Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Peluang huni syurga besar, tetapi tak direbut
06.28.07 (5:37 pm)   [edit]

DARIPADA Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda kepada kami: “Tidakkah kamu gembira bahawa satu perempat daripada penghuni syurga itu daripada kamu?” Kata Abdullah, kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula Baginda: “Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu daripada kamu?” Kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya saya mengharap bahawa satu perdua daripada penghuni syurga itu daripada kamu. Ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.” (Hadis riwayat Muslim)
 

Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah yang benar dan diredai Allah. Namun, fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain.

Betapa mudahnya iman mereka goyah kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu, benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai, namun nilaian mereka hanyalah seperti buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Mereka mudah dipermainkan pihak musuh, bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru, peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang itu tidak direbut oleh semua orang.

Ramai berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang kafir.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
Mengaku secara sedar kehebatan diri kunci kejayaan
06.28.07 (5:35 pm)   [edit]

SEORANG insan yang bertaubat daripada keterlanjuran mempunyai rasa harga diri sangat rendah membawa kepada putus asa, malah ada membunuh diri. Kesakitan fizikal, seksaan mental dan deraan emosi memang tidak tertanggung. Pandangan negatif yang menghina penuh celaan daripada masyarakat keliling memang tidak dapat dielakkan.

Itu hanya seksaan dan balasan di dunia. Untuk menghadapi cabaran dahsyat ini, selain mendekatkan diri kepada Allah kita perlu bina kekuatan dalaman. Proses membersih diri adalah tazkirah yang perit daripada Allah. Perkara itu lebih dirasai apabila seseorang wanita itu mengandung dan melahirkan anak tanpa mempunyai suami sah.

Kesan peristiwa ini sangat mendalam dalam diri mereka, malah menghantui kehidupan mereka sehingga akhir hayat. Mereka ini tiada pilihan kecuali bertaubat nasuha, reda menerima ujian Allah dan cuba melawan perasaan berdosa, hina dan memperkasa diri.

Memperkasa diri melawan perasaan hina diri memerlukan seseorang mengubah gaya hidup, menukar cara bersosial, mencari rakan baru yang salih dan paling penting berfikiran positif. Perkara yang sukar dilakukan pada awalnya boleh membuahkan hasil menakjubkan.

Seseorang itu akan rasa lebih tenteram, sihat mental, bertenaga dan positif menjalani kehidupan. Sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan sentiasa memperbaharui niat untuk melakukan amalan salih dan tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

Anak kunci kepada kejayaan adalah terus melakukan perubahan positif dan ia bermula dengan mengenali diri. Cabaran untuk mengenal diri bermula dengan memahami dan menerima diri kita. Ia bukan bermaksud kita tidak boleh memperbaiki diri. Jika kita fikir tidak cukup baik, kita mesti belajar bekerja lebih kuat, berubah menjadi lebih baik dan memperbaiki diri .

Sering kali kita mencari faktor luaran dan percaya bahawa kita kekurangan kasih sayang, ilmu, kejayaan dan kepuasan. Jarang sekali kita mengaku secara sedar bahawa tenaga atau kuasa hebat itu berada dalam diri kita. Cabaran kita sebagai manusia adalah untuk sedar apa yang sekarang ini berada di bawah sedar.

Setiap insan dilahirkan dengan pelbagai potensi berjaya seperti firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (Surah At-Tin, ayat 4)

Kita dilahirkan dengan anugerah, kebolehan, kekuatan dan keperibadian tersendiri yang menjadikan kita unik dan berbeza daripada orang lain. Sepanjang kehidupan, kita juga memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Kebanyakan kita bersikap agak tertutup untuk mengenali kekuatan dan cara kita yang tersendiri.

