Titipan Kalbu


Blog For Free!


Archives
Home
2008 February
2007 December
2007 September
2007 August
2007 July
2007 June
2007 May
2007 April
2007 March
2007 February
2007 January
2006 December
2006 November
2006 October
2006 September
2006 August
2006 July
2006 June
2006 May
2006 April
2006 March
2006 February
2006 January
2005 December
2005 November
2005 October
2005 September
2005 August
2005 July
2005 June
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August

My Links
Sebentar Cuma
utusan_sakinah
Petua
Petua Tiga
Mymasjid.com
Ilmiah
SPA 8

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog



Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


Free Web Counter
Free Hit Counter




Tuhan tidak melupai perbuatan si zalim
12.30.07 (8:01 pm)   [edit]

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan hari akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia. Apa tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak dapat menuntutnya kembali disebabkan kedaifan dirinya, atau keadaan yang tidak membelanya. Sehingga ada insan yang dijatuhkan maruahnya, ditipu atau diceroboh hartanya, diseksa jasad, bahkan dibunuh tubuhnya secara zalim.

Tanpa kesalahan, tanpa kejahatan, tanpa dosa yang menghalalkan itu semua. Namun dek dia manusia bawahan, atau keadaan yang tidak membolehkan dia mempertahankan dirinya maka dia terpaksa mengharungi kekejaman ke atas dirinya. Tercungap-cungap tanpa pembelaan. Lantas dia pergi meninggalkan dunia ini sebagai insan teraniaya tanpa dibela. Jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman dan penindasan semata. Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia. Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (surah al-Mukminun ayat: 115-116).

Saya pernah melawat beberapa kota-kota tamadun lama. Antaranya saya melihat tempat yang pada zaman dahulu para pembesar mereka menjadi perlawanan manusia menentang singa sebagai majlis hiburan dan keramaian. Penentang singa itu mungkin seorang manusia yang tidak ada kesalahan, namun dia dipilih untuk dijadikan bahan hiburan. Ketika bergelut mempertahankan nyawanya di gelanggang yang disediakan, orang ramai bersorak sorai kegembiraan menyaksikan pertandingan maut itu. Demikian juga jika kita baca sejarah perhambaan yang pernah dilakukan oleh bangsa kulit putih terhadap kulit hitam. Begitu kezaliman kuasa-kuasa imperialis yang menceroboh dan menindas bangsa-bangsa yang lemah. Wanita mereka dirogol, anak-anak mereka dibunuh dan negara mereka dimusnahkan. Sesetengahnya tanpa kesalahan, tanpa campur tangan dalam sebarang percaturan politik pun, tiba-tiba dimangsakan.

Saya baru-baru ini ketika bersolat di Masjidilharam berbual dengan seorang warga Iraq. Dia dan keluarganya menjadi mangsa kekejaman pemerintah mereka yang lepas. Tidak kerana dia terlibat dengan politik, tetapi disebabkan ada keluarga mereka yang terlibat lalu semua mereka diseksa dengan penuh kezaliman. Saya katakan kepadanya; “Pemimpin awak telah pun pergi menemui Allah.” Dia menjawab: “Ya, dia telah pun hilang dari muka bumi ini, namun kekejaman yang pernah dilakukan terus terpalit dalam sanubari kami yang pernah dimangsakan dan yang dosa itu dibawa pergi menemui Allah oleh mereka yang dikorbankan olehnya sebelum kematiannya.” Saya memandang wajahnya yang barangkali menyimpan lautan kepahitan kezaliman terhadap dirinya, anak perempuannya dan insan-insan yang dia sayangi. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran ceritanya. Namun yang pasti ramai manusia yang melakukan kezaliman telah pun melupai mangsanya, namun insan yang dizalimi tidak pernah lupa. Sudah pasti Allah tidak akan lupa perbuatan si zalim. Teringatlah saya firman Allah: (maksudnya) Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (surah Ibrahim 42-43).

