 Blog For Free!
Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August
My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8
tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images
Sponsored
Blog


 Free Hit Counter
|
| Musibah uji kekuatan akidah, kesabaran umat |
| 12.25.06 (7:05 pm) [edit] |
DIMAKSUDKAN dengan perkataan musibah ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang. Walaupun begitu, Allah menjadikan musibah ini sebagai ujian ke atas hamba-Nya. Firman Allah bermaksud, "Dan sesungguhnya akan kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar" (Surah al-Baqarah ayat 155).
Kemudian Allah jelaskan orang yang sabar itu di dalam firman-Nya yang bermaksud, "(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jualah (tempat) kami kembali" (Surah al-Baqarah ayat 156).
Dalam ayat di atas, Allah menyatakan setiap hamba-Nya akan diuji (al-Tabariy, 1996. Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an jilid. 2 halaman. 45).
Ujian Allah itu berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ia adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan yang ditempuhinya.
Jadi jelaslah orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.
Ibn Kathir semasa mentafsir ayat (ayat 156 daripada Surah al-Baqarah) beliau menjelaskan, "Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya" (Ibn Kathir, 1992. Tafsir al-Quran al-'Azim jilid. 1 halaman 203).
Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud, "Umm Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah swt ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud) "Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya! Allah berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik".
Umm Salamat berkata: Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah sendiri. Umm Salamah berkata: Baginda mengutuskan Hatib Bin Balta'ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri.
Berdasarkan kefahaman hadis di atas, balasan Allah atas kesabaran Umm Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah.
Jelaslah ujian Allah ini untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah itu bukanlah sekadar kematian, malah ia didatangkan dalam pelbagai bentuk dan keadaan.
Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah akan menggantikan sesuatu yang yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan di dalam hadis di atas.
Jadi dalam hal ini setiap umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul, iaitu dengan berakidahkan semua makhluk yang wujud di atas muka bumi ini adalah hamba dan milik Allah. Sebaik saja mengaku bahawa kita sebagai hamba dan milik Allah, kita hendaklah meredai apa juga musibah yang menimpa kita. Sebenarnya di sebalik musibah itu mempunyai hikmah yang besar, di mana kita sendiri tidak mengetahuinya.
Maka dengan ketabahan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan yang menimpa kita, sebenarnya sebagai suatu latihan untuk menempuh banyak lagi penderitaan pada masa akan datang.
Secara khususnya kepada mangsa banjir besar di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor ketika ini diharapkan dapat menempuh musibah itu hendaklah banyak bersabar. Hanya dengan sabar semua kesulitan dan penderitaan dapat diatasi. Ia kerana sesuatu kehidupan itu tidak membeku begitu saja.
Mudah-mudahan hasil daripada kesabaran itu, Allah akan berikan ganjaran pahala dan gantikan segala harta benda yang rosak itu dengan harta benda lain yang lebih baik.
Oleh Mohd Shukri Hanapi
|
|
|
| |
| Hati kotor hanya boleh diubat, dibersih dengan iman |
| 12.21.06 (6:53 pm) [edit] |
SETIAP manusia dikurniakan Allah hati. Hati adalah seketul darah yang berperanan mengawal pergerakan jasad manusia. Jika hati seseorang itu bersih (daripada kekotoran dosa) maka jasadnya juga turut melakukan kebaikan, sebaliknya jika hati itu penuh dengan kekotoran dosa, maka ia akan mendorong seseorang itu melakukan perkara yang ditegah agama. Keadaan hati, sama ada bersih atau kotor mempunyai pertalian rapat dengan keimanan dan ketakwaan individu.
Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir bahawa Rasulullah mengingatkan kepada umatnya mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud "Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati."
Berdasarkan hadis itu, dapatlah kita gambarkan hati manusia yang rosak itu seumpama sebuah komputer yang mempunyai virus. Ia mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah juga hati, jika ia penuh dengan kekotoran dosa, maka seluruh badan akan rosak.
Di dalam al-Quran ada ayat yang menyentuh mengenai hati, tetapi melalui pelbagai istilah. Melalui ayat itu juga diterangkan hati dapat dijaga dan diubati hanya dengan bertakwa atau beriman kepada Allah.
Tanda takwa atau takut kepada Allah itu dapat dilihat dalam tujuh perkara;
Pertama, seseorang itu menjaga lidahnya daripada melakukan fitnah, mencela, mencaci, mengumpat dan sebagainya;
Kedua, seseorang itu menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api yang memakan kayu; Ketiga, memelihara mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati. Sebab itu janganlah melihat perkara terlarang demi untuk mendidik hati; Keempat, menjaga perut agar tidak diisi dengan makanan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi makanan yang haram berada di dalam tubuh kita. Kelima, menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan haram. Begitu juga kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah; Keenam, ketaatan dapat dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta takut kepada sifat riak dan munafik.
