggalkan dakwah Islam.

Baginda menolak tawaran mereka yang menjanjikan kurniaan imbuhan dalam bentuk kuasa tertinggi, harta terbanyak dan wanita terbaik di Tanah Arab pada waktu itu.

Rasulullah bersabda: “Seandainya diletakkan bulan pada tangan kiriku dan matahari pada tangan kananku, nescaya aku tidak akan meninggalkan dakwah dan ajaran.”

Allah juga amat memahami bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan ujian dan godaan. Bagi manusia yang tidak mampu untuk mengawal dirinya, nescaya mereka akan mudah lalai dan alpa dengan segala keasyikan hidup.

Kehidupan dunia yang penuh godaan dan dugaan ini digambarkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Harta benda dan anak-anak itu adalah perhiasan hidup di dunia, dan amalan baik yang berkekalan adalah lebih baik di sisi Tuhan kamu dan lebih baik dicita-citakan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Pada Ramadan ini, umat Islam berjaya dan mampu melaksanakan pelbagai ibadat dan amalan salih. Ini membuktikan perkara sama boleh dilakukan oleh setiap Muslim sepanjang masa, bukan ketika Ramadan saja.

Justeru, jika kita beristiqamah kita mampu patuh, taat dan tekun dalam mengamal dan melaksanakan segala ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Jelas, istiqamah sebagai satu disiplin adalah pelengkap penting yang akan menjamin kesempurnaan Islam seseorang.


 
Amalan zikir jadikan jiwa tenang, selamat
10.15.06 (5:08 pm)   [edit]

MENGINGATI Allah atau zikrullah adalah amalan yang paling mulia melalui pergerakan lidah, kesedaran akal budi dan keinsafan hati dan jiwa.

Dengan mengingati Allah manusia akan berasa ketenangan jiwa kerana dia menyedari bahawa berada di samping Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang kepada hamba-Nya.

Apabila dia kembali kepada-Nya, maka sebenarnya dia kembali berpaut kepada asas yang kukuh. Manusia kadang-kadang gelisah menghadapi masa depan belum pasti keadaannya atau kadang-kadang berasa lemah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mendepaninya.

Dalam hal ini, sekiranya orang yang beriman kepada Allah, mereka akan ingat bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas segala sesuatu, Allah Maha Melihat segala-galanya, Allah mampu mengatasi semua hal di dunia ini.

Dengan demikian akan tenanglah jiwanya. Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Perasaan tenang itu wujud kerana jiwanya berhubungan langsung dengan Allah dan rasa selamat di bawah jagaan-Nya. Ketenangan hati orang yang beriman hasil daripada zikrullah itu adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh orang yang hatinya diliputi oleh kemanisan iman. Ia tidak boleh diungkapkan melalui kata-kata kepada orang yang tidak menghayatinya. Bahkan, ia sesuatu yang meresap ke dalam hati sehingga ia berasa tenang dan sejahtera dengannya.

Akhirnya ia merasai bahawa dia tidak keseorangan tanpa teman rapat di dunia ini. Pada hal apa yang ada di sekelilingnya adalah kawannya kerana semua ciptaan Allah dan di bawah jagaan-Nya belaka. Tidak ada orang yang paling menderita di dunia ini daripada mereka yang hilang ketenangan berdampingan dengan Allah.

Orang yang mengingati Allah di dunia ini memperolehi ketenangan jiwa, sementara di akhirat pula mendapat keampunan dan ganjaran yang besar. Firman Allah bermaksud: "... dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Rasulullah SAW adalah pimpinan dan model bagi orang yang berzikir. Baginda menyebut nama Allah pada setiap saat - ketika makan dan selesai daripadanya. Ketika minum atau sehabisnya. Ketika memakai pakaian dan menanggalnya, ketika masuk rumah dan keluar daripadanya, ketika hendak tidur atau bangun daripadanya.

Demikian juga ketika keluar untuk musafir atau baliknya, ketika menunggang kenderaan atau ketika memasuki sesebuah kampung. Begitulah ketika menziarahi kubur, ketika kemarau dan solat minta hujan, ketika angin bertiup kencang, ketika hujan lebat atau banjir.

Ringkasnya tidak berlaku sebarang keadaan atau kejadian melainkan hatinya sentiasa ingatkan Allah dan sekaligus lidahnya akan menyebut nama Allah dalam erti kata zikir kepada-Nya.

Dengan mengingati Allah akan tersedar hati orang yang beriman terutama ketika syaitan menjerumuskannya kepada dosa sehingga melakukannya, dia tidak biarkan dalam keadaan demikian.

Dia akan mengingati bahawa dia ada Tuhan yang sedia memberi keampunan dan menerima taubat, sebagaimana firman-Nya bermaksud: " Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, ayat 135].

Ingatkan Allah akan datang kepada seseorang ketika masa lapangnya. Alangkah banyaknya masa lapang yang kita gunakan untuk berseorang diri apa lagi pada waktu akhir malam yang sunyi sepi.

Apabila kita ingatkan Allah, mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang terjadi di sekeliling akan menjadi lembut hati dan dengan tidak disedari mengalir air mata membasahi pipi, semoga Allah mengampunkan segala dosa kesalahannya. Ia kerana termasuk dalam golongan orang yang bakal mendapat bayangan teduh Allah pada hari kiamat nanti seperti disebut dalam hadis:"... seorang yang mengingati Allah ketika sunyi lalu menglir air matanya …."

Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).
 Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad


 
Sambut hari raya dalam suasana ibadat
10.15.06 (5:05 pm)   [edit]

KINI hampir sempurna bilangan hari yang menguji ketahanan iman dan tibalah masa pada penghujungnya. Hari yang amat bersejarah bagi mujahid yang memenangi peperangan melawan hawa nafsu dan syaitan.

Satu pingat kebesaran akan dianugerahkan oleh Yang Maha Berkuasa kepada hamba-Nya yang berjaya. Pingat itu berupa pahala yang melimpah ruah dan keampunan turun bersama jutaan malaikat pembawa rahmat.

Di samping itu anugerah janji syurga yang memiliki pintu gerbang perdana bernama al-Rayyan, yang hanya khusus untuk mereka yang berpuasa. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kita bergembira dengan limpah kurnia Allah SWT, maka pasti syaitan dan iblis laknatullah, musuh bani Adam yang menyimpan dendam itu akan meraung dan menangis.

Ketika kita sujud kepada Allah, membaca Kitabullah, merapati sunnah Rasulullah SAW dengan membaca hadisnya, menahan seluruh anggota badan daripada kejahatan dan maksiat serta membersih hati daripada kekotoran, berkasih sayang kepada sesama insan, bekerja dan beramal untuk kejayaan Islam, maka pada setiap hari dan sepanjang hidup kita, pastilah syaitan laknatullah menangis dan menjerit kalah dalam pertarungan ini. Sehingga Allah memanggil kita kembali ke sisi-Nya.

Hari raya adalah hari kemenangan dalam episod peperangan besar, namun, hendaklah kita sentiasa ingat masih banyak lagi episod yang belum habis dijelajahi.

Peperangan ini belum berakhir dan pedang mesti sentiasa tajam untuk memastikan kita tidak terluka oleh waktu kemenangan sesaat. Dalam pesta kesyukuran ini, musuh pasti akan menyusup masuk secara senyap ke dalam barisan orang beriman.

Pintu hati mereka akan dikuasai tanpa sedar dan akhirnya orang yang berpuasa selama sebulan itu kembali hanyut dan tenggelam oleh arus nafsu syahwat dan pujuk rayu syaitan laknatullah, seperti semula.

Di manakah biasanya syaitan bersembunyi ketika kita menyambut kegemilangan Syawal? Jawapannya cukup mudah;

1. Mereka berada pada hidangan yang membazir.

2. Mereka merasuk hati orang yang riyak dan sombong dengan pakaian, perhiasan, kenderaan, wanita, anak, pangkat dan kedudukannya. Mulut orang yang riak tidak pernah bosan menceritakan segala kelebihan yang dimiliki, sedangkan orang yang sombong suka merendah-rendahkan orang lain dan menyakitkan hati.

3. Syaitan menghembuskan kenikmatan pada hiburan dan permainan yang berlebihan sehingga manusia lupakan Allah. Ibadat yang biasa dilakukan pada bulan puasa tidak diamalkan lagi, al-Quran disimpan dalam almari, kain sembahyang disingkirkan, zikrullah dan majlis ilmu diganti dengan hiburan yang melalaikan.

