Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Tiga perkara asas pilih makanan halal, suci
04.25.07 (9:34 pm)   [edit]

Pertama, Islam menyuruh umatnya mencari dan mengambil makanan yang halal dan baik untuk memenuhi keperluan fisiologi mereka. Suruhan ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Di Malaysia, status halal sesuatu makanan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Oleh itu, bagi pengguna Muslim perlu memastikan label halal Jakim terdapat pada barang yang hendak dibelinya.

Pembeli hendaklah mengenal pasti label yang dikeluarkan Jakim supaya tidak terkeliru dengan label halal yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melariskan barang mereka.

Jika pengguna hendak menyemak barang yang dibeli itu dengan lebih pasti, apakah ia terdapat dalam senarai Jakim, pengguna boleh menggunakan telefon bimbit dengan menaip (Halal_no. kod pada barang) dan hantar kepada 32728 atau DAPAT.

Hanya dalam beberapa saat, pengguna akan mendapat maklumat status barang yang hendak dibeli sama ada terdapat dalam senarai barangan halal Jakim atau tidak.

Islam menyuruh kita menjauhi barang yang diharamkan kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging dalam tubuh badan. Dengan adanya darah daging yang tumbuh daripada makanan haram, ia akan menjadi penyebab doa seseorang itu tidak dimakbulkan Allah.

Di samping halal, umat Islam digesa mencari makanan yang baik untuk tubuh badan bagi menjana kecergasan mental dan fizikal. Tubuh badan yang sihat dan cergas penting bagi melakukan ibadat kepada Allah dalam keadaan selesa.

Hal ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “(Dikatakan kepada mereka) Makan dan minumlah kamu akan makanan dan minuman yang lazat dan baik.” (Surah at-Tur, ayat 19)

Kedua, Islam melarang umatnya berlebih-lebihan memenuhi keperluan kehidupan. Larangan ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampau batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Sifat itu juga ditegah Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah SWT suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Allah dan Rasulullah SAW melarang daripada berlebih-lebihan kerana akan membawa kepada pembaziran yang merugikan akibat mengikut hawa nafsu dalam berbelanja.

Kita digalakkan berjimat cermat dalam kehidupan kerana kita tidak dapat menduga keperluan untuk masa hadapan keluarga kita. Adalah lebih baik kita berhati-hati dalam memenuhi tuntutan kehidupan.

Ketiga, umat Islam disuruh bersyukur atas nikmat kurniaan Allah dalam kehidupan mereka supaya mereka tidak menjadi kufur. Allah menyuruh hamba-Nya bersyukur kerana Dialah menyediakan rezeki sesuai dengan keperluan manusia seperti firman Allah bermaksud: “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya.” (Surah Saba, ayat 15)

Mereka yang bersyukur kepada Allah, dijanjikan penambahan rezeki dalam kehidupan kerana mereka tahu daripada Allah sajalah segala pemberian itu datang dan menggunakan rezeki itu ke jalan diredai-Nya.

Janji itu disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Allah menggesa orang Islam supaya menjadi manusia yang bersyukur kepada-Nya kerana ramai manusia yang diberikan nikmat oleh Allah, lupa untuk mengucapkan syukur kepadanya.

Hal ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melimpah-limpahkan kurniaan-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 243)

Itulah tiga perkara asas yang perlu dilakukan pengguna Muslim dalam memenuhi tuntutan kehidupan di atas muka bumi iaitu mencari makanan halal dan baik.
Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

  • Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

  •  
    Dosa sebar fitnah hilangkan pahala terkumpul
    04.23.07 (8:09 pm)   [edit]
    Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.

    Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.

    Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.

    Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.

    Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.

    Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah. Berita sensasi, terutama berkaitan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak.

    Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 191)

    Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim)

    Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.

    Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.

    Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

    Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

    Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

    Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

    Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

    Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

    Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

    Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

    Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.

    Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

    Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

    Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

    Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

    Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

    Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

    Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

    Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

    Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
     Oleh Lokman Ismail
     
    Pendustaan punca 3 sifat munafik
    04.23.07 (7:23 pm)   [edit]

    PADA zaman Rasulullah SAW, pegawai kerajaan diarahkan menyimpan apa saja yang mereka terima sebagai hasil negara dalam Perbendaharaan Awam. Rasulullah SAW turut memberi peringatan, “Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)


    Peringatan Rasulullah SAW itu selaras amaran Allah dalam firman bermaksud: “Sesiapa yang berkhianat menggelapkan sesuatu harta (kepunyaan semua), dia akan datang menanggung apa yang dikhianatkan itu pada Hari Kiamat; kemudian akan dibalas tiap-tiap seorang apa yang dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiayai.” (Surah Ali-'Imran, ayat 161)

    Peringatan itu penting kerana mereka yang diamanahkan untuk memerintah memiliki kuasa besar terhadap cara hasil negara dibelanjakan. Untuk mendokong sifat amanah terhadap kuasa inilah Allah merakamkan dalam al-Quran keperluan menyerahkan kerja kepada seseorang berperibadi kuat (al-qawiyy), iaitu yang berupaya serta berkebolehan (Surah al-Qasas, ayat 26).

    Justeru, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan bahawa ada tiga tanda orang munafik iaitu apabila dia berbicara, dia berdusta; apabila dia berjanji, dia menyalahi janji; dan apabila dia diamanahkan, dia berkhianat.

    Dalam riwayat dirakamkan Imam Muslim, ada pernyataan tegas Rasulullah SAW mengenai golongan munafik iaitu ‘dia turut puasa, sembahyang dan menganggap diri Muslim.’

    Keprihatinan akhlak yang menjadi lunas Islam tidak berlawanan dengan apa yang pernah dinyatakan Marcus Tullius Cicero dalam risalahnya De Officiis, “tidak ada perbuatan aniaya yang lebih menonjol daripada perlakuan seseorang hipokrit, yang serentak dengan sifatnya yang khianat, berpura-pura berbuat kebajikan.”

    Sesungguhnya, perlakuan aniaya paling membinasakan kepada diri sendiri, masyarakat dan negara berkisar kepada tiga kejahatan itu iaitu berdusta, mungkir janji, dan mengkhianati amanah.

    Dunia Islam semasa, sudah lama diperingatkan untuk mengawal kejatuhan moral itu sejak Persidangan Pertama Sedunia mengenai Pendidikan Islam di Makkah, pada April 1977, apabila Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas membentangkan kertas sidang pleno mengenai The Dewesternization of Knowledge.

    Beliau juga mengingatkan, walaupun tiga sifat itu kedengarannya seperti tiga perlakuan berbeza, pada hakikatnya ia adalah tiga darjat pendustaan apabila berbicara, berdusta apabila memungkiri janji, berdusta melalui perlakuan pecah amanah dan menyelewengkan kuasa.

    Banyak ayat al-Quran dan hadis sahih memperkuatkan lunas Islam ini. Dalam Islam, sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki dan kesedaran untuk menyerahkan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak kepada yang selain-Nya. Seseorang Mukmin tidak mungkin berakhlak dusta atau pecah amanah.

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa tidak memiliki kejujuran, tidak memiliki iman; dan sesiapa yang tidak memelihara janji, bukanlah seorang yang beragama.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

    Kesarjanaan Islam mentakrifkan insan sebagai al-hayawan al-natiq. Secara harfiah, insan adalah ‘hidupan berkata-kata,’ bermakna pertalian dengan tutur katanya, seseorang itu akan mencerminkan jiwa dalamannya.

    Berkenaan perkara itu, pemikir Perancis, Michel Eyquem de Montaigne pernah menyatakan, “Sebagai manusia, kita terikat hanya dengan apa kita tuturkan.

    Oleh kerana persefahaman antara seorang manusia dengan manusia lain boleh dinyatakan melalui tutur kata, sesiapa berdusta dalam tuturbicaranya adalah mengkhianati masyarakat manusia. Tutur kata adalah satu-satunya alat untuk menyampaikan iradat dan fikiran kita; tuturbicara adalah penterjemah jiwa. Dengan berdusta, tiada lagi tali mengikat antara manusia. Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.”