Sesungguhnya hati dan hubungan kita dengan ketaatan terhadap Allah amat rapat. Sebab itu kita hendakah sentiasa berdoa meminta-Nya memelihara hati kita agar senantiasa taat kepada-Nya.
Hati amat penting, kerana apabila rosak ia menggambarkan pegangan agama kita juga turut rosak. Jika seseorang bersungguh-sungguh melaksanakan saranan memelihara anggota di atas, dia termasuk di dalam golongan orang muttaqin yang dijanjikan Allah dengan syurga.
Hati yang bersih dan luhur membolehkan seseorang menangkis segala godaan syaitan. Sebenarnya manusia menghadapi dua bisikan, iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat.
Bisikan syaitan menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah. Seterusnya lahirlah manusia kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, pemfitnah dan sebagainya.
Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur ketakwaan, maka dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah dan sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)." (Surah al-A'raf ayat 200-201).
Allah mengangkat Nabi sebagai seorang yang maksum atau terpelihara daripada dosa selepas hati Baginda dibersihkan. Berbanding manusia biasa, kita hanya mampu berdoa kepada Allah, tetapi keimanan kepada-Nya tidak dapat dijamin kerana hati tidak dapat dibersihkan sepenuhnya dan sentiasa digoda syaitan.
Allah memilih Nabi Muhammad saw untuk membawa urusanNya. Maka semestinya utusan Allah mempunyai sifat istimewa, antaranya hati yang bersih.
Dengan hatinya yang bersih itu, orang kafir dan Quraisy tertawan. Kesabaran, keikhlasan dan kemuliaan akhlaknya berpunca daripada hati Baginda yang bersih. Malah orang kafir sendiri mengakui kemuliaan hati Baginda.
Umar Al-Khattab yang dikenali sebagai seorang yang keras hati dapat dilembutkan hatinya bukan dengan kekerasan, tetapi dengan mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran.
|
|
|
| |
| Amalan disarankan Rasulullah pada Zulhijjah |
| 12.21.06 (6:48 pm) [edit] |
|
ZULHIJJAH adalah bulan kedua belas di dalam kalendar Islam hijrah dan satu bulan haram selain dari Muharam, Rejab dan Zulkaedah. Kelebihan bulan mulia ini disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya dirimu dalam bulan itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa. (Surah at-Taubah, ayat 36).
Zulhijjah bermaksud yang memiliki haji kerana ibadah haji ditunaikan di dalam bulan berkenaan. Amalan mulia ini dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim dan diteruskan oleh anak cucunya daripada keturunan Nabi Ismail berlanjutan hingga zaman Rasulullah. Kemuncak ibadah haji adalah pada hari Arafah iaitu hari kesembilan Zulhijjah yang digambarkan sebagai perhimpunan besar umat Islam yang teragung, lambang kesatuan akidah dan perpaduan, tanpa mengenal batasan pangkat dan harta, kesemuanya mengharapkan keredaan Allah.
Zulhijjah ini menghimpun pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang disediakan oleh Allah bagi Muslim yang mengharapkan keredaan dan pengampunan Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah.
Sahabat Baginda bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi sesiapa yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun. (Hadis riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis lain, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkan ucapan tahlil (La Ilaha Illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah). (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Dalam pada itu, Rasulullah tidak ketinggalan menyatakan beberapa amalan yang sangat dianjurkan pada bulan ini, antara lain adalah:
Menunaikan ibadah haji dan umrah sebaik-baik amalan.
Berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, terutamanya pada hari Arafah. Lebih-lebih lagi, puasa di antara amalan yang afdal dan amat disukai Allah sendiri. Rasulullah bersabda bermaksud: Puasa pada hari Arafah dengan penuh pengharapan keredaan Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang. (Hadis riwayat Muslim)
Bertakbir (Allahu Akbar) dan membasahkan lidah dengan pelbagai jenis zikir pada sepuluh hari Zulhijjah. Firman Allah yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum). (Surah al-Haj, ayat 28).
Disyariatkan juga bertakbir pada hari yang mulia itu sama ada waktu siang atau malam terutamanya selepas menunaikan solat fardu (dikerjakan secara berjemaah). Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu Subuh hari Arafah dan bagi yang menunaikan haji, takbir bermula pada waktu Zuhur Hari Raya Haji pertama iaitu pada 10 Zulhijjah. Kesemuanya berakhir pada waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
Bertaubat dan seterusnya meninggalkan segala perkara maksiat dan dosa. Dalam masa yang sama, memperbanyakkan amalan baik dengan tujuan mencapai keampunan dan rahmat Allah.
Hal ini kerana maksiat adalah punca jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah cemburu (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Memperbanyakkan amalan salih terutamanya amalan sunat yang sangat dianjurkan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan sebagainya kerana kesemua amalan yang dilakukan pada hari berkenaan dilipatgandakan ganjarannya di sisi Allah.
