Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung
05.31.07 (8:52 pm)   [edit]

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

  • Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

    Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

    Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

    Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

  • Pakaian yang longgar.

    Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

    Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

    Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

  • Pakaian yang tidak jarang.

    Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

    Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

  • Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

    Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

    Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

  • Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

    Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

    Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

  • Tidak bertabarruj.

    Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

    Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

    Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

    Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.
  • Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com
  •  
    Syahadah hindar gangguan syaitan ketika hadapi Maut
    05.21.07 (6:39 pm)   [edit]

    KEMATIAN adalah suatu yang pasti dihadapi setiap manusia sama ada dia bersedia atau tidak, maut pasti menjengah. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhanmu kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Sajdah, ayat 11)

    Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawa. Hayat penghabisan itu bakal menentukan sama ada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang kufur. Sehubungan itu, panduan ajaran Islam ada menerangkan kepentingan talqin syahadah iaitu mengajar kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut.

    Malaikat akan datang memberitahu mengenai terputusnya kelazatan dan kenikmatan hidup dalam masa sama, iblis dan syaitan juga berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya supaya orang itu tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon pengisi neraka seperti mereka dan keturunannya. Anak cucu cicit iblis ketika itu akan mengelilingi manusia dan muncul dengan menyerupai wajah orang terdahulu yang disayangi manusia tadi.

    Dengan wajah manusia bertopengkan iblis itu, mereka membisikkan hasutan ke telinga supaya jangan mempercayai Allah SWT , Rasul, kitab al-Quran dan Hari Kiamat. Namun manusia yang kuat iman dan pegangan agamanya serta ketika hidup sentiasa mengekalkan solat dan puasa tidak akan mudah termakan bisikan syaitan.

    Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir pesakit mengajar dan mengulang-ulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang daripada mulutnya supaya akhir kalamnya nanti dengan sebutan kalimah itu. Amalan ini digalakkan malah disunatkan dilakukan orang yang hidup ke atas orang yang berada di saat hampir kematian.

    Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Talkinkanlah (ajarkanlah) orang hendak meninggal dunia dari kalangan kamu dengan perkataan La Ila Ha Ilallah.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah). Dalam satu riwayat lain daripada Huzaifah, ada sambungan hadis, “Kerana ia (talkin) boleh menghapuskan dosa terdahulu.”

    Daripada Othman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dengan penyaksian tiada tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

    Saidina Umar al-Khattab juga pernah menyebut yang maksudnya: “Hendaklah kamu hadir kepada orang yang hendak meninggal dunia daripada kalangan kamu dan ingatkanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak nampak, dan talkinkanlah mereka dengan kalimah tiada Tuhan melainkan Allah.”

    Orang yang hadir tidak dibenarkan membaca talkin dengan suara nyaring dibimbangi berat lidah pesakit untuk menuturkannya, sebaliknya ajarkanlah kepada mereka dengan suara yang perlahan.

    Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah ini dibisikkan ke telinga pesakit supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tiada mengingati perkara lain kecuali Allah, dan apabila tiada di dalam hatinya kecuali Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu, dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah.

    Orang yang hadir juga disunatkan menasihatkan pesakit supaya bersangka baik dengan Allah yang mendatangkan kepadanya detik kematian bakal dihadapinya. Ia adalah senjata sangat ampuh untuk menangkis serangan syaitan di saat ia dalam keadaan yang kritikal itu.

    Dalam satu riwayat daripada Wathilah bin al-Asqa’ menyebut: “Talkinkan dan hadirkan kepada orang yang hendak meninggal dunia antara kamu dengan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ serta gembirakanlah ia dengan syurga, kerana orang lelaki mahupun perempuan, di saat genting itu akan kebingungan. Demi Allah, pandangan terhadap malaikat maut saja terasa lebih hebat daripada seribu kali pukulan pedang. Demi Allah, tidak akan keluar jiwa seseorang daripada dunia hingga setiap keringatnya merasa sakit kerana bingungnya.”

    Hadis daripada Ma’qil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban)

    Seperkara lagi yang penting bagi semua manusia bernyawa ialah melazimkan bacaan doa supaya mati dalam keadaan husnul khatimah dan minta dijauhkan daripada mati dalam keadaan su’ al-khatimah. Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW melalui doanya yang bermaksud: “Ya Allah, sudahilah pengakhir hayat kami dengan husnul khatimah dan janganlah sudahi pengakhir hayat kami dengan su’ al-khatimah.”

    Sesungguhnya pengajaran daripada al-Quran dan al-Sunnah ini adalah satu petunjuk bahawa kematian manusia bukanlah penamat kehidupan, tetapi ialah adalah satu jambatan menuju ke alam yang lebih luas dan kekal abadi.
     Oleh Mohd Kamel Mat Salleh


    Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemulihan Akidah, Jelebu Negeri Sembilan

     
    Dosa hanya dapat dilupus dengan 4 cara
    05.20.07 (10:42 pm)   [edit]

    SESUNGGUHNYA manusia melalui setiap hari dalam hidupnya dengan dua pilihan, iaitu sesaat yang dilalui dengan haruman taat atau sesaat yang dipalit maksiat.
     

    Hitungannya sangat halus, jika dia kehilangan satu detik saja dalam berbakti mungkin kakinya akan terjerumus ke lubang neraka. Begitu juga jika dia terlebih satu detik berharga, satu detik itulah yang menyelamatkannya ke syurga.