Persoalannya, apa yang perlu dilakukan? Sebagai Muslim, pastilah rujukan paling autentik ada pada diri Rasulullah SAW. Bagaimana cara Rasulullah SAW meraikan hari raya? Baginda melakukan perkara berikut;

1. Bergembira dengan lafaz takbir dan tahmid kepada Allah, mengingatkan hamba Allah agar menyambut hari kemenangan ini dengan kesyukuran kepada Allah dan mengagungkan-Nya.

2. Berhias dan memakai pakaian yang baru menuju ke masjid sebagai tanda syukur semata-mata, bukannya kerana riyak dan sombong.

3. Mengajak ahli keluarga beramai-ramai ke masjid bersembahyang sunat Aidilfitri dan wanita yang dalam haid atau nifas juga hadir untuk mendengar khutbah saja.

4. Bermain dan berhibur. Suatu saat hari raya, Rasulullah SAW pernah keluar melihat orang Sudan yang berkulit hitam bermain tombak. Daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apakah kamu ingin melihat permainan mereka? Aku menjawab: Ya, aku diperintahkan untuk berdiri di belakang Baginda, pipiku menempel pada pipi Baginda. Rasulullah SAW bersabda: "Teruskanlah permainan kamu wahai anak-anak keturunan Arfidah!" (Hadis Imam al-Bukhari)

5. Banyak bersedekah. Daripada Ibnu Abbas beliau berkata bahawa: “Rasulullah SAW bersembahyang hari raya Aidilfitri dua rakaat. Baginda SAW tidak bersembahyang yang lain sebelum dan selepasnya, Baginda SAW kemudian mendatangi kaum wanita dan bersamanya Bilal. Baginda SAW menyuruh supaya kaum wanita itu mengeluarkan sedekah, mereka meletakkan anting-anting besar dan rantai emas mereka ke dalam bungkusan sedekah berkenaan.“ (Hadis Imam al-Bukhari)

Hari raya boleh dijadikan sebagai pesta kesyukuran dalam suasana ibadat, akan tetapi unsur maksiat dan dosa hendaklah dihindari untuk memastikan kegembiraan itu diredai Allah dan memenuhi kehendak ibadat yang makbul.
– juanda@kutpm.edu.my



 
Sifat syukur tanda orang beriman
10.15.06 (5:02 pm)   [edit]

ALLAH melimpahkan rahmat-Nya kepada manusia sepanjang masa, tanpa sedetik pun terlepas dinikmati manusia. Jika tanpa rahmat Allah sedetik, pasti musnah seluruh alam ini, termasuk manusia dan segala kemegahan yang dikagumi selama ini.

Justeru, hendaklah kita sentiasa sedar dan menyatakan rasa bersyukur kepada-Nya di atas segala nikmat hidup yang dianugerahkan. Sifat menunjukkan rasa bersyukur bukan saja satu amalan seperti mengucapkan rasa berterima kasih sesama manusia.

Sebaliknya, perbuatan yang berkaitan tanda bersyukur juga menjadi bukti tanda keimanan seseorang. Orang beriman sentiasa sedar siapakah dirinya dan tujuan asal diciptakan Allah. Apa yang dinikmati dan dimiliki di dunia ini adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara sahaja.

Nikmat yang Allah sediakan untuk manusia amat besar. Manusia tidak mampu menggerakkan anggota badan sendiri tanpa izin Allah. Malah, tidak ada satu sel badan, daripada berbilion-bilion sel dalam badan, dapat berfungsi sendiri melainkan ia ketentuan Allah.

Maka, besarnya kekuasaan Allah dan nikmat diberikan kepada manusia. Sesungguhnya, kehidupan ini serba lengkap dan sempurna. Manusia tidak mampu menghitung apa yang dinikmati kerana tidak ada satu pun melainkan ia adalah ihsan kurniaan Allah.

Sedangkan Allah Maha Pengasih dan Maha Pemurah tidak meminta sebarang balasan terhadap apa dianugerahkan kepada manusia, melainkan beribadat dan bertakwa kepada-Nya.

Setiap yang dilakukan manusia untuk dirinya sendiri baik di dunia mahupun akhirat, Allah tidak mengharapkan pertolongan daripada manusia.

Memandangkan sifat manusia mudah lupa, maka Allah banyak kali memberi peringatan dalam al-Quran yang menyebut kalimah syukur digandingkan dengan kalimah zikr (ingat).

Kedua-dua kalimah itu memberi peringatan supaya manusia mengkaji setiap kejadian alam yang dijadikan Allah, tidak mudah lupa diri dan tidak bersikap angkuh.

Biasanya orang yang tidak bersyukur mudah lupa apabila mendapat kemewahan dan kejayaan hidup. Mereka menganggap itu adalah hasil daripada usahanya sendiri, serta menjadi kufur dan ingkar kepada Allah.

Sedangkan apabila dirinya ditimpa kecelakaan dan kesukaran hidup, maka mudah pula dia hilang pertimbangan dan keyakinan diri, lalu menyalahkan Allah atas nasib yang menimpanya.

Ironinya, mereka tidak pula menganggap kecelakaan dan kegagalan itu berpunca daripada sikapnya sendiri.


 
Puasa
10.12.06 (11:11 pm)   [edit]
Puasa wajib ialah selama siang hari Ramadhan yaitu bulan kesembilan setiap tahun Qamariah. Kewajiban ini berlaku bagi kaum lelaki dan perempuan, diketahui dari Firman ALLAH yang artinya sebagai berikut:  
2/184. Pada hari-hari berbilang, maka siapa yang sakit dari kamu atau atas beban, hitungannya pada hari-hari berikutnya, dan atas  orang-orang yang menguatkan diri padanya ialah fidyah makanan orang  miskin. Siapa yang menyanggupi dengan baik maka dia baik baginya.  Kamu berpuasa itu baik bagimu jika kamu mengetahui.
 
2/185. Bulan Ramadhan ialah diturunkan padanya Alquran, petunjuk  bagi manusia dan keterangan tentang petunjuk serta garis pemisah.  Siapa yang membuktikan dari kamu bulan itu (dengan ilmunya)hendaklah  mempuasakannya. Dan siapa yang sakit atau atas beban, maka  hitungannya pada hari-hari berikutnya. ALLAH menginginkan kemudahan
padamu, tidak menginginkan kesulitan padamu, dan agar kamu menyempurnakan hitungan itu serta membesarkan ALLAH atas apa yang  DIA tunjukkan padamu dan semoga kamu menghargai.
 
2/187. Dihalalkan bagimu pada malam puasa itu bercampur pada istrimu. Mereka pakaian bagimu, dan kamu pakaian bagi mereka. ALLAH mengetahui bahwa kamu menghianati dirimu lalu DIA memberi tobat  atasmu dan memaafkan kamu, maka kini gembirakanlah mereka dan  carilah (kehamilan) yang ALLAH wajibkan atasmu. Makan dan minumlah  hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam waktu fajar.
Kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan gembirakan mereka, dan kamu berukuf dalam Mesjid-mesjid. Itulah batas-batas  hukum ALLAH, janganlah mendekatinya.  Demikian ALLAH menerangkan Ayat-ayat-NYA bagi manusia semoga
mereka menginsyafi.
 