Walau sekecil mana sekalipun amalan itu dilakukan tetapi ia lebih disukai Allah jika dibandingkan pada hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad pada jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan paling afdal, namun ia tidak dapat mengatasi kehebatan ganjaran pahala disediakan Allah pada hari itu melainkan apabila kuda yang ditungganginya itu terbunuh dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
Disyariatkan kepada umat Islam yang berkemampuan untuk melakukan amalan korban pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyriq yang berikutnya iaitu pada hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ia adalah sunah Nabi Allah Ibrahim selepas Allah mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail tetapi diganti dengan seekor haiwan (kibasy) untuk disembelih.
Setiap Muslim hendaklah menunaikan solat Aidiladha berjemaah dan mendengar khutbah supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnya setiap Muslim mengetahui hikmah di sebalik perayaan ini yang menyatakan kesyukuran melakukan kebaikan di samping menjauhkan diri daripada melakukan perkara mendatangkan kemurkaan Allah, seperti mengerjakan maksiat, menyombong diri, bertengkar, bermasam muka yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan.
Begitulah di antara kelebihan dan keistimewaan yang terhampar sepanjang Zulhijjah untuk direbut oleh setiap Muslim yang bertakwa. Mudah-mudahan setiap Muslim bersungguh-sungguh menjejaki keampunan Ilahi dan rahmat-Nya dengan menjunjung segala titah dan perintah Ilahi dan menjauhi segala larangan-Nya. Oleh Dr Engku Ahmad Zaki
|
|
|
| |
| Halal haram makanlah daripada rezeki-Nya yang baik-baik |
| 12.19.06 (10:45 pm) [edit] |
|
SAYID Qutub berkata: “Di sini al-Quran menujukan pembicaraannya khusus kepada orang-orang yang beriman. Ia mengharuskan mereka memakan makanan-makanan yang baik dan menyuruh mereka supaya bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat-nikmat itu kepada mereka. Juga menerangkan jenis-jenis makanan yang diharamkan kepada mereka, iaitu makanan-makanan yang bukan dari jenis makanan-makanan yang baik yang dihalalkan dan mencela orang-orang Yahudi yang mempertikaikan mereka dalam perkara makanan-makanan halal yang baik dan makanan-makanan yang diharamkan Allah itu. Sedangkan perkara ini dijelaskan dalam kitab suci mereka sendiri yang ada pada mereka.” Firman Allah, Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas. (al-Baqarah: 172-173) Firman Allah s.w.t.: Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah. Kata Syeikh al-Maghari, orang-orang musyrikin dan ahli kitab sebelum kedatangan Islam berpuak-puak dan berbagai-bagai jenis. Sebahagian mereka mengharamkan ke atas mereka sendiri perkara tertentu dan sebahagian yang lain di sisi yang lain pula dengan jenis makanan tertentu. Begitu juga yang tersebar luas dalam masyarakat Nasara bahawa cara yang paling hampir untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah dengan menyeksa diri dan mengharamkannya daripada semua kelazatan. Di samping itu, menghina tubuh badan dan yang membawa kepada kelazimannya. Ini kerana mereka berpendapat bahawa Allah s.w.t. tidak reda kecuali dengan menghidupkan roh, akhirnya mereka mengharamkan banyak perkara yang baik. Golongan yang mengharamkannya sama ada paderi atau ahli ibadat mereka seperti pengharaman makan daging dan lemak binatang begitu juga ikan, telur dan susu pada sebahagian yang lain. Semua hukum ini dibuat oleh ketua mereka yang tidak ada di dalam Taurat begitu juga tidak dinaqalkan daripada al-Masih a.s. Tetapi mereka mengambilnya daripada ahli penyembah berhala yang mereka mengharamkan banyak daripada makan yang baik dan elok dengan iktikad bahawa cara untuk mendekatkan kepada Allah s.w.t., tidak berlaku kecuali dengan mengazabkan diri dan meninggalkan habuan untuk jasad. Sesungguhnya Allah s.w.t. menjadikan umat ini sebagai umat pertengahan yang terbaik dengan memberi jasad akan haknya dan roh juga akan haknya. Kemudian Allah s.w.t. halalkan bagi kami yang baik dan memerintahkan kami untuk bersyukur atas nikmat tersebu. Allah s.w.t. tidak menjadikan kami seperti tubuh yang tidak mempunyai apa-apa daya kekuatan dengan sebab tidak makan, makanan yang baik dan berzat begitu juga tidak menjadikan kami rohhaniyin iaitu dinisbahkan kepada jiwa semata-mata seperti para malaikat sebaliknya Allah s.w.t. menjadikan kita manusia yang sempurna. Rezeki Al-Sonhadji berkata: “Allah menyuruh orang-orang mukmin agar memakan daripada rezeki-Nya yang baik-baik, kemudian menyuruhnya berterima kasih, kalau benar-benar mereka menyembah Allah.” Makanan yang baik-baik itu ada dua macam: i. Baik pada mutunya. ii. Baik kerana halal dimakan. Makanan yang baik mutunya, memang diketahui oleh manusia. Selain makanan itu rasanya enak, ada pula mengandungi vitamin (khasiat). Adapun tentang makanan yang halal pula, adalah ketentuan yang ditetapkan oleh agama. Ada kalanya jenis makanan itu tidak bermutu tetapi halal. Maka manusia diseru mengutamakan makanan yang bermutu (yang baik), baik dari segi kesopanan mahupun kesihatan serta halal pula dalam segi agama. Janganlah memakan makanan-makanan yang sangat rendah mutunya serta hina pula jenisnya apatah lagi yang menjijikkan, sedangkan makanan-makanan yang baik-baik amat banyak disediakan oleh Allah s.w.t. untuk manusia. Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas. Bangkai memanglah dijijikkan oleh selera yang sihat. Begitu juga darah di samping perakuan ilmu kedoktoran - setelah sekian lama diharamkan oleh al-Quran dan Taurat sebelumnya dengan perintah Allah - yang mengatakan bahawa bangkai dan darah mengandungi kuman-kuman dan bahan-bahan yang membahayakan kesihatan manusia. Kita tidak mengetahui apakah kedoktoran moden telah menyelidik seluruh bahaya yang terkandung di dalam dan darah itu, atau di sana masih ada lagi sebab-sebab pengharaman yang lain yang belum diketahui manusia. Adapun babi di sana ada segolongan manusia sekarang yang mempertikaikannya. Babi itu sendiri menjijikkan kepada tabiat manusia yang bersih dan betul. Walaupun ia diharamkan Allah sejak zaman dahulu lagi, namun baru sahaja ilmu manusia mengetahui bahawa di dalam daging babi, darahnya dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat merbahaya (iaitu cacing pita dan telur-telurnya yang keras). Kini ada segolongan manusia yang berkata bahawa alat-alat pemasak moden telah melangkah maju dan membuat cacing-cacing pita dan telur-telurnya itu tidak lagi menjadi sumber bahaya kerana ia dapat dibasmikan dengan haba yang tinggi yang dapat disediakan oleh alat-alat pemasak yang moden itu. Namun orang-orang ini lupa bahawa ilmu pengetahuan mereka kadang-kadang memerlukan kepada beberapa abad untuk mengenal pastikan sesuatu penyakit. Siapakah yang berani menjamin bahawa tidak ada lagi penyakit-penyakit yang lain yang ada di dalam daging babi yang belum diketahui manusia? Tidakkah wajar kita memberi kepercayaan yang teguh kepada syariat Allah yang telah mendahului ilmu pengetahuan manusia selama 10 abad itu dan menyerahkan kata pemutus kepadanya, iaitu kita haramkan apa yang diharamkan-Nya dan kita halalkan apa yang dihalalkan-Nya kerana syariat adalah datang dari Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Berkenaan dengan maksud tidak pula melampaui batas mempunyai empat pendapat: i. Tidak melampaui kepada pemerintah dan menyamun. Inilah Pendapat Said bin Jubair dan Mujahid. ii. Tidak melampau dan berlebih daripada had makannya. Inilah pendapat al-Hassan, Ikrimah, Qatadah dan al-Rubi. iii. Tidak melampau dengan maksud tidak menghalalkan seperti yang diriwayatkan daripada Said bin Jubir dan Muqatil. iv. Tidak melampau mengikut syahwatnya seperti kata al-Suddi. Makna darurat dalam mengharuskan makan bangkai ialah ditakuti mudarat terhadap nyawa atau anggotanya. Ditanya kepada Imam Ahmad tentang orang yang dalam kemudaratan (kebuluran) tidak mahu makan bangkai? Maka disebut daripada Masruq bahawa beliau berkata: “Siapa dalam kemudaratan (kebuluran) dan tidak mahu makan jika mati nescaya masuk neraka.” Adapun keadaan yang berhak dia makan, maka dinukilkan daripada Hanbal sekadar selamat daripada mati. Dinaqalkan daripada Ibn Mansur; dia makan dengan kadar yang dia rasa selamat. Yang zahir pada yang pertama bahawa ia tidak harus makan sehingga kenyang; inilah pedapat Abu Hanifah dan al-Syafii. Sedangkan zahir pendapat yang kedua harus ialah makan sehingga kenyang inilah pendapat Imam Malik. Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat yang pertama kerana darurat hendaklah dikadarkan mengikut kadarnya seperti yang terdapat di dalam Qawa`id Fiqhiyyah. Iktibar dan pengajaran ayat: *Penegasan Allah s.w.t berkenaan dengan makanan toyyib yang menepati dua perkara iaitu halal, suci atau bersih dan yang tidak memberi mudarat kepada pemakannya dititik beratkan dalam Islam. *Sifat syukur kepada Allah s.w.t hendaklah diterjemahkan dalam kepatuhan ibadat kepada-Nya sahaja. *Pengharaman Allah s.w.t. terhadap bangkai, khinzir dan darah mempunyai hikmah yang kadang-kadang di luar jangkauan manusia. Pun begitu bagi yang dalam keadaan darurat ia berlaku pengecualian. *Allah menutup surah dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun dan Penyayang yang memberi maksud pemurah Allah dan kasih sayang terhadap hamba-Nya. Syeikh Sya'rawi menafsirkan dengan panjang lebar kenapa Allah menutup dengan sifat tersebut pada ayat ini. * DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).