    Alangkah beruntungnya orang yang memiliki hati selembut kapas, tembus pandangan ke setiap sisi daripada zahir dan batinnya. Melihat, memandang, menilai dan mengukur diri sendiri hingga lupakan aib orang lain.

    Al-Qusyairi pernah menulis dalam Risalahnya: “Permulaan orang yang bertaubat ialah kesedaran hatinya dari kelalaian dan dia memandang dirinya buruk lagi hina. Seseorang hanya akan sampai ke tahap ini kerana dua sebab iaitu kuasa Allah SWT yang menunjukinya dan kemahuannya mendengar suara hatinya sendiri. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dengarlah nasihat Allah di dalam hati setiap Muslim.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Bukankah lebih baik berasa diri kotor dan bersalah daripada mengaku bersih dan tidak sensitif langsung dengan amal perbuatan dilakukan? Adakalanya maksiat itu memberi pengaruh baik bagi diri jika ia dilalui dengan semangat taubat.

    Hal ini pernah disebutkan Prof Yusuf al-Qardawi, beliau menukilkan perkataan Ibnu ‘Athaillah dalam kitabnya Al-Taubah Ilaa Allah, beliau berkata: “Boleh jadi Allah sudah membukakan pintu ketaatan kepadamu, tetapi tidak membukakan untukmu pintu penerimaan dan boleh jadi Allah mentakdirkan untukmu berbuat maksiat yang menyebabkan kamu bertaubat dan hampir kepada Allah. Sesungguhnya maksiat yang mencetuskan ketundukan dan membuat hatimu hancur lebih baik daripada ketaatan yang mengakibatkan ketakjuban diri sendiri dan ketakburan.”

    Dalam melayari samudera kehidupan, kita memerlukan keteguhan hati. Cubalah memandang segalanya dengan positif. Pujuk hati yang luka dan hilang pertimbangan kerana diasak maksiat. Namun, ramai juga terkorban kerana memandang remeh perkara taubat.

    Sesungguhnya dosa hanya dapat dihapuskan dengan empat cara:

  • Dengan taubat. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh dan tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

  • Melakukan amal salih. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan melakukan amal salih, maka kejahatan mereka ditukarkan oleh Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Furqan, ayat 68-70)

  • Datangnya musibah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita hatta tertusuk duri sekalipun nescaya Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

  • Dilebur di dalam api neraka. Daripada Abu Zar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku mengetahui mengenai lelaki yang terakhir keluar dari neraka pada hari kiamat, dikatakan kepadanya: “Bentangkanlah dosa-dosa kecilnya!” Sedangkan dosa besarnya disembunyikan. Kemudian dikatakan kepadanya: Kamu mengerjakan ini pada hari ini dan ini pada hari ini. Dia mengakui tanpa membantah kerana terlalu bimbang dengan dosa besarnya. Lalu dikatakan: Berikanlah kebaikan sebagai pertukaran untuk setiap kejahatan yang dilakukannya. Lalu dia berkata: Aku mempunyai dosa-dosa lain, tetapi tidak dibentangkan di sini. Kata Abu Zar: Aku melihat Rasulullah SAW ketawa hingga nampak gigi geraham baginda.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, Ibn al-Qayyim menyatakan ia sahih)

    Bagaimanakah keadaan orang yang suka mengulang-ulangi maksiat dan taubatnya? Adakah dia akan diampuni oleh Allah Taala? Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba sudah melakukan dosa, lalu dia berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sudah berdosa, maka ampunilah aku! Maka Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya, hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Al-Qardawi mengulas hadis itu, katanya: “Ungkapan maka hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya, makna yang sebenar hanya Allah saja Yang Maha Mengetahuinya. Penafsirannya ialah setiap kali hamba melakukan dosa, dia bertaubat, yang demikian itu menjadi penghapus dosa-dosanya. Ia bukan bermakna sengaja melakukan dosa, rela dan suka bermaksiat dengan tujuan untuk mempermain-mainkan Allah SWT.

    Manusia boleh melakukan apa saja sesuka hatinya, Allah tetap Maha Pengampun. Tetapi adakah kita sanggup mengambil risiko bermain-main dengan rahmat dan ampunan-Nya jika kita sendiri tidak pasti permainan itu akan berakhir di mana?

    Adakah berakhir dengan husnul khatimah atau suul khatimah? Risiko itu tetap ada di atas jalan yang kita tempuhi. Mati dalam taat atau maksiat? Kita sendiri yang memilih. Beranikah kita mencuri peluang atas rahmat dan maghfirah-Nya?
  •  Bersama Dr Juanda Jaya

     

     
    Riak jadikan amalan seperti debu berterbangan
    05.13.07 (8:01 pm)   [edit]

    ADAKAH rahsia yang tersimpan di antara diri kita dengan Allah Taala? Menyembunyikan amal kebaikan dari pengetahuan orang lain. Sungguh berat untuk dilakukan kerana lumrahnya manusia memang suka kepada puji-pujian. Berbeza jika seseorang itu melakukan kejahatan, dia akan bersusah-payah menyembunyikan kejahatannya itu daripada pandangan manusia.