Rasanya pada ketiga Ayat Suci yang artinya dicantumkan di atas ini telah sempurna ketentuan wajib puasa bagi manusia dengan segala  peraturan, tujuan, dan faedahnya. Namun semua itu membutuhkan  analisa dengan pemikiran logis, di bawah ini kita sampaikan pokok-  pokok seperlunya sesuai dengan kesadaran yang berlaku:
 
A. Alquran adalah Kitab Suci terakhir diturunkan ALLAH bagi tuntunan hidup seluruh manusia yang mendiami planet-planet dalam lingkungan  Tatasurya ini. Dia diturunkan malam hari, dinyatakan pada Ayat 97/1, yaitu malam ketentuan waktu mana Bumi tepat berada di bawah transit  planet Muntaha mengitari Surya. Ketika itu malekat turun bersama  segala urusannya hingga pada Ayat 44/3 dikatakan bahwa malam itu penuh barkah atau dibarkahi. Dalam sejarah tercatat bahwa malam Alquran diturunkan itu ialah pada bulan Ramadhan. Hal ini sesuai dengan pernyataan Ayat 2/185. Tuntunan hidup yang terkandung dalam Kitab itu terbagi pada tiga pokok penting yaitu petunjuk, keterangan tentang petunjuk, dan garis pemisah. Petunjuk ialah hukum dan sikap hidup yang harus berlaku di antara manusia di segala tingkat dan keadaannya, ketentuannya mudah dapat difahami dan dihayati oleh semua orang. Hal ini disebut dengan Ayat
Mukhamat pada Ayat 3/7. Sementara keterangan tentang petunjuk disebut dengan Ayat Mutasyabihat yaitu ketentuan-ketentuan hukum tentang segala sesuatu yang baru dapat difahami melalui penganalisaan logis tentang mana sangat diperlukan pengetahuan luas
dan perhatian penuh. Hal ini disebut juga dengan "pemikiran" yang dijelaskan bagi para ilmuawan.  
15/9. Bahwa KAMI menurunkan pemikiran, dan KAMI adalah penjaga baginya.
 
41/2. Turun dari ARRAHMAAN yang penyayang.
 
41/3. Kitab yang dijelaskan Ayat-ayatnya Alquran berbahasa Arab untuk kaum yang berilmu.
 
Jadi, Ayat-ayat Mutasyabihat yang banyak terdapat dalamm Alquran sengaja ditujukan bagi para ilmuwan, memang wajarnya demikian, dan mereka inilah, selaku orang-orang penting dan pemimpin masyarakat, kemudiannya menjelaskan kepada orang banyak segala sesuatu ilmiah yang dalam Ayat 2/185 disebut dengan "keterangan tentang
petunjuk".
 
Alquran juga mengandung "garis pemisah" yang pada Ayat 44/4 dimaksudkan "di dalamnya dipisahkan setiap urusan bijaksana", bahwa dalam Alquran itu dapat diketahui mana yang baik dan buruk, begitupun mana yang berfaedah dan merusak untuk dihayati dalam kehidupan berkelanjutan yang berujung pada Hari pembalasan di Akhirat nanti.
Jelaslah bahwa Alquran berisikan tuntunan logis bagi manusia dalam kehidupan, walaupun di antara Ayatnya disebut Mutasyabihat yang dapat diketahui maksudnya oleh orang-orang berilmu, namun Ayat Mukhamat yang mudah dapat difahami juga menjuruskan orang kepada berfikir logis untuk beroleh keinsyafan. Karena itulah Alquran diturunkan pada bulan Ramadhan yang pada siang harinya orang diwajibkan puasa yang juga menjuruskan orang kepada keinsyafan tentang hidup, termuat pada akhir Ayat 2/183 dan 2/187.
 
B. Kini timbul pertanyaan: Siapa saja di antara lelaki dan perempuan yang diwajibkan berpuasa Ramadhan itu? Jawabnya ialah:
 
1. Diwajibkan melakukan ibadah puasa adalah orang-orang beriman yaitu mendirikan Shalat dan hukum lainnya dalam Islam. Orang-orang yang tidak beragama Islam boleh melakukan puasa itu untuk keuntungan dirinynya secara psikologis dan biologis, tetapi tiada faedahnya bagi orang itu dalam perhitungan risiko dirinya di Akhirat nanti,
kecuali sewaktu dia telah bertobat dan menganut Islam lalu melaksanakan hukum agama itu sebelum meninggal dunia. Tentang ini ALLAH menyatakan dalam Alquran yang artinya:
 
2/131. Ketika TUHAN-nya berkata padanya: "Islamlah". Dia berkata "Aku Islam untuk TUHAN seluruh manusia."
 
2/132. Dan Ibrahim mewasiati anak-anaknya dengannya, begitupun Yakub (cucunya): "Hai anak-anakku, bahwa ALLAH telah memilih untukmu agamu itu, maka janganlah mati kecuali kamu orang- orang Islam."
 


 
Zakat fitrah penyelamat umat daripada kehancuran
10.12.06 (4:56 pm)   [edit]

ZAKAT adalah salah satu Rukun Islam dan sendi untuk melengkapkan agama Islam. Pelaksanaannya dibuat selepas perintah mendirikan solat, yang menjadi tiang agama.

Firman Allah bermaksud: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat." – (Surah al-Baqarah, ayat 110)

Rasulullah SAW bersabda: “Islam itu didirikan di atas lima perkara iaitu menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba-Nya serta utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa bulan Ramadan dan beribadat haji di Baitullah bagi orang yang mampu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah memberikan amaran keras kepada orang yang lalai atau sambil lewa untuk melaksanakan kewajipan ini. Firman-Nya bermaksud: “Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak suka membelanjakannya dalam fisabilillah, maka beritahukanlah kepada mereka itu akan memperolehi seksa yang amat pedih sekali.” – (Surah Taubat, ayat 34)

Ahnaf bin Qais berkata: “Pada suatu ketika saya berada di dalam kelompok orang Quraisy. Abu Dzar lalu di kawasan itu dan dia berkata: “Beritahukanlah kepada orang yang suka menyimpan hartanya dan tidak suka berzakat bahawa mereka akan ditusuk ke dalam punggung dengan api itu sehingga keluarlah besinya dari rusuk, juga ditusuk dari dalam tengkuknya sehingga keluar besi itu dari dahi mereka.”

Ancaman itu membuktikan bahawa menunaikan zakat adalah cukup penting dan ia termasuk dalam urusan agama yang mesti diberikan perhatian.

Pada Ramadan yang mulia ini setiap umat Islam diwajibkan menunaikan zakat fitrah. Bagi mereka yang mempunyai keupayaan menanggung keluarganya pada malam Aidilfitri dan siangnya, wajiblah dia menunaikan zakat fitrah. Kadarnya mengikut bilangan keluarga yang wajib diberi nafkah.

Walaupun bayi yang baru saja di lahirkan dan ia mendapat sebahagian daripada Ramadan.

Sesiapa meninggal dunia sebelum tenggelamnya matahari atau lahir selepas tenggelamnya matahari pada hari terakhir Ramadan itu tidak wajib zakat fitrah ke atasnya.

Ia kerana tidak berhimpun pada mereka itu puasa Ramadan dan berbuka puasa pada Syawal.



Menunaikan zakat fitrah sangat penting serta perlu dijadikan sebagai agenda utama bagi setiap umat, pemerintah serta kerajaan Islam.



Membayar zakat fitrah pada Ramadan bukan saja menambahkan kemeriahannya, tetapi tersirat seribu makna dan maksud tersendiri.

Antaranya, ia menyelamatkan setiap individu dalam masyarakat daripada kehancuran.

Mengabaikan tanggungjawab berzakat sebenarnya mengundang bala dan kehancuran bagi sesebuah masyarakat.

Si kaya yang tidak berzakat tidak terdidik jiwanya menjadi manusia pengasih dan merendah diri. Jika ia berlaku lahirlah masyarakat yang anggotanya dipenuhi orang mementingkan diri sendiri dan tidak teragak-agak memijak serta menganiayai orang lain asalkan matlamatnya tercapai.

Berzakat turut mewujudkan masyarakat penyayang. Ia tuntutan agama serta fitrah manusia, malah syarat mewujudkan sebuah negara maju yang makmur.

Zakat fitrah titik-tolak untuk kita menjadikan kasih sayang serta perasaan cinta menyintai sesama insan sebagai asas perbelanjaan dan pengagihan kemewahan terkumpul.

Asas ini sangat penting supaya segala bentuk kezaliman sesama insan dapat dihapuskan dan kehidupan harmoni di dunia diwujudkan.

Berkasih sayang penting kerana:

  • Ia syarat mendapat kasih sayang dari Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang pengasih akan dikasihi Tuhan, kasihilah makhluk di dunia ini, nescaya kamu akan dikasihi Allah.”

  • Ia menjadi sumber kekuatan kepada sesebuah masyarakat.

    Firman Allah: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan (jika kamu lakukan) nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”

    l Ia syarat untuk memasuki syurga Allah. Sabda Rasulullah SAWb diriwayatkan Imam Al-Bukhari: “Dan demi nyawaku di dalam genggamannya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman sepenuhnya sehingga kamu sayang menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih sayang, ia adalah memberi salam sesama kamu.”

    Umat Islam hendaklah bersegera dalam mengeluarkan zakat dengan menyedari bahawa ia adalah antara tuntutan Rukun Islam.

    Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat.

    Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan. Kefarduan mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan.

    Zakat fitrah diwajibkan pada Ramadan kerana Allah memberi keistimewaan kepada Ramadan sebagai bulan toleransi dan perpaduan antara kaya dan miskin.

    Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar serta menimbulkan nilai toleransi dan perpaduan orang kaya terhadap orang miskin.

    Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, kerosakan puasanya. Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.


  •  
    Sinar Ramadan: Menilai kualiti puasa pada akhir Ramadan
    10.12.06 (4:53 pm)   [edit]

    PADA hari penghujung Ramadan ini setiap Muslim sewajarnya bermuhasabah dan menilai diri terhadap ibadat puasa yang dilaksanakan. Persoalannya apakah ibadat puasa kali ini benar-benar mencapai matlamat ditetapkan Allah iaitu untuk melahirkan insan bertakwa? Apakah setiap Muslim dapat meraih darjat insan bertakwa dan akhirnya kembali kepada fitrah selepas sebulan penuh berpuasa Ramadan?

    Perlu diinsafi bahawa nilai dalam ibadat puasa jika dapat digunakan dengan penuh istiqamah, ikhlas dan sabar pada bulan berikutnya, maka dia sudah melaksanakan ibadat puasa dengan sebaik-baiknya seperti diperintahkan Allah.

    Dalam konteks ini, ibadat puasa adalah wahana terbaik ke arah perubahan dan reformasi secara menyeluruh dari aspek mental, jasmani dan rohani. Perubahan ini bukan hanya dapat dirasai orang perseorangan, malah sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara secara kolektif.

    Perubahan dan reformasi mental yang disasarkan oleh ibadat puasa adalah medan perjuangan bakal melahirkan peribadi cemerlang yang memiliki daya pemikiran tepat, bernas dan fleksibel dalam mendepani pelbagai cabaran dan rintangan.

    Seorang Muslim yang berpuasa sudah terbentuk dalam kotak pemikirannya untuk memelihara adab berpuasa. Perkara ini penting supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang mencacatkan kesempurnaan puasanya. Ibadat puasa juga mengajar seorang Muslim supaya bersifat jujur terhadap dirinya, di samping menginsafi pengawasan Allah terhadap segala gerak-geri dan tindak-tanduknya.

    Selain itu, perubahan dan reformasi mental akan terpantul dalam konteks hubungan kemasyarakatan apabila wujudnya sifat kasih sayang, bantu membantu dan mengutamakan keperluan golongan susah dalam jiwa setiap Muslim yang berpuasa.

    Dalam erti kata lain, ibadat puasa berfungsi menyatukan umat dalam naungan Islam, kembali kepada fitrah dan bersama berganding bahu memacu kegemilangan umat Islam.

    Jelas bahawa ibadat puasa mengajar umat Islam pentingnya kesepaduan atau hubungan ukhuwah jitu sesama umat Islam, terutama kesedaran dalam membantu fakir miskin. Oleh itu, Islam amat menganjurkan umatnya agar memberikan sumbangan, derma, sedekah, zakat dan amalan sosial lainnya kepada golongan itu.

    Dengan ini, puasa Ramadan bukan saja berupaya memantapkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ummah sejagat, malah amalan sosial itu berperanan membebaskan umat Islam daripada kotoran jiwa berkaitan harta benda seperti tamakkan harta, kikir dan penyakit jiwa lain.


     
    Pesan Rasulullah: Pintu ar-Rayyan khas buat orang berpuasa
    10.12.06 (4:52 pm)   [edit]

    DARIPADA Sahl bin Sa’ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah sangat mulia di mana Allah menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan ar-Rayyan.

    Malaikat yang menjaga pintu itu akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak saja.


     
    Orang beriman sentiasa diuji
    10.10.06 (6:09 pm)   [edit]

    SAYID Qutub berkata: Penganut-penganut akidah itu pasti diuji dengan kesusahan agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat, kerana kesusahan-kesusahan dan penderitaan-penderitaan itulah yang dapat merangsang segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan.

    Ia dapat membuka pintu dan lorong-lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang Mukmin kecuali ia berada di bawah tekanan kesusahan dan penderitaan. Nilai-nilai, ukuran-ukuran, kefahaman dan pemikiran tidak sihat, halus dan lurus kecuali ia berada di dalam suasana dugaan, dan penderitaan yang menghilangkan selaput dari mata dan karat dari hati.

    Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (al-Baqarah: 155-157)

    Firman Allah s.w.t, Demi sesungguhnya!. Al-Qurtubi berkata: Wau ini dibaca dengan fathah (baris atas) di sisi Sibawaih kerana bertemu dua baris yang mati. Sedangkan yang lain berkat; apabila digabungkan kepada nun yang berat nescaya dibina fe’el (perbuatan) maka jadilah dengan kedudukan setara lima belas.

    Kami akan menguji kamu. Bala pada asal boleh jadi baik dan boleh jadi buruk dan maknanya ialah kami pasti menguji kamu untuk kami mengetahui orang yang mujahid dan sabar sebagai ilmu yang nyata dan zahir sehingga layak diterima balasan, sebagaimana yang terdahulu.

    Dikatakan sesungguhnya mereka diuji dengan ini sebagai tanda dan alamat bagi siapa selepas mereka, kemudian mereka mengetahui bahawa mereka bersabar di atas ini dan ditunjukkan kepada mereka jalan kebenaran. Ada pendapat menyatakan diberitakan kepada mereka dengan ini supaya mereka bertambah yakin bahawa mereka pasti diuji. Justeru jadilah jiwa mereka kental dan tidak merasa keluh kesah. Dan ini merupakan balasan Allah yang segera atas azimah dan tetap jiwanya.

    Dengan sedikit, al-Fara’ berkata: Min atau sebahagian menunjukkan setiap jenis daripadanya sesuatu yang juga menggambarkan sedikit kerana sebelumnya wujud perkataan shai iaitu sesuatu di mana datang dalam bentuk nakirah. Ulama usul berkata; salah satu daripada fungsi nakirah memberi maksud sedikit. Dalam bahasa yang lain. Firman Allah s.w.t: Perasaan takut (kepada musuh), sama ada takut kepada musuh atau takut dalam peperangan. Inilah pendapat Ibn Abbas. Sedangkan Imam Syafie pula berpendapat; iaitu takut kepada Allah s.w.t.

    Dan (dengan merasai) kelaparan, iaitu dengan kebuluran dengan sebab kering kontang dan kemarau. Inilah pendapat Ibn `Abbas. Sedangkan Imam Syafie pula berpendapat iaitu kelaparan pada bulan Ramadan.

    Dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda, dengan sebab banyak memerangi orang-orang kafir. Dikatakan juga dengan sebab bala yang merosak dan menghilangkan harta. Imam Syafi`ie berkata; dengan sebab zakat yang difardukan.

    Dan jiwa, Ibn Abbas berkata; dengan pembunuhan dan kematian ketika berjihad. Sedangkan Imam Syafie berpendapat dengan sebab pelbagai penyakit.

    Serta hasil tanaman. Imam Syafie berkata; dikehendaki dengan mati anak-anak kerana anak yang dilahirkan daripada seorang lelaki merupakan hasil tanaman hatinya. Sebagaimana datang dalam khabar, sedangkan Ibn ‘Abbas pula berpendapat; dikehendaki di sini ialah sedikit tumbuh-tumbuhan dan terputusnya keberkatan. Justeru Allah menguji manusia dengan takut, lapar, kekurangan harta benda, jiwa raga dan tanaman adalah sedikit sahaja dan bukan semuanya.

    Firman Allah, Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Terdapat empat pendapat ulama' berkenaan dengan siapakah ayat ini ditujukan:

    i. Sahabat Nabi sahaja. Inilah pendapat ‘Ata’.

    ii. Mereka adalah ahli Mekah.

    iii. Ini adalah pada akhir zaman. Sehingga Ka’ab berkata; akan berlaku pada manusia satu masa, satu pohon kurma tiada buah kecuali satu biji tamar sahaja.

    iv. Ayat ini adalah umum.