|
|
|
| |
| Pekak, bisu dan buta kemuncak penghinaan kepada orang kafir |
| 12.12.06 (8:14 pm) [edit] |
|
SYEIKH al-Maghari berkata: Kemudian Allah s.w.t merakamkan keatas mereka kesempurnaan kesesatan mereka dan menyebut bilangan jenayah dan kesalahan mereka. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah. Mereka menjawab: (Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami. (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk. Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti. (al-Baqarah: 170-171) Sebab turunnya ayat: Ibn al-Jauzi menyebut tiga pendapat ulama berkenaan kepada siapa turunnya ayat ini: i. Mereka yang dikatakan bagi mereka (makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal dan baik). Atas alasan ini jadilah ha' dan mim kembali ke atas mereka, inilah pendapat Muqatil. ii. Diturunkan kepada Yahudi, ia merupakan kisah yang baru, justeru jadilah ha' dan mim sebagai kinayah tanpa disebut. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Ishaq daripada Ibn `Abbas. iii. Ia adalah berkaitan dengan orang Musyrikin Arab dan kaum kafir Quraisy, Justeru jadilah ha' dan mim kembali kepada firmannya yang bermaksud; Dan daripada manusia siapa yang mengambil selain daripada Allah sekutunya. Seterusnya Ibn Jauzi meneruskan dengan katanya: Mengikut pendapat yang pertama, adalah dikehendaki dengan apa yang Allah s.w.t. turunkan, ialah menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram. Sedangkan pendapat yang kedua dengan Islam dan berkenaan dengan pendapat yang ketiga dengan tauhid dan Islam. Firman Allah s.w.t.: Walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk. Walaupun begitu, mereka terus berdegil mengikut tradisi-tradisi datuk nenek mereka. Tidakkah ini suatu kebekuan fikiran dan taqlid yang amat buruk. Oleh sebab itulah ayat yang berikut melukiskan keadaan mereka dengan satu gambaran yang hina yang layak dengan bentuk taqlid dan kebekuan fikiran mereka (yang buruk) itu, iaitu gambaran binatang ternakan yang tidak mengerti suatu apa yang dikatakan kepadanya, malah apabila tuannya memekik kepadanya, ia hanya mendengar bunyi suara tuannya sahaja tanpa memahami maksudnya, malah mereka lebih sesat daripada binatang kerana binatang melihat, mendengar dan bersuara, sedangkan mereka pekak, bisu dan buta. Al-Qurtubi berkata: Ulama kita berpendapat; kekuatan segala lafaz ayat ini memberi jawapan berkenaan dengan pembatalan taqlid dan seumpamanya. Ini berdasarkan kepada ayat 104 daripada surah al-Maidah yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (al-Quran) dan kepada rasul-Nya yang menyampaikannya. Mereka menjawab: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya adakah mereka akan menurut juga sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? Ayat ini yang sebelumnya mempunyai kaitan dengan sebelum ayat kedua-duanya. Yang demikian kerana Allah mengkhabarkan berkenaan dengan kejahilan Arab berdasarkan kepada peraturan dan hukuman mereka dengan pendapat yang bodoh semata-mata kerana taqlid. Memanggil binatang Firman Allah s.w.t: Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti pengembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti. Tiga pendapat berhubung dengan makna ayat ini: i. Seumpama muka yang kafir seperti binatang yang dipanggil oleh penggembalanya, inilah pendapat al-Farra' dan Tha'lab. ii. Dihuraikan dengan maksud, jika penggembala berkata kepada binatang gembalaan makan, minum dan sebagainya nescaya muka tidaklah faham apa yang dikatakan. Begitulah umpama orang kafir apabila didatangkan al-Quran dan perintah rasulnya. iii. Seumpama mereka yang kafir dan seumpama kami dalam peringatan kepada mereka seperti penggembala yang memanggil akan ternakkannya. Inilah pendapat Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj. iv. Seumpama mereka yang kufur dalam doa mereka terhadap tuhan-tuhan mereka yang disembah sama seperti yang memanggil binatang ternakan. Inilah pendapat Ibn Zaid. Mereka sebenarnya pekak, bisu dan buta walaupun mereka mempunyai telinga, lidah dan mata selama mereka tidak mengambil faedah dari pancaindera itu seolah-olah tidak melaksanakan tugas-tugas biasa yang dijadikan untuknya dan seolah-olah mereka dikurniakan telinga, lidah dan mata. Inilah kemuncak penghinaan terhadap mereka yang tidak menggunakan akal fikirannya, menutup