 Blog For Free!
Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August
My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8
tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images
Sponsored
Blog


 Free Hit Counter
|
| Kisah Al-Quran - Siri 18 |
| 11.30.06 (7:15 pm) [edit] |
|
Cubaan iblis terhadap Nabi Ayub DAN (ingatlah peristiwa) hamba kami, Nabi Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit). (Shaad: 41) NABI Ayub terkenal dengan kekuatan imannya. Kekuatan iman Nabi Ayub ini membuatkan iblis cemburu. Iblis juga berasa sakit hati apabila mendengar para malaikat asyik memuji Nabi Ayub. Iblis lalu menggoda dan merayu Nabi Ayub supaya meninggalkan suruhan Allah dan berhenti daripada beribadat. Setelah semua godaan yang dilakukan oleh iblis itu tidak berjaya. Iblis menemui Allah lalu berkata: “Tuhan, Ayub itu sebenarnya tidak ikhlas sujud kepada-Mu. Dia cuma inginkan nikmat kekayaan dan anak-anak sebagai pewarisnya sahaja.” Mendengar kata-kata Iblis itu, maka Allah ingin membuktikan kepada Iblis bahawa Nabi Ayub itu sememangnya seorang yang beriman, sabar dan tabah dalam menghadapi sebarang dugaan. Allah pun lalu memberi kebenaran kepada iblis supaya menghasut Nabi Ayub agar lalai dalam beribadat. Iblis memusnahkan segala harta benda Nabi Ayub sehingga menjadikan Nabi Ayub muflis. Iblis juga berjaya memusnahkan kediaman baginda sehingga roboh dan binasa. Anak-anak Nabi Ayub yang berada di dalam rumah itu kesemuanya meninggal dunia dalam keadaan yang sungguh mengerikan. Setelah berjaya memusnahkan semuanya, iblis menyamar sebagai seorang lelaki dan bertanya kepada Nabi Ayub: “Wahai Ayub, lihatlah keadaan mu sekarang. Hilang segala harta benda dan anak-anak yang kau miliki selama ini sedangkan engkau adalah hamba Allah yang kuat beribadat. Tidak guna engkau kuat beribadat kerana Allah Yang Maha Berkuasa itu pun tidak mahu menyelamatkanmu.” “Wahai iblis, semua yang aku miliki selama ini, adalah pinjaman daripada Allah sahaja. Kini sudah tiba masanya Allah mengambilnya semula. Hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas segala-galanya.” Iblis sungguh marah dan kecewa apabila usahanya untuk memesongkan akidah Nabi Ayub gagal. Sekali lagi iblis menemui Allah untuk menyatakan perasaan kecewanya itu. Untuk kali ketiganya Allah mengizinkan iblis berbuat apa sahaja terhadap kesihatan Nabi Ayub. Iblis datang kepada Nabi Ayub dan membawa bersamanya satu penyakit yang tidak ada ubat atau penawar untuk menyembuhkannya. Nabi Ayub terpaksa menghadapi kesakitan itu bertahun-tahun lamanya. Namun segala kesakitan itu tidak menghalang Nabi Ayub untuk sujud kepada Allah. Melihat ketabahan Nabi Ayub itu, iblis semakin kecewa kerana segala usahanya selama ini tidak juga berhasil. Satu lagi peluang yang masih ada ialah menghasut isteri Nabi Ayub. Iblis berjaya menghasut isteri Nabi Ayub supaya meninggalkan baginda seorang diri. Tinggallah Nabi Ayub menanggung kesakitan itu seorang diri. Pada suatu hari, Nabi Ayub berdoa kepada Allah supaya disembuhkan penyakitnya. Allah lalu mewahyukan kepada Nabi Ayub supaya menghentakkan kakinya ke tanah supaya keluar air daripada tanah tersebut. Air yang keluar itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi agar segala penyakit yang dideritainya sembuh. Nabi Ayub pun melaksanakan suruhan Allah itu dan penyakitnya sembuh. Keadaan tubuhnya menjadi seperti sediakala malah lebih kuat dan bertenaga sebagaimana zaman mudanya dahulu. Isteri yang meninggalkannya dahulu menyesal dan mengakui kesalahannya. INFORMASI Nabi Ayub diutuskan oleh Allah ke Rom untuk mengajarkan agama tauhid. Baginda dikatakan wafat ketika berusia 93 tahun dan dimakamkan di sebuah tempat yang terletak di Itali. PENGAJARAN * Allah akan memberi ganjaran pahala yang cukup besar kepada hamba-hamba yang taat kepada suruhan-Nya. * Sabar itu adalah separuh daripada iman. * Segala ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t. itu hendaklah kita hadapi dengan tabah. * Ingatlah bahawa tempoh waktu kita sakit yang diberi oleh Allah lebih pendek berbanding tempoh waktu kita sihat yang sangat panjang.