    Al-Qurtubi berkata: Jadilah sabar kehidupan mereka dan sabar itu terbahagi kepada dua. Sabar daripada maksiat, inilah sebagai orang yang mujahid dan sabar atas taat kepada Allah. Inilah sabar orang yang ‘abid. Apabila seseorang bersabar daripada maksiat kepada Allah dan bersabar atas ketaatan kepada Allah, nescaya Allah wariskannya keredaan dengan qadanya. Alamat reda ialah tenangnya hati dengan apa yang berlaku dalam kesusahan. Al-Khawwas berkata: Sabar ialah thabit di atas segala hukum kitab dan sunnah. Ruwaim pula berpendapat: Sabar ialah meninggalkan pengaduan. Zu al-Nun al-Misri berpendapat: Sabar ialah meminta tolong dengan Allah s.w.t sahaja. Al-Ustaz Abu Ali al-Daqqaq berpendapat: Sabar ialah hadnya tidak menentang takdir tuhan.

    Firman Allah, (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

    Perkhabaran seperti ini memberi satu kekuatan kepada diri mereka untuk bersabar dan ingatan serta ikrar bahawa kami akan dibangkitkan dan dibalas mengikut amalan serta pahala atas kesabaran kami. Sa’id bin Jubir berkata: Sesungguhnya dikurniakan pada umat ini ketika musibah sesuatu yang tidak dikurniakan kepada mana-mana Nabi sebelum ini iaitu ayat istirja’ dan kalau dikurniakan kepada para Nabi nescaya dikurniakan kepada Yaakub yang berkata; alangkah malangnya terhadap Yusuf. Seterusnya benarlah apa yang diriwayatkan oleh ‘Ikrimah; bahawa pelita Rasulullah s.a.w terpadam pada satu malam. Lantas baginda mengucapkan, Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Kemudian dikatakan kepadanya: Adakah ini dianggap musibah hai Rasulullah? Jawab Baginda: Ya. Setiap yang menyakiti orang beriman maka ia dianggap musibah.

    Seterusnya firman Allah, Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. Sa’id bin Jubir berkata: Selawat daripada Allah ialah keampunan. Sedangkan orang yang mendapat hidayat dengan sebab istirja’. Justeru Umar bin al-Khattab berkata: Sebaik-baik keadilan dan sebaik-baik yang tinggi. Al-Qurtubi menyebut: Inilah nikmat-nikmat Allah ke atas orang yang bersabar dan sentiasa beristirja’. Solat Allah terhadap hambanya ialah keampunan, rahmat, berkat dan kemuliaannya di dunia dan akhirat. Sedangkan al-Zajjaj pula berpendapat: Solat daripada Allah ialah keampunan dan pujian yang baik. Dari sini solat terhadap si mati dengan maksud pujian ke atasnya dan doa untuknya. Diulang perkataan rahmat daripada khilaf lafaz sebagai penguat dan memberi makna yang sebenar.

    Antara iktibar dan pengajaran ayat:

    i. Dunia merupakan medan ujian bagi mengesahkan dan menapis hakikat perhambaan. Jika berjaya nescaya bahagialah, sebaliknya jika rebah nescaya rugilah.

    ii. Amat besar ganjaran dan balasan Allah terhadap orang yang sabar sehingga dikurniakan tiga keistimewaan iaitu selawat, rahmat dan hidayah.

    iii. Hendaklah seseorang mengamali doa istirja' kerana ia merupakan ikrar dengan ubudiyah dan pemilikan hanya bagi Allah dan disudahi dengan ikrar dengan fana dan bangkitnya daripada kubur serta yakin bahawa segala urusan kembali kepada Allah jua. Sebagaimana kata Syeikh al-Maghari.

    *Dr. Zulkifli Mohamad Albakri ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)




     
    Keberkatan dan hikmah Ramadan
    10.10.06 (6:04 pm)   [edit]

    SESUNGGUHNYA adalah wajar bagi kita umat Islam bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. justeru telah dipanjangkan umur untuk dapat sekali lagi berada dalam bulan Ramadan yang penuh hikmah serta keberkatan ini, seperti yang sering kita dengar bahawa kalau hari Jumaat itu merupakan penghulu segala hari, maka demikianlah bahawa Ramadan itu pula adalah penghulu bagi segala bulan.

    Allah s.w.t. mewajibkan ke atas umat Islam itu berpuasa melalui firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sama seperti yang telah diwajibkan ke atas umat-umat yang terdahulu sebelum ini, supaya dengan demikian kamu akan lebih bertakwa. (al-Baqarah: 183)

    Puasa menurut pengertiannya yang luas bukanlah sekadar menahan diri dari berlapar dan dahaga sahaja tetapi lebih jauh dari itu puasa mengkehendaki sebuah pengorbanan yang lebih besar. Seluruh umat Islam disarankan supaya mempertingkatkan lagi segala amalan-amalan kebajikan di samping menjauhkan diri dari melakukan perbuatan mungkar serta dosa.

    Seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi: “Aku mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Sesungguhnya ada tiga jenis doa dan permintaan yang sama sekali tidak akan ditolak oleh Allah iaitu doa dari orang yang sedang berpuasa, doa dari pemimpin yang adil dan doa dari orang yang teraniaya.

    Menurut kajian ilmiah perubatan moden, para doktor juga bersetuju merumuskan bahawa kebiasaan berpuasa atau menahan diri daripada makan dan minum adalah merupakan satu-satunya kaedah atau jalan terbaik ke arah mengekalkan tahap kesihatan yang berpanjangan, lalu sesuailah pula dengan sebuah riwayat sahih yang menyebut: Bahawa banyak makan dan perut buncit itu adalah sarang bagi segala penyakit.

    Di samping itu, dengan berlapar dan dahaga pada bulan Ramadan, kita juga dengan sendirinya akan mendapat pelajaran terbaik tentang betapa beratnya penanggungan lapar dahaga yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah manusia daripada golongan miskin dan fakir yang sukar serta sempit dalam kehidupan sehariannya.

    Diharap dengan demikian akan tergerak pulalah hati nurani kita untuk bersimpati dengan menghulurkan derma, pertolongan serta sedekah. Dalam sebuah hadis riwayat sahih, ada seseorang datang lalu bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang sedekah manakah yang lebih baik dan utama, lalu Baginda menjawab: Adapun sedekah yang paling baik dan utama ialah sedekah yang dilakukan pada bulan Ramadan.

    Pada bulan Ramadan yang mulia ini juga, Allah s.w.t. membukakan pintu langit, membukakan pintu syurga lalu menutup pintu neraka dan merantaikan sekalian iblis dan syaitan, segala permintaan doa daripada muslimin dan muslimat yang benar-benar beramal soleh akan dimakbulkan. Lebih dari itu, Allah s.w.t. juga akan menangguhkan azab serta seksa kubur bagi mereka yang sudah mati.

    Pada bulan Ramadan ini juga, Tuhan menurunkan kitab suci al-Quran di mana ia merupakan sebaik-baik panduan bagi seluruh umat Islam di muka bumi sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Sesungguhnya pada bulan Ramadan ini, aku turunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk bagi kamu, pada bulan ini juga kami anugerahkan padanya malam Lailatulqadar dan bahawa Lailatulqadar itu adalah lebih mulia dan berkat daripada 1,000 bulan. (al-Qadar: 1 hingga 3).

    Terlalu banyak sebenarnya riwayat, hadis serta firman Allah yang menerangkan tentang betapa besarnya fadilat serta keberkatan yang terkandung di bulan Ramadan.

    Oleh itu, selaku umat Islam, kita sewajarnya mengambil peluang keemasan ini untuk melipat gandakan amalan-amalan kebajikan, kerana kegagalan kita menunaikan ibadat puasa bukan sahaja merugikan tetapi terpaksa menunggu setahun lagi untuk berada di dalamnya.

    Ini bertepatan dengan maksud sebuah hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: Barangsiapa yang dengan sengaja meninggalkan walau sehari puasa di bulan Ramadan sedang dia tidak sakit atau uzur untuknya maka tidaklah dapat ia digantikan walaupun dengan berpuasa untuk seumur hidup.

    Hadis riwayat Bukhari pula menyebut: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan semata-mata dilakukan dengan rasa kepatuhan dan keredhaan kerana Allah, maka nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

    Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dari Sahar bin Saad, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Dari sekian banyak pintu syurga itu, maka terdapat lapan pintu yang mengandungi nikmat keindahan serta kebahagiaan luar biasa, maka salah satu darinya bernama Rayyan, lalu tidaklah akan dapat sesiapapun masuk ke dalamnya kecuali mereka yang benar-benar taat berpuasa.