    Bersyukurlah kerana Allah SWT menghijab segala aib kita daripada mata manusia. Apakah rahsia yang anda sembunyikan itu? Jika ia suatu kejahatan, maka banyakkanlah istighfar, kalau rahsia itu adalah amal ibadat yang ikhlas, maka bersyukurlah kerana Allah SWT menunjukkan diri anda.

    Al-Shaikh Muhammad Salih Al-Munajjid menukilkan dalam kitabnya Silsilah A’mal al-Qulub: “Imam al-Mawardi menghasilkan penulisan yang banyak dalam bidang tafsir al-Quran, fiqah dan cabang ilmu lainnya. Namun tiada satu pun karyanya yang diterbitkan semasa hidupnya, melainkan ketika saat akhir hayatnya. Beliau berkata kepada sahabatnya “Semua buku itu adalah hasil karyaku, aku berwasiat kepadamu jika aku sedang menghadapi nazak, letakkanlah telapak tanganmu pada telapak tanganku. Jika aku menggenggamnya ketahuilah bahawa tidak ada satu pun daripada hasil tulisanku itu diterima oleh Allah Taala. Bawalah buku-buku itu ke sungai Tigris dan campakkanlah ia semua ke dalamnya. Sebaliknya, jika aku membuka tanganku, maka ketahuilah bahawa semuanya diterima Allah Taala sebagaimana yang kudambakan dari-Nya.” Ternyata Imam al-Mawardi membuka tangannya dan sesuai dengan wasiatnya buku beliau telah diterbitkan.

    Cukuplah hanya Allah SWT yang tahu segala amal baik yang dilakukan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menghebahkan amal berkenaan. Ia tidak salah jika diniatkan untuk memberi teladan kepada orang lain dan supaya syiar Islam dapat dijadikan contoh manusia seluruhnya. Tetapi bagaimana dengan risiko sifat riak yang merosakkan amal?

    Jika kita tidak mahu terjebak oleh penyakit berbahaya ini, sebaiknya kembalilah mengulang kaji pelajaran ikhlas yang pernah membuat Saidina Abu Hurairah RA amat tertekan ketika menyebut tentang hadis Rasulullah SAW berikut ini. Dikatakan bahawa beliau kerap menangis kerana takut ketika membacakannya.

    Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya “Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia menjawab “Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman “Engkau dusta! Engkau telah berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu.” Kemudian dia diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.

    Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya “Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata “Aku belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu. Allah berfirman “Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu.” Orang itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.

    Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah bertanya “Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab “Tiada satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya telah dermakan harta saya di sana. Allah SWT berfirman “Engkau dusta! Engkau menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka.” Hadis riwayat Imam Muslim

    Bolehkah kita terhindar daripada niat yang lain selain untuk Allah SWT? Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan. Firman Allah Taala yang bermaksud ”Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan.” (Surah Al-Furqan: Ayat 23).

    Hasutan syaitan ke atas orang yang beramal tidak akan berhenti. Adakalanya kita berasa malas melakukan ibadat kerana ada bisikan yang mengatakan “Untuk apa beramal jika hati tidak ikhlas, tentu tidak diterima oleh Allah.”
     Bersama Dr Juanda Jaya
     
    Bilal Rabah muazin pertama laungkan azan
    05.08.07 (8:21 pm)   [edit]

    BILAL Bin Rabah ialah muazin pertama dalam Islam. Bilal termasuk golongan pertama masuk Islam atau orang ketujuh memeluk Islam pada awal penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad SAW.

    Perhubungan atau komunikasi Bilal dengan Islam bermula ketika beliau menjadi hamba kepada Umaiyyah. Perbincangan Umaiyyah dengan tetamunya mengenai kehadiran agama baru (Islam) yang dibawa Nabi Muhammad SAW, secara tidak langsung didengar Bilal.

    Walaupun ketika itu Bilal belum mengenali Muhammad SAW secara peribadi, beliau sering mendengar berita Nabi SAW seorang lelaki sederhana, jujur dan telus dari Bani Hasyim itu sangat dihormati bangsa Quraisy. Bilal tertarik dengan Islam dan ajaran yang dibawa Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

    Kerana itu, Bilal segera menemui Saidina Abu Bakar yang terlebih dulu memeluk Islam. Bilal meminta Abu Bakar menghantarnya menemui Rasulullah SAW. Bilal tidak menunggu waktu lama untuk menyatakan keIslamannya di hadapan Nabi SAW.

    Keimanan Bilal terus diuji selepas mengucapkan kalimah syahadah, jika Abu Bakar as-Sidik dan bangsawan Quraisy lainnya aman daripada perlakuan kejam sesama bangsa Quraisy yang benci terhadap Islam, lain halnya dengan Bilal.

    Sebagai hamba daripada anggota suku Quraisy yang pernah dianiaya dengan kejam, Bilal dipaksa keluar dari agama Islam dan kembali kepada agama nenek moyangnya yang menyembah berhala.

    Majikannya, Umaiyyah memaksa Bilal keluar daripada Islam dengan segala cara dan paksaan. Pada suatu hari yang panas terik, Bilal dipaksa memakai baju besi, kemudian ditanam dalam pasir yang sangat panas hingga kepalanya saja yang nampak.

    Bilal sering dipaksa Umaiyyah untuk berbaring telentang di atas pasir yang sangat panas. Kemudian tubuh Bilal ditindih batu yang besar dan berat. Pada waktu lain, Bilal diikat lehernya dan diseret ke kota Makkah. Meskipun demikian, Bilal tetap bertahan seraya mengucapkan kalimah ‘Ahad, Ahad’ (Allah Yang Esa).