|
|
|
| |
| Golongan sesat akan menyesal di akhirat kelak |
| 11.28.06 (5:27 pm) [edit] |
|
Syeikh al-Maghari dalam tafsirnya berkata: “Selepas Allah s.w.t menyebut alam zahir yang menunjukkan tauhid khaliq dan rahmatnya, begitu juga hal mereka yang tidak berakal dengan ayat-ayat yang dibuktikan Allah s.w.t atas keEsaannya, sehingga mereka menjadikan dengan Allah s.w.t sekutu-sekutu yang lain untuk mendapat kebaikan dan menolak kejahatan dan menjauhkan daripada mereka syariah dan agama. Lantas Allah s.w.t menerangkan kepada orang yang mengikut dan diikut (ketua) pada hari kiamat hingga terdedah hakikat yang sebenarnya pada sudut manusia melihat depan mata mereka azab Allah s.w.t.” Firman Allah: Iaitu ketika pemimpin-pemimpin (sesat) yang diikuti itu berlepas diri dari mereka yang mengikutinya dan (ketika mereka) melihat azab dan terputus segala hubungan di antara mereka. Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu; andainya kami mendapat peluang kembali ke dunia, tentulah kami akan berlepas diri dari mereka sebagaimana sekarang mereka berlepas diri dari kami. Demikianlah Allah memperlihatkan amalan-amalan mereka menjadi penyesalan-penyesalan kepada mereka dan mereka tidak sekali-kali akan keluar dari neraka. (Al-Baqarah: 166-167) Firman Allah s.w.t: Iaitu ketika pemimpin-pemimpin (sesat) yang diikuti itu berlepas diri dari mereka yang mengikutinya. Berkenaan dengan maksud yang diikuti, mempunyai dua pendapat: Mereka adalah pemimpin atau ketua - inilah pendapat Ibn Abbas, Abu al- Aliah, Qatadah, Muqatil, al-Zajjaj. Mereka ialah syaitan-syaitan. Firman Allah s.w.t: Dan (ketika mereka) melihat azab dan terputus segala hubungan di antara mereka. Perkataan asbab di sini ada empat pendapat: 1. Segala kasih sayang - pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Qatadah. 2. Segala amalan seperti riwayat as-Suddi daripada Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas - pendapat Abi Solih dan Ibn Zaid. 3. Ia adalah hubungan kekeluargaan seperti riwayat Ibn Suraij daripada Ibn Abbas. Pendapat semua di atas. 4. Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya berkata, sesungguhnya setiap yang menghiasi kekufuran dan maksiat kepada yang lain pasti akan berlepas diri daripada mereka hingga syaitan sekalipun, benarlah firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud, Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu yakni setelah selesai masing-masing dihitung amalnya dan menerima balasan, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar yakni Allah berjanji melalui rasul-rasul-Nya akan menyelamatkan orang-orang yang beriman dan taat dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu, lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku maka janganlah kamu salahkan daku, tetapi salahkan diri kamu sendiri, Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan perintah tuhan yang kamu sekutukan daku dengan-Nya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. Ibn Qutaibah berkata: “Ia adalah sebab-sebab yang mereka berhubung dengannya di dunia. Adapun dinamakannya dengan sebab-sebab kerana pada bahasa sebab, maksudnya tali kemudian dikatakan setiap yang bersambungan dengannya kepada maksud atas sebagai sebab.” Firman Allah s.w.t: Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu; andainya kami mendapat peluang kembali ke dunia, tentulah kami akan berlepas diri dari mereka sebagaimana sekarang mereka berlepas diri dari kami. Demikianlah Allah memperlihatkan amalan-amalan mereka menjadi penyesalan-penyesalan kepada mereka dan mereka tidak sekali-kali akan keluar dari neraka. Tertipu Di sini timbullah kemarahan para pengikut yang tertipu kepada pemimpin-pemimpin yang sesat itu, dan mereka berangan-angan hendak membalas perbuatan pemimpin itu andainya mereka dapat pulang semula ke dunia untuk menyatakan bahawa mereka berlepas tangan dari pemimpin-pemimpin yang lemah yang telah menipu mereka di hadapan pemandangan azab. Ini adalah satu pemandangan yang mengharukan, iaitu pemandangan perbalahan dan perseteruan di antara para pengikut dengan para pemimpin, di antara para pencinta-pencinta dengan orang-orang yang dicinta. Di sini datanglah satu ulasan yang pedih. Menjadikan daripada mereka syariah dan agama. Lantas Allah s.w.t menerangkan kepada orang yang mengikut dan diikut (ketua) pada hari kiamat hingga terduduk hakikat yang sebenarnya pada sudut manusia melihat daripada mata mereka azab Allah s.w.t. Ibn al-Anbari berkata: “Allah s.w.t memperlihatkan kepada mereka segala amalan yang buruk dalam kerugian ke atas mereka apabila mereka melihat balasan kurniaan Allah s.w.t terhadap orang yang beriman daripada amalan soleh mereka. Beliau berkata: “Dan harus dengan maksud begitu juga Allah s.w.t memperlihatkan mereka segala amalan dan balasan kepada mereka, dihapuskan balasan dan didirikan amalan pada tempatnya.” Al-Imam al-Qurtubi berkata: “Dengan menaqalkan pendapat Rabi’, iaitu amalan-amalan yang rosak dan buruk yang telah mereka kerjakan menyebabkan mereka dihukum masuk ke neraka.” Ibn Mas’ud dan al-Suddi berkata: “Segala amalan soleh yang mereka tinggalkannya menyebabkan mereka terlepas daripada menghuni syurga.” Diriwayatkan mengikut pendapat ini banyak hadis. Al-Suddi juga berkata: “Diangkat bagi mereka syurga kemudian mereka melihat kepadanya serta istana-istana di dalamnya kalau mereka taat kepada Allah. Kemudian diberi kepada orang-orang beriman, maka sebab itu mereka berasa amat sesal.” Iktibar dan pengajaran ayat: 1. Wujudnya azab neraka yang wajib kita imani. Ia termasuk daripada rukun iman, iaitu beriman dengan hari akhirat. 2. Kehidupan manusia tidaklah terhad dan terbatas hanya di dunia sahaja, tetapi jauh daripada itu wujudnya kehidupan yang abadi, iaitu kehidupan di syurga dan neraka. Justeru hendaklah kita berusaha menuju ke syurga dengan beriman dan beramal soleh. 3. Manusia terbahagi kepada dua: iaitu ketua dan pengikut, ketua yang beriman dan soleh sudah pasti membawa pengikutnya ke arah keredaan Allah s.w.t, yang pasti bahagia di dunia dan akhirat, sebaliknya jika tidak masing-masing akan melaknati antara satu sama lain di hari akhirat kelak. 4. Manusia dikurniakan akal fikiran, justeru perlulah lahirkan yang terbaik dalam tindakan, mudah-mudahan boleh memberikan kebaikan dan manfaat di akhirat. Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
|
|
|
| |
| Rukun Iman pedoman untuk faham kebenaran alam ghaib |
| 11.21.06 (9:17 pm) [edit] |
|
Muslim perlu yakin supaya hubungan dengan Pencipta kekal DALAM tradisi keimanan orang Islam faktor arqan atau rukun menjadi asas penting dalam kehidupan beragama. Arqan al-Iman atau rukun iman menjadi tunjang rohaniah terhadap faktor ghaib. Arqan al Islam atau rukun Islam menjadi tunjang amaliah yang menghubungkan keimanan dan kehidupan itu sendiri.