Bila kita mengenali diri, kita akan kurang terikat kepada diri dan keunikan akan terserlah. Kita juga akan menjalani hidup dengan menggunakan potensi diri secara optimum. Nur hidayah Allah sentiasa menerangi seluruh alam dan hambanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah misykaat yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca, gelok kaca itu laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari semasa naiknya dan bukan saja semasa turunnya; hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinar nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda): cahaya berlapis cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturannya) kepada nur hidayahnya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai contoh perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An- Nur, ayat 35)

Penghalang kepada perubahan dan kemajuan diri adalah kita sendiri. Oleh itu, antara rahsia kejayaan diri adalah berdoa, berzikir, bersembahyang, bertafakur, melakukan muhasabah diri dan menggilap hati. Ia bagi memastikan nur hidayah Allah dapat menembusi diri kita dan tidak terhalang oleh hati gelap.

Apapun, kita sering kecundang dalam usaha menyerlahkan potensi kerana masalah dan cabaran. Daripada perspektif spiritual, masalah dan cabaran bukanlah ancaman, tetapi ia membuka ruang untuk kita memahami dan menerima kenyataan mengenai diri.

Dengan berbekalkan kesedaran, kesungguhan, keikhlasan, sikap terbuka dan tawakal yang tinggi kita dapat memenuhi antara ciri masyarakat bertamadun iaitu memperkasakan diri.
Oleh Rosnah Ahmad

Penulis ialah aktivis wanita JIM dan pengusaha Tadika Islam, e-mel: wanitajim0@yahoo.com.
 
Rahmat mencurah bagi Muslim bertaubat
06.25.07 (12:19 am)   [edit]

MINGGU lalu kita membahaskan mengenai sifat takut (khasyah) kepada Allah SWT. Dalam ruangan kali ini kita sempurnakan dengan sifat harap (raja’) kepada Allah SWT. Dua sayap iaitu sayap takut dan harap membolehkan mukmin sampai ke puncak pendakian menuju Allah SWT. Jika salah satu sayapnya patah, dia tidak akan sampai kepada matlamatnya.

Raja’ atau harap kepada Allah SWT membawa maksud perasaan tenang dalam diri ketika menanti sesuatu yang disukai selepas melakukan ikhtiar dengan penuh kesungguhan manakala lawan raja’ ialah berangan menanti sesuatu yang disukai tetapi tidak ada usaha untuk merealisasikannya.

Dalam hal ini, Allah Taala menyindir mereka yang hanya berangan tanpa usaha dengan firman-Nya yang bermaksud: “(Pahala daripada Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan bukan pula menurut angan-angan Ahli Kitab. Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi balasan kejahatan.” (Surah Al-Nisa’, ayat 123)

Harapan kepada Allah SWT adalah ubat penawar bagi orang yang menderita sakit putus asa daripada rahmat-Nya. Sakit ini dialami orang yang terlanjur berbuat dosa. Saat bermaksiat manusia mudah berputus asa, akhirnya ia tenggelam dalam dosa hingga ke hujung nyawanya.

Padahal Allah Maha Pengampun dan Penyayang, iblis sudah menutup jalan menuju harapan kepada Allah SWT di dalam hati orang yang pesimis. Jika manusia memiliki dosa hingga sepenuh langit dan bumi kemudian jatuh setitis harapan ke dalam hatinya kepada Allah Taala, nescaya akan terhapus segala dosa itu atas kehendak–Nya.

Allah Taala berfirman di dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu semua masih berdoa dan berharap kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni kamu tanpa Aku peduli atas dosa-dosamu.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Sesungguhnya hati boleh rasa berapa jauh jarak antara kita dengan Allah Taala. Apabila iman lemah dan lalai, kemudian cuba melakukan dosa yang ringan hingga akhirnya terjerumus ke dalam dosa besar.

Melawan kesakitan batu tajam yang menghiris tapak kaki seraya merintih kepada Allah SWT, “Masih adakah keampunan-Mu untukku, Wahai Yang Maha Penyayang? Dan jawapannya, Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka berharaplah dengan pengharapan yang baik kepada Allah SWT. Tiada sangka buruk atas segala takdir-Nya dan bersedia memperbaiki keadaan dengan kekuatan iman kepada-Nya.