    Akibat penyiksaan luar biasa kejam itu, Bilal pun pengsan. Ketika sedar kembali, di hadapannya berbunyi teriakan Umaiyyah yang memaksanya untuk keluar daripada Islam. Dengan kejam Umaiyyah mengancam akan membunuhnya serta menyeksanya, kecuali ia tidak mengakui Muhammad SAW sebagai utusan Allah. Namun, Bilal tetap teguh, patuh dan bertahan dengan penuh keyakinannya.

    Suatu hari, Abu Bakar berjalan melintasi tempat di mana Bilal sedang mengalami penyiksaan. Kerana kasihan, Abu Bakar segera meminta Umaiyyah menjual Bilal kepadanya.

    Kerana tidak rela Bilal dimiliki Abu Bakar, Umaiyyah menaikkan harga yang sangat tinggi, namun Abu Bakar tetap sanggup membayarnya. Kemudian Bilal bekerja dengan Abu Bakar, namun selepas itu beliau berhenti dan membantu Rasulullah SAW menyebarkan ajaran Islam. Bilal juga menjadi pengawal Rasulullah SAW yang sentiasa siap sedia membela rasul.

    Waktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Bilal ikut bersama, ia selalu menemani dan menjaga Rasulullah SAW di mana pun berada, termasuk dalam setiap peperangan.

    Pada awalnya, untuk mengetahui waktu sembahyang, umat Islam melaksanakannya dengan terlebih dulu menentukan waktu, kemudian berkumpul untuk sembahyang. Namun, kerana kesulitan akhirnya Rasulullah SAW berfikir untuk memanggil umat Islam menunaikan sembahyang menggunakan terompet.

    Namun, Rasulullah SAW sendiri tidak menyukai hal itu kerana orang Yahudi juga menggunakan cara sama. Akhirnya, disepakati panggilan azan ketika memasuki jam sembahyang dilakukan dengan tepukan tangan.

    Tidak berapa lama kemudian, salah seorang sahabat, Abdullah Bin Zaid datang menemui Rasulullah SAW. Dia berkata bahawa dia bermimpi bertemu seorang lelaki yang menggunakan dua helai kain berwarna hijau sambil membawa loceng.

    Dalam mimpi itu, Abdullah lalu menawarkan dirinya untuk membeli loceng berkenaan. Ketika lelaki itu bertanya untuk tujuan apa loceng itu, Abdullah menyatakan loceng itu akan digunakan untuk memanggil orang mengerjakan sembahyang.

    Namun, lelaki itu menawarkan panggilan sembahyang yang lebih baik iaitu seruan azan yang kita dengar hari ini. Dengan sukacita, Rasulullah SAW menyatakan bahawa itu adalah seruan baik.

    Rasulullah SAW segera meminta Abdullah menemui Bilal dan mengajarkan azan itu kepadanya. Bilal dipilih sebagai muazin kerana dia memiliki suara indah dan lantang, sehingga boleh menjangkau jarak yang jauh.

    Mulai saat itu, pertama kali azan diperdengarkan di Madinah dan Bilal menjadi muazinnya. Selepas selesai azan dikumandangkan, Bilal berdiri di depan pintu rumah Rasulullah SAW dan berkata (mari kita sembahyang, mari mencapai kemenangan). Ia berucap mengingatkan Rasulullah SAW bahawa sudah masuk waktu sembahyang, begitulah Bilal setiap kali ia selesai azan.

    Bilal menjadi muazin Rasulullah SAW hingga Baginda wafat. Umat Islam tidak melupakan kewajipan sembahyang walau pun Nabi sudah meninggal dunia. Kerana itulah mereka meminta Bilal untuk azan.
     
    Pencinta ilmu mesti jadikan buku ‘teman setia’
    05.07.07 (7:29 pm)   [edit]

    DETIK awal sinar Islam di alam maya ini bermula dengan pancaran cahaya wahyu Ilahi melalui kalimah Iqra bermaksud ‘Bacalah’ dan melambangkan ilmu yang di dalamnya terangkum makna membaca, mengkaji, menyelidik dan berfikir.

    Istilah ‘ilmu’ yang menjadi teras sistem nilai dalam Islam dan menduduki tempat tinggi mempunyai hubungan rapat dengan istilah ‘buku’ yang menjadi sumber kepada ilmu dan pengetahuan.

    Di dalam buku terkandung khazanah intelektual, dokumentasi pengekalan warisan dan budaya serta idea besar, yang kadang-kala menjadi pencetus bahaya mengakibatkan peperangan atau diharamkan atas sebab idea yang dilontarkan pengarangnya.

    Namun, buku saja tetap akan tinggal sebagai buku jika tiada proses perpindahan ilmu yang ada di dalamnya ke dalam minda manusia melalui proses dikenali sebagai pembacaan.

    Pembacaan dengan kata lain seharusnya membawa kepada kesahihan ilmu yang dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Melalui wahana inilah usaha keilmuan dapat membangunkan intelektual, membentuk budaya fikir kreatif dan dinamis yang akhirnya melahirkan masyarakat progresif.