Doktrin keimanan bersandar kepada faktor ghaibiyyat ini amat penting difahami dan dihayati supaya makna Islam yang terungkap dalam amalan memancarkan keyakinan yang tinggi terhadap Allah dan ciptaanNya dan memanfaat kehidupan menerusi rahmah dan nikmah-Nya.
Faktor ghaibiyyah dan faktor yang nyata dalam alam dan kehidupan adalah suatu simbiosis dalam memahami faktor alamiah dan bukan alamiah. Tasawwur atau pandangan alam insan dibatasi dengan faktor yang nyata dilihat dan dianggap oleh pancaindera.
Faktor ghaibiyyah adalah gambaran kebesaran Allah yang tidak dimiliki oleh manusia. Jasad yang dimiliki oleh manusia adalah sesuatu yang nyata. Roh yang menghidupkan jasad adalah sesuatu yang ghaib.
Kekuatan jasad yang membolehkan ianya berfungsi dipertahankan oleh kekuatan roh yang sifatnya ghaibiyyah. Tercabutnya roh daripada jasad menyebabkan sesuatu yang nyata tidak memberi makna apa-apa. Ianya mati dan kaku dan akhirnya hancur dan kembali kepada asal jadinya. Sedangkan roh terus hidup dan kembali kepada asal-Nya yang bersifat ghaib.
Memahami maqasid Rukun Iman dalam konteks yang luas, membimbing manusia kepada PenciptaNya. Tanpa faktor ghaibiyyah ini tidak mungkin alam ini dijadikan dan tidak mungkin manusia diciptakan. Tanpa faktor ghaibiyyah tidak mungkin malaikat yang berperanan patuh kepada Allah untuk menguruskan alam ini.
Tanpa pemahaman maksud qada' dan qadar, tidak mungkin wujudnya titik keseimbangan mengenai alam, fungsinya, kehidupan manusia dan untung nasibnya. Tanpa beriman kepada Rasul dan Kitab, tidak mungkin manusia mempunyai pedoman dan contoh dan pertunjuk ilmu untuk mengetahui yang nyata dan memahami faktor yang ghaibiyyah.
Tanpa adanya hari pembalasan tidak mungkin manusia akan berlaku adil dan benar di dunia kerana faktor duniawi semata boleh menyebabkan manusia hilang kepercayaan kepada Pencipta dan ia menyebabkan manusia kufur dan tidak bersyukur dengan rahmah dan nikmah yang dlimpahkan kepadanya.
Rukun Islam menemukan manusia dengan ikatan syahadah mengakui Allah SWT itu satu-satunya dan Nabi Muhammad saw sebagai pembawa risalah kebenaran dan hak terhadap umat manusia. Manusia menyaksikan bahawa tanpa Tuhan alam ini tidak diciptakan dan tanpa Tuhan rahmat dan nikmat tidak akan dilimpahkan untuk kepentingan manusia.
Manusia juga menyaksikan tanpa Nabi Muhammad contoh manusiawi yang maksum tidak akan ada. Tanpanya manusia akan kehilangan qudwah atau contoh yang terbaik untuk dijadikan sumber ikutan. Tinggalan sunnahnya memberikan jalur kehidupan cermin pedoman Qurani yang amat tinggi martabatnya.
Solat adalah pancaran rohaniah menghubungkan manusia dan khaliq yang membawa terbangun jiwa hamba dan jiwa khalifah. Jiwa hamba mendidik manusia berjiwa rukuk dan sujud iaitu menjadi patuh, akur, taat dan tunduk terhadap pedoman, suruhan dan larangan Allah. Jiwa khalifah memberikan pedoman bagaimana sumber dalam kehidupan dapat diatur dan di susun dengan adil dan bijaksana. Daripadanya akan lahir saf kehidupan yang tersusun rapi, teratur dan terarah.
Siyam atau puasa menjadi kuasa pengimbang di antara manusia yang memiliki faktor fitrah yang tinggi dengan manusia yang sudah lari dari fitrah. Tarbiyyah rohiyyah ini cuba mendekatkan manusia kepada faktor ghaibiyyah supaya manusia tidak larut dengan faktor alam benda dan kelazatan nafsu yang selalunya mengheret manusia kepada kealpaan dan kelalaian. Amalan siyam cuba membimbing manusia kembali kepada fitrah.