Rasulullah SAW menghiburkan hati umatnya yang berdosa supaya mereka tidak cepat menyerah dan bersedih dengan dosa yang dilakukan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Demi yang diriku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak berdosa, tentu Allah akan mematikan kamu, lalu datang segolongan orang yang berdosa dan mereka memohon ampun dan Allah mengampuni dosa-dosa mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Jenis harapan kepada Allah Taala:

l Harapan taubat. Sentiasa yakin Allah SWT menerima taubat dan amal kita. Sungguh rugi orang yang tidak beristighfar padahal Allah Taala pasti mengampuninya. Ibnu Mas’ud pernah berkata, dulu ada seorang lelaki telah mencium seorang wanita. Lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW dengan harapan dosanya dapat diampun. Maka turunlah ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kejahatan.” (Surah Hud ayat 114). Kemudian lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah ayat ini hanya untuk aku sendiri ya Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda: “Bagi seluruh umatku (yang berdosa)”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika kita berdosa, tidak kira dosa yang ringan sekalipun, perkara pertama mesti dilakukan ialah jangan putus asa daripada rahmat dan ampunan Allah SWT. Kemudian bertaubatlah dengan cara melakukan ibadat seperti solat, sedekah, puasa dan sebagainya.

Tiada dosa yang tidak diampunkan Allah Taala. Tetapi mengapa lidah terasa berat mengucap lafaz istighfar, pada hal Rasulullah SAW mengajar kita untuk menyebutnya paling sedikit 70 kali sehari.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mendekatkan seorang mukmin lalu meletakkannya dalam naungan-Nya dan menutupinya. Kemudian Dia berfirman: Tahukah kamu dosa ini dan ini? Orang itu menjawab: “Ya, saya mengetahuinya, wahai Tuhanku.” Hingga ia mengakui semua dosanya dan merasa bahawa dirinya pasti binasa kerana dosanya itu. Allah SWT berfirman: Aku telah menutupinya terhadapmu sewaktu di dunia dan Aku mengampuninya bagimu pada hari ini. Lalu diberikan semua catatan amal kebaikannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

l Harapan berjumpa. Merindukan perjumpaan dengan Allah Taala, syaratnya termaktub dalam surah Al-Kahfi, ayat 110 yang bermaksud: “Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan jangan mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya.”

Orang yang sudah lama pergi meninggalkan keluarga, bermusafir ke negeri yang jauh demi mencari rezeki, pasti berasa rindu dengan kampung halaman sendiri.

Apabila tiba masanya pulang ke pangkuan ayah bonda, tidak sabar hendak berjumpa hingga tidak lena tidur malam menunggu datangnya pagi.

Begitu pula keadaannya bila orang beriman sudah sampai pada tahap bergantung hati kepada Allah Taala.
 Bersama Dr Juanda Jaya


 
 
Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia
06.25.07 (12:00 am)   [edit]

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.

Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.

Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?

Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.

Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.
 
Hidayah kepada Mohd. Ravi unik
06.20.07 (8:22 pm)   [edit]

 
SABDA Rasulullah s.a.w., Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, akan diberi faham dalam agama. Saya cuma orang yang membahagi, Allah jua yang memberi.

Umat ini tidak dapat tegak atas agamanya. Orang yang menyalahi mereka tidak dapat menganggu (merosakkan) mereka sehingga tiba pekerjaan Allah. (Hadis Syaikhan)

Itulah yang dialami anak kelahiran Banting, Selangor, Mohd. Ravi Abdullah bagaimana pintu hatinya diketuk Allah s.w.t. Cuma dalam kisah penghijrahan akidah pengarah Marvitech Sdn. Bhd. ini, cara penyampaian hidayah itu diperoleh dikira cukup ‘unik’ atau berbeza daripada kebiasaan mereka yang bergelar mualaf.

