Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Taubat perlu disertai keikhlasan
07.24.07 (11:20 pm)   [edit]

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah memperihalkan golongan musyrikin dan hukum bagi orang yang murtad, dia menceritakan berkenaan balasan orang yang beriman, yang berhijrah dan berjihad berdasarkan firmannya.

Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.

Al-Mawardi berkata: Sebab turun ayat ini ialah turun sekumpulan orang Islam berkata berkenaan Abdullah bin Jahsy dan yang bersamanya, jika sekiranya mereka tidak mendapat dalam musafir mereka dosa nescaya tiada padanya pahala.

Sayid Qutub berkata: Harapan seseorang Mukmin terhadap rahmat Allah tidak sekali-kali dikecewakan Allah. Kumpulan Mukmin yang ikhlas kepada Allah dan sanggup berhijrah meninggalkan Mekah telah mendengar janji yang benar ini. Lalu mereka berjihad untuk sabilillah sehingga Allah memenuhi janji-Nya terhadap mereka dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid dan kedua-dua merupakan kebaikan dan rahmat belaka. Mereka berjaya mendapat keampunan Allah dan rahmat-Nya.

Al-Maraghi berkata: Mereka mengharapkan rahmat Allah dan ihsan-Nya justeru layak mereka dikurniakan kerana pengorbanan mereka semata-mata mencari keredaan Allah. Lihatlah sejarah bagaimana Nabi s.a.w berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah semata-mata menyelamatkan dari fitnah oleh kaum musyrikin Quraisy sehinggalah Islam dapat bertapak. Seterusnya pertahankan diri dan akhirnya dapat membuka kota Mekah pada tahun 8 Hijrah.

Ternyata Allah menghina orang musyrikin dan menjadikan kalimah mereka begitu rendah sedangkan kalimah Allah berada di puncak. Di sini suka dinyatakan betapa pentingnya hijrah dalam kehidupan umat Islam sehingga Imam Nawawi menyebut hadis yang pertama di dalam kitabnya Matan Arba’in berkenaan dengan hijrah:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

Guru kami Dr. Mustafa al-Bugha di dalam al-Wafi berkata, hijrah daripada negeri kafir ke negeri Islam adalah wajib ke atas orang Islam yang tidak mungkin daripada menzahirkan agamanya. Ini merupakan hukum yang kekal dikaitkannya.

Adapun hadis Nabi yang bermaksud tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah kerana Mekah menjadi sebahagian daripada negeri Islam.

Jika ditanya bagaimana Allah menyebut mereka yang mengharapkan rahmat Allah sedangkan rahmat Allah bagi orang yang beriman adalah perkara yang hak? Al-Mawardi berkata: Jawapannya dua:

Pertama: Tatkala mereka tidak mengetahui keadaan pada masa hadapan maka haruslah mereka memohon rahmat kerana takut apa yang berlaku tidak membawa kepada mendapat rahmat.

Kedua: Kerana mereka mengharapkan rahmat disebabkan tidak yakin segala penunaian yang Allah wajibkan ke atas mereka. Adakah diterima atau tidak?

Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Iaitu Allah Maha Luas Keampunan bagi orang yang bertaubat dan beristighfar di mana keluasan rahmat-Nya kepada orang yang beriman ditahqiqkan bagi mereka yang mengharapkan keampunan-Nya.

Qatadah berkata, mereka merupakan umat yang terbaik di mana Allah menjadikan mereka sebagai ahli yang mengharap dan siapa yang mengharap pasti menuntut dan siapa yang takut pasti lari.

Dr. Yusuf al-Qardawi berkata, unsur keempat yang membentuk hakikat taubat ialah mengikhlaskan taubat kepada Allah. Di sana terdapat satu rukun yang amat dituntut di dalam taubat. Sekalipun ia tidak disebutkan oleh kebanyakan orang. Namun, saya berpendapat ia adalah suatu yang sudah dimaklumi.

Rukun tersebut ialah membebaskan diri, menyesal serta berazam untuk tidak mengulangi dosa yang lalu, semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t lantaran tamakkan pahala-Nya dan takutkan hukuman-Nya.