    Dalam peradaban Islam, buku adalah kekasih dan teman paling setia dalam memimpin ke arah kebenaran dan membentuk kemajuan unggul. Sikap orang Islam ketika itu yang mencintai buku jelas dilihat daripada kehidupan seharian mereka terutama ketika mereka berbicara. Membaca buku bagi mereka yang mencintai ilmu sama seperti berkomunikasi dengan teman yang begitu setia untuk mendengar.

    Profesor Ahmad Shalaby dalam bukunya bertajuk Sejarah Pendidikan Islam ada menyatakan, dalam sejarah Islam pernah diriwayatkan apabila seseorang berbicara mengenai buku, maka pendengarnya akan mengira bahawa dia sedang berbicara mengenai seseorang yang amat setia dan jujur, seorang kekasih yang sudah lama tidak bertemu atau seorang pemimpin yang memimpin ke jalan kebenaran dengan satu tujuan yang suci murni.

    Dalam buku itu, beliau juga telah menulis satu bahagian khusus mengenai hubung kait buku dan perpustakaan. Pada zaman Harun al-Rasyid, iaitu kemuncak perkembangan ilmu di bumi Arab terutama apabila Baitul Hikmah iaitu perpustakaan dan juga sebuah pusat penterjemahan mula beroperasi.

    Di sinilah tempat berkumpul segala ilmu yang didapati daripada tamadun luar seperti kaedah mantik atau logik dari tamadun Yunani, penghasilan kertas daripada tamadun China dan ilmu nombor diambil daripada tamadun India.

    Ilmu yang dikumpulkan itu terus dikaji dan diselidiki dengan lebih mendalam, juga diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dihasilkan semula dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan semua.

    Bagi pencinta ilmu, buku adalah pasangan paling setia. Ke mana saja mereka pergi akan tetap ditemani pasangannya ini. Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih oleh bukunya pernah berkata ‘buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu jika engkau sedang bekerja. Tetapi apabila engkau diulik kesepian, dialah teman yang akan menjadi temanmu paling baik’.

    Dalam mencari buku yang boleh dijadikan pasangan atau teman, aspek kualiti perlu diberi perhatian sewajarnya. Buku karya besar atau agung dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia penting terutama dalam memanusiakan pembaca kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran dan intelektualisme sesuatu bangsa.

    Sejarah juga membuktikan hanya dengan ketinggian budaya ilmu, sesuatu bangsa dapat mempengaruhi negara dan bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Kefahaman kepada idea dan gagasan besar yang dilontarkan adalah antara usaha manusia untuk memahami dan menghayati kebijaksanaan santapan mental dan rohani manusia.

    Ahli sufi klasik tersohor, Muhyiddin Ibnu Arabi, pernah menceritakan mengenai penghargaan seorang ulama mengenai buku: “Belum pernah ku melihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju atau taman bunga yang dibawa dalam pangkuan”.

    Dalam sejarah peradaban Islam, buku berperanan sebagai terapi atau dikenali sebagai biblioterapi. Bagi ulama pencinta ilmu, mereka akan meletakkan buku di atas kepala untuk menghilangkan sakit kepala atau demam. Jika hilang rasa sakit, mereka akan terus membaca buku berkenaan.

    Antara buku dan budaya menulis, dua perkara tidak dapat dipisahkan sebagaimana Saidina Ali pernah berkata: “Ikatlah ilmu dengan menulisnya”.

    Prof Hamka juga berkata, jika seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi, secara semula jadi akan terpanggil untuk memindahkan ilmu pengetahuan yang didapatinya dalam bentuk penulisan. Ini jelas dilihat dalam diri Prof Hamka sebagai seorang ulama, sasterawan, pemikir dan penulis.

    Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ,di dalam pendahuluan bukunya bertajuk A commentary on the Hujjah al-Siddiq of Nur-Din al-Raniri menyatakan, ‘sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus.’

    Dalam hal ini, buku berperanan sebagai penzahiran pemikiran seseorang melalui tulisan. Sebagai contoh, Syed Sheikh al-Hadi, seorang tokoh pembaharuan Islam yang hidup sezaman dan seangkatan dengan Muhammad Iqbal, pemikir Islam tersohor dari Pakistan.

    Sifatnya yang agak positif dengan Barat sering disalahertikan. Beliau menyarankan ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah Barat supaya umat Islam boleh mengecapi kemajuan dan bersaing dengan bangsa lain.

    Bagi beliau, wadah terpenting dalam menyampaikan idea ialah melalui kaedah penulisan sama ada buku ataupun majalah. Hal ini boleh digunakan untuk mengejutkan umat Islam di Tanah Melayu dari tidur untuk bangkit menebus kemunduran masa lalu.

    Bagaimanapun hal itu masih tidak diberi perhatian serius hingga ke hari ini. Oleh itu, tidak hairanlah walaupun Malaysia kaya dengan hasil buminya namun anak watan, khususnya bangsa Melayu masih tidak dapat memanfaat sepenuhnya lantaran kekurangan pengetahuan mengenai bagaimana semua itu dapat digunakan.