jendela-jendela makrifah dan hidayat dan menerima bimbingan-bimbingan dalam urusan akidah dan syariat bukan daripada pihak yang wajar mereka menerima bimbingan-bimbingan dalam urusan akidah dan syariat. Petunjuk Benarlah kata Syeikh al-Maghari dalam ayat ini merupakan petunjuk bahawa taqlid tanpa akal dan faham daripada sifat orang kafir. Sedangkan orang mukmin hendaklah berakal dengan agamanya, mengetahui dirinya, mencukupi kesahihannya kerana bukanlah maksud daripada iman itu dijinakkan manusia untuk kebaikan seperti dijinakkan haiwan . Tetapi maksud daripada itu untuk menaikkan taraf akalnya, suci jiwanya dengan ilmu dan makrifah. Maka dia beramal kebaikan kerana dia adalah manfaat yang Allah reda dan meninggalkan kejahatan kerana ia memberi mudarat pada agama dan dunianya. Iktibar dan pengajaran ayat: i. Budaya taqlid dengan mengikut pendapat orang lain tanpa sebarang ilmu pengetahuan, apatah lagi yang ditaqlid itu menyimpang daripada kebenaran maka jadilah amat parah dan bahaya. Ini menjadi lebih teruk jika taqlid dalam akidah dan iman yang mana orang yang ditaqlid menyeleweng seperti kata Syeikh al-Maghari. ii. Jika seseorang mengikut rasul atau ahli ijtihad dengan berdasarkan ilmu, ia tidaklah dinamakan taqlid tetapi mengikut apa yang diturunkan Allah s.w.t. Al-Qurtubi telah menaqalkan pendapat Ibn Darbas yang menyebut betapa celarunya pemikiran ahli yang sesat yang menganggap dengan berpegang kepada kitab dan sunnah sebagai taqlid. iii. Perumpamaan kufur seperti pekak, bisu dan buta merupakan perumpamaan yang paling kemuncak kerana bandingaan antara orang yang berakal dengan haiwan yang tidak berakal ialah ia tidak mampu berkata-kata dan memahami maksud. - DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej
|
|
|
| |
| Akal, hati ‘senjata’ manusia lawan nafsu |
| 12.11.06 (7:00 pm) [edit] |
|
SETIAP Muslim yang sentiasa patuh dan tunduk kepada perintah Allah akan sentiasa reda dengan segala ketentuan dan ketetapan-Nya, bahkan kerap meminta pertolongan terhadap segala masalah dan kesulitan yang dihadapi sepanjang hidupnya. Di samping kesungguhan yang ditunjukkan dalam mencari punca dan sebab kepada kesulitan yang dihadapi, seseorang mukmin akan berasakan dalam jiwanya suatu keperluan kepada kekuatan Allah. Ia dapat dilihat daripada sifat penyerahan secara total kepada kekuatan dan kekuasaan Allah tanpa dibayangi oleh sebarang pengaruh dan tipu daya dunia.
Seseorang Muslim sejati dan benar dalam segala tindak tanduknya adalah manusia atau individu yang cerah mata hatinya, terang pandangannya dan terpancar pintu keimanannya. Ia dapat dilihat menerusi kekaguman seseorang terhadap segala keindahan dan kebesaran ciptaan Allah.
Bertolak daripada kekaguman itu, dia dapat berasakan dengan penuh penyaksian bahawa di sebalik keindahan dan kebesaran itu, tersembunyi suatu kuasa yang Maha Tinggi yang mengendalikan segala pergerakan dan peredarannya. Ia juga tidak terkecuali kepada apa saja urusan sama ada yang berkait dengan alam mahu pun manusia yang menjadi penghuninya.
Oleh itu, manusia yang sedar dan teguh keimanannya akan sentiasa mengingati Allah pada setiap detik. Implikasi daripada ingatan itu akan bertambahlah tahap keimanannya dan seterusnya mendorongnya supaya lebih patuh dan taat kepada segala suruhan Allah. Sesungguhnya, merekalah yang disifatkan oleh Allah sebagai orang yang berakal dan tahu memanfaatkan kurniaan-Nya.
Allah berfirman bermaksud: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (asy-Syam: 7-10).
Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan:
Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Inilah golongan orang kafir dan orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka.
Golongan yang berjihad melawan dirinya iaitu bertarung memerangi hawa nafsunya. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.
Golongan maksum (terpelihara dari dosa) iaitu para nabi dan rasul. Nabi dan rasul adalah mereka yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sebagai penyampai risalah Allah kepada seluruh manusia.
Sendi-sendi kekuatan dalam pertarungan Jiwa:
(1) Hati – Ia menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup, lembut, bersih dan cekal.
(2) Akal – Ia akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat melihat, mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah.