Katanya, hidayah Allah kepadanya kadangkala sukar diceritakan kepada orang lain kerana bimbang berbeza pandangan dan pemahaman. Malah takut juga nanti dituduh mengada-adakan cerita.

“Semuanya bermula sejak 1996 di mana saya alami mimpi pertama iaitu bermimpikan bulan yang di dalamnya tertera kalimah Allah. Saya ada memberitahu kepada seorang tua di kampung. Selang beberapa tahun kemudian, saya membuka perniagaan di tapak ini dan membeli rumah di Bangi, sekali lagi saya bermimpi.

“Kali ini saya terdengar satu suara dari arah masjid berdekatan, sedang mengumumkan tentang pengislaman saya. Saya agak pelik dan menceritakannya kepada rakan kongsi. Dia terus memberi amaran kepada supaya jangan sekali-sekali saya berniat untuk memeluk Islam kerana jika saya teruskan maka buruk padahnya. Jadi saya buat tidak kisah apatah lagi, saya sudah berkahwin dan mempunyai anak,” cerita Mohd. Ravi, 37.

Beliau mengusahakan perniagaan jual beli kereta baru dan terpakai, perkhidmatan cuci kenderaan dan penyediaan pekerja kontrak sejak 2003.

Meneruskan kisah pengalaman pelik yang dilalui, kata anak kedua daripada tiga adik-beradik ini lagi, pada penghujung 2005, anak pertamanya, Mohd. Yuven yang pada masa itu berusia tiga tahun, menangis tidak berhenti-henti.

Beberapa kali Mohd. Ravi dan pekerjanya cuba memujuk tetapi tidak berjaya malah tambah mengejutkan apabila diberitahu dia (Mohd. Yuven) hendak melihat dengan Allah.

Akui Mohd. Ravi, dia jadi buntu apabila pelbagai cara dilakukan tetapi Mohd. Yuven terus memberontak dan meminta dibawa ke masjid berdekatan. Beliau sempat menghubungi seorang kenalan, Haji Jamil tetapi kecewa kerana panggilannya tidak dijawab. Lantas, dia menyuruh pekerjanya membawa anaknya mengelilingi kawasan perkarangan masjid.

Keesokan harinya barulah muncul Haji Jamil dan isterinya di kedai. Apabila anak Mohd. Ravi ternampak sahaja mereka, dia menangis dan minta dibawa ke masjid.

“Selepas lebih sejam, mereka balik dan saya diberitahu anak saya sedikitpun tidak kekok berwuduk, bersolat dan berdoa. Bukan saya sahaja yang hairan malahan Haji Jamil dan isterinya. Pernah juga risau, kalau-kalau anak saya pula yang mengajak saya bersolat.

“Lantaran itu, sewaktu bersama teman dalam perjalanan ke satu destinasi, saya cuba-cuba bersolat. Selepas itu, sekali lagi saya bermimpi, saya berada di dalam kenderaan bersama seorang teman mualaf, Mohd. Ibrahim tiba-tiba saya terlihat sebaris ayat al-Quran di langit. Saya ceritakan mimpi itu kepada Haji Jamil tetapi entah macam mana hati saya menjadi sayu, sebak dan terus menangis,” jelasnya.

Keesokannya pula, Mohd. Ravi bermimpi mengucap dua kalimah syahadah sebanyak dua kali lafaz dan kemudian bermimpi pula disuruh mendirikan solat oleh seorang lebai serba putih.

“Pada masa itu saya menolaknya biarpun beberapa kali digerakkan kerana terlalu mengantuk. Saya lihat jam menunjukkan pukul 5.45 pagi iaitu waktu solat Subuh,” akui Mohd. Ravi sekali lagi mengalami satu kejadian luar biasa di kedainya sekali gus membawa kepada detik pengislaman di hadapan pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah pada 12 Julai 2006.