Ya, ramai orang zalim telah melupai mangsa mereka. Bahkan sebahagian mereka tidak mengenali pun siapakah mangsa mereka. Ketika mereka bergolek dalam keseronokan, mangsa-mangsa mereka merintih penderitaan dan kesakitan. Lihatlah berapa ramai pemaju perumahan yang berarak ke sana sini sedangkan pembeli-pembeli rumah yang ditipu atau terbengkalai terus menderita dek penipuan tersebut. Mungkin mereka tidak kenal pun bagaimanakah rupa si pemaju dan si pemaju pun tidak kenal rupa mereka. Namun Allah tidak pernah lalai dan alpa atas apa yang dilakukan. Entah berapa ramai insan yang dicemari maruahnya. Dibuat dan direka cerita palsu mengenai dirinya. Maka mata-mata manusia memandangnya dengan sinis. Terpinga-pinga dia dan bertanya: siapakah yang memulakan cerita dusta ini yang aku menderita kerananya? Tersenyum barangkali si pereka cerita disebabkan dia tidak dapat dikesan. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya dan tidak pernah lupa. Entah berapa ramai pula insan yang dicedera atau dibunuh tanpa dia sempat mengenali siapakah si penjenayah yang menzaliminya. Namun Allah Maha Memerhati segalanya. Sehingga saya pernah menyebut: entah berapa ramai yang menaiki kereta dengan kesombongannya meredah becak atau lopak di jalan lalu mencemari pakaian si hamba Allah yang berjalan di tepi atau menaiki motosikal. Menangislah dan meratap si mangsa atas kekotoran bajunya. Dia barangkali tidak sempat pun memerhati wajah si pemandu, namun Allah tidak akan lupa dan alpa. Sabda Nabi s.a.w.: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada hari kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk (riwayat Muslim). Hadis ini menggambarkan betapa setiap yang dizalimi dan menzalimi walau sekecil mana pun akan diadili pada hari kiamat kelak.

Kadangkala kita kenal orang yang memangsakan kita. Namun tidak dapat kita mengelakkan kezalimannya disebabkan kuasa yang dimilikinya, atau keadaan yang berpihak kepadanya. Demikian kita lihat ada kerajaan pemerintah yang menzalimi rakyatnya. Ada majikan yang menzalimi pekerjanya. Ada ibu bapa yang menzalimi anaknya. Atau suami yang menzalimi isterinya. Si mangsa hanya mampu berdiam diri kerana bimbang kesan yang lebih buruk jika dia bertindak. Namun Allah tidak akan lupa itu semua. Begitu juga mereka yang mempunyai saluran tertentu seperti wartawan atau penulis buku dan internet yang memuatkan kisah peribadi orang lain sehingga menderitakan si mangsa. Atau ahli politik yang menjadikan pentas politiknya untuk menuduh dan memalitkan keaiban kepada musuh-musuh politiknya. Tanpa mempedulikan maruah orang dan larangan Allah agar jangan diintip keaiban orang serta arahan Nabi s.a.w. agar jangan didedahkan keaiban peribadi insan lain tanpa sebab-sebab yang dihalalkan syarak. Mereka ini tidak berasa zalim dan berdosa. Jika ditanya, mereka menjawab: ini kerja aku sebagai wartawan atau penulis politik atau ahli politik. Bagi mereka seakan kerjaya mereka telah melangkaui batasan dan sempadan agama. Mereka seakan lupakan peringatan Nabi s.a.w.: Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat). Sekiranya baginya amalan soleh maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tidak ada baginya kejahatan, maka akan diambil kejahatan orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya (riwayat al-Bukhari).

Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap mereka, mereka akan membantah lalu berkata, kami dizalimi. Apabila mereka menzalimi orang lain, mereka akan berkata, kami hanya menuntut hak. Saya masih ingat dahulu apabila ada seorang pemimpin yang dituduh melakukan perbuatan seks yang sumbang maka para ustaz dan selain ustaz yang membelanya membacakan dalil-dalil al-Quran dan Sunah yang melarang kita menuduh orang lain dengan tuduhan zina tanpa empat orang saksi. Lalu dibacalah firman Allah: (maksudnya) Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik (surah al-Nur ayat 4). Lalu mereka menyatakan perbuatan menuduh tersebut adalah zalim lagi haram dan si penuduh menurut Islam hendaklah disebat lapan puluh rotan. Namun apabila para ustaz dan ‘pengikut para ustaz’ yang sama menuduh musuh-musuh politik mereka – sebelum dan selepas itu – dengan tuduhan skandal seks dan berbagai lagi, tidak pula mereka mendatangkan saksi seperti yang dituntut oleh syarak. Bahkan sebahagian ceramah-ceramah politik itu dihiasi dengan tuduh-menuduh yang amat berat di sisi syarak. Namun mereka ini jika ditanya akan menjawab: “ini politik syeikh! Anta mana faham.” Saya menyatakan mungkin mereka lebih faham ‘politik ala mereka’, namun apa yang saya faham hukum Tuhan itu tidak pernah terbatas. Islam ini bukan sekular yang memisahkan agama dari politik. Jika anda bercakap tentang Islam dan politik, maka cara politik hendaklah mengikut Islam. Sebahagian perkataan-perkataan dalam ceramah itu bak kata al-Quran dalam surah al-Nur ayat 15: (maksudnya) ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ia perkara kecil, padahal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya. Demikian kita, kita hanya sedar kezaliman apabila ia terkena kepada kita, melupainya apabila terkena kepada orang lain. Saya masih ingat seorang yang berpakaian agama dalam negara ini yang mengkritik sikap sesetengah anak-anak muda yang kononnya tidak menerima pakai pendapat ‘tokoh-tokoh agama Nusantara’ dan beliau mensifatkan itu sebagai koboi dan biadap. Itu katanya tidak menghormati ulama. Tetapi saya melihat beliau dan mereka ‘sebaju’ dengan beliau dalam masa yang sama menghina, memfitnah bahkan sehingga mengkafirkan tokoh- tokoh ulama umat Islam seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Qayyim, al-Hafiz al-Zahabi, al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, Dr. Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain lagi, tidaklah pula mereka menganggap diri mereka zalim, koboi dan biadap terhadap para ulama. Mereka menghukum diri mereka tidak sama dengan hukuman mereka terhadap orang lain. Inilah yang sering saya ulangi firman Allah s.w.t: dalam surah al-Maidah: 8: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang- orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang Maha antikezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: Wahai hamba-hamba-Ku! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ia haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim-menzalimi (riwayat Muslim). Kezaliman itu haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan seorang muslim. Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam hidupnya. Nabi s.a.w. bersabda: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang) (riwayat al- Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya bagi dirinya (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/al-Sahihah: 767) dalam riwayat Ahmad yang lain: Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/al-Sahihah: 767).

Entah berapa ramai si zalim yang belum pun sempat datang hari akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari doa mangsanya. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: mengapa aku jadi begini? atau mengapakah Tuhan melakukan padaku begini? Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak lupa perbuatannya. Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda: Takut kamu doa orang yang dizalimi kerana ia dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, akan Aku menangkan engkau walaupun selepas beberapa lama (riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/al-Sahihah: 870). Ketika si zalim tidur lena di katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu, janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena zalim!

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

 
Pelbagai pandangan tentang solat wusta
12.11.07 (6:50 pm)   [edit]

PELIHARALAH kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (al-Baqarah: 238)

SYEIKH al-Maraghi berkata: Dua ayat terdahulu membahaskan berkenaan dengan hukum, sebahagiannya berkaitan ibadat dan sebahagian yang lain berkaitan muamalat. Kedua-duanya berakhir dengan penerangan daripada jalan atau cara yang utuh dan teguh dalam bermuamalah antara suami isteri. Telah menjadi sunah al-Quran bahawa diikuti hukum dengan perintah supaya bertakwa kepada Allah.

Memberi peringatan dengan ilmunya berkenaan dengan hal hamba-hambanya dan apa yang disediakan bagi mereka daripada balasan atas amalan sehingga penguasaan agama ke atas nafsu dan melahirkan keikhlasan.

Namun, tabiat nafsu kadang-kadang lalai daripada peringatan dengan kesibukan hidup atau mendapat nikmat kelazatan yang menyebabkan mereka menyimpang daripada jalan kebenaran petunjuk sehingga akhirnya berpecah.

Daripadai sini amat perlu kepada pemberi peringatan membentuk roh sehingga membuang sifat kebendaan atau material semata-mata.

Seterusnya dihadapkan supaya bermuraqabah kepada Allah dengan cara membersihkan daripada segala najis dan kotoran sehingga terangkat daripada perlakuan yang tidak baik dan cenderung kepada keadilan dan ihsan. Peringatan tersebut ialah solat yang dapat mencegah sebarang kemungkaran dan percakapan buruk.

Firman Allah s.w.t: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu.

Ibn al-Arabi berkata: perkataan muhafazah bermaksud berterusan dan tekun melakukan sesuatu iaitu dengan cara bersungguh-sungguh melakukannya serta berhati-hati agar tidak mempersiakan keseluruhan atau sebahagiannya. Memelihara sesuatu bererti memelihara seluruh juzuk dan sifatnya.