    Demikianlah antara serba sedikit yang dapat dihuraikan tentang betapa besarnya keberkatan serta hikmah yang terkandung pada bulan Ramadan ini di mana dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim telah menyebut: Sesungguhnya di sisi Allah s.w.t. bau busuk mulut orang yang berpuasa itu sebenarnya adalah lebih harum dari wangian ambar kasturi.

    Ketika bertanya seseorang kepada Rasulullah s.a.w. tentang keberkatan-keberkatan yang terkandung dalam bulan Ramadan, maka Baginda menjawab: Sesungguhnya tidak terbilang olehku tentang keberkatan dan hikmah yang terkandung pada bulan Ramadan itu, sehingga kalaulah seluruh manusia mengetahui tentang betapa besarnya ganjaran pahala dan rahmat yang terdapat pada bulan Ramadan maka nescaya tidak mustahil bagi mereka untuk bermohon atau meminta kepada Allah s.w.t. agar kalau boleh biarlah kesemua bulan itu menjadi bulan Ramadan.

    Oleh: ZAHARI HASIB




     
    Al-Quran petunjuk hidup manusia di dunia, akhirat
    10.10.06 (5:51 pm)   [edit]

    AL-QURAN dalam surah al-Baqarah, ayat 185, memberikan asas mengenai turunnya al-Quran pada Ramadan sebagai petunjuk kepada manusia.

    Pemikiran manusia hasil adanya kekuatan akal tidak memadai untuk mencari dan memahami makna diri, makna kehidupan, makna penciptaan apalagi makna alam ghaib.

    Manusia memerlukan hikmah iaitu sumber daripada Allah untuk melengkapkan makna sesuatu yang nyata dengan yang ghaib.

    Apa yang nyata boleh ditanggapi oleh akal dan pancaindera tetapi sesuatu yang ghaib dikhabarkan Allah SWT menerusi sumber hikmah iaitu Kalam Allah.

    Surah al-Alaq, surah awal diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW memfokuskan maksud Iqra’ atau ‘Bacalah’ dalam erti kata yang luas.

    Iqra' tidak sekadar membaca apa yang nyata dan tersurat tetapi juga membaca yang tersirat dan ghaib. Malah, yang tersurat dan nyata, manusia masih belum mampu memahami semuanya apalagi hal tersirat atau pun yang ghaib.

    Iqra' sebagai sumber hikmah mengajak manusia membaca tidak saja alam ini tetapi kekuasaan Penciptanya.

    Iqrak memberikan pedoman kepada manusia melakukan kajian saintifik dan rahsia di sebalik kejadian yang ada kaitan dengan kehidupan.

    Apabila pengamatan, kajian hanya berlegar sekitar sesuatu benda atau perkara saja, ia terputus dengan risalah Iqrak.

    Sebaliknya, pengamatan dan kajian dikaitkan dengan Penciptanya, maka ia menjiwai maksud Iqra dalam erti kata yang luas.

    Inilah asas tasawwur atau pandangan semesta ilmuwan Islam terhadap benda, kejadian dan kaitannya dengan hikmah dalam penciptaan.

    Asas inilah yang membangunkan tradisi sains dalam ilmu astronomi atau astrofizik, ilmu matematik, ilmu falsafah dan mantik, ilmu perubatan dan fizik, ilmu sosiologi mahupun sejarah.

    Semuanya terlingkung dalam tasawwur yang integratif mengakui adanya proses kejadian dan penciptaan, wujudnya proses pengembangan dan silih gantian yang teratur, tertib dan semuanya berlegar di bawah ketentuan-Nya (sunnatullah).

    Turunnya al-Quran dan surah al-Alaq dalam bulan Ramadan tidak saja dimanfaatkan dengan bacaan sewaktu tarawih, witir atau tadarus tetapi harus ada kecenderungan menyelak yang tersirat supaya manfaat ilmu dan petunjuk akan terserlah.

    Kekuatan umat Islam pada masa lalu tidak saja menjadi ahli huffaz yang faham ilmu qiraati tetapi memahami maksud tersirat yang terkandung di dalam al-Quran sebagai sumber berfikir, merenung, memerhati hikmah kejadian manusia dan alam.

    Darinya timbul kefahaman, kesedaran dan keinsafan bahawa sesuatu itu diciptakan mempunyai maksud bagi mereka yang mempunyai jiwa ulul albab, mendekatkan manusia dengan Pencipta.

    Membaca al-Quran, tadarus pada bulan Ramadhan tidak salah kerana fadilatnya adalah besar dan lebih besar jika ilmu al-Quran dikembangkan dalam amalan dan kehidupan.

    Ilm u al-Quran seharusnya dijadikan asas membentuk diri kerana manusia memerlukan petunjuk dan pedoman bagaimana untuk maju dalam reda Allah.

    Saidatina Aishah, isteri Rasulullah SAW, menghubungkan akhlak Nabi sebagai khuluq al-Quran.

    Akhlak adalah risalah kenabian yang utama di mana apabila Baginda menjiwai al-Quran, maka perkataannya, perbuatannya, jihad, amalnya, dakwah dan tarbiyyahnya mendukung risalah Qurani.

    Sahsiah Nabi adalah sahsiah al-Quran, nilai yang sentiasa hidup pada diri Rasulullah SAW, sunnah dan sirah menjadi sumber ikutan sepanjang zaman.

    Sekiranya nilai Qurani dalam maksud yang tersurat dan tersirat menjadi sumber tarbiyyah rohiyyah dalam Ramadan, ilmunya menjadi sumber tarbiyyah akliah yang menyuburkan upaya berfikir.

    Ini akan memberi landasan yang baik bagaimana kehidupan dapat dipandu dengan nilai kemanusiaan tinggi, nilai fitrah mengembalikan diri manusia kepada sifat asasinya, nilai aqidah yang mendekatkan manusia dengan Tuhannya.

    Ia juga dapat menyemai nilai keadilan yang mendorong manusia berazam untuk kekal dalam makruf dan bencikan kemungkaran sebagai asas perubahan diri bila melalui madrasah Ramadan.
     Oleh Prof Dr Sidek Baba


     
    WAKTU DAN TANDA-TANDA KEDATANGAN MALAM LAILATUL QADAR
    10.08.06 (8:59 pm)   [edit]
    Dari Ibnu Umar ra, ada beberapa orang sahabat Nabi Saw yang bermimpi bahwa Lailaitul Qadar akan datang pada pada tujuh malam terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah SAW bersabda: "Aku juga melihat ru'yah kalian pada tujuh malam terakhir bulan tersebut. Maka barang siapa yang menginginkannya, dapatkanlah malam tersebut pada tujuh malam terakhir"

    Lailatul Qadar mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam, karena malam tersebut diakui sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pada malam tersebut turunlah para malaikat (termasuk malaikat Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam tersebut akan penuh dengan kesejahteraan sampai terbit fajar.

    Seperti halnya kematian, malam Lailatul Qadar juga dirahsiakan keberadaannya oleh Allah supaya manusia mempergunakan seluruh waktunya untuk beribadah dan mengingatnya dengan tetap mempersiap diri setiap saat, selalu berbuat kebaikan dan taat kepada Tuhannya.

    "Aku juga melihat Lailatul Qadar dalam mimpi seperti kalian yaitu pada tujuh malam terakhir" (dengan mempergunakan kalimat Tawaata'a). Hadis ini bersamaan dengan sebuah hadis yang berbunyi: "Seseorang telah melihat malam Lailatul Qadar pada tujuh malam terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi bersabda: "Dapatkanlah malam mulia itu, pada tujuh malam terakhir" (Dengan mempergunakan kata Ra'a). Riwayat Muslim menyatakan bahwa Lailatul Qadar jatuh pada tujuh malam terakhir sedang riwayat Bukhari ada yang melihat jatuh pada malam ketujuh dan ada yang melihat sepuluh terakhir.

    Karena perbedaan kalimat pada kedua hadis tersebut (dalam riwayat Muslim mempergunakan kalimat Tawata'a sedangkan riwayat Bukhori tidak mempergunakan kalimat tersebut), timbullah perbedaan pendapat di antara para ulama dalam menentukan datangnya malam Lailatul Qadar, ada yang mengatakan pada tujuh malam terakhir dan ada juga yang mengatakan sepuluh malam terakhir. Padahal secara tidak langsung bilangan tujuh masuk ke dalam sepuluh, maka Rasulullah pun menentukan bahwa malam Lailatul Qadar jatuh pada tujuh malam terakhir, karena makna Tawaata'a pada hadis yang diriwayatkan Muslim berarti Tawaafuq (sesuai atau sama).