    Bijak-pandai Melayu mengungkapkan lunas akhlak bersifat alami ini menerusi pepatah ‘kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.’

    Justeru, manusia khianat pada janji dan ikatan amanah adalah lebih hina daripada kerbau dan lembu, seperti peringatan al-Quran, “Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi.” (Surah al-A'raf, ayat 179)

    Demi menegaskan kewajipan untuk tidak mengkhianati amanah, Allah memerintahkan orang beriman supaya menyempurnakan ikatan janji amanah yang kukuh. Al-Raghib al-Isfahani menjelaskan, tiga jenis ikatan amanah iaitu perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji antara manusia dengan dirinya sendiri dan janji antara seseorang manusia dengan manusia lain yang serasi dengan persyaratan agama.

    Misalnya, perjanjian perdagangan antara penjual dengan pembeli, persepakatan masyarakat antara pelbagai kelompok kaum, akad-nikah perkahwinan dan persetiaan antarabangsa.

    Perjanjian tersirat yang perlu ditunaikan dengan saksama seperti perjanjian tersirat antara tuan rumah dengan tetamunya, pengembara dengan pengiringnya, majikan dengan pekerjanya dan seterusnya.

    Abdullah Yusuf Ali menyatakan, seseorang yang meninggalkan mereka yang berada dalam tanggungjawabnya dan sebaliknya pergi ‘beribadah’ berseorangan di padang pasir adalah seorang bacul yang mengabaikan 'uqud atau tugas wajibnya.

    Tambahan pula, “Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak.” (Surah al-Nisa', ayat 58).

    Ayat al-Quran ini merangkumi segala amanah, sama ada berkaitan harta benda, atau berkaitan dengan akhlak.

    Jika ada tugas perlu ditunaikan kepada seseorang yang lain, tugas itu adalah amanah wajib ditegakkan, maka mengerjakannya dengan sempurna dan penuh tanggungjawab adalah perbuatan menyerahkan amanah kepada yang berhak.

    INTI PATI

  • Sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki.

  • Tuturkata mencerminkan jiwa dalaman.

  • Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.

  • Allah memerintahkan orang beriman menyempurnakan janji.

  • Tiga jenis ikatan amanah adalah perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji manusia dengan diri sendiri dan janji manusia dengan manusia lain.

    Penulis Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
  • Oleh Dr Mohd Sani Badron

     
    Berdakwah zaman mencabar harus bijaksana
    04.17.07 (5:42 pm)   [edit]

    ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia. Rasulullah SAW menghazamkan makna al-Quran dalam peribadinya sehingga isterinya, Saiditina Aishah menghubungkan akhlak Rasulullah sebagai akhlak al-Quran.

    Dari situ lahirlah qudwah atau contoh untuk dijadikan sumber ikutan manusia. Di samping sifat siddiq dan amanah Rasulullah SAW, Baginda membuktikan menyampaikan (tabligh) kebenaran itu menjadi kewajipan paling utama.

    Al-Quran tidak diturunkan dalam kekosongan. Al-Quran turun berdepan dengan hakikat kehidupan manusia. Ayat Makkiyyah atau Madaniyyah turun dalam konteks sosiobudaya, realiti sistem kepercayaan dan gaya hidup yang memerlukan metodologi amat serasi. Di Makkah ayat yang menyentuh aspek akidah menjadi keutamaan dan di Madinah ayat mengenai syariah dan cara hidup menjadi landasan.

    Al-Quran adalah mukjizat Allah yang membawa kebenaran untuk difahami dan diterima manusia. Ia adalah amanah untuk disampaikan kepada seluruh manusia.

    Al-Quran dalam Surah al-Imran, ayat 104, memberikan asas perlu ada sekumpulan manusia menyeru, mengajak, memanggil, melakukan tabligh atau dakwah iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

    Rasulullah SAW juga memberikan pedoman mengenai metodologi dakwah iaitu bijaksana memahami realiti yang ada, berikan hujah terbaik dan jika berlaku perbezaan pendapat, lakukan dengan baik. Surah al-Asr juga memberikan asas supaya dalam menyampaikan kebenaran, kesabaran menjadi pedoman terbaik.

    Islam adalah agama dakwah. Rasulullah SAW, sahabat, tabie dan ulama adalah pendakwah serta pendidik. Wujudnya usaha dakwah dengan kegigihan, kebijaksanaan dan pengorbanan di kalangan mereka, menyebabkan Islam sampai ke alam Melayu dan berkembang sehingga ke hari ini.

    Kerja dakwah adalah tugas mulia. Realiti masyarakat sifatnya dinamik berubah. Faktor persekitaran dan perkembangan semasa, sama ada dalam ilmu, maklumat, teknologi dan hiburan banyak memberi kesan terhadap gaya serta cara hidup manusia. Oleh itu, persiapan pendakwah dari segi ilmu, maklumat dan metodologi juga perlu canggih supaya wujud keseimbangan antara faktor menarik dan menolak dengan faktor mengajak mereka kembali ke jalan benar.

    Sebagai dai’ dan murabbi, kita tidak boleh lari atau berkecuali daripada keadaan yang ada. Kebijaksanaan harus dicari, metodologi dakwah harus diteroka, kreativiti harus digarap supaya antara faktor yang dinamik berubah mampu diimbangi asas kefahaman Islam yang mampu membimbing manusia ke jalan ilmu dan syarak.



    Rasulullah SAW mendekati bapa saudaranya, Abu Talib dengan penuh hemah dan kebijaksanaan. Baginda menyampaikan maklumat terbaik kepadanya. Usaha melakukan yang terbaik adalah tugas dai’ dan murabbi tetapi harus diinsafi bahawa yang memberikan hidayah adalah Allah SWT.

    Hakikatnya, cabaran terhadap manusia adalah sama. Pada zaman jahiliyah, jenis manusia adalah ingkar terhadap wahyu Allah. Sifat jahiliyah adalah sifat sepanjang zaman.

    Keingkaran manusia juga berlaku pada masa kini, malah boleh berlaku pada masa depan. Tanpa dakwah dan tarbiyah, manusia akan bertambah jauh daripada kebenaran. Yang membezakan zaman lalu dengan zaman kini ialah asas mekanistik yang berbentuk teknologi. Pada hari ini, kekuatan teknologi media cetak, elektronik, sistem komunikasi dan telekomunikasi memberi kesan hebat kepada penonton dan pengguna.

    Usaha menyampaikan amanah Allah juga memerlukan kecanggihan. Jika tidak, dakyah atau usaha pihak yang sedang melakukan tipu daya dan penyesatan dalam pelbagai cara akan bertambah subur dan memberi kesan terutamanya kepada generasi muda.

    Generasi muda Islam masa kini tidak sama dengan generasi Islam masa lalu. Mereka terdedah dengan perkara baru yang mencabar sehingga setengahnya cair dan hanyut dengan budaya popular Barat yang menyebabkan kerosakan kepada minda, akhlak dan gaya hidup. Jika kerosakan terus berlaku, bayangkan jenis generasi yang bakal lahir bagi menawarkan kepimpinan Islam pada masa depan.

    Keadaan itu menuntut ketrampilan pendakwah melakukan tabligh atau dakwah dan tarbiyyah dai di gelanggang. Ada setengah umat Islam semacam putus asa dengan apa yang sedang berlaku dan menyerahkannya kepada takdir. Tetapi, perlu ada di kalangan umat melihat situasi sebegini sebagai cabaran melakukan dakwah.

    Sekitar 70-an dan 80-an, dakwah lebih banyak menumpu kepada perubahan pemikiran dan hati. Tetapi, hari ini pendekatan dakwah harus menyesuaikan diri dengan kecanggihan teknologi yang sangat memberi kesan terhadap cara hidup manusia.