Akal mukmin yang sedar juga dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram, maaruf dan mungkar, kerana mukmin yang sedar itu melihat perkara ini dengan cahaya daripada Allah yang dapat melihat sesuatu di sebalik tabir yang halus.
Apabila hati manusia mati atau menjadi keras, maka terbukalah pintu masuk bagi segala kejahatan ke dalam jiwanya lebih lagi apabila kita mengetahui bahawa syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana darah meresap dan mengalir dalam tubuhnya.
Antara amalan yang dituntut oleh Islam sebagai jalan untuk memelihara hati dan mengelakkan diri daripada tipu daya syaitan ialah mengingati Allah ketika mula melakukan kerja. Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
|
|
|
| |
| Rasulullah istighfar 100 kali sehari mohon keampunan |
| 12.04.06 (6:39 pm) [edit] |
|
KEAMPUNAN Ilahi atau maghfirah adalah nikmat Ilahi yang amat bernilai. Seorang ulama tafsir tersohor, al-Asfahani menegaskan, maghfirah adalah anugerah Ilahi yang tidak ada tolak bandingnya dalam kehidupan manusia. Tanpa keampunan Ilahi nescaya setiap insan pasti akan merasai azab seksa dan kemurkaan Allah SWT. Tambahan pula, setiap manusia tidak kira siapa pun dia, tidak terlepas daripada dosa dan kesalahan.
Allah sentiasa menyeru manusia beriman supaya mencari dan menjejaki keampunan Allah. Dalam al-Quran, Allah memerintahkan umat Islam supaya bersegera dan bersaing untuk merebut keampunan Allah seperti firman Allah:
“Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Surah al-Hadid, ayat 20)
Perlu insaf perintah untuk mencari keampunan Ilahi tidak hanya terbatas kepada umat Islam, malah Rasulullah SAW sendiri diperintahkan beristighfar dan mencari keampunan Allah walaupun umat Islam umumnya mengetahui bahawa Rasulullah adalah seorang nabi yang maksum yang terpelihara sebarang dosa dan kesalahan.
Ulama tafsir tersohor, Imam al-Razi dalam kitabnya, Tafsir al-Razi, berkata keampunan Ilahi ada beberapa pengertian.
Al-Quran menyebut bahawa keampunan itu sentiasa dikatikan dengan syurga, bermakna orang memperoleh keampunan Allah, bererti dia memperoleh syurga.
Berdasarkan perintah Ilahi dan sunnah Rasulullah, setiap Muslim wajib mencari keampunan Ilahi dalam setiap detik kehidupannya. Ada beberapa perkara perlu dilakukan supaya ia tidak menjadi sia-sia yang akhirnya hanya mengundang kemurkaan Allah.
Rasulullah mengajar umatnya perbanyakkan istighfar dalam usaha untuk mengejar keampunan Allah. Rasulullah sendiri beristighfar tidak kurang daripada 70 hingga 100 kali sehari semalam seperti tercatat dalam hadis sahih.
Begitu juga para sahabat yang banyak beristighfar kepada Allah pada waktu malam di kala orang lain sedang nyenyak tidur lena dibuai mimpi yang indah sebagaimana dirakamkan Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: ‘‘Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan di akhir malam mereka beristighfar kepada Allah.’’ (Surah al-Dzariyat, ayat 17-18).
Kalaulah Rasulullah yang maksum beristighfar pada setiap hari dan malam sekurang-kurangnya 70 kali, maka manusia yang tidak maksum ini dan tidak pula dapat mengelakkan diri daripada buruan dosa, amat wajarlah beristighfar lebih daripada 70 kali berbanding dengan Rasulullah.
Keampunan Ilahi hanya boleh diraih dengan mendekatkan diri ke hadrat Allah melalui ibadah dan amalan salih. Di dalam al-Quran, keampunan Allah selalu dihubungkaitkan dengan iman, takwa dan amal kebajikan sebagaimana yang dapat difahami dalam firman Allah yang bermaksud: ‘‘Orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang yang beriman serta beramal salih, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.’’ (Surah Fatir, ayat 7).
Ibadah menurut pengertian syarak ialah ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus lagi kudus serta ketaatan yang mutlak serta tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah yang dikenang limpahan kurnia kebaikan-Nya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan-Nya dan kekuasaan-Nya.
Ketundukan dan kepatuhan ini bukan hanya datang daripada manusia, malah semua makhluk Allah. Firman Allah bermaksud: ‘‘Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (yang demikian) juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang. Bertanyalah (wahai Muhammad): Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi? Jawablah: Allah.’’ (Surah al-Ra'd , ayat 15-16).