    Sebagian ulama berpendapat bahwa yang dimaksud dengan tujuh di sini adalah tujuh malam terakhir bulan Ramadhan. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ali ra, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Dapatkanlah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, seandainya kalian kehilangan hari-hari sebelumnya maka jangan sampai kalian melewatkan malam-malam terakhir bulan tersebut"

    Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, ia berkata, bahwasanya Rasulullah Saw bersabda: "Dapatkanlah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, apabila kalian merasa lemah atau tidak mampu melaluinya maka jangan sampai kalian kehilangan tujuh malam berikutnya" Dari berbagai versi hadis yang ada, telah terbukti bahwa Lailatul Qadar jatuh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

    Sebagian ulama berpendapat bahwa Lailatul Qadar jatuh pada malam dua puluh dua dan paling akhir jatuh pada malam dua puluh delapan, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhori dari Ibnu Abbas bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Dapatkanlah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Akan tetapi malam Lailatul Qadar sendiri jatuh pada malam ke sembilan, tujuh dan lima Ramadhan (bilangan ganjil).

    Dari riwayat hadis yang berbeda lahirlah pendapat para ulama yang beragam (tidak kurang dari empat puluh pendapat). Malam Lailatul Qadar mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri yang tidak dapat kita kenali kecuali setelah berlalunya malam tersebut.

    Salah satu ciri atau keistimewaan tersebut adalah; terbitnya matahari seperti biasa akan tetapi memancarkan cahaya redup (tidak bersinar terang seperti biasa), berdasarkan sebuah hadis: dari Zur Bin Hubaisy, ia berkata: "Aku mendengar Ubay Bin Ka'ab berkata: "Barang siapa yang bangun di tengah malam selama satu tahun ia akan mendapatkan Lailatul Qadar" Ayahku berkata: "Demi Allah tidak ada Tuhan selain dia, malam itu terdapat di bulan Ramadhan, demi Tuhan aku mengetahuinya, tapi malam manakah itu? Malam dimana Rasulullah memerintahkan kita untuk bangun untuk beribadah. Malam tersebut adalah malam ke dua puluh tujuh, yang ditandai dengan terbitnya matahari berwarna putih bersih tidak bercahaya seperti biasanya".

    Diriwayatkan dari Ibnu Khuzaimah dari hadis Ibnu Abbas: "Ketika Lailatul Qadar pergi meninggalkan, bumi tidak terasa dingin, tidak juga panas, dan matahari terlihat berwarna merah pudar" dan dari Hadits Ahmad: "Pada hari itu tidak terasa panas ataupun dingin, dunia sunyi, dan rembulan bersinar" Dari hadis kedua kita dapat menyimpulkan bahwa ciri-ciri tersebut hanya ada pada waktu malam hari.

    Malam Lailatul Qadar bukanlah malam yang penuh dengan bintang yang bersinar (sebagaimana diperkirakan orang) akan tetapi Lailatul Qadar adalah malam yang mempunyai tempat khusus di sisi Allah. Dimana setiap Muslim dianjurkan untuk mengisi malam tersebut dengan ibadah dan mendekatkan diri padanya.

    Imam Thabari mengatakan: "Tersembunyinya malam Lailatul Qadar sebagai bukti kebohongan orang yang mengatakan bahwa pada malam itu akan datang ke dalam penglihatan kita sesuatu yang tidak akan pernah kita lihat pada malam-malam yang lain sepanjang Tahun, sehingga tidak semua orang yang beribadah sepanjang tahunnya mendapat Lailatul Qadar" Sedangkan Ibnu Munir mengatakan bahwa tidak sepantasnya kita menghukumi setiap orang dengan bohong, karena semua ciri-ciri tersebut dapat dialami oleh sebagian golongan umat, selayaknya karamah yang Allah berikan untuk sebagian hambanya, karena Nabi sendiri tidak pernah membatasi ciri-ciri yang ada, juga tidak pernah menafikan adanya karamah.

    Ia meneruskan: Lailatul Qadar tidak selamanya harus diiringi keajaiban atau kejadian-kejadian aneh, karena Allah lebih mulia kedudukannya untuk membuktikan dan memberikan segala sesuatu sesuai dengan kehendaknya. Sehingga ada yang mendapatkan malam Lailatul Qadar hanya dengan beribadah tanpa melihat adanya keanehan, dan ada sebagian lain yang melihat keanehan tanpa di sertai ibadah, maka penyertaan ibadah tanpa disertai keanehan kedudukannya akan lebih utama di sisi Tuhan.

    Ada sebagian pendapat yang mengatakan bahwa salah satu ciri datangnya malam Lailatul Qadar adalah melihat segala sesuatu yang ada di bumi ini tertunduk dan sujud ke hadirat-Nya. Sebagian lain mengatakan pada malam itu dunia terang benderang, dimana kita dapat melihat cahaya dimana-mana sampai ke tempat-tempat yang biasanya gelap. Ada juga yang mengatakan orang yang mendapatkan malam Lailatul Qadar dapat mendengar salam dan khutbahnya malaikat, bahkan ada yang mengatakan bahwa salah satu ciri tersebut adalah dikabulkannya do'a orang yang telah diberikannya taufik.

    Catatan: (Disunting dari al-Shiyâm fî 'l-Islam, karya Dr. Ahmad Umar Hasyim. Penyunting dan alih bahasa: Yessi Afdiani NA.) "


     
    Puasa penjana akhlak terpuji
    10.02.06 (8:45 pm)   [edit]

    SALAH satu matlamat kefarduan puasa Ramadan adalah untuk menjana suatu natijah akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah s.w.t..

    Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

    Ramadan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah s.w.t dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu untuk membezakan sesuatu yang hak dan batil.

    Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa.”

    Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa pada setiap hari pada bulan Ramadan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.

    Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertaqwa dan sabar.

    Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.

    Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama. (Riwayat Bukhari)

    Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah s.a.w. ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus dahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

    Antaranya adalah:

    * Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

    * Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca. Mengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadan.

    * Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan.

    * Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam. Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

    Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang berkat ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

    “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan kiam pada malamnya adalah satu tambahan.

    “Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.”

    Menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah.

    Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa pada bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

    Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru, Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan daripada api neraka.”

    lWan Marzuki Wan Ramli ialah guru agama sekolah di Pasir Mas, Kelantan.



     
    Haji Sulong pencetus revolusi Melayu-Patani
    10.02.06 (8:44 pm)   [edit]

    Berjuang menentang Siam menerusi pena

    NAMA Haji Sulong terkenal bukan kerana penulisan, tetapi kerana perjuangan. Beliau diakui majoriti rakyat Melayu-Patani sebagai ‘Bapa Revolusi Patani’, selain menghasilkan beberapa buah artikel.

    Yang diambil data untuk artikel keluaran ini ialah karya hasil tulisannya ketika dalam penjara di Legor, iaitu karyanya yang terakhir.

    Selepas itu, Haji Sulong hilang secara misteri dan sehingga ini tidak tahu dikebumikan di mana. Judul karangan bertajuk "Gugusan Cahaya Keselamatan".

    Ia memberi keterangan mengenai: "Pada membentengkan, beberapa wirid, dan doa, dan ayat al-Quran. Diterbitkan cahaya yang cemerlang daripada penjara di Legor, Siam, ke seluruh negeri Islam ..." Gugusan Cahaya Keselamatan. Selesai penulisannya pada pada 3 Zulkaedah 1368 H bersamaan 28 Ogos 1949 Masihi (M).

    Cetakan pertama sebanyak 10,000 naskhah, diterbitkan oleh anaknya, Muhammad Amin Sulong serta dicetak Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 1377 H/1958 M.

    Kandungan berkisar kepada kedatangan pihak penguasa Siam untuk menangkap Haji Sulong pada jam 5 petang, Jumaat 5 Rabiulawal 1367 Hijrah bersamaan Januari 1948 M.

    Semua peristiwa yang berlaku pada dirinya dicatat dengan kemas dan teliti sehinggalah beliau selesai menulisnya. Kandungan selanjutnya ialah mengenai pelbagai amalan untuk ketahanan diri menghadapi perjuangan.