Rahmat dan nikmat dalam bentuk alam benda menyebabkan manusia memiliki sumber kehidupan. Ia dilimpahkan dalam alam ini sebagai sumber amanah membolehkan manusia hidup dengan sejahtera tanpa melupakan orang lain. Oleh itu kekayaan dan harta yang didapati, bukan hanya milik kita semata tetapi ada bahagian di kalangan asnaf yang lapan supaya rahmat dan nikmat Allah dilimpahkan kepada yang lain dan memberikan pahala amal yang berganda kepada yang memiliki dan kelapangan juga di kalangan yang tidak berada. Inilah asas keadilan sosial dalam Islam hasil tersebarnya amalan zakat dan fitrah.
Sifatnya dijadikan manusia itu berbangsa-bangsa, amalan hajj menemukan maksud ‘litaarrafu’ atau kekenalan yang amat unik di Makkah dan Madinah dalam tawaf dan sai ke arah suatu khadaf bahawa semua kita adalah milik Allah dan kepada-Nya semua akan kembali. Padang Arafah memancarkan suatu keinsafan tentang yaumilmahsyar menemukan seluruh manusia dengan Penciptanya dengan rasa kekerdilan dan kesyukuran yang tinggi hingga membimbing kembali manusia ke arah fitrah diri.
Arkan al Iman dan Arkan al Islam adalah suatu simbiosis yang amat bermakna dalam membangun peribadi mukmin dan mukhsin supaya manusia tetap kekal dalam fitrah dan tidak menjadi orang yang melampaui batas. Jiwa kehambaan yang tinggi dan peranan kekhalifahan yang penuh amanah menjadikannya orang yang adil dan berperikemanusiaan tinggi.
Inilah asas peribadi Islam yang mampu menjadikan kehidupan lebih bermakna kerana faktor ghaibiyyah dan faktor alam nyata sentiasa terpancar dalam upaya rohaniah yang tinggi.
Pekerti yang jujur, bahasa yang santun, percakapan yang benar, pengurusan yang amanah, kebijaksanaan dalam mengatur kehidupan, keadilan dalam membuat keputusan, kesungguhan dalam melakukan sesuatu, ketelusan dalam proses bekerja adalah gambaran faktor rohaniah yang terpancar dalam peribadi dan tingkah laku.
Hasilnya mutu kehidupan dan kualiti kemanusiaan akan terserlah dan inilah yang menjadi idaman setiap manusia yang mendukung Rukun Iman dan Rukun Islam dalam keyakinan dan amalannya.
INFO: Alam ghaib
Arqan al-Iman atau Rukun Iman menjadi tunjang rohaniah terhadap faktor ghaib.
keimanan bersandar kepada faktor ghaibiyyat ini amat penting difahami dan dihayati supaya makna Islam yang terungkap dalam amalan memancarkan keyakinan yang tinggi terhadap Allah dan ciptaanNya dan memanfaat kehidupan menerusi rahmah dan nikmah-Nya.
Faktor ghaibiyyah adalah gambaran kebesaran Allah yang tidak dimiliki oleh manusia.
Roh yang menghidupkan jasad adalah sesuatu yang ghaib.
Faktor ghaibiyyah dan faktor yang nyata dalam alam dan kehidupan adalah suatu simbiosis dalam memahami faktor alamiah dan bukan alamiah. Bersama Prof Dr Sidek Baba
|
|
|
| |
| Nama berhala berasal dari orang soleh |
| 11.21.06 (5:04 pm) [edit] |
|
Syeikh Sya’rawi berkata: “Orang kafir yang menjadikan bagi Allah seumpama dan setara di kalangan makhluk yang disembahnya. Sedangkan orang musyrikin tidak sunyi daripada Allah berkenaan dengan uluhiah, tetapi mereka syirik bersamanya dengan yang lain sebagai sekutu-sekutu bahkan mereka kasih kepada sekutu tersebut seperti mereka kasih kepada Allah s.w.t.” Firman Allah: Di antara manusia ada orang-orang yang menyembah sekutu-sekutu yang lain dari Allah. Mereka menyintainya sama seperti mereka menyintai Allah, tetapi orang-orang yang beriman amat cinta kepada Allah dan andainya orang-orang yang zalim itu mengetahui – ketika mereka melihat azab di hari akhirat – bahawa seluruh kekuatan itu milik Allah belaka dan bahawa Allah amat keras azab-Nya (tentulah mereka tidak akan mempersekutui Allah). (Al-Baqarah: 165) Firman Allah s.w.t: Di antara manusia ada orang-orang yang menyembah sekutu-sekutu yang lain dari Allah. Adapun sejarah syirik dinaqalkan daripada Imam Ibn Kathir yang berkata, Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Ibn `Abbas bahawa berhala yang disembah oleh orang Arab adalah bermula daripada kaum Nabi Nuh a.s. Adapun berhala wad disembah oleh Kabilah Kalb, di Daumah al-Jandal. Berhala suwa’ disembah oleh Kabilah Hudair, berhala yaghuth disembah Kabilah Marad, berhala ya’uq disembah oleh Kabilah Hamdan dan berhala nasr disembah oleh Kabilah Himyar. Kesemua nama berhala tersebut asalnya adalah nama-nama orang soleh dari kaum Nuh a.s. Setelah orang-orang soleh tersebut meninggal dunia, lantas syaitan membisikkan dan menggoda kaumnya agar membuat patung-patung para solihin tersebut dan menyuruh mereka meletakkannya di tempat-tempat mereka berhimpun. Dan mereka juga disuruh oleh syaitan agar menamakan patung-patung tersebut dengan nama-nama orang soleh tersebut. Kaum Nabi Nuh melaksanakan arahan syaitan tersebut. Pada permulaan, mereka tidak menyembah patung tersebut tetapi setelah lama berselang masa dan generasi bertukar, seterusnya