    Rasulullah SAW pernah menyatakan mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Bila kamu menghendaki hidup berjaya di dunia hendaklah kamu berilmu dan bila kamu menghendaki hidup berjaya di akhirat hendaklah berilmu dan bila kamu menghendaki kedua-duanya hendaklah juga kamu berilmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Buku sebagai khazanah ilmu pengetahuan perlu diberi kedudukan tinggi kerana di dalamnya tersimpan rahsia kehidupan dan kunci kemajuan. Nilai terkandung dalamnya akan mencorak kehidupan manusia dan telah banyak mempengaruhi golongan pemikir, pemimpin, ilmuwan dan ulama.

    Sikap mementingkan ilmu melalui membaca akan memajukan manusia dalam seluruh aspek kehidupan termasuk budaya, kemanusiaan dan adab. Bagaimanapun, budaya ilmu tidak hanya terbatas di sekolah atau universiti, malah perlu dikembangkan dalam kehidupan masyarakat.

    Apabila budaya ilmu menjadi sebahagian hidup mereka, konsep penghidupan tidak lagi untuk hidup semata-mata tetapi memberi keutamaan kepada pentingnya memburu ilmu, menambah ilmu untuk meningkatkan corak pemikiran atau intelek sebagai satu keperluan dalam menghadapi cabaran hidup.

    Seorang penyair Arab yang terkenal pada zaman Abbasiah, Al-Mutanabbi berkata: ‘Teman yang paling mulia sepanjang zaman adalah buku.’
     Oleh Dr Ratna Roshida Abd Razak
     
    Syarat berpakaian mesti tutup aurat
    05.06.07 (7:31 pm)   [edit]

    ISLAM menetapkan peraturan dalam soal berpakaian. Tuntutan berpakaian untuk menutup aurat adalah satu kemestian sama ada lelaki atau wanita. Cara berpakaian menentukan tahap keimanan.
     

    Namun begitu, Islam tidak menetapkan fesyen pakaian yang mesti dipakai setiap orang Islam. Islam membenarkan apapun fesyen pakaian asalkan menepati syarat menutup aurat.

    Sebenarnya, setiap bangsa memiliki fesyen pakaian menepati cita rasa setempat. Umat Islam tentunya tidak dapat lari daripada hambatan fesyen pakaian yang sentiasa berubah. Ia mempunyai hubung kait dengan cuaca, kegiatan seharian dan cara hidup.

    Biarpun pakaian dihasilkan dengan kebijaksanaan dan kemahuan manusia, hakikatnya pakaian ‘diturunkan’ oleh Allah kepada manusia. Kewajipan berkaitan berpakaian datangnya daripada Allah yang mengarahkan supaya lelaki dan wanita beriman menutup aurat.

    Allah yang melahirkan keinginan dalam diri manusia inginkan kepada pakaian. Keperluan hidup pertama yang dicipta oleh Adam dan Hawa ketika diturunkan di dunia ini ialah pakaian, biarpun sekadar diperbuat daripada kulit kayu, daun dan kulit binatang.

    Mendedahkan aurat adalah perbuatan memalukan. Sesiapa yang tidak malu mendedahkan aurat boleh diumpamakan seperti haiwan yang sememangnya tidak ada perasaan untuk berpakaian.

    Batasan aurat dalam Islam amat ketat, terutama bagi wanita. Bagi golongan wanita, aurat adalah seluruh anggota badan, kecuali bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

    Peraturan ketat terhadap wanita berkaitan pakaian bukan bertujuan menyusahkan atau menyekat kebebasan golongan wanita. Islam tidak mengamalkan diskriminasi antara lelaki dan wanita, melainkan keperluan tabii yang membezakan antara kedua jantina ini.

    Sebenarnya, perhatian ketat mengenai fesyen pakaian wanita bertujuan menjauhkan keadaan fitnah dan keburukan sama ada datangnya daripada golongan lelaki atau wanita.

    Islam meletakkan wanita pada kedudukan terbaik dan menyediakan satu rangka cara hidup paling lengkap dan sempurna. Peraturan ketat adalah untuk melindungi maruah dan keselamatan wanita yang sering terdedah kepada gangguan lelaki tidak sopan.

    Hal ini jauh berbeza dengan gerakan menuntut hak kesamarataan anjuran wanita Barat yang lebih mendatangkan kemudaratan. Wanita Barat ingin menentukan sendiri apa yang ingin dipakai dan dilakukan.

    Fesyen mendedahkan aurat yang digilai banyak wanita sekarang adalah akibat terpengaruh dengan hasil fesyen bukan Islam. Di Barat pereka fesyen berjaya mengeksploitasi badan wanita sebagai objek dagangan.

    Fesyen mendedah aurat paling laris di pasaran. Pengaruh inilah turut ditiru di kalangan wanita Islam. Sepatutnya wanita Islam perlu lebih sensitif dengan perkembangan yang membawa keburukan itu. Apa yang datang dari Barat tidak semuanya baik.

    Fesyen mendedah aurat tidak mematuhi etika berpakaian kerana tidak ‘lengkap’. Mendedahkan aurat sama dengan tidak berpakaian. Aurat adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan kepada pandangan umum.

    Sekarang banyak wanita yang menutup aurat separuh kerana mengikut fesyen. Contohnya, banyak wanita kini bertudung, tetapi fesyen tudungnya menampakkan sebahagian rambut, bahagian dada dan leher terdedah.

    Tidak kurang juga yang bertudung, tetapi memakai baju lengan pendek, ketat atau jarang. Ada pula yang memakai baju kurung longgar, lengan panjang dan kain tebal, tetapi tidak pula bertudung.