    Sebelum membicarakan kandungannya diletakkan gambar Haji Sulong dan keterangan mengenainya dan anaknya Muhammad Amin.

    Beliau meninggal dunia bersama anaknya Ahmad, Wan 'Utsman dan Ishaq pada Sabtu, 13 Singhakom 2497 bersamaan 13 Ogos 1954, di di laut Senggora kerana dibunuh oleh kakitangan kerajaan dengan kejam."

    Turut ada gambar anaknya di halaman sebelah iaitu dinyatakan, "Haji Muhammad Amin bin al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani. Wakil Rakyat Patani."

    Pada kata pengantarnya Muhammad Amin mencerminkan jiwa patriotik, mengajak umat Patani terus berjuang. Di antara kata-kata beliau, "Dengan ini saya mengeluarkan sebuah buku karangan ayahanda saya untuk menjadi pengetahuan kepada seluruh umat Islam.

    Buku menjadi pusaka bagi isterinya, anaknya seterusnya kepada bangsa kita.

    "Kata Muhammad Amin pula, "Sekarang ini saya berseru kepada kaum Muslimin dan Muslimat, biarpun ayahanda saya sudah tidak ada lagi di muka bumi ini, kerana mati syahid, tetapi perasaan dan semangat serta juga jasanya masih hidup dan tertanam di dalam jantung sanubari tuan-tuan sekalian. Kita bersama-sama bekerja dan mencapai tujuan baik yang diasaskan oleh ayahanda saya itu ..."

    Pada mukadimah Haji Sulong memantapkan pegangan perjuangannya dengan pandangan 'akidah, dipetik dari firman Allah bahawa sesuatu tiada terjadi pada seseorang melainkan yang sudah ditentukan oleh Allah.

    Dari hadis, Haji Sulong menyebut, "Barang yang menghendaki Allah itu ada ia. Barang yang tidak menghendaki itu tidak ada ia." Kata Haji Sulong lagi, "Datanglah pencubaan yang berpatutan dan munasabah dengan pekerjaannya dan tuannya. Kalau besar pekerjaannya, besar pencubaannya. Kalau kecil, kecil pencubaannya."

    Selepas wasiat dan nasihat pada mukadimah Haji Sulong menceritakan penangkapan terhadap dan sebabnya, bahawa pada 16 Januari 1948 petugas kerajaan Siam datang ke rumah beliau. Katanya, "... serta membawa surat memberi perintah suruh tangkap saya.

    Mereka periksa bilik rumah dengan sebab saya membuat surat wakil kepada Tengku Mahmud Muhyiddin bin Tengku Abdul Qadir, Raja Patani berkenaan dengan tujuh buku (maksudnya: perkara) tuntutan rakyat Patani kepada kerajaan Siam.

    Mulai dari kalimat itu seterusnya Haji Sulong menceritakan semua peristiwa yang berlaku atas diri beliau. Pada pandangan saya karangan Haji Sulong ini adalah sejarah asli perjuangan rakyat Patani sesudah perang dunia yang kedua untuk mengembalikan "Daulah Patani Darus Salam" daripada pemerintahan Siam.

    Sebelum menutup karangan ini sekali lagi Haji Sulong memberikan kata perjuangannya, iaitu "Akan tetapi manakala saya teringat akan tarikh nabi dan sahabat bermacam-macam ditimpa pencubaan di atas mereka itu ialah menjadi contoh dan teladan supaya mengikut oleh mereka yang bersetuju melangkah sebagaimana langkah mereka itu yang patut dengan peredaran masa yang kelam sekarang.

    Maka tidaklah jadi pelik dan dukacita, oleh kerana perjalanan saya mengikut dasar mereka itu, iaitu meninggikan agama yang maha suci ..." (Gugusan Cahaya Keselamatan, hlm. 13).
     Oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah


     
    Al-Quran penawar mujarab penyakit rohani, jasmani
    10.02.06 (8:36 pm)   [edit]

    CAHAYA al-Quran menyinari seluruh dunia sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian serta kebahagiaan.

    Al-Imam Ghazali berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin: “Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, sekarang, akan datang, semuanya berpunca daripada al-Quran.”

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulnya.”

    Sejarah membuktikan, sejak al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan di Gua Hira', ia berjaya mengubah umat jahiliah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak kepada umat terbaik serta dicontohi dalam segala bidang.

    Hal ini dibuktikan oleh Rasulullah SAW di mana selama 23 tahun memimpin umat Islam berpandukan al-Quran, Islam menjadi agama kuat dan dinamik. Ajarannya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.

    Al-Quran menjadikan umat Islam pada zaman kepemimpinan Rasulullah SAW dan khalifah Al-Rashidin berjaya mencipta satu tamadun baru kepada dunia hingga berjaya meruntuhkan dua tamadun besar dunia pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi.

    Firman Allah bermaksud: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata.” (Surah al-Isra', ayat 82)

    Dalam memahami ayat itu, Imam Muhamad Al-Razi dalam tafsirnya Al-Fakhul al-Razi menjelaskan bahawa al-Quran adalah penawar yang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani.

    Penyakit dibahagikan kepada dua bahagian. Penyakit iktikad yang batil dan sesat serta penyakit akhlak yang buruk.

    Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan iktikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan salah terhadap masalah ketuhanan dan kenabian.

    Al-Quran lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras kehendak Allah, malah boleh menjadi ubat untuk menyembuhkan penyakit.

    Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak dapat mengubati penyakit dengan al-Quran, maka Allah tidak akan menyembuhkan penyakitnya.”

    Penyakit dan keburukan akhlak seperti tidak amanah, najis dadah dan arak adalah penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan cara lain selain al-Quran, yang perlu dibaca dan diamalkan.

    Selagi al-Quran tidak diamalkan dalam erti kata sebenar, maka semua penyakit itu tidak akan dapat diubati.

    Pada Ramadan ini, kita perlu bertekad mengembalikan diri dan seluruh hidup kepada al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.

    Pertama, hak untuk bertilawah kepadanya . Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan. Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.


     
    Ganjaran pahala hadir majlis ilmu
    10.02.06 (8:15 pm)   [edit]

    KEDATANGAN Ramadan tidak menghalang seseorang daripada menuntut ilmu budaya menambahkan pengetahuan memang dituntut tidak kira bila atau di mana juga.

    Daripada Anas bin Malik, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu pada Ramadan, Allah mencatat setiap langkahnya menyamai ibadat setahun dan dia bersamaku (Rasulullah) di bawah Arasy.

    Justeru, Ramadan bukan saja bulan latihan, kesabaran dan berkat, malah bulan ilmu. Ia memberi peluang kepada seseorang mendapat ganjaran dan pahala serta menjauhkan diri perkara sia-sia.

    Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa Abu Darda’ berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kami menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu.”

    “Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu.”


     
    Empat punca utama hati tidak tenteram
    10.01.06 (7:24 pm)   [edit]

    JIKA ada alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu bernama 'hati'. Allah menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia.

    Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri. Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya?

    Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkaikan penyebab kesedihan itu. Akhirnya, ditemukan jawapan empat punca iaitu kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu:

  • Suka membuang masa.

    Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia bahkan boleh membunuh.

    Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian; Satu untuk Allah, kedua bagi dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya. Ketiga untuk keluarga dan umatnya.

    Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku. Begitu juga apabila suka iktikaf di masjid mendengar syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.

    Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan yang baik atau buruk. Kawan yang jahil atau soleh, keadaan yang mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya.

    Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam keadaan jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.

  • Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu.

    Ada orang yang apabila melihat ke atas dia berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.

    Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang.

    Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah telah memberi jumlah yang banyak tidak terhitung?

    Sejak dari rahim ibu lagi rezeki telah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua-dua mata, kaki dan tangan dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.

  • Kesedihan kerana melupakan Allah.

    Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah al-Hasyr, ayat 19 Allah berfirman yang maksudnya: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik."

    Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri di dunia dan akhirat.

    Orang yang melupakan Allah mempunyai ciri seperti berikut: Harinya dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan sembahyang, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh.

    Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata hidup makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja. Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." (Surah Al-A'raf, ayat 179)

    Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, semua Itu bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan.

    Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya. –
  •  

  •  Bersama Dr Juanda Jaya


  •