dilupakan oleh syaitan tentang asal usul sejarah perbuatannya. Maka akhirnya, mereka menyembah berhala tersebut. Menurut Ibn Jarir, mereka adalah orang-orang yang hidup pada zaman antara Nabi Adam dan Nabi Nuh. Masing-masing mempunyai pengikut. Setelah mereka wafat, lantas pengikut masing-masing membuat gambar atau patung orang-orang soleh yang mereka ikuti. Mereka berkata: “Kalau kita membuat gambar mereka sudah tentu ibadat kita akan lebih khusyuk kerana dengan melihat gambar mereka kita akan teringat dengan kesolehan mereka.” Inilah syirik atau penyelewengan akidah yang pertama terjadi di atas muka bumi. Selepas kejadian inilah Allah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya supaya mengembalikan akidah yang sebenar. Nabi Nuh menyampaikan risalah dan peringatan Allah kepada kaumnya dengan penuh ketabahan siang dan malam, tahun demi tahun namun hasilnya tidak ramai daripada kaumnya yang mengikuti dakwah tauhid dan risalah Nabi Nuh. Menurut Ibn `Abbas jumlah pengikut Nabi Nuh hanya 80 orang dan menurut Ka`ab al-Ahbar bilangan mereka ialah 72 orang. Ada pendapat menyatakan pengikutnya hanya 10 orang sahaja sedangkan masa dan tempoh dakwah Nabi Nuh amat panjang iaitu mencecah 950 tahun. Sayid Qutub berkata: “Dalam kalangan manusia terdapat orang-orang yang menyembah bermacam-macam tuhan selain Allah. Tuhan-tuhan itu di masa turunnya al-Quran ini berupa batu-batu, pokok-pokok, bintang-bintang, planet-planet, malaikat-malaikat atau syaitan-syaitan. Tuhan-tuhan itu di mana-mana zaman jahiliah adalah berupa benda-benda, tokoh-tokoh, lambang-lambang atau perhitungan-perhitungan atau pandangan-pandangan.” Semuanya merupakan syirik khafi (halus) atau syirik zahir (jelas) apabila disebut di samping nama Allah dan apabila dipersekutukan oleh seseorang di dalam hatinya bersama kekasihnya kepada Allah. Dan apatah lagi apabila dia mencabut kasih kepada Allah dari dalam hatinya dan memberi seluruh kasihnya kepada tuhan-tuhan itu, iaitu kasih yang tidak seharusnya diberikan melainkan kepada Allah. Seterusnya firman Allah s.w.t: Mereka menyintainya sama seperti mereka menyintai Allah. Terdapat dua pendapat tentang cinta atau kasih kepada Allah: * Mereka cinta sama seperti orang-orang yang beriman kerana Allah. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah, Abi al-‘Aliyah, Ibn Zayid, Muqatil dan al-Farra’. * Mereka kasih sesama mereka semata-mata seperti kasih mereka kerana Allah. Inilah pendapat al-Zajjaj. Firman Allah s.w.t: Tetapi orang-orang yang beriman amat cinta kepada Allah. Mereka amat cinta kepada Allah. Cinta mereka adalah cinta yang bebas dari segala perhitungan dan ikatan. Cinta mereka kepada Allah lebih besar dari segala cinta mereka yang diberikan kepada yang lain dari Allah. Ungkapan yang menggunakan kata-kata cinta di sini adalah suatu ungkapan yang indah di samping merupakan sebuah ungkapan yang benar, kerana hubungan yang wujud di antara seorang mukmin yang sebenar dengan Allah ialah hubungan cinta, hubungan kemesraan hati dan kesayangan rohaniah, hubungan akrab, hubungan perasaan yang diikatkan dengan sentimen kasih yang gemilang mesra. Firman Allah s.w.t: Bahawa Allah amat keras azab-Nya (tentulah mereka tidak akan mempersekutui Allah). Jika mereka dapat melihat tentulah mereka akan melihat bagaimana pemimpin-pemimpin berlepas diri dari para pengikutnya ketika mereka melihat azab. Ketika itu terputuslah segala hubungan dan pertalian yang wujud di antara mereka. Setiap orang masing-masing sibuk memikirkan nasib dirinya sahaja sama ada dia pemimpin atau pengikut. Ketika itu segala keketuaan dan kepimpinan yang diikuti itu tumbang dan runtuh belaka. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka sendiri apatah lagi hendak menyelamatkan para pengikut mereka. Ketika itu terdedahlah hakikat Uluhiah yang sebenar, iaitu hakikat Uluhiah dan kudrat Allah yang Maha Esa dan terbukalah tembelang pembohongan kepimpinan-kepimpinan yang sesat dan lemah di hadapan Allah dan di hadapan azab. Iktibar dan pengajaran ayat: - Beribadat kepada selain daripada Allah adalah syirik yang merupakan sebesar-besar dosa. - Sifat mukmin sejati mencintai Allah dengan setulus hati sebagai khalik dan rab. - Mengisbatkan azab Allah yang ia daripada gugusan keimanan dengan hari akhirat atau kiamat. - DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).
|
|
|
| |
| Adab melintas depan orang sedang sembahyang |
| 11.09.06 (7:53 pm) [edit] |
MELINTAS depan orang sedang solat hendaklah memastikan beberapa perkara kerana mungkin perbuatan itu membawa kepada dosa. Antara perkara perlu diberi perhatian: Jika melintas antara tempat sujud dan tempat berdiri, perbuatan ini adalah haram sama sekali bahkan, termasuk dosa besar. Sama ada orang yang solat itu menggunakan sutrah (penghadang) atau tidak.