    Sedikit dakwah yang berlaku kadang-kadang cair dengan dakyah yang berjalan. Ia menyebabkan sebahagian generasi muda menjadi celaru dan keliru kerana dakwah dan dakyah membawa dua sistem nilai berbeza. Yang satu mengajak manusia melakukan kemakrufan dan satu lagi menyediakan jalan kemungkaran.

    Dekad terdahulu, kita berdepan dengan masyarakat daif ilmu dan maklumat. Hari ini, kita berhadapan dengan masyarakat berpelajaran, kelas menengah yang semakin meningkat, arus kemewahan dan keselesaan yang ketara. Ia mencabar pendakwah mencari jalan terbaik bagaimana dakwah boleh berjalan.

    Jika usaha dakwah diolah dengan bijaksana, sama ada melalui laman web, internet, lama sembang, blog, penghasilan buku dan karya kreatif mahupun melakukan komunikasi menerusi perbincangan, pertukaran pendapat, seminar dan bengkel dan ziarah, ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Islam.
    Oleh Dr Prof Sidek Baba 

     
     
    Tuanku Tambusai pejuang Melayu Riau
    04.15.07 (8:27 pm)   [edit]

    NAMA beliau turut disentuh dalam kertas kerja saya pada seminar oleh keluarga Rao atau Rawa di Raub, Pahang dan artikel Syeikh Muhammad Murid Rawa, disiarkan Utusan Malaysia, bertarikh 19 Mac 2007.

    Tidak ramai memahami bahawa ulama dan pahlawan ini telah menyemaikan benih anti penjajah. Beliau ikut dalam peperangan Imam Bonjol di Sumatera Barat. Akhirnya terpaksa hijrah ke Negeri Sembilan dan meninggal dunia di situ.

    Wujud persamaan dengan Raja Haji berperang melawan Belanda bermula di Riau melalui Linggi, Rembau dan lain-lain di beberapa tempat dalam Negeri Sembilan akhirnya tewas di Melaka sebagai seorang syahid fi sabilillah. Oleh kerana Tuanku Tambusai meninggal dunia di Negeri Sembilan sedikit sebanyak tentu beliau telah menyemaikan benih berjuang kepada bangsa Melayu di Negeri Sembilan khususnya dan Semenanjung umumnya yang dijajah oleh Inggeris pada zaman itu.

    Sejarah adalah penting perlu kita kaji dan perkenalkan kepada masyarakat luas. Ketika saya menghadiri seminar yang diadakan oleh keluarga Rao atau Rawa di Raub, Pahang, Ahad, 18 Mac 2007 M/28 Safar 1428 H yang lalu, di luar acara rasmi Tuan Mohd. Said bin Haji Mohd. Razi, Pengerusi dan Ketua Projek, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor menghadiahkan kepada saya sebuah buku berjudul, Sejarah Negeri Selangor, Dari Zaman Prasejarah Hingga Kemerdekaan, diterbitkan tahun 2005.

    Manakala saya baca Perutusan Menteri Besar Selangor dan Kata Pengantar Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, saya simpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan dana yang besar untuk melakukan penyelidikan. Termasuk beberapa orang panel penulis ke tempat-tempat di Indonesia yang ada hubungan dengan Selangor. Saya berkesimpulan bahawa hampir semua tokoh, sama ada di Malaysia atau sebaliknya Indonesia termasuk Tuanku Tambusai, dan lain-lain mempunyai hubungan yang sangat erat.

    Bahkan sejak lama serumpun Melayu sejagat selalu bekerjasama dalam gerakan dakwah Islam, politik, ekonomi, budaya, dan lain-lain. Jadi tidak hairanlah Tuanku Tambusai berkemungkinan sebab-sebab tertentu terpaksa berpindah dari Sumatera (beliau beroperasi di Minangkabau dan Riau) ke Negeri Sembilan.

    PENDIDIKAN

    Bermacam-macam ramalan sewaktu anaknya yang dinamakan Muhammad Shalih dilahirkan kerana pada waktu itu terjadi hujan ribut disambut kilat, guruh-petir sabung-menyabung. Tetapi kerana Imam Maulana Qadhi seorang alim yang terpelajar, yang faham akidah Islam beliau tolak sekalian ramalan yang bercorak khurafat secara bijaksana.

    Bayi tersebut dipersembahkan kepada Duli Yang Dipertuan Besar Raja, Permaisuri Duli Yang Dipertuan Besar Raja berkata, “Kita doakan apabila dia alim nanti menjadi suluh dalam negeri. Kalau dia seorang berani menjadi pahlawan. Sekiranya dia kaya menjadi penutup malu. Sekiranya dia menjadi cerdik bijaksana adalah penyambung lidah untuk kebenaran dan keadilan." (Rokan Tuanku Tambusai Berjuang, H. Mahidin Said, cetakan kedua, hlm. 30).

    Oleh sebab ayahnya seorang Imam Tambusai dan seorang alim sudah pasti Muhammad Shalih mendapat pendidikan awal dan asas daripada ayahnya sendiri. Sungguhpun ketika Muhammad Shalih meningkat dewasa beliau dihantar ke Rao yang lokasinya berdekatan dengan Tambusai. Setelah mendapat pendidikan Islam di Rao dan Bonjol beliau lebih dikenali dengan nama “Faqih Shalih”.

    Menurut tradisi di daerah, apabila seseorang itu menguasai ilmu fikah maka dia digelar dengan “Faqih”. Ini bererti Muhammad Shalih sejak muda lagi telah diakui oleh masyarakat sebagai seorang yang alim dalam bidang ilmu fikah. Sudah menjadi lumrah dalam dunia dari dulu hingga kini ada saja raja atau umara (pemerintah) yang sepakat dengan ulama. Yang inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pula antara umara yang tidak sepakat dengan ulama. Ulama yang masih muda bernama Faqih Shalih yang tersebut diriwayat memang bertentang dengan raja yang memerintah ketika itu.

    Walau bagaimanapun Faqih Shalih meminta nasihat kepada dua orang ulama. Yang pertama ialah Tuanku Imam Bonjol (nama yang sebenarnya ialah Peto Syarif). Yang kedua ialah Tuanku Rao (nama yang sebenarnya dipertikai pendapat). Kedua-duanya menasihatkan supaya Faqih Shalih pergi haji ke Mekah. Sewaktu di Mekah, Faqih Shalih sempat memdalami ilmu di sana. Di antara ulama yang sedaerah dengannya (yang saya maksudkan berasal dari persekitaran Minangkabau, Tapanuli dan Riau) di antaranya ialah Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi an-Naqsyabandi dan lain-lain.

    Beliau ini termasuk murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dipercayai Faqih Shalih selama berada di Mekah sempat belajar kepada ulama yang berasal dari Patani itu.

    Sebagaimana tulisan saya dalam kertas kerja seminar di Raub, Pahang bahawa sukar menjejaki yang bernama Muhammad Shalih itu, dalam zaman yang sama ada Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa dan ada pula Faqih Shalih sedang Tuanku Rao tidak diketahui nama sebenarnya. Ada pendapat bahawa Tuanku Rao seorang guru pada Faqih Shalih. Ada kemungkinan Tuanku Rao adalah orang tua (ayah Faqih Shalih).

    Setelah kembali dari Mekah, Faqih Shalih lebih dikenali "Haji Muhammad Shalih". Dan selanjutnya dalam Perang Imam Bonjol atau Perang Paderi, beliau lebih dikenali sebagai "Tuanku Tambusai" selanjutnya digunakan nama ini.

    Sudah menjadi sejarah perkembangan dunia bahawa sama ada disukai atau pun tidak, peperangan bila-bila masa boleh terjadi. Agama Islam bukanlah agama yang menganjurkan peperangan tetapi jika ada usaha-usaha agama selainnya menodai Islam maka konsep jihad memang sudah menjiwai hampir seluruh individu Muslim. Hal ini adalah hampir sama dengan jiwa kebangsaan individu sesuatu negara atau sesuatu bangsa bahawa hampir setiap individu dalam sesuatu negara adalah tidak suka negaranya dijajah.