Namun kata Mohd. Ravi, pada hari dilangsungkan pengislaman itu juga ada kisahnya yang tersendiri. Siapa sangka hasratnya untuk meneruskan niat pengislaman sedikitpun tidak dibantah ibu sungguhpun dia sekadar diberitahu menerusi telefon beberapa minit sebelum majlis itu.

Tidak terhenti di situ sahaja, Mohd. Ravi diislamkan sekali lagi di hadapan ketua kampung, Masjid Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor, Haji Rosli Deren, esoknya.

Dua bulan kemudian, barulah dia ke Pejabat Agama Islam Sepang untuk membuat pendaftaran pengislaman.

Benarlah bagai dikata, bergelar saudara baru mengundang pelbagai cabaran dan dugaan yang menuntut kesabaran. Penulis dikejutkan apabila pertanyaan tentang situasi getir itu menyebabkan Mohd. Ravi spontan sebak meskipun berusaha menyembunyikannya.

Rupa-rupanya apa yang dihadapi itu ada hikmah di sebaliknya serta lebih mendekatkan serta menambah keyakinan beliau kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Sekelip mata kehidupan Mohd. Ravi berubah dan keperitan itu tidak terhingga rasanya.

“Alhamdulillah, isteri saya begitu memahami dan sentiasa menyokong biarpun dia sendiri terkena tempiasnya. Saya mengambil keputusan menyendiri di masjid berhampiran dengan tujuan mencari ketenangan.

“Sepanjang di sana saya tidak henti-henti berdoa dan berjanji kepada-Nya bahawa walau apa dugaan yang melanda, saya tidak akan lari daripada Allah,” tambahnya.

Menurut Mohd. Ravi, beliau sekali lagi bermimpi berada dalam suasana seperti di masjid dan semua orang dalam keadaan gembira.

“Apabila saya tersedar, hati saya jadi tenang. Sejak itu satu demi kehidupan saya berubah. Saya berterima kasih kepada mereka yang banyak membantu sama ada secara langsung dan tidak langsung.

“Ini kerana sokongan dan kepercayaan merekalah yang membangkitkan semangat dan kekuatan saya sekali gus berazam membuktikan kejayaan setelah bergelar Muslim,” katanya yang sehingga kini berjaya mengislamkan tiga orang dan tidak melepaskan peluang mengikuti kursus-kursus ilmu anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Akui Mohd. Ravi, pengalaman kerohanian yang dikurniakan Allah silih berganti ke atasnya, telah membina benteng keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya biarpun ada segelintir pihak yang berniat tidak baik kepadanya.

Keyakinan ini bertitik tolak daripada hadis di atas kerana setiap yang kita anggap buruk, teruk ataupun negatif itu ada hikmah yang Allah sahaja mengetahuinya.

Bagi Mohd. Ravi tiada apa yang lebih menggembirakan apabila pengislamannya turut diikuti isteri tercinta, Siti Khatijah Abdullah, 34. Perkahwinan yang dibina diceriakan dengan keletah dua ‘heronya’ iaitu Mohd. Yuven, 5, dan Mohd. Puven, 3.

Kini, apabila rumah tangga dan perniagaan semakin stabil, Mohd. Ravi beriltizam untuk berdakwah menyebarkan syiar Islam dan pada masa yang membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim piatu.

Sementara itu, pesara tentera, Razali Husseen memberitahu, bantuan yang dihulurkan kepada Mohd. Ravi cuma sekecil zarah berbanding pertolongan sewajarnya kepada mereka yang bergelar mualaf.

“Ramai yang alpa tentang tanggungjawab setiap umat Muslim terhadap saudara sesama Islam apa lagi orang itu adalah seorang saudara baru. Ini kerana tentangan dan cabaran yang dihadapi jauh lebih hebat berbanding umat Islam asli.