Menurut Abu Juhaima, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang tahu balasan yang akan diterimanya akibat melintas di hadapan seseorang yang sedang solat, berdiri sambil menunggu selama 40 lebih baik daripada dia melintas di hadapan seseorang yang sedang mengerjakan solat itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jarak orang yang melintas itu jauh dari tempat sujud orang sedang solat. Dalam keadaan seperti ini, ada dua keadaan.
Pertama, jika orang yang sedang solat meletakkan sutrah di hadapannya, dia boleh melintas di belakang sutrah itu.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila salah seorang antara kamu mengerjakan solat, dia hendaklah membuat sutrah yang tinggi di hadapannya. Jika tidak menemui sesuatu untuk dibuat sutrah, dia hendaklah memacak tongkat. Jika tidak mempunyai tongkat, dia hendaklah membuat garis. Kemudian orang lain boleh melintas di luar garis sutrah itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Ibn Hibban)
Dalam Kitab Bulughul Maram, Ibn Hajar berkata: “Salah pendapat yang mengklasifikasikan hadis ini sebagai muttarib. Sebenarnya, ia adalah hadis Hasan.”
Menurut Talhah, bapanya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang antara kamu meletakkan benda seperti pelana unta yang panjang di hadapannya, dia hendaklah mengerjakan solat tanpa mempedulikan orang yang melintas di belakang sutrah itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Kedua, dia tidak meletakkan sutrah. Dalam keadaan ini, larangan melintas hanya diantara jarak dia berdiri dan tempat sujudnya saja.
Syeikh Ibn’Uthaimin berkata, “Pendapat yang lebih tepat, jaraknya ialah antara tempat berdiri kedua-dua belah kakinya sehingga ke tempat sujudnya. Ini kerana, seseorang yang mengerjakan solat tidak memerlukan jarak yang begitu luas. Dia juga tidak berhak melarang orang lain melintas di luar jarak ini.” (Rujuk al-Syarh al-Munti)
Ibn Abbas berkata, “Suatu ketika aku kembali daripada suatu perjalanan sambil menunggang keldai betina. Waktu itu, aku sudah baligh. Ketika tiba, aku melihat Rasulullah SAW sedang mengerjakan solat di Mina dan mengadap ke arah dinding (sutrah). Kemudian aku melintas hadapan saf makmum di belakangnya lalu melepaskan keldai betina itu untuk mencari makanan. Kemudian keldai itu melintas di hadapan saf jemaah solat, tetapi baginda tidak menyalahkan aku kerana hal itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
|
|
|
| |
| Doa, tasbih, selawat mampu ubah ketetapan nasib |
| 11.09.06 (7:52 pm) [edit] |
SALMAN meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawasanya Baginda bersabda: “Tidak ada yang menolak ketetapan selain doa.” Daripada Abdullah bin Umar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang dibukakan baginya pintu doa, maka dibukakanlah baginya pintu rahmat, tidak ada permintaan yang lebih disukai daripada seorang meminta kesihatan dan bahawasanya doa bermanfaat untuk perkara yang sudah terjadi mahupun belum terjadi dan tidak ada yang menolak ketetapan selain doa maka berdoalah kamu wahai hamba Allah.”
Setiap ketetapan boleh berubah dengan doa yang menjadi amalan serta sedekah, sebagaimana diriwayatkan daripada Ali bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah mencegah ketetapan yang sudah dikukuhkan.”
Kriteria ketiga yang boleh mengubah ketetapan ialah tasbih dan keempat adalah memperbanyak membaca selawat kepada Nabi.
Kelima, takwa yang menjadi syarat paling kuat untuk memperoleh kebaikan dan mencegah keburukan dari jalan yang tidak dihitungkan.
Allah berfirman bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari segala kesulitan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak dihitungkannya.” (Surah at-Thalaq, ayat 2-3)
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar bagi segala kesulitan, kelapangan dari segala kegundahan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diperhitungkannya.”
Seorang lelaki mengadu kepada al-Hasan al-Bashri mengenai hal kekeringan, maka beliau berkata: “Beristighfarlah&rd quo; Kemudian datang orang lain kepadanya mengadukan perihal kefakiran, beliau berkata: “Istighfarlah&rdquo ;.
Kemudian datang lagi seorang yang mengadukan kebunnya yang kering, maka beliau berkata: “Istighfarlah&rdquo ;. Selepas itu datang seorang yang mengadukan ingin mempunyai keturunan, maka beliau berkata: “Istighfarlah&rdquo ;.
Beliau membacakan kepada mereka firman Allah bermaksud: “Maka Aku berkata: “Minta ampunlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menurunkan hujan bagimu dari langit. Memberimu harta yang banyak, keturunan dan menjadikan bagimu taman-taman dan sungai-sungai.” (Surah Nuh, ayat 10-12)
|
|
|
| |
| Doa, tasbih, selawat mampu ubah ketetapan nasib |
| 11.09.06 (7:52 pm) [edit] |
SALMAN meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawasanya Baginda bersabda: “Tidak ada yang menolak ketetapan selain doa.” Daripada Abdullah bin Umar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang dibukakan baginya pintu doa, maka dibukakanlah baginya pintu rahmat, tidak ada permintaan yang lebih disukai daripada seorang meminta kesihatan dan bahawasanya doa bermanfaat untuk perkara yang sudah terjadi mahupun belum terjadi dan tidak ada yang menolak ketetapan selain doa maka berdoalah kamu wahai hamba Allah.”