    Memperjuangkan sesuatu negara atau bangsa telah menjiwai setiap penduduk dunia sama ada yang beragama Islam dan agama-agama lainnya termasuk orang yang tidak beragama sekalipun. Oleh sebab Belanda telah menjajah Minangkabau, Sumatera Barat, maka adalah wajar rakyat bertindak melawan penjajah itu apatah lagi yang datang menjajah itu tidak seagama pula.

    Tuanku Tambusai dan kawan-kawan bersamanya bergabung dalam satu wadah yang dinamakan "Kaum Paderi" yang dipimpin oleh Peto Syarif yang kemudian terkenal dengan sebutan Tuanku Imam Bonjol. Menurut buku, 101 Pahlawan Nasional, Departemen Sosial Republik Indonesia bahawa "Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai bekerjasama dalam perjuangan tetapi tidak bererti yang satu membawahi yang lain kerana mereka merupakan tokoh-tokoh yang otonom." (hlm. 517).

    Perang paderi

    Bunga api Perang Paderi mulai bertaburan pada tahun 1803 yang dihidupkan oleh Haji Miskin dari Pandai Sikat, Haji Sumanik dari Tiga Belas Koto dan Haji Piobang dari Tanah Datar. Kemunculan Tuanku Tambusai dengan pasukannya di bahagian utara terutama sekitar daerah Hulu Sungai Rokan menyebabkan Tuanku Imam Bonjol dapat bertahan dari serangan Belanda lebih lama kerana pasukan Tuanku Imam Bonjol posisinya di bahagian tengah. Taktik dan strategi perang diatur dua bahagian oleh Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai. Tuanku Rao melalui Padangsidempana dan Tuanku Tambusai melalui Padanglawas, Gunung Tua, Bilah Panai berhimpun di Sipiruk. Pada mulanya Belanda telah menguasai Bonjol pada bulan September 1832 akhirnya terpaksa keluar pada Januari 1833 akibat serangan Kaum Paderi yang diperanani oleh Tuanku Tambusai.

    Dalam perang melawan penjajah Belanda itu di antara jasa besar Tuanku Tambusai, beliau dapat menyatupadukan tiga etnik iaitu Minangkabau/Rao, Melayu dan Mandailing. Bahawa mereka bersatu tekad dan semangat bumi pusaka bukan milik bangsa penjajah. Bumi ini adalah kepunyaan bangsa kita yang beragama Islam.

    Membela agama Islam dan tanahair adalah wajib. Menang dalam peperangan bererti mencapai kemerdekaan. Jika mati dalam perjuangan adalah mati syahid. Menang bererti beruntung. Jika mati pun beruntung juga. Orang yang tidak mengenal bangsa, tanahair dan Islam agamanya, yang tiada perjuangan itulah yang sebenar-benar rugi pada hakikatnya.

    Apabila kita menoleh zaman lampau etnik yang tersebut mendiami daerah yang sangat luas, yang pada masa ini terbahagi dalam tiga daerah iaitu; daerah Sumatera Barat majoriti penduduknya ialah Minangkabau, daerah Riau Daratan majoriti penduduknya ialah Melayu dan daerah Sumatera Utara majoriti penduduknya ialah Batak dan yang beragama Islam mempunyai nama tersendiri iaitu Mandailing.

    Daripada rakaman ini kita dapat membayangkan bahawa Tuanku Tambusai mempunyai kehebatan atau kekuatan yang tersendiri sehingga beliau dapat menyatupadukan etnik dalam bumi yang demikian luas itu. Setelah banyak mengapai kemenangan dan keberhasilan perjuangan, Tuanku Tambusai menjadikan pusat perjuangan, pentadbiran dan pertahanan di Dalu-Dalu (sekarang dalam daerah Riau Daratan).

    Bertahan

    Sampai tahun 1838 Tuanku Tambusai masih tetap bertahan sehingga Belanda tidak dapat masuk ke Inderagiri Hulu (Riau Daratan). Tuanku Tambusai adalah seorang ulama dan pahlawan yang berpendirian keras tidak mahu berunding dengan pihak penjajah Belanda. Beliau faham benar bahawa berunding dengan pihak penjajah Belanda bererti menyerah diri atau terperangkap dengan umpan lazat yang disediakan pemburu.

    Sudah banyak contoh yang beliau bandingkan seumpama Tuanku Imam Bonjol sendiri terkorban bukan sebagai syahid di medan peperangan tetapi adalah tertipu kelicikan pihak penjajah Belanda. Tuanku Tambusai berpendirian terus berjuang sekiranya tidak berhasil hijrah ke Negeri Sembilan beliau memilih jalan terakhir iaitu mati sebagi syahid lebih utama daripada berunding apatah lagi menyerah kepada pihak musuh.

    Pendirian keras Tuanku Tambusai seperti tersebut itu ada orang yang tidak menyetujui dan ramai pula yang menyetujuinya. Jika kita teliti sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia secara keseluruhan pendirian Tuanku Tambusai itu ada benarnya. Kerana hampir semua pemimpin yang mahu berunding dengan penjajah Belanda adalah merugikan pemimpin pejuang. Yang untung adalah pihak Belanda sendiri.

    Semua pemimpin yang menerima perundingan ditangkap akhirnya dibuang keluar dari negeri asalnya. Peristiwa Tuanku Tambusai dapat kita bandingkan dengan peristiwa dunia antarabangsa sekarang ini, ada negara yang tidak menerima perundingan dengan Amerika seperti Iran tentang isu nuklear. Ada negara menerima perundingan tetapi tidak mudah menerima tipu helah Amerika seperti Korea Utara. Iraq akhirnya menerima perundingan. Apa jadinya? Hanyalah merugikan Iraq sendiri menjadi negara yang dijajah oleh Amerika dan sekutu-sekutunya.

    Pengorbanan tenaga, harta dan pemikiran Tuanku Tambusai adalah besar, kecuali jiwa dan raganya saja dapat berhijrah ke Negeri Sembilan. Peristiwa beliau hampir serupa dengan gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam perang Patani melawan pencerobohan Siam bahawa beliau hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah seseorang tokoh atau ulama bukan bererti lari tetapi bertujuan menyusun taktik dan strategi untuk mencapai kemenangan yang diredai Allah di dunia dan akhirat. Dengan tidak menafikan perjuangan Tuanku Tambusai beliau telah diberi gelaran, ‘Pahlawan Nasional Republik Indonesia’ dengan SK. No. 071/TK/Tahun 1995, Tanggal 7 Ogos 1995.

     

     

    Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

     
    Raja Ahmad Riau pengasas ‘al-Ahmadiah’ di Singapura
    04.15.07 (8:23 pm)   [edit]

    DIRI dan jiwa mengembara dari tempat yang kecil dan terpencil ke Singapura, Johor dan Mekah akhirnya membuka usaha kemuncaknya di Singapura.

    Itulah insan keturunan kaum bangsawan Riau bernama Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut yang diperkenalkan artikel ini. Dari tempat yang kecil sebuah pulau, iaitu Pulau Penyengat Indera Sakti, bekas pusat Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang di sanalah Raja Ahmad dilahirkan. Dan terpencil, nun jauh di sana Pulau Midai di Laut Cina Selatan.

    Ayahnya Raja Haji Umar Tengku Endut itu dalam beberapa halaman Tuhfah an-Nafis ada disebut oleh saudaranya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad Riau pujangga Melayu yang sangat terkenal itu, namun yang saya rakamkan di sini banyak perkara yang tidak sempat ditulis oleh Raja Ali Haji.