Contohnya surat yang ditulis oleh Umar: Barang siapa yang menyimpannya dan memeliharanya bererti dia telah menjaga agamanya.

Sayid Qutub berkata: Dalam ayat ini diperintahkan supaya dipeliharakan semua solat, iaitu mendirikannya di dalam waktu-waktunya masing-masing dan menyempurnakan segala rukun dan segala syaratnya.

Firman Allah: khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar). Adapun solat wusta maka mengikut pendapat yang rajih yang dipilih dari pelbagai riwayat ialah solat asar kerana Rasulullah s.a.w bersabda pada hari peperangan al-Ahzab: Mereka telah menghalangi kita daripada solat wusta, iaitu solat Asar. Allah penuhkan hati dan rumah mereka dengan api neraka! (riwayat Muslim)

Tujuan beliau menyebut solat asar secara khusus mungkin kerana waktunya datang selepas tidur tengah hari yang mungkin terluput dikerjakan oleh seseorang.

Suka dinyatakan kenapa dinamakan solat wusta?

Ibn al-Arabi mengemukakan tiga andaian:

- Ia diambil daripada perkataan al-wasat yang bermaksud saksama, terbaik dan mempunyai kelebihan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.

Dan firman Allah lagi dalam surah al-Qalam, ayat 28 yang bermaksud: Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa hendak menghampakan orang kafir miskin daripada habuannya): Amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah s.w.t (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu)?

Dalam kedua-dua ayat ini, perkataan tersebut merujuk kepada makna ‘yang terbaik’.

- Ia bermaksud pertengahan dari segi bilangan kerana ia adalah solat yang berada di tengah-tengah antara solat lima waktu.

- Ia bermaksud pertengahan waktu.

Ibn al-Qasim berkata, Malik berkata: Solat subuh ialah solat wusta kerana solat zuhur dan asar pada waktu siang dan solat maghrib dan isyak pada waktu malam, sedangkan subuh berada antaranya dan ia solat yang paling sikit kadarnya.

Solat zuhur dan asar boleh dijamakkan, begitu juga maghrib dan isyak boleh dijamakkan sedangkan solat subuh tidak boleh dijamakkan dengan mana-mana solat pun. Ia juga solat yang ramai orang terluput kerana tertidur.

Pandangan yang sama disebut oleh Zaid bin Aslam. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa solat subuh ialah solat wusta kerana dikerjakan antara kegelapan malam dan kecerahan siang. Di samping itu kerap kali manusia terluput mengerjakannya. Ibn Abbas juga berkata: Setelah membaca qunut dalam solat subuh, inilah solat wusta.

Secara ringkasnya dinukilkan tujuh pendapat tentang apakah solat yang terbaik itu:

- Pertama: Solat zuhur seperti pendapat Zaid bin Thabit.

- Kedua: Solat asar seperti pendapat Ali dalam satu riwayatnya.

- Ketiga: Solat maghrib seperti kata al-Barra’.

- Keempat: Solat isyak.

- Kelima: Solat subuh seperti pendapat Ibn Abbas, Ibn Umar, Abu Umamah dan riwayat yang sahih daripada Ali.

- Keenam: Solat jumaat.

- Ketujuh: Ia adalah solat yang tidak ditentukan.

Firman Allah: …dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Mungkin pendapat yang rajih bahawa yang dimaksudkan dengan qanitina dalam ayat ini ialah khusyuk dan menumpukan ingatan kepada Allah di dalam solat. Kerana dahulu mereka pernah bercakap-cakap di dalam solat apabila mereka menghadapi keperluan-keperluan yang mendadak sehingga turun ayat ini barulah mereka faham darinya bahawa tidak boleh dilakukan kerja yang lain di dalam solat melainkan zikir Allah, khusyuk dan menumpukan ingatan kepadanya.

Suka dinyatakan perkataan qanitin sebenarnya mempunyai banyak makna yang utamanya ialah empat makna:

- Pertama: taat seperti pendapat Ibn Abbas.

- Kedua: berdiri seperti pendapat Ibn Umar.

- Ketiga: diam seperti pendapat Mujahid.

- Keempat: khusyuk.

Kesemua pendapat tersebut ada kemungkinan benar kerana tidak ada percanggahan kecuali pengertian berdiri disebabkan tidak sesuai untuk dipadankan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan berdirilah kerana Allah secara qanitin.

Yang sahih ialah riwayat Zaid bin Arqam kerana ia menunjukkan nas yang terang daripada Nabi s.a.w. Oleh itu tidak perlu dirujuk kepada pengertian yang lain yang masih di peringkat andaian.

Iktibar Ayat

- Berkenaan dengan faedah ayat ini, Ibn al-Arabi berkata: Sebahagian ulama kami mengatakan ada satu pada faedah pada ayat ini iaitu menolak pandangan Abu Hanifah yang berpendapat solat witir adalah wajib kerana solat wusta dikira termasuk dalam solat witir supaya solat yang mengepungnya dari dua arah ialah bilangan yang genap. Apabila dihitung solat yang wajib itu ada enam, maka tentulah solat itu tidak menjadi solat wusta.

- Kelebihan solat wusta.

- Kewajipan memelihara solat fardu secara berjemaah dan khusyuk.

 
Menelanjangkan Muslimah
12.03.07 (1:47 am)   [edit]


Oleh NORHURIYATINA SALLEH

Syaitan memang diciptakan untuk menggoda dan menyesatkan umat Muhammad. Bermulanya dari saat syaitan dibuang dari syurga hingga kini tugas syaitan tidak akan selesai hingga datangnya kiamat. Dalam menggoda manusia, syaitan memiliki berbagai cara dan strategi yang sering digunapakai. Dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan dan kejahatan. Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian Muslimah.

Allah ada menyebut bahawa Muslimah adalah golongan yang mudah untuk masuk ke syurga dan Muslimah jugalah golongan yang mudah untuk memasuki neraka. Oleh kerana itulah syaitan gemar untuk menggoda kaum Muslimah. Ini kerana Muslimah itu sendiri mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Bermula dengan perkara ynag sekecil-kecil zarah hingga sebesar-besar dosa dan noda dilakukan oleh Muslimah atas godaan syaitan.

Bermula dengan menanggalkan hijab. Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar´i, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. Bagaimana mulanya syaitan menyusun strategi hingga Muslimah sanggup meninggalkan hijab ini?

Pertamanya dengan membuka bahagian tangan. Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah, tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang?” Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik, "Tu.. tidak apa-apa kan ?”

Keduanya, membuka sedikit dada dan leher. Bagaimana caranya? Maka dipakailah fesyen terbaru yang terbuka sedikit bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen bentuk “V” hingga ke pelbagai fesyen yang mendedahkan dada.. Kononnya untuk mendapatkan sekidit hawa atau ruang untuk bernafas agar tidak merasa terlalu panas. Kata syaitan, “Cubalah! Orang pasti tidak peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.”

Satu lagi istilah yang menarik, iaitu berpakaian tetapi telanjang. Kononya untuk mengikuti perkembangan dan peredaran semasa. Alasannya agar sentiasa nampak “cool”. Caranya, syaitan akan memberi idea agar membeli kain yang agak tipis, lalu dibuat baju yang agak ketat dan mengikut ukuran badan agar lebih sedap dan cantik mata memandang. Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan “transparent”. "Mungkin tak ada masalah, potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita Muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan “transparent”, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ´ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Setelah itu pula, digodanya muslimah untuk membuka sedikit bahagian pakaian yang sedia ketat itu untuk menampakkan lagi labih “cool” dan “vogue”. Caranya mudah, dibisikkan dihati muslimah. “ Pakaian seperti ini membuat susah untuk berjalan atau duduk, nampak sempit, sebaiknya dibelah dari hujung kaki hingga lutut atau mendekati peha tentu mudah dan menarik bukan”. Lalu dipraktikkan idea baru tersebut, dan memang benar dengan dibelah sedemikian rupa membuatkan si pemakai lebih selesa dan leluasa terutamanya ketika akan duduk tau naik kenderaan. Kononnya tersingkap sedikit tidak apa, yang penting kita enjoy!

Begitulah tahap awal bagaimana syaitan ingin menelanjangkan Muslimah. Tetapi syaitan masih tidak berpuas hati, maka disusun stategi baru. Teori yang digunakan adalah “matlamat menghalalkan cara”. Jika tadi hanya digodanya untuk dibelah kain itu, kini langkah lebih “advance” iaitu dibuka terus seperempat hingga separuh betis. Maka bersorak rianglah sang syaitan apabila si Muslimah mengikutnya. Dikukuhkan lagi dengan kata-kata pakaian seperti itu lebih mudah didapati dipasaran berbanding pakaian yang menutup aurat. Maka terbiasalah si muslimah ini dengan memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana sahaja dia pergi.

Mualalah terfikir oleh si Muslimah ini, bukankah dengan berpakaian begitu boleh mendatangkan fitnah di kalangan kaum Adam? Berkatalah sang syaitan, “Ah… itu kan zaman dahulu, zaman kini lelaki lebih suka melihat wanita lebih ´terbuka´ pakaiannya.” Maka akan terbeliaklah mata-mata lelaki ini sambil berkata “ooh” atau “wow”. “Malah bukankah kini fesyen pakaian dari pasar malam mahupun pusat membeli belah terkemuka memperagakan fesyen untuk wanita maju seiring dengan peredaran zaman.” Lantas pakaian tersebut sudah menjadi kebiasaan hingga tiada siapa yang ingin mempersoalkannya lagi.

Langkah terakhir sebelum syaitan berpesta meraikan kejayaan cemerlang lagi terbilang itu ialah dengan menjadikan pakaian muslimah serba mini. Maksudnya, semunaya menjadi lebih pendek, ketat dan ringkas tetapi nampak “cool”, “vogue”, “trendy”, moden dan bergaya. Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari-harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka, akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dipakainya,
baju pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekali gus bahagian punggungnya dan berbagai-bagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi dan lain-lain, tidak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang mulanya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan "bikini". Maka berhasillah matlamat tadi untuk "menelanjangi kaum wanita.”

Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka menjadi tanggungjawab semua umat Muhammad bersama-sama memantapkan keimanan bagi menjauhkan daripada godaan ini. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

 
TIGA BELAS AURAT WANITA
12.03.07 (1:45 am)   [edit]

1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng - Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah  ….

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tan gan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecu ali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik -  Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D <<ATT02385.gif>> aud <<ATT02386.gif>> , An Nasaii dan Ibn Majah.


<<ATT02385.gif>>

<<ATT02386.gif>>


Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis  Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wasallam.
BIRO AGAMA & KEBAJIKAN
KELAB REKREASI TOURISM MALAYSIA

 
Model Muslimah Sejati
12.03.07 (1:43 am)   [edit]


Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global.

Jika ditelusuri dalam lembaran al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.

Pertamanya, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

Keduanya, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Akhirnya, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.

Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

" Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda." - (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan Muslimah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati memilih calon isteri.

Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana ia adalah antara ciri kesolehan isteri yang dituntut Islam, di samping bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu." - (Riwayat Abdullah ibn Humaid).

Jelas di sini, bahawa aspek keagamaan dalam diri seseorang isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga yang dibina dan dibentuk.

Ini kerana agamanya yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, dia pasti akan taat kepada suaminya pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

Isteri yang solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang bermaksud: "...perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah..." - (Surah an-Nisa: 34)

Malah isteri yang solehah ingatannya sentiasa segar dengan pesanan Baginda yang bermaksud: "Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya, mentaati suaminya, nescaya dia dapat masuk ke mana-mana saja pintu syurga menurut kehendaknya. " - (Riwayat Imam Ahmad)

Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa dan keadaan. Ini kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Mana-mana isteri yang meninggal dunia, sedangkan suaminya reda kepadanya, nescaya isterinya akan masuk syurga." - (Riwayat Al-Hakim dan Tirmizi)

Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya yang juga penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama meninggal dunia. Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat, bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.

Agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Demikianlah betapa besarnya fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.

Akhirnya, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain." - (Riwayat Al-Tausi)

__._,_.___
 
Kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah
12.02.07 (7:24 pm)   [edit]

Oleh: NAZMI AIDARUS

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.

Para sahabat baginda bertanya, Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda, Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Peristiwa Sejarah Bulan Zulhijjah

Di sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan umat Islam. Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan Baginda s.a.w. Antara peristiwa tersebut adalah:

1. Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.

2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13 selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.

3. Peperangan As Sawiq pada tahun kedua Hijrah, Nabi s.a.w keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda.

4. Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak.

5. Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya bernama Mariyah Al Qibtiyah.

6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.

7. Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah.

8. Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam.

9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi ‘Arabah di Palestin.

10. Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi.

11. Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum kematiannya.

12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah.

13. Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada tahun 242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 tahun, pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Terengganu.


 
Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik
12.02.07 (7:23 pm)   [edit]

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


Karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak sebanyak karya sahabatnya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini kerana Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani memperoleh ilmu pengetahuan dalam usia muda dan umurnya juga panjang. Sedangkan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, mahupun Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari umumnya jauh lebih tua daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bahkan boleh dijadikan ayahnya.

Walau bagaimanapun, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari termasuk dalam klasifikasi pengarang yang produktif. Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan fiqhnya yang berjudul Sabilul Muhtadin.

Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani adalah yang paling menonjol di bidang tasauf dengan dua buah karyanya yang paling terkenal dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin.

Seluruh karangannya yang telah diketahui umum seperti di dalam carta.

Penjelasan-penjelasan lengkap mengenai karya-karya beliau boleh dirujuk dalam buku berjudul, Sheikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, pada halaman 96 hingga 148.

Wafat

Sebagaimana telah terjadi kekeliruan beberapa tulisan mengenai tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, demikian halnya juga dengan tahun kewafatannya. Perbahasan mengenai kewafatannya adalah dihuraikan seperti yang berikut di bawah ini.

Dr M. Chatib Quzwain menulis dalam kertas kerja dan bukunya berjudul Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasauf Sheikh Abdus Shamad al-Palimbani, halaman 180-181: Bahawa dalam tahun 1244 H/1828 M dikatakan umur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 124 tahun. Baik pendapat Dr. M Chatib Quzwain mahupun pendapat Dr. Azyumardi Azra perlu disanggah berdasarkan fakta sejarah.

Sebelum mengemukakan hujah, selengkapnya penulis salin di bawah ini. Azra menulis, “Meskipun saya tidak dapat menentukan secara pasti angka-angka tahun di seputar kehidupannya, semua sumber bersatu kata bahwa rentang masa hidup Al-Palimbani adalah dari dasawarsa pertama hingga akhir abad kedelapan belas.

Al-Baythar menyatakan, Al-Palimbani meninggal setelah 1200/1785. Tetapi kemungkinan besar dia meninggal setelah 1203/1789, iaitu tahun ketika dia menyelesaikan karyanya yang terakhir dan paling masyhur, Sayr Al-Salikin. Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun.

“Dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah diriwayatkan, dia terbunuh dalam perang melawan Thai pada 1244/1828. Tetapi saya sukar menerima penjelasan ini, sebab tidak ada bukti dari sumber-sumber lain yang menunjukkan Al-Palimbani pernah kembali ke Nusantara. Lebih jauh lagi, waktu itu mestinya umurnya telah 124 tahun terlalu tua untuk pergi ke medan perang.

“Walaupun Al-Baythar tidak menyebutkan tempat di mana Al-Palimbani meninggal, ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”.

Tanggapan dari penulis bahawa sumber dari Al-Baythar yang menyebut tahun kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 1200 H/1785 M, seperti yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra itu adalah ditolak.

Dengan disebutkannya bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani wafat tahun 1200 H/1785 M adalah sebagai bukti bahawa Al-Baythar tidak banyak tahu tentang Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahkan tulisannya sendiri bertentangan antara satu sama lainnya.

Cuba diperhatikan kalimat Dr. Azyumardi Azra dalam buku yang sama halaman 250, “Al-Baythar meriwayatkan, pada 1201/1787 Al-Palimbani mengadakan perjalanan ke Zabid di mana dia mengajar murid-murid terutama dari keluarga Ahdal dan Al-Mizjadi”.

Bagaimanakah ini boleh terjadi, pada tempat lain Al-Baythar mengatakan Al-Palimbani wafat setelah 1200 H/1785 M. Di tempat yang lain disebutnya Al-Palimbani ke Zabid tahun 1201 H/1787 M. Oleh itu persoalan-persoalan lain yang bersumber dari Al-Baythar mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menyalahi sumber-sumber yang telah dianggap benar oleh tradisi/mutawatir dunia Melayu adalah ditolak juga.

Sumber wafat 1200/1785 M penulis tegaskan adalah tidak tepat kerana menyalahi dengan tulisan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri. Kitab-kitab yang dikarang/diselesaikan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sesudah tahun 1200 H/1785 M itu ialah Risalah Isra’ wa Mi’raj, yang dicatat oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri selesai menulisnya pada tahun 1201 H, kira-kira bersamaan 1786/87 M. Umumnya, juga diketahui ialah Siyarus Salikin jilid ke-IV, diselesaikan pada malam Ahad, 20 Ramadhan 1203 H di Taif, kira-kira bersamaan tahun 1789 M.

Pendapat Dr. Azyumardi Azra pada kalimatnya, “Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun”, adalah tertolak kerana tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikemukakan oleh kedua-dua sarjana tersebut adalah ternyata salah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Malahan ramai yang menduga bahawa kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tahun 1203 H/1789 M. Penulis memang tidak berani hanya dengan menduga apabila tidak cukup bukti. Walau bagaimanapun penulis tetap menolak tahun wafat Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam tahun 1203 H/1789 M yang hanya berdasarkan tahun beliau selesai mengarang Siyarus Salikin itu.

Malah penulis tetap yakin bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memang terlibat langsung dalam peperangan di antara Kedah-Patani melawan Siam yang terjadi jauh sesudah tahun 1203 H/1789 M itu. Ini berdasarkan cerita yang mutawatir, dikuatkan sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, telah diketemukan kubur beliau dan lain-lain yang perlu dikaji dengan lebih teliti.

Dr. M. Chatib Quzwain menyebut bahawa kubur Sheikh Abdus Samad al-Falimbani di Palembang, Dr. Azyumardi Azra pula menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”, kedua-dua pendapat tersebut bertentangan dengan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Juga bertentangan dengan cerita popular masyarakat Islam di Kedah, di Patani, Banjar, Mempawah/Pontianak dan tempat-tempat lain yang ada hubungan pertalian penurunan keilmuan tradisional Islam dunia Melayu.

Selain itu, bertentangan pula dengan manuskrip Al-Urwatul Wutsqa karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disalin oleh Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, salah seorang murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bertentangan pula dengan pembuktian bahawa diketemukan kubur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di perantaraan Kampung Sekom dengan Cenak termasuk dalam kawasan Tiba, iaitu di di Utara Patani.

Penulis tidak pasti sumber manakah yang digunakan oleh Dr. Azyumardi Azra yang menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia” itu. Sedangkan tulisan penulis dalam majalah Dian tersebut sekali-kali tidak merujuk kepada Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tetapi ternyata jalan ceritanya adalah sama. Pada waktu itu penulis tidak mengetahui bahawa riwayat tersebut termaktub dalam buku tersebut. Buku tersebut diterbitkan tahun 1968, sedangkan cerita mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani penulis dengar sejak tahun 1958 lagi.

Kemudian setelah tulisan awal (Dian, 1977) dan tulisan yang kedua (Al-Fathaanah, 1983), kedua-duanya belum begitu banyak dijumpai hujah. Maka tulisan yang seterusnya daripada itu termasuklah tulisan artikel ini, menurut pertimbangan penulis cukup padat dengan pembuktian-pembuktian. Percaya atau tidak terserah kepada penilaian para pembaca yang dapat menggunakan akalnya.

Dalam penyelidikan, apabila pembuktian telah cukup, maka tidak ada alasan untuk kita mempertahankan sesuatu kekeliruan itu. Mahu tidak mahu kita mesti mengikut kebenaran pembuktian. Jika di belakang hari ternyata tulisan penulis keliru, insya-Allah penulis akan mengikut siapa saja yang dapat membetulkannya dengan syarat berdasarkan pembuktian-pembuktian yang cukup kuat pula.

Keturunan

Mengenai keturunan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, maklumat terawal hanya dijumpai dalam karya-karya Sheikh Yasin Padang, bahawa beliau menulis anak Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Fathimah.

Memperhatikan bahawa ramai ulama Asia Tenggara menerima sanad daripada Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, bererti beliau ini adalah seorang ulama, walau pun beliau seorang perempuan. Di antara ulama-ulama tanah Jawi sebagai murid Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al- Falimbani ialah Sheikh Azhari bin Abdullah al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, belum diketahui keturunan Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani itu, kemungkinan keturunannya berada di Mekah.

Antara kitab karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani

1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178 H/1764 M.

2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.

3. Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil

Muttaqin, 1192 H/1778 M.

4. Siyarus Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin, 1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.

5. Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.

6. Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani.

7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.

8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah

9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah

10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin

11. ‘Ilmut Tasawuf

12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam

13. Kitab Mi’raj, 1201 H/1786 M.

14. Anisul Muttaqin, manuskrip dalam simpanan penulis.

15. Puisi Kemenangan Kedah.