Setiap ketetapan boleh berubah dengan doa yang menjadi amalan serta sedekah, sebagaimana diriwayatkan daripada Ali bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah mencegah ketetapan yang sudah dikukuhkan.”
Kriteria ketiga yang boleh mengubah ketetapan ialah tasbih dan keempat adalah memperbanyak membaca selawat kepada Nabi.
Kelima, takwa yang menjadi syarat paling kuat untuk memperoleh kebaikan dan mencegah keburukan dari jalan yang tidak dihitungkan.
Allah berfirman bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari segala kesulitan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak dihitungkannya.” (Surah at-Thalaq, ayat 2-3)
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar bagi segala kesulitan, kelapangan dari segala kegundahan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diperhitungkannya.”
Seorang lelaki mengadu kepada al-Hasan al-Bashri mengenai hal kekeringan, maka beliau berkata: “Beristighfarlah&rd quo; Kemudian datang orang lain kepadanya mengadukan perihal kefakiran, beliau berkata: “Istighfarlah&rdquo ;.
Kemudian datang lagi seorang yang mengadukan kebunnya yang kering, maka beliau berkata: “Istighfarlah&rdquo ;. Selepas itu datang seorang yang mengadukan ingin mempunyai keturunan, maka beliau berkata: “Istighfarlah&rdquo ;.
Beliau membacakan kepada mereka firman Allah bermaksud: “Maka Aku berkata: “Minta ampunlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menurunkan hujan bagimu dari langit. Memberimu harta yang banyak, keturunan dan menjadikan bagimu taman-taman dan sungai-sungai.” (Surah Nuh, ayat 10-12)
|
|
|
| |
| Tiga perkara membatalkan akidah |
| 11.07.06 (7:44 pm) [edit] |
|
IBN Jauzi berkata: “Sebahagian ulama berpendapat ayat yang sebelum ini telah dinasakhkan dengan pengecualian pada ayat ini, dan ini bukanlah dinamakan nasakh kerana pengecualian maksudnya mengeluarkan sebahagian dari semuanya yang membawa kepada takhsis.” Sayid Qutub berkata: “Adapun orang-orang yang terus berdegil (di atas kesalahan mereka) dan tidak bertaubat sehingga peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) telah berakhir, maka mereka akan menghadapi laknat yang diancamkan kepada mereka sebelum ini dengan huraian yang lebih terperinci dan tegas lagi.” Benarlah firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir, mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. (Al-Baqarah: 161-162) Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir. Sesungguhnya disyaratkan mati dalam kufur kerana hukumnya mengikut bagaimana keadaan mati. Abu al-`Aliyah berkata: “Ini pada hari kiamat di mana orang kafir didirikan kemudian Allah melaknatnya seterusnya manusia dan malaikat juga melaknatnya. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya.” Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh membawa kepada keluarnya seseorang dari daerah keimanan kepada kufur. Disebut secara umum di sini antara sebab-sebab tersebut: Ulama berpendapat perkara yang membatalkan akidah dan iman terbahagi kepada tiga: * Iktikad. * Perbuatan. * Perkataan. Ulama menyebut dalam kitab masing-masing secara terperinci jenis-jenis perkara di atas yang boleh mengeluarkan daripada daerah keimanan sehingga membawa kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut: * Beriktikad adanya Tuhan yang lain selain Allah atau kuasa yang setara dengannya. * Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa. * Percaya kepada kuasa-kuasa yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain. * Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir, contohnya tunduk dan patuh kepada berhala dan memakai salib dan sebagainya. * Menghina al-Quran. * Menghina Rasulullah s.a.w dan sunahnya termasuk melukis karikatur yang menjatuhkan martabat Nabi Muhammad. * Menganggap syariat tidak sesuai pada zaman sekarang. * Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim. * Merasa syak dan ragu atas kebenaran Islam. * Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui umum. * Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. * Mengaku adanya Nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. * Menganut fahaman isme-isme yang lain seperti liberalisme dan lain-lain. Seterusnya firman Allah s.w.t: Mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat ini yang dimaksudkan dengan laknat tiga wajah. Pertama, mereka melaknatnya di hari akhirat. Kedua, dikehendaki dengan manusia di sini ialah di kalangan orang yang beriman seperti pendapat Ibn Mas’ud, Qatadah dan Muqatil. Ketiga, bahawa laknat daripada orang yang ramai. Firman Allah s.w.t: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Maksud kekal di dalamnya atau padanya ada dua pendapat. Pertama, kembali kepada laknat seperti pendapat Ibn Mas’ud dan Muqatil. Kedua, kembali kepada neraka. Ayat ini tidak menyebut suatu azab yang lain dari laknat yang menyerkup mereka, malah ia menyifatkan laknat ini sebagai suatu azab yang tidak akan diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan ditangguhkan. Itulah azab yang mengecilkan segala azab yang lain. Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan dengan kasar dan tiada hati yang menaruh belas kasihan, tiada mata yang memandang dengan simpati dan tiada lidah yang mengucap kata-kata hormat. Mereka dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba Allah dan oleh Tuhan sekalian hamba-Nya sama ada di bumi dan di alam al-Mala`ul-A’la. Inilah azab yang amat pedih dan amat menghinakan. Firman Allah: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Balasan itu disebabkan mereka telah menutup pintu yang terbuka itu kepada diri mereka sendiri dan membiarkan peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) itu berakhir begitu sahaja, sedangkan mereka terus berdegil dengan sikap menyembunyikan kebenaran, memilih kekufuran dan kesesatan. Iktibar dan pengajaran ayat: 1. Kebahagiaan yang hakiki ialah mati dalam husnu al-Khatimah apatah lagi diakhiri dengan kalimah tauhid. 2. Laknat yang datang daripada Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya menjadi dalil ia termasuk dalam dosa besar. 3. Beriman dengan hari balasan seperti adanya azab neraka adalah benar. * DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM)
|
|
|
| |
| Jalinan persahabatan ukuran kebahagiaan di dunia, akhirat |
| 11.05.06 (5:01 pm) [edit] |
Hubungan atas prinsip pentingkan diri sendiri tak akan berpanjangan HUBUNGAN yang terjalin di antara manusia di dunia ini tidak terlepas daripada prinsip ingin mengambil manfaat daripada orang lain.