    Walau bagaimanapun tulisan ini adalah sumber yang sahih kerana banyak hal saya dengar sendiri daripada Raja Haji Ahmad dalam tahun 1950-an hingga 1960-an, termasuk juga sumber-sumber yang lain dari kerabat keluarga ini. Raja Haji Umar Tengku Endut adalah orang pertama dilantik oleh Sultan Riau menjadi Amir (Ketua Pemerintahan wakil raja) di seluruh Tokong Pulau Tujuh yang sekarang dikenali beberapa kelompok kepulauan yang terkenal.

    Yang paling terkenal sekarang ialah Kepulauan Natuna. Dia terkenal kerana diketemukan minyak dan gas. Sekarang dibentuk sebuah kabupaten dinamakan Kabupaten Natuna, pusat pemerintahannya Ranai. Setelah Natuna mulai terkenal nama-nama yang dahulu terkenal seumpama Kepulauan Siantan, Kepulauan Jemaja, dan lain-lain kurang dipercakapkan orang. Kepulauan Serasan pula terletak yang paling Sararak (di bahagian utara).

    Susur galur Raja Haji Ahmad dari pihak sebelah ayahnya tidak perlu saya bicarakan di sini kerana telah saya tulis sebelum ini dan mudah mendapatkannya dalam susur galur kaum raja-raja Riau-Lingga atau pun Johor atau pun Selangor. Dari pihak sebelah ibunya pula memang tidak dibiasakan orang kecuali salasilah yang ditulis oleh abang saya Muhammad Zain Abdullah. Dalam tahun 1950-an beliau bersama saya mendengar daripada Haji Wan Abu Bakar saudara sepupu Raja Haji Ahmad daripada pihak sebelah ibu.

    Bahawa ibu Raja Haji Ahmad bernama Hajah Nik Wan Siti binti Nik Wan Muhammad Nara, berasal dari Natuna. Asal usul selanjutnya dari Patani dan Kelantan. Datang ke Natuna terlebih dulu dan Batu Bahara di Sumatera. Ibu Hajah Nik Wan Siti bernama Wan Qamariyah binti Encik Wan Mat Thalib, berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat.

    Dalam salasilah yang saya peroleh di Pontianak menyebut Wan Qamariyah binti Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jaramat/Orang Kaya Setia Maharaja Lela Pahlawan Tambelan bin Encik Wan Umar/Megat Laksamana bin Encik Wan Utsman/Orang Kaya Megat Patan di Pahang bin Encik Wan Ahmad/Tuan Qadhi Menteri Danageraha Habung. Encik Wan Ahmad/Tuan Qadhi Menteri Danageraha Habung inilah ulama yang bersama Sultan Melaka yang hijrah ke Batu Sawar, Johor, selanjutnya ke Bintan, selanjutnya ke Minangkabau, selanjutnya ke Kampar.

    Beberapa orang keturunannya berpatah balik ke Johor, Pahang dan lainnya, ramai yang menjadi pembesar. Keturunan beliau juga menjadi pembesar-pembesar dalam beberapa kerajaan Melayu, termasuk Pontianak dan Cam yang menyatu dengan keturunan yang berasal dari Patani.

    Hendaklah dikenalpasti bahawa dalam sejarah Riau terdapat dua orang tokoh yang bernama Raja Ahmad. Seorang adalah anak Raja Haji asy-Syahidu fi Sabillilah, dan seorang lagi ialah cicitnya. Cicit Raja Haji adalah Raja Haji Ahmad yang pertama. Peranan kedua-dua tokoh itu sama penting, namun Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut tidak dibicarakan dalam Tuhfat an-Nafis, salasilah Melayu dan Bugis dan sejarah-sejarah Riau lainnya.

    Hal tersebut disebabkan sewaktu Raja Ali Haji (saudara kandung Tengku Endut) mengarang pelbagai karyanya, Raja Haji Ahmad bin Tengku Endut masih kecil.

    Raja Haji Ahmad yang pertama digelar orang Engku Haji Tua. Daripada khazanah peninggalan keturunan beliau ada dicatatkan bahawa Raja Haji Ahmad ketika mudanya amat gemar memancing ikan di laut. “Pada suatu masa Raja Haji Ahmad sedang memancing di laut ... (tak dapat dibaca) berdekatan dengan sebuah pulau, di depan muka selat Tiong, maka datanglah sebuah kapal kepunyaan orang barat. Tiba-tiba dilanggarnya sampan Raja Ahmad sampai karam. Sebaliknya pada waktu itu Raja Ahmad dapat berpegang pada kapal orang barat itu, lalu naik ke atas kapal tersebut. Lalu dihamuknya segala orang dalam kapal itu sehingga habis.”

    Setelah orang-orang kapal itu mati maka Raja Ahmad susah pula bagaimana akan membawa kapal itu masuk ke Tanjung Pinang sedangkan kapal itu sangat besar, tentu tidak dapat dikayuhkan. Sedangkan dia hanya seorang diri. Pada waktu itu terbit fikirannya, “Baik aku tunda saja kapal ini dengan sampanku supaya dapat aku bawa masuk ke Tanjung Pinang.” Maka Raja Ahmad turun ke sampannya. Lalu dikayuhnya masuk ke selat Tiong sampai ke Pulau Bayan ... " Selanjutnya diceritakan dari kisah di atas tergubahlah seuntai pantun:

    Anak ulat di buku kayu,

    Anak Belanda main teropong,

    Besar daulat Raja Melayu,

    Kapal ditunda dengan jongkong.

    Pencetus usaha

    Raja Haji Ahmad Muda adalah cucu Raja Haji Ahmad Engku Tua setelah memperhatikan banyak kegoncangan dalam pemerintahan Riau-Lingga, telah menghadap Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah. Kata beliau kepada sultan, “Pada pandangan patik di belakang hari kaum kita akan disingkirkan Belanda. Kita akan papa kedana.

    Akibat papa kedana kaum kita Melayu boleh menukar agama daripada Islam kepada agama Serani. (Maksudnya Nasrani atau Kristian). Patik mohon keizinan Paduka untuk membangun satu syarikat perniagaan.” Titah baginda Sultan Abdur Rahman, “Bagaimana yang elok menurut engkau perbuatlah ! Aku sangat-sangatlah bersetuju.” (Ucapan Raja Haji Ahmad tahun 1961 di rumahnya Istana Laut, Pulau Penyengat).

    Setelah mendapat persetujuan daripada Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, maka Raja Haji Ahmad memanggil kaum intelektual kerajaan Riau bermusyawarat. Di antaranya ialah Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Raja Haji Idris bin Tengku Endut, Raja Haji Ja'afar bin Tengku Endut dan Raja Haji Muhammad bin Raja Ali. Dari situ mereka bersepakat untuk mendirikan sebuah perniagaan untuk mempertinggikan imej orang Melayu Islam terutama kerabat mereka. Sebagai langkah awal mereka membuka tanah perkebunan.

    Oleh sebab tanah-tanah di sekitar Pulau Bintan kurang subur untuk perkebunan, selain tanah-tanah itu telah dikuasai oleh tauke-tauke bangsa Cina, Raja Haji Ahmad terpaksa mengarahkan tumpuan ke pulau-pulau yang masih kosong. Pulau-pulau tersebut ialah di kawasan Tukong Pulau Tujuh. Dengan sebuah perahu layar dia menuju ke Pulau Midai kerana di sana telah ada wakil sultan sejak tahun 1302 H/1883 M. Kebetulan pula wakil itu adalah saudara kandungnya, iaitu Raja Haji Ilyas bin Tengku Endut.

    Dari Pulau Midai yang kecil terpencil di Laut Cina Selatan itu bermulalah segala kegiatan Syarkah Ahmadi Midai. Dari situ sebuah cawangan dibuka di Singapura, iaitu Mathba'ah Al-Ahmadiah atau Al-Ahmadiah Press 101 Jalan Sultan Singapura 7. Sejarah berdirinya Syarkah Ahmadi & Co. Midai dan cawangan Al-Ahmadiah Singapura secara jelas diceritakan oleh Raja Haji Ahmad dalam suratnya yang bertarikh 17 Ramadan 1373 H kepada Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman saudara sepupunya.