    Penerapan fesyen wanita yang sempurna mengikut kehendak Islam perlu diusahakan di kalangan masyarakat kita. Kita memerlukan lebih banyak pereka fesyen Islam dan kedai pakaian yang menjual pakaian memenuhi keperluan wanita Islam.

    Majalah dan rancangan televisyen yang memperkenalkan busana wanita Islam juga perlu ditambah. Ia memudahkan wanita Islam membuat pilihan fesyen menepati kehendak Islam yang sesuai untuk mereka.
     Oleh Lokman Ismail
     
    Hati bersih kembalikan cahaya iman, Islam
    05.06.07 (7:29 pm)   [edit]

    SETIAP hamba pasti pernah melalui hari mendung dalam hidupnya. Ketika itu dia akan berada dalam zon iman yang lemah dan keadaan itu membuat dirinya sangat tertekan. Apakah mungkin hidupnya boleh tenang jika hubungan dia dengan Allah Taala terancam?
     

    Banyak sebab yang menyumbang kepada keadaan seperti itu. Antaranya ialah jika kita terlalu obses terhadap dunia hingga melupakan matlamat sebenar hidup ini. Tetapi bersyukurlah kepada Allah SWT kerana hati anda masih lagi hidup dan berasa sempit apabila menyedari kealpaan yang lalu.

    Anda masih memiliki semangat untuk bangkit mencari iman yang hilang. Tetapi persoalannya, di manakah kita boleh menemukan iman yang hilang itu?

    Ada beberapa tempat yang boleh kita kunjungi untuk mencari keimanan sejati. Antaranya;

    Di hati kita sendiri. Sesiapa yang mahu memperbaiki diri mesti melihat ke dalam lubuk hatinya. Di situlah asal mula kebaikan bercambah menjadi benih yang baik.

    Hati yang hidup biasanya sibuk menyoal pada tuannya, kenapa kamu lakukan itu dan ini? Untuk siapa dan apa faedahnya? Hanya ada satu zat yang dapat menguatkan hati kita, apabila kita bersandar padaNya maka hilanglah segala beban yang menyesakkan dada.

    Siapakah yang kita cari jika hati terlalu sedih? Siapakah yang kita tuju jika mara bahaya telah mengepung dari segenap penjuru?

    Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – (Surah Yunus: Ayat 107).

    Hati yang sentiasa mengingati Allah SWT, di situlah akan bermula segala kebaikan tercipta. Hati yang membisikkan pada kita supaya bertaubat, melupakan segala yang berlalu dan memulakan hidup baru.

    Hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT, tempat berkumpul rahmat dan hidayah-Nya bagi mengikis segala syahwat yang melekat di dindingnya. Jika hati boleh disentuh umpama mangkuk kristal yang mahal, tuan empunya sudah tentu menjaganya dengan penuh kasih sayang. Jangan ada debu yang melekat, sentiasa dibersih dan diletak pada tempat yang aman. Tiada tangan kotor yang mampu menjamah.

    Tapi sayang hati itu begitu murah pada pandangan manusia yang lalai, di biarkan retak menanti pecah berderai oleh dosa yang hitam. Masihkah ada peluang bagi kita membersih hati yang dicipta Allah SWT untuk merasai sejuta nikmat. Nikmat iman dan Islam, nikmat kebahagiaan dan ketenangan.

    Al-Fudail bin ‘Iyadh berkata: “Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain.”

    Iman yang hilang dan kehidupan sempit itu akan segera berakhir jika kita bersedia memperbaiki hubungan kita dengan Allah Taala. Melicinkan hati dari debu yang melekat, kerana tiada seorangpun yang sanggup menderita tanpa cahaya iman.



    Berbuat adil terhadap diri sendiri.

    Adakalanya penyakit jasmani dan mental menyerang manusia silih berganti. Bukankah itu petanda wujudnya kezaliman yang kita lakukan pada diri sendiri? Pemakanan yang tidak seimbang dan rehat yang tidak mencukupi menjadi punca kurangnya daya kekebalan tubuh.

    Tekanan dalam menempa karier dan kerjaya, hubungan yang tegang dengan orang lain menjadi sebab tekanan berlarutan. Tetapi adakah kita juga merasai antara sebab tekanan dalam hidup ini ialah tidak tersedianya ilmu yang cukup, iman yang kebal dan ibadat yang ikhlas?

    Anda boleh meminta nasihat doktor pakar atau mencari ubat alternatif yang menjadi gaya hidup manusia moden seperti rileks di spa dan melanggan pelbagai terapi yang diuji keberkesanannya. Semua itu ikhtiar yang baik selagi tidak menyalahi syarak.

    Namun jangan mudah melupakan keperluan diri kita yang lain. Kalau hanya jasmani yang diambil berat, maka akan muncul ketidakseimbangan dalam hidup anda. Bagaimana dengan rohani sudahkah ia diubati?

    Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan dalam kitabnya Malamih Al-Mujtamak Al-Muslim: “Islam adalah agama yang realistik, ia berinteraksi dengan manusia secara keseluruhannya sama ada jasmaninya, rohaninya mahu pun akal dan perasaannya.

    Islam meminta agar semua perkara itu diberi santapan yang cukup dalam batasan sederhana. Jikalau riadah itu menjadi santapan jasmani, ibadat menjadi santapan rohani, ilmu menjadi santapan akal maka seni pula menjadi santapan perasaan.”