HIKMAH MAGHFIRAH
Penghapusan segala dosa dan kesalahan. Keburukan diganti kebaikan. Kesucian dan kesempurnaan rohani. Keampunan mengikut Imam al-Razi adalah syurga. Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
|
|
|
| |
| Kebijaksanaan Hudzaifah pikat Umar lantik jadi pemimpin |
| 12.03.06 (5:12 pm) [edit] |
PENDUDUK kota Madain berduyun-duyun keluar untuk menyambut kedatangan wali negeri mereka yang baru diangkat serta dipilih oleh Amirul Mukminin Umar kerana sahabat Nabi itu terkenal salih, takwa dan berjasa membebaskan tanah Iraq. Ketika menunggu rombongan datang, tiba-tiba muncul di hadapan mereka seorang lelaki dengan wajah berseri-seri menunggang keldai beralaskan kain usang, kedua kakinya teruntai ke bawah, kedua tangannya memegang roti serta garam sambil mulutnya mengunyah.
Ketika berada di tengah-tengah orang ramai dan mereka tahu bahawa orang itu tidak lain daripada Hudzaifah Ibnu Yaman, maka mereka kebingungan dan hampir tidak percaya.
Apa yang dihairankan ialah corak kepemimpinan yang mereka nantikan sebagai pilihan Umar.
Hal itu dapat difahami, kerana baik pada zaman kerajaan Parsi yang terkenal itu atau sebelumnya, tidak pernah diketahui adanya corak pemimpin semua ini.
Hudzaifah meneruskan perjalanan dan orang ramai mengelilinginya dan dilihat mereka menatapnya seolah-olah menunggu amanat, diperhatikannya air muka mereka, lalu katanya: “Jauhilah oleh kalian tempat fitnah!”
Ujar mereka: “Di manakah tempat fitnah itu wahai Abu Abdillah?”
Jawabnya: “Pintu rumah pembesar. Seorang di antara kalian masuk menemui mereka dan mengiakan ucapan palsu serta memuji perbuatan baik yang tidak pernah mereka lakukan.”
Suatu pernyataan luar biasa di samping menakjubkan daripada ucapan yang mereka dengar daripada wali negeri yang baru.
Hudzaifah Ibnu Yaman memasuki arena kehidupan ini dengan bekal tabiat istimewa antaranya antikemunafikan dan mampu melihat jejak gejalanya walaupun tersembunyi di tempat jauh.
Sejak bersama saudaranya, Shafwan, menemani bapanya menghadap Rasulullah SAW dan ketiga-tiganya memeluk Islam, wataknya bertambah terang dan cemerlang dengan sifat teguh, suci, lurus dan gagah berani.
Beliau terdidik di tangan Rasulullah SAW dengan kalbu terbuka tidak ubah bagai cahaya subuh, hingga tidak suatu pun daripada persoalan hidupnya tersembunyi.
Tidak ada rahsia terpendam dalam lubuk hatinya, seorang benar dan jujur, mencintai orang yang teguh membela kebenaran, sebaliknya mengutuk orang berbelit-belit dan riak, culas bermakna dua.
Bakatnya ini benar-benar tumbuh menurut kenyataan, hingga ia berhasil mencapai keahlian membaca tabiat dan air muka seseorang.
Walaupun Hudzaifah dikurnia fikiran jernih, menyebabkan sampai pada suatu kesimpulan, bahawa dalam kehidupan ini sesuatu yang baik itu adalah yang jelas dan nyata, yakni bagi orang yang betul-betul menginginkannya.
Sebaliknya yang buruk ialah yang gelap atau samar dan kerana itu orang bijaksana hendaklah mempelajari sumber kejahatan dan kemungkinannya.
Beliau berkata: “Orang menanyakan kepada Rasulullah SAW kebaikan, tetapi saya menanyakan kepadanya tentang kejahatan, kerana takut terbabit di dalamnya.
Pernah aku bertanya: “Wahai Rasulullah, dulu kita berada dalam kejahiliyahan dan diliputi kejahatan, lalu Allah mendatangkan kepada kita kebaikan ini. Apakah di balik kebaikan ini ada kejahatan? “Ada”, jawabnya. “Kemudian apakah selepas kejahatan masih ada lagi kebaikan?” tanyaku pula. “Memang, tetapi kabur dan bahaya.” Apa bahaya itu? “Iaitu segolongan umat mengikuti sunnah bukan sunnahkanku, dan mengikuti petunjuk bukan petunjukku. Kenalilah mereka olehmu dan laranglah.”
“Kemudian selepas kebaikan itu masih ada lagi kejahatan?” tanyaku pula. “Masih”, jawab Nabi, “yakni tukang seru di pintu neraka. Barang siapa menyambut seruan mereka, akan mereka lemparkan ke dalam neraka.”
Lalu kutanyakan kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah, apa yang harus saya buat bila saya menghadapi hal demikian?” Jawab Rasulullah: “Sentiasa mengikuti jemaah kaum muslimin dan pemimpin mereka!” “Bagaimana kalau mereka tidak punya jemaah dan tidak pula pemimpin?”. “Hendaklah kamu tinggalkan golongan itu semua, walaupun kamu tinggal di rumpun kayu sampai kamu menemui ajal dalam keadaan demikian
|
|
|
| |
|
|