    Beberapa perkara yang penting di antaranya saya petik, "Dan tentang pertanyaan adinda permulaan mendirikan Ahmadiah Midai ialah kekanda tarikhkan mendirikan rumah di laut Sabang Barat di hadapan rumah tauke Aniu. Lihatlah di dalam jurnal kekanda di Ahmadi dan Surat Kebenaran dari Yang Dipertuan Besar Riau masih ada kekanda simpan tinggal di Penyengat ... Maka pada masa itu berjalanlah perniagaan Ahmadi hingga kekanda dipanggil oleh Yang Dipertuan Besar Riau kerana muafakat hendak membeli kapal yang bernama Kapal Karang ... "

    Setelah Kapal Karang dibeli maka terjadilah perkongsian antara Syarikat Ahmadi dengan Syarikat Batu Batam yang dipunyai oleh Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Syarikat Batu Batam ini diuruskan oleh anaknya, Raja Ali Kelana. Syarikat ini tidak dapat bertahan lama kerana dikhianati oleh beberapa peniaga Cina di Singapura. Walau bagaimanapun dengan kebijaksanaan Raja Haji Ahmad dan anak saudaranya, Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Tengku Nong (cucu Marhum Mursyid), Ahmadi & Co. Midai tidak dapat dipermainkan oleh peniaga-peniaga Cina di Singapura.

    Raja Haji Ahmad memang diakui seorang tokoh Riau yang sangat teliti dalam bidang pentadbiran. Dalam salah satu buku yang tersimpan di Ahmadi & Co. Midai telah ditemui tulisan ini. “Pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 M dimulai membuka kedai di Pulau Midai, Sabang Barat”.

    Sewaktu Raja Haji Ahmad berada di Mekah hubungan komunikasi surat-menyurat antara beliau dengan Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong tidak pernah terputus. Dalam surat Raja Ali yang bertarikh 28 Rejab 1332 nombor 19 dan 92 kepada Raja Haji Ahmad di Mekah ada dinyatakan bahawa syarikat Ahmadi akan mengembangkan perniagaannya. Raja Haji Ahmad bersetuju. “Syahdan adapun muafakat Paduka anakanda hendak membesarkan perniagaan Ahmadiah, dihamburkan modalnya di Pulau Tujuh hingga ke Singapura, maka pekerjaan itulah seelok-elok pekerjaan menurut peraturan orang-orang Eropah membesarkan pekerjaan dengan muafakat. Maka sangatlah ayahanda perkenan akan muafakat itu ...”

    Setelah Raja Ali mendapat persetujuan Raja Haji Ahmad, dengan Akta Midai, 1 Syaaban 1333 H bersamaan 14 Jun 1915 M maka rasmilah pembukaan cawangan Ahmadiah Pulau Tujuh-Singapura yang berpejabat di Palembang Road No. 18B, Singapura. Cawangan itu kemudiannya berpindah ke Minto Road No. 50.

    Cawangan ini berfungsi menguruskan hasil bumi dan hasil laut yang datang dari Pulau Tujuh, Sumatera dan Malaya. Dengan memakai tanda Syarikat Ahmadi & Co. Midai cawangan Singapura, syarikat tersebut melakukan kegiatan eksport hasil bumi dan hasil laut ke benua Eropah. Selain itu syarikat itu juga mengimport barangan dari Eropah, India dan Cina ke Singapura.

    Pendek kata, Ahmadiah cawangan Singapura adalah sebagai lambang kemampuan bangsa Melayu dalam bidang perdagangan pada zaman itu. Pada hari Jumaat 20 Rabiulawal 1339 H bersamaan 3 Disember 1920 M muafakat pula mendirikan percetakan terkenal dengan nama Mathba’ah Al-Ahmadiah atau Al-Ahmadiah Press 101 Jalan Sultan Singapura.

    Sejarah menuntut ilmu
    * Raja Haji Ahmad menyerahkan pimpinan Syarkah Ahmadi & Co. Midai kepada Raja Ali (cucu Marhum Mursyid) pada 1914 untuk mendalami pelbagai bidang ilmu.

    * Di Mekah - berguru dengan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Daud bin Mushthafa al-Fathani (ilmu keislaman)

    * Beliau belajar ilmu al-Quran daripada Syeikh Abdullah bin Qasim Senggora.

    * Pernah mengembara ke beberapa negeri di Asia Barat serta mengunjungi Calcutta dan Bombay di India.

    * Beliau juga adalah pengasas syarikat Ahmadi & Co. Midai pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 di Pulau Midai, Sabang Barat.

     

     Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

     

     

     
    Bertangguh buat amal punca hati ‘menganggur’
    04.15.07 (8:06 pm)   [edit]

    HATI yang menganggur lebih berbahaya daripada tubuh badan yang sakit. Seseorang yang memiliki hati pasif, diam dan tiada gerakan ibadat sebenarnya sudah mati sebelum dicabut nyawanya. Kekosongan hati timbul akibat lemahnya semangat manusia untuk bangkit dan melawan keinginan hawa nafsu.

    Kita perlukan semangat melupakan kesedihan, bangkit dan berjuang melawan musuh yang nyata iaitu syaitan. Tiada seorang manusia yang tetap tinggi kedudukan imannya. Ada kala dia terjatuh dan tersungkur, kemudian menyesali kelalaian dan kembali bertaubat. Ini digambarkan dalam al-Quran bermaksud:“Dan orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapakah yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” Surah Ali Imran: Ayat 135

    Hati menganggur, malas dan berputus asa ada ciri-ciri sebagai berikut:

    Berlebih-lebihan melakukan perkara mubah. Terlalu banyak berehat, santai dan mengisi kekosongan masa dengan hiburan, makanan, tidur yang panjang, bermain dan bergurau, banyak tertawa, panjang angan-angan dan semua itu berbahaya jika diteruskan dalam kegiatan seharian. Kehidupan serba senang tanpa cabaran dan tekanan membuat manusia lupa diri dan lemah semangat bila ditimpa susah. Berhati-hati jika terus berada dalam zon selesa. Orang mukmin hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan paling teruk yang menghalangnya.

    Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan RA yang hidup sebagai Khalifah paling berkuasa selama berpuluh-puluh tahun pernah berkata: “Aku memakai pakaian daripada semua jenis kain, tetapi tidak pernah menemui sehelai pakaian terbaik setanding pakaian takwa. Aku juga sudah merasai semua jenis makanan, tetapi tidak pernah menemui kelazatan seperti kelazatan sabar. Aku memiliki segala jenis kenikmatan, tetapi tiada kenikmatan mampu menandingi kenikmatan duduk mendekatkan diriku kepada Allah SWT.”

    Anggota badannya menolak hidayah Allah SWT. Pernahkah anda berasakan suara hati anda menyuruh berbuat baik, melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat? Sebenarnya dalam jasad manusia ada yang mempengaruhi hati dan perasaannya, adakah ia unsur malaikat atau unsur syaitan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan dia diiringi temannya daripada bangsa jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: “Pada dirimu juga ya Rasulullah? Sabda baginda: Padaku juga begitu, tetapi Allah Taala menolongku terhadapnya sehingga ia tiada menyuruhku melainkan kebaikan saja.” (Hadis riwayat Muslim)

    Hati yang suka menganggur menjadikan syaitan sebagai teman karibnya. Sementara hati yang aktif dan positif gerakannya dipengaruhi hidayah Allah SWT. Sesungguhnya hanya Allah SWT mampu menggerakkan kita berbuat baik. Hidayah-Nya saja menunjuk kita ke arah jalan selamat. Namun, ramai manusia menolak hidayah Allah SWT. Mereka lahir sebagai orang Islam, tetapi tidak mahu belajar agama Islam. Mereka dipilih Allah SWT sebagai hamba-Nya yang beriman, tetapi membiarkan dirinya kecundang oleh bisikan nafsu dan syaitan. Mengapa kita menolak hidayah Allah SWT yang berada di dalam hati kita? Allah Taala berfirman bermaksud: “Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah Al-A'raf ayat: 179).