    Keadilan dalam Islam cukup jelas ukurannya. Hanya manusia saja yang tidak mampu memberi kesaksamaan untuk dirinya sendiri. Ada yang terlebih mengutamakan dunia hingga melupakan agama, ramai pula yang terpukau oleh ajaran yang menyalahi asas ketulenan Islam itu sendiri.

    Keadilan untuk diri kita adalah memberi hak kepada seluruh isi tubuh ini dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang sembahyang sepanjang malam dan berpuasa terus menerus pada siang harinya, sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi mata mu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu mu ada haknya.”– (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Tiada yang lebih menyayangi kita selain Allah Taala dan diri kita sendiri. Jalannya telah ditunjukkan oleh Rasul-Nya SAW iaitu bersihkan hati dan berbuat adil pada tubuh badan ini.
    Dr Juanda Jaya

    Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak
     
    Lelaki abai tugas pelindung tanda akhir zaman
    05.03.07 (8:33 pm)   [edit]

    DIRIWAYATKAN oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan menjadi berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehinggakan 50 wanita hanya dilindungi oleh seorang lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
     

    Masalah sosial dan keluarga yang kian meruncing adalah disebabkan ramai lelaki yang tidak lagi berperanan sebagai lelaki dan hilang semangat kelelakiannya.

    Mungkin ramai yang akan menduga hilang semangat kelelakian membawa maksud bertambahnya lelaki lembut seperti yang pernah diperbincangkan dalam akhbar harian tempatan suatu waktu dulu.

    Ada juga menyangkakan yang dimaksudkan dengan semakin kurangnya bilangan lelaki, tetapi sebenarnya bukan demikian. Bilangan lelaki ramai, jika tidak lebih atau sama dengan bilangan wanita pun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh nisbahnya.

    Yang dimaksudkan di sini ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranannya sebagai lelaki seperti disebutkan oleh al-Quran: “Para lelaki adalah qawwamun (pelindung) kepada wanita.” (Surah al-Nisa, ayat 24)

    Hipotesis itu sebenarnya ada kebenarannya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bertepatan dengan hadis di atas. Hadis itu menyebut bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita, dan yang lebih parah lagi, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

    Menariknya, dalam hadis itu Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘qawwam’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan tidak menggunakan perkataan ‘rijal’ yang membawa maksud lelaki.

    Maksudnya, orang lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sama ada tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga ataupun memperlakukan wanita dengan perlakuan memudaratkan mereka, seperti mengeksploit, merogol, menjadikan wanita alat pemuas nafsu dan sebagainya.

    Lihat apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin hancur moralnya. Berita kejadian rogol bagaikan sama wajibnya dengan ruangan siaran televisyen di dada akhbar.

    Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak, pembantu rumah dan 1001 kejadian dan peristiwa yang jelas menunjukkan hilangnya kelelakian ramai lelaki di Malaysia ini.

    Bukannya hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi kerana mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai lelaki yang sebenarnya iaitu ‘pelindung’ bagi wanita.

    Apakah rasionalnya teori itu? Jika lelaki mempunyai kelelakian dan menjadi pelindung, dia akan melihat wanita golongan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga kehormatan, tidak boleh dikasari, tidak dieksploitasi apa lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang.

    Lelaki yang mempunyai sifat pelindung tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya kerana menyedari dia wajib melindungi maruah wanita itu. Lelaki pelindung tidak akan merogol wanita, kerana beliau menyedari beliaulah yang patut melindungi wanita daripada dikasari dan dizalimi, apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat mereka sendiri.

    Seorang lelaki pelindung juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana merekalah yang sepatutnya melindungi wanita daripada sebarang mudarat dan musibah. Pendek kata, jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.

    Keluarga memerlukan lelaki pelindung yang tidak akan bermalasan di rumah membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang. Lelaki pelindung juga tidak akan memukul dan mendera sama ada isteri mahupun anaknya.

    Lelaki pelindung juga tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut wanita dan ahli keluarganya, tidak akan menggadai maruah anak isteri walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus di dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia pada hari ini.

    Ironiknya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki. Kedengaran suara sumbang aktivis wanita yang ingin mendapat taraf sama dengan lelaki tanpa menyedari risikonya.

    Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini di dominasi lelaki. Di satu sudut, muncul bagai cendawan lepas hujan wanita yang rela diri dieksploitasi lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata daripada etika dan maruah.

    Bagaikan sesuatu yang biasa, kewujudan GRO, pelacuran sama ada yang terhormat ataupun tidak berlesen. Media berlumba-lumba mempergunakan wanita untuk melariskan produk mereka.

    Bagaimana menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung? Proses yang bagaimana perlu diaplikasikan terhadap semua lelaki di Malaysia supaya sedar mereka adalah lelaki dan perlu menjadi pelindung bagi wanita?

    Dalam hal ini, lelaki terutama Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dan menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat iu.

    Jika seseorang Muslim sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah, mengikut ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki melindungi wanita mencontohi Rasulullah SAW.

    Rasulullah SAW tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita bagaimana melindungi wanita sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah, lelaki akan sentiasa menjadi pelindung bagi wanita.
     Oleh Maszlee Malik