Namun, apakah niat mengambil kesempatan daripada kawan itu salah? Rasanya tidak salah jika kedua-duanya sama-sama reda, untung dan tidak merasa dizalimi.
Omong kosong jika ada orang yang mengaku tidak mengharap apa-apa daripada persahabatannya itu, sedangkan Abu Bakar begitu cintakan Rasulullah SAW dengan niat mahu mendapatkan keuntungan iaitu kemuliaan di dunia sebagai kekasih Baginda SAW dan anugerah syurga di akhirat kelak.
Bagaimanakah caranya supaya persahabatan itu kekal dan membawa keuntungan? Ada orang yang hanya mementingkan kebahagiaan untuk dirinya sendiri walaupun terpaksa menginjak kepala orang lain.
Kebahagiaan dan kejayaan sebegini pasti tidak berpanjangan kerana ia akan ditinggalkan oleh mereka yang mendukungnya kerana mereka merasa dirugikan.
Antara ciri persahabatan yang menguntungkan kehidupan di dunia dan akhirat ialah:
Sentiasa prihatin kepada sahabat dan kurang menyusahkannya. Kisah Abdul Rahman bin Auf RA yang menolak pelawaan sahabatnya patut dijadikan teladan.
Lelaki Ansar yang baru mengenalnya ketika dia menjejakkan kaki di bumi Madinah telah mempelawa beliau untuk menikahi salah seorang isterinya yang akan diceraikan, jika dia mahu dan sejumlah wang untuk sara hidup beliau.
Tetapi dengan rendah hati Abdul Rahman bin Auf menunjukkan ketinggian maruah beliau dengan meminta satu permintaan iaitu: "Tunjukkanlah kepadaku arah mana jalan menuju pasar?" Beliau telah berniaga dengan bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat mengambil keuntungan yang banyak tanpa menyusahkan sahabatnya itu.
Persahabatan demi iman. Berapa ramai manusia yang boleh memperoleh kekuatan iman daripada seorang insan yang didampinginya? Jika kita memandang wajahnya, hati kita teringat kepada Allah SWT.
Ayat yang mengalir dari lisannya boleh membuka hati kita lantas kita merasai dekatnya akhirat. Pemikirannya adalah suatu idea bernas, perasaannya yang ikhlas berhembus bersama tiupan angin yang menyejukkan jiwa. Bagai menemukan mata air iman ketika kita kekeringan.
Dialah sahabat yang mengajak ke jalan yang benar dan diredai Tuhan. Di sisi kita juga ada orang yang suka menggenggam tangan kita sambil menawarkan kealpaan, haruman bunga nafsu, kemewahan dunia dan perhiasannya.
Hidup kita telah diwarnai oleh ajakan dan pujukannya. Oleh itu, ketuklah pintu hati dan mintalah fatwa darinya yang mana harus kita pilih?
Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika hari itu orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya seraya berkata: Alangkah baiknya sekiranya dahulu aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah atasku, sekiranya aku tidak menjadikan si polan itu teman akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran ketika al-Quran datang kepadaku. Dan adalah syaitan tidak mahu menolong manusia." (Surah Al-Furqan, ayat 27-29)
Hubungan atas dasar sama-sama untung. Tentunya kita mahukan keuntungan di dunia dan di akhirat. Bolehkah persahabatan itu hanya mengambil kira akhirat saja?
Bagaimanakah akhirat hendak diraih jika di dunia suka menzalimi perniagaan sahabat sendiri, atas nama ukhuwah hutang tidak berbayar? Atas nama ukhuwah sesuka hati mengguna tenaga orang tanpa mengira upah yang patut?
Padahal Rasulullah SAW berpesan mengenai hak orang mukmin yang tidak boleh diganggu gugat. Baginda SAW bersabda yang maksudnya: "Allah berfirman: Tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari kiamat; (antara mereka) lelaki yang mengupah seseorang lalu orang tersebut menyempurnakan kerjanya tetapi lelaki itu tidak memberikan upahnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Betapa senangnya berkenalan tetapi sungguh susah mencari seorang sahabat yang sekali gus anda boleh menjadi seorang yang soleh dan akrab dengannya. Berbahagia berdampingan bersama hingga ke akhirat.
Kita akan sentiasa ingat kebaikan yang pernah ditonjolkan mereka yang berhati ikhlas ketika bersama. Namun perlu diingat juga, aib dan cela itu akan menorehkan luka yang dibawa sampai ke mahkamah Allah SWT.
Saat itu setiap manusia saling meminta pertanggungjawaban saudaranya kerana pernah dizalimi, diambil haknya, ditipu dan dikeji. Kerana segala perbuatan jahat akan dibalas dengan kejahatan juga. Bersama Dr Juanda Jaya
|
|
|
| |
| Pesan Rasulullah: 7 golongan akan dapat naungan di akhirat |
| 11.05.06 (4:55 pm) [edit] |
RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu:
Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya.
Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.
Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah.
Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”
Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.
Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah.
Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.
Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
|
|
|
| |
|
|