    Biasanya masa membuat mereka bertangguh menerima hidayah Allah SWT. Sampai bila harus menunggu? Jika tulang rapuh dan mata menjadi rabun, fikiran bercelaru, mengapa menunggu kematian menjemput, padahal setiap hari hidayah Allah SWT itu turun ke hati kita. Suka bergaul dengan ahli kelab penganggur. Persekitaran mempengaruhi keperibadian kita. Jika suka duduk bersama dan mendengar perbualan ahli perniagaan berjaya atau pakar motivasi hebat, kita semestinya terpengaruh dengan kata rangsangan dan galakan untuk lebih berjaya. Namun, jika melepak bersama orang bermentaliti lemah dan kualiti kehidupannya juga rendah, sedikit sebanyak ada pengaruh ditinggalkan dalam karakter diri kita. Lebih baik rajin di dunia dan menganggur di akhirat selama-lamanya daripada memanjangkan angan-angan di sini, namun sengsara tiada penghujungnya di akhirat.
    Bersama Dr Juanda Jaya

    Penulis bertugas di Pejabat Mufti Negeri Sarawak
     
    Bersuara atau Diam
    04.09.07 (9:17 pm)   [edit]

    Diriwayatkan daripada Abu Syuraih al-Khuza'iy r.a katanya:

    Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.


    Penerangan Hadis:

    Mengenal Manusia

    Allah SWT memiliki suatu sifat dan akhlaq yang sebenarnya amat akrab dengan kehidupan manusia. Iaitu mustahil bagi Nya berbuat perkara yang sia-sia, tanpa tujuan, ataupun mengandungi kesalahan. Kalaupun ada penciptaan atau kejadian yang tampak kejam, ia hanyalah bersifat sementara.

    Ertinya, jika dilihat dan diteliti, akhirnya ia akan membuktikan bahawa dibalik kejadian itu semua ternyata mengandung nilai-nilai kebenaran. Dan dalam hal ini, manusia memang harus banyak melihat sejarah hidupnya secara peribadi mahupun sejarah kemanusiaan itu sendiri, tujuan ia diciptakan, ke mana destinasinya dan sebagainya.

    Akhlaq tersebut amat akrab dengan kita kerana ia tercermin kemanapun kita melihat. Pantulannya boleh dilihat kepada sesiapa yang ingin melihat. Sulit bagi kita untuk menyebutkan suatu makhluq atau kejadian alam yang diciptakan tanpa ada gunanya.

    Seolah semua menyiratkan bahawa Allah SWT menciptakan ini untuk sebuah tujuan. Bukan sekadar permainan tanpa arah. Firman Nya:

    “Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan mengandungi kesalahan. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu karena mereka akan masuk neraka.” (38: 27)


    Tujuan Hidup

    Kejadian seekor nyamukpun ternyata begitu penting di mata Allah, sehingga disebutkan di al-Quran. Firman Nya:

    “Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka memiliki ilmu sehingga mereka tahu bahwa itu adalah al-haq dari Rabb mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan:"Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?". Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan oleh Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberinya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” (2: 26)

    Tetapi kenapa manusia sentiasa kebingungan mencari dan mengenalpasti fungsinya? Kenapa kita senantiasa tertanya-tanya tentang tujuan keberadaan kita di muka bumi ini? Kenapa diri manusia dipenuhi sikap-sikap ketidaktahuan akan fungsinya? Apakah mungkin kita hidup tanpa tujuan yang jelas, kukuh dan konkrit?

    Tidak mungkin!

    Allah SWT menjadikan seekor nyamuk pun ada manfaat dan fungsinya. Bahkan sejak lahir mereka sudah tahu apa yang harus dibuat dan apa fungsi yang harus dijalankan.

    Kerana itu amat mustahil, bila susuk tubuh insan yang Allah khabarkan diciptakan dalam 'ahsani taqwim' (pembentukan yg paling sempurna), dilahirkan hanya untuk sia-sia dan tanpa tujuan.

    Apa mungkin seorang manusia lahir hanya untuk membesar dewasa, berkeluarga, dan mati?

    Sesungguhnya pada manusia itulah tugas yang amat berat dipikul tambahan pula ia sebagai wakil Allah SWT di atas muka bumi ini, untuk mentadbir alam. Ingat, langit, bumi, gunung-ganang, bukit-bukau semuanya tidak sanggup membawa amanah Allah, kecuali manusia yang menyatakan kesanggupannya.

    Justeru, manusia perlu berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab ini supaya tidak tergolong di dalam manusia yang berbuat kezaliman dalam kejahilan.

    Lebih baik diam dari mengomen perkara yang kita tidak tahu. Tidaklah nanti dikata orang, hanya berani dibelakang, tetapi bila diajak bermuzakarah, berdiskusi, batang hidung pun tidak kelihatan.
     
    5 Panduan Kebahagiaan Dunia Akhirat
    04.09.07 (9:11 pm)   [edit]



    1. Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu “La ilaha illallah muhammadar rasulullah”.

    Sabda Rasulullah s.a.w. yang bemaksud: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

    2. Apabila ditimpa sesuatu musibah, ucapkanlah “Innalillahi wa-inna-ilaihi-rojiun.”

    Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah.

    Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati kesat. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang kesat.” Hadis riwayat at-Tarmizi.

    Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat, “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud, “Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insya-Allah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredaan daripada Allah.

    3. Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah “Alhamdulillah&rdqu o; sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang diberi oleh Allah.

    Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu akbar.” Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata Alhamdulillah, maka ucapan Alhamdulillah itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan Alhamdulillah
    itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”

    4. Ucapkanlah Bismillahir-rohmanir-rahi m ketika hendak memulai sesuatu pekerjaan.

    Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

    5. Ucaplah “Astaghfirullahal-a zim wa atubu ilaih” apabila terbuat dosa.

    Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan salah dan dosa, maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, yang bermaksud, “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.

    Mudah-mudahan panduan ini dapat diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredai oleh Allah dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
     
    Al-Quran sebagai penawar kegelisahan jiwa
    04.09.07 (8:59 pm)   [edit]


    SETIAP insan pasti mahukan kesenangan, kesejahteraan, kenikmatan dan keselesaan. Tidak ada sesiapa yang mahu hidupnya dipenuhi kesusahan, kesengsaraan dan diselubungi masalah berpanjangan.

    Kadangkala atas sebab tertentu seseorang itu mengalami bermacam masalah penyakit jiwa seperti tekanan perasaan, runsing, resah gelisah dan lebih parah lagi boleh menyebabkan seseorang tidak dapat membuat pertimbangan dengan betul.

    Sebenarnya apabila kita merujuk kepada al-Quran, memang dijelaskan sebab penyakit itu berlaku antaranya seseorang itu tidak dapat menerima ujian Allah.

    Contoh, apabila seseorang itu diberikan ujian oleh Allah sama ada berbentuk kesusahan, bala bencana seperti banjir, kemarau, kebakaran, kemiskinan, kematian atau penyakit, maka jiwanya akan mula gelisah dan berkeluh kesah.

    Begitu juga apabila Allah mengurniakan nikmat berupa kekayaan kepadanya, maka timbul sikap bakhil atau kedekut dalam dirinya untuk menolong orang yang memerlukan bantuan.

    Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 19-23)

    Tekanan perasaan juga berlaku disebabkan seseorang itu tidak mengingati Allah, kurang menghayati dan melaksanakan ajaran agama. Mereka lebih mementingkan tuntutan hawa nafsu semata-mata tanpa mempedulikan keperluan rohaniah.

    Mereka lebih suka berhibur dan melupakan amal salih yang menjurus kepada takwa seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Maka tidak mustahil insan sebegini akan mudah mengalami penyakit jiwa atau tekanan perasaan.

    Allah berfirman yang bermaksud: “Dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit (resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya) dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta (meraba-raba dalam kesesatan seperti keadaannya di dunia).” (Surah Thaha, ayat 124)

    Amat mendukacitakan pada masa ini ada kalangan umat Islam mengabaikan pendidikan al-Quran, tidak mengikut petunjuk dan bimbingan al-Quran dalam urusan kehidupan mereka, apatah lagi menggunakannya sebagai penawar mengubati penyakit jiwa yang mereka alami.

    Ada antara kita cuba menyelesaikan masalah dengan cara bertentangan syarak seperti berjudi, meminum arak dan mengambil dadah. Bahkan ada menjadikan orang lain sebagai tempat melepaskan geram seperti melakukan penderaan terhadap isteri atau anak, memukul atau membunuh orang dan berkemungkinan juga bertindak membunuh diri sendiri.

    Semua itu dilakukan kerana mereka beranggapan dengan cara begitu saja permasalahan mereka dapat diatasi. Hakikatnya, perlakuan sebegitu hanya akan menambahkan lagi kekusutan jiwa atau tekanan perasaan.

    Sesungguhnya, bagi memperoleh suasana hidup aman damai, sejahtera, harmoni dan tenang jiwa, agama Islam menggariskan panduan yang sangat berkesan untuk merawat penyakit jiwa atau tekanan perasaan, antaranya:

  • Sentiasa berzikir (mengingati Allah). Allah berfirman yang bermaksud: “...(Allah) memberi petunjuk ke jalan agama-Nya, sesiapa yang rujuk kepada-Nya; (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 27-28)

  • Melaksanakan segala perintah Allah dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya) serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami memberikan kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil daripada berbuat kebajikan dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan (neraka).” (Surah al-Lail, ayat 5-10)

  • Menyucikan jiwa dengan menjauhi daripada segala sifat mazmumah (sifat yang tercela) seperti hasad dengki, fitnah, takbur (menyombong diri), riak, mengumpat dan terlalu cintakan dunia.

    Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih itu - susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.” (Surah al-Syam, ayat 9-10)

    Sesungguhnya kekuatan iman berperanan sebagai benteng dalam mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini. Oleh itu, dengan kembali kepada ajaran agama dan mengamalkannya jiwa manusia akan terselamat daripada kegelisahan dan kekusutan.

    Jangan disebabkan terlalu sibuk mengejar kesenangan dan kemewahan dunia mengakibatkan kita lupa kepada agama. Sesungguhnya Allah memberikan jaminan bahawa manusia yang ikhlas melaksanakan segala ajaran-Nya akan mempunyai hati dan jiwa yang tenteram.

    Sama-samalah berdoa semoga Allah sentiasa memberikan kepada kita kehidupan aman, tenteram dan jiwa yang tenang.
  •  

    Oleh Mohd Shukri Hanapi

     
    Ibadat di dunia penentu tingkat darjat di syurga
    04.01.07 (6:56 pm)   [edit]

    SEANDAINYA kita berada di syurga, di manakah tempat yang layak kita duduki? Untuk menjawab soalan itu elok kita teliti dengan cermat, cukupkah kiranya amal salih yang kita lakukan sepanjang hidup ini? Pernahkah anda berasa iri hati melihat orang lain lebih banyak beramal ibadat berbanding diri anda?

    Umpama menikmati cahaya bulan pada malam yang cerah, ia sungguh indah, namun tidak boleh dicapai. Begitulah kiranya kedudukan orang yang berada di syurga tertinggi.

    Mereka yang berada di bawah tentu menyesal, mengapa di dunia dulu dia tidak beramal seperti amalan sahabatnya yang berada di atas sana. Dengan iman manusia mencapai puncak ketinggian. Iman itu menentukan status dan gelaran di syurga.

    Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni syurga melihat penghuni yang berada di atas tingkat mereka bagaikan melihat bulan di langit.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Sememangnya kedudukan Mukmin itu bertingkat-tingkat mengikut keadaan amalan masing-masing. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang yang kami pilih di antara hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada yang mendahului dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan amat besar.” (Surah Faathir, ayat 32)

  • Al-Sabiquna bil khairat (mereka yang mendahului dalam berbuat kebaikan) kedudukan mereka dekat dengan Nabi SAW kerana iman mendalam dan amal salih yang dilakukan.

    Mereka adalah VVIP di sisi Allah dan Rasul-Nya, yang berjuang bersama-sama Nabi dan paling cepat menyahut seruan iman kemudian beramal dengannya.

    Dr Aid al-Qarniy menyatakan di dalam kitabnya Ihfazillah Yahfazukallah bahawa golongan Assabiqun memiliki sifat melakukan ibadat wajib dan berasa tidak cukup dengannya sehingga menambah dengan ibadat sunat. Sehingga kedudukan mereka jauh lebih tinggi daripada hamba Allah yang lain.

  • Al-Muqtashid (golongan pertengahan). Dr Aid juga mengulas mengenai golongan ini, beliau berkata: “Mereka ini ialah golongan yang berasa cukup melakukan kewajipan saja. Hal ini sudah melayakkan mereka mendapat kecintaan Allah SWT.”

    Seperti hadis Baginda SAW yang bermaksud: “Tidaklah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai melainkan dia melakukan sesuatu yang Aku wajibkan ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah). Namun demikian keadaan mereka di syurga berada di bawah golongan Assabiqun.

  • Zalimun linafsihi. (Yang menzalimi dirinya sendiri). Saidatina Aisyah pernah ditanya oleh seorang sahabat, Masruk: “Wahai bonda, siapakah orang yang masuk dalam kumpulan Assabiqunabil khairat? Aisyah menjawab: “Iaitu orang yang hidup bersama Rasulullah, sementara al-Muqtashid ialah mereka yang hidup selepas baginda wafat. Dan yang menganiaya diri sendiri (zalimun linafsihi) adalah aku dan kamu.”

    Perkataan Ummul Mukminin Aisyah yang merendah diri menunjukkan kepentingan meletakkan diri dalam keadaan waspada dan takut kepada Allah. Namun begitu tidak mustahil kita boleh mendapatkan kedudukan Assabiqun, walaupun amal dan perbuatan jauh ketinggalan dibandingkan dengan sahabat Rasulullah SAW.

    Satu syarat mutlak bagi kita mencapai kedudukan ini ialah apabila kita mencintai golongan Assabiqun dengan menyertai mereka dalam setiap amal perbuatan, walaupun kita tidak berada pada zaman mereka.

    Mencintai bermaksud menjadikan mereka sebagai inspirasi dan teladan di dalam kehidupan. Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang mencintai suatu kaum maka dia akan bersama mereka di syurga nanti.

    Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: “Bagaimanakah jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya (di akhirat).”

    Mencintai membawa maksud mengikuti amalan mereka dengan mengambil acuan yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada mereka. Amalan mereka mengikut sunnah dan tidak tercemar oleh unsur bidaah.

    Mereka memastikan amalan dibuat adalah berdasarkan ilmu dan dalil yang kukuh.

    Jauh sekali daripada sikap mengikut sesuatu amalan yang tiada asas.

    Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara orang mukmin itu ada golongan yang menepati apa yang dijanjikannya kepada Allah, di antara mereka ada yang menemui ajalnya (mati syahid) dan di antara mereka ada yang menanti-nantikannya (untuk memperoleh syahid) dan tiadalah mereka ingin menukar janji itu dengan yang lain. (Surah Al-Ahzab, ayat 23)

    Mereka mendahului kita dalam perjuangan dan pengorbanannya kepada Allah. Kini kita berada pada kedudukan menunggu panggilan. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya. Walaupun kita sering terlupa, perkataan Ummul Mukminin Aisyah: Zalimun linafsihi itu aku dan kamu.
  •    

     

    Bersama Dr Juanda Jaya