“Saya melihat Mohd. Ravi ini seorang yang sudah ada ciri-ciri Islam sebelum memeluk Islam lagi. Jadi, kalau kita tidak dapat membantu dari segi material, sokongan moral itu sudah jauh lebih baik,” ceritanya yang sering mencuci kereta di situ.

Rakannya, Abdul Rahim Mohd. Nor pula berkata, sikap istiqamah yang ditunjukkan oleh Mohd. Ravi wajar dicontohi kerana itulah keunikan beliau dari sudut pandangannya.

“Ada ketikanya Mohd. Ravi meluahkan kepada saya tentang sikap segelintir umat Islam yang sudahlah tidak membantu tetapi tambah menyusahkan hidupnya.

“Hakikatnya, orang Melayu Islam perlu bersikap lebih terbuka dan jangan menganggap agama Islam itu milik bangsa mereka semata-mata. Sebenarnya, kita perlu sama-sama memudahkan sejajar dengan saranan Islam iaitu Islam itu mudah,” katanya sebelum kami menikmati makan tengah hari.

 

 Oleh: ZUARIDA MOHYIN

 

 
Ilmu dapat jauhi maksiat, dosa
06.17.07 (8:29 pm)   [edit]
Tarbiyah diri bimbing umat Islam sentiasa harap, takutkan balasan Allah

ALI bin Abu Talib berkata: “Seorang alim dan bijaksana adalah orang yang tidak membuat muridnya berputus asa daripada rahmat Allah dan tidak pula membuat mereka merasa aman daripada pembalasan Allah.”

 


Kita semua adalah guru yang menonton dan membimbing hati kita sendiri supaya ia menjadi hidup dan selamat. Istilah dalam al-Quran menyebut hati sebagai ‘qalbun salim’. Untuk itu, kita memerlukan dua tonggak keimanan bagi mendapat keseimbangan dalam kehidupan.

Umpama seekor burung dengan dua sayapnya, jika satu patah, maka ia tidak boleh terbang dengan sempurna. Sifat takut dan harap kepada Allah menjadi suatu kemestian wajib dimiliki orang yang beriman.

Jika jalan menuju Allah itu jauh terbentang di hadapan, maka di sisi jalan itu ada terminal untuk mengambil bekalan. Di antara terminal itu ada dua terminal mesti disinggahi dan tanpanya kita tidak akan sampai kepada Allah Taala. Ia adalah sifat takut (khawf) dan harap (raja’) kepada Allah.

Manusia memerlukan ilmu untuk menimbulkan rasa takut kepada Allah Taala. Proses belajar dan mengkaji tidak boleh berhenti, demi mendapatkan keyakinan dalam hati hanya Allah berhak ditakuti.

Rasulullah SAW pada suatu pagi selepas menunaikan sembahyang Subuh bersama sahabat, Baginda SAW memulakan proses mengajar dan mentarbiyah mereka dengan nasihat yang menyentuh jiwa.

Sehingga seorang sahabat berkata: “Ya Rasulullah seakan-akan ini adalah wasiat terakhir darimu.” Maka Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu semua memahami seperti aku memahami, sudah tentu kamu lebih banyak menangis dan sedikit tertawa dan kalian akan keluar menuju ke padang pasir sambil berseru meminta tolong kepada Allah. Mintalah kepada-Ku, mintalah kepada-Ku!” (Hadis riwayat al-Tirmizi). Mereka menutupi wajah seraya menangis mendengar sabda Rasulullah SAW itu.

Mungkin kita sudah memiliki rasa takut kepada Allah hari ini tetapi bolehkah kita menjamin ia berkekalan hingga kita mengadap-Nya? Jiwa manusia sentiasa berubah mengikut arus menyebabkan ia hilang rasa sensitiviti ketakutan sebenar.

Antara punca manusia hilang rasa takut kepada Allah ialah menganggap remeh terhadap dosa dan maksiat, lalai dengan dunia akibat terpengaruh oleh pergaulan bebas dan hatinya sememangnya bebal.

Manakala, tanda bagi mereka yang takut kepada Allah menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ialah: “Orang yang takut pasti segera mengerjakan kebaikan sebelum maut menjemput dan sentiasa mengisi waktunya dengan kebaikan dan ketaatan.”

Bagaimana menimbulkan rasa takut kepada Allah?
·  Menguasai dengan sepenuh jiwa kalam Allah dan sabda Rasul-Nya. Proses mentarbiyah diri sendiri harus berjalan sepanjang masa hingga ajal menjemput kita. Hanya ilmu yang hidup di dada membuahkan rasa takut kepada Allah.

Sumber segala ilmu adalah al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Membaca dan merenungi keduanya membuat hati menjadi lembut dan rela ditunduk. Ibnu al-Jauzi pernah berkata: “Demi Allah, seandainya seorang mukmin yang berakal membaca surah al-Hadid, penghujung surah al-Hasyr, ayatul Kursi dan surah al-Ikhlas nescaya kalbunya terpecah kerana takut kepada Allah dan tersentak kerana kebesaran dan kekuasaan Tuhannya.”

Bagaimana mungkin orang yang menghindari nasihat ulama dan benci kepada majlis ilmu memiliki rasa takut (khasyah). Jiwa tanpa agama adalah umpama seorang sudah tercabut roh daripada jasadnya. Dia hidup tetapi mati.

Maha Benar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya ialah mereka yang berilmu (ulama).” (Surah Al-Fathir, ayat 28)

Dalam hal kecintaan, ketundukan dan ketakutan kepada Allah, kita disuruh menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku adalah orang yang paling mengetahui di antara kamu mengenai Allah dan aku adalah orang yang paling takut kepada-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
·  Membandingkan diri kita dengan orang yang sudah diselamatkan oleh Allah. Apakah amal salih kita sama banyak dengan mereka? Atau jauh ketinggalan berbanding mereka? Tetapi sayang, bukan semua orang boleh selamat. Tidak semua orang menjadi pilihan Allah. Adakah kita layak menjadi salah seorang daripada mereka?

Berapa ramai orang yang beramal tertolak segala amalnya dan orang yang berilmu tertipu oleh kedudukan dan ilmunya? Hanya yang Allah kehendaki terselamat daripada seksaan. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika Kami menghendaki, nescaya kami beri tiap-tiap jiwa petunjuk (baginya). Akan tetapi telah benar ketetapan dari-Ku: Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka jahanam itu dengan jin dan manusia.” (Surah Al-Sajadah, ayat 13)

·  Memikirkan nasib diri ketika mati, hari kebangkitan dan hari penghisaban. Orang yang sebati jiwa dan raganya dengan kehidupan dan kenikmatan dunia mudah terlupa bahawa satu masa nanti semua itu akan dipisahkan daripadanya. Kenikmatan itu lenyap sekelip mata dan menjelmalah ruang dan waktu asing dan menyeksakan.

Di kalangan manusia ada yang menunggu hari perjumpaan dengan Allah Taala dan berharap diterima dengan reda. Dalam pada itu, ramai juga yang benci mengingati mati. Jangankan hendak bersedia menghadapi detik sakaratul maut, saat Allah Taala menyembuhkan dirinya daripada sakit suatu masa dulu pun sudah tidak sudi diingat lagi. Ketika susah Allah tempatnya mengadu, ketika senang lupa akan pertolongan-Nya. Begitu hebatnya ujian dunia mengaburi mata hati manusia.

Dalam hadis kudsi, Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Demi keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan menghimpun dalam diri seorang hamba dua rasa takut dan dua rasa aman. Apabila dia takut kepada-Ku di dunia nescaya Aku akan memberikan keamanan kepadanya pada hari kiamat, dan apabila dia merasa aman (daripada Seksa-Mu) di dunia, nescaya Aku akan membuatnya takut pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

 Bersama Dr Juanda Jaya



Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.