Barang siapa yang meninggalkan tabiat minum arak kerana doktor melarangnya dan kerana ia boleh memudaratkan kesihatannya, maka peninggalannya dengan sebab itu tidak dikira sebagai taubat.

Barang siapa yang meninggalkan perbuatan zina kerana dia mengidapi Aids atau takut dijangkitinya atau lain-lain penyakit kelamin, yang dibimbanginya lalu dia meninggalkan tabiat berzina, ia tidak dikira sebagai taubat.

Barang siapa yang meninggalkan aktiviti pengedaran dadah kerana takut diberkas oleh polis serta takutkan hukuman mati maka itu tidak dikira sebagai bertaubat dan dia tidak tergolong di dalam golongan yang bertaubat.

Barang siapa yang kalah dalam perjudian, lalu dia meninggalkannya kerana muflis dan hilang kekayaannya, maka itu tidak dikira bertaubat.

Barang siapa yang menderhakai bapanya, lalu bapanya menghalangnya dari harta dan warisan, lantas dia menyesali penderhakaannya, maka penyesalan itu tidak dikira sebagai taubat. Ini kerana dia menyesal atas dasar keduniaan bukan kerana ia adalah penderhakaan kepada Allah s.w.t.

Kita telah pun melihat al-Quran al-Karim mengisahkan kepada kita tentang dua anak Adam, yang mana salah seorangnya jahat antara keduanya telah membunuh saudaranya yang baik. Dia telah membawa mayatnya sekian lama, kerana tidak tahu bagaimana hendak menanamnya lantaran ia adalah mayat yang pertama di dalam sejarah kemanusiaan.

Allah berfirman yang bermaksud: Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana sewajarnya dia menanamkan mayat saudaranya. Qabil berkata: Alangkah celakanya aku. Mengapakah aku tidak mampu melakukan demikian seperti burung gagak ini. Atau aku dapat menanam mayat saudaraku ini? Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal. (al-Maidah: 31)

Penyesalan Qabil saudara yang jahat ini bukanlah kerana maksiatnya kepada Allah serta tindakannya membunuh saudaranya. Sebaliknya penyesalan tersebut adalah kerana dia membawa mayat saudaranya dalam jangkamasa yang sebegitu serta kelemahannya mengetahui cara menanamnya. Oleh kerana itu dia tidak mendapat perlepasan kerana penyesalan ini.

Tetapi jika pelbagai musibah dan kerugian di dunia ini boleh menjadi pendorong keimanan di dalam hati manusia serta menjadikannya memeriksa dirinya dan mengingati hari akhirat, lantas ketika itu dia bertaubat, maka dia termasuk di kalangan orang-orang yang diterima taubat mereka, insya-Allah.

Iktibar Ayat

* Kelebihan orang beriman yang berhijrah dan berjihad fi sabilillah.

* Sifat orang beriman sentiasa mengharapkan rahmat Allah.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

 

 

 

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


 
Muhasabah dapat membaja kesuburan takwa
07.12.07 (11:24 pm)   [edit]

TAKWA mempunyai bajanya dan apabila ramuan yang sesuai digunakan, takwa akan hidup dengan subur. Antara baja diperlukan untuk kesuburan takwa ialah muhasabah dan taubat. Umat Islam perlu berani merenung ke dalam diri dan melakukan muhasabah ke atas diri sendiri.

Khalifah Umar ibn Khattab pernah berkata, “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah. Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudian membuat perubahan positif ke atas diri sendiri, merekalah orang yang akan berjaya.”

Dalam surah al-Imran, ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan selepas terbabas melakukan kesilapan. Allah mengiktiraf mereka sebagai golongan bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Muhasabah yang dilakukan dengan ikhlas akan melahirkan keinsafan di hati. Keinsafan akan melahirkan taubat. Taubat yang hakiki dikenali sebagai taubat nasuha. Umar al-Khattab dan Ubai bin Kaab mentafsirkan taubat nasuha sebagai ‘meninggalkan dosa dan tidak akan kembali melakukannya sebagai mana susu tidak akan kembali ke payu dara’.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi berhubung seorang lelaki di zaman dulu yang membunuh 100 lelaki. Beliau akhirnya bertaubat dan sebelum sempat melakukan sebarang kebaikan, meninggal dunia. Allah menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam rahmat-Nya.

Pada zaman Nabi SAW, seorang wanita melakukan zina dan dengan penuh penyesalan menceritakan perbuatannya itu kepada Nabi SAW. Beliau pun dihukum. Selepas beliau meninggal dunia, Nabi SAW melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya.

Perbuatan nabi itu menghairankan Umar Al-Khattab lantas Umar pun bertanya, “Kamu bersembahyang ke atas mayatnya sedangkan beliau pernah berzina? Nabi menjawab, “Dia sudah bertaubat dengan satu taubat yang andai kata diagihkan taubat itu kepada tujuh puluh orang ahli-ahli maksiat di Madinah (yakni orang-orang munafik), nescaya ia mencukupi bagi mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Mengikut satu riwayat oleh Kalbi, “Dua orang sahabat, seorang dari Ansar dan seorang lagi dari Bani Thaqif, telah dipersaudarakan oleh Nabi SAW. Hubungan antara mereka berdua cukup mesra dan pada suatu hari sahabat dari Ansar keluar berperang bersama Nabi SAW. Beliau mengamanahkan sahabat beliau daripada Bani Thaqif untuk menjaga isterinya ketika beliau tiada.

Semuanya berjalan dengan baik seperti dirancang. Namun pada suatu hari ketika sahabat daripada Bani Thaqif menziarahi rumah sahabatnya untuk meninjau keadaan isteri sahabatnya, beliau ternampak wanita itu dalam keadaan yang terdedah auratnya.

Beliau terus masuk ke dalam rumah dan secara spontan terus menyentuh muka isteri sahabatnya serta mencium tangannya. Tiba-tiba beliau berasa malu atas perbuatannya dan terus melarikan diri ke atas bukit. Di situ beliau menjerit dan menangis meminta ampun kepada Allah tanpa henti.

Apabila sahabatnya kembali daripada medan perang isterinya menceritakan apa yang berlaku dan berita ini kemudian sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya Jibrail datang menyampaikan wahyu daripada Allah, iaitu ayat 135, Surah Ali-Imran yang disebutkan sebelum ini, “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Justeru, Allah mengasihi mereka yang berani mengakui kesalahan diri sendiri dan bertaubat. Ia adalah langkah penting menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Qusyairi berkata, “Taubat ialah langkah permulaan bagi mereka yang ingin berjalan mencari keredaan Allah.”
 Oleh Dr Danial Zainal Abidin


Penulis ialah pakar motivasi dan penulis buku, boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com
 
Tiga jenis hati bentuk peribadi manusia
07.05.07 (2:47 am)   [edit]

PERKEMBANGAN jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati.

Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT. Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya.

Di antara kedua-dua jenis hati itu, ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit) yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan dengan desakan hawa nafsu.

Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.

Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata” (surah Fathir:32). Berdasarkan ayat ini Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan:

Golongan Zhalimun Linafsih iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan dan larangan) serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).

Golongan Mukhtasid iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi laranganNya.

Golongan Sabiqun Bil-Khairat iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya menunaikan kewajipan, sebaliknya melakukan amalan sunat, tetap istiqamah melaksanakan perintah (suruhan dan larangan) serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.

Sayid Sabiq pula telah membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat, iaitu nafsu amarah iaitu tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.

Nafsu Lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal salih serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.

Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan kebaikan amal salih.

Menurut Iman al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamalan dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata-mata.

Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.

Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams:7-10).

Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik dan sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata `sadr' yang bererti “dada” untuk menggambarkan suasana hati (jiwa). Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.

“Perang batin” ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyaqinan (aqidah/keimanan) yang teguh. “Perang batin” ini dapat dirasai ketika manusia ingin melakukan ibadat seperti solat, puasa, berzakat, berjihad dan sebagainya. Untuk mencapai keyaqinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksanakan oleh manusia dan inilah yang sering disebut sebagai “jihad besar”.

Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan) mengenal Allah SWT. Qalbu (hati) perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat (bernegara) amat jelas; jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya, sebaliknya jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.

Sebuah hadis nabi bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).

Dalam masyarakat Melayu sering kita mendengar kata-kata seperti ‘Hati Iblis’, ‘Hati Yahudi’,’Hati Malaikat’ dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya. Hati yang kotor (keji) boleh menjadi hijab kepada ‘Nur Ilahi’.

Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).

Justeru, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin. Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (surat al-Kahfi:28).

Hawa adalah kecenderungan nafs kepada syahwat. Ia adalah ciri tingkah laku negatif yang merosakkan kehidupan manusia. Ia menyukai, menyenangi dan merindui terhadap perkara yang dihajati atau dikehendakinya oleh syahwah.

Syahwah adalah kalimat dalam al-Quran yang menggambarkan keinginan insan terhadap keseronokan, kelazatan dan kesenangan (surah Maryam:4). Ia juga bermaksud fikiran tertentu yang cenderung ke arah melakukan kejahatan dan penyelewengan ( An-Nisaa:27) dan syahwah juga bermaksud perilaku terhadap seks ( An-Naml:55).

Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
 
Ujian ukuran tahap cinta terhadap Ilahi
07.01.07 (11:07 pm)   [edit]
Umat mengaku beriman perlu bersabar atasi cabaran ditentukan dalam kehidupan

CINTA adalah penawar. Barang siapa yang hatinya kosong tanpa cinta, nescaya pelbagai penyakit akan bersarang di dalamnya. Cinta adalah kehidupan, kerana hidup seseorang anak manusia bermula daripadanya.

Manusia memerlukan cinta untuk tetap bertahan. Manakala, jiwa yang kekeringan cinta bagaikan tercabut roh daripada jasadnya. Berjalan tanpa perasaan, berfikir tanpa keindahan, bosan dan hampa.

Dijadikan indah pada pandangan manusia rasa cinta yang boleh memuaskan nafsu dan syahwatnya. Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia. Cinta perlu diatur dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada hakikat kehidupan.

Apakah ubat bagi orang yang tertekan, putus asa dan rasa dirinya tidak berguna? Jika kita tersungkur angkara musibah, siapakah yang patut dicari?

Di manakah ketenangan diperoleh? Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui selok-belok dirinya. Jika dia sakit, ubatnya ada pada Allah Taala, yang dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat.

Mengapa hati rasa sempit, dada rasa sesak, segenap jasad tak mampu menahan beban berat jika rahmat Allah Taala itu lenyap?

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat, Dia menurunkan satu rahmat daripada-Nya untuk manusia, jin, serangga dan binatang. Dengan satu rahmat itu mereka saling berkasih sayang. Dengan satu rahmat itu binatang buas mengasihi anaknya. Dia menangguhkan lagi kurniaan sembilan puluh sembilan rahmat, dengan itu Dia akan merahmati hamba-Nya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Betapa berharganya nilai setitis rahmat. Keamanan dan kedamaian menjelma di serata dunia. Bagaimanakah dalaman rumah kita? Apakah rahmat Allah turun ke atasnya? Rahmat yang mencelupkan dua jiwa suami dan isteri pasti akan melahirkan anak yang salih. Rahmat yang hidup di hati seorang ayah akan menjadikannya mampu mendidik ahli keluarga dengan iman. Rahmat yang menitis di jiwa seorang ibu akan menjadikannya rela mengorbankan jiwa raganya untuk kebahagiaan keluarga. Akhirnya kita semua perlu menyedari bahawa kebencian dan suasana huru-hara yang berlaku berpunca daripada jiwa orang yang kekeringan rahmat Allah Taala.

Mungkinkah kita mendapat rahmat Allah jika kita tidak berusaha mengenal-Nya? Tak kenal maka tak cinta. Suatu ungkapan yang mudah untuk difahami. Namun, amat berat diamalkan. Mengenali Allah sebagai Penguasa ke atas diri kita. Yang menggenggam ubun-ubun makhluk-Nya dengan mudah dan akan menyentapnya apabila Dia berkehendak. Mengenal Allah dengan hati dan akal. Meneliti dan mencari penyebab kenapa Dia Yang Maha Pencinta layak untuk dicintai?

Allah Taala yang mengatur hidup kita, melimpahi hari yang kita lalui dengan nikmat-Nya. Semuanya itu tidak mampu disenaraikan kerana terlalu berharga. Tidak sesiapapun mampu membeli kebahagiaan jika Allah tidak mahu mengurniakan untuknya. Bagaimana hendak membayar nikmat kesihatan jika Allah tidak sudi menyembuhkan? Mungkinkah cita-cita dan impian akan tergenggam apabila Dia Yang Maha Mencipta berkehendak lain daripada apa yang kita inginkan. Diri kita tak penting bagi-Nya, ada dan tiadanya kita tidak mengurangi kebesaran-Nya. Dialah Allah yang kita kenali melalui bekas-bekas nikmat-Nya yang ada pada diri kita.

Perkenalan ini membuahkan cinta yang amat mendalam dan begitu hebat menguasai hati kita, seperti firman-Nya bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintai tandingan-tandingan Allah itu seperti mereka mencintai Allah, sedangkan orang yang beriman amat sangat kuat cintanya kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 165)

Jika cinta sudah dimiliki, sudah semestinya dia sanggup diuji. Dengan hati dan akal, kita belajar mengatasi ujian cinta Ilahi. Ia menjadi ketentuan yang wajib dijalani bagi hamba-Nya yang mengaku beriman, kerana mungkin cintanya itu sekadar berpura-pura.

Semakin berat ujian yang diterima maka semakin tinggi tahap kecintaannya kepada Allah. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala apabila mencintai hamba-Nya maka Dia mengujinya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Ibnu Al-Qayyim mengatakan: “Tidaklah sekali-kali Allah Taala menguji hamba-Nya dengan godaan hawa nafsu dan kederhakaan, tiada lain ia bertujuan mengarahkannya supaya berjuang dan melawan, sehingga perjuangannya itu akan melahirkan cinta kepada Allah.”

Maka terjawablah persoalan kedudukan manusia yang mencintai Allah lebih hebat daripada kedudukan malaikat. Malaikat Allah tidak diuji seperti manusia diuji dalam membuktikan cintanya kepada Allah Taala.

Cinta kepada Allah Taala juga boleh dicari dalam ikatan ukhuwah sesama manusia. Seperti firman Allah Taala bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka kelak Allah Taala akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin.” (Surah Al-Maidah, ayat 54)

Rasulullah SAW juga menyeru umatnya untuk saling mencintai dalam sabdanya bermaksud: “Tidaklah sekali-kali dua orang lelaki saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah itu adalah yang paling kuat kecintaannya kepada saudaranya.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara perkara paling berharga dalam kehidupan ini adalah persahabatan yang ikhlas. Ia tidak mudah untuk dimiliki melainkan oleh mereka yang ikhlas mahu mewujudkannya. Jika Allah mencantumkan hati manusia tiada siapa boleh menghalangi mereka mengecapi nikmat persahabatan itu.

Antara akhlak persahabatan yang paling rendah ialah sedia memaafkan saudara kita, manakala yang tertinggi pula, menolong sepenuh hati jika dia memerlukan kita untuk berada di sisinya. Sahabat yang terbaik adalah mereka yang bersungguh-sungguh mengajak kita mengecapi kasih sayang hingga ke akhirat. Sahabat di dunia dan akhirat menjadi slogan yang indah dan tak terlupa. Hanya dengan ikatan itu kita mampu mengecapi rahmat Allah bersama saudara seiman.

  • Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.

    INTI PATI

  • Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia yang perlu diatur dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada hakikat kehidupan.

  • Kedudukan manusia yang mencintai Allah lebih hebat daripada kedudukan malaikat kerana malaikat tidak diuji seperti manusia diuji dalam membuktikan cintanya kepada Allah Taala.

  • Rahmat yang dikurniakan Allah mampu menjadikan kehidupan aman damai serta saling berkasih sayang sesama makhluk.

  • Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui selok-belok dirinya, jika dia sakit, ubatnya ada pada Allah Taala yang dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat.

  • Cinta kepada Allah Taala juga boleh dicari dalam ikatan ukhuwah sesama manusia, Rasulullah SAW menyeru umatnya saling mencintai.
  •  

     Bersama Dr